selamat tahun baru 2011

selamat tahun baru 2011

 

31 Disember 2010

Tahun baru datang lagi. Angka 2010 melabuhkan tirainya. Kini angka 2011 muncul. Pelbagai peristiwa suka duka, pahit manis telah dilalui sepanjang tahun 2010. Kini semuanya telah berlalu. Tinggallah peristiwa itu sebagai sejarah tersendiri. Pada kesempatan ini, ERAKITA mengucapkan selamat menempuh tahun baru 2011. Semoga tahun yang baru lebih baik dan berkualiti berbanding tahun sebelumnya. Majulah ke hadapan bersama azam dan cita-cita yang hebat. Inilah masanya untuk berubah. Berubah dari malas kepada rajin. Daripada sakit kepada sihat. Daripada lemah iman kepada kuat iman. Dari kurang amalan kebaikan kepada banyak amalan kebaikan. Dari kurang menderma kepada banyak menderma. Dari lambat bangun pagi kepada awal bangun. Dari selalu lewat tidur kepada tidur awal. Dari lewat datang kerja kepada awal datang kerja. Dari selalu berbohong kepada jujur. Dari selalu bermuka masam kepada bermuka ceria dan senyum. Dari asyik cakap keburukan orang kepada cakap kebaikan orang. Dari duduk lama-lama di kedai kopi waktu bekerja kepada duduk minum untuk tempoh yang menasabah sahaja.

Banyak sekali perkara yang boleh difikirkan untuk diubah. Semuanya terserah pada kita. Ada baiknya kita ambil masa untuk bersendirian sambil berfikir, sambil bermuhasabah diri. Fikirkan apa yang telah dilalui. Apakah kita berpuashati dengan apa yang kita lakukan atau kita capai sebelum ini? Apakah kita sudah puas hati dengan tahap ibadah yang kita lakukan? Apakah amalan kita selama ini sudah cukup untuk menjamin kita mendapat kemudahan di alam kubur atau akhirat kelak? Jika tidak, ayuhlah cepat-cepat berazam di awal tahun. Berazam untuk berubah kepada suatu tahap yang lebih baik di awal tahun lebih terasa kehangatannya berbanding hari-hari biasa. Ambillah kesempatan yang tersedia ini sebelum ia berlalu dan pergi semakin jauh dari garisan permulaan.

Paling penting, setiap kali datang tahun baru, itu sebenarnya tanda jelas bahawa umur kita semakin meningkat. Bila umur meningkat, bermakna jangka hayat kita di dunia sebenarnya semakin singkat atau pendek. Ya! umur kita semakin pendek. Bila menyedari umur makin pendek, bersedialah untuk melakukan sesuatu yang paling bernilai dalam hidup buat bekalan di hari kemudian. Jangan persiakan masa yang ada. Setiap saat yang Allah beri pada kita merupakan bonus termahal untuk kita. Lakukan yang terbaik ketika ini kerana belum tentu ada peluang lagi selepas ini.

Akhir kalam, ERAKITA juga mengucapkan setinggi-tinggi terimakasih atas kunjungan para tetamu ke rumah ERAKITA selama ini. Semoga kunjungan tersebut akan melonjakkan lagi semangat ERAKITA untuk terus menghasilkan pengisian yang terbaik dalam blog ini pada masa hadapan. Terimakasih juga atas komen, pendapat dan persoalan-persoalan yang telah dikemukakan dalam blog ini.

 

selamat tinggal 2010

 

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 31 Disember 2010, in MOTIVASI, RENUNGAN, UCAPAN. Bookmark the permalink. 2 Komen.

  1. Selamat tahun baru us. Yg lama jgn dibuang simpanlah dalam peti kenangan biarlah kenangan pahit dan manis bersatu dalam peti yg sangt mudah dibuka ini,tapi kuncinya hanya pada kita sahaja…

  2. Harap-harap kuncinya tetap terpelihara. Terimakasih Abu Darda!

Tinggalkan komen