HUKUMAN SEBAT PESALAH JENAYAH DI SABAH?

HUKUMAN SEBAT PESALAH JENAYAH SYARIAH DI SABAH

09 Oktober 2011

Satu-satunya negeri di Malaysia ketika ini yang mempunyai Kaedah Sebatan adalah Negeri Kelantan. Kaedah tersebut disebut KAEDAH-KAEDAH HUKUMAN SEBAT 1987 (Kn. P.U. 08/89). Negeri-negeri lain termasuklah Sabah belum mempunyai Kaedah tersebut. Walau bagaimanapun, tatacara perlaksanaan hukuman sebat bagi pesalah jenayah syariah yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah ada diperuntukkan dalam Enakmen Tatacara Jenayah di negeri-negeri berkenaan.

Dalam konteks Negeri Sabah, sukacita ERAKITA perturunkan undang-undang berkaitan tatacara atau kaedah pelaksanaan hukuman sebat bagi pesalah jenayah.  Undang-undang berkenaan dinyatakan secara terang dan panjang lebar dalam 2 seksyen dalam Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Sabah (2004).

ENAKMEN 9 TAHUN 2004
ENAKMEN TATACARA JENAYAH SYARIAH 2004

BAHAGIAN V – PROSIDING DALAM PENDAKWAAN
BAB 8 – DARIHAL HUKUMAN DAN PELAKSANAANNYA


Seksyen 125. Hukuman sebat.

(1) Peruntukan seksyen ini dan seksyen 126 hendaklah terpakai apabila tertuduh dihukum sebat.

(2) Alat sebatan, tidak termasuk pemegangnya, hendaklah daripada jenis yang sama dan dibuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.

(3) Peruntukan yang berikut hendaklah diikuti apabila melaksanakan hukuman sebat, iaitu –

(a) sebelum hukuman itu dilaksanakan, pesalah hendaklah diperiksa oleh seorang Pegawai Perubatan Kerajaan untuk diperakui bahawa pesalah itu adalah dalam keadaan kesihatan yang baik untuk menjalani hukuman itu;

(b) jika pesalah itu sedang hamil, pelaksanaan itu hendaklah ditangguhkan sehingga tamat tempoh dua bulan selepas dia melahirkan anak atau keguguran, mengikut mana-mana yang berkenaan;

(c) hukuman hendaklah dilaksanakan di hadapan seorang Pegawai Perubatan Kerajaan di mana-mana tempat sebagaimana yang diarahkan oleh Mahkamah atau di suatu tempat yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri bagi maksud itu;

(d) orang yang dilantik untuk melaksanakan hukuman itu hendaklah seorang yang adil dan matang;

(e) orang itu hendaklah menggunakan alat sebatan dengan kekuatan yang sederhana tanpa mengangkat tangannya melebihi kepalanya supaya tidak melukakan kulit pesalah;

(f) selepas mengenakan satu sebatan, dia hendaklah mengangkat alat sebatan itu ke atas dan tidak menariknya;

(g) sebatan boleh dikenakan ke seluruh bahagian tubuh kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian-bahagian sulit;

(h) pesalah hendaklah memakai pakaian mengikut Hukum Syarak;

(i) jika pesalah itu lelaki, sebatan hendaklah dikenakan dalam keadaan dia berdiri, dan jika pesalah itu perempuan, dalam keadaan dia duduk;

(j) jika semasa pelaksanaan hukum sebat itu Pegawai Perubatan Kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebatan, sebatan itu hendaklah ditangguhkan sehingga Pegawai Perubatan itu memperakui bahawa pesalah itu sihat tubuhnya untuk menjalani baki hukuman itu.(4) Dalam hal pesalah itu dihukum sebat sahaja, maka dia hendaklah diperlakukan seolah-olah dia dihukum dengan hukuman pemenjaraan sehingga hukuman itu dilaksanakan.

(5) Jika Pegawai Perubatan Kerajaan memperakui bahawa pesalah itu, oleh sebab umur tua, keuzuran atau apa-apa sebab lain tidak dapat menjalani hukuman sebat pada keseluruhannya atau sebahagiannya, maka kes itu hendaklah dirujukkan kepada Mahkamah yang boleh memerintahkan hukuman itu dilaksanakan mengikut cara yang difikirkannya munasabah.

Huraian – Umur tua ertinya telah mencapai umur lima puluh tahun atau lebih.

Masa pelaksanaan hukuman sebat pula diperuntukkan dalam Seksyen 126 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Sabah (2004). Berikut adalah versi penuh seksyen berkenaan.

Seksyen 126. Masa melaksanakan hukuman sebat.

(1) Apabila tertuduh dihukum sebat sebagai tambahan kepada hukuman pemenjaraan, hukuman sebat itu tidaklah boleh dikenakan jika suatu rayuan dibuat dan sehingga hukuman itu disahkan oleh Mahkamah rayuan yang berkenaan.

(2) Sebatan itu hendaklah dikenakan dengan seberapa segera yang praktik dan dalam hal suatu rayuan, dengan seberapa segera yang praktik selepas penerimaan perintah Mahkamah Rayuan yang berkenaan yang mengesahkan hukuman itu.

Ketika Mahkamah Tinggi Syariah Pahang menjatuhkan hukuman sebatan 6 kali ke atas pesalah wanita bernama Kartika Sari atas kesalahan meminum arak, seluruh mata tertumpu kepada kes berkenaan. Pelbagai reaksi positif mahupun negatif dilontarkan pelbagai pihak. Namun, suara-suara keras menentang pelaksanaan hukuman tersebut lebih terserlah dan dilontarkan secara terbuka. Debaran seluruh rakyat Malaysia untuk melihat pelaksanaan hukuman tersebut berkecai apabila hukuman tersebut diubah kepada hukuman yang lebih ringan berbentuk khidmat masyarakat. Apapun keputusan pihak berkuasa, ianya harus dihormati kerana keputusan tersebut diambil dengan mengambil kira pelbagai aspek. Lebih-lebih lagi keputusan mengubah perintah hukuman itu dibuat oleh pihak yang paling berotoriti dalam negeri berkenaan.

Mengenai bantahan keras Sisters In Islam (SIS), sebuah badan NGO terhadap hukuman sebat berkenaan, ERAKITA telah mengulas dengan agak kritikal hal tersebut dalam entri blog ini pada 18 Oktober 2009. Tajuknya SISTERS IN ISLAM (SIS) BERSUARA: Ini jawapan kita. ERAKITA menjemput sahabat-sahabat semua untuk membaca balik artikel berkenaan untuk makluman lanjut.

Satu persoalan timbul. Apakah jika ada hukuman sebat dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Sabah ke atas pesalah jenayah syariah, bantahan yang serupa akan dibangkitkan? Apakah kesudahan hukuman sebagaimana yang berlaku di Negeri Pahang akan berlaku di negeri ini? ERAKITA membiarkan seketika persoalan ini untuk berlegar dalam minda kita. Mungkin ada hikmahnya persoalan ini dibiarkan supaya proses pelaksanaan dan penguatkuasaan suatu perintah atau hukuman mahkamah syariah berjalan menurut apa yang semestinya tanpa gangguan atau halangan dari mana-mana pihak yang berkenaan.

Persoalan tersebut dijangka akan terjawab dalam jangkamasa terdekat INSHAA ALLAH!

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 9 Oktober 2011, in UNDANG-UNDANG. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan komen