PERANAN INSTITUSI RAJA DALAM MENANGANI GEJALA MURTAD DI MALAYSIA

PERANAN INSTITUSI RAJA DALAM MENANGANI GEJALA MURTAD DI MALAYSIA

7 Januari 2014

PENGENALAN

Institusi Raja di Negara ini telah lama wujud sejak berabad-abad lamanya. Apabila raja memeluk Islam, rakyat turut memeluk Islam. Demikianlah apa yang berlaku dalam sejarah kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 di mana rakyat ikut memeluk Islam apabila Raja Parameswara memeluk Islam apabila mengahwini Puteri Pasai. Sebagai pemerintah, raja atau sultan juga merupakan ketua bagi Agama Islam semenjak Kesultanan Melayu Melaka lagi.

Institusi raja terus dihidupkan di negeri-negeri lain walaupun setelah kejatuhan Melaka kepada Portugis pada tahun 1511. Kedatangan penjajah British juga tidak berupaya menghapuskan institusi beraja ini. Bahkan, selain dipertahankan, agama Islam telah diletakkan di bawah kuasa raja-raja Melayu yang tidak boleh diganggu gugat oleh British. Hal yang sama kekal berterusan sehingga Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957. Bukan saja dikekalkan, bahkan institusi raja diberikan kedudukan dan kuasa tertentu dalam Perlembagaan. Salah satu peranan penting yang diberikan oleh Perlembagaan kepada Raja-Raja Melayu adalah fungsinya sebagai Ketua Agama bagi negerinya.

Sebagai ketua agama, Penulis ingin membincangkan sejauhmana peranan institusi raja dalam menangani isu murtad yang jelas mengancam kedudukan dan kesucian agama Islam. Persoalannya, apakah raja boleh memainkan peranannya dalam hal ini sedangkan institusi ini tertakluk kepada satu prinsip yang dinamakan Raja Berperlembagaan?

PERANAN RAJA-RAJA MENANGANI MURTAD

Bagi negeri-negeri yang mempunyai raja atau sultan, ketua bagi agama Islam adalah raja atau sultan di negeri masing-masing.[1] Bagi negeri-negeri yang tidak beraja, Perlembagaan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong merupakan ketua agama Islam bagi negeri-negeri berkenaan.[2] Semasa menjalankan tugas sebagai ketua agama Islam, raja-raja dibantu dan dinasihati oleh Majlis Agama Islam di negeri masing-masing.[3]

Walaupun istilah Raja Berperlembagaan dimaksudkan bahawa Raja bertindak atas nasihat kabinet, namun pada akhirnya terpulang kepada raja itu sendiri untuk membuat pilihan samada menurut atau tidak. Bagi Abdul Aziz Bari, seorang pakar undang-undang perlembagaan, prinsip ini adalah suatu prinsip yang umum yang  tertakluk kepada pengecualian-pengecualian tertentu. Tambahan pula, peranan raja dalam perlembagaan lebih bersandar kepada mekanisma check and balance atau semak dan imbang.[4] Dalam hal ini, raja-raja perlu berbuat sesuatu untuk mengelak dari berlakunya keadaan yang lebih teruk dalam Negara yang melibatkan kepentingan umat Islam seperti murtad.

Perlembagaan jelas memberi kuasa mengikut budi bicara raja-raja dalam menjalankan tugas mereka sebagai ketua agama Islam.[5] Mengenai perkara ini, Abdul Aziz Bari menegaskan bahawa dalam hal ehwal mengenai kedudukan dan kuasa raja sebagai ketua agama, raja tidak perlu mendapat atau mendengar nasihat kerajaan yang memerintah.[6] Pandangan ini boleh diterima kerana kesulitan boleh berlaku sekiranya kabinet yang memerintah negeri itu bukan terdiri dari orang Islam. Hal ini boleh berlaku kerana tidak ada mana-mana peruntukan dalam perlembagaan yang menyatakan bahawa jawatan Perdana Menteri atau kabinet semestinya dipegang oleh orang Melayu atau Islam. Adapun pihak yang diberi tanggungjawap oleh perlembagaan untuk menasihati raja dalam hal ehwal agama Islam adalah Majlis Agama Islam sendiri yang sudah tentu turut dianggotai oleh ulama.[7]

Peranan YDPA dalam hal ini jelas sekali bertepatan dengan lafaz sumpah yang diungkapkannya sewaktu pertabalan baginda. Sumpah yang dilakukan dengan nama Allah itu antara lain menyebutkan bahawa YDPA berikrar dan mengaku memelihara agama Islam pada setiap masa.[8] Majlis Raja-Raja juga boleh memainkan peranannya dalam dalam konteks membendung gejala murtad. Perkara 38(2) Perlembagaan Persekutuan jelas menyebut bahawa antara lainnya bahawa Majlis Raja-Raja boleh memberikan persetujuan atau menolak untuk bersetuju dengan apa-apa perbuatan atau upacara keagamaan dalam Persekutuan. Selain itu disebutkan juga bahawa Majlis Raja-Raja juga hendaklah menjalankan tugasnya bagi menimbangkan apa-apa perkara yang difikirkannya patut.[9]

Boleh dihujahkan bahawa perkataan “apa-apa perkara yang difikirkan patut” merupakan ungkapan yang umum. Bagi Penulis, gejala murtad yang berlaku di Negara ini merupakan salah satu perkara yang patut dan perlu diberi perhatian serius oleh raja-raja kerana ia melibatkan kepentingan umum dan agama Islam itu sendiri.

Tindakan keluar dari Islam adalah tindakan yang menjejas dan membelakangkan kepentingan dan kemurnian Islam sebagai agama Persekutuan. Tindakan murtad lebih-lebih lagi melibatkan orang Melayu bukan saja satu bentuk pengkhianatan terhadap Islam tetapi juga penghinaan terhadap institusi raja yang sememangnya dari kalangan orang Melayu. Boleh dihujahkan bahawa sebagai ketua agama Islam, tindakan keluar Islam secara tidak langsung dilihat sebagai membelakang dan mencabar institusi raja sebagai ketua bagi agama Islam di negerinya.

Apa yang boleh dilakukan oleh Raja-Raja umpamanya adalah dengan menganjurkan pihak berkuasa agama dan badan-badan NGO supaya diadakan lebih banyak forum dan muzakarah berkenaan fenomena murtad. Oleh kerana tindakan keluar Islam ada kaitan langsung dengan kedangkalan ilmu dan kerosakan akidah seseorang, adalah wajar institusi raja memberi penekanan kepada rakyat supaya usaha meningkatkan ilmu pengetahuan mengenai Islam diperhebatkan.

Memandangkan bahasa rasmi Negara adalah bahasa Melayu, tambahan pula ia merupakan salah satu unsur tradisi dalam perlembagaan, adalah wajar sekali institusi raja menitahkan umat Islam untuk mempergiatkan penulisan mengenai ajaran Islam dalam bahasa Melayu. Hal ini tidak menghairankan kerana penulisan kitab-kitab kuning mengenai agama Islam dalam bahasa Melayu telah lama dilakukan ratusan tahun sebelum kemerdekaan dicapai pada tahun 1957.[10]

Institusi raja juga boleh berperanan untuk membendung gejala murtad dengan memberikan galakan kepada aktivis-aktivis agama untuk menubuhkan pusat atau rumah perlindungan atau tumpangan bagi golongan muallaf. Ini kerana, golongan ini berhadapan dengan cabaran hebat terutama tindakan pemulauan dari keluarga mereka yang bukan Islam.

Dalam aspek undang-undang, raja-raja boleh berperanan dengan menitahkan agar Badan Perundangan Negeri menggubal undang-undang bagi menyekat dan mengawal penyebaran dan pengembangan doktrin atau agama lain di kalangan umat Islam. Hal ini selaras dengan peruntukan Perlembagaan yang memberi ruang kepada negeri-negeri untuk mengubal undang-undang sedemikian di negeri masing-masing.[11] Meskipun diberikan ruang, tidak semua negeri telah mengambil tindakan menggubal undang-undang sedemikian rupa.[12]

Dalam kontek penguatkuasaan undang-undang, raja-raja boleh mengesyorkan dan menitahkan kepada pihak berkaitan agar disegerakan pembinaan pemulihan akidah. Di Sabah umpamanya, mana-mana pesalah yang disabitkan oleh Mahkamah Syariah kerana melakukan percubaan murtad hendaklah dihantar ke Pusat Bimbingan Islam selama 36 bulan untuk pemulihan akidah.[13] Pusat Bimbingan berkenaan telahpun didirikan di Kinarut dalam Daerah Papar, Sabah dan hanya menunggu masa untuk beroperasi. Sebagai ketua agama Islam di Sabah, Yang di-Pertuan Agong boleh menasihatkan atau mengesyorkan kepada pihak kerajaan negeri untuk mengambil tindakan yang perlu bagi memastikan pusat berkenaan dapat menjalankan operasinya menurut undang-undang yang ada. Di samping dapat menguatkuasakan undang-undang murtad, usaha ini sekaligus dapat pula menyumbang bagi mengurangkan gejala murtad yang semakin bertambah di Malaysia dan khususnya di Sabah.

Kewujudan unsur tradisi perlembagaan yang kesemuanya mempunyai kaitan dengan Islam sesungguhnya mempunyai nilai dan peranan tersendiri untuk memastikan Islam terus terpelihara dan terjamin dalam perlembagaan. Dalam hal ini, Penulis amat bersetuju dengan pandangan Abdul Aziz Bari yang menyatakan bahawa tindakan pertubuhan Islam menghantar memorandum kepada Majlis Raja-Raja berkaitan isu-isu kepentingan agama Islam merupakan satu pengiktirafan tinggi terhadap institusi Raja di peringkat Persekutuan.[14] Hal ini boleh berlaku kerana rakyat merasakan bahawa mereka tidak mempunyai lagi saluran atau sandaran terakhir yang boleh dirujuk melainkan institusi Raja-raja Melayu.

 

PENUTUP

Sementara kepercayaan yang diberikan oleh rakyat masih tinggi, Raja-Raja Melayu sewajarnya memanfaatkan ruang ini secara proaktif dengan menunjukkan reaksi dan tindakbalas yang wajar dan bersesuaian. Kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap institusi raja dan bahasa Melayu sejak dahulu lagi seharusnya menjadi satu kekuatan kepada umat Islam untuk terus memperkukuhkan kedudukan Islam di Malaysia. Kekukuhan agama Islam dapat dipertahankan antara lainnya dengan melakukan usaha yang hebat untuk mengekang menularnya gejala murtad di Negara ini.


[1] Perlembagaan Malaysia, Perkara 3(2).

[2] Perlembaaan Persekutuan, Perkara 3(3) dan (4). 5 buah negeri yang tidak beraja adalah Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

[3] Lihat misalnya Perlembagaan Negeri Kedah, Perkara 33B(1); Perlembagaan Negeri Melaka, Perkara 5(2); Perlembagaan Negeri Sabah, Perkara 5B(2).

[4] Abdul Aziz Bari, Politik perlembagaan: Suatu perbincangan tentang isu-isu semasa dari sudut perlembagaan dan undang-undang, Institut Kajian Dasar (IKD), 2005, at 163-165.

[5] Perlambagaan Persekutuan, Jadual Kelapan, Butiran 1(2)(d).

[6] Abdul Aziz Bari, Politik perlembagaan: Suatu perbincangan tentang isu-isu semasa dari sudut perlembagaan dan undang-undang, Institut Kajian Dasar (IKD), 2005, at 163-165; Abdul Aziz Bari, Islam dalam perlembagaan Malaysia, Petaling Jaya: Intel Multimedia and Publication, 2005, hal. 54; Mohd Hisham Mohd Kamal, “Kedudukan dan peranan raja-raja dalam pentadbiran agama Islam” dalam Mahamad Arifin et el, Pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Jilid 12, 2007, hal. 58.

[7] Perlembagaan Persekutuan, Perkara 3(5). Lihat juga sebagai contohnya Perlembagaan Negeri Kedah, Perkara 33B(1); Perlembagaan Negeri Sabah, Bab 2, Perkara 5B(2).

[8] Perlembagaan Persekutuan, Jadual Keempat, Bahagian 1, Perkara 37.

[9] Perlembagaan Persekutuan, Perkara 38(2).

[10] Batu Bersurat Trengganu yang bertarikh 1303 SM yang mengandungi 10 peraturan mengenai undang-undang Islam ditulis dalam bahasa Melayu. Kitab undang-undang Islam bertajuk Sirat al Mustaqim yang ditulis oleh Sheikh Nuruddin al-Raniri pada kurun ke-17 adalah berbahasa Melayu. Ini semua dengan jelas menunjukkan betapa pemakaian bahasa Melayu begitu meluas dan dominan di nusantara Melayu sejak ratusan tahun yang lampau.

[11] Perlembagaan Persekutuan, Perkara 11(4).

[12] Sehingga kini, hanya 4 buah negeri yang belum menggubal undang-undang sekatan dan kawalan penyebaran doktrin atau agama lain di kalangan orang Islam. Negeri-negeri tersebut adalah Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Sebagai ketua agama bagi negeri-negeri yang tidak beraja ini, Yang di-Pertuan Agong boleh memainkan peranan untuk menggesa penggubalan undang-undang tersebut bagi negeri-negeri berkenaan.

[13] Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Sabah, 1995, Seksyen 63.

[14] Abdul Aziz Bari, Majlis Raja-Raja: Kedudukan dan peranan dalam Perlembagaan Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002, hal. 87-88; Mohd Hisham Mohd Kamal, “Kedudukan dan peranan raja-raja dalam pentadbiran agama Islam” dalam Mahamad Arifin et el, Pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Jilid 12, 2007, hal. 67-68.

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 7 Januari 2014, in AGAMA, UNDANG-UNDANG and tagged , , , , , , , . Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan komen