Arkib Blog

5 TAHUN BERSABAR UNTUK BERPOLIGAMI

5 TAHUN BERSABAR UNTUK BERPOLIGAMI

9 Mei 2014

Soalan

Assalamualaikum.

Saya ingin mengetahui adakah mungkin bagi seseorang suami mendapatkan kebenaran berpoligami dari mahkamah tanpa perlunya kehadiran isteri pertama? Dalam erti kata lain tanpa pengetahuan isteri pertama. Kes yang berlaku pada saya adalah saya berhajat melangsungkan perkahwinan dalam tempoh sebulan dengan bakal isteri kedua saya. Mungkin pihak luar akan berfikiran bahawa saya berniat untuk menipu isteri pertama saya. Ini tidak benar.

Setelah melayari rumah tangga selama 18 tahun, saya bersabar dengan segala dugaan yang telah diberikanNya. Terlalu melayani isteri sehingga isteri berani ambil kesempatan pada kelemahan saya. Hanya dengan alasan tidak ingin bergaduh, saya menuruti segala permintaaan isteri sehingga terjadinya queen control. Bertahun-tahun makan hati, dituduh suami dayus tapi demi menjaga hubungan dan anak-anak, saya mengalah agar kemarahan isteri tidak dilepaskan pada anak-anak. Pernah saya cuba bertegas tapi keadaan menjadi makin keruh sehingga pernah diminta saya melepaskannya.  Isteri saya terlalu emotional. Bukannya tidak pernah diajak berbincang tetapi semua yang keluar darinya adalah pemikiran negatif. Bagaimana boleh kami mencapai kata sepakat?

Saya mengenali bakal isteri lebih kurang 5 tahun sebelum saya membuat keputusan untuk mengambilnya sebagai isteri yang sah. Status saya tidak dimaklumkan oleh beliau kepada keluarga bagi mengelakkan hal menjadi rumit. Namun dalam tempoh sebulan kami agak buntu mencari cara penyelesaian. Memikirkan tindakan yang tidak wajar yang bakal dilakukan oleh isteri saya, maka saya ingin memohon kebenaran dari mahkamah agar membenarkan saya untuk berkahwin dengan bakal isteri saya secara sah dan mengikut perundangan. Setelah memikirkan apa yang bakal terjadi kepada anak-anak (anak kandung berumaur 17 tahun dan 2 anak angkat berumur 7 dan 8 tahun) sekiranya saya bersalah melanggar undang-undang berpoligami tanpa kebenaran mahkamah, setelah berbincang kami bersetuju untuk bernikah dahulu tanpa majlis kerana masih banyak perkara yang kami perlu selesaikan.

Kami akan berterus terang selepas akad nikah nanti dan bersedia dengan segalanya kerana tahu beliau akan meninggalkan anak-anak kepada kami. Itulah ayat yang selalu dikeluarkannya bila dia marahkan saya. Saya dan bakal isteri menunggu hingga tempoh 5 tahun bagi memastikan anak saya satu-satunya menduduki  peperiksaan SPM tanpa sebarang masalah melibatkan ibubapa. Kami masih memikirkan orang sekeliling dan bukannya mementingkan diri. Setelah 5 tahun, sewajarnya kami bernikah secara sah bagi mengelakkan maksiat dan menjatuhkan maruah keluarga bakal isteri. Saya selalu berkata pada diri sendiri, salah saya agaknya kerana terlalu manjakan isteri sehingga tidak pernah menunaikan solat walaupun setelah disuruh malah selalu melawan cakap suami dan meninggikan suara kepada suami adalah perkara biasa. Adakah salah saya sekiranya berlaku penceraian setelah 18 tahun saya bertahan?

Jawapan

Wa’alaykumussalam wbt.

Dalam kes saudara, jalan terbaik adalah membuat permohonan untuk kebenaran berkahwin berpoligami di Mahkamah Syariah. Bagaimanapun, undang-undang yang sedang berkuatkuasa pada ketika ini menghendaki agar isteri, bakal isteri dan wali kepada bakal isteri turut dipanggil ke Mahkamah semasa permohonan bagi kebenaran berpoligami didengar di Mahkamah. Seksyen 23(5) dan (6) Enakmen Undang-Undang keluarga Islam 2004 jelas menyatakan mengenai keperluan kehadiran isteri termasuk pihak-pihak yang disebutkan di atas. Soal isteri nak hadir atau tidak di Mahkamah setelah notis panggilan kehadiran ke mahkamah telah diserahkan kepadanya tidak lagi menjadi halangan bagi kes tersebut diteruskan. Bahkan Mahkamah boleh membuat keputusan samada membenarkan si suami berpoligami atau sebaliknya walaupun tanpa kehadiran isteri. Yang penting penyerahan notis permohonan yang menghendaki kehadiran isteri ke mahkamah telah benar-benar diserahkan kepadanya dalam tempoh yang dibenarkan oleh undang-undang. Menurut undang-undang sebagaimana dinyatakan dalam seksyen 45(2) Enakmen Tatacara Mal Syariah 2004, penyerahan notis kehadiran hendaklah tidak kurang dari 2 hari sebelum tarikh pendengaran kes berkenaan.

Beranikan diri saudara jika benar saudara serius dalam hubungan dengan bakal isteri. 5 tahun adalah tempoh yang lama dalam suatu hubungan cinta antara lelaki dan wanita. Dalam sebuah rumahtangga, suami adalah ketua keluarga. Saudara tidak perlu takut kepada isteri untuk menyatakan hasrat berpoligami jika saudara telah nekad untuk bernikah lagi. Jika isteri marah atau menentang, hal tersebut sebenarnya satu sunnatullah. Ia sememangnya sifat semulajadi yang ada pada seorang wanita. Dalam masa yang sama, saudara perlu ingat bahawa di sisi Allah, isteri wajib taat kepada suami selagi suami menyuruh perkara yang tidak bertentangan dengan syariat Allah. Isteri sepatutnya takut jika ia berlaku engkar perintah suami kerana dosanya besar di sisi Allah. Jangan sampai isteri yang control suami. Suami yang sepatutnya jaga dan kawal isteri dengan cara yang maaruf. Jika disuruh solatpun isteri engkar, itu satu perbuatan yang terang-terangan engkar perintah suami. Ia boleh jatuh kepada nusyuz. Bagaimanapun, untuk bercerai, ada baiknya saudara fikirkan dahulu hal ini semasak-masaknya. Elakkan dari mengambil jalan singkat. Usaha dan ikthiar pada tahap maksima perlu diambil untuk mempertahankan rumahtangga yang ada. Bagaimanapun, andaikata usaha itu tidak mendatangkan hasil, maka saudara bolehlah bertindak untuk menfailkan permohonan perceraian di mahkamah syariah.

Bagi tujuan mempertahankan rumahtangga yang sedia ada, isteri saudara perlu dibawa dekat kepada agama. Usaha perlu dilakukan menurut pelbagai kaedah dan cara. Boleh jadi tindakan saudara membuat permohonan untuk berpoligami akan menyedarkan isteri akan tindakan dan perbuatannya selama ini. Tidak mustahil isteri akan menilai semula apa yang telah ia lakukan ke atas suami selama 18 tahun hidup bersama. Dalam situasi saudara, doa kepada Allah amat penting dan sangat diperlukan. Sentiasalah berdoa kepada Allah agar rumahtangga kalian diberikan kebahagiaan, ketenangan dan kedamaian. Berdoalah kepada Allah agar dimudahkan segala urusan dalam rumahtangga. Berdoalah agar saudara dan isteri saudara diberikan hati yang dekat kepada Allah, agar segala kekalutan dan keserabutan dalam rumahtangga dapat dileraikan. Mohon doa kepada Allah agar segala kesempitan, kepanasan dan amarah dalam rumahtangga dapat dijauhkan.

Perceraian adalah jalan terakhir setelah segala usaha memperbaiki atau memulihkan telah dilaksanakan. Jika perceraian terpaksa ditempuh, pastikan ia dilakukan di mahkamah syariah, bukannya di kereta atau di rumah atau di pejabat atau di jalan raya. Menceraikan isteri tanpa kebenaran mahkamah adalah satu kesalahan. Ia akan menyusahkan saudara dan keluarga. Jika benar nak berkahwin lagi, tak perlu disembunyikan lagi. Kita harus melihat jangka masa panjang, bukan hanya pada hari ini. Berkahwin tanpa kebenaran juga adalah satu kesalahan. Oleh itu, berterus terang adalah jalan terbaik. Ia menepati syarak dan undang-undang. Hadapilah isteri di mahkamah nanti apabila dipanggil untuk memberikan keterangan. Jangan takut jika kita berada di pihak yang benar. Persoalan samada saudara berjaya mendapat kebenaran berpoligami dari mahkamah atau tidak, itu perkara yang kedua. Terserahlah kepada mahkamah hal itu setelah menimbang segala alasan, kemampuan saudara dan faktor-faktor lain yang berkaitan dengan permohonan saudara. Jika ditakdirkan permohonan saudara tidak diluluskan, saudara masih boleh mendapatkan keadilan dengan mengemukakan rayuan ke mahkamah yang lebih tinggi iaitu Mahkamah Rayuan Syariah.

Perlu juga ditegaskan bahawa tidak ada tempoh tertentu yang ditetapkan oleh undang-undang bertulis yang menghendaki mahkamah membuat keputusan dalam permohonan bagi mendapatkan kebenaran berpoligami. Erakita menasihatkan saudara agar tidak terus menetapkan tarikh pernikahan saudara dengan bakal isteri lebih-lebih lagi dalam tempoh sebulan. Perlu diingatkan bahawa mahkamah memang mempunyai piagam pelanggannya sendiri di mana setiap kes mesti ditetapkan untuk sebutan atau pendengaran pertamanya dalam tempoh 21 hari dari tarikh pendaftaran. Soal jangkamasa penyelesaian kes, hal tersebut adalah subjektif kerana terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan kes berkenaan boleh tertangguh. Antaranya, notis kehadiran ke mahkamah belum berjaya diserahkan kepada isteri. Selain itu, bantahan dari pihak isteri juga boleh menyebabkan kes tersebut menggambil sedikit masa untuk penyelesaian kerana mahkamah juga perlu member ruang masa kepada isteri untuk mengemukakan bantahan termasuk hujah bertulis kepada mahkamah. Justeru, saudara perlu bersabar dahulu untuk tidak menetapkan tarikh pernikahan saudara dengan bakal isteri bagi mengelak risiko yang tidak dijangka.

Semoga ada manfaatnya pandangan ini.

Wallahu a’lam dan terimakasih. Wassalam

REMIDI KEGANASAN RUMAHTANGGA DALAM UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM

REMIDI KEGANASAN RUMAHTANGGA DALAM UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM

 

 18 Febuari 2014

Selain dari perlindungan yang boleh diperolehi di Mahkamah Majistret, pasangan suami isteri juga boleh mendapatkan perlindungan dan juga remidi-remidi berkaitan dari Mahkamah Syariah. Walau bagaimanapun, pasangan tersebut mestilah seorang yang beragama Islam dan perkahwinan mereka mestilah telah didaftarkan secara sah menurut undang-undang dan hukum syarih di Jabatan Agama Islam. Perlindungan dan remidi-remidi yang disediakan adalah berbentuk perlindungan keselamatan ke atas mangsa dalam bentuk hak untuk mendapatkan perintah pembubaran perkahwinan jika mangsa memilih untuk menamatkan perkahwinan mereka. Keganasan yang dilakukan oleh suami umpamanya, boleh dijadikan alasan utama untuk pembubaran perkahwinan tersebut melalui fasakh dan ta’liq.

1.         Fasakh:

Ada peruntukan dalam sek 53(1)(h)(i) yg menyebut mengenai penganiayaan seperti berikut:

“Seorang perempuan yg berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan-alasan berikut iaitu bahawa suami menganiayainya, iaitu antara lain menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan kelakuan aniaya”

 Sek 53(1)(h)(m) menyebut:

 “apa-apa alasan lain yg diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak”.

Dalam kes Hairon vs Omar (JH). Mahkamah Rayuan Syariah memutuskan bahawa perbuatan menyakiti tubuh badan isteri membolehkan isteri difasakhkan nikahnya. Dalam tulisan Norainan Bahari bertajuk Darar Syarie Dalam Mu’asyarah al-Jiwaz dan Pemakaiannya Dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Selangor 1984 yang dimuatkan dalam buku bertajuk Wanita Dan Perundangan Islam suntingan Raihanah Abdullah, terbitan Ilmiah Publishers Sdn. Bhd, 2001 dalam halaman 79 yang menyebutkan seperti berikut:

“Oleh itu, memukul walaupun tidak lazim tetapi menjadi suatu penganiyaan dan berasaskan Mazhab Maliki, fasakh dibolehkan kerana menyebabkan darar terhadap isteri bukan setakat menyebabkan kesusahan sahaja tetapi juga penderitaan akibat sentiasa berlaku pertengkaran dan maki hamun.”

Dalam kes Hairun vs Omar, Yang Arif Tan Sri Dato’ Haji Mohd. Azmi dalam penghakimannya berkata:

 “Prinsip dhirar ini telah diterima oleh kebanyakan negara-negara Islam termasuk Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia dan Undang-Undang Keluarga Islam 1984 Negeri Selangor juga telah menerima prinsip ini. Jika diteliti dengan lebih mendalam, prinsip pembubaran perkahwinan atau fasakh kerana “aniaya” atau “dhirar” ini tidaklah disyaratkan penganiayaan atau dhirar terhadap tubuh badan sahaja, malahan lebih luas dari itu termasuk enggan bercakap dengan isteri, membelakangkan isteri atau memalingkan muka darinya semasa di katil, mengutamakan memberi layanan kepada perempuan lain dari isteri, memukul dengan pukulan yang menyakiti dan seterusnya dan tidaklah disyaratkan pukulan itudilakukan berulang kali dan lazim”.

Berhubung pemakaian pendapat mazhab dalam kes fasakh, saya merujuk kenyataan Yang Arif Tan Sri Dato’ Haji Mohd Azmi ketika memberikan penghakimannya dalam kes Hairun vs Omar yang menegaskan bahawa pendapat dari Mazhab Maliki berkaitan dhirar digunakan sebagai alasan untuk pembubaran perkahwinan atau fasakh dan prinsip ini diterimapakai kebanyakan negara Islam termasuklah di negara kita. Beliau berkata seperti berikut:

“Kuasa Mahkamah membubarkan perkahwinan atau fasakh kerana perbuatan yang menyebabkan berlakunya “dhirar” terhadap isteri ini adalah berasaskan pendapat Mazhab Maliki. (Miwad Abdul Tawwab, Mausua’h al-Maarif, Iskandariyyah Egypt 1986, halaman 646). Prinsip dhirar ini telah diterima oleh kebanyakan negara-negara Islam termasuklah Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia dan Undang-Undang Keluarga Islam 1984 Negeri Selangor juga telah menerima prinsip ini”.

 Dari kenyataan di atas, saya tidak lagi teragak-agak untuk memetik pendapat dari ulama Mazhab Maliki sepertimana yang dinukilkan oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili di atas mengenai keharusan pemisahan dilakukan apabila berlakunya pertelingkahan dan kemudaratan dalam rumahtangga pasangan suami isteri. Untuk memperkukuhkan kenyataan yang mengatakan bahawa kemudaratan dalam rumahtangga boleh diambilkira dalam kes pembubaran perkahwinan atau fasakh, saya tertarik untuk memetik tulisan Mohd. Salleh Haji Ahmad mengenai Kaedah Fekah yang berbunyi “Kemudaratan Hendaklah Disingkirkan” dalam bukunya yang bertajuk Pengantar Syariat Islam, terbitan Pustaka Haji Abdul Majid, cetakan 1999, di halaman 224-225 yang menyatakan seperti berikut:

“Ulama telah sepakat bahawa kaedah ini mengecualikan dhirar yang diizin oleh Syara’ seperti Qisas, Hudud dan segala jenis hukuman keseksaan dan ta’zir yang lain kerana sesungguhnya menolak kerosakan hendaklah didahulukan dari menarik kebaikan. Walau bagaimanapun hukuman-hukuman itu pada hakikatnya tidak disyariatkan melainkan kerana hendak menolak kemudaratan juga.

 

 Masalah-masalah yang termasuk dalam kaedah ini:

 

a.             Boleh dipulangkan barang yang dibeli kepada penjual kerana terdapat kecacatan padanya.

b.             Dihajar (ditahan dari mengurus harta sendiri) ke atas safih; dilarang Mufti yang tidak bersopan dari mengeluarkan fatwa; doktor yang jahil dari merawat orang sakit kerana amalan-amalan mereka ini mendatangkan kemudaratan ke atas diri mereka dan orang lain.

c.             Fasakh nikah kerana ‘aib, kepapaan dengan nafkah dan sebagainya.

d.             Qisas, Hudud dan Ta’zir.”

2.         Ta’liq:

 Sebarang tindakan pihak suami menyakiti tubuh badan isteri boleh mensabitkan cerai taqliq jika berlaku perlanggaran terhadap lafaz taqliq yg dibuat oleh suami selepas aqad nikah. Di negeri sabah umpamanya, bentuk lafaz taqliq yang dipakai seperti yg terdapat di belakang sijil nikah ialah:

          “Adalah saya Atan bin Bidin tinggal di Kota Kinabalu dengan ini bertaklik iaitu manakala saya tinggalkan isteri saya Sarah bte Arshad selama 4 bulan berturut-turut atau lebih, sengaja atau paksa atau saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama masa yang tersebut, padahal ia taatkan saya, atau saya melakukan perkara yang menyakitkan tubuh badannya atau kehormatan dirinya atau harta bendanya atau perkara yang tidak diingininya, kemudian ia mengadu kepada mana-mana kadhi di seluruh Malaysia dan manakala sabit aduannya di sisi kadhi atau Mahkamah Syariah, maka pada ketika itu tertalaklah isteriku Sarah bte Bidin dengan satu talak”

Dalam lafaz taqliq tersebut ada disebutkan “atau saya melakukan perkara yg menyakiti tubuh badannya atau kehormatan dirinya..”. Perlakuan menyakiti tubuh badan jelas termasuk dalam senarai perkara yg dikatakan keganasan rumahtangga. Di samping ada diperuntukkan dalan AKRT 1994, perkara yg sama juga ada diperuntukkan dalam EUUKINS 2004. Keadaan ini sebenarnya memberi banyak manfaat kepada kaum wanita terutamanya untuk mencari jalan keluar dari masalah rumahtangga yang kronik disebabkan tindakan ganas dari pihak suami.

Ini bermakna jika si isteri dapat membuktikan kepada M bahawa si suami menyakitkan tubuh badannya dengan dengan pukulan yg menyakitkan, maka M apabila mensabitkan dakwaan isteri itu, talaq satu akan gugur.  Alasan ini banyak digunakan pihak isteri dalam tuntutan taqliq mereka di M Syariah. Laporan polis dan doktor perubatan juga banyak membantu isteri dalam tuntutan mereka.

3.         Perintah Tegahan Terhadap Gangguan

 Seperti dalam AKRT 1994, perkara yg menyentuh mengenai perintah perlindungan terhadap mangsa keganasan rumahtangga ada diperuntukkan dengan jelas dalam EUUKINS 2004. Sek 107(1) menyebut:

“Mahkamah adalah berkuasa dalam masa perbicaraan hal ehwal suami isteri masih belum selesai atau selepas pemberian suatu perintah perceraian, fasakh atau pembatalan, memerintahkan seseorang menahan dirinya dari mengganggui atau menceroboh, dengan apa-apa cara pun ke atas suami dan isteri atau bekas suami atau bekas isterinya “.

 Perintah tersebut boleh dipohon bukan saja untuk melindungi isteri tetapi juga suami. Kesan terhadap sebarang keingkaran mematuhi perintah M tersebut merupakan satu penghinaan terhadap Mahkamah. Seksyen 107(2) menyebut:

“Kemungkiran mematuhi sesuatu perintah yg dibuat di bawah seksyen ini boleh dikenakan hukuman sebagai suatu penghinaan terhadap Mahkamah”.

Ini bermakna, pihak yang melanggar perintah itu boleh dikenakan tindakan penghinaan Mahkamah dengan memberikan notis tunjuk sebab kepadanya di hadapan Mahkamah mengapa ia tidak dikomitkan ke penjara atau dihukum dengan apa-apa juga hukuman yang sewajarnya atas kesalahan menghina Mahkamah. Prosiding kes seperti ini akan dijalankan dalam kes mal memandangkan permohonan berkaitan penghinaan Mahkamah dan pegkomitan ke penjara ini dibuat terus kepada mahkamah melalui kes mal.

4.         Dakwaan menghina Mahkamah kerana ingkar perintah tegahan.

 Selain boleh memilih untuk mendapatkan keadilan mengheret pihak yang melanggar perintah tegahan yang dikeluarkan Mahkamah di bawah seksyen 107 di atas ke Mahkamah untuk pengkomitan ke penjara, pihak yang terkilan itu juga boleh memilih untuk membawa orang yang ingkar tadi ke Mahkamah dalam kes jenayah. Apa yang perlu dilakukan ialah dengan membuat aduan rasmi kepada Pegawai Penguatkuasa Agama di Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah. Siasatan akan dijalankan di bawah seksyen 104 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Sabah) 1995 (EKJS) atas kesalahan menhina perintah Mahkamah. Di bawah Seksyen 104 EKJS 1995, seseorang yg disabitkan menghina Mahkamah boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM1,000.00 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

5.         Kesalahan- dan hukuman berkaitan keganasan rumahtangga di bawah EUUKINS 1992

 Terdapat 2 seksyen khas yang memperuntukkan hukuman bagi kesalahan berkenaan keganasan rumahtangga. Dalam seksyen2 tersebut, perkataan berkenaan keganasan rumahtangga yg digunakan ialah menganiayai dan menzalimi. Sek 134 EUUKINS 1992 sebagai contohnya menyebut:

“Seseorang suami atau isteri yg menganiaya isteri atau suaminya atau menipu harta isteri atau suaminya adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh dihukum denda tidak melebihi RM1000.00 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua2nya denda dan penjara itu”.

 Manakala sek 142(1) menyebut:

“Seseorang lelaki yg menzalimi isterinya atau anaknya dengan apa carapun adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3000.00 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua2nya denda dan penjara itu”.

 Sek 142(2) pula menyebut:

“Seseorang isteri yg menzalimi suaminya atau anaknya dengan apa carapun adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3000.00 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua2nya denda dan penjara itu”.

 Di bawah EUUKINS 2004 pula, seksyen 128 menyebutkan bahawa selain boleh dipenjara dan dihukum membayar denda, pesalah jenayah dalam rumahtangga juga boleh diperintahkan untuk membayar pampasan kepada mangsa bagi harta yang telah ditipu itu. Seksyen tersebut berbunyi”

(1) Seseorang suami atau isteri yang dengan sengaja menganiaya isterinya atau suaminya atau menipu harta isterinya atau suaminya, mengikut mana-mana yang berkenaan, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.

(2) Mahkamah boleh, sebagai perintah tambahan, memerintahkan supaya dibayar pampasan bagi harta yang telah ditipu itu.

Perlu dimaklumi bahawa EUUKINS 1992 sehingga kini belum lagi dimansukhkan. Ini bermakna, terdapat 2 enakmen undang-undang keluarga Islam yang sedang berkuatkuasa di Sabah ketika ini iaitu EUUKIN 1992 dan EUUKINS 2004. Semoga tulisan ini ada manfaatnya dalam rangka penyebaran ilmu pengetahuan dan kefahaman mengenai hak kita di sisi undang-undang khususnya dalam konteks perundangan Islam.