MALAYSIA: NEGARA CONTOH MENGURUS JEMAAH HAJI

MALAYSIA: NEGARA CONTOH MENGURUS JEMAAH HAJI

21 April 2011

Tidak dapat dipertikaikan lagi bahawa Malaysia adalah antara negara Islam di dunia yang boleh dibanggakan dalam pengurusan jemaah haji. Pengiktirafan ini bukan sesuatu yang baru. Ia telah lama diakui oleh Kerajaan Arab Saudi sebagai Tuan Rumah Jemaah Haji dari seluruh dunia.

ERAKITA percaya para jemaah haji Malaysia yang menunaikan haji di Tanah Suci bersetuju dengan pengiktirafan ini. Kecekapan dan keberkesanan pengurusan Tabung Haji Malaysia mengendalikan kebajikan jemaah jelas kelihatan bermula dari tanah air lagi. Kursus bersiri dan latihan prakikal diadakan secara intensif kepada para bakal jemaah haji diadakan bermula beberapa bulan sebelum keberangkatan ke Tanah Suci.

Bagi ERAKITA, para jemaah haji Malaysia wajar bersyukur kerana Malaysia adalah antara negara Islam di dunia yang teratur dan berkesan urusan hajinya. Layanan dan khidmat terbaik dari para petugas Tabung Haji bermula dari tanah air, ketika dalam penerbangan, ketika di Madinah dan Makkah amat dirasai. Di Madinah umpamanya, para petugas Tabung Haji bertungkus lumus memastikan kebajikan jemaahnya terjaga. Mereka sentiasa berada di mana-mana dan mudah sekali ditemui dengan pakaian khas baik di kawasan bangunan penginapan (hotel) mahupun di Masjid Nabawi. Hatta, para petugas juga masih meronda kawasan Masjid Nabi pada waktu tengah malam sekalipun. Ini semua dilakukan untuk memastikan tiada sesiapa jemaah yang tersesat atau menghadapi kesulitan.

Pegawai-pegawai agama yang juga menjadi pakar rujuk dalam hal ehwal ibadah haji sentiasa tersedia di tempat khas di bangunan penginapan. Mereka bersedia menerima apa sahaja kemuyskilan dari para jemaah. Terasa sekali betapa mereka tidak mengenal penat dan lelah bila berhadapan dengan pelbagai kerenah para jemaah.

Keadaan yang sama juga berlaku di Makkah. Ketekunan dan kesabaran para petugas Haji wajar dipuji. Mereka ada di mana-mana. Mereka mudah dikenali melalui pakaian mereka berlambangkan Tabung Haji yang bertulis besar “Petugas Tabung Haji”. Lebih membanggakan, para jamaah Malaysia ditempatkan di bangunan-bangunan penginapan atau hotel yang dekat dengan Masjid Nabi di Madinah dan dengan Masjidil haram di Makkah. Bagi Jemaah Haji Malaysia, jarak hotel penginapan jemaah seperti Janadriyah adalah dalam lingkungan 800 meter dari Masjidil Haram. Bagi jemaah yang menunaikan haji melalui Pekej Haji, jarak bangunan penginapan mereka lebih dekat dengan Masjidli Haram. Ia rata-rata dalam lingkungan 300-500 meter dari Masjidli Haram.

Jarak ini sesungguhnya terlalu dekat berbanding jemaah dari negara-negara lain. Jamaah haji dari Indonesia umpamanya ada yang terpaksa menginap di hotel atau bangunan dalam jarak 8 kilometer dari Masjidil Haram. Sukar dibayangkan bagaimana payah dan sukarnya mereka melakukan persiapan untuk solat ke Masjidil Haram. Jika jemaah Haji Malaysia boleh bangun seawal jam 3.00 pagi untuk persiapan ke Masjid, berkemungkinan jemaah dari negara luar itu terpaksa bangun seawal jam 1.00am atau 2.00am. Ini kerana, tandas bagi satu bilik yang menempatkan antara 6-8 orang jemaah hanya satu. Kebanyakan jemaah pula sudah lanjut usia dan uzur. Sudah tentu mengambil masa yang agak panjang untuk ‘berurusan” di bilik air.

Bagi jemaah Malaysia, untuk sampai ke Masjidli Haram, cukup dengan berjalan kaki yang hanya mengambil masa antara 10 hingga 20 minit. Inilah nikmat yang tidak ternilai harganya dinikmati oleh para jemaah haji Malaysia. Klinik kesihatan pula sentiasa tersedia 24 jam. Para petugas kesihatan yang terdiri dari doktor, pembantu perubatan dan jururawat adalah mencukupi untuk menerima kehadiran para pesakit. Layanan yang diberikan pula amat baik. Para jemaah yang sakit sentiasa diingatkan untuk menunaikan solat apabila masuk waktunya.

Makanan yang disediakan pula tidak perlu dipertikaikan. Soal kurang makanan sama sekali tidak timbul. Sebaliknya makanan sentiasa mencukupi dan memuaskan. Air zam-zam sentiasa tersedia di setiap penjuru pada setiap tingkat dalam hotel penginapan jemaah. Buah-buahan pula silih berganti jenisnya. Bahkan, tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa buah-buahan yang disediakan seperti epal dan oren selalunya melebihi dari keperluan. Ini kerana tidak semua jemaah dapat memakannya. Bagi jemaah yang ingin merasa kelainan, mereka boleh memilih untuk membeli makanan di restoran berdekatan. Kafeteria yang menyajikan makanan Malaysia juga tersedia di Tingkat Bawah hotel penginapan.

Ceramah agama silih berganti diadakan untuk setiap maktab dan tingkat. Pelbagai tajuk khusus pelaksanaan ibadah haji sentiasa diadakan. Boleh dikatakan hampir setiap hari ia diadakan di lobby hotel di setiap tingkat. Ketika hendak bergerak ke Arafah, jemaah juga tidak perlu risau. Ini kerana deretan bas sedia membawa jamaah ke Arafah. Apa yang penting, jemaah kena bersabar untuk menunggu giliran bersama pasangan atau orang yang diiringi. Tiada masalah dari segi terlepas atau tidak cukup bas kerana hal tersebut menjadi keutamaan Tabung Haji Malaysia.

Dari Arafah, Mudzalifah dan Mina, semuanya berjalan lancar asalkan para jemaah haji memberikan kerjasama kepada petugas Tabung Haji. Kebajikan para jemaah haji Malaysia benar-benar dijaga. Terasa sekali betapa jemaah haji Malaysia dilimpahi nikmat berlipat kali ganda di Tanah Suci berbanding jemaah dari negara lain. Jika diperhati, betapa ramai bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa mungkin ratusan ribu jemaah lain terpaksa berjalan kaki dari Arafah ke Mudzalifah, dan seterusnya ke Mina. Mereka membawa beg berisi kelengkapan mereka untuk menunaikan ibadah melontar di Mina. Bagi jemaah Malaysia pula, mereka tidak perlu bersusah payah kerana semuanya telah diatur sebegitu rapi.

Bas yang disediakan juga mempunyai air cond. Tinggal saja, yang diperlukan adalah kesabaran terutama ketika berhadapan dengan kesesakan jalan raya yang boleh dikatakan hebat. Sesungguhnya terlalu banyak keistimewaan dan nikmat yang dikecapi jemaah Malaysia berbanding jemaah lain. Bagi ERAKITA, ini semua adalah terhasil berkat kesungguhan dan kecekapan Tabung Haji Malaysia mengurus jemaahnya. Di samping itu, kesabaran dan kerjasama baik yang ditunjukkan oleh jemaah haji Malaysia juga boleh dibanggakan.

Tidak hairan mengapa para pekedai yang menjual pelbagai barangan di Madinah dan Makkah boleh dikatakan rata-ratanya boleh berbahasa Melayu. Ada yang mahir dan ada yang boleh bercakap mengenai harga sesuatu barang. Kata-kata seperti “Malaysia Bagus” selalu saja kedengaran keluar dari mulut para peniaga. Ini menunjukkan bahawa orang Malaysia amat dikenali, ramah dan mudah dibawa bercakap.

Sebenarnya, banyak perkara yang boleh diperkatakan mengenai kecekapan Tabung Haji dalam mengurus jemaah haji Malaysia. Namun, ianya boleh dibincangkan pada kesempatan akan datang. Tidak menghairankan apabila Imam Besar Masjidil Haram, Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais membuat pujian atas kecekapan Malaysia mengurus jemaah hajinya. Beliau menyifatkan Malaysia sebagai negara contoh dalam menguruskan hal ehwal ibadah haji dan berkata ia perlu dijadikan panduan oleh masyarakat serta negara Islam lain di seluruh dunia.

“Ia termasuk aspek memberi kefahaman hukum kepada jemaah terbabit, bagaimana menguruskan kebajikan mereka, dan bagaimana membantu meningkatkan ekonomi jemaah sebelum dan selepas menunaikan haji,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan umum bertajuk “Masa Depan Ketamadunan Islam pada abad ke-21” di Institut Kajian Islam Lanjutan Antarabangsa di sini pada 20 April 2011.

Sheikh Abdul Rahman sedang dalam rangka lawatan lima hari ke Malaysia, dan dijangka menyampaikan khutbah sebelum mengimamkan solat Jumaat di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, sebelum pulang ke Arab Saudi.

Kita doakan agar Tabung Haji terus maju dan memacu kecemerlangan dalam pengurusan haji. Semoga pengurusan cemerlang itu dapat pula dicontohi oleh negara-negara lain di dunia. Syabas Tabung Haji.

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 21 April 2011, in UCAPAN. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan komen