Monthly Archives: Disember 2009

2010: sinar baru bersama azam baru

2010: BERSAMA AZAM BARU

 

29 Disember 2009 

Tahun baru datang lagi. Mungkinkah angka 2010 dan selepasnya menjanjikan sesuatu yang lebih bermakna dalam hidup kita. Yang pastinya, pelbagai peristiwa pahit dan manis telah dilalui oleh manusia di muka bumi sepanjang satu dekad yang lalu. Yang pasti dan paling dipercayai ialah, umur kita makin hari makin bertambah menurut bilangan matematik. Namun, berapa ramai manusia yang menyedari betapa umur kehidupan kita sebenarnya semakin pendek dan semakin menghampiri garisan penamatnya. Katalah jangka hayat manusia hari ini ialah 65 tahun. Jika hari ini umur kita telah mencapai 40 tahun, itu maknanya baki umur yang tinggal hanyalah 25 tahun. ”Oh! Begitukah?” ”Yakah?”, ”tak perasanlah pula begitu keadaannya!”. 

Tinggal lagi 25 tahun sisa umur di dunia. 25 tahun itulah tempohnya kita bernafas, menghirup udara segar dan tak segar di dunia, melihat keindahan alam dan mencari rezeki buat bekalan hidup di dunia. Tempoh itulah kita dapat bersama keluarga tersayang dan mengisi hidup dengan pelbagai lagi urusan keduniaan. TAPI, ada satu soalan. Adakah kita PASTI bahawa kita boleh hidup sampai umur 65 tahun? PASTIKAH? Soalan inilah yang SANGAT PENTING untuk dijawap. Biar kita jawap dalam hati masing-masing. Kalau mahu jawapannya, paling mudah, cuba lihat di sekeliling kita. Adakah tidak orang-orang dekat dan jauh yang kita kenal 30 tahun, atau 20 tahun atau 10 tahun atau 5 tahun atau setahun yang lalu SEMUANYA masih wujud di sekeliling kita? Apakah mereka semuanya masih hidup? Lihat balik gambar-gambar kita dulu-dulu. Lihat wajah-wajah ceria mereka. Apakah wajah-wajah yang ada dalam gambar itu semuanya masih ada? 

Sepertimana saudara-saudara juga, ERAKITA juga punya album gambar dulu-dulu. Bila membuka album tersebut, tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa hampir pasti dalam satu album yang memuatkan pelbagai wajah orang-orang yang dikenali, telah ada wajah-wajah yang TELAH PERGI buat selama-lamanya. Dari gambar zaman kanak-kanak, alam persekolahan, menara gading dan lain-lainnya, ada saja wajah-wajah di sana yang TELAH PERGI dan tak akan kembali lagi. Jika dilihat wajah-wajah itu, seolah-olah mereka masih hidup. Terkenang gelagat mereka. Terkenang kenangan pahit dan manis, suka dan duka bersama mereka. Namun pada hakikatnya, mereka sudah tiada. DAN kita yang masih BERTAHAN ni kena ingat bahawa kita juga makin hari makin dekat giliran untuk mengikuti jejak mereka. Ini PASTI BERLAKU bila tiba saat dan ketikanya. Bila tiba giliran, tiada lagi istilah TUNGGU DULU. Dalam al-Quran sendiri sebut bahawa bila tiba ajal kematian, tidak ada lagi apa-apa yang dapat dilakukan samada untuk melambatkan atau meyegerakannya. 

Bercakap mengenai kematian tidak akan ada penghujungnya. Ia akan berlaku dan terus berlaku selagi manusia wujud di muka bumi. Paling penting untuk direnung ialah iktibar atau pengajaran dari cerita kematian. Bagi ERAKITA, merenung, muhasabah dan melihat diri sendiri dengan perihal kematian di saat penting seperti melangkah ke tahun yang baru amat bererti. Banyak azam, harapan, impian dan cita-cita yang hebat dapat dilahirkan ketika melangkah ke tahun baru hasil dari muhasabah kematian. Orang boleh berjaya dalam hidup dengan cemerlang gara-gara rajin ingat akan kematian. Motivasi dan semangat yang tinggi untuk melakukan yang terbaik dan berkualiti dalam hidup boleh terhasil gara-gara rajin mengingat dan memikirkan perihal kematian. 

Hatta, kemenangan demi kemenangan gemilang umat Islam dahulu ketika berjuang di medan pertempuran melawan tentera musuh terhasil akibat sentiasa memikirkan kematian. Impian untuk mati di jalan Allah yang disediakan ganjaran yang hebat menaikkan motivasi mereka untuk berjuang dan terus berjuang. Mereka mengimpikan kematian secara SYAHID yang INDAH. Sebab itu mereka tidak takut mati TAPI RINDU untuk mati di jalan Allah. Keberanian untuk terus mara ke hadapan menghadapi tentera musuh yang JAUH LEBIH BESAR bilangannya, rupanya begitu menggerunkan musuh. Sementara tentera Islam RINDU untuk mati, tentera musuh pula TAKUT SEKALI untuk mati. Sebab itu, musuh menjadi gentar, gerun, takut dan longlai semangat untuk terus berjuang. Akhirnya, jika tidak mati terbunuh, mereka berundur untuk menerima kekalahan. Inilah satu contoh bagaimana hebatnya motivasi dan semangat untuk menempuh arus kehidupan hasil dari mengingati kematian. Jika begitu keadaannya, tidak hairanlah mengapa Nabi Muhammad s.a.w mengatakan bahawa orang yang bijak itu ialah orang yang paling banyak mengingat akan kematian. 

Sempena kedatangan tahun baru 2010, ERAKITA mengajak anda semua untuk bermuhasabah diri akan kematian. Fikirkan tentang peristiwa-peristiwa yang telah kita lalui. Peruntukan sedikit waktu untuk perkara sepenting ini. Fikirkan tentang umur kita dan fikirkan perbuatan yang telah kita lakukan sejak kita mula akil baligh. Fikirkan perkara-perkara baik dan buruk yang telah kita lakukan. Jika dapat, ada baiknya catat dalam kertas dengan terang buat tatapan diri sendiri SAHAJA. Lihat semula apakah perkara kebaikan lebih banyak berbanding keburukan yang telah kita lakukan selama ini. Fikirkan juga tentang kejayaan dan kegagalan yang telah kita tempuh. Jika beroleh kejayaan, selidik semula apakah kejayaan yang kita capai itu benar-benar hasil usaha kita dengan jalan yang diredhai Allah atau ada juga terhasil dengan jalan tidak jujur atau penipuan. 

Jika kita berjaya dalam pendidikan, apakah peperiksaan demi peperiksaan yang kita tempuh itu dilalui dengan sejujur-jujurnya. Apakah tidak ada langsung unsur tipu menipu atau tiru meniru?. Jika berjaya dalam kerjaya sehingga dapat jawatan yang tinggi dengan gaji yang lumayan, apakah kita benar-benar dapat kejayaan dalam kerjaya itu hasil kerja yang bermutu atau kerana ada melibatkan unsur-unsur tidak jujur seperti membodek ketua, menfitnah orang lain, menipu ketika memberikan maklumat peribadi, merasuah pegawai berkenaan, menyalah gunakan kuasa atau menipu dalam peperiksaan bagi kenaikan pangkat? 

Jika kita berjaya dalam perniagaan, apakah kejayaan itu diperolehi secara telus bersama usaha gigih kita? Apakah tidak ada langsung PROJEK yang diperolehi dengan cara RASUAH atau penipuan data dan sebagainya? Apakah tidak ada langsung kaitan dengan penglibatan ORANG-ORANG DALAM, KRONI dan KERABAT tertentu ketika mendapatkan PROJEK itu? Bagi ERAKITA, hal-hal seperti ini sebaiknya diambil perhatian ketika melakukan muhasabah diri. DAN banyak lagi sebenarnya yang boleh direnung dalam hidup tetapi apa yang diungkapkan di atas rasanya sudah memadai untuk melahirkan motivasi baru untuk menempuh tahun yang baru. 

Memikirkan persoalan-persoalan seperti ini dapat mengembalikan kita ke jalan yang benar lagi lurus. Jika ada perbuatan yang tidak betul dan bertentangan dengan kehendak Ilahi, wajar sekali kita membetulkannya. Bila mengingat akan kematian yang boleh datang bila-bila masa, saat itulah kita akan terdorong dengan dorongan yang tinggi untuk terus menyesal, bertaubat dan kembali ke jalan yang lurus dengan seberapa segera. Menyedari bahawa kematian boleh datang bila-bila masa sesungguhnya mendorong kita untuk tidak lagi bertangguh, tapi sebaliknya terus berubah dan memulakan perjalanan yang baru dan betul. 

Tahun 2010 kian menjelang. ERAKITA dengan kesedaran bahawa masih banyak kekurangan yang ada pada diri sendiri, mengajak anda semua untuk memulakan tahun baru ini dengan azam yang hebat dan berkualiti. Bermula dengan membanyakkan ingatan akan hakikat kematian yang datang bila-bila masa, catat dan sematkanlah azam dan cita-cita untuk melakukan sebanyak mungkin perubahan dalam diri BERTERASKAN kepada tema ”ESOK MESTI LEBIH BAIK DARI HARI INI”. 

 

ESOK MESTI LEBIH BAIK DARI HARI INI

&

SELAMAT TAHUN BARU

 

 

BERSUNAT: 5 anak bertuah

 

Dari kiri Mohd Iqbal, Mohd. Abid, Ahmad Adib, Mohd. Ikmal & Mohd Raqib. Inilah wajah sebelum bersunat

BERSUNAT DI MUSIM CUTI SEKOLAH

5 anak bertuah

 

7 Disember 2009 

Cuti persekolahan datang lagi. Program berkhitan atau bersunat untuk anak-anak samada secara berseorangan atau beramai-ramai berlangsung di sana sini. Sebagaimana keluarga lain, keluarga ERAKITA juga turut melaksanakan program berkhitan untuk lima ahli keluarganya yang kesemuanya masih bersekolah di sekolah rendah. Acara yang bersejarah itu dijalankan di rumah Hj Adenan Hj Mohd Yussuf di Kg. Pasir Putih Putatan, Kota Kinabalu. 

Acara berkhitan yang bermula pada jam 10.30am, 6 Disember 2009 itu dimulakan dengan sesi penerangan dan motivasi dari Tukang Sunat, diikuti bacaan doa keselamatan dan kesejahteraan oleh ERAKITA. Anak-anak yang dikhitan terdiri dari Ahmad Adib bin Ahadin (9 tahun), Muhd Iqbal bin Shahrul Anuar (11 tahun), Muhd. Ikmal bin Shahrul Anuar (9 tahun), Mohd. Abid bin Hj Juang (9 tahun) dan Mohd. Raqib bin Mohd Redza (8 tahun). 

Acara berkhitan itu dijalankan oleh seorang Tukang Sunat berpengalaman, saudara Jamilih bin Asoi @ Arinen. Sedikit maklumat mengenai Jamilih Asoi @ Arinen ingin dikongsi ERAKITA dalam ruangan ini. Beliau berumur 37 tahun, berasal dari Keningau dan saudara kandung kepada ERAKITA. Beliau kini bertugas sebagai Pembantu Perubatan di Unit Hemodialisis, Hospital Daerah Keningau. Selain berkelulusan  Diploma  dalam bidang Pembantu Perubatan, beliau juga mempunyai Diploma dalam bidang Binaan Bangunan dari Kolej Komuniti Yayasan Sabah. Beliau berpengalaman melakukan penyunatan kanak-kanak dan dewasa lelaki tidak kurang 200 orang sejak tahun 1996 lagi. 

Menariknya, kesemua anak-anak bertuah ini begitu bersemangat sejak awal untuk menghadapi saat-saat mendebarkan. Motivasi dan penerangan ringkas yang diberikan oleh Tukang Sunat, saudara Jamilih sebelum acara bermula tidak sia-sia. Kehadiran ibubapa anak-anak serta kata-kata sokongan mereka  turut memberi perangsang dan semangat kepada anak masing-masing. Acara menyunat berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Ibubapa anak-anak turut menyaksikan sendiri anak-anak mereka disunatkan. 

Alhamdulillah, kini segala-galanya telah berjaya dilaksanakan. Cuma, agak menggusarkan juga pada mulanya apabila anak-anak ini begitu risau dan takut untuk membuang air kecil. Ada di kalangan mereka yang sanggup menahan kencing selama beberapa jam sebelum ditenangkan dan diberi panduan. ERAKITA bersyukur kerana akhirnya mereka dapat membuang air kecil tanpa sebarang masalah ketika waktu solat maghrib menjelang tiba. 

Tahniah diucapkan kepada kelima-lima anak yang bertuah ini atas kejayaan menjalani acara bersunat. Semoga kejayaan melaksanakan tuntutan agama ini menjadi perangsang kepada mereka untuk menjadi manusia yang beriman dan bertaqwa.

Beberapa gambar menarik dipaparkan untuk tatapan istimewa. 

 

wow! jangan risau wahai adik.. Mohd. Abid kena tenang, rilek, tak payah bimbang..

Ini sudah betul-betul, bukan cubaan.. Kelihatan Jamilih (Tukang Sunat) bersama Shahrul Anuar (kanan) dan Rajis (kiri) di sisi anak

BERSUNAT BANYAK KEISTIMEWAAN

 

 

BEKAM: memang hebat!

 

Darah bertoksid melekat atas tubuh setelah cawan bekam dibuka. Lihatlah sendiri..

 

BEKAM DAN KEHEBATANNYA: 1

 

3 Disember 2009 

Salah seorang pengamal perubatan bekam dan homeopati terkenal di Malaysia dan si Indonesia ialah Dr Ibrahim. Beliau mendapat kelulusan khusus dalam Sarjana Muda Perbuatan Sains Homeopati dari Majlis Akademi Homeopati Malaysia dengan kerjasama Fakultas Kedokteran Universitas Sumetara Utara Indonesia pada 2005. Beliau juga memiliki Diploma Sains Pengajian kelolaan Majlis Akademi Homeopati Malaysia pada tahun 2002. 

Beliau juga mempunyai kelayakan dalam perubatan Islam apabila dianugerahkan sijil tamat kursus dari Pusat Perubatan Islam Darus Syifa kelolaan Datuk Dr. Harun Din pada tahun 2002. Selain itu, antara kursus tambahan yang dihadiri untuk memantapkan lagi kepakaran beliau dalam bidang homeopati dan bekam ialah Kursus Anatomi, Fisiologi, Biokimia, Gizi dan Kesihatan di Fakultas Kedokteran Universitas Sumatera Utara, Indonesia. 

Beliau telah membuka klinik perubatan Bekam dan Homepati di Batu 9, Kg Melaka, Cheras, Kuala Lumpur. ERAKITA berkesempatan untuk mendapatkan rawatan bekam beliau sebanyak 2 kali sejak tahun 2008. Terbaru, 13 oktober 2009, ERAKITA sekali lagi mendapatkan rawatan bekam di klinik beliau. Cara beliau melakukan rawatan bekam mempunyai kelainan dari para pengamal perubatan bekam lain yang pernah ERAKITA saksikan dan berbekam. 

Kelainan beliau ialah, beliau akan memberi penjelasan yang cukup jelas mengenai penyakit, punca, konsep penyakit dan lebih penting, beliau akan mengulang-ulang untuk mengeluarkan darah dari sesuatu lokasi tubuh sehingga darah yang bertoksid dapat dikeluarkan dalam kuantiti yang memuaskan. Lazimnya, penyedutan di lokasi yang sama dilakukan sehingga 3 hingga 4 kali. Beliau menyatakan bahawa, jika keadaan memerlukan, lokasi tertentu sebenarnya boleh disedut berulang kali sehingga 7 kali. Walau bagaimanapun, hal tersebut banyak bergantung kepada keupayaan dan kekuatan tubuh pesakit sendiri. 

Menariknya, menurut beliau, satu kesilapan yang lazimnya berlaku pada pengamal rawatan bekam ialah apabila mereka tidak mengulangi untuk menyedut lokasi yang sama setelah menyedut darah kali pertama dengan alasan, kawasan tersebut tiada darah kotor. Menurut beliau, kawasan yang tidak banyak keluar darah hitam setelah disedut kali pertama bukanlah menunjukkan bahawa bahagian tersebut tiada sakit atau tidak bertoksid. Menurut pengalaman beliau, kawasan tersebut sebenarnya mengandungi banyak darah bertoksid yang kotor tetapi toksid yang ada telah terkumpul terlalu lama serta mendap di lapisan kulit yang agak tebal. 

Pengulangan untuk mengeluarkan darah secara sedutan di kawasan tersebut seharusnya dilakukan sehingga darah kotor tersebut dikeluarkan. Berdasarkan pemerhatian ERAKITA dan sedikit pengalaman membekam orang, ternyata hal tersebut ada kebenarannya. ERAKITA sendiri telah mencuba kaedah tersebut dan mendapati bahawa sedutan kali kedua atau ketiga di lokasi yang sama akan menghasilkan sedutan darah bertoksid yang banyak dan berwarna hitam legam serta kental. 

ERAKITA yang sempat menimba sedikit ilmu dan pengalaman di samping mendapatkan rawatan bekam dari Dr Ibrahim sendiri dapat menyaksikan sendiri bagaimana beliau melakukan rawatan bekam ke atas pesakit lain. Sambil merawat, beliau tidak kedekut dengan ilmu apabila menerangkan terus kepada ERAKITA kaedah serta kawasan-kawasan yang patut dibekam untuk penyakit-penyakit tertentu. Satu hal yang menarik, apabila Dr Ibrahim menceritakan pengalaman beliau merawat pesakit wanita yang telah mengalami penyakit KANSER PAYU DARA sejak beberapa lama. Pesakit berkenaan telah datang ke Pusat Rawatannya di Kg Padang, Riau Indonesia. 

Beliau telah merawat pesakit berkenaan dengan kaedah perubatan homeopati dan bekam. Beliau juga telah menunjukkan sendiri beberapa gambar yang dirakamkan dalam kamera digital beliau kepada kami. Gambar rakaman memperlihatkan air berwarna kekuningan dan cair terkumpul dari kawasan sekeliling payu dara pesakit yang agak banyak. Gambar payudara pesakit pada mulanya amat teruk. Namun, setelah beberapa minggu rawatan dibuat, akhirnya payudara pesakit semakin cerah dan berwarna kemerahan menunjukkan bahawa darah di bahagian tersebut semakin lancar dan normal. 

Menurut beliau lagi, salah satu cabaran besar yang dihadapi ketika berhadapan pesakit berkenaan ialah pesakit diganggu makhluk halus. Menurut keluarga pesakit, pesakit telah beberapa lama diganggu makhluk halus. Keadaan sedemikian menyebabkan proses rawatan yang sepatutnya lancar adakalanya terganggu. Bagaimanapun, menurut beliau, usaha masih dilakukan agar pesakit berkenaan dapat disembuhkan sepenuhnya menggunakan kaedah homepati dan bekam.

Ketika ini Dr Ibrahim sedang menyiapkan buku mengenai Bekam dan kaitannya dengan Islam dan Sains. Kini, dengan mempunyai pekerja terlatih dalam homepati dan Bekam, beliau sedang mengendalikan Klinik Perubatan Homepati dan Bekam di Riau Indonesia. Beliau juga pernah dijemput untuk ditemuramah secara langsung di TV Riau, Indonesia dan menjawap soalan secara langsung dari para penonton mengenai Homeopati dan Bekam. 

Pelanggan beliau datang dari berbagai tempat. Klinik beliau di Batu 9, Kg Melaka Cheras Kuala Lumpur didatangi oleh pesakit dari seluruh Malaysia. Beberapa siri kursus Refleksiologi dan Bekam dikendalikan oleh beliau di Klinik tersebut sejak beberapa tahun yang lepas. Kursus telah dikendalikan di tempat yang sama pada 7 dan 8 November 2009 baru-baru ini. ERAKITA sendiri pernah menghantar salah seorang anggota keluarga ERAKITA untuk menghadiri kursus Bekam di sini pada bulan Julai 2008. Peserta akan diberikan nota kursus, alat bekam secara percuma dan sijil kursus. 

Ketika ditanya mengenai penyakit H1N1 yang melanda seluruh dunia, beliau menyatakan bahawa penekanan harus diberikan kepada masyarakat supaya memberi keutamaan untuk menguatkan sistem imunisasi dalam tubuh manusia. Imunisasi adalah kekebalan sistem tubuh dari serangan pelbagai penyakit. Semakin kuat sistem pertahanan tubuh, semakin sukarlah penyakit untuk hinggap ditubuh kita. Menurut beliau lagi, salah satu kaedah paling mudah untuk menguatkan sistem pertahanan tubuh manusia ialah dengan cara BERBEKAM.

Melalui bekam, darah yang kotor dan bertoksid (beracun) dapat dikeluarkan terus dari tubuh. Darah yang bersih pula akan semakin lancar mengalir dalam pembuluh darah yang luas. Akhirnya segala makanan atau minuman yang diangkut oleh darah yang mengandungi pelbagai bahan penting yang diperlukan tubuh seperti oksigen, vitamin dan lain-lain lagi akan disebarkan ke seluruh tubuh dalam jangkamasa singkat. 

Untuk melihat lebih lanjut perkembangan perubatan Homepati dan Bekam, klinik beliau ada menyediakan laman web sendiri yang boleh dilayari di alamat www.homepatiindonesia.com. Beliau juga menjual peralatan khas untuk rawatan bekam seperti pen, lenset, cawan dan mesin penyedut eletrik yang diimport dari luar negeri. Peralatan ini amat sesuai dan penting kepada para pengamal rawatan bekam. Peralatan moden sedemikian dapat mengikis tanggapan mengenai kengerian  atau keperitan pesakit untuk mendapatkan rawatan bekam.

Peralatan moden dan sopistikated seperti cawan, pen dan lanset benar-benar menjadikan proses rawatan bekam sesuatu yang tidak mengerikan, tidak menyakitkan dan tidak memudaratkan. Kita akan menyaksikan sendiri bagaimana selepas rawatan bekam, tidak ada luka di bahagian kulit yang kelihatan. Jika ada, hanyalah kulit berwarna kemerahan kesan sedutan darah. 

Dalam artikel yang akan datang, ERAKITA akan menceritakan pula beberapa aspek lagi mengenai rawatan bekam dan kehebatannya. Insyaa Allah. Beberapa gambar untuk tatapan dipaparkan di bawah untuk anda semua.

Peralatan Bekam. Moden, canggih, bersih dan meyakinkan!

Mesin eletrik moden untuk menyedut darah melalui cawan. canggih! bukan lagi macam dulu-dulu

Dr Ibrahim di Pejabat Kliniknya

 

BERBEKAM SUNNAH NABI

 

 

MAJLIS KONVOKESYEN PRA SEKOLAH DAERAH TAMBUNAN MERIAH: tahniah!

 

Para Graduan berbaris menanti saat gemilang menerima skroll di atas pentas

MAJLIS KONVOKESYEN PRA SEKOLAH DAERAH TAMBUNAN MERIAH

tahniah!

  

1 Disember 2009 

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua pelajar Pra-Sekolah Daerah Tambunan yang telah berjaya menamatkan pendidikan awal mereka baru-baru ini. Satu majlis khas telah diadakan untuk meraikan tamatnya persekolahan peringkat asas kepada seramai 308 pelajar dari 23 buah sekolah dari seluruh Daerah Tambunan pada 5 November 2009. Majlis Konvokesyen yang diadakan di Dewan Masyarakat Tambunan itu menyaksikan kehadiran luarbiasa ibubapa dan penjaga pelajar-pelajar berkenaan. 

Dianggarkan kehadiran ibubapa dan penjaga serta ahli keluarga masing-masing mencecah 500 orang. Kehadiran luarbiasa ini menunjukkan betapa para ibubapa begitu prihatin terhadap perkembangan dan kemajuan pendidikan anak-anak mereka walaupun di peringkat pra-sekolah. Majlis bersejarah itu dirasmikan oleh Puan Faridah bte Wahid, Pegawai Bahagian Sektor Pedidikan Akademik, Pejabat Pendidikan Daerah Tambunan yang mewakili Pegawai Pelajaran Daerah Tambunan, Tuan Hj Kaipin Rosmin. 

Menariknya, pelajar-pelajar telah menerima sijil tamat pendidikan Pra-Sekolah dari Guru Besar sekolah masing-masing. Majlis tersebut juga tambah berseri apabila juruacara majlis dikendalikan oleh DJ dari Radio KLfm, Puan Faridah Yunus yang kebetulan bercuti seketika untuk menemani suaminya, Cikgu Ahmad Iznan yang bertugas di SK Kaingaran Tambunan sejak Januari 2009. 

Terdahulu dari itu, ketibaan Puan Faridah Wahid untuk merasmikan majlis tersebut disambut dengan paluan kompang dari Kumpulan Khai, Sekolah Menangah Ugama (SMU) Tambunan. ERAKITA yang sempat bertemu dengan pengurus Kumpulan Khai, Ustaz Ramlin Asri turut dimaklumkan bahawa kumpulan kompang tersebut ditubuhkan pada tahun 2007 dan dianggotai seramai 13 pelajar SMU Tambunan, diketuai oleh adik Mohd Syafie bin Rahman. Kumpulan Khai juga pernah memenangi pertandingan kompang peringkat Daerah Tambunan sempena Festival Nasyid dan Kompang pada tahun 2008. 

Majlis Konvokesyen yang bermula seawal jam 7.00 pagi dan berakhir jam 1.00 tengahari diserikan dengan pelbagai persembahan dari pelajar-pelajar pra-sekolah sendiri. Antaranya, deklamasi sajak, nyanyian dan tarian. Majlis yang berjalan lancar itu tambah menarik apabila acara penyampaian sijil diselitkan dengan pengumuman dan penyampaian hadiah kepada para ibubapa yang mendapat cabutan tiket bertuah. Para ibubapa dan guru-guru tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar bersama pelajar-pelajar bertuah itu sebagai kenang-kenangan. 

ERAKITA yang turut hadir untuk memberikan semangat dan berkongsi kejayaan dengan anaknya dalam majlis berkenaan begitu teruja dengan suasana ceria dan bersemangat sepanjang majlis berlangsung. Semoga majlis seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang dengan pelbagai pengisian yang menarik dan BERSESUAIAN menurut tahap umur pelajar-pelajar berkenaan, etika, moral dan agama. 

Akhir sekali, tahniah kepada pihak pengajur yang berjaya melaksanakan majlis tersebut dengan jayanya. Kepada para pelajar yang telah menamatkan pendidikan Pra-Sekolah, ERAKITA ucapkan TAHNIAH. Semoga penganugerahan sijil tersebut menjadi titik tolak untuk meneruskan kecemerlangan akademik ke tahap tertinggi pada masa akan datang. Beberapa gambar menarik sepanjang majlis berkenaan dipaparkan di bawah ini untuk tatapan bersama.

Para Graduan dari SK Kipaku bersama Guru Besar En. Nordin Zaini dan Cikgu Aniah bergambar untuk kenangan

Nur Syakirah Ahadin bersama guru kesayangannya Puan Aniah. Tahniah!

Kumpulan Khai terdiri dari pelajar SMU Tambunan dijemput untuk memalu kompang sempena ketibaan pegawai dari Pejabat Pendidikan Tambunan bagi perasmian Majlis Konvokesyen Pra Sekolah. Boleh tahan juga bakal para alim ulama ni!

Kehadiran para ibu bapa yang amat memberangsangkan

Bersedia naik ke pentas.

Penuh debaran adik-adik ni

gembira bersama skroll dan anak patung

Nur Syakirah Ahadin bersama skroll. Ini permulaan untuk kejayaan seterusnya. Tahniah untuk anak kesayangan

Generasi pewaris kepimpinan negara

Puan Faridah Wahid (kiri) mewakili Pegawai Pendidikan Daerah kelihatan kusyuk melihat persembahan adik-adik di pentas

Puan Faridah Yunus, DJ Radio KLfm turut menyerikan majlis sebagai pengacara

Tahniah adik-adik! Belajar tinggi-tinggi ya..

 TERUSKAN KECEMERLANGAN DALAM PENDIDIKAN