Monthly Archives: Ogos 2017

KUNJUNGAN MAHABBAH KE PENJARA TAWAU

TAWAU – Bagi memantapkan ilmu pengetahuan mengenai hukuman sebatan sivil dan suasana penjara, satu kunjungan mahabbah kepada Pengarah baru Penjara Tawau PKK Faisal bin Mohamed Noor telah diadakan oleh Mahkamah Syariah Tawau pada 3 Ogos 2017. Rombongan Mahkamah Syariah Tawau yang diketuai oleh Yang Arif Tuan Ahadin bin Arinen, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Tawau itu membabitkan seramai 21 orang. Mereka terdiri daripada Hakim Syarie dan pegawai kanan dari Mahkamah Syariah Tawau, Sandakan, Lahad Datu dan Semporna. Turut hadir adalah Pendakwa Syarie Kanan dan Pegawai Kanan Penguatkuasaan dan Penyiasatan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dari Kota Kinabalu. Rombongan berkenaan turut disertai oleh 4 orang Peguam Syarie yang beramal di Daerah Tawau, Semporna dan Lahad Datu.

Ketibaan rombongan ke perkarangan Penjara Tawau disambut mesra oleh pegawai-pegawai kanan Penjara. Tepat 9.52am, rombongan dibawa oleh Pengarah Penjara Tawau untuk menyaksikan perlaksanaan hukuman sebat dari Mahkamah Sivil. Amat mengujakan apabila kesemua ahli rombongan dapat menyaksikan secara langsung bagaimana pesalah-pesalah yang telah disabit dan dihukum atas kesalahan jenayah oleh Mahkamah Sivil disebat. Sukar digambarkan reaksi dan perasaan ahli rombongan ketika menyaksikan hukuman tersebut dan khususnya ketika melihat wajah-wajah pesalah sebelum, semasa dan selepas hukuman sebat dilaksanakan. Daripada 29 pesalah yang disebat pada pagi itu, rombongan telah menyaksikan sebatan ke atas 5 pesalah .

Selepas 15 minit menyaksikan sebatan, rombongan kemudiannya dibawa ke bilik mesyuarat untuk sesi ramah mesra penuh mahabbah dengan Pengarah dan Pegawai-Pegawai Penjara Tawau. Yang Arif Tuan Ahadin bin Arinen turut menyerahkan senaskah SOP Hukuman Sebatan Syariah yang terpakai bagi Mahkamah Syariah Tawau kepada Pengarah Penjara Tawau. Banyak ilmu pengetahuan dan juga pengalaman bernilai ditimba hasil kunjungan ini. Apa yang lebih penting, kunjungan ini sesungguhnya amat penting ke arah merapat dan memperkukuhkan hubungan serta kerjasama antara Mahkamah Syariah di Sabah dengan pihak Penjara. Hubungan dan kerjasama mantap ini dapat melicinkan usaha Mahkamah Syariah dalam melaksanakan hukuman sebatan syariah di khalayak ramai pada masa hadapan.  Sebagai makluman, Mahkamah Syariah Tawau dengan kerjasama Penjara Tawau telahpun melaksanakan hukuman sebatan atas kesalahan zina di khalayak ramai dalam Dewan Terbuka Mahkamah sejak tahun 2014 lagi.

cof

cof

cof