Monthly Archives: Februari 2011

BILA KITA BUAT DOSA

27 Febuari 2011

Orang yang sudah terbiasa melakukan dosa tidak merasakan dosa itu satu masalah berat baginya. Semakin terbiasa buat dosa, semakin kurang dan lama-lama hilang ketakutannya berbuat dosa. Ia tidak melihat dosa itu satu kesalahan dan satu bebanan berat baginya. Ia akan menumpuk dan terus menumpuk berbagai lagi dosa kecil dan besar. Bagi yang ada sedikit iman, dosa itu umpama lalat kecil yang lalu di hadapan mukanya dan kemudian ia cuba menepisnya untuk menghalaunya.

Namun, bagi orang yang tebal iman dan taqwanya, rasa takutnya pada dosa amat besar sekali. Ia merasakan bahawa sebaik melakukan satu dosa, jiwanya jadi tidak keruan, tidak tenang, tidak sedap. Ketakutan akan akibat yang bakal diterima dari Allah berbentuk seksaan berat sentiasa menghantuainya. Orang yang imannya tebal akan merasakan betapa ia telah melakukan dosa yang amat besar bila ia terlanjur untuk mengerjakan solat subuh pada waktunya. Ia merasakan betapa sukarnya ia menjawap di hadapan Allah untuk menerangkan hal ketelanjurannya.

Begitu juga, bagi yang kuat imannya, berbuat dosa itu walau sekecil manapun, ia sudah merasakan bahawa ia telah melakukan dosa yang besar di sisi Allah. Ia merasakan betapa ketika itu ia sedang melalui lereng sebuah bukit besar dan tinggi yang bila-bila masa saja boleh runtuh dan menimpanya. Ia merasakan betapa ia harus segera melalui lereng bukit itu tanpa berlengah agar selamat diri dan nyawa. Demikianlah betapa ia merasakan bahawa ketika sudah melakukan dosa, ia merasakan bahawa ia telah berbuat dosa besar dan patut segera bertaubat kepada Allah sebelum tiba ajal kematiannya.

Bagi orang yang kuat imannya, ia sentiasa merasa takut mati sebelum sempat bertaubat kepada Allah. Ia takut mati ketika Allah masih lagi murka kepadanya. Orang yang kuat imannya akan melihat bahawa dosa kecil itu sudah cukup besar dan menggerunkan. Baginya, mengumpat seseorang itu walau sekali sudah terlalu berat sekali. Ia merasa susah hati dan sentiasa berfikir bagaimana caranya ia harus memohon maaf kepada orang yang diumpatnya. Hatinya tidak tenang dan tenteram. Ia takut dosa itu dibawa ke mati dan ke akhirat.Begitulah gambaran orang yang kuat imannya bila berhadapan dengan dosa.

Bagi kita saudara-saudaraku, bagaimana agaknya kedudukan iman kita? Bagaimana agaknya kita melihat dan menilai satu-satu dosa yang kita lakukan itu? Sama-sama kita renungkan dan bermuhasabah diri.

Manjana Cinta sejati buat Rasulullah s.aw

Manjana Cinta sejati buat Rasulullah s.aw

 

15 Febuari 2011

Sempena memperingati kelahiran Nabi Muhammad s.a.w, ada baiknya kita fikirkan balik diri kita. Setakat mana sebenarnya kita mencintai dan mengasihi Nabi yang mulia itu. Adakah kita termasuk kumpulan orang yang ikut Sunnah Nabi? Apakah kita punya amalan menurut Sunnah Nabi walau satu Sunnah yang kita amalkan secara berterusan? Cukup beruntung sebenarnya andai kita mengamalkan walau satu Sunnah Nabi berbanding tidak ada langsung.

Satu cara paling cepat dan berkesan untuk menjana rasa cinta dan kasih pada Nabi Muhammad s.a.w adalah dengan melakukan ziarah makam Nabi yang mulia itu di Madinah. Sukar digambarkan dengan kata-kata perasaan sebak, terharu, sedih, gembira dan kesyukuran sebaik memasuki bumi Madinah. Terasa amat bertuah dan terlalu mahal harganya suasana dan kehadiran kita di sana. Melihat menara Masjid Nabawi dari jauh mampu menjadikan debaran jantung semakin rancak dan sukar dikawal. Semakin dekat maka semakin lajulah debaran jantung. Seolah tidak percaya bahawa kita kini berada di Bumi Nabi, bumi di mana Islam bangkit sebagai agama yang hebat dan menjalar ke seluruh muka bumi tanpa batasan. Di sini bermulanya sistem pemerintahan dan bernegara yang teratur dan agung. Di sini lahirnya sebuah Dustur atau Perlembagaan Bertulis Pertama di muka bumi.

Di sini lahirnya suasana persaudaraan sesama Muslim yang cukup agung dan hebat yang sukar sekali dapat dilihat pada hari ini. Di sini lahirnya akhlak manusia yang suci dan murni, sehingga mencapai tahap gemilang dan terbilang. Di sini lahirnya manusia yang kuat bekerja di siang hari dan kuat beribadah di malam hari. Di sini lahirnya manusia yang gagah dan punya kesabaran tinggi menghadapi peperangan memepertahankan agama dan negara di bawah panahan terik mentari yang dahsyat. Di sini lahirnya manusia yang iklhas dan tinggi imannya sehingga mampu mengundang rahmat Allah dengan menurunkan ayat-ayat Al-Quran sebagai menjawab dan menggambarkan keberadaan diri mereka. Di sini lahir manusia yang diiystiharkan langsung oleh Nabi Muhammad s.a.w sebagai insan yang dijamin masuk syurga.

Ya, bumi inilah yang menyaksikan manusia yang sanggup mengorbankan seluruh harta bendanya untuk menegak dan mempertahankan maruah dan kesucian agama Allah. Di sini lahirnya manusia yang begitu takut Allah, begitu takut hari pembalasan, begitu takut hari hisab, begitu takut akan azab api neraka. Bumi inilah salah satu dari dua bumi di atas dunia yang terang-terang diiystiharkan Allah sebagai tanah yang diharamkan untuk dipijak dan dimasuki oleh orang-orang kafir. Di bumi inilah salah satu dari dua bumi yang telah ditetapkan kawasan dan perbatasan sebagai tanah haram selama-lamanya sehingga hari kiamat. Bumi ini menyaksikan begitu banyak ayat dan surah dalam Al-Quran diturunkan.

Ya, di sinilah pertama kalinya seorang hamba Allah bernama Abu Bakar r.a menjadi imam menggantikan Nabi Muhammad s.a.w sebagai imam dalam solat ketika mana Nabi s.aw. masih hidup. Di sini penghulu segala Nabi dan Rasul-Rasul wafat. Di sini seorang Nabi dan Rasul terakhir di muka bumi dimakamkan. Bumi ini jugalah jasad insan yang agung dan mulia itu disemadikan. Dan saudaraku, makam itu secara jelas dan nyata lagi mutlak kini berada di Masjid Nabawi yang begitu gah dan tersergam indah. Jutaan banyaknya manusia yang tidak putus-putus berkunjung dan menziarahi makam nabi yang agung itu dari pelusuk dunia. Mereka datang bukan dipaksa. Mereka datang berbekalkan rasa cinta dan sayang kepada Nabi. Mereka korbankan masa, tenaga dan harta benda untuk sampai ke bumi yang hebat dan penuh bersejarah.

Hasilnya, ada satu kepuasan yang cukup luarbiasa. Mengucapkan salam secara live kepada Nabi Muhammad s.a.w di hadapan makamnya mampu mengalirkan air mata yang sukar disekat-sekat. Ia mengalir tanpa diundang, tanpa diduga, tanpa dipaksa dan tanpa dilakonkan. Tiada skrip disediakan untuk hal ini terjadi. Ia datang tiba-tiba dan membawa rasa nikmat dan syahdu yang begitu indah secara semulajadi. Suasana yang indah dan tiada taranya. Tiada lagi ingatan tentang harta, pangkat dan segala macam hal keduniaan kerana perasaan hangat dan syahdu berada di sisi Nabi telah meresap kukuh dalam hati sanubari.

Cubalah saudara bayangkan, kalau dengan kita yang telah ditinggalkan Nabi lebih 1,400 tahun lampaupun begitu dashyat dan hebatnya rasa rindu dan syahdu ketika di depan makamnya, lalu bagaimana pula keadaan para para Sabahat nabi yang langsung hidup dan sehari-hari bersama dengan nabi ketika itu. Maka, tidak hairan kalau ada para Sahabat yang terlalu merinduinya lantaran tidak bersua muka dengan Nabi walau sehari. Maka, tidak hairan kalau Saidina Umar r.a sanggup mengiystiharkan tindakan mengorbankan nyawa terhadap hadirin yang berani mengatakan Nabi telah wafat pada hari kewafatan Baginda. Ini semua kerana rasa cinta dan kasih yang hebat dan agung terhadap Nabi. Ini kerana timbulnya rasa cinta dan tidak sanggup menghadapi kenyataan akan kehilangan insan yang mulia dan agung itu.

Demikianlah secebis ingatan buat diri yang gersang dengan amal soleh ini. Gersang dengan amalan Sunnah Nabi s.a.w. Gersang dengan bekalan untuk hari akhirat yang tiada taranya. Buat kita yang masih hidup dan punya sedikit masa dan kemampuan, usahakanlah sedaya mungkin untuk sampai ke bumi Nabi s.a.w. Bumi Madinah yang bercahaya itu sentiasa tersedia untuk menanti kedatangan kita. Makam Nabi yang mulia itu sedia untuk diziarahi oleh umatnya yang merindukan dan mencintainya. Sekurang-kurangnya ziarah kita ke sana manjadi saksi berharga untuk kita di akhirat kelak betapa kita cinta dan kasih kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

 

Ciptalah Ziarah dan kenangan terindah di Makam Rasulullah s.a.w

 

 

kematian YB ke-14

kematian YB ke-14 selepas PRU-12

 

13 Febuari 2011

 

Takziah kepada keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, Pahang, Datuk Zaharuddin Abu Kassim yang meninggal dunia petang semalam, 12 febuari 2011 akibat serangan jantung. Semuanya atas takdir Allah s.w.t jua. Dalam entri baru-baru ini, ERAKITA ada menyiarkan artikel mengenai fenomena kematian YB selepas PRU-12. Artikel tersebut disiarkan bagi menunjukkan betapa kejadian kematian ramai YB di negara ini dalam tempoh tidak sampai 3 tahun selepas PRU-12 benar-benar menarik perhatian ramai. Tidak keterlaluan jika ada suara-suara yang membangkitkan soalan “siapa lagi selepas ini?”. “lepas tu, siapa lagi dan siapa lagi?

Kematian para YB dengan jumlah yang ramai ini merupakan satu sejarah buat negara. Ia tidak pernah berlaku sepanjang tempoh lebih 50 tahun Malaysia merdeka dari penjajahan British. Tidak ada siapa yang menduga dan mampu menahannya. Ia atas kehendak dan kuasa Allah.

Bagi ERAKITA, hakikat yang berlaku ini perlu diberi perhatian oleh semua pihak. Banyak pengajaran yang perlu dihayati. Yang pasti, kematian tidak memilih siapa. Ia datang tanpa amaran. Ia suatu perkara yang sangat hampir dengan semua orang. ERAKITA mengajak anda untuk merenung kejadian ini dengan penuh keinsafan bahawa kita hanyalah makhluk yang lemah dan tidak mampu mengatasi kuasa Allah. Untuk menghadapi kematian, tiada jalan lain melainkan memenuhi dada dengan iman, takwa dan amal-amal soleh. Inilah yang paling berharga bila tiba saat yang penuh mendebarkan itu.

 

renungkan hal ini

 

Belum Terlambat!

Belum Terlambat!

 

11 Febuari 2011

 

Ada orang kata “Berhentilah berfikiran atau berkata-kata “ah! saya sepatutnya mula dari tahun lepas lagi” Cara berfikir seperti ini dikatakan fikiran yang gagal. Ia hanya mematikan langkah ke hadapan. Ia memusnahkan impian dan cita-cita ramai manusia. Sebaliknya fikiran yang berjaya dan bakal membawa kejayaan luar biasa kepada kita ialah apabila kita berfikir dan mengatakan “ah! saya mahu mulakannya sekarang!”. Fikirkan saja bahawa kejayaan sedang menanti kita di depan sana. Ini sikap hebat dan amalan orang-orang yang telah berjaya dan sedang menikmati kejayaan. Cuba kita renungkan bersama. Di mana agaknya kedudukan kita selama ini.

Ya! Saya mahu lakukannya sekarang, ya.. sekarang!

Cari sebab mengapa anda boleh berjaya

 

Cari sebab mengapa anda boleh berjaya

 

9 Febuari 2011

Fikirkan apakah cara dan alasan-alasan yang boleh digunakan untuk mencapai kejayaan suatu impian dan cita-cita. Nescaya anda akan menemui kejayaan. Sebaliknya, elakkan dari mencari-cari alasan atau punca yang boleh menggagalkan impian dan cita-cita anda. Buangkan jauh-jauh sikap seperti itu kerana itu petanda anda sebenarnya menyerah sebelum berjuang. Kumpullah sebanyak alasan dan sebab yang boleh membawa kepada kejayaan anda. Inshaa Allah, anda akan sentiasa hampir dengan kejayaan sebelum bertindak. Setelah bertindak, anda akan menggengam sebuah kejayaan.

renung-renungkan