Ulang Tahun Pertama Maahad Al-Kautsar Tambunan

Ulang Tahun Pertama dan Rumah Terbuka Aidilfitri Maahad Al-Kautsar Tambunan Meriah

11 September 2011

Tahniah kepada Maahad Al-Kautsar Tambunan atas kejayaan menyambut ulang tahun kelahirannya yang pertama pada 10 September 2011 (12 Syawal 1432H). Sambutan tersebut dimeriahkan dengan gabungan program Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Maahad yang dianjurkan bersama dengan pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Bahagian Tambunan. Pada hari yang sama, USIA Bahagian Tambunan juga mengendalikan Mesyuarat Agungnya di Dewan Mini Maahad Al Kautsar.

Menariknya, majlis ini turut dihadiri oleh pemimpin besar negeri seperti Datuk Seri Josep Pairin Kitingan, Timbalan Ketua Menteri Negeri Sabah yang juga Ahli Parlimen Keningau. Turut hadir adalah orang-orang kenamaan seperti Datuk Dr Jeffry Kitingan, Datuk Lawrence Gimbang, Datuk Nordin Siman, Datuk Hamid Guyah dan ramai lagi pemimpin masyarakat. Dalam ucapan ringkasnya, Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan mengucapkan selamat menyambut hari raya kepada Maahad Al Kautsar dan masyarakat Islam Tambunan. Beliau turut menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap perkembangan ilmu pengetahuan apabila menyumbang sebanyak RM10,000 kepada Maahad Al Kautsar dalam majlis tersebut. Beliau melahirkan rasa bangga terhadap suasana harmoni dan perpaduan yang wujud di Sabah dan khususnya Tambunan tanpa mengira bangsa dan agama sesuai dengan konsep 1Malaysia yang yang diamalkan di negara ini.

Dianggarkan majlis ini dikunjungi lebih kurang dalam seribu orang yang datang dari Tambunan, Keningau, Kota Kinabalu dan lain-lain daerah. Perpaduan dan keharmonian masyarakat Tambunan begitu terserlah apabila majlis ini bukan saja dihadiri umat Islam, malah juga oleh sebahagian besar masyarakat bukan Islam dari dalam dan luar daerah Tambunan.

Selain kehadiran para pemimpin negeri dan daerah, majlis turut mendapat suntikan kemeriahan apabila Yayasan Islam Sabah yang diketuai oleh Timbalan Pengerusinya Datuk Hamid Guyah menyampaikan sumbangan berbentuk kuih muih hari raya dari Yayasan kepada Maahad Al Kautsar, Sekolah Ugama Islam (SUI) Tambunan dan masyarakat Islam di Daerah ini. Antara barisan pimpinan Yayasan Islam Sabah yang turut hadir adalah Hj Yahya Ahmad Shah (Setiausaha Yayasan Islam Sabah) dan AJK Pusat seperti Ustaz Jadmin Hj Mohamed Soon, En Radin, En. Amirun Derin dan Puan Raini Hj Musa. Dalam ucapannya, Tuan Hj Yahya Ahmad Shah melahirkan harapan bahawa sumbangan sedemikian akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang.

Persembahan menarik yang disajikan sepanjang majlis berlangsung dari pagi ke petang turut menarik perhatian para pengunjung apabila para pelajar Maahad Al Kautsar menunjukkan bakat dan kebolehan mereka berpidato dalam pelbagai bahasa seperti Melayu, Inggeris, Arab, Cina dan Dusun. Persembahan sajak dan pidato dari Ketua Pelajar Sekolah SMK Nanbayan Tambunan menggamat rasa hati dengan kepetahannya melontarkan hebat dan padu. Persembahan Kompang dari pelajar-pelajar Sekolah Ugama Islam (SUI) Tambunan di bawah kelolaan Ustaz Idris menyerikan suasana. Sesekali, majlis diserikan dengan hidangan suara lunak dan merdu dari para pelajar di sekolah daerah Tambunan yang mendendangkan nasyid dan lagu-lagu aidil fitri.

Kedudukan Pentas yang indah menyerlahkan kemariahan majlis. Para pengunjung yang tidak putus-putus tiba dan bersilih ganti dapat melihat dan mendengar dengan jelas acara-acara yang dipersembahkan di atas pentas. Pentas yang diselangi oleh kolam air benar-benar mewujudkan suasana semulajadi dan harmoni. Suara dari pentas begitu jelas dapat didengar oleh para pengunjung. Bagi Erakita, tidak mustahil tempat ini boleh dijadikan sebagai tapak yang sesuai untuk program ceramah perdana, forum perdana, forum perpaduan pada masa hadapan. Inshaa Allah.

Kejayaan penganjuran majlis adalah hasil usaha dan kerjasama erat seluruh warga Tambunan, dan khususnya barisan Warga Maahad yang terdiri dari Tuan Guru Ustaz Hj Hadiq Ismail, Dr Yusuf Jasmin dan banyak lagi tenaga lain dalam Maahad. Kerjasama hebat dari USIA Bahagian Tambunan di bawah pimpinan Ustaz Jumain Jikah, Cikgu Azmi dan barisan kepimpinan USIA yang lain sesungguhnya memberikan suntikan besar dalam menjayakan majlis sebesar itu. Semoga kerjasama padu yang sedia ada akan berterusan.

Majlis ini sepenuhnya dibiayai oleh para penyumbang ikhlas dari pelbagai pihak yang nama-nama mereka tidak dapat disebutkan satu persatu dalam laporan ini. Hanya Allah S.W.T sahaja yang dapat membalas kebaikan yang anda lakukan.

Bagi Erakita, kelahiran Maahad Al Kautsar di tengah-tengah lembah Tambunan yang indah dan permai amat siknifikan dalam usaha menaikkan martabat dan syiar Islam di daerah ini. Sejak kelahirannya pada Julai Tahun 2010, telah banyak program kemasyarakatan dan keagamaan yang berjaya dilaksanakan. Umat Islam dapat bertemu dan berbincang dalam pelbagai perkara. Ukuwah dan ikatan persaudaraan semakin terserlah. Majlis ilmu seperti belajar membaca al-Quran dan kuliah-kuliah agama terus mekar di Maahad ini bagi memenuhi tuntutan umat Islam yang begitu kehausan ilmu khususnya ilmu agama.

Semoga Maahad Al-Kautsar Tambunan terus maju! Tahniah!

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 11 September 2011, in AGAMA, MAJLIS, SEKOLAH, UCAPAN. Bookmark the permalink. 2 Komen.

  1. Tahniah..terus maju ke hadapan….

  2. ALHAMDULILLAH……INSYA ALLAH AKAN BANYAK LAGI MAHAD YANG BAKAL DIWUJUDKAN DI PELUSUK NEGERI SABAH NANTI TERUTAMANYA DI BAHAGIAN PEDALAMAN SABAH

Tinggalkan komen