Arkib Blog

JIKA SUDAH TERLAFAZ CERAI, CEPAT-CEPATLAH KE MAHKAMAH

JIKA SUDAH TERLAFAZ CERAI, CEPAT-CEPATLAH KE MAHKAMAH

3 Febuari 2015

Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya. Adik ipar saya telah melafazkan cerai talak satu kepada isterinya di hadapan kedua pakcik dan makcik si isteri. Tetapi dalam masa kurang sebulan, adik ipar saya dan isterinya telah kembali semula dan bersekedudukan bersama. Di sini, saya ingin tahu:

(1) Adakah mereka harus memfailkan penceraian mereka di pejabat agama?
(2) Haruskah mereka melalui proses penceraian sebelum mereka rujuk semula?
(3) Apa hukum jika sudah melafazkan cerai tanpa memfailkan dan bersekedudukan??

Sila balas pertanyaan saya kerana saya ingin tahu. Terima kasih

Jawapan

Walaikumussalam wbt. Dalam keadaan di atas, apabila ternyata si adik ipar telah melafazkan cerai ke atas isterinya, tindakan segera yang perlu dilakukan adalah menfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai luar mahkamah di Mahkamah Syariah di mana pasangan tersebut bermastautin atau tinggal. Terus sahaja ke Mahkamah Syariah. Elakkan dari menangguh-nangguh perkara ini. Penangguhan yang berterusan akan hanya menambahkan rasa resah, bimbang dan tidak senang pada hati bukan saja pada pasangan ini malah pada keluarga kedua pihak yang terlibat.

Lafaz tersebut perlu diteliti oleh Mahkamah samada ianya telah menggugurkan talaq atau tidak. Ini kerana, lafaz talaq itu sendiri ada yang disebut sebagai lafaz soreh atau lafaz yang terang, nyata yang mana seseorang yang melafazkannya dalam keadaan biasa akan menggugurkan talaq. Ia tak memerlukan niat menceraikannya. Contohnya “aku ceraikan kau” atau “aku talaqkan kau” atau “kau tertalaq”.

Ada lagi lafaz yang dikategorikan sebagai lafaz kinayah yang memerlukan niat menceraikan baharulah lafaz tersebut dikira sebagai sabit perceraian atau gugur talaq. Contohnya suami mengatakan kepada isterinya “kau kembalilah kepada ibubapa engkau dan jangan lagi kau balik ke sini”. Dalam hal ini, sekiranya suami berniat menceraikan isteri saat melafazkan kata-kata itu, maka ia dikira menggugurkan talaq. Sebaliknya, jika suami sekadar menakutkan atau memberi amaran kepada isteri, maka tidaklah gugur talaq.

Justeru, dalam situasi yang dihadapi oleh adik ipar tersebut, sebaiknya bersegeralah ke Mahkamah Syariah dan failkan permohonan pengesahan lafaz cerai luar Mahkamah. Jika benar telah bercerai, mahkamah akan menentukan pula berapa bilangan atau jumlah talaq yang gugur. Hanya mahkamah syariah saja yang boleh memutuskan perkara ini menurut undang-undang keluarga Islam yang berkuatkuasa di negeri-negeri. Seksyen 56 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam jelas menyebutkan bahawa Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk hanya boleh mendaftarkan suatu perceraian itu apabila telah berpuashati bahawa Mahkamah Syariah telah membuat pengesahan mengenai perceraian itu.

Soal mereka telah rujuk, kembali atau bersekedudukan semula sebagai suami isteri, hal tersebut tidak harus berlaku begitu saja tanpa mendapat kepastian mengenai kedudukan status mereka semada sudah bercerai atau tidak. Jika mereka benar-benar nak bersatu semula, ikutilah undang-undang yang ada. Undang-undang itu bukanlah menyusahkan tetapi ia adalah memudahkan urusan manusia. Ia mengelak dari berlakunya perkara-perkara yang bertentangan dengan syarak. Segerakan dan jangan bertangguh lagi.

Tindakan menyegerakan untuk membuat laporan (permohonan) ke mahkamah mengenai lafaz cerai yang dilakukan di luar mahkamah tanpa kebenaran mahkamah adalah kehendak undang-undang. Seksyen 57 Enakmen Undang_undang Keluarga Islam menegaskan bahawa laporan (permohonan pengesahan lafaz cerai luar mahkamah) hendaklah dibuat kepada Mahkamah Syariah dalam tempoh 7 hari dari lafaz cerai tersebut berlaku. Ini bermakna, bila mana lafaz cerai sudah dibuat oleh suami, maka pasangan tersebut mestilah melaporkan hal tersebut dalam tempoh 7 hari dari tarikh lafaz.

Dalam perkara sepenting ini, Arahan Amalan sudah dikeluarkan kepada seluruh Mahkamah Syariah di negeri-negeri bahawa keutamaan untuk mendengar terus permohonan yang ada persetujuan bagi kes pengesahan lafaz cerai perlu diberi termasuk mendengar pada hari yang sama kes berkenaan jika ada ruang mahkamah berbuat demikian. Erakita berpendapat bahawa penjelasan dari artikel dalam ruangan ini serta jawapan di atas memadai sebagai jawapan kepada soalan yang ketiga.

Demikianlah jawapan erakita dalam situasi di atas. Semoga ada manfaatnya. Jangan tunggu lagi. Bersegeralah ke Mahkamah Syariah dan failkan permohonan pengesahan lafaz cerai luar mahkamah tersebut. Mohonlah kepada Pendaftar Mahkamah supaya kes berkenaan dapat disegerakan pendegarannya atas sebab nak rujuk.

Wallahu a’lam.

Pengesahan Perceraian tanpa kebenaran Mahkamah sudah Selesai. Mana penalti terhadap suami?

 

Pengesahan Perceraian tanpa kebenaran Mahkamah sudah Selesai. Mana penalti terhadap suami?

3 Mei 2014

Soalan

Assalamualaikum.

Siapa yang akan mengkuatkuasakan penalti ini? Biasanya pihak isteri akan menfailkan pengesahan perceraian di makhamah. Hakim akan megesahkannya setelah terdapat bukti yang kukuh. Tetapi tidak pula diperintahkan pihak bekas suami untuk membayar denda yang berkaitan? Siapa yang akan mengkuatkuasakan penalti ini? Kes ini berlaku dalam keluarga saya tetapi pihak bekas suami masih belum dikenakan penalti dan perceraian telah berlaku beberapa tahun yang lalu.

Jawapan

Walaikumussalam wbt.

Terimakasih atas pertanyaan Saudari di atas. Kes perceraian adalah satu kes yang berasingan dengan kes jenayah syariah. Setelah didapati bahawa lafaz talaq sah dan perceraian disahkan telah berlaku di luar mahkamah tanpa kebenaran Mahkamah Syariah, maka satu perintah bertulis akan dikeluarkan oleh Mahkamah mengenai perceraian tersebut.

Berhubung penalti kerana menceraikan isteri tanpa kebenaran mahkamah, adalah perlu difahami bahawa penalti hanya dikenakan kepada pesalah jenayah sebagai salah satu bentuk hukuman ke atas pesalah yang telah disabitkan bersalah kerana melanggar undang-undang. Bagi sesiapa yang didapati menceraikan isterinya tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu dari Mahkamah Syariah, seseorang itu boleh didakwa dan jika disabitkan bersalah, boleh dihukum dengan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali. Perkara ini disebutkan dalam seksyen 125 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004. Ini bermakna, bukan penalti dengan membayar denda sahaja bentuk hukuman yang boleh dikenakan kepada pesalah, tetapi juga meliputi hukuman penjara jika itu yang dirasakan menasabah dan wajar oleh mahkamah.

Timbul persoalan di mana mahkamah telah lama membuat keputusan mengenai pengesahan perceraian di luar mahkamah. Bagaimanapun tiada apa-apa tindakan berbentuk penalti atau hukuman penjara yang dikenakan kepada pasangan yang terlibat. Isunya, adakah si suami atau bekas suami akan terlepas begitu saja? Ya. Si suami akan terlepas begitu saja jika tidak ada tindakan susulan yang dilakukan oleh mana-mana pihak untuk merujukkan kes berkenaan kepada pihak berkuasa agama. Justeru, apa yang perlu dilakukan ialah sesiapa saja yang mempunyai maklumat mengenai suatu kesalahan yang telah dilakukan boleh dan sepatutnya melaporkan hal tersebut kepada pihak berkuasa agama. Aduan bukan saja boleh dibuat oleh pasangan berkenaan, tetapi juga oleh pegawai agama di Bahagian Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk di Jabatan Agama Islam.

Aduan bertulis perlu dikemukakan kepada Pegawai Penguatkuasa Agama di Jabatan Agama Islam Negeri di mana kesalahan itu dilakukan. Penguatkuasa Agama pula seterusnya membuat siasatan terhadap aduan berkenaan. Pihak-pihak berkaitan yang mempunyai maklumat mengenai aduan tersebut lazimnya akan dipanggil memberi keterangan bagi melengkapkan kertas siasatan.

Setelah dilengkapkan, kertas siasatan itu akan dikemukakan oleh Penguatkuasa Agama kepada Ketua Pendakwa Syarie Negeri untuk disemak dan diteliti. Jika siasatan lengkap, kes tersebut akan difailkan di Mahkamah untuk tujuan pendakwaan. Saman akan dikeluarkan oleh mahkamah ke atas Tertuduh. Tertuduh dalam konteks ini adalah suami. Bentuk pertuduhan adalah melakukan kesalahan jenayah syariah kerana menceraikan isteri tanpa kebenaran dari mahkamah syariah terlebih dahulu. Jika disabitkan salah, tertuduh samada akan dihukum denda atau penjara atau kedua-duanya sekali sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini.

Lazimnya dalam kes jenayah melibatkan kesalahan menceraikan isteri tanpa kebenaran mahkamah, hukuman yang dijatuhkan adalah dalam bentuk denda bagi kesalahan kali pertama. Pesalah boleh memohon agar diberi tempoh tertentu untuk melunaskan bayaran denda tersebut. Sekiranya gagal membayar dalam tempoh yang ditetapkan, Mahkamah boleh menghukum pesalah itu dengan hukuman penjara tidak melebihi 6 bulan.

Semoga penjelasan ini ada manfaatnya untuk Saudari dan para tetamu ERAKITA sekalian.

Wallahu a’lam.

LAFAZ CERAI ANGKARA LIDAH

LAFAZ CERAI ANGKARA LIDAH

19 Ogos 2013

Perceraian memang tidak mengenal masa. Ia boleh berlaku tanpa dirancang. Tiada angin. Tiada hujan. Tiada gerimis. Tiada ombak. Tiada gaduh-gaduh. Tiada cerita-cerita macam-macam. Tiada gossip. Ia boleh berlaku begitu pantas. Ia boleh terjadi begitu cepat. Begitulah hebatnya lidah. Lidah memang tak bertulang. Namun ia boleh jadi begitu keras, lebih keras dari besi. Ia boleh jadi tajam, lebih tajam dari pisau. Ia boleh jadi tajam, lebih tajam dari tombak. Ia juga boleh jadi lembut, lebih lembut dari kapas. Ia juga boleh jadi manis, lebih manis dari madu. Begitulah hebatnya lidah. Lidah yang mampu menggoncang dunia. Lidah yang mampu mengubah dunia. Lidah yang mampu melakukan apa saja atas izin Allah s.w.t.

Dalam diam, lidah yang tersimpan dan tersembunyi di mulut tiba-tiba bergerak. Rumahtantangga yang tiada ribut dan riuhnya tiba-tiba bergegar gara-gara lidah. Rumahtangga yang aman tiba-tiba berkocak lalu punah gara-gara lidah. Anak-anak kehilangan tempat berpaut. Isteri kehilangan tempat berteduh dan bernaung. Suami kehilangan tempat bermanja dan berbicara. Orang tua kehilangan menantu. Ini semua gara-gara lidah. Lidah telah menggunakan kuasa dan peranannya menurut arahan akal dan perasaan tuannya. Arahan terpaksa diikut dan dipatuhi walau dikeluarkan serta merta tanpa sempat ditangguhkan. Ia terpaksa ikut kata hati dan perasaan tuannya. Tuannya adalah manusia yang sukar dijangka musim dan cuacanya. Arahan tanpa sempat dibantah selalu datang bila tuannya dikuasai nafsu amarah yang membara.

Amarah tak mengenal masa dan tempat. Bulan suci Ramadhan bukan menjadi penghalang untuk mengarahkan lidah melaksanakan tugasnya. Masa sahur, masa berbuka, siang hari hari, waktu orang sibuk bertarawih, semuanya tak jadi halangan. Sekali diarahkan tuannya, lidah akur dan langsung melaksanakan tugasnya. Demikianlah betapa hebatnya lidah. Ramai menangis dan merintih kehilangan orang tersayang. Ramai menangis mengenangkan nasib diri kerana kehilangan orang tersayang. Semuanya gara-gara talaq yang dilafazkan hasil gerakan seni yang begitu halus dan abstrak oleh lidah.

Bulan ramadhan menyaksikan kes-kes pengesahan lafaz cerai difailkan di Mahkamah Syariah. Ada yang terlanjur lafaz talaq 1 dan talaq 2. Namun, paling parah adalah lafaz yang ditakuti dan digeruni semua orang. Itulah talaq 3. Talaq 1 dan talaq 2 masih lumayan kerana pasangan masih ada talian hayat untuk rujuk nikah selagi eddah belum berakhir. Namun, talaq 3 mengatakan tiada maaf bagimu. Berapa ramai pasangan menangis dan merintih mengenang nasib menimpa diri gara-gara lafaz talaq si suami. Apatah lagi talaq 3 yang tidak boleh dirujuk lagi. Jika di bulan ramadhan ia berlaku, apatah lagi pada bulan-bulan biasa. Bulan-bulan biasa selama 11 bulan lagilah mudah ia berlaku. Ini kerana, bukan saja nafsu amarah berperanan, hasutan dan godaan syaitan turut bersekongkol menyumbang kepada perceraian pasangan.

Semua ini boleh dikawal dan dielakkan dengan ilmu. Semua boleh kawal dengan iman dan taqwa. Semua boleh dikawal dengan sabar dan pengorbanan. Untuk mendapat kesabaran, latihan diri dan minda diperlukan. Untuk mendapat iman dan taqwa. Ilmu harus dimiliki dan dihayati. Ilmu dan amal mesti bergerak bersama bagi menghasilkan kekuatan pada manusia. Rumahtangga yang kukuh dan bahagia memerlukan ilmu dan amal sebagai asas dan bentengnya. Lidah mampu dikawal dan diarah melakukan kerja yang berfaedah dengan ilmu dan taqwa. Lidah boleh ditegah dari melafazkan talaq juga dengan ilmu dan taqwa. Semoga kita tergolong dalam golongan berilmu dan bertaqwa itu bagi mempertahankan rumahtangga dari runtuh dan punah sekelip mata.

Semoga perkongsian ini ada manfaatnya bagi kita semua.

CERAI TANPA KEBENARAN MAHKAMAH: SATU KESALAHAN JENAYAH SYARIAH

CERAI TANPA KEBENARAN MAHKAMAH: SATU KESALAHAN JENAYAH SYARIAH

15 April 2012

Menurut undang-undang keluarga Islam yang berkuat kuasa di setiap negeri, perceraian tidak boleh sewenang-wenangnya dilafazkan di luar mahkamah. Maknanya, bagaimanapun teruknya keadaan rumahtangga itu, pasangan berkenaan mestilah meminta kebenaran dari mahkamah syariah untuk melafazkan cerai.

Melafazkan cerai samada talaq 1 atau 2 atau 3 di luar mahkamah tanpa kebenaran adalah satu kesalahan jenayah syariah. Tidak kiralah samada lafaz cerai itu disebabkan oleh permintaan atau desakan dari isteri atau atas kehendak suami.

Jika suami sudah terlafaz cerai di rumah, di pejabat, di dalam kereta, atau di mana saja, asalkan tanpa kebenaran mahkamah, maka apa yang perlu dilakukan selepas itu ialah merujukkan hal tersebut di mahkamah syariah di mana pasangan tinggal atau bermastautin. Buat satu permohonan untuk memohon pengesahan samada lafaz cerai tersebut sah atau tidak.

Kedua pasangan mesti hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan mengenai lafaz tersebut. Mahkamah akan meneliti bentuk lafaz samada lafaz tersebut berbentuk soreh atau kinayah atau ta’liq. Jika sah, maka mahkamah akan mengesahkan bahawa talaq telah gugur, bilangan talaq yang gugur, tempoh isteri bereddah dan lain-lain hal yang bersangkutan dengan perceraian.

Ada sesetengah negeri yang tidak akan mendaftarkan perceraian itu di hadapan Pendaftar Pernikahan di Jabatan Agama Islam selagi pasangan tersebut tidak didakwa di Mahkamah Syariah. Sesetengah negeri pula tidak ada halangan untuk mendaftarkan perceraian tersebut samada telah didakwa atas kesalahan bercerai tanpa kebenaran mahkamah atau didakwa kemudian. Yang penting, pendaftaran perceraian dibuat dan pendakwaan akan dibuat kemudian.

Apa yang penting di sini adalah kesedaran umat Islam di negara ini  bahawa undang-undang tidak membenarkan pasangan bercerai tanpa kebenaran terlebih dahulu daripada mahkamah syariah. Kebenaran ini perlu bagi memastikan masyarakat Islam tidak sewenang-wenangnya bercerai sesuka hati tanpa kawalan atau pemantauan.

Jika disabitkan bersalah, pasangan yang menceraikan isteri tanpa kebenaran mahkamah boleh dihukum denda tidak lebih dari RM1,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali. Sila lihat seksyen 125 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam untuk lebih jelas.

ENAKMEN 8 TAHUN 2004
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 2004

BAHAGIAN IX – PENALTI


Seksyen 125. Perceraian di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah

“Jika seseorang lelaki menceraikan isterinya dengan melafazkan talaq dengan apa-apa bentuk di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah itu maka dia adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu”.

Justeru, jangan sampai terlalu ikutkan hati sehingga sewenang-wenangnya bercerai tanpa kebenaran mahkamah, pasangan tersebut akhirnya turun naik di mahkamah untuk menghadapi perbicaraan jenayah kerana bercerai tanpa kebenaran.

Dalam menghadapi kemelut rumahtangga, kesabaran amat penting dan tinggi harganya. Janganlah melafazkan cerai terburu-buru. Selain berlaku penyesalan, pasangan juga akhirnya mendapat status “penjenayah” di kemudian hari. Sebabnya hanya satu iaitu bercerai tanpa kebenaran mahkamah syariah.

Semoga tulisan ini ada manfaatnya buat semua. Sekian.