Monthly Archives: September 2012

THE INNOCENCE OF MUSLIMS

THE INNOCENCE OF MUSLIMS

20 September 2012

The Innocence of Muslims” tiba-tiba “meletup”. Ungkapan tersebut tiba-tiba jadi top. Seluruh dunia jadi bising gara-gara tindakan Sam Bacile mengarahkan sebuah filem dengan tajuk tersebut. ERAKITA sudah menonton filem tersebut di Youtube. Oh! tak heran mengapa satu dunia bising! Filem tersebut benar-benar mengejutkan. Tak sangka ada manusia sanggup buat filem macam tu. Tak heran kalau ada manusia begitu terasa dan sedih. Tak heran kalau ada manusia tak boleh tidur lepas menonton filem itu. Tak heran kalau ada manusia hilang mengantuk lepas menonton filem ini. Bagi ERAKITA, satu kesimpulan boleh dibuat. Orang yang buat filem ini mempunyai niat yang sememangnya tidak boleh diterima oleh manusia yang normal dan mempunyai akal fikiran yang waras. Ia tak boleh diterima oleh mana-mana agama. Ia benar-benar satu penghinaan, satu FITNAH yang dahsyat terhadap Islam.

Bagi ERAKITA, kesabaran amat penting bagi menghadapi perkara ini. Kesabaran amat mahal! Kesabaran boleh meredakan gelojak amarah yang meluap-luap. Kesabaran boleh menenangkan akal dan perasaan. Jangan sampai kemarahan tidak boleh dikawal sehingga menimbulkan kerosakan terhadap diri, harta dan lain-lain lagi. ERAKITA bersetuju dengan tindakan kerajaan Mesir yang mengeluarkan waran tangkap terhadap dalang filem tersebut. Sekurang-kurangnya, Mesir telah menunjukkan protes, bantahan dan tentangan melalui saluran undang-undang walaupun dapat dijangkakan bahawa bukan senang membawa dalang tersebut ke muka pengadilan Mesir.

Bagi ERAKITA, Islam yang dikatakan sesetengah orang sebagai “The Most Misunderstood Religion in The World” akan lebih dicari orang. Islam akan digali orang. Islam akan dikaji orang. Islam akan diteliti orang. Islam akan diperhati orang. Islam akan dipelajari orang. Orang akan lebih berminat untuk mengenali Islam. Orang akan teruja untuk mencari jawapan terhadap persoalan “benarkan Islam begitu dan begini?”.  Lihatlah apa yang berlaku selepas peristiwa September 11 di Amerika! Semakin Islam didakwa sebagai agama keganasan, semakin ramailah pula orang bukan Islam mengkaji Islam. Berbondong-bondong orang Barat memeluk Islam hanya beberapa bulan selepas peristiwa tersebut. Mengapa? Kerana mereka kini tahu, sedar dan insaf betapa tidak ada satupun ajaran dalam agama Islam menyuruh dan menganjurkan keganasan. Mengapa? Kerana tidak satupun dalam ajaran Islam yang menganjurkan kerosakan. Mengapa? Kerana rupa-rupanya Islam selama ini disalah faham. Kerana selama ini, Islam disalah ertikan. Kerana selama ini Islam difitnah. Kerana selama ini yang dimomokkan adalah gambaran negatif terhadap Islam.

ERAKITA tidak heran bahawa selepas ini, berbondong-bondong lagi orang bukan Islam, khususnya orang-orang Barat memeluk Islam. Yang hebatnya, mereka memeluk Islam bukan kerana dibeli, dirasuah, dijolok-jolok, dipaksa atau dengan pelbagai lagi asbab yang negatif. Yang hebatnya, mereka memeluk Islam kerana HIDAYAH! Kerana mereka faham dan sedar dengan akal fikiran yang waras mengenai menurnian Islam. Kerana mereka kenal siapa Muhammad S.A.W sebagai pembawa rahmat seluruh alam. Bagi para penerbit buku-buku Islam, khususnya di negara-negara Barat, bersiaplah anda untuk menerbit dan mencetak sebanyak mungkin naskhah Al-Quran, khususnya Terjemahan al-Quran dalam bahasa Inggeris. Bersedialah anda untuk mencetak sebanyak mungkin naskhah yang menceritakan perjalanan hidup insan agung di muka bumi, Muhammad S.A.W.

Inilah kesempatan yang terbuka luas untuk anda mengaut keuntungan berlipat-lipat dan lipat kali ganda hasil jualan buku-buku tersebut. Sementara anda mengaut keuntungan, Islam juga mengaut keuntungan kerana buku-buku yang menceritakan keindahan dan keunggulan ajaran Islam semakin banyak berlegar di rumah-rumah, pejabat, perpustakaan dan universiti-universiti di seluruh dunia. Semakin banyak orang mengkaji Islam, semakin baik dan semakin lumayan. Semakin dikaji, semakin tampak dan terserlah kebenaran mutlak dan sejati Islam. Sampai saatnya, tidak akan ada penemuan tentang kekurangan ajaran Islam walau satupun. Hanya yang ditemui adalah keunggulan, kemurnian, kehebatan, keagungan, ketelusan, kehalusan, kesucian, kecantikan, keindahan, kemanisan, kewarasan, kecanggihan, kesempurnaan dan kesesuaian serta kerelevanannya dalam apa juga zaman, keadaan dan tempat tanpa ada hadnya. Ini semua kurniaan Allah yang maha Agung. Manusia pada akhirnya akan menemui kebenaran dan keyakinan betapa Islam selama ini telah difitnah dan disalah ertikan.

ERAKITA mempunyai keyakinan bahawa penganut Islam akan mendadak bilangannya dari 1.3 bilion kepada 2 bilion dalam jangkamasa 15 tahun dari sekarang. Inshaa Allah. Marilah kita doakan agar bilion manusia yang belum kenal Islam di luar sana terbuka hati untuk mengkaji dan belajar mengenai ajaran Islam. Semoga mereka semuanya mendapat mutiara indah yang selama ini tidak pernah mereka lihat dan nikmati. Aameen yaa Rabbal aalameen.

 

 

 

Advertisements