WALI BOLEH AKAD NIKAH!

 WALI BOLEH AKAD NIKAH!

18 Mei 2012

Bolehkah wali mengakad nikah? Mengapa tidak! bahkan itulah yang lebih aula atau utama. Lazimnya, rata-rata majlis akad nikah yang berlaku dalam masyarakat kita menyaksikan bagaimana akad nikah itu dilaksanakan oleh Jurunikah Bertauliah yang dilantik oleh pihak berkuasa agama. Keadaan ini menyebabkan ada tanggapan bahawa hanya Jurunikah yang bertauliah saja yang boleh mengakad nikah pasangan.

Untuk makluman, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam di setiap negeri ada memperuntukkan bahawa selain jurunikah bertauliah lantikan Jabatan Agama Islam, Pendaftar Perkahwinan, wali kepada bakal isteri juga mempunyai hak yang sama. Bahkan diletakkan sebagai orang yang pertama diberi keutamaan dalam senarai.

Berikut adalah kandungan Seksyen 7 Enakmen tersebut:

Seksyen 7. Orang yang boleh mengakadnikahkan perkahwinan

(1) Sesuatu perkahwinan di Negeri Sabah hendaklah mengikut peruntukan Enakmen ini dan hendaklah diakadnikahkan mengikut Hukum Syarak oleh-

(a) wali di hadapan Pendaftar;

(b) wakil wali di hadapan dan dengan kebenaran Pendaftar; atau

(c) sebagai wakil wali.

(2) Jika sesuatu perkahwinan itu melibatkan seorang perempuan yang tidak mempunyai wali dari nasab, mengikut Hukum Syarak, perkahwinan itu hendaklah diakadnikahkan hanya oleh wali Raja

Justeru, para bapa wajar mengambil perhatian ini. Sebaik-baik yang mengakadnikah itu adalah bapa atau wali kepada bakal isteri itu sendiri. Urusan  mengakadnikah ini juga perlu kepada latihan agar majlis berjalan lancar tanpa sebarang perkara yang tak diingini berlaku.

Biarlah pernikahan itu benar-benar menjadi kenangan terindah bukan saja bagi pasangan tersebut, bahkan juga kepada wali itu sendiri. Pandai-pandailah minta turunkan ilmu mengakad nikah dari Tuan-Tuan Iman yang dah berpengalaman menjalankan akad nikah.

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 18 Mei 2012, in KELUARGA, UNDANG-UNDANG. Bookmark the permalink. 1 Komen.

  1. Assalamualaikum,

    Saya nak tanya tentang perkara ni. Adakah ditetapkan apa-apa syarat untuk seorang wali (baca: bapa) untuk melakukan akad nikah? Contohnya si wali ni hendaklah seorang yang taat kepada Allah, menjalankan semua perintahNya dengan sempurna dan lain-lain. Ataupun cukup sebagai statusnya sebagai bapa kandung kepada seorang wanita itu untuk mengakad nikah?

    Terima kasih.

Tinggalkan komen