Pengesahan Perceraian tanpa kebenaran Mahkamah sudah Selesai. Mana penalti terhadap suami?

 

Pengesahan Perceraian tanpa kebenaran Mahkamah sudah Selesai. Mana penalti terhadap suami?

3 Mei 2014

Soalan

Assalamualaikum.

Siapa yang akan mengkuatkuasakan penalti ini? Biasanya pihak isteri akan menfailkan pengesahan perceraian di makhamah. Hakim akan megesahkannya setelah terdapat bukti yang kukuh. Tetapi tidak pula diperintahkan pihak bekas suami untuk membayar denda yang berkaitan? Siapa yang akan mengkuatkuasakan penalti ini? Kes ini berlaku dalam keluarga saya tetapi pihak bekas suami masih belum dikenakan penalti dan perceraian telah berlaku beberapa tahun yang lalu.

Jawapan

Walaikumussalam wbt.

Terimakasih atas pertanyaan Saudari di atas. Kes perceraian adalah satu kes yang berasingan dengan kes jenayah syariah. Setelah didapati bahawa lafaz talaq sah dan perceraian disahkan telah berlaku di luar mahkamah tanpa kebenaran Mahkamah Syariah, maka satu perintah bertulis akan dikeluarkan oleh Mahkamah mengenai perceraian tersebut.

Berhubung penalti kerana menceraikan isteri tanpa kebenaran mahkamah, adalah perlu difahami bahawa penalti hanya dikenakan kepada pesalah jenayah sebagai salah satu bentuk hukuman ke atas pesalah yang telah disabitkan bersalah kerana melanggar undang-undang. Bagi sesiapa yang didapati menceraikan isterinya tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu dari Mahkamah Syariah, seseorang itu boleh didakwa dan jika disabitkan bersalah, boleh dihukum dengan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali. Perkara ini disebutkan dalam seksyen 125 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004. Ini bermakna, bukan penalti dengan membayar denda sahaja bentuk hukuman yang boleh dikenakan kepada pesalah, tetapi juga meliputi hukuman penjara jika itu yang dirasakan menasabah dan wajar oleh mahkamah.

Timbul persoalan di mana mahkamah telah lama membuat keputusan mengenai pengesahan perceraian di luar mahkamah. Bagaimanapun tiada apa-apa tindakan berbentuk penalti atau hukuman penjara yang dikenakan kepada pasangan yang terlibat. Isunya, adakah si suami atau bekas suami akan terlepas begitu saja? Ya. Si suami akan terlepas begitu saja jika tidak ada tindakan susulan yang dilakukan oleh mana-mana pihak untuk merujukkan kes berkenaan kepada pihak berkuasa agama. Justeru, apa yang perlu dilakukan ialah sesiapa saja yang mempunyai maklumat mengenai suatu kesalahan yang telah dilakukan boleh dan sepatutnya melaporkan hal tersebut kepada pihak berkuasa agama. Aduan bukan saja boleh dibuat oleh pasangan berkenaan, tetapi juga oleh pegawai agama di Bahagian Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk di Jabatan Agama Islam.

Aduan bertulis perlu dikemukakan kepada Pegawai Penguatkuasa Agama di Jabatan Agama Islam Negeri di mana kesalahan itu dilakukan. Penguatkuasa Agama pula seterusnya membuat siasatan terhadap aduan berkenaan. Pihak-pihak berkaitan yang mempunyai maklumat mengenai aduan tersebut lazimnya akan dipanggil memberi keterangan bagi melengkapkan kertas siasatan.

Setelah dilengkapkan, kertas siasatan itu akan dikemukakan oleh Penguatkuasa Agama kepada Ketua Pendakwa Syarie Negeri untuk disemak dan diteliti. Jika siasatan lengkap, kes tersebut akan difailkan di Mahkamah untuk tujuan pendakwaan. Saman akan dikeluarkan oleh mahkamah ke atas Tertuduh. Tertuduh dalam konteks ini adalah suami. Bentuk pertuduhan adalah melakukan kesalahan jenayah syariah kerana menceraikan isteri tanpa kebenaran dari mahkamah syariah terlebih dahulu. Jika disabitkan salah, tertuduh samada akan dihukum denda atau penjara atau kedua-duanya sekali sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini.

Lazimnya dalam kes jenayah melibatkan kesalahan menceraikan isteri tanpa kebenaran mahkamah, hukuman yang dijatuhkan adalah dalam bentuk denda bagi kesalahan kali pertama. Pesalah boleh memohon agar diberi tempoh tertentu untuk melunaskan bayaran denda tersebut. Sekiranya gagal membayar dalam tempoh yang ditetapkan, Mahkamah boleh menghukum pesalah itu dengan hukuman penjara tidak melebihi 6 bulan.

Semoga penjelasan ini ada manfaatnya untuk Saudari dan para tetamu ERAKITA sekalian.

Wallahu a’lam.

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 3 Mei 2014, in AGAMA, KELUARGA, UNDANG-UNDANG and tagged , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink. 6 Komen.

  1. Assalamulaikum sy mau brtnya bagai mana kh caranya mau perceptkan nak ambil surat cerai..sbb mahkmah belum lg memangil bekas suami tuk d bicarakn …

    • Walaikumussalam wbt.

      Istilah surat cerai dalam pertanyaan Puan di atas adalah bersifat umum. Sebenarnya, terdapat 2 bentuk dokumen penting mengenai perceraian pasangan Muslim. Pertamanya, Perintah Perceraian dari Mahkamah Syariah. Keduanya, Sijil Perceraian yang dikeluarkan oleh Pendaftar Pernikahan Perceraian dan Rujuk (PPR) di Jabatan Agama Islam Negeri.

      Sijil Perceraian hanya dikeluarkan oleh PPR setelah Mahkamah Syariah mengeluarkan perintah perceraian atau pembubaran perkahwinan samada berpunca dari pengesahan lafaz perceraian yang berlaku di luar mahkamah atau perceraian biasa dengan lafaz talaq di hadapan mahkamah, fasakh, ta’liq dan khulu’ atau disebut juga sebagai tebus talaq. Hanya setelah mahkamah syariah mengeluarkan perintah perceraian atau pembubaran perkahwinan, baharulah PPR di Jabatan Agama Islam akan mengeluarkan Sijil Cerai.

      Justeru, pada peringkat ini, Puan dinasihatkan untuk berurusan terus dengan pihak mahkamah bagi mendapatkan tarikh terawal bagi pendengaran kes Puan. Lazimnya, mahkamah akan menetapkan pendengaran kes berkenaan dalam tempoh 21 hari dari tarikh pendaftaran kes di Mahkamah. Ini adalah menurut Arahan Amalan yang dikeluarkan oleh Ketua Hakim Syarie negeri-negeri yang diselaraskan di seluruh negara.

      Puan boleh mendapatkan maklumat dari Pendaftar Mahkamah mengenai tarikh kes berkenaan didengar. Puan juga boleh meminta budi bicara mahkamah untuk menjadualkan lebih awal kes berkenaan jika Puan mempunyai alasan yang kukuh. Bagaimanapun, kita sedia maklum bahawa Mahkamah juga mempunyai jadual yang ketat khususnya mahkamah yang beroperasi di daerah atau bahagian-bahagian yang besar dan padat penduduknya. Hal ini sudah tentu menjadi salah satu cabaran atau kekangan kepada mahkamah untuk menjadual kes lebih awal khususnya bagi pendengaran kali kedua dan seterusnya.

      Kes biasanya lebih mudah diselesaikan sekiranya pihak yang satu lagi (suami atau isteri) hadir di Mahkamah, apatah lagi jika sekiranya ada persetujuan dari kedua pihak untuk bercerai secara aman. Ada ketikanya Mahkamah mendengar suatu kes perceraian pada hari yang sama didaftarkan jika sekiranya kedua pihak hadir bersama persetujuan di samping Mahkamah pula mempunyai ruang untuk mendengar kes berkenaan.

      Semoga penjelasan ini memberi manfaat kepada Puan. Wallahu a’lam.

  2. Assalammualaikum… Sy nak bertanya apakah hukuman @ denda sekiranya suami menceraikan Isteri 3 Kali di luar Mahkamah. Penceraian yg berulang sebanyak 3 Kali di luar Mahkamah? Apakah hukuman ke atas bekas suami denda @ penjara?

    • Walaikumussalam wbt.

      Jika suami mengulang-ulangi lafaz cerai ke atas isteri samada 2 kali atau 3 kali atau lebih, bilangan talaq akan ditentukan oleh mahkamah. Bilangan talaq yang gugur adalah sesuatu yang subjektif. Ia banyak bergantung kepada keadaan suami ketika melafazkan talaq yang kedua dan seterusnya. Mahkamah lazimnya akan membuat penetapan kadar atau bilangan talaq yang gugur setelah mengambil kira niat atau maksud suami melafazkan talaq yang kedua atau ketiga itu selepas melafazkan talaq yang pertama. Antara lain yang diambikira adalah samada isteri masih lagi dalam temph eddah yang boleh dirujuk ketika lafaz talaq berikutnya diungkapkan oleh suami. Jika isteri masih dalam tempoh eddah dan suami pula dengan jelas meniatkan bahawa lafaz talaq berikutnya adalah untuk menambahkan bilangan talaq yang sedia ada, maka mahkamah akan mempertimbangkan untuk mensabitkan pertambahan bilangan talaq.

      Mengenai bentuk hukuman bagi lafaz talaq yang berulang-ulang atau sebanyak 3 kali di luar mahkamah, ia adalah bergantung kepada bentuk pendakwaan oleh pihak pendakwaan syarie. Jika pihak pendakwaan lazimnya akan merangka dan membentuk pertuduhan ke atas seseorang tertuduh berdasarkan kepada keputusan mahkamah dalam menentukan bilangan talaq dan keadaan bagaimana talaq itu berlaku. Ada ketikanya lafaz talaq yang berulang itu dibuat dalam satu majlis. Maksudnya, ada suami yang menceraikan isteri berulang-ulang dalam satu majlis atau tempat dan masa yang berdekatan. Contohnya, suami melafazkan kata-kata kepada isterinya “aku ceraikan kau!”. Selang beberapa minit, suami melafazkan lagi kata-kata “aku ceraikan kau!”. Selang beberapa minit, suami melafazkan lagi ungkapan kepada isterinya “aku ceraikan kau!”. Dalam hal ini, lazimnya mahkamah akan memutuskan samada hanya talaq 1 sahaja yang gugur atau 2 atau 3 sekaligus. Hal ini banyak bergantung kepada niat si suami ketika melafazkan ungkapan talaq yang berikutnya. Ada ketikanya juga mahkamah akan memutuskan gugur talaq 3 dalam situasi di atas. Justeru, dalam hal ini, piihak pendakwaan mempunyai kuasa untuk menentukan pendakwaan ke atas suami dengan membuat pertuduhan atas kesalahan menceraikan isteri tanpa kebenaran mahkamah dengan talaq 3. Jika suami dituduh menceraikan isteri tanpa kebenaran dengan talaq 3, maka jika disabitkan, hukuman hanyalah denda tidak lebih RM1000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali. Tidaklah akan dihukum suami itu 3 kali ganda denda atau penjara itu.

      Jika keputusan mahkamah mensabitkan bahawa suami telah menceraikan isteri sebanyak 3 kali dalam tarikh-tarikh yang berlainan, maka pihak pendakwaan mempunyai kuasa dan dan budibicara untuk membuat pertuduhan ke atas suami atas kesalahan menceraikan isteri tanpa kebenaran mahkamah sebanyak 3 kali. Pendakwaan boleh membuat 3 pertuduhan secara berasingan ke atas suami. Jika suami disabitkan salah, maka hukuman akan menjadi banyak. Setiap pertuduhan, akan ada hukuman berasingan. Contohnya, jika dihukum denda, maka denda bagi kesalahan pertama berdasarkan pertuduhan pertama adalah tidak lebih dari RM1000 atau penjara tak lebih dari 6 bulan atau kedua-duanya sekali. Bagi pertuduhan kedua, begitu juga kadar hukuman sebagaimana pertuduhan yang pertama. Begitu jugalah hukuman bagi kesalahan ketiga di bawah pertuduhan ketiga.

      Justeru, dalam membincangkan soal kadar hukuman atau denda bagi kesalahan menceraikan isteri sebanyak 3 kali di luar mahkamah tanpa kebenaran mahkamah, pertamanya, ia adalah sesuatu yang subjektif dan banyak bergantung kepada keputusan asal pengesahan lafaz cerai dan bilangan talaq yang gugur oleh pihak mahkamah. Keduanya, ia juga bergantung kepada bentuk dan bilangan pertuduhan yang dikenakan oleh pihak pendakwaan ke atas si suami tadi.

      Semoga penjelasan ini dapat membantu meringankan persoalan Puan Imah.

      Wallahu a’lam

  3. Assalamualaikum tuan/puan. Saya ingin bertanya mengenai rujuk. Baru baru ini suami saya ada melafazkan talak kepada saya melalui panggilan telefon.Pada selang hari berikutnya, suami merujuk kembali kepada saya dengan lafaz saya rujuk kamu semula,adalah rujuk itu dikira sah?

    • Walaikumussalam wbt.

      Pertamanya, Puan dinasihatkan membuat permohonan bagi mendapatkan pengesahan samada telah jatuh talaq ke atas Puan disebabkan lafaz talaq yang dibuat oleh suami Puan melalui talipon tersebut. Jangan berlengah. Urusan ini perlu dibuat segera di Mahkamah Syariah.

      Sekiranya lafaz suami tersebut disahkan sebagai menggugurkan talaq ke atas Puan, maka eddah Puan adalah bermula dari tarikh suami Puan melafazkan cerai tersebut. Hanya talaq 1 dan talaq 1 yang boleh dirujuk. Adapun jika isteri sudah ditalaq 3, maka suami tidak boleh lagi rujuk nikah tersebut dengan isterinya.

      Dalam kes Puan, sekiranya perceraian tersebut sah, maka Puan perlu hadir di hadapan Pendaftar Perkahwinan di Jabatan Agama Islam di mana Puan bermastautin atau tinggal. Jelaskan bahawa suami sudah merujuk Puan dengan menggunakan lafaz rujuk sebagaiman yang Puan nyatakan di atas.

      Sekiranya pendaftar berpuas hati, maka rujuk itu akan didaftarkan dan satu sijil rujuk akan dikeluarkan kepada Puan dan Suami Puan. Berkenaan lafaz rujuk yang Puan nyatakan itu, lafaz tersebut adalah jelas dan ia dikira rujuk nikah sekiranya rujuk itu dibuat ketika Puan masih lagi dalam tempoh eddah yang mana bilangan talaq yang dijatuhkan kepada Puan adalah talaq 1 ataupun talaq 2.

      Semoga penjelasan ini bermanfaat untuk Puan.

Tinggalkan komen