Daily Archives: 27 September 2010

Satu hari satu ilmu

 

Satu hari satu ilmu

 

27 September 2010 

Allah mencipta manusia. Allah jadikan manusia secantik-cantik makhluk. Allah kurniakan pula dengan akal untuk menjadikan manusia itu bijak, pintar, menggunakan akal fikiran untuk melakukan perkara-perkara yang terbaik dan diredhai Allah. Dengan akal, manusia dapat menimba dan menambah ilmu. Dalam al-Quran, Allah melontarkan satu pertanyaan yang mudah untuk dijawab manusia. Soalan itu berbunyi ”Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?”. Sudah tentu jawabannya tidak sama. 

Orang yang tahu sudah tentu tidak sama dengan orang yang tidak tahu. Orang yang pandai tidak sama dengan orang yang tak pandai. Orang yang berilmu tidak sama dengan orang yang tak berilmu. Memang jauh bezanya. Akhirnya, dapat disimpulkan bahawa betapa tingginya darjat orang yang berilmu berbanding dengan orang yang tidak berilmu di sisi manusia, lebih-lebih lagi Allah s.w.t. 

Tidak keterlaluan jika perbandingan keduanya umpama antara bulan dan bintang, antara langit dan bumi, antara lautan dan tasik dan berbagai lagi perumpamaan yang sama waktu dengannya. Jika hal ini dapat difahami dan dihayati, mengapa kita tidak mahu menambahkan ilmu? Mengapa hanya diam dan sudah berpuashati dengan sedikit ilmu yang ada? 

Atas sebab itu, mari kita ubah sikap dan keadaan diri kita. Jadikan diri kita pencinta ilmu. Jadikan diri kita pemburu ilmu. Jadikan diri kita orang yang berilmu. Bermula saat ini, mari kita TAMBAHKAN ILMU DI DADA WALAU SEKADAR SATU ILMU dalam sehari. Dalam sebulan, ada 30 hari. Bermakna, dalam sebulan, kita sudah ada 30 ilmu baru. Dalam setahun kita sudah ada sekurang-kurangnya 365 ilmu di dada. 

Jadikan kedai buku sebagai tempat kunjungan yang wajib apabila ke pekan atau bandar. Apabila keluar rumah, jadikan buku sebagai teman istimewa dalam perjalanan selain handphone. Jadikan buku sebagai teman setia untuk bercerita, ketawa dan muhasabah diri sewaktu menunggu isteri, anak-anak atau kawan yang akan menaiki kereta kita. Sementara menunggu isteri ke pasar misalnya, jadikan buku sebagai rakan paling akrab dan setia dalam kereta. Memang seronok! Sekurang-kurangnya suami tidak akan terkata kepada isteri ”eh! lambat juga!”. Sebaliknya kata-kata seperti ”eh! cepat juga bebelanja” boleh jadi terkeluar dari mulut suami. Suami terasa masa menunggu menjadi singkat kerana ia telah tenggelam dalam keseronokan dan kenikmatan meneroka alam ilmu dalam buku itu. Memang hebat! 

Alangkah beruntungnya kalau hidup ini diakhiri dalam keadaan kita masih lagi mecari dan memburu ilmu. Sekurang-kurangnya kita menepati prinsip agama Islam yang menyeru umatnya mencari dan meneroka ilmu sejak dari buaian sehinggalah ke akhir hayat. Ayuh! Mulakan langkah dari sekarang. Jadikan diri kita PEMBURU ILMU.

 satu hari satu ilmu