Fenomena Mengaibkan orang

Fenomena Mengaibkan orang

 

30 Mac 2011

Keberanian media cetak dan eletronik negara ini untuk memaparkan keaiban individu tertentu menarik perhatian ramai. Media tidak lagi segan silu melapor dan mengulas perihal perkara yang sangat peribadi dan sensatif bagi seseorang. Contoh jelas yang berlaku ketika ini adalah pendedahan terbuka mengenai perilaku seks melibatkan pemimpin tertinggi dan berpengaruh sebuah parti politik negara ini. Pita rakaman berkenaan dipertontonkan di hadapan beberapa orang sebelum berita sensasi ini tersebar secara meluas dan terbuka.

Setakat yang ERAKITA tahu melalui laporan akhbar, majoriti orang yang terlibat dalam pendedahan tersebut adalah orang melayu yang beragama Islam. Bahkan pendedahan secara terbuka itu dilakukan oleh individu-individu berpengaruh dalam negara ini. Melihat hal ini, ERAKITA sering terfikir mengapa mereka begitu berani membuat pendedahan ini secara terbuka? ERAKITA terfikir apakah sebenarnya matlamat pendedahan tersebut? ERAKITA terfikir, sebagai orang Islam apakah mereka tidak takut dosa dan seksa hebat di akhirat kerana mendedahkan keaiban seseorang secara terbuka di khalayak ramai?

ERAKITA terfikir, dari sudut manakah sebenarnya yang membuatkan mereka yakin seratus peratus bahawa hal tersebut benar-benar dilakukan oleh individu berkenaan? ERAKITA terfikir, jika hal tersebut ada kaitan dengan salah laku seks iaitu ZINA, mengapa mereka tidak melaporkan saja kepada Penguatkuasa Agama Negeri untuk siasatan dan tindakan lanjut menurut undang-undang negara? Undang-undang Jenayah Syariah dan Prosedur Jenayah Syariah sudah lama dikanunkan. Ia sentiasa tersedia untuk digunapakai oleh badan bertanggungjawab sebaik laporan atau aduan dikemukakan kepada mereka. Namun, hal ini masih belum berlaku sehingga kini.

Jika ada aduan atau laporan dikemukakan kepada Pegawai Penguatkuasa Agama Negeri,  ERAKITA percaya bahawa kes tersebut boleh disiasat. Pegawai Penguatkuasa Agama sebagaimana polis, juga mempunyai kuasa tertentu di sisi undang-undang untuk memanggil pihak terlibat termasuk mana-mana individu berkaitan untuk membantu siasatan. Pegawai Penguatkuasa Agama juga bahkan boleh memohon suatu waran tangkap dari Mahkamah Syariah untuk memaksa kehadiran individu berkenaan di hadapan mereka jika keadaan memerlukan.

Ketua Pendakwa Syarie Negeri pula mempunyai kuasa untuk memutuskan samada kes berkenaan dibawa ke Mahkamah Syariah untuk pendakwaan atau tidak. Tindakan ini dilakukan setelah siasatan di peringkat Penguatkuasa Agama Negeri telah selesai sepenuhnya. Prosedur yang sama sepertimana di Mahkamah Sivil adalah terpakai di Mahkamah Syariah.

Bagi ERAKITA, mengulas secara berleluasa di media cetak dan eletronik semata-mata tanpa tindakan undang-undang tidak akan membawa manfaat untuk masyarakat dan negara. Tindakan mengaibkan seseorang secara terbuka dan berani tidak ada bezanya seperti menelanjangkan seseorang sewenang-wenangnya di hadapan orang ramai. Bayangkan betapa malunya orang yang ditelanjangkan di hadapan orang ramai!

Cuba anda bayangkan, bagaimana perasaan orang yang ditelanjangkan itu? Bayangkan sekiranya anda sendiri yang dibuka pakaian dan ditelanjangkan di hadapan orang ramai tanpa mampu melarikan diri atau melawan! Bayangkan bagaimana perasaan isteri dan anak-anak kesayangan anda ketika mereka menyaksikan orang mereka sayangi diperlakukan sedemikian rupa? Di mana mereka hendak meletakkan air muka mereka? Cuba anda tempatkan diri anda di tempat mereka! Apa perasaan dan bagaimana anda menghadapinya?

Kadang-kadang ERAKITA terfikir betapa banyaknya kes pembuangan bayi berlaku di sana sini. Ia semakin menjadi-jadi. Lebih membimbangkan, kebanyakan kes melibatkan orang-orang Islam. Tanpa kita sedari, boleh jadi gejala ini terjadi akibat perlakuan ibubapa mereka sendiri. Maksud ERAKITA, boleh jadi ia merupakan balasan dan ujian Allah terhadap perbuatan dosa mereka terhadap orang lain. Dosa kerena menzalimi orang lain. Dosa kerena menfitnah orang lain. Dosa kerana mengaibkan orang lain. Dosa kerena menghina orang lain. Boleh jadi orang yang dizalimi telah mendoakan agar Allah timpakan balasan setimpal dengan dosa yang mereka lakukan terhadapnya. Ini tidak mustahil kerana doa orang yang dizalimi adalah antara doa yang tidak akan ditolak Allah menurut hadith Nabi s.a.w.

Sementara kita sibuk mengulas dan mengaibkan orang lain tanpa batas, kita tidak sedar bahawa kita sebenarnya sedang mengundang malapetaka terhadap diri kita dan keluarga kita. Paling ditakuti, kita mati sebelum tanpa mendapat kemaafan dan keampunan dari orang yang dizalimi. Akhirnya, kita muflis di akhirat kerana amalan-amalan kebaikan yang dikumpul semasa hidup di dunia berpindah kepada orang yang dizalimi. Bagi ERAKITA, hal seperti ini harus difikirkan. Lebih selamat berdiam diri dan melakukan perkara lebih berfaedah dari membuang masa membicarakan kelemahan, keaiban dan kekurangan orang lain yang belum tentu kesahihannya. Lebih bermanfaat jika kita melihat diri sendiri samada diri kita bebas dari kecacatan, bebas dari kelemahan, bebas dari kekurangan, bebas dari kesalahan, bebas dari dosa!

Semoga sedikit catatan ERAKITA ini memberi manfaat untuk kita semua. Wallahu a’lam.

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 30 Mac 2011, in AGAMA, RENUNGAN, UNDANG-UNDANG. Bookmark the permalink. 4 Komen.

  1. Hati yg hitam kotor dek kerana dosa yg bertimbun bertahun-tahun membuatkan manusia melakukan apa sahaja yg hendak dia hajati. untuk menjatuhkan orang lain sangat mudah bagi hati yg sebegini malah lebih dari itu boleh mereka lakukan semata-mata untuk mencapai apa yg dihajati..Biasalah bagi hati-hati yg kotor semua perkerjaannya akan menjadi kotor dan berjerebu, tidak kira siapa mereka,tetapi yg malangnya media arus perdanalah yg menjuarai kekotoran ini…

    • Fenomena yang berlaku di hadapan kita amat menyedihkan. Kesan keburukannya bukan sahaja terkena pada individu berkenaan, tapi seluruh masyarakat yang mempunyai maruah dan harga diri. Jika fenomena ini dibiarkan, masyarakat kita yang selama ini kaya dengan budi bahasa dan sopan santun akan porak peranda. Jika sifat malu sudah hilang, segala perkara yang aib lagi buruk akan bertukar menjadi kebiasaan dan keseronokan. Semoga kita terhindar dari ini semua. Terimakasih Abu Darda

    • mohd hazrul saddki

      assalamualaikum…saya sangat bersetuju dengan kata-kata Abu Darda itu…saya sangat sedih dengan fenomena keji ini…kalau ini berterusan, nescaya musibah yang tak terhingga dahsyatnya akan menimpa kita… Berdoalah agar kita semua dilindungi Allah SWT dari benda-benda tak baik macam ni dan selalulah berwaspada terhadap orang-orang yang suka mengaibkan orang serta media arus perdana yang bersekongkol dengan orang-orang macam ni…

      • Walaykum salam wbt,

        Pandangan Saudara Mohd Hazrul amat bermakna. Sama-sama kita berdoa semoga dilindungi dari perkara-perkara yang sesungguhnya aib lagi keji ini.

Tinggalkan komen