Monthly Archives: Mei 2010

Raja Berperlembagaan: 7

Raja Berperlembagaan

25 Mei 2010

Walaupun telah merdeka sejak 50 tahun yang lepas, insititusi Raja masih dikekalkan di negara ini. Institusi Raja ini merupakan warisan dari kerajaan melayu dahulu sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Institusi ini tetap utuh dan dipelihara dengan rapi oleh perlembagaan walaupun pernah menempuh berbagai ranjau dan cabaran sejak kejatuhan kerajaan Melayu Melaka pada tahun 1511 di tangan Portugis, kemudiannya oleh Belanda, British, Jepun, British sehinggalah merdeka pada 1957. Perlembagaan memberikan kedudukan istimewa kepada Raja-Raja Melayu atau Sultan sebagai ketua agama Islam bagi negeri masing-masing. Bagi negeri-negeri yang tidak beraja seperti Wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, ketua agama Islam adalah Yang di-Pertuan Agong.

Apa yang menarik dalam institusi raja ini ialah mengenai syarat-syarat untuk dilantik sebagai raja. Perlembagaan negeri-negeri Melayu beraja dengan jelas mensyaratkan bahawa seorang raja itu mestilah seorang Islam. Raja-raja pula sudah semestinya seorang Melayu. Raja-Raja Melayu ini mempunyai satu majlis rasmi yang dinamakan sebagai Majlis Raja-Raja. Majlis ini pula diberi tanggungjawap untuk memilih dan melantik di kalangan raja-raja seorang yang akan menjadi Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Walaupun Perlembagaan tidak menyediakan peruntukan yang mensyaratkan bahawa YDPA mestilah seorang Islam, namun dapat difahami dan diterima bahawa oleh kerana YDPA dilantik hanya dari kalangan Raja-Raja Melayu, maka sudah semestilah YDPA secara otomatik adalah seorang Islam. Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan telah meletakkan tugas dan peranan yang besar kepada YDPA dengan mengiystiharkannya sebagai Kepala Utama Negara bagi seluruh persekutuan. Perkara 39 Perlembagaan seterusnya memperkukuhkan kuasa dan peranan YDPA dengan meletakkan kuasa pemerintahan seluruh persekutuan di bawah kuasanya.

Selain ketua negara, YDPA juga merupakan ketua tertinggi angkatan tentera sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 41 Perlembagaan Persekutuan. YDPA juga mempunyai kuasa mengampun dan menangguhkan hukuman-hukuman tertentu yang disebutkan dalam undang-undang bagi Wilayah Persekutuan. Banyak lagi tugas dan kuasa YDPA dan Raja-Raja Melayu yang tidak dapat diseneraikan dalam penulisan ini. Berdasarkan kepada kedudukan YDPA dan Majlis Raja-Raja, sekali lagi kita dapati bahawa tampuk dan kedudukan tertinggi negara yang dianugerahkan kepada YDPA dan Raja-Raja Melayu bagi negeri-negeri beraja telah meletakkan Islam di tempat yang tertinggi.

Dengan kata lain, orang yang dilantik sebagai YDPA dan Raja bagi negeri-negeri beraja mestilah seorang Islam. Secara tidak langsung, apabila disebut sahaja pemerintah tertinggi negara, ia mestilah seorang Islam. Fakta ini menjadikan kekuasaan tertinggi negara ini terletak di tangan orang Islam. Bagi ERAKITA, kedudukan istimewa orang Melayu dalam konteks perlantikan YDPA sebagai ketua negara merupakan satu lagi mercu dan tanda bahawa orang-orang Melayu sememangnya mempunyai keistimewaan eksklusif dan istimewa berbanding kaum lain di negara ini. Sekaligus, Agama Islam menjadi begitu dominan dan berpengaruh berbanding agama lain di Malaysia. Apa yang penting sekali ialah, kedudukan istimewa tersebut bukan semata-mata diasaskan kepada polisi atau dasar kerajaan tetapi di tunjangi oleh undang-undang tertinggi dan utama negara iaitu Perlembagaan Persekutuan.

BERSAMA MENGHAYATI RUKUN NEGARA


PENYAKIT T.B (TAKUT BINI) atau S.B (SAYANG BINI ): apa bezanya?

 

 

PENYAKIT T.B (TAKUT BINI) atau S.B (SAYANG BINI )

Apa Bezanya?

 

21 MEI 2010 

Entah mengapa tajuk di atas benar-benar menarik perhatian ERAKITA sebaik membuka facebook (FB), sebuah laman sembang sosial yang ”mengancam dan menawan” dunia masa kini. Tajuk di atas hanyalah tulisan asal dalam profail salah seorang rakan ERAKITA. Ayatnya pendek tapi telah menarik perhatian dan komentar ramai rakan-rakan FB. Pelbagai reaksi yang diberikan sehingga kita tak akan ”kering gusi” membaca pendapat dan komentar yang mereka lontarkan. 

ERAKITA tertarik kepada salah satu respon rakan FB mengenai tajuk di atas. Katanya: 

Sepatutnya bini yang kena takut dengan suami. Kalau takut bini sampai pergerakanpun terhad, lepak dengan kawan-kawanpun tidak boleh, buat facebookpun kena marah, paling teruk pergi membeli barangpun sampai mau speed kereta 120km/hrs sebab bini marah. Aduiiii kawanku kesihan…..

Kenyataan tersebut menarik perhatian seorang rakan FB wanita. Dalam responnya, ia menyatakan rasa kesihannya pada rakan FB lelaki yang mengeluarkan kenyataan di atas. Dengan nada selamba, rakan FB lelaki itu kemudiannya menjawab seperti berikut:

Bukan saya bah itu, saya kesian saja…. dengan dot.dot dot bukan nama sebenar sebab sampai buka facebookpun terpaksa di kegetaan (kebun getah). Banyak nyamuk lagi itu, terpaksa tapuk-tapuk (sembunyi-sembunyi) sebab kalau bini nampak ada facebook habis kena marah. Silap haribulan terpaksa tidur di ruang tamu..melampau…

 Setelah membaca pelbagai respon rakan FB, ERAKITA tertarik untuk turut memberi respon spontan seperti berikut:

Jika diteliti masalah yang dihadapi hamba Allah dalam cerita saudara tu, kalau benar ia sedang berlaku, ia sudah terkeluar dari Penyakit TB dan SB. Ia sebenarnya sudah mendapat status PR. P (Penyakit) R (Rumahtangga). Pasangan ini perlu dibantu. Kalau  terpaksa berfacebook di kebun getah samata-mata takut bini, layak benar mereka diberi ubat. Tapi bukan ubat tablet. Ubatnya ialah ubat rohani, ubat minda, ubat hati, ubat ilmu dan ubat akhirat. Perlu jumpa dan dapatkan ubatnya dari orang yang berkelayakan. 

Takut Bini (TB) secara keseluruhannya tidak baik. Ia lebih menyerlahkan betapa sang suami lemah dan ikut telunjuk isteri. Suami telah gagal menjalankan tugas sebagai ketua dan pemimpin dalam rumahtangga. Takut Bini untuk berpoligami juga sebenarnya tidak baik kerana andai poligami itu benar-benar terjadi, igauan dan sindrom TB itu sentiasa akan mengejar dan menghantui suami sampai bila-bila. Jika nak berpoligami, sewajarnya TB itu ditukar kepada TA. TA maknanya Takut Allah. Inilah yang mesti dan sepatutnya wujud pada suami jika nak berpoligami. 

Mengapa TA? Mesti Takut Allah kerana takut-takut tidak dapat berlaku adil pada isteri-isteri. Takut Allah kerana tidak dapat menunaikan amanah dan paling takut lagi, jika gagal berlaku adil menurut kemampuan. Dikhuatiri bahawa kedudukan bahu menjadi SENGET di akhirat kelak akibat tidak berlaku adil pada isteri-isteri. Inilah yg sepatutnya ditakuti oleh para pencita dan pemburu poligami. Bukan senang. Bila ketakutan kepada Allah itu mendahului dan menguasai diri si suami, akhirnya rasa TB itu tidak perlu timbul. Hanya keimanan yang ampuh dan kental pada diri suami dapat menjadikan dirinya Takut Allah ketika berpoligami.

Walau bagaimanapun, TS (Takut Suami) di pihak isteri secara keseluruhannya ada kebaikannya dalam rumahtangga. Cuma, ketakutan pada suami itu harus berlaku pada perkara-perkara yang halal dan menasabah. Contoh TS yang baik dan tinggi nilainya ialah apabila isteri takut dimurkai suami atau tidak diredhai suami apabila isteri tidak taat dan patuh perintah suami dalam perkara yg maaruf (baik). 

Keredhaan suami perlu dan sangat kritikal untuk melayakkan isteri masuk syurga. Di sinilah bezanya antara taat dan takut antara suami kepada isteri dan isteri kepada sang suami. Namun, ketaatan isteri pada suami terbatal andai suruhan suami itu ada kaitan dengan perkara haram. Contohnya, jika suami meminta isteri membeli ARAK atau NOMBOR EKOR, hilanglah secara mutlak kewajiban isteri untuk mematuhi atau memenuhi permintaan itu. Sesuai dengan ingatan Nabi s.a.w, tiada ketaatan pada perkara maksiat. Jika suruhan sedemikian datang dari suami, isteri tidak lagi wajib mentaatinya. Jika suruhan tersebut datang dari penguasa atau pemerintah, orang bawahan atau rakyat tidak lagi wajib untuk mentaatinya.

SB (Sayang Bini) secara keseluruhannya baik. Bahkan sindrom SB inilah yang semestinya wujud dalam rumahtangga. Sayang Bini mesti ikhlas disertai rasa belas kasihan. Kasih sayang suami kepada bini amat mujarab untuk melantunkan lebih tinggi rasa bahagia dan kedamaian. Cahaya kebahagiaan terserlah apabila suami dan isteri serta anak-anak boleh tersenyum riang setiap hari, berbicara secara berdepan dan makan bersama tanpa kehadiran kata-kata yang mengguris dan menyakitkan hati. 

Demikian sekelumit ulasan terhadap Penyakit TB dan SB di atas. Penyakit TB adalah penyakit dalam rumahtangga dan SB pula adalah ubat dan penyeri rumahtangga. PR pula adalah hasil dari TB dan pelbagai lagi penyakit-penyakit dalam rumahtangga. Sesiapa yang telah mendapat status PR, wajar benarlah ia mendapatkan ubat istimewa dari orang-orang yang berkelayakan. Ini kerana, status PR ini sebenarnya telah meletakkan pasangan tersebut hanya SELANGKAH ke alam kehancuran sebuah KERAJAAN RUMAHTANGGA. Oleh itu cepat-cepatlah berubat!

 
WAHAI SUAMI.. SAYANGILAH BINI ANDA

 

 

KEIKHLASAN SEJATI: jom menyumbang!

Mungkinkah inilah Musolla paling tinggi di Sabah... atau di Malaysia dan paling nyaman udaranya..

Keikhlasan  Yang Sejati:

Sumber Kepuasan dan Kebahagiaan


19 MEI 2010

Di sisi Allah, bukan banyak atau besarnya sumbangan yang diberikan menjadi ukuran. Ukurannya adalah keikhlasan. 10 sen yang berikan secara ikhlas lebih tinggi nilainya daripada 1000 ringgit yang diberikan tanpa keikhlasan. Ikhlas yang tulin dan sejati memang sukar dicapai tapi tidak pula mustahil untuk dicapai. Ia samalah seperti seekor semut yang sangat hitam berjalan di atas batu yang sangat hitam dalam sebuah gua hitam yang sangat hitam dalam suasana penuh kegelapan dan sangat sunyi.

Dalam pada itu, tidak ada seorangpun yang dapat melihat, merasa, mendengar dan mengetahui bahawa semut yang sangat hitam itu sedang berjalan di atas batu hitam. Itulah agaknya iklhas yang tinggi nilainya. Hanya Allah diserahkan segala-galanya. jauh sekali dari pujian dan sanjungan. Hanya yang diharapkan adalah keredhaan Allah semata-mata.

Bayangkanlah, sebiji pasir batu yang disumbangkan, yang melekat pada bangunan yang dijadikan rumah ibadat amat besar manfaatnya ketika kita telah meninggalkan dunia ini. Setiap kali bangunan itu digunakan oleh manusia, setiap kali itulah kita dapat manfaatnya. Amalan terus mengalir tanpa henti walau kita telah lama berada di kubur. Ini kerana, sebiji pasir itu telah menjadi sebahagian dari bangunan itu. Nah! Cubalah kita bayangkan andai pasir yang kita sumbangkan itu bukan sahaja beratus-ratus pasir tapi ribuan biji pasir. Berapa agaknya pahala kebaikan yang kita dapat? Oh! Rasanya kita tidak mampu lagi menghitung berapa dan betapa besarnya pahala itu. Yang hanya mengetahui sebenar-benar adalah Allah swt.

Alangkah indahnya waktu itu. Amal kebaikan dan pahala terus  bertambah tanpa henti. Betapa menyesalnya kita yang punya kesempatan terbuka semasa dulu tapi tidak ada apa2 yang dipetik atau dinikmati selepas kematian kita. Waktu itu, kita nak kembali ke dunia sekali lagi untuk beramal sebanyak-banyaknya tapi semuanya tidak dapat dilakukan lagi. Sesuai benarlah bila hari kiamat itu juga merupakan Hari Penyesalan.

Berbahagialah orang-orang yang banyak besedekah dan menyumbang demi ketinggian dan kelangsungan agamanya. Sudahlah mereka dapat 700 pahala kebaikan atas setiap sumbangan, malah Allah lipat gandakan lagi tanpa batas pahala orang-orang yang menyumbang itu menurut kehendak Allah jua. Merekalah sebenarnya yang panjang umurnya kerana walau ribuan tahun meninggalkan dunia, namun pahalanya terus menerus mengalir sampai hari kiamat. Alangkah bahagianya andai kita termasuk dalam kumpulan mereka yang panjang umur itu.

Allahu Akhbar!


Jadilah orang yang suka menyumbang


Kalimah ALLAH dalam sumpah YDPA (AGONG): 6

Yang diPertuan Agong (YDPA) mengangkat sumpah jawatan dengan menggunakan kalimah Allah

13 Mei 2010

Kedudukan yang tinggi dan istimewa kepada agama Islam di sisi Perlembagaan Malaysia diperkuatkan dengan adanya peruntukan khusus yang menghendaki YDPA melafazkan sumpah mengambilalih jawatan sebagai YDPA menggunakan kalimah suci Islam iaitu “Wallahi, Wabillahi, Watallahi”. Bentuk lafaz menerima jawatan itu dinyatakan dalam Jadual 4 perlembagaan. Semasa bersumpah, YDPA turut berikrar dengan kalimah-kalimah suci di atas untuk memelihara agama Islam pada setiap masa. Sumpah untuk memelihara agama Islam pada setiap masa oleh YDPA memberi bonus besar kepada ketinggian dan keutamaan agama Islam dalam negara ini. Sumpah tersebut merupakan satu jaminan yang serius dari YDPA untuk memastikan agama Islam tetap terpelihara kedudukannya di negara ini dalam apa juga keadaan.

ERAKITA memetik lafaz sumpah tersebut di bawah ini sebagaimana dinyatakan dalam JADUAL KEEMPAT (Perkara 37) Perlempagaan Persekutuan. Perhatikan dan renunglah bait-bait lafaz tersebut sebagaimana berikut:

Perkara 37

BAHAGIAN 1

SUMPAH BAGI YANG DIPERTUAN AGONG

Kami ………………………. ibni…………………………. Yang diPertuan Agong bagi Malaysia bersumpah dengan melafazkan:

Wallahi:            Wabillahi:         Watallahi;

maka dengan lafaz ini berikrarlah kami dengan sesungguh dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana undang-undang dan Perlembagaan Negeri yang telah disah dan dimasyhorkan dan yang akan disah dan dimasyhorkan di masa hadapan ini.  Dan lagi kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Ugama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri.

Sumpah bagi Timbalan Yang diPertuan Agong juga menggunakan kalimah Allah sebagaimana sumpah jawatan YDPA di atas. Ada dakwaan mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular yang memisahkan pemerintahan atau pentadbiran sebuah negara dengan agama. Pada masa yang sama, tampak juga dakwaan yang mengatakan bahawa Malaysia bukan negara sekular tetapi ia adalah sebuah negara Islam. Jika dirujuk Kamus Dewan (Edisi Ketiga), Dewan Bahasa Pustaka , hal. 1213, perkataan SEKULAR bermaksud berkaitan dengan keduniaan, bersifat duniawi dan tidak berkaitan dengan keagamaan.

Soalnya, jika SEKULAR itu merupakan hal keduniaan atau duniawi semata-mata tanpa ada kaitan dengan agama, apakah layak dakwaan yang mengatakan Malaysia sebagai negara sekular? Berdasarkan kepada lafaz sumpah YDPA di atas sebagaimana yang sebutkan dalam PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN, jelas sekali YDPA bersumpah dengan kalimah Allah sebanyak 3 kali. Bukan setakat itu, YDPA juga bersumpah untuk memelihara pada pada setiap masa UGAMA ISLAM. YDPA sebagai tunggak pemerintahan dan pentadbiran Negara Malaysia awal-awal lagi melalui sumpah jawatannya bersumpah memelihara Ugama Islam.

Saudara, sesungguhnya lafaz sumpah di atas mengandungi makna yang amat penting terhadap kedaulatan dan ketinggian Agama Islam di negara ini. Bagi ERAKITA, kalimah sumpah YDPA yang menggunakan kalimah Allah dan pengakuan untuk MEMELIHARA UGAMA ISLAM pada setiap masa oleh YDPA menyingkirkan sama sekali dakwaan yang mengatakan Malaysia sebagai negara sekular. Banyak lagi contoh-contoh jelas dalam Perlembagaan Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama dominan dalam negara kita. Hanya yang menjadi persoalannya, sejauhmana Syariat Islam dilaksanakan di negara ini. Itulah agaknya isu yang sewajarnya menjadi perbincangan sebenar berbanding mewar-warkan bahawa Malaysia adalah negara Sekular.

BERSAMA MENGHAYATI PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN


SELAMAT PENGANTIN BARU (SAPAR & ZAITON)

SELAMAT PENGANTIN BARU (SAPAR & ZAITON)

12HB MEI 2010

Tepat jam 10.00am, 8hb. Mei 2010, bersamaan hari sabtu, bertempat di Dewan Serbaguna Guru Abdul Hamid, LC Surati Papar, pasangan bertuah, Pardi @ Sapar bin Merin, 48, dan Zaiton bte Ahmad, 46, akhirnya sah menjadi suami isteri. Majlis akad nikah yang dihadiri keluarga terdekat kedua-dua pihak dan para tetamu jemputan itu berjalan lancar sepertimana yang dirancang. Pasangan diakadnikahkan di dalam Dewan Serbaguna di atas pentas sambil disaksikan oleh semua hadirin yang bertali arus datang ke Dewan tersebut.

Majlis yang ringkas tapi meriah itu dihadiri lebih 1000 orang yang datang dari dekat dan jauh. Keluarga terdekat pengantin perempuan dari Kuching Sarawak juga hadir untuk memeriahkan majlis. Majlis tersebut bermula seawal jam 8.30am dan berakhir kira-kira jam 2.00pm. Wajah-wajah kegembiraan dan kesyukuran ahli keluarga pasangan jelas terpancar sebaik lafaz pernikahan disempurnakan.

Menariknya, kedua-dua pasangan yang bertuah ini menjalankan perniagaan jahitan secara persendirian di sekitar Daerah Papar. Tuah dan rezeki menyebelahi mereka apabila kerjaya dan minat yang dikongsi bersama membawa mereka ke jinjang pelamin. Tidak ada harapan melainkan kebahagiaan berkekalan pasangan ini dunia hingga ke akhirat. ERAKITA doakan agar pasangan bertuah ini dianugerahkan zuriat dan keturunan yang soleh dan solehah.

ERAKITA dan seluruh warga ERAKITA mengucapkan SELAMAT MENEMPUH ALAM RUMAHTANGGA. Semoga perkahwinan ini mendapat keberkatan dari Allah SWT. Beberapa gambar menarik majlis berkenaan sempat dirakamkan untuk tatapan bersama.

Aku Terima Nikahnya.. (gengaman erat penuh yakin)

Menyarung cincin..kini sah suami isteri

Ya..begitulah yang diharapkan antara suami dan isteri

Ya Allah.. Berkatilah rumahtangga kami dunia hingga ke akhirat..

Wajah berseri penuh bermakna..

Renungan yang penuh bermakna dari seorang isteri

Jom kita berentap siapa hebat!.. semua tertumpu

Sedih tanda gembira dan terharu

Pengantin bersama Hj Elham (Pak Usu & Isteri)

Sama sepadan dengan pakaian indah

Mantap !

Suasana di luar dewan

Abang Idi (bersongkok) abang kepada pengantin perempuan bersama ahli keluarga

Dalam sedih penuh gembira (kak Inun) berspek di tengah bersama keluarga

Sama-sama berdoa kepada Ilahi

Bersama keluarga di pihak perempuan

Bergambar ramai-ramai untuk kenangan

Gambar kenangan bersama keluarga pihak lelaki

3 serangkai satu indung: Nurjannah (kiri), Khadijah (tengah) & Siti Hafsah (kanan)

2 wajah 1 nama (keluarga pengantin perempuan)

Kak Inun & suami memberi pose menarik

Tua Ngetemih & Mak Usu turut menyerikan majlis

Pose menarik

Tangisan Bahagia dari 2 orang adik beradik (1 hati 1 jiwa) kini keduanya masing-masing punya insan tersayang

Pelamin Indah dan Bersantai

Cantik..

Buah yang ranum...

Lela (kiri) dan Ana (kanan)..bah ..bila lagi

Seolah2 anak comel ini mengerti apa yang sedang berlaku di sekelilingnya

Kemuncaknya... Potong Kek bersama-sama (hati-hati ya..)

TAHNIAH & SELAMAT PENGANTIN BARU


DEFINISI ORANG MELAYU MEMIHAK KEPADA ISLAM: 5

Definisi Orang Melayu memihak Agama Islam

11 Mei 2010

Malaysia sebagai sebuah negara yang pesat membangun telah mencapai kemerdekaan sejak 50 tahun yang lalu atas dasar persefahaman dan muafakat pemimpin Parti Perikatan yang terdiri dari tiga buah parti utama iaitu Melayu, Cina dan India. Namun demikian, secara keseluruhannya, Malaysia mempunyai lebih dari 30 suku kaum yang tinggal di negara ini. Melayu, sebagai kaum terbesar di negara ini bagaimanapun sangat bernasib baik kerana tafsiran perkataan Melayu dalam perlembagaan telah dikaitkan dengan Islam. Menurut Perkara 160, “Melayu” ertinya seorang yang menganut agama Islam, lazim bercakap Bahasa Melayu termasuk mengamalkan adat istiadat Melayu. Bahasa mudah yang boleh diungkapkan ialah, setiap orang Melayu itu salah satu cirinya dan identitinya ialah mestilah beragama Islam.

Dalam satu kes hangat yang telah diputuskan pada tahun 2007 oleh Mahkamah Persekutuan, percubaan Lina Joy atau nama Islamnya Azlina Jailani untuk membuang perkataan Islam yang tertera dalam kad pengenalannya telah ditolak. Dengan kata lain, satu periystiharan dari Mahkamah Syariah bahawa beliau bukan lagi beragama Islam mesti diperolehi terlebih dahulu. Apa yang menarik dalam kes ini ialah, ketika pertama kali Lina Joy mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk memadam perkataan Islam dalam kad pengenalannya dan seterusnya mendapatkan pengesahan bahawa beliau telah keluar Islam, Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes tersebut telah membuat satu keputusan penting.

Hakim tersebut, YA Dato Faiza Tamby Chik telah memutuskan antara lainnya bahawa sebagai orang Melayu, Lina Joy yang nama Islamnya Azlina Jailani, tidak boleh sama sekali menukar agamanya. Ini kerana, menurut peruntukan perlembagaan sebagaimana Perkara 160, orang Melayu itu telah ditafsirkan sebagai orang yang menganut Islam. Oleh itu, sebagai orang Melayu, Azlina Jailani mesti kekal sebagai orang Islam dan tiada jalan baginya untuk menukar agama. Selagi beliau berbangsa Melayu, selagi itulah jalan untuknya keluar dari agama Islam tertutup sama sekali.

Keputusan Yang Arif Dato Faiza Tamby Chik mengenai tafsiran “ Melayu” itu tidak dirayu. Isu tersebut juga tidak dibangkit dan diputuskan di Mahkamah Persekutuan sebagai mahkamah teratas dan terakhir sekali. Dengan itu, keputusan Mahkamah Tinggi mengenai tafsiran “Melayu” itu kekal diterima dan digunapakai. Dari penjelasan ini, nyatalah bahawa agama Islam sekali lagi mendapat kedudukan istimewa dalam perlembagaan apabila ia dikaitkan dengan Melayu. Kelebihan menjadi orang Melayu yang sekaligus menaikkan lagi imej dan martabat agama Islam di sisi Perlembagaan Malaysia.

Berdasarkan kepada tafsiran perkataan “Orang Melayu” dalam Perlembagaan di atas, Erakita bersetuju dengan berpendapat yang mengatakan bahawa sebarang undang-undang yang memberi ruang kepada orang Melayu untuk keluar Islam adalah menyalahi undang-undang Perlembagaan. Ini kerana, selagi seseorang itu orang Melayu, selagi itulah ia sama sekali tidak ada ruang untuk keluar Islam kerana orang Melayu itu jelas dinyatakan oleh Perlembagaan sebagai orang yang menganut agama Islam. Meletakkan Orang Melayu sebagai Orang Islam merupakan salah satu kaedah mencegah orang Melayu menjadi MURTAD sewenang-wenangnya.

Melayu itu Islam tapi Islam tidak semestinya Melayu


Kedudukan Islam semasa Darurat: 4

 

 

Kekebalan agama Islam dan Hukum Syarak dari sebarang pindaan semasa darurat

 

7 MEI 2010 

Kamus Dewan antara lain menerangkan maksud “darurat” sebagai keadaan serna sulit (huru hara, tidak aman dan sebagainya) yang disebabkan oleh ancaman musuh (peperangan dan lain-lain). Konsep darurat ini diiktiraf dalam semua negara dan system undang-undang. Undang-undang darurat pula diterangkan sebagai undang-undang yang digubal dan dikuatkuasakan dalam masa darurat.

Secara umumnya bolehlah dikatakan bahawa darurat adalah satu keadaan yang menizinkan sesuatu yang pada masa lain tidak boleh dilakukan. Perkara 150 menyediakan peruntukkan khusus mengenai darurat. Dalam konteks perlembagaan, apabila sahaja darurat diiystiharkan, pihak eksekutif diberi kuasa untuk membuat undang-undang. Situasi ini adalah istimewa kerana dalam keadaan biasa, hanya Parlimen yang berhak menggubal undang-undang dalam konteks persekutuan.

Sewaktu darurat, kerajaan pusat boleh mengambilalih pemerintahan sesebuah negeri. Dengan kata lain, kerajaan puasa diberi kuasa yang sangat luas sebaik sahaja darurat diiystiharkan. Berbalik kepada kedudukan agama Islam semasa darurat, satu persoalan timbul, samada kerajaan pusat juga mempunyai kuasa mencampuri urusan mengenai agama Islam? Melihat kepada peruntukan dalam perlembagaan, Perkara 150 jelas menegaskan bahawa soal agama Islam dan adat istiadat Melayu sama sekali tidak boleh dicampuri oleh kerjaan pusat.

Dengan kata lain, semasa darurat, kerajaan pusat tidak ada kuasa mengambil alih atau membuat undang-undang dalam perkara agama Islam dan adat istiadat Melayu. Sekali lagi, Perlembagaan Persekutuan jelas memberi kedudukan istimewa kepada Agama Islam. Melihat keadaan ini, ERAKITA sekadar membangkitkan satu persoalan untuk renungan. Setelah mendapati bahawa Agama Islam diberi kedudukan istimewa berbanding agama lain dalam Perlembagaan Persekutuan sebagaimana dibincangkan, soalnya ialah apakah Malaysia boleh dikatakan sebuah negara Islam atau negara sekular? Sama-sama kita renungkan.

 

Sama-sama kita renungkan

 

 

 

 

PENGGUNAAN DANA AWAM UNTUK KEPENTINGAN AGAMA ISLAM: 3

Pengunaan Dana Awam untuk kepentingan Agama Islam

3 Mei 2010

Satu lagi sinario menarik mengenai dominasi orang Islam di negara dapat dilihat melalui peruntukan dalam Perkara 12(2) apabila kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri diberi kuasa untuk menubuh dan membiayai institusi-institusi Islam dan pendidikan Islam dengan menggunakan dana atau wang kerajaan.

Dengan kata lain, wang kerajaan adalah sah digunakan untuk tujuan pentadbiran dan pembangunan Agama Islam. Ini termasuklah mengunakan dana awam untuk mentadbir dan melaksanakan undang-undang Islam setakat yang dibenarkan oleh Perlembagaan. Tidak menghairankan apabila kerajaan menubuh dan membiayai sekolah-sekolah agama, termasuklah masjid dan surau di seluruh negara dengan menggunakan wang kerajaan.

Bagi agama lain, mereka tidak mempunyai keistimewaan seperti ini. Di bawah Perkara 12, mereka juga diberi kebebasan menubuh dan membina sekolah-sekolah agama serta rumah ibadat mereka tetapi pembiayaan kos, penyelengaraan serta pentadbiran agama-agama tersebut adalah menggunakan pembiayaan sendiri. Walau bagaimanapun, kerajaan sebagaimana amalan pada hari ini mempunyai budi bicara untuk membantu pembiayaan institusi agama-agama lain melalui saluran-saluran atau makenisma tertentu. Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan kerajaan baru-baru ini dilihat sebagai salah satu langkah untuk memberi ruang kepada kaum dan agama-agama lain untuk menikmati beberapa kemudahan dan insentif dari kerajaan.

Walau apapun keadaannya, peruntukan dalam Perkara 12(2) Perlembagaan di atas terbukti menyerlahkan keistimewaan agama Islam mengatasi agama lain di negara ini. Bagi Erakita, kedudukan istimewa Islam ini merupakan salah satu implikasi atau kesan langsung dari kedudukan undang-undang yang meletakkan Islam sebagai Agama bagi Persekutuan Malaysia.

Membangun Bersama Islam