Selamat Tahun Baru 2014

 

Selamat Tahun Baru 2014

31 Disember 2013

Tahun baru datang lagi. Angka 2013 melabuhkan tirainya. Kini angka 2014 akan muncul. Pelbagai peristiwa suka duka, pahit manis telah dilalui sepanjang tahun 2014. Kini semuanya telah berlalu. Tinggallah peristiwa-peristiwa itu sebagai sejarah tersendiri. Pada kesempatan ini, ERAKITA mengucapkan selamat menempuh tahun baru 2014. Semoga tahun yang baru ini lebih baik dan berkualiti berbanding tahun-tahun sebelumnya. Majulah ke hadapan bersama azam dan cita-cita yang hebat. Inilah masanya untuk berubah. Berubah dari malas kepada rajin. Daripada sakit kepada sihat. Daripada lemah iman kepada kuat iman. Dari kurang amalan kebaikan kepada banyak amalan kebaikan. Dari kurang menderma kepada banyak menderma. Dari lambat bangun pagi kepada awal bangun. Dari selalu lewat tidur kepada tidur awal. Dari lewat datang kerja kepada awal datang kerja. Dari selalu berbohong kepada jujur. Dari selalu bermuka masam kepada bermuka ceria dan senyum. Dari asyik cakap keburukan orang kepada cakap kebaikan orang. Dari duduk lama-lama di kedai kopi waktu bekerja kepada duduk minum untuk tempoh yang menasabah sahaja.

Banyak sekali perkara yang boleh difikirkan untuk diubah. Semuanya terserah pada kita. Ada baiknya kita ambil masa untuk bersendirian sambil berfikir, sambil bermuhasabah diri. Fikirkan apa yang telah dilalui. Apakah kita berpuashati dengan apa yang kita lakukan atau kita capai sebelum ini? Apakah kita sudah puas hati dengan tahap ibadah yang kita lakukan? Apakah amalan kita selama ini sudah cukup untuk menjamin kita mendapat kemudahan di alam kubur atau akhirat kelak? Jika tidak, ayuhlah cepat-cepat berazam di awal tahun. Berazam untuk berubah kepada suatu tahap yang lebih baik pada awal tahun lebih terasa aura dan kehangatannya berbanding hari-hari biasa. Ambillah kesempatan yang tersedia ini sebelum ia berlalu dan pergi semakin jauh dari garisan permulaan.

Paling penting untuk diinsafi, setiap kali datang tahun baru, itu sebenarnya tanda jelas bahawaAllah telah memanjangkan umur kita.  Bila umur meningkat, bermakna jangka hayat kita di dunia sebenarnya semakin singkat atau pendek. Ya! umur kita semakin pendek. Kita semakin hampir kepada kubur. Semakin pendek masa kita untuk menatap insan-insan kesayangan kita dalam hidup ini. Semakin pendek dan singkatnya masa untuk kita berbuat ibadah dan apa jua kebaikan di alam dunia ini. Bila menyedari umur makin pendek, bersedialah untuk melakukan sesuatu yang paling bernilai dalam hidup buat bekalan di hari kemudian. Jangan persiakan masa yang ada. Setiap saat yang Allah beri pada kita merupakan bonus termahal untuk kita. Lakukan yang terbaik ketika ini kerana belum tentu ada peluang lagi selepas ini.

Akhir kalam, ERAKITA juga mengucapkan setinggi-tinggi terimakasih atas kunjungan para tetamu ke rumah ERAKITA selama ini. Semoga kunjungan tersebut akan melonjakkan lagi semangat ERAKITA untuk terus menghasilkan pengisian yang terbaik dalam blog ini pada masa hadapan. Doakan ERAKITA supaya terus menyumbang apa yang termampu menurut ilmu dan pengalaman yang ada. Sesungguhnya kepuasan tersendiri dapat dirasai jika kita dapat berkongsi ilmu dan manfaatnya dapat dirasai oleh semua orang. Kita laksanakan usaha ini semata-mata mengharapkan redha Allah s.w.t. Semoga ianya menjadi sebahagian dari amal jariah yang menjadi bekalan di hari kemudian. Terimakasih juga atas komen, pendapat dan persoalan-persoalan yang telah dikemukakan dalam blog ini.

Selamat Tinggal 2013

 

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 31 Disember 2013, in AGAMA, MOTIVASI, PELBAGAI, UCAPAN. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan komen