Monthly Archives: Ogos 2015

ISTERI MOHON PERCEPAT SIJIL CERAI

Assalamulaikum

Saya mahu bertanya bagaimanakah caranya untuk mempercepatkan pengambilan surat cerai. Sebabnya, Mahkamah belum lagi memanggil bekas suami untuk dibicarakan?

Walaikumussalam wbt.

Istilah surat cerai dalam pertanyaan Puan di atas adalah bersifat umum. Sebenarnya, terdapat 2 bentuk dokumen penting mengenai perceraian pasangan Muslim. Pertamanya, Perintah Perceraian dari Mahkamah Syariah. Keduanya, Sijil Perceraian yang dikeluarkan oleh Pendaftar Pernikahan Perceraian dan Rujuk (PPR) di Jabatan Agama Islam Negeri.

Sijil Perceraian hanya dikeluarkan oleh PPR setelah Mahkamah Syariah mengeluarkan perintah perceraian atau pembubaran perkahwinan samada berpunca dari pengesahan lafaz perceraian yang berlaku di luar mahkamah atau perceraian biasa dengan lafaz talaq di hadapan mahkamah, fasakh, ta’liq dan khulu’ atau disebut juga sebagai tebus talaq. Hanya setelah mahkamah syariah mengeluarkan perintah perceraian atau pembubaran perkahwinan, baharulah PPR di Jabatan Agama Islam akan mengeluarkan Sijil Cerai.

Justeru, pada peringkat ini, Puan dinasihatkan untuk berurusan terus dengan pihak mahkamah bagi mendapatkan tarikh terawal bagi pendengaran kes Puan. Lazimnya, mahkamah akan menetapkan pendengaran kes berkenaan dalam tempoh 21 hari dari tarikh pendaftaran kes di Mahkamah. Ini adalah menurut Arahan Amalan yang dikeluarkan oleh Ketua Hakim Syarie negeri-negeri yang diselaraskan di seluruh negara. Tempoh ini juga menjadi Piagam Pelanggan Mahkamah Syariah di negeri-negeri.

Puan boleh menghubungi Mahkamah berkenaan melalui telipon atau emel bagi  mendapatkan maklumat dari Pendaftar Mahkamah untuk mengetahui status kes dan tarikh kes berkenaan akan didengar. Namun, ada baiknya Puan sendiri datang ke Mahkamah Syariah untuk bertanya terus hal tersebut. Staf di kaunter boleh membantu untuk menyemak status kes Puan melalui talian online dalam Sistem Pendaftaran Kes Mahkamah Syariah (SPKMS).

Puan juga boleh meminta budi bicara mahkamah untuk menjadualkan lebih awal kes berkenaan jika Puan mempunyai alasan yang kukuh seperti terpaksa keluar negara dalam jangkamasa terdekat atas urusan mendesak seperti menyambung pelajaran di luar negara. Alasan seperti terpaksa menjalani rawatan di hospital bagi penyakit yang berat boleh dijadikan justifikasi bagi penjadualan awal.

Pendengaran kes di Mahkamah boleh tertunda akibat kegagalan menyampaikan saman atau Notis Permohonan kepada pihak suami. Di sisi undang-undang, asas untuk Mahkamah boleh meneruskan pendengaran atau perbicaraan sesuatu kes adalah apabila penyampaian saman atau Notis Permohonan telah berjaya disempurnakan ke atas Defendan atau suami dalam kes ini. Penyampaian gantian seperti membuat tampalan saman dan Notis berkenaan di tempat-tempat awam yang ditetapkan oleh Mahkamah atau melalui iklan di surat khabar tempatan atau nasional boleh dilaksanakan dan dikira sempurna sekiranya Defendan atau suami gagal dikesan. Perkara ini dinyatakan dalam seksyen 48 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 (Akta 585).

Penyelesaian kes perceraian Puan akan menjadi lebih mudah sekiranya suami Puan dapat hadir bersama di Mahkamah. Persetujuan bersama kedua suami dan isteri untuk bercerai juga boleh dipertimbangkan oleh mahkamah untuk menjadualkan kes berkenaan pada masa yang singkat. Bahkan, di beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Selangor dan Sabah, kes perceraian lazimnya didengar dan diputuskan oleh Mahkamah pada hari yang sama kes berkenaan didaftarkan sekiranya ada persetujuan bersama kedua suami dan isteri untuk bercerai. Laporan akhbar mengenai penyelesaian perceraian di Mahkamah Syariah Selangor boleh dirujuk dalam Sinar Harian pada 3 Julai 2015 di alamat http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/bercerai-dalam-tempoh-enam-jam-1.407375.

Bagaimanapun, kita sedia maklum bahawa Mahkamah juga mempunyai jadual yang ketat khususnya mahkamah yang beroperasi di daerah atau bahagian-bahagian yang besar dan padat penduduknya. Hal ini sudah tentu menjadi salah satu cabaran atau kekangan kepada mahkamah untuk menjadual kes pada hari yang sama ianya didaftarkan atau lebih awal khususnya bagi pendengaran kali kedua dan seterusnya. Pendengaran kes pada hari yang sama ianya didaftarkan di Mahkamah bergantung kepada ruang masa dan kesediaan Hakim untuk mendengar terus kes berkenaan. Pendengaran kes pada hari yang sama juga dapat dilakukan sekiranya kedua pihak hadir di Mahkamah dan bersedia untuk menyelesaikan kes berkenaan melalui persetujuan.

Kesimpulannya, selagi kes perceraian di mahkamah belum selesai, selagi itulah Pendaftar PPR di Jabatan Agama tidak akan mengeluarkan sijil perceraian tersebut. Justeru, sijil cerai yang Puan maksudkan itu hanya akan dikeluarkan oleh PPR selepas kes perceraian di Mahkamah Syariah telah selesai sepenuhnya. Kes perceraian Puan pula boleh diselesaikan dengan cepat sekiranya Puan dan suami Puan bersedia untuk hadir bersama dan membuat persetujuan bercerai secara baik di Mahkamah tanpa melalui proses perbicaraan yang panjang. Semoga penjelasan ini memberi manfaat kepada Puan.

Wallahu a’lam

WANITA TERLANJUR SEDIA BERMADU

Assalamualaikum

Saya dengan pasangan saya ingin berkahwin. Pasangan saya sudah berkahwin dan memiliki 3 anak. Permohonan poligami telah dihantar dan menunggu surat tarikh mahkamah. Isteri pasangan saya dah mengizinkan kami untuk bernikah. Selama kami bercinta selama 6 tahun, kami telah melakukan kesalahan. Dan kami ingin bertaubat. Dan dari kesalahan itu kami telah memiliki seorang anak. Isteri pasangan saya juga telah mengetahuinya. Kami ingin segera berkahwin. Apa yang perlu kami lakukan untuk membaiki semua keadaan ini? Dan apa yg terjadi kepada anak kami sekiranya pihak jabatan agama mengetahui perkara ini. Minta perjelaskan. Dan apa yang perlu kami lakukan? Anak kami juga telah mengidap penyakit jantung yang kronik. Kami ingin buat yang terbaik untuk anak kami.

Walaikumussalam wbt.

Terimakasih atas pertanyaan saudari di atas. Tindakan bakal suami menfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran berpoligami di Mahkamah Syariah adalah betul di sisi undang-undang. Memang menjadi satu kesalahan jika berpoligami tanpa kebenaran mahkamah. Justeru, hadirlah ke mahkamah apabila dipanggil untuk memberikan keterangan di hadapan hakim nanti. Yang perlu hadir adalah suami (pemohon), isteri sedia ada, bakal isteri dan wali kepada bakal isteri. Jika mahkamah meluluskan, laksanakanlah pernikahan tersebut dan elakkan dari menunda-nunda. Dibimbangi akan berlaku pelbagai perkara yang tidak baik.

Jika mahkamah tidak meluluskan permohonan tersebut, suami boleh membuat rayuan di mahkamah yang lebih tinggi iaitu Mahkamah Rayuan Syariah. Persetujuan daripada isteri untuk si suami berpoligami merupakan satu kelebihan kepada suami walaupun ianya tidaklah semestinya menyebabkan mahkamah terikat untuk meluluskan permohonan tersebut. Terdapat beberapa perkara lagi yang perlu diambil pertimbangan oleh mahkamah seperti kemampuan suami dan juga alasan mengapa perlu berpoligami.

Selepas pernikahan nanti, sijil nikah akan dikeluarkan oleh Pendaftar Nikah cerai dan Rujuk di Jabatan Agama Islam Negeri. Tindakan seterusnya adalah mendaftarkan kelahiran anak di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) jika telah ada. Bagaimanapun, pihak JPN juga mempunyai peraturan tersendiri yang mengambil kira keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan ketika meletakkan bin atau binti kepada seseorang anak dalam daftar kelahiran. Jika anak tersebut lahir kurang dari 6 bulan qamariah selepas pernikahan, anak tersebut akan dibin atau dibintikan dengan Abdullah atau mana-mana 99 nama Allah di dalam asmaa al-husna.

Menurut apa yang erakita dapat fahami, anak telahpun dilahirkan oleh saudari sebelum pernikahan dengan bakal suami. Justeru, salah satu perkara yang perlu dirujuk kepada JPN apabila mendaftarkan kelahiran anak tersebut adalah berkenaan dengan nasab anak tersebut samada boleh dibin atau dibintikan kepada suami saudari. Bagi negeri-negeri di Semenanjung, rujukan undang-undang boleh dibuat pada seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957. Di Sabah, rujukan boleh dibuat kepada seksyen 10 Sabah Birth and Death Registration Ordinance (Cap 123). Bagi Sarawak pula, rujukan adalah kepada seksyen 11 Sarawak Birth and Death Registration Ordinance (Cap 10). Rujukan juga boleh dibuat kepada Pekeliling JPN No. 8/2009.

Dari segi hukum, perbuatan zina adalah terlarang dan termasuk sebagai dosa yang besar di sisi Allah. Taubat nasuha perlu dilakukan tanpa berlengah oleh pelakunya. Jangan bertangguh untuk memohon ampun kepada Allah atas dosa yang dilakukan. Ini kerana, dibimbangi bahawa pelakunya meninggal dunia sebelum sempat bertaubat. Amatlah malang jika terjadi seperti ini. Perlu diingatkan bahawa dalam soal bertaubat kepada Allah, tidak ada had dan batasan masa selagi nyawa masih dikandung badan. Tiada istilah putus asa dan terlambat selagi kita masih bernafas. Hal ini diterangkan oleh Allah dalam surah az- Zumar: 53 yang berbunyi:

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampuni segala dosa, sesungguhnya Dialah juga Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”

Dari segi undang-undang, adalah menjadi satu kesalahan di sisi undang-undang bagi orang-orang yang beragama Islam untuk melakukan perbuatan terlarang seperti zina. Justeru, jika sekiranya aduan diterima oleh pihak Penguatkuasa Agama di Jabatan Agama Islam mengenai perbuatan zina atau lahirnya anak tak sah taraf tersebut, satu siasatan mengenainya boleh dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasaan dan Penyiasatan. Jika pihak pendakwa syarie berpuas hati adanya kes yang kuat untuk pendakwaan, maka pasangan berkenaan boleh didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah atas kesalahan melakukan persetubuhan luar nikah. Menurut seksyen 23 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (AKTA 559), pesalah lelaki atau wanita berkenaan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau sebatan tidak lebih 6 sebat atau gabungan dari mana-mana 2 bentuk hukuman tersebut. Seksyen 23 itu juga jelas menyebutkan bahawa kehamilan luar nikah dengan kerelaan si wanita tersebut merupakan prima facie bahawa perlakuan persetubuhan luar nikah telah berlaku.

Sayugia diingatkan bahawa selagi tidak ada aduan dibuat di hadapan Pegawai Penguatkuasa Agama di Jabatan Agama Islam Negeri mengenai perbuatan hamil luar nikah atau persetubuhan haram tersebut, maka tidak timbul soal saudari dan bakal suami didakwa di Mahkamah syariah. Erakita menasihatkan agar saudari dan pasangan saudari bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi sebarang kemungkinan seperti pendakwaan atas kesalahan persetubuhan luar nikah di Mahkamah Syariah dan perletakan bin atau binti anak saudari kepada mana-mana nama dalam senarai 99 nama Allah pada daftar kelahirannya.

Mengenai pertanyaan saudari mengenai kedudukan anak tersebut jika diketahui oleh Jabatan Agama Islam, saudari tidak perlu risau mengenainya. Tidak akan ada apa-apa tindakan undang-undang yang boleh diambil oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam ke atas anak tak sah taraf tersebut. Bagaimanapun, dari aspek pembuktian kes di Mahkamah, kelahiran anak tersebut di luar pernikahan merupakan satu bahan bukti (bayyinah) yang dianggap kukuh dalam kes pendakwaan ke atas pelaku zina di Mahkamah Syariah. Jika anak tersebut dinafikan sebagai bukan anaknya, pembuktian melalui ujian DNA boleh digunakan bagi membuktikan pertalian antara si anak dengan si ibu dan si lelaki yang telah menyebabkan kehamilannya.

Mengenai penyakit jantung yang dialami oleh anak tersebut, erakita turut tersimpati dengan ujian yang Allah berikan kepada saudari. Percayalah bahawa semua ujian ini ada hikmah di sebaliknya yang Allah untukkan untuk diri yang berkenaan. Mohonlah ampun dan bertaubatlah sebanyak-banyaknya kepada Allah tanpa henti dan putus asa. Perbanyakkanlah melakukan amal soleh. Laksanakan apa yang wajibkan Allah untuk melakukannya, manakala perkara sunat dilakukan menurut kemampuan. Banyakkan bersedekah dan lakukanlah kebaikan walaupun sedikit sahaja. Yang penting, amalan tersebut dilakukan berterusan sehingga ke akhir hayat kita. Dengan keadaan anak yang sedang mengalami sakit jantung, dapatkanlah rawatan terbaik untuk anak tersebut di hospital. Mintalah bantuan dari ahli keluarga saudari atau mana-mana pihak yang berkaitan untuk mendapatkan rawatan di hospital atau mana-mana klinik pakar. Nyawa adalah keutamaan tanpa meminggirkan soal taubat dan tawakkal kepada Allah.

Erakita doakan agar saudari diberikan jalan keluar oleh Allah untuk berhadapan dengan ujian ini. Semoga Allah memberikan hidayah dan iman yang kukuh untuk saudari dan bakal suami saudari. Amin yaa Rabbal alamin

Wallahu a’lam

PENDAFTARAN KES JENAYAH DI MAHKAMAH SYARIAH

Perlembagaan Persekutuan melalui Senarai 2, Jadual ke 9 telah memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar, membicarakan dan memutuskan kes melibatkan perlanggaran undang-undang Islam oleh orang-orang Islam setakat mana yang diberikan oleh undang-undang. Dalam konteks Mahkamah Syariah, satu undang-undang khas telah dikanunkan di setiap negeri di Malaysia untuk digunakan dalam rangka melaksana dan menguatkuasakan undang-undang jenayah syariah. Undang-undang tersebut dikenali sebagai Akta atau Enakmen Tatacara Jenayah Syariah. Undang-undang ini mengandungi tatacara atau prosedur bagaimana undang-undang berkaitan jenayah syariah dilaksana atau dikuatkuasakan oleh agensi berkaitan seperti Pegawai Penguatkuasa Agama, Pendakwa Syarie dan Hakim Syarie di Mahkamah Syariah.

Bagi memudahkan pemahaman mengenai tatacara atau prosedur pendaftaran kes jenayah di Mahkamah Syariah, erakita dengan sukacita menerbitkan satu artikel berbentuk PDF dalam ruangan ini. Artikel yang ditulis oleh Ahadin bin Arinen yang merupakan pengamal undang-undang Islam di Mahkamah Syariah ini membincangkan secara detail dan padat bagaimana tatacara sesuatu kes jenayah meliputi kes tangkapan tanpa waran, tangkapan dengan waran, saman dan waran geledah didaftarkan di Mahkamah Syariah. Artikel yang mengambil kira peruntukan khusus dari Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Sabah dan Dokumen Prosedur Kualiti MS ISO 9001-2008 di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah ini diharap dapat memberi input dan sumbangan kepada pengamal undang-undang bukan sahaja di Negeri di Bawah Bayu, tetapi juga di negeri-negeri lain dalam rangka memperkemas dan memperkasa bentuk penguatkuasaan dan perlaksanaan undang-undang jenayah di negara ini.

Untuk melihat dan mengambil artikel tersebut, sila KLIK PENDAFTARAN KES JENAYAH DI MAHKAMAH SYARIAH. Semoga ada manfaatnya untuk kita semua.

KETERANGAN PALSU DI MAHKAMAH SYARIAH

Keterangan saksi adalah penting dalam suatu perbicaraan di Mahkamah. Tidak kira Mahkamah itu Mahkamah Awam atau Mahkamah Syariah. Ini kerana, keterangan seseorang diperlukan untuki membuktikan sesuatu hak atau dakwaan atau tuntutan di Mahkamah. Ini kerana, prinsip umum dalam undang-undang keterangan ialah beban pembuktian itu terletak pada bahu pihak yang mendakwa atau menuntut. Persoalannya, jika keterangan saksi itu penting dalam suatu perbicaraan di Mahkamah, bagaimana pula jika saksi yang dipanggil itu memberi keterangan palsu atau bohong di Mahkamah? Dalam konteks Mahkamah Syariah, apakah terdapat undang-undang yang boleh digunakan untuk menangani perbuatan ini?

Bagi mengetahui lebih lanjut persoalan ini, erakita mengajak anda semua untuk membaca artikel yang ditulis oleh seorang pengamal undang-undang di Mahkamah Syariah iaitu Ahadin bin Arinen. Untuk artikel penuh berbentuk PDF, sila KLIK  FALSE EVIDENCE IN SYARIAH COURT.  Artikel ini ditulis dalam Bahasa Inggeris supaya ia dapat dikongsi dan difahami bersama oleh semua golongan, bangsa dan agama. Semoga tulisan ini membawa manfaat untuk semua dalam rangka mengenali dunia perundangan Islam di Malaysia. Selamat membaca.