RAHSIA KEJAYAAN HUKUMAN SEBATAN SYARIAH DI KHALAYAK RAMAI

Perlaksanaan hukuman sebatan syariah baru-baru ini mendapat perhatian luas di media massa. Ini ekoran dari kenyataan yang dibuat dalam oleh salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 8 Mac 2016 yang mencadangkan agar hukuman sebatan syariah di Kelantan akan dilaksanakan di hadapan umum. Cadangan juga dibuat agar tempat hukuman adalah di perkarangan Masjid. Cadangan perlaksanaan hukuman di khalayak ramai itu juga telah merujuk kepada kejayaan Mahkamah Tinggi Syariah Tawau melaksanakan hukuman sebat di hadapan umum dalam Dewan Terbuka Mahkamah Syariah. Perkembangan ini sesungguhnya menarik dan amat positif dalam rangka perkembangan dan penyuburan perlaksanaan undang-undang Islam di negara ini. Sejauh mana hasrat Kerajaan Negeri Kelantan itu tercapai, hanya Allah sahaja yang menentukan dan mengetahuinya. Hasrat yang murni ini sewajarnya disokong dan didokong. Sebagai Muslim pula, menjadi tanggunjawap kita untuk mendoakan kejayaannya.

Di sebalik perkembangan tersebut, terdapat juga pihak yang tidak menyokong usaha tersebut. Malah ada yang terang-terangan menzahirkan tentangan mereka di media massa. Hal seperti ini dilihat boleh mempengaruhi kelancaran dan kejayaan perlaksanaan usaha tersebut untuk tercapai. Usaha pihak-pihak tertentu untuk mendapatkan bantuan dan sokongan daripada pihak yang berpengaruh dan berotoriti bagi menghalang perlaksanaan hukuman di hadapan umum ini tidak boleh diambil mudah. Apa yang berlaku dalam kes Kartika Sari Dewi sebelum ini di Pahang boleh dijadikan sebagai satu tauladan yang bernilai. Dalam kes Kartika itu, kita menyaksikan bagaimana pada akhirnya, hukuman sebatan syariah tersebut tidak diteruskan dan diubah kepada bentuk hukuman alternatif yang lebih ringan. Sebagai ingatan, kes Kartika itu bukanlah melibatkan perlaksanaan hukuman sebatan di khalayak ramai. Ia sepatutnya dilaksanakan di Penjara sahaja. Namun, atas tentangan, bantahan dan pandangan pelbagai pihak, akhirnya hukuman sebatan tersebut digantikan dengan hukuman alternatif yang lebih ringan iaitu hukuman berbentuk khidmat masyarakat pada tahun 2010.

Di Tawau Sabah, keadaan yang berlaku kepada Kartika tidak terjadi. Hukuman sebatan syariah di khalayak ramai telah berjaya dilaksanakan ke atas pesalah lelaki yang disabitkan melakukan persetubuhan haram atau zina. Hukuman tersebut dilaksanakan kali pertama pada 28 Oktober 2014 dan kali kedua pada 9 Oktober 2015. Kedua-dua hukuman itu dilaksanakan di Dewan Terbuka Mahkamah Tinggi Syariah Tawau di khalayak ramai. Pada tahun 2014, seramai lebih kurang 40 orang awam menyaksikannya. Pada tahun 2015 pula, seramai 61 orang menyaksikannya. Sepanjang hukuman dilaksanakan, tidak ada kedengaran halangan mahupun bantahan diterima. Bahkan sehingga tulisan ini dibuat, tidak ada satu laporan akhbarpun yang menyiarkan secara khusus perlaksanaan hukuman itu. Justeru, tidak ada bantahan atau tentangan yang timbul walaupun 2 tahun berturut-turut hukuman seumpama ini dilaksanakan. Menariknya, kejayaan hukuman di khalayak ramai di Tawau itu akhirnya diketahui juga oleh umum. Ia diketahui dari mulut ke mulut orang yang menyaksikannya. Ia kemudiannya disebarkan melalui aplikasi whatapps dan facebook. Turut menyumbang kepada penyebaran maklumat tersebut adalah melalui 2 artikel yang disiarkan dalam blog erakita pada tahun 2014 dan 2015. Untuk mengetahui laporan lengkap mengenai perlaksanaan hukuman tersebut, sila KLIK SEBATAN SYARIAH PERTAMA DI KHALAYAK RAMAI dan  61 HADIR SAKSIKAN HUKUMAN SEBATAN SYARIAH DI TAWAU.

Mengapa perkara yang boleh dikatakan penting dan amat sensatif ini berjaya dilaksanakan di Tawau? Bagaimana hukuman ini berjaya dilaksanakan tanpa tentangan dari mana-mana pihak? Tentunya ada sebab dan alasannya. Apa yang jelas, perlaksanaan hukuman sebatan di Tawau itu dibuat tanpa sebarang hebahan kepada umum. Tiada hebahan di media massa samada akhbar, radio mahupun televisyen. Ianya dilaksanakan tanpa pemakluman kepada umum kecuali di saat-saat akhir sahaja. Pemakluman hanyalah terhad kepada orang-orang yang dijemput secara lisan mahupun melalui aplikasi whatapps. Dengan jemputan secara lisan dan juga whatapps sahaja, sambutan dan kehadiran orang awam ternyata di luar dugaan. Orang-orang yang dijemput menyaksikannya memberi komitmen yang tinggi dengan menghadiri majlis berkenaan tanpa soal. Kehadiran yang cukup memberangsangkan ini menunjukkan bahawa orang ramai mempunyai minat dan keinginan tinggi untuk menyaksikannya. Apatah lagi, hukuman seumpama ini julung-julung kali berlaku.

Apa yang dapat disimpulkan dari kejayaan Mahkamah Syariah Tawau melaksanakan hukuman sebatan syariah di khalayak ramai ialah perlunya ada strategi yang jitu dan berkesan. Elakkan dari menghebahkan kepada umum secara terbuka perlaksanaan hukuman tersebut, apatah lagi kepada golongan media massa. Laksanakan dahulu hukuman tersebut tanpa menghubungi media massa bagi mengelak sebarang ulasan, kritikan dan bangkangan luar jangka dari umum. Paling dielak adalah campurtangan atau penglibatan dari mana-mana pihak yang berpengaruh dan berotoriti yang akhirnya boleh membantut dan menggagalkan hasrat tersebut. Kaedah dan strategi ini amat berkesan. Setelah perlaksanaan hukuman secara terbuka ini berjalan beberapa lama, masyarakat akhirnya akan dapat menerimanya sebagai suatu keperluan dalam kehidupan. Setelah masyarakat terbiasa dan perkara ini menjadi pengetahuan umum, perlaksanaan hukuman secara terbuka akan lebih mudah dijalankan.

Malah, pada ketika itu nanti, hukuman tersebut bolehlah dihebahkan melalui media massa secara meluas samada melalui akhbar, radio ataupun televisyen. Dengan kata lain, melaksanakan hukum Islam yang indah dan universal ini memerlukan strategi yang mantap dan berkesan. Barangkali lebih mudah menggambarkannya dalam bentuk peribahasa yang berbunyi “bagai menghela (menarik) rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak”. Semoga perkongsian ilmu ini bermanfaat dalam rangka meletakkan undang-undang Islam di tempat yang tinggi dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat yang merentasi sempadan agama, bangsa dan negara.

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 7 April 2016, in AGAMA, KELUARGA, MAJLIS, PETUA, RENUNGAN, UCAPAN, Uncategorized, UNDANG-UNDANG. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan komen