Monthly Archives: September 2010

NAK BERPOLIGAMI?

Nak berpoligami?

29 september 2010

Soalan

Salam…

Saya ingin poligami. Isteri pertama telah mengizinkan dan borang poligami sudah diisi dan hantar di kaunter. Berapa lama untuk tunggu hari perbicaraan? Adakah ambil masa berbulan atau bertahun? Jikalau boleh, saya ingin nikah tahun hadapan.

Jawapan

Wa’alaykum salam wbt,

Terimakasih atas pertanyaan saudara Din di atas. Dalam kes ini, Din telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan kebenaran berpoligami di Mahkamah Syariah. Isteri yang sedia ada telah bersetuju. Soalnya, setelah permohonan difailkan di mahkamah, berapa lama si pemohon perlu menunggu kesnya didengar di mahkamah? Dalam hal ini, saudara Din pula berhasrat untuk bernikah tahun hadapan.

Dalam hal ini, ERAKITA melihat bahawa saudara Din telah melakukan tindakan yang betul menurut undang-undang yang sedang berkuatkuasa. Perkahwinan berpoligami perlu mendapatkan kebenaran bertulis dari hakim syarie dari Mahkamah Syariah di negeri di mana perkahwinan tersebut hendak dilangsungkan. Lazimnya, menurut piagam pelanggan Mahkamah, suatu permohonan atau tuntutan itu akan didengar atau disebut dalam tempoh 21 hari dari tarikh penfailan kes.

Lazimnya juga, satu tarikh sebutan atau pendengaran pertama kali akan diberikan terus pada hari yang sama atau 3 hari sebaik suatu permohonan atau tuntutan itu difailkan. Walau bagaimanapun, hal ini juga bergantung kepada kekosongan atau ruang yang tersedia bagi Mahkamah bagi mendengar suatu kes. Ada ketikanya, Mahkamah perlukan masa tertentu untuk menetapkan tarikh sebutan atau pendengaran atau perbicaraan suatu kes. Keadaan ini sudah tentu menyebabkan penjadualannya melewati tempoh 21 hari di atas. Ini kerana, ada ketikanya pegawai Mahkamah termasuk pendaftar atau hakim terlibat dalam kursus atau program-program rasmi dan penting pada waktu tertentu.

Dalam hal ini, Saudara Din perlu mendapatkan maklumat dari Mahkamah dari masa ke semasa untuk mendapatkan tarikh sebutan atau pendengaran kes tersebut sekiranya belum diberikan. Bawalah bersama no. kes tersebut sebagai rujukan di Mahkamah untuk memudahkan carian fail kes dan maklumat. Notis panggilan yang dikeluarkan Mahkamah pula perlu diserahkan kepada isteri sedia ada, bakal isteri, wali kepada bakal isteri dan mana-mana orang yang diarahkan oleh Mahkamah.

Notis tersebut amat penting untuk membolehkan kes tersebut dapat didengar di Mahkamah. Ketidakpatuhan prosedur ini boleh menyebabkan kes tersebut akan ditangguhkan ke suatu tarikh lain. Notis tersebut mestilah diserahkan sendiri ke diri individu terbabit. Soal orang hendak menerima atau tidak, ataupun notis berkenaan dikoyakkan oleh si penerima, itu bukanlah masalah kerana apa yang penting, si penyerah boleh menunjukkan di hadapan orang itu akan notis itu dan meletakkan notis tersebut di hadapan orang tersebut SEKIRANYA orang tersebut enggan menerima.

Notis berkenaan pula tidak diambil dan dibawa semula oleh si penyerah. Suatu affidavit perakuan telah menyerahkan dokumen tersebut hendaklah dibuat selepas itu di mahkamah. Affidavit itu umpama surat akuan sumpah sepertimana yang lazim digunakan di Mahkamah Awam. Affidavit itu pula hendaklah ditandatangani dan diperakui di hadapan Pegawai Mahkamah atau Hakim Syarie sendiri. Jika individu yang dipanggil itu tidak hadir di Mahkamah pada tarikh sebutan, mahkamah boleh meneruskan pedengaran kes tersebut walaupun tanpa kehadiran orang yang dipanggil. Ini kerana penyerahan dokumen telah dianggap sah menurut undang-undang.

Walaupun demikian, tempoh penyerahan notis berkenaan hendaklah pula tidak kurang dari 3 hari sebelum tarikh sebutan atau pendengaran kes berkenaan. Jika kurang, maka penyerahan masih dianggap tidak sempurna. Perkara seperti ini sememangnya masih ramai yang tidak sedar atau tidak mengetahuinya. Apabila penyerahan dokumen telah disempurnakan menurut prosedur dan undang-undang, kes tersebut boleh dijalankan walau tanpa kehadiran orang yang dipanggil.

Sebab itu, perlu ditekankan di sini bahawa amat rugilah sekiranya isteri yang sedia ada mengambil tindakan untuk tidak atau enggan hadir di mahkamah untuk pendengaran kes poligami suaminya. Ini kerana, si isteri telah menafikan haknya di sisi syarak dan undang-undang untuk memberi respon atau maklum balas mengenai permohonan suami.

Semestinya isteri kena hadir di Mahkamah untuk memberikan maklumat yang sebenar. Maklumat penting yang sewajarnya diberikan di Mahkamah ialah mengenai kemampuan suami dari zahir dan batin untuk berpoligami. Maklumat itu pula harus diberikan sejujur-jujurnya. Ini kerana, isteri sedia ada adalah orang yang banyak mengetahui hal ehwal keadaan suaminya. Maklumat si isteri itu pula dapat didengar sendiri oleh bakal isteri kedua, ketiga atau keempat bersama-sama dengan wali kepada bakal isteri.

Semua maklumat dapat dikongsi. Proses ini telus dan bakal isteri serta wali kepada bakal isteri boleh berfikir semula semasak-masaknya samada hendak meneruskan perkahwinan tersebut atau tidak. Ini kerana mereka telah mendapat maklumat mengenai keberadaan si suami. Satu keistimewaan dan keunikan dalam kes berpoligami di mahkamah syariah ialah, apabila semua pihak yang terlibat dipanggil bersama dalam satu-satu masa. Inilah yang dikatakan telus. Isteri sedia ada dan bakal isteri serta wali kepada bakal isteri dapat bertemu “face to face” dalam mahkamah. Prosiding atau pendengaran kes pula dijalankan dalam mahkamah TERTUTUP samada dalam dewan atau dalam kamar hakim. Orang lain tidak akan dibenarkan masuk mendengar atau menyaksikan kes itu.

Lazimnya, kes akan berjalan lancar dan jarang sekali berlaku pergaduhan. Ini kerana isteri sedia ada dapat merasakan bahawa proses yang dijalankan tidak ada unsur berat sebelah atau rahsiah atau sembunyi-sembunyi. Tidak ada penganiyaan. Telus dan berterus terang. Ia dapat bersemuka sendiri dengan bakal isteri dan wali kepada bakal isteri. Dari aspek psikologi, isteri mendapat semangat dan kekuatan untuk berdepan dengan situsi berkenaan kerana ia dilakukan secara bersemuka. Pandangan dan responnya diambil kira dan diberi perhatian yang sepatutnya oleh Mahkamah. Isteri pertama berhak untuk bersetuju atau tidak dengan permohonan suaminya. Perlu dijelaskan bahawa persetujuan isteri sedia ada tidak semestinya akan menjadikan permohonan suami itu berjaya.

Persetujuan isteri hanyalah sebahagian dari banyak perkara yang harus dipertimbangkan oleh Mahkamah samada nak meluluskan atau tidak permohonan berpoligami itu. Terdapat juga kes-kes di mana mahkamah menolak permohonan suami untuk berpoligami walaupun isteri sedia ada telah memberi persetujuannya. Ini kerana, mahkamah juga pelu melihat kepada keperluan perkahwinan itu sendiri, kemampuan serta kesan-kesan jangkamasa pendek dan panjang akbibat berpoligami.

Sekiranya suami diizinkan berpoligami sedangkan tindakan itu jelas mengundang kemudaratan besar dalam hidup suami, isteri sedia ada, anak-anak mereka dan bakal isteri, maka mahkamah berhak untuk menolak permohonan tersebut walaupun isteri telah bersetuju. Tidak ada istilah isteri telah menurunkan tandatangan untuk bersetuju permohonan itu di luar mahkamah. Inilah persepsi yang selalu bermain dalam pemikiran masyarakat selama ini. Sebenarnya, apa yang penting, isteri kena hadir di mahkamah dan berikan maklumat yang sebenar mengenai kedudukan suaminya. Ini untuk kebaikan semua. Tidak akan ada yang teraniaya sepertimana yang lazimnya kita dengar dari orang.

Orang yang berkedudukan tinggi, berpangkat tinggi, bergaji besar tidak semestinya akan diberi keizinan berpoligami jika sekiranya dari aspek lain ia tidak mampu. Apalah ertinya berpoligami sekiranya dari aspek fizikal ia sudah tidak mampu? Jika bakal isteri masih muda dan si suami pula sudah berumur dan terbukti ia sudah tidak berkemampuan untuk melakukan hubungan kelamin, apakah kewajaran untuk membenarkan poligami? Namun, hal ini hanyalah sebahagian dari aspek yang akan diambil pertimbangan. Boleh jadi juga aspek fizikalnya lemah, namun hal tersebut dimaklumui dan dipersetujui atau diredhai semua pihak termasuk bakal isteri. Boleh jadi keputusan mahkamah adalah sebaliknya. Ia suatu yang amat subjektif. Segalanya adalah budi bicara mahkamah setelah semua aspek diambil kira.

Dalam hal ini, ERAKITA menyarankan agar saudara Din bersabar serta mendapatkan maklumat mengenai tarikh sebutan atau pendengaran kes tersebut dari masa ke semasa. Elakkan dari berurusan dengan “Orang Tengah” yang boleh jadi ingin mengambil kesempatan ke atas indivdu yang berurusan dalam hal-hal begini. Bertemulah terus dengan kakitangan atau pegawai mahkamah untuk hal tersebut. Begitu juga, patuhilah segala prosedur yang telah ditetapkan. Ikuti arahan yang diberikan mahkamah.

Inshaa Allah, jika semuanya dipatuhi, proses pendengaran dapat dijalankan dengan lancar. Jika sekiranya saudara Din merasakan mampu untuk berpoligami, jelaskan sejujur-jujurnya kepada mahkamah nanti. Jangan berikan maklumat yang tidak benar kerana keberkatan rumahtangga bermula dengan perbuatan dan tindakan kita di peringkat awal. Soal permohonan tersebut diluluskan atau sebaliknya, terimalah dengan redha. Jika tidak diluluskan, Saudara Din masih mempunyai hak untuk merayu di Mahkamah yang lebih tinggi iaitu Mahkamah Rayuan Syariah. Saudara Din boleh mengemukakan kes secara peribadi atau melalui khidmat guaman syarie.

Jika dapat, elakkan dari mengambil tindakan drastik seperti menceraikan isteri pertama sekiranya berlaku kesulitan dalam mendapatkan kebenaran berpoligami. Andai Mahkamah memberi kebenaran berpoligami, perkahwinan tersebut bolehlah dilaksanakan dalam tempoh yang diberikan dalam perintah mahkamah tersebut. Lazimnya, surat kebenaran tersebut sah untuk digunakan 30 hari dari tarikh ia dikeluarkan. Namun, ini bergantung kepada masa yang ditentukan oleh Mahkamah itu sendiri. Suami juga boleh memohon kebenaran mahkamah untuk melanjutkan tempoh sah melaksanakan pernikahan tersebut sekiranya perlu.

Setelah semuanya dilakukan, berserahlah kepada Allah di samping sentiasa menjaga kebajikan isteri yang sedia ada dan anak-anak. Tingkatkan amal dan iman kepada Allah. Berdoalah banyak-banyak dan mohonlah agar Allah memberikan jalan terbaik dalam hidup saudara Din dan keluarga. Ini kerana, hal berpoligami suatu perkara yang berat dan melibatkan kesan kepada banyak individu-individu terdekat kita. Cabarannya banyak tetapi boleh dihadapi dalam keadaan tenang.

Semoga penjelasan ini dapat memberi sedikit kelegaan terhadap persoalan saudara Din di atas.

Wallahu a’lam.

Satu hari satu ilmu

 

Satu hari satu ilmu

 

27 September 2010 

Allah mencipta manusia. Allah jadikan manusia secantik-cantik makhluk. Allah kurniakan pula dengan akal untuk menjadikan manusia itu bijak, pintar, menggunakan akal fikiran untuk melakukan perkara-perkara yang terbaik dan diredhai Allah. Dengan akal, manusia dapat menimba dan menambah ilmu. Dalam al-Quran, Allah melontarkan satu pertanyaan yang mudah untuk dijawab manusia. Soalan itu berbunyi ”Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?”. Sudah tentu jawabannya tidak sama. 

Orang yang tahu sudah tentu tidak sama dengan orang yang tidak tahu. Orang yang pandai tidak sama dengan orang yang tak pandai. Orang yang berilmu tidak sama dengan orang yang tak berilmu. Memang jauh bezanya. Akhirnya, dapat disimpulkan bahawa betapa tingginya darjat orang yang berilmu berbanding dengan orang yang tidak berilmu di sisi manusia, lebih-lebih lagi Allah s.w.t. 

Tidak keterlaluan jika perbandingan keduanya umpama antara bulan dan bintang, antara langit dan bumi, antara lautan dan tasik dan berbagai lagi perumpamaan yang sama waktu dengannya. Jika hal ini dapat difahami dan dihayati, mengapa kita tidak mahu menambahkan ilmu? Mengapa hanya diam dan sudah berpuashati dengan sedikit ilmu yang ada? 

Atas sebab itu, mari kita ubah sikap dan keadaan diri kita. Jadikan diri kita pencinta ilmu. Jadikan diri kita pemburu ilmu. Jadikan diri kita orang yang berilmu. Bermula saat ini, mari kita TAMBAHKAN ILMU DI DADA WALAU SEKADAR SATU ILMU dalam sehari. Dalam sebulan, ada 30 hari. Bermakna, dalam sebulan, kita sudah ada 30 ilmu baru. Dalam setahun kita sudah ada sekurang-kurangnya 365 ilmu di dada. 

Jadikan kedai buku sebagai tempat kunjungan yang wajib apabila ke pekan atau bandar. Apabila keluar rumah, jadikan buku sebagai teman istimewa dalam perjalanan selain handphone. Jadikan buku sebagai teman setia untuk bercerita, ketawa dan muhasabah diri sewaktu menunggu isteri, anak-anak atau kawan yang akan menaiki kereta kita. Sementara menunggu isteri ke pasar misalnya, jadikan buku sebagai rakan paling akrab dan setia dalam kereta. Memang seronok! Sekurang-kurangnya suami tidak akan terkata kepada isteri ”eh! lambat juga!”. Sebaliknya kata-kata seperti ”eh! cepat juga bebelanja” boleh jadi terkeluar dari mulut suami. Suami terasa masa menunggu menjadi singkat kerana ia telah tenggelam dalam keseronokan dan kenikmatan meneroka alam ilmu dalam buku itu. Memang hebat! 

Alangkah beruntungnya kalau hidup ini diakhiri dalam keadaan kita masih lagi mecari dan memburu ilmu. Sekurang-kurangnya kita menepati prinsip agama Islam yang menyeru umatnya mencari dan meneroka ilmu sejak dari buaian sehinggalah ke akhir hayat. Ayuh! Mulakan langkah dari sekarang. Jadikan diri kita PEMBURU ILMU.

 satu hari satu ilmu

 

 

 

 

 

Kahwin lari: Apa kesudahannya?

 

Kahwin lari: Apa kesudahannya?

 

22 Oktober 2010

Maria dan Hafiz merupakan teman sepejabat. Mereka bercadang untuk berkahwin kerana sudah lama mengenali antara satu sama lain. Ibubapa Maria tidak bersetuju kerana mereka tidak menyukai perangai Hafiz yang tidak baik dalam beragama kerana ditakuti ia tidak dapat memimpin anak mereka ke jalan yang soleh. Maria dan Hafiz pula tidak mempunyai latarbelakang pendidikan agama. Tidak seperti Maria, Hafiz tidak pernah mengikuti kelas agama yang dianjurkan oleh jabatan mereka setiap bulan. Bagi Hafiz, seseorang itu tidak dilihat baik daripada zahirnya, tetapi apa yang ada di hati itulah yang utama. Namun, kerana terlalu cintakan kekasihnya, Maria setuju berkahwin lari di Selatan Thailand tanpa sebarang usul periksa tentang kredibiliti serta kompetensi pihak yang mengakadnikahkan mereka. Hanya dengan RM 1,500, mereka “sah” menjadi suami isteri dengan diberikan “sijil nikah” yang meragukan. Setelah beberapa tahun, mereka dikurniakan seorang anak yang kini berumur 3 tahun. Maria berhenti kerja atas alasan ingin memberi tumpuan kepada anak dan keluarga. Namun, Hafiz pula mula menjalinkan hubungan intim dengan rakan sepejabatnya yang juga rakan sekerja Maria sebelum ini. Apabila mengetahui perkara tersebut. Maria memarahi Hafiz sehinggakan Hafiz menceraikannya dengan talak tiga sekaligus. Kini Maria bingung kerana tiada tempat hendak mengadu lantaran ibubapa serta saudara maranya telah memulaukannya. Beliau tidak mempunyai wang untuk kehidupan seterusnya. Hafiz pula telah mengahwini teman wanitanya dan kini tinggal jauh daripada rumah Maria. Maria menangis mengenangkan nasibnya yang malang itu. Boleh tak nyatakan 2 autoriti perundangan Islam yang relevan dalam nasihat yang diberikan.

Luahan dan persoalan di atas adalah salah satu persoalan yang diajukan oleh seorang pengunjung ERAKITA baru-baru ini. Ia adalah respon terhadap aritikel ERAKITA bertajuk “Perlukah Kebenaran Kahwin Dari Mahkamah Syariah?” bertarikh 12 September 2009.

Kisah yang berlaku pada puan yang bertanya itu sememangnya menyedihkan. Ia tidak ubah seperti pepatah “sudah jatuh ditimpa tangga”. Sudahlah ditimpa tangga, ia terhantuk sekali lagi akibat kehadiran orang ketiga yang langsung memusnahkan istana yang dibina beberapa tahun.

Kejadian yang menimpa puan ini berlaku juga kepada ramai lagi kaum hawa yang lain. Persoalan ini suatu realiti dalam kehidupan kita, khususnya di Malaysia. Ia biasa terjadi dan terus menerus terjadi walaupun telah banyak usaha yang dilakukan oleh kerajaan mahupun NGO dan juga masyarakat yang prihatin.

Untuk kali ini, ERAKITA hanya sekadar memaparkan luahan dan persoalan tersebut untuk tatapan para pengunjung ERAKITA. Semoga ia menjadi pengajaran berguna kepada kita. ERAKITA amat mengalu-alukan andai ada di kalangan para tetamu ERAKITA yang budiman sudi menyumbangkan idea untuk merungkaikan persoalan yang puan hadapi. Inshaallah, ERAKITA akan memberikan respon kepada persoalan ini pada masa hadapan.

Bantulah Puan yang bertanya ini

 

 

 

selamat hari Malaysia 16 September

 

Selamat Menyambut Hari Malaysia

 

17 September 2010 

ERAKITA mengucapkan selamat menyambut Hari Malaysia yang langsungkan pada 16 September 2010. Sambutan menyeluruh bagi seluruh Malaysia untuk memperingati tarikh keramat itu terserlah apabila tarikh tersebut diiystiharkan sebagai cuti umum bagi seluruh Negara. Tarikh tersebut bukan saja hari bersejarah bagi Sabah dan Sarawak sebagai tarikh kemerdekaan, bahkan ia merupakan hari pembentukan sebuah Negara baru yang dinamakan Malaysia. 

Satu fakta yang harus difahami bahawa hari tersebut bukanlah hari Sabah dan Sarawak masuk Malaysia. Ini kerana Malaysia belum wujud sebelum tarikh tersebut. Yang ada hanyalah Persekutuan Tanah Melayu yang telah sedia mendapat kemerdekaan dari Kerajaan British pada 31 Ogos 1957. 

Hakikatnya, Malaysia hanya terbentuk apabila Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya), Singapura, Sabah dan Sarawak SAMA-SAMA muafakat dan bersetuju bergabung untuk membentuk sebuah Negara Baru yang dinamakan MALAYSIA. Secara langsung, Sabah, Sarawak dan Singapura telah dilepaskan oleh British dari gengaman penjajahan dengan terbentuknya Negara baru itu. 

Bagi ERAKITA, tindakan kerajaan ke arah memperkenalkan subjek sejarah dalam pendidikan dalam semua peringkat merupakan langkah yang tepat. Semangat patriotik di kalangan generasi muda dapat dibentuk dari sekolah rendah lagi. Kefahaman yang tepat mengenai asal usul kemerdekaan dan pembentukan Malaysia dapat meningkatkan rasa tanggungjawap dan kecintaan terhadap tanah air. 

Kecintaan terhadap tanahair yang tinggi dapat menghindarkan unsur-unsur perkauman yang ekstrim. Sekaligus, mewujudkan suasana perpaduan yang kukuh antara kaum. Pengetahuan dan penghayatan terhadap pengorbanan pemimpin Negara terdahulu penting untuk melahirkan rakyat yang sayangkan Negara. Golongan ini nanti sanggup mempertahankan maruah dan kedaulatan Negara dari anasir-anasir dalam dan luar yang boleh menghancurkan Negara bila-bila masa. 

Bagi ERAKITA, kecintaan terhadap Negara akan menjadi suci dan murni apabila dihias dengan kecintaan terhadap Allah. Kecintaan terhadap makhluk ada batasnya. Namun, kecintaan terhadap Allah adalah suatu yang mutlak dan tidak ada batasnya. Semoga Malaysia terus maju dan makmur. Semoga para pemimpinnya diberi hidayah oleh Allah untuk mentadbir Negara ini dengan adil dan bijaksana. Paling penting, semoga Islam sebagai agama Persekutuan akan terus terpelihara demi memastikan kelangsungan pembangunan Islam di Negara ini.

Syabas Malaysia!

 

selamat hari raya

 

selamat hari raya

8 September 2010

ERAKITA mengucapkan selamat hari raya kepada para tetamu ERAKITA. Kunjungan para tetamu ERAKITA selama ini amat dihargai. Semoga anda semua akan terus mengunjungi rumah ERAKITA bagi mendapatkan lebih banyak maklumat bermanfaat.

 

Selamat Hari Raya

Maaf  Zahir dan Batin

KEMPEN WAKAF MASJID PENAMPANG DILANCARKAN

 

KEMPEN WAKAF MASJID PENAMPANG DILANCARKAN

 

1 September 2010 

29 Ogos 2010 menjadi satu lagi sejarah dalam gerakan dakwah dan pembangunan Islam di Sabah apabila kempen Wakaf Masjid Penampang dilancarkan secara rasminya. Majlis yang ringkas tapi penuh bererti dihadiri lebih kurang  dalam 1000 umat Islam yang datang dari seluruh pelusuk Negeri Sabah. Dewan Saadah Wisma MUIS Kota Kinabalu dipilih sebagai tempat pelancaran. Majlis berkenaan dianjurkan oleh CONCERN, sebuah Majlis NGO Islam yang menggabungkan pelbagai NGO Islam di Sabah ketika ini.  

Pengerusi Penganjur, Tuan Haji Sainurin Yahmin dalam ucapannya menyatakan latar belakang pembinaan Masjid berkenaan. Menurutnya, lokasi berkenaan terletak di Jalan Penampang Bypass, sebuah kawasan strategik dan bernilai tinggi. Nilai tanah berkenaan melebihi angka sejuta ringgit. Namun, pemiliknya telah bermurah hati untuk menjualnya pada paras yang jauh lebih rendah untuk membolehkan sebuah Masjid dapat didirikan di kawasan berkenaan. Dengan kata lain, pemilik berkenaan juga turut mewakafkan sebahagian besar tanah tersebut bagi pembinaan Masjid berkenaan. 

Antara objektif atau matlamat pembinaan masjid berkenaan adalah:

  • Menyediakan tempat ibadat yang strategik untuk umat Islam.
  • Tempat umat Islam untuk berkumpul bagi menjalankan aktiviti keagamaan.
  • Mewujudkan institusi pendidikan agama untuk keperluan generasi Islam di Daerah Penampang dan kawasan sekitarnya.
  • Mewujudkan pusat informasi Islam dan “One Stop Centre”.
  • Menyemarakkan syiar Islam di Daerah Penampang. 

Apabila siap kelak, bukan saja sebuah bangunan Masjid bakal tersergam, beberapa bangunan lain seperti bangunan serbaguna dan sekolah agama juga akan tersergam di tapak berkenaan. Tabung wakaf dan derma yang dilancarkan oleh Tuan Haji Jamaluddin Elias, Timbalan Pengerusi Yayasan Amal Malaysia telah berjaya mengumpul lebih RM20,000 pada hari pelancaran. Kos keseluruhan meliputi pembelian tapak dan pembinaan masjid serta bangunan lain dianggarkan mencecahRM6.5 juta. 

Di luar dewan, di bahagian pintu masuk utama, orang ramai berpusu-pusu ke kaunter wakaf yang tersedia untuk melaksanakan wakaf sebagai amal bernilai untuk bekalan di hari akhirat. Beberapa gerai menjual buku-buku agama turut diadakan di pintu hadapan dewan utama. 

Sumbangan sebagai amal jariah boleh dibuat dengan menghantar terus sumbangan ke alamat Jawatankuasa Wakaf Masjid Penampang, D/A Lot 28, Tingkat Satu, Lorong Grace Square, Jalan Sembulan, 88100, Kota Kinabalu. Para petugas boleh dihubungi di talian 088-212080 dan faks di talian 088-212080. Sumbangan atau wakaf juga boleh dimasukkan terus ke dalam akaun Bank Islam Malaysia Berhad atas nama Jawatankuasa Wakaf Masjid Penampang pada no. akaun 10016010074517. Bagi wakaf Masjid, harga bagi 1 lot yang bersamaan 1 kaki persegi adalah RM100. Kebenaran kutipan dana telahpun dipeolehi dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Jabatan Ketua Menteri. 

Antara pengisian menarik sepanjang majlis yang berlangsung dari jam 8.00am hingga 12.30 tengahari itu antaranya, ceramah mengenai konsep dan kelebihan wakaf dalam perspektif Islam oleh Ustaz Abdullah Din, YDP ABIM Padang Terap Kedah dan  perkongsian pengalaman mendebarkan Tuan Haji Jamaluddin Elias, Timbalan Pengerusi Yayasan Amal Malaysia bersama Kapal Mavi Malvara yang ditahan dan diserang oleh tentera Isreal semasa misi kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini. 

Bagi ERAKITA, kehadiran sebuah bangunan masjid di Penampang Sabah merupakan satu lagi mercu kecemerlangan pembangunan Islam di Sabah. Dalam sejarah perkembangan Islam di Sabah, tidak ada catatan atau rekod yang menunjukkan bahawa masjid pernah dirikan di kawasan daerah ini. Lebih mengujakan, walaupun sejarah menyaksikan betapa gerakan pengislaman besar-besaran seawal tahun 1970 sehingga 1980-an berlangsung di Sabah dan dikatakan berjaya mengislamkan hampir seratus ribu orang, namun sebuah masjid di Daerah Penampang Sabah tidak pula “berjaya” dibina. 

Perlembagaan Sabah yang dibentuk pada tahun 1963 menyaksikan tidak ada memperuntukkan Islam sebagai agama rasminya. Namun, kesan pengislaman  besar-besaran melibatkan rakyat biasa dan para pemimpin tertinggi negeri, di samping usaha bersungguh-sungguh Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Datu Mustapha Datu Harun, akhirnya Islam berjaya dijadikan agama rasmi Sabah melalui peruntukan baru dalam perkara 5 Perlembagaan Negeri Sabah pada tahun 1973. Walaupun kejayaan gemilang dalam hal tersebut telah dicapai, namun pembinaan sebuah masjid di Daerah Penampang sejak merdeka sehingga kini belum dapat direalisasikan. Mungkin ada hikmah di sebalik kejadian ini. 

Dengan usaha hebat yang kini sedang giat dijalankan oleh badan-badan NGO Islam, kemunculan sebuah bangunan Masjid tidak lama lagi di daerah ini bakal merubah wajah  Penampang. Umat Islam yang semakin ramai menetap dan bekerja di kawasan ini tidak lagi perlu bersusah payah menunaikan solat Jumaat dan silat fardu berjemaah di kawasan jauh seperti Kota Kinabalu, Luyang dan Putatan. Semoga cahaya Islam bersinar dan gemilang di bumi Penampang dengan kehadiran masjid tersebut.

 

Ayuh, berwakaf hari ini untuk memetik untung menakjubkan di akhirat!