Daily Archives: 27 Ogos 2015

ISTERI MOHON PERCEPAT SIJIL CERAI

Assalamulaikum

Saya mahu bertanya bagaimanakah caranya untuk mempercepatkan pengambilan surat cerai. Sebabnya, Mahkamah belum lagi memanggil bekas suami untuk dibicarakan?

Walaikumussalam wbt.

Istilah surat cerai dalam pertanyaan Puan di atas adalah bersifat umum. Sebenarnya, terdapat 2 bentuk dokumen penting mengenai perceraian pasangan Muslim. Pertamanya, Perintah Perceraian dari Mahkamah Syariah. Keduanya, Sijil Perceraian yang dikeluarkan oleh Pendaftar Pernikahan Perceraian dan Rujuk (PPR) di Jabatan Agama Islam Negeri.

Sijil Perceraian hanya dikeluarkan oleh PPR setelah Mahkamah Syariah mengeluarkan perintah perceraian atau pembubaran perkahwinan samada berpunca dari pengesahan lafaz perceraian yang berlaku di luar mahkamah atau perceraian biasa dengan lafaz talaq di hadapan mahkamah, fasakh, ta’liq dan khulu’ atau disebut juga sebagai tebus talaq. Hanya setelah mahkamah syariah mengeluarkan perintah perceraian atau pembubaran perkahwinan, baharulah PPR di Jabatan Agama Islam akan mengeluarkan Sijil Cerai.

Justeru, pada peringkat ini, Puan dinasihatkan untuk berurusan terus dengan pihak mahkamah bagi mendapatkan tarikh terawal bagi pendengaran kes Puan. Lazimnya, mahkamah akan menetapkan pendengaran kes berkenaan dalam tempoh 21 hari dari tarikh pendaftaran kes di Mahkamah. Ini adalah menurut Arahan Amalan yang dikeluarkan oleh Ketua Hakim Syarie negeri-negeri yang diselaraskan di seluruh negara. Tempoh ini juga menjadi Piagam Pelanggan Mahkamah Syariah di negeri-negeri.

Puan boleh menghubungi Mahkamah berkenaan melalui telipon atau emel bagi  mendapatkan maklumat dari Pendaftar Mahkamah untuk mengetahui status kes dan tarikh kes berkenaan akan didengar. Namun, ada baiknya Puan sendiri datang ke Mahkamah Syariah untuk bertanya terus hal tersebut. Staf di kaunter boleh membantu untuk menyemak status kes Puan melalui talian online dalam Sistem Pendaftaran Kes Mahkamah Syariah (SPKMS).

Puan juga boleh meminta budi bicara mahkamah untuk menjadualkan lebih awal kes berkenaan jika Puan mempunyai alasan yang kukuh seperti terpaksa keluar negara dalam jangkamasa terdekat atas urusan mendesak seperti menyambung pelajaran di luar negara. Alasan seperti terpaksa menjalani rawatan di hospital bagi penyakit yang berat boleh dijadikan justifikasi bagi penjadualan awal.

Pendengaran kes di Mahkamah boleh tertunda akibat kegagalan menyampaikan saman atau Notis Permohonan kepada pihak suami. Di sisi undang-undang, asas untuk Mahkamah boleh meneruskan pendengaran atau perbicaraan sesuatu kes adalah apabila penyampaian saman atau Notis Permohonan telah berjaya disempurnakan ke atas Defendan atau suami dalam kes ini. Penyampaian gantian seperti membuat tampalan saman dan Notis berkenaan di tempat-tempat awam yang ditetapkan oleh Mahkamah atau melalui iklan di surat khabar tempatan atau nasional boleh dilaksanakan dan dikira sempurna sekiranya Defendan atau suami gagal dikesan. Perkara ini dinyatakan dalam seksyen 48 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 (Akta 585).

Penyelesaian kes perceraian Puan akan menjadi lebih mudah sekiranya suami Puan dapat hadir bersama di Mahkamah. Persetujuan bersama kedua suami dan isteri untuk bercerai juga boleh dipertimbangkan oleh mahkamah untuk menjadualkan kes berkenaan pada masa yang singkat. Bahkan, di beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Selangor dan Sabah, kes perceraian lazimnya didengar dan diputuskan oleh Mahkamah pada hari yang sama kes berkenaan didaftarkan sekiranya ada persetujuan bersama kedua suami dan isteri untuk bercerai. Laporan akhbar mengenai penyelesaian perceraian di Mahkamah Syariah Selangor boleh dirujuk dalam Sinar Harian pada 3 Julai 2015 di alamat http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/bercerai-dalam-tempoh-enam-jam-1.407375.

Bagaimanapun, kita sedia maklum bahawa Mahkamah juga mempunyai jadual yang ketat khususnya mahkamah yang beroperasi di daerah atau bahagian-bahagian yang besar dan padat penduduknya. Hal ini sudah tentu menjadi salah satu cabaran atau kekangan kepada mahkamah untuk menjadual kes pada hari yang sama ianya didaftarkan atau lebih awal khususnya bagi pendengaran kali kedua dan seterusnya. Pendengaran kes pada hari yang sama ianya didaftarkan di Mahkamah bergantung kepada ruang masa dan kesediaan Hakim untuk mendengar terus kes berkenaan. Pendengaran kes pada hari yang sama juga dapat dilakukan sekiranya kedua pihak hadir di Mahkamah dan bersedia untuk menyelesaikan kes berkenaan melalui persetujuan.

Kesimpulannya, selagi kes perceraian di mahkamah belum selesai, selagi itulah Pendaftar PPR di Jabatan Agama tidak akan mengeluarkan sijil perceraian tersebut. Justeru, sijil cerai yang Puan maksudkan itu hanya akan dikeluarkan oleh PPR selepas kes perceraian di Mahkamah Syariah telah selesai sepenuhnya. Kes perceraian Puan pula boleh diselesaikan dengan cepat sekiranya Puan dan suami Puan bersedia untuk hadir bersama dan membuat persetujuan bercerai secara baik di Mahkamah tanpa melalui proses perbicaraan yang panjang. Semoga penjelasan ini memberi manfaat kepada Puan.

Wallahu a’lam