BAKAL ISTERI KEDUA ELAK PAKAI LAWA DI MAHKAMAH

Menurut undang-undang keluarga Islam di negeri-negeri di Malaysia, seseorang suami yang hendak berkahwin lebih dari seorang isteri hendaklah mendapatkan kebenaran bertulis dari Hakim Syarie. Hakim Syarie yang dimaksudkan di sini adalah Hakim Mahkamah Syariah. Ini jelas diperuntukkan dalam Seksyen 23 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (AKTA 303). Menurut peruntukan undang-undang ini, sekurang-kurangnya ada 4 pihak yang perlu dipanggil ke Mahkamah semasa pendengaran kes permohonan berpoligami. Mereka adalah Pemohon iaitu si suami, isteri, bakal isteri dan wali kepada bakal isteri.

Kesemua pihak ini akan dipanggil masuk ke dalam kamar Hakim untuk mendengar kes permohonan si suami. Suami akan diminta untuk menyatakan alasan mengapa ia perlu berpoligami, kemampuannya dan menyatakan bagaimana perkahwinan kedua itu tidak tidak menjejaskan rumahtangga yang sedia ada khususnya apa yang dinikmati oleh isteri yang sedia ada. Isteri pula akan ditanya apakah responnya terhadap permohonan suami. Isteri perlu menyatakan samada ia bersetuju atau tidak. Isteri juga perlu menyatakan apakah suami mempunyai kemampuan berpoligami. Isteri juga boleh meminta agar ditentukan pembahagian harta sepencarian dan juga penetapan bayaran nafkah kepada isteri dan anak-anak. Bakal isteri pula akan ditanya mengenai kesediaan dari segi fizikal dan mental untuk berhadapan dengan hidup berpoligami. Wali kepada bakal isteri pula akan ditanya samada beliau bersedia untuk mewalikan bakal isteri tersebut jika sekiranya kebenaran berpoligami diberikan oleh Mahkamah kepada suami berkenaan.

Sebelum masuk ke kamar Hakim, pihak-pihak itu lazimnya akan menunggu dalam dewan bicara atau ruang menunggu bersama-sama dengan orang lain yang berurusan di Mahkamah. Pendengaran permohonan untuk berpoligami dibuat di Kamar Hakim sahaja. Ini kerana, undang-undang telah menetapkan bahawa pendengaran dan keputusan bagi kes yang dimulakan dengan Permohonan mesti dibuat di dalam kamar Hakim. Ini dinyatakan dalam Seksyen 119 Akta Tatacara Mal Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1998 (AKTA 585). Termasuk kes yang dimulakan dengan permohonan adalah kes poligami.

Ketika berada di luar kamar Hakim, pertemuan antara isteri dan bakal isteri biasanya sukar dielakkan. Pertemuan kali pertama di dalam antara isteri dan bakal isteri di bangunan Mahkamah biasa terjadi. Inilah saat-saat yang mendebarkan. Sementara menunggu pihak-pihak dipanggil masuk ke kamar Hakim, suami akan turut sama berada dalam ruang menunggu di luar kamar hakim bersama isteri dan bakal isteri. Termasuk yang berada di ruang menunggu itu adalah wali kepada bakal isteri iaitu bapa kandung kepada bakal isteri. Pertemuan “bersejarah” antara isteri dan bakal isteri di ruangan menunggu itu sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Ini kerana, undang-undang menghendaki mereka hadir sendiri bagi pendengaran kes poligami di hadapan hakim. Sukar hendak digambarkan bagaimana perasaan pihak-pihak ketika itu.

Keadaan bertambah mendebarkan apabila apabila isteri tidak pernah melihat wajah bakal isteri selama ini. Begitu juga dengan bakal isteri. Tentunya debaran di hati untuk bertembung dengan isteri sedia kepada bakal suami tidak dapat disekat. Jika boleh, suasana itu rasanya tidak ingin diharungi. Ini kerana, dalam keadaan sedemikian rupa, segala kemungkinan boleh berlaku. Kemungkinan untuk kedua-dua “wanita berkenaan” untuk bertengkar tetap ada. Tidak mustahil boleh berlaku pergaduhan, maki memaki dan jerit menjerit. Tidak mustahil boleh berlaku kejar mengejar antara kedua-dua wanita itu. Tidak mustahil hal seperti ini boleh terjadi. Dalam hal berpoligami, perasaan seperti sakit hati, cemburu dan terancam dengan kehadiran wanita lain dalam rumahtangganya sudah sinonim bagi seorang isteri. Hal inilah yang perlu dibaca dan difahami oleh bakal isteri.

Dalam hal ini, sebarang konflik dan ketegangan antara pihak-pihak perlu dielakkan. Bakal isteri umpamanya perlu mengelak dari memakai pakaian yang boleh menggambarkan betapa ia lebih muda dan cantik dari isteri sedia ada. Pakaian bakal isteri perlu biasa-biasa dan sederhana saja. Usah dipakai pakaian yang melambangkan pakaian mahal, glamour, cantik dan elegan. Perasaan isteri sedia ada perlu dijaga. Jangan sampai, isteri terasa bahawa bakal isteri lebih muda dan cantik daripada isteri sedia ada. Memakai kaca mata hitam (rayban) juga rasanya elok dielakkan oleh bakal isteri. Ini sesuatu yang tidak bagus untuk dipakai ketika berada di luar kamar hakim. Memakai kaca hitam boleh mengundang perasaan yang kurang senang di pihak isteri. Ini boleh menimbulkan jurang komunikasi antara isteri dan bakal isteri. Termasuk hal yang perlu dielakkan oleh bakal isteri adalah memakai bedak muka yang terang dan jelas menampilkan atau menonjolkan kecantikan atau keindahan bentuk tubuh badannya.

Demikian juga dengan minyak wangi. Elok jika bakal isteri tak memakai wangi-wangian semasa ke Mahkamah. Ini juga boleh mengundang suasana yang tidak positif antara isteri dan bakal isteri. Pendek kata, bakal isteri perlu sedapat mungkin mengelak dari membuat atau menimbulkan perkara-perkara yang tidak disukai oleh isteri. Bakal isteri perlu sedar bahawa ia datang ke Mahkamah bukan untuk bersaing dengan isteri. Ia datang ke Mahkamah untuk memberi apa-apa maklumat yang diminta oleh Mahkamah berhubung dengan pekahwinannya dengan bakal suami. Bakal isteri perlu ingat bahawa dengan adanya permohonan si suami tadi di Mahkamah,  belum tentu permohonan itu diluluskan. Itu bukan suatu jaminan untuk ia dapat berkahwin dengan si suami itu. Semuanya bergantung kepada keputusan Mahkamah di penghujung kes itu nanti.

Bakal isteri juga perlu ingat betapa persetujuan daripada isteri itu amat bermakna dalam kes tersebut. Jika isteri bersetuju atau sekurang-kurangnya berdiam diri, hal tersebut sudah lumayan bagi kes itu. Kes itu tidak akan menjadi panjang dan terheret jauh sehingga ke peringkat perbicraaan penuh. Jika ada persetujuan, perjalanan kes menjadi mudah. Ada ketika, Mahkamah akan membuat keputusan pada hari yang sama kes itu didengar. Bagaimanapun, perlu juga difahami bahawa persetujuan isteri terhadap permohonan berpoligami oleh suami bukanlah satu jaminan bahawa permohonan berkenaan akan diluluskan oleh Mahkamah. Banyak pertimbangan yang akan diambil oleh Mahkamah untuk membuat keputusan.

Sekiranya isteri membuat bantahan, kes berkenaan akan berpanjangan. Mahkamah lazimnya akan menangguhkan kes tersebut untuk memberikan peluang kepada isteri bagi menfailkan bantahan bertulis terhadap permohonan suami. Jika permohonan itu dibantah, isteri pula berhak untuk mengambi khidmat peguam syarie bagi mewakilinya dalam kes itu. Kes akan dibawa ke perbicaraan penuh dan keterangan secara terperinci mengenai apa saja perkara yang berkaitan akan diambil dari pihak-pihak. Ada kes yang boleh berpanjangan sehingga setahun atau 2 tahun untuk selesai. Hal ini berbeza jika pihak-pihak dalam kes itu lebih bersikap berlapang dada, bertoleransi dan saling hormat menghormati. Kes akan menjadi lebih mudah dan lancar.

Justeru, dalam kes berpoligami, bakal isteri terutamanya perlu mengambil kira perkara-perkara di atas. Walau hal tersebut nampak kecil dan bersifat remeh temeh, namun impak atau kesannya pada perjalanan prosiding kes poligami adalah besar. Berpada-padalah dengan penampilan kita terutama pakaian apabila hadir untuk pendengaran kes di mahkamah. Tunjukkan sifat yang baik, berlapang dada dan menjaga perasaan orang lain khususnya isteri kepada bakal suami. Tempatkan diri kita di tempat isteri itu. Cuba bayangkan perasaan kita andai kata isteri itu adalah diri kita sendiri. Akhirnya, dengan penampilan yang sederhana, suasana akan menjadi lebih harmoni dan perkara-perkara yang tidak diingini dapat dielakkan. Semoga perkongsian minda ini ada manfaatnya. Wallahu a’lam.

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 2 September 2015, in AGAMA, KELUARGA, UNDANG-UNDANG. Bookmark the permalink. 1 Komen.

Tinggalkan komen