Monthly Archives: April 2018

3 DISEBAT DI KHALAYAK RAMAI DI TAWAU

TAWAU – Seramai 3 orang pesalah jenayah syariah atas kesalahan melakukan persetubuhan haram telah dihukum dengan 6 kali sebatan di hadapan orang ramai di Tawau Sabah pada 13 April 2018 (Jumaat). Hukuman yang membabitkan 2 orang pesalah lelaki dan seorang pesalah wanita dilaksanakan oleh pegawai sebatan dari Penjara Daerah Tawau. Pesalah lelaki disebat oleh pegawai sebatan lelaki dan pesalah wanita pula disebat oleh pegawai sebatan wanita dari Penjara Tawau. Perlaksanaan sebatan yang bermula pada jam 9.20 pagi itu dijalankan sebaik pegawai perubatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Tawau mengesahkan bahawa kesemua pesalah layak untuk disebat. Seorang Doktor Perubatan lelaki menjalankan pemeriksaan kesihatan bagi pesalah lelaki. Manakala, pesalah wanita pula diperiksa oleh Doktor Perubatan wanita.

Perlaksanaan hukuman sebatan berkenaan bukanlah yang pertama dibuat di Tawau. Ia merupakan kali keempat perlaksanaan berkenaan dijalankan. Kali pertama adalah pada tahun 2014. Manakala kali kedua adalah pada tahun 2015. Kali ketiga pula dibuat pada tahun 2016. Justeru, perlaksanaan hukuman sebatan di hadapan umum pada hari ini adalah kali yang keempat. Kesemua pesalah dihukum sebat setelah tidak ada rayuan dibuat dalam tempoh yang ditetapkan oleh undang-undang.

Perlaksanaan hukuman tersebut dilaksanakan dalam Dewan Terbuka Mahkamah Tinggi Syariah Tawau. Seramai lebih kurang 50 orang hadir menyaksikannya. Mereka terdiri dari pemimpin masyarakat, pegawai-pegawai kanan persekutuan dan negeri, pegawai polis, penjara, hospital, peguam, pegawai-pegawai agama, pegawai masjid dan orang perseorangan. Turut hadir menyaksikan adalah Pengetua Sekolah Menengah Islamiah Tawau bersama beberapa guru dan pelajar sekolah berkenaan. Antara orang kenamaan pula yang hadir menyaksikan adalah Datuk Haji Nizam bin DSP Abu Bakar Titingan, Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah dan Kepala Perwakilan Konsulat Republik Indonesia (Tawau) Bapak Sulistijo Djati Ismojo.

Para jemputan yang menyaksikan perlaksanaan hukuman berkenaan berpuas hati dengan perlaksanaan dan perjalanan hukuman berkenaan. Bagi masyarakat Islam di Tawau, hukuman sebatan di hadapan umum bagi pesalah jenayah syariah adalah dialu-alukan bagi memberi kesedaran dan keinsafan bukan saja kepada pesalah tetapi juga kepada masyarakat setempat. Menyaksikan perlaksanaan hukuman di khalayak ramai mempunyai kesan tersendiri yang cukup mendalam dan positif kepada hati dan persepsi masyarakat terhadap undang-undang Islam. Lebih mengujakan apabila 2 daripada pesalah berkenaan telah meminta kepada Mahkamah agar dihukum dengan hukuman sebat di hadapan orang ramai sebagai tanda penyesalan, keinsafan dan taubat terhadap kesalahan yang telah dilakukan.

Kerjasama padu pihak Penjara, Pejabat Kesihatan dan PDRM Daerah Tawau, Persatuan Peguam Muslim Sabah (AMAL) dan Persatuan Peguam Wanita Muslim Sabah (SALWA) dengan pihak Mahkamah telah memudahkan perjalanan perlaksanaan hukuman berkenaan. Standard Operating Procedure (SOP) berhubung perlaksanaan hukuman sebatan syariah dalam Dewan Terbuka Mahkamah yang terpakai bagi Mahkamah Syariah Daerah Tawau telah dilancarkan oleh Almarhum Datuk Haji Tawfiq bin DSP Haji Abu Bakar Titingan pada tahun 2016 yang lepas di Hotel Promenade, Tawau.