Monthly Archives: Mei 2014

MENGAPA ISTERI PERLU EDDAH?

MENGAPA ISTERI PERLU EDDAH?

10 MEI 2014

Satu perkara yang lazimnya ditetapkan oleh Mahkamah apabila membuat perintah pembubaran perkahwinan adalah penentuan tempoh eddah. Eddah itu adalah merujuk kepada nama bagi masa atau waktu penantian wanita untuk mengetahui keadaan rahimnya samada ia mengandung atau tidak. Ini adalah khusus bagi wanita yang dibubarkan perkahwinannya samada melalui perceraian dengan talaq atau fasakh nikah. Di samping lambang kepatuhan terhadap perintah Allah, eddah juga merupakan tanda dukacita isteri atas kematian suaminya. Hukumnya adalah wajib bagi isteri yang telah bercerai samada disebabkan talaq atau fasakh atau kematian suaminya. Persoalannya adalah, mengapa wanita tersebut perlu bereddah? Antara sebab atau hikmah wanita bereddah adalah:

Pertama: Bagi menghindarkan berlakunya percampuran keturunan antara satu sama lain. Bagi menjaga keturunan, betapa perlunya mengetahui samada isteri yang telah diceraikan itu mengandung benih suaminya yang terdahulu atau tidak sebelum ia dibenarkan untuk berkahwin dengan lelaki lain. Kejadian yang tidak disangka-sangka boleh saja berlaku selepas perceraian. Ada ketikanya, ketika perceraian isteri sendiri tidak tahu samada dirinya mengandung atau tidak. Justeru, tidak hairan mengapa isteri menjadi terkejut dan begitu bersedih apabila selepas perceraian dengan suami, suami pula meninggal dunia hanya beberapa hari selepas perceraian. Keadaan bertambah sedih apabila ternyata isteri pula baharu saja mendapati dirinya mengandung anak hasil kelamin antara isteri dan suaminya itu. Sebab itu, betapa perlunya isteri bereddah bagi menentukan bahawa rahim isteri benar-benar bersih dari benih suaminya yang terdahulu sebelum bernikah dengan lelaki yang baru. Hal ini sudah tentunya dapat menghindarkan berlakunya kecelaruan, kerunsingan dan kekalutan dalam masyarakat.

Kedua: Eddah dapat memberi peluang kepada suami untuk merujuk kembali isterinya dalam tempoh eddah. Suami boleh merujuk kembali isteri yang diceraikan dengan talaq rajie selagi isteri masih dalam tempoh eddah. Dalam tempoh eddah itulah si suami dan si isteri boleh muhasabah diri, merenung kembali apa yang telah berlaku, melihat masa hadapannya tanpa pasangan hidup, mengumpulkan semula kekuatan diri dan memperbetulkan segala kesilapan dan kekurangan diri selama hidup berumahtangga. Pada saat inilah barangkali akan timbul perasaan menyesal dan menyedari betapa perlunya kembali semula sebagai suami isteri. Justeru, tempoh eddah inilah pasangan berkenaan mempunyai ruang dan peluang untuk rujuk dan kembali bersatu sebagai suami isteri. Cuma sekali lagi, rujuk hanya tersedia untuk pasangan ini jika isteri diceraikan dengan talaq rajie samada talaq 1 atau talaq 2 sahaja.

Ketiga: Bagi eddah kerana kematian suami, tempoh tersebut adalah sebagai lambang dan tanda betapa isteri cukup terasa dan berdukacita atas pemergian suami tersayang selama-lamanya. Keluarga suami khususnya kedua orang tua suami tidaklah akan merasa sedih dan mempunyai sangkaan buruk terhadap isteri dengan tiadanya perkahwinan si isteri secara tergesa-gesa dengan lelaki lain. Ini juga adalah sebagai lambang cinta dan kasih isteri kepada suaminya. Tempoh eddah bagi isteri yang kematian suami adalah selama 4 bulan 10 hari. Tempoh ini adalah menasabah sekali untuk seseorang isteri menjaga diri dari perkara-perkara yang boleh mendatangkan fitnah termasuk berkahwin dengan lelaki lain disebabkan kematian suaminya.

Jika dilihat kepada syariat Islam ini, ternyata bahawa Islam begitu berhati-hati dalam soal mengurus institusi kekeluargaan. Begitu halus perkiraan dan pertimbangan yang Islam tekankan kepada umatnya. Semuanya ada hikmah tersendiri yang cukup bernilai. Hikmah yang terbit dari pensyariatan eddah itu sesungguhnya sesuai dengan fitrah dan naluri manusia tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan. Sesungguhnya Allah terlalu hebat dan agung untuk menetapkan syariat ini kepada hamba-hambaNya.

5 TAHUN BERSABAR UNTUK BERPOLIGAMI

5 TAHUN BERSABAR UNTUK BERPOLIGAMI

9 Mei 2014

Soalan

Assalamualaikum.

Saya ingin mengetahui adakah mungkin bagi seseorang suami mendapatkan kebenaran berpoligami dari mahkamah tanpa perlunya kehadiran isteri pertama? Dalam erti kata lain tanpa pengetahuan isteri pertama. Kes yang berlaku pada saya adalah saya berhajat melangsungkan perkahwinan dalam tempoh sebulan dengan bakal isteri kedua saya. Mungkin pihak luar akan berfikiran bahawa saya berniat untuk menipu isteri pertama saya. Ini tidak benar.

Setelah melayari rumah tangga selama 18 tahun, saya bersabar dengan segala dugaan yang telah diberikanNya. Terlalu melayani isteri sehingga isteri berani ambil kesempatan pada kelemahan saya. Hanya dengan alasan tidak ingin bergaduh, saya menuruti segala permintaaan isteri sehingga terjadinya queen control. Bertahun-tahun makan hati, dituduh suami dayus tapi demi menjaga hubungan dan anak-anak, saya mengalah agar kemarahan isteri tidak dilepaskan pada anak-anak. Pernah saya cuba bertegas tapi keadaan menjadi makin keruh sehingga pernah diminta saya melepaskannya.  Isteri saya terlalu emotional. Bukannya tidak pernah diajak berbincang tetapi semua yang keluar darinya adalah pemikiran negatif. Bagaimana boleh kami mencapai kata sepakat?

Saya mengenali bakal isteri lebih kurang 5 tahun sebelum saya membuat keputusan untuk mengambilnya sebagai isteri yang sah. Status saya tidak dimaklumkan oleh beliau kepada keluarga bagi mengelakkan hal menjadi rumit. Namun dalam tempoh sebulan kami agak buntu mencari cara penyelesaian. Memikirkan tindakan yang tidak wajar yang bakal dilakukan oleh isteri saya, maka saya ingin memohon kebenaran dari mahkamah agar membenarkan saya untuk berkahwin dengan bakal isteri saya secara sah dan mengikut perundangan. Setelah memikirkan apa yang bakal terjadi kepada anak-anak (anak kandung berumaur 17 tahun dan 2 anak angkat berumur 7 dan 8 tahun) sekiranya saya bersalah melanggar undang-undang berpoligami tanpa kebenaran mahkamah, setelah berbincang kami bersetuju untuk bernikah dahulu tanpa majlis kerana masih banyak perkara yang kami perlu selesaikan.

Kami akan berterus terang selepas akad nikah nanti dan bersedia dengan segalanya kerana tahu beliau akan meninggalkan anak-anak kepada kami. Itulah ayat yang selalu dikeluarkannya bila dia marahkan saya. Saya dan bakal isteri menunggu hingga tempoh 5 tahun bagi memastikan anak saya satu-satunya menduduki  peperiksaan SPM tanpa sebarang masalah melibatkan ibubapa. Kami masih memikirkan orang sekeliling dan bukannya mementingkan diri. Setelah 5 tahun, sewajarnya kami bernikah secara sah bagi mengelakkan maksiat dan menjatuhkan maruah keluarga bakal isteri. Saya selalu berkata pada diri sendiri, salah saya agaknya kerana terlalu manjakan isteri sehingga tidak pernah menunaikan solat walaupun setelah disuruh malah selalu melawan cakap suami dan meninggikan suara kepada suami adalah perkara biasa. Adakah salah saya sekiranya berlaku penceraian setelah 18 tahun saya bertahan?

Jawapan

Wa’alaykumussalam wbt.

Dalam kes saudara, jalan terbaik adalah membuat permohonan untuk kebenaran berkahwin berpoligami di Mahkamah Syariah. Bagaimanapun, undang-undang yang sedang berkuatkuasa pada ketika ini menghendaki agar isteri, bakal isteri dan wali kepada bakal isteri turut dipanggil ke Mahkamah semasa permohonan bagi kebenaran berpoligami didengar di Mahkamah. Seksyen 23(5) dan (6) Enakmen Undang-Undang keluarga Islam 2004 jelas menyatakan mengenai keperluan kehadiran isteri termasuk pihak-pihak yang disebutkan di atas. Soal isteri nak hadir atau tidak di Mahkamah setelah notis panggilan kehadiran ke mahkamah telah diserahkan kepadanya tidak lagi menjadi halangan bagi kes tersebut diteruskan. Bahkan Mahkamah boleh membuat keputusan samada membenarkan si suami berpoligami atau sebaliknya walaupun tanpa kehadiran isteri. Yang penting penyerahan notis permohonan yang menghendaki kehadiran isteri ke mahkamah telah benar-benar diserahkan kepadanya dalam tempoh yang dibenarkan oleh undang-undang. Menurut undang-undang sebagaimana dinyatakan dalam seksyen 45(2) Enakmen Tatacara Mal Syariah 2004, penyerahan notis kehadiran hendaklah tidak kurang dari 2 hari sebelum tarikh pendengaran kes berkenaan.

Beranikan diri saudara jika benar saudara serius dalam hubungan dengan bakal isteri. 5 tahun adalah tempoh yang lama dalam suatu hubungan cinta antara lelaki dan wanita. Dalam sebuah rumahtangga, suami adalah ketua keluarga. Saudara tidak perlu takut kepada isteri untuk menyatakan hasrat berpoligami jika saudara telah nekad untuk bernikah lagi. Jika isteri marah atau menentang, hal tersebut sebenarnya satu sunnatullah. Ia sememangnya sifat semulajadi yang ada pada seorang wanita. Dalam masa yang sama, saudara perlu ingat bahawa di sisi Allah, isteri wajib taat kepada suami selagi suami menyuruh perkara yang tidak bertentangan dengan syariat Allah. Isteri sepatutnya takut jika ia berlaku engkar perintah suami kerana dosanya besar di sisi Allah. Jangan sampai isteri yang control suami. Suami yang sepatutnya jaga dan kawal isteri dengan cara yang maaruf. Jika disuruh solatpun isteri engkar, itu satu perbuatan yang terang-terangan engkar perintah suami. Ia boleh jatuh kepada nusyuz. Bagaimanapun, untuk bercerai, ada baiknya saudara fikirkan dahulu hal ini semasak-masaknya. Elakkan dari mengambil jalan singkat. Usaha dan ikthiar pada tahap maksima perlu diambil untuk mempertahankan rumahtangga yang ada. Bagaimanapun, andaikata usaha itu tidak mendatangkan hasil, maka saudara bolehlah bertindak untuk menfailkan permohonan perceraian di mahkamah syariah.

Bagi tujuan mempertahankan rumahtangga yang sedia ada, isteri saudara perlu dibawa dekat kepada agama. Usaha perlu dilakukan menurut pelbagai kaedah dan cara. Boleh jadi tindakan saudara membuat permohonan untuk berpoligami akan menyedarkan isteri akan tindakan dan perbuatannya selama ini. Tidak mustahil isteri akan menilai semula apa yang telah ia lakukan ke atas suami selama 18 tahun hidup bersama. Dalam situasi saudara, doa kepada Allah amat penting dan sangat diperlukan. Sentiasalah berdoa kepada Allah agar rumahtangga kalian diberikan kebahagiaan, ketenangan dan kedamaian. Berdoalah kepada Allah agar dimudahkan segala urusan dalam rumahtangga. Berdoalah agar saudara dan isteri saudara diberikan hati yang dekat kepada Allah, agar segala kekalutan dan keserabutan dalam rumahtangga dapat dileraikan. Mohon doa kepada Allah agar segala kesempitan, kepanasan dan amarah dalam rumahtangga dapat dijauhkan.

Perceraian adalah jalan terakhir setelah segala usaha memperbaiki atau memulihkan telah dilaksanakan. Jika perceraian terpaksa ditempuh, pastikan ia dilakukan di mahkamah syariah, bukannya di kereta atau di rumah atau di pejabat atau di jalan raya. Menceraikan isteri tanpa kebenaran mahkamah adalah satu kesalahan. Ia akan menyusahkan saudara dan keluarga. Jika benar nak berkahwin lagi, tak perlu disembunyikan lagi. Kita harus melihat jangka masa panjang, bukan hanya pada hari ini. Berkahwin tanpa kebenaran juga adalah satu kesalahan. Oleh itu, berterus terang adalah jalan terbaik. Ia menepati syarak dan undang-undang. Hadapilah isteri di mahkamah nanti apabila dipanggil untuk memberikan keterangan. Jangan takut jika kita berada di pihak yang benar. Persoalan samada saudara berjaya mendapat kebenaran berpoligami dari mahkamah atau tidak, itu perkara yang kedua. Terserahlah kepada mahkamah hal itu setelah menimbang segala alasan, kemampuan saudara dan faktor-faktor lain yang berkaitan dengan permohonan saudara. Jika ditakdirkan permohonan saudara tidak diluluskan, saudara masih boleh mendapatkan keadilan dengan mengemukakan rayuan ke mahkamah yang lebih tinggi iaitu Mahkamah Rayuan Syariah.

Perlu juga ditegaskan bahawa tidak ada tempoh tertentu yang ditetapkan oleh undang-undang bertulis yang menghendaki mahkamah membuat keputusan dalam permohonan bagi mendapatkan kebenaran berpoligami. Erakita menasihatkan saudara agar tidak terus menetapkan tarikh pernikahan saudara dengan bakal isteri lebih-lebih lagi dalam tempoh sebulan. Perlu diingatkan bahawa mahkamah memang mempunyai piagam pelanggannya sendiri di mana setiap kes mesti ditetapkan untuk sebutan atau pendengaran pertamanya dalam tempoh 21 hari dari tarikh pendaftaran. Soal jangkamasa penyelesaian kes, hal tersebut adalah subjektif kerana terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan kes berkenaan boleh tertangguh. Antaranya, notis kehadiran ke mahkamah belum berjaya diserahkan kepada isteri. Selain itu, bantahan dari pihak isteri juga boleh menyebabkan kes tersebut menggambil sedikit masa untuk penyelesaian kerana mahkamah juga perlu member ruang masa kepada isteri untuk mengemukakan bantahan termasuk hujah bertulis kepada mahkamah. Justeru, saudara perlu bersabar dahulu untuk tidak menetapkan tarikh pernikahan saudara dengan bakal isteri bagi mengelak risiko yang tidak dijangka.

Semoga ada manfaatnya pandangan ini.

Wallahu a’lam dan terimakasih. Wassalam

MAHKAMAH SYARIAH SEMPORNA SABAH MULA OPERASI

MAHKAMAH SYARIAH SEMPORNA SABAH MULA OPERASI

6 MEI 2014

Bermula hari ini, 6 Mei 2014, bersamaan hari selasa, Mahkamah Syariah Semporna Sabah mula beroperasi sepenuhnya. Majlis pelancaran pendaftaran kes telah disempurnakan perasmiannya oleh Yang Amat Arif Datuk Jasri @ Nasip bin Matjakir, Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah kira-kira jam 9.00am. Majlis pelancaran dihadiri oleh Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rendah Syariah Tawau, pegawai-pegawai kanan syariah dan kakitangan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah. Turut hadir adalah pegawai-pegawai kanan Persekutuan dan Negeri di Daerah Semporna.

Seusai majlis pelancaran, Mahkamah ini menerima 2 pelanggan yang berurusan untuk membuat tuntutan permohonan pembahagian harta pusaka. Majlis pelancaran yang bersejarah ini turut diserikan dengan pameran di bahagian galeri awam oleh Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah dan juga kaunter oleh Jabatan Bantuan Guaman (JBG) Malaysia. Menariknya, bangunan Mahkamah Syariah ini terletak bersebelahan dengan bangunan Mahkamah Majistret Daerah Semporna yang juga baharu saja beroperasi.

Sesungguhnya kewujudan bangunan Mahkamah Syariah di daerah ini merupakan satu anugerah yang besar kepada penduduk Islam di sekitar Semporna. Turut mendapat manfaat kemudahan di Mahkamah Semporna ini adalah penduduk Islam sekitar Daerah Kunak yang tidak lagi bersusah payah berurusan di Mahkamah Syariah Tawau. Kedudukan Daerah Kunak yang lebih hampir dengan Daerah Semporna memberikan kemudahan dan keselesaan penduduk Islam di sana untuk terus berurusan di Daerah Semporna berbanding Tawau yang kedudukannya yang begitu jauh.

Pengesahan Perceraian tanpa kebenaran Mahkamah sudah Selesai. Mana penalti terhadap suami?

 

Pengesahan Perceraian tanpa kebenaran Mahkamah sudah Selesai. Mana penalti terhadap suami?

3 Mei 2014

Soalan

Assalamualaikum.

Siapa yang akan mengkuatkuasakan penalti ini? Biasanya pihak isteri akan menfailkan pengesahan perceraian di makhamah. Hakim akan megesahkannya setelah terdapat bukti yang kukuh. Tetapi tidak pula diperintahkan pihak bekas suami untuk membayar denda yang berkaitan? Siapa yang akan mengkuatkuasakan penalti ini? Kes ini berlaku dalam keluarga saya tetapi pihak bekas suami masih belum dikenakan penalti dan perceraian telah berlaku beberapa tahun yang lalu.

Jawapan

Walaikumussalam wbt.

Terimakasih atas pertanyaan Saudari di atas. Kes perceraian adalah satu kes yang berasingan dengan kes jenayah syariah. Setelah didapati bahawa lafaz talaq sah dan perceraian disahkan telah berlaku di luar mahkamah tanpa kebenaran Mahkamah Syariah, maka satu perintah bertulis akan dikeluarkan oleh Mahkamah mengenai perceraian tersebut.

Berhubung penalti kerana menceraikan isteri tanpa kebenaran mahkamah, adalah perlu difahami bahawa penalti hanya dikenakan kepada pesalah jenayah sebagai salah satu bentuk hukuman ke atas pesalah yang telah disabitkan bersalah kerana melanggar undang-undang. Bagi sesiapa yang didapati menceraikan isterinya tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu dari Mahkamah Syariah, seseorang itu boleh didakwa dan jika disabitkan bersalah, boleh dihukum dengan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali. Perkara ini disebutkan dalam seksyen 125 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004. Ini bermakna, bukan penalti dengan membayar denda sahaja bentuk hukuman yang boleh dikenakan kepada pesalah, tetapi juga meliputi hukuman penjara jika itu yang dirasakan menasabah dan wajar oleh mahkamah.

Timbul persoalan di mana mahkamah telah lama membuat keputusan mengenai pengesahan perceraian di luar mahkamah. Bagaimanapun tiada apa-apa tindakan berbentuk penalti atau hukuman penjara yang dikenakan kepada pasangan yang terlibat. Isunya, adakah si suami atau bekas suami akan terlepas begitu saja? Ya. Si suami akan terlepas begitu saja jika tidak ada tindakan susulan yang dilakukan oleh mana-mana pihak untuk merujukkan kes berkenaan kepada pihak berkuasa agama. Justeru, apa yang perlu dilakukan ialah sesiapa saja yang mempunyai maklumat mengenai suatu kesalahan yang telah dilakukan boleh dan sepatutnya melaporkan hal tersebut kepada pihak berkuasa agama. Aduan bukan saja boleh dibuat oleh pasangan berkenaan, tetapi juga oleh pegawai agama di Bahagian Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk di Jabatan Agama Islam.

Aduan bertulis perlu dikemukakan kepada Pegawai Penguatkuasa Agama di Jabatan Agama Islam Negeri di mana kesalahan itu dilakukan. Penguatkuasa Agama pula seterusnya membuat siasatan terhadap aduan berkenaan. Pihak-pihak berkaitan yang mempunyai maklumat mengenai aduan tersebut lazimnya akan dipanggil memberi keterangan bagi melengkapkan kertas siasatan.

Setelah dilengkapkan, kertas siasatan itu akan dikemukakan oleh Penguatkuasa Agama kepada Ketua Pendakwa Syarie Negeri untuk disemak dan diteliti. Jika siasatan lengkap, kes tersebut akan difailkan di Mahkamah untuk tujuan pendakwaan. Saman akan dikeluarkan oleh mahkamah ke atas Tertuduh. Tertuduh dalam konteks ini adalah suami. Bentuk pertuduhan adalah melakukan kesalahan jenayah syariah kerana menceraikan isteri tanpa kebenaran dari mahkamah syariah terlebih dahulu. Jika disabitkan salah, tertuduh samada akan dihukum denda atau penjara atau kedua-duanya sekali sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini.

Lazimnya dalam kes jenayah melibatkan kesalahan menceraikan isteri tanpa kebenaran mahkamah, hukuman yang dijatuhkan adalah dalam bentuk denda bagi kesalahan kali pertama. Pesalah boleh memohon agar diberi tempoh tertentu untuk melunaskan bayaran denda tersebut. Sekiranya gagal membayar dalam tempoh yang ditetapkan, Mahkamah boleh menghukum pesalah itu dengan hukuman penjara tidak melebihi 6 bulan.

Semoga penjelasan ini ada manfaatnya untuk Saudari dan para tetamu ERAKITA sekalian.

Wallahu a’lam.