KETUA HAKIM SYARIE BARU JKSM

853237028_360505.jpg

(Gambar dipetik dari laman sesawang facebook JKSM)

PUTRAJAYA – Jabatan Kehakimah Syariah Malaysia (JKSM) mendapat Pengarah baru sekaligus merangkap sebagai Ketua Hakim Syarie apabila Yang Amat Arif Dato’ Dr. Hj Mohd Na’im bin Hj Mokhtar dilantik bagi menduduki jawatan tersebut berkuatkuasa 1 April 2019. Majlis ringkas pemakluman perlantikan tersebut telah disempurnakan di Putrajaya oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa pada 26 Mac 2019 bersamaan 19 Jamadilakhir 1440H. Perlantikan bagi jawatan tersebut berlaku apabila mantan Ketua Pengarah yang juga merangkap Ketua Ketua Hakim Syarie JKSM Datuk Haji Mukhyuddin bin Ibrahim tamat perkhidmatan pada pertengahan bulan Mac 2019.

Berikut adalah biodata mengenai Yang Amat Arif Dato’ Dr. Hj Mohd Na’im bin Hj Mohktar yang dipetik dari laman sesawang facebook Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) pada 26 Mac 2019.

(https://www.facebook.com/234147646954184/posts/794338014268475/)

 

BIOGRAFI YAA. PROF. ADJUNG DATO’ DR. HJ. MOHD NA’IM BIN MOKHTAR, KETUA PENGARAH/KETUA HAKIM SYARIE JKSM

Yang Amat Arif Prof. Adjung Dato’ Dr. Hj Mohd Na’im bin Mokhtar dilahirkan pada 25 November 1967, berumur 52 tahun dan merupakan anak jati Kg Baru Kuala Lumpur, telah berkahwin dengan Datin Hajah Nik Roslini Binti Hj. Raja Ismail dan dikurniakan tiga orang cahayamata. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Sarjana Undang-Undang (LLM) dari University of London, United Kingdom, Diploma dalam Undang-Undang Syariah dan Amalan (DSLP) dari UIAM, Diploma dalam Pentadbiran dan Kehakiman Islam (DAIJ) dari UIAM dan Doktor Falsafah (Ph.D) Syariah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pada tahun 2015, YAA Prof Adjung Dato’ Dr. telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Dato Paduka Mahkota Selangor (DPMS) oleh DYMM Sultan Selangor yang membawa gelaran Dato dan beliau turut dianugerahkan Darjah Bentara Setia Mahkota (BSK) oleh DYMM Sultan Muhammad V pada tahun 2010 , Ahli Mangku Negara (AMN) oleh YDPA ke-13.

YAA Prof Adjung Dato’ Dr. dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Malaysia pada 1 Julai 2017, beliau pernah menyandang jawatan Ketua Hakim Syarie di Jabatan Kehakiman Syariah Selangor, menyandang jawatan sebagai Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Pendakwa Syarie Kanan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

YAA Prof Adjung Dato’ Dr. telah dilantik sebagai Malaysian Cheavening Visiting Fellow Oxford University, United Kingdom bagi tahun 2008/2009 dan Visiting Fellow di Harvard Law School, Harvard University, Amerika Syarikat bagi tahun 2012/2013. YAA Prof Adjung Dato’ Dr. telah menerima lantikan sebagai Prof. Adjung darpada Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkuatkuasa bagi sesi 2016 hingga sesi 2018 , Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkuatkuasa bagi sesi 2018 hingga sesi 2019 dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkuatkuasa bagi sesi 2018 sehingga sekarang.

YAA Prof Adjung Dato’ Dr. kini menerima lantikan di dalam pelbagai ahli jawatankuasa antaranya ialah Ahli Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak Sivil 2019 sehingga sekarang, Pakar Penasihat Mualamat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia 2016 – 2018, Ahli Panel Majlis Perunding Islam Malaysia 2016-2018, Ahli Jawatankuasa Kajian Penambahbaikan Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah Tahun 2016 – 2017, Ahli Jawatankuasa Induk Arahan Amalan Mahkamah Syariah, Pengerusi Jawatankuasa Hakam 2015-2017, Pengerusi Jawatankuasa Peguam Syarie 2015 – 2017, Pengerusi Jawatankuasa Kaedah Mahkamah Syariah 2015 – 2017, Ahli Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam Negeri Selangor, dan Ahli Jawatankuasa Falak Negeri Selangor 2015 – 2017.

Selain daripada itu YAA Prof Adjung Dato’ Dr. juga telah dilantik sebagai fasilitator kursus khas latihan Hakim-Hakim bagi negara Brunei, Maldives, Bangladesh, Bangsa Moro Filipina dan lain-lain negara, panel dan Ahli Jawatan kuasa Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Ahli Focus Group on Enforcing Nafkah Perbadanan Produktivi Malaysia (MPC), Panel Penasihat Industri Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS).

YAA Prof Adjung Dato’ Dr. juga merupakan Pensyarah Jemputan di UKM, UIAM, IIUM, UITM, UIM, USIM dan Universiti Multimedia dari tahun 1998 sehingga sekarang. Selain itu, YAA Prof Adjung Dato Dr. juga telah menganggotai beberapa Lembaga Penasihat Syariah Bank-Bank Islam serta Syarikat Takaful seperti CIMB Islamic Bank, Salihin Trustee Bhd, Sun Life Insurance dan American and British Investment Bank (Mauritius).

YAA Prof Adjung Dato’ Dr. juga seringkali menerima jemputan sebagai pembentang kertas kerja dalam bidang pengkhususannya iaitu undang-undang dan syariah di persidangan tempatan dan antarabangsa di luar negara. YAA Dato Dr. juga sering menjadi tetamu jemputan Radio IKIM bagi program bertajuk Dari Hati Kita Berkongsi Mencari Solusi.

Demikianlah sedikit sebanyak biodata Yang Amat Arif Dato’ Dr. Hj Mohd Na’im bin Hj Mokhtar yang dapat menggambarkan bahawa beliau sememangnya orang yang berkelayakan memegang dan memikul amanah tersebut. Semoga perlantikan tersebut membawa JKSM dan dunia perundangan Islam di Malaysia ke satu tahap gemilang, cemerlang dan terbilang bukan saja di Malaysia tetapi juga di persada antarabangsa.

855002814_193978.jpg

(gambar dipetik dari laman sesawang facebook JKSM)

 

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 5 Mei 2019, in Uncategorized. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan komen