LAPOR DALAM TEMPOH 7 HARI LAFAZ CERAI LUAR MAHKAMAH

Menurut undang-undang keluarga Islam yang sedang berkuat kuasa di negeri-negeri selain Wilayah-Wilayah Persekutuan, mana-mana suami yang telah melafazkan cerai ke atas isterinya di luar mahkamah tanpa kebenaran mahkamah mestilah melaporkan hal tersebut kepada Mahkamah Syariah. Seksyen 57 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2004 (Sabah) menegaskan bahawa laporan hendaklah dibuat kepada Mahkamah Syariah dalam tempoh 7 hari dari lafaz cerai sekiranya lafaz tersebut berlaku di luar Mahkamah dan tidak ada kebenaran Mahkamah bagi lafaz tersebut. Peruntukan yang sama juga terdapat dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam di Selangor (2003). Ini bermakna, sebaik lafaz cerai dibuat oleh suami, pasangan tersebut mestilah melaporkan hal tersebut dalam tempoh 7 hari dari tarikh lafaz. Perkataan “laporan” atau “melaporkan” tidak ada diberi tafsiran secara khusus dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam berkenaan.

Bagaimanapun, dapat difahami bahawa perkataan “melaporkan” atau “laporan” itu adalah membawa maksud membuat permohonan bagi mendapatkan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah. Ini kerana, dalam seksyen 57(2) dan (3) itu, jelas menyatakan bahawa siasatan hendaklah dilakukan oleh Mahkamah samada lafaz cerai tersebut sah di sisi hukum syarak. Mahkamah juga dikehendaki untuk membuat perintah mengenai perceraian tersebut dan seterusnya menghantar rekod perceraian tersebut kepada Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk (PPR) di Jabatan Hal  Ehwal Agama Islam Negeri berkenaan.

Bagi Mahkamah, tindakan menyiasat a kesahihan lafaz cerai tersebut hanya boleh dilakukan apabila satu permohonan khusus difailkan di Mahkamah oleh pihak-pihak dalam perkahwinan tersebut untuk mendapatkan pengesahan samada sah atau tidak lafaz berkenaan menurut hukum syarak . Dengan kata lain, suami atau isteri perlu menfailkan kes tersebut di Mahkamah terlebih dahulu. Setelah didaftarkan, kes berkenaan akan didengar di hadapan Hakim.

Bagi menyelaraskan kehendak undang-undang untuk menyegerakan pelaporan lafaz berkenaan di Mahkamah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah mengeluarkan Arahan Amalan No. 8 Tahun 2011. Arahan Amalan tersebut membolehkan Mahkamah untuk mendengar kes lafaz cerai di luar Mahkamah pada hari yang sama ianya didaftarkan di Mahkamah. Bagaimanapun, pendengaran pada hari yang sama adalah tertakluk kepada syarat bahawa semua tatacara adalah lengkap dan ianya dihadiri kedua-dua belah pihak suami dan isteri.

Bagi pasangan suami isteri, khususnya suami, laporan dalam bentuk permohonan bagi mendapatkan pengesahan lafaz cerai hendaklah dibuat secepat mungkin apabila menyedari bahawa lafaz telah dibuat. Ini kerana, kegagalan berbuat demikian akan mendedahkan pihak berkenaan untuk didakwa di Mahkamah Syariah atas kesalahan tidak membuat laporan kepada Mahkamah di bawah Seksyen 126 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004. Hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan di bawah seksyen ini adalah denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau gabungan dari kedua-dua hukuman berkenaan.

Undang-undang yang dibuat bukan untuk menyusahkan masyarakat. Sebaliknya, terdapat manfaat besar khususnya kepada umat Islam untuk mematuhi undang-undang ini. Selain dapat mengetahui status perceraian pada kadar segera, pasangan kepada perkahwinan itu dapat membuat keputusan samada hendak kembali semula sebagai suami isteri dengan cara rujuk nikah dalam tempoh eddah atau sebaliknya. Kedua-dua pihak juga dapat membuat tindakan sewajarnya dengan mendapatkan hak-hak syarie melalui perintah Mahkamh seperti nafkah eddah, mut’ah, hak penjagaan anak (hadanah), mut’ah, harta sepencarian dan lain-lain lagi yang berkaitan dengan hak-hak pasangan tersebut selepas perceraian. Semoga artikel ini ada manfaat untuk kita semua. Wallahu a’lam.

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 4 September 2015, in AGAMA, KELUARGA, UNDANG-UNDANG. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan komen