Daily Archives: 29 September 2010

NAK BERPOLIGAMI?

Nak berpoligami?

29 september 2010

Soalan

Salam…

Saya ingin poligami. Isteri pertama telah mengizinkan dan borang poligami sudah diisi dan hantar di kaunter. Berapa lama untuk tunggu hari perbicaraan? Adakah ambil masa berbulan atau bertahun? Jikalau boleh, saya ingin nikah tahun hadapan.

Jawapan

Wa’alaykum salam wbt,

Terimakasih atas pertanyaan saudara Din di atas. Dalam kes ini, Din telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan kebenaran berpoligami di Mahkamah Syariah. Isteri yang sedia ada telah bersetuju. Soalnya, setelah permohonan difailkan di mahkamah, berapa lama si pemohon perlu menunggu kesnya didengar di mahkamah? Dalam hal ini, saudara Din pula berhasrat untuk bernikah tahun hadapan.

Dalam hal ini, ERAKITA melihat bahawa saudara Din telah melakukan tindakan yang betul menurut undang-undang yang sedang berkuatkuasa. Perkahwinan berpoligami perlu mendapatkan kebenaran bertulis dari hakim syarie dari Mahkamah Syariah di negeri di mana perkahwinan tersebut hendak dilangsungkan. Lazimnya, menurut piagam pelanggan Mahkamah, suatu permohonan atau tuntutan itu akan didengar atau disebut dalam tempoh 21 hari dari tarikh penfailan kes.

Lazimnya juga, satu tarikh sebutan atau pendengaran pertama kali akan diberikan terus pada hari yang sama atau 3 hari sebaik suatu permohonan atau tuntutan itu difailkan. Walau bagaimanapun, hal ini juga bergantung kepada kekosongan atau ruang yang tersedia bagi Mahkamah bagi mendengar suatu kes. Ada ketikanya, Mahkamah perlukan masa tertentu untuk menetapkan tarikh sebutan atau pendengaran atau perbicaraan suatu kes. Keadaan ini sudah tentu menyebabkan penjadualannya melewati tempoh 21 hari di atas. Ini kerana, ada ketikanya pegawai Mahkamah termasuk pendaftar atau hakim terlibat dalam kursus atau program-program rasmi dan penting pada waktu tertentu.

Dalam hal ini, Saudara Din perlu mendapatkan maklumat dari Mahkamah dari masa ke semasa untuk mendapatkan tarikh sebutan atau pendengaran kes tersebut sekiranya belum diberikan. Bawalah bersama no. kes tersebut sebagai rujukan di Mahkamah untuk memudahkan carian fail kes dan maklumat. Notis panggilan yang dikeluarkan Mahkamah pula perlu diserahkan kepada isteri sedia ada, bakal isteri, wali kepada bakal isteri dan mana-mana orang yang diarahkan oleh Mahkamah.

Notis tersebut amat penting untuk membolehkan kes tersebut dapat didengar di Mahkamah. Ketidakpatuhan prosedur ini boleh menyebabkan kes tersebut akan ditangguhkan ke suatu tarikh lain. Notis tersebut mestilah diserahkan sendiri ke diri individu terbabit. Soal orang hendak menerima atau tidak, ataupun notis berkenaan dikoyakkan oleh si penerima, itu bukanlah masalah kerana apa yang penting, si penyerah boleh menunjukkan di hadapan orang itu akan notis itu dan meletakkan notis tersebut di hadapan orang tersebut SEKIRANYA orang tersebut enggan menerima.

Notis berkenaan pula tidak diambil dan dibawa semula oleh si penyerah. Suatu affidavit perakuan telah menyerahkan dokumen tersebut hendaklah dibuat selepas itu di mahkamah. Affidavit itu umpama surat akuan sumpah sepertimana yang lazim digunakan di Mahkamah Awam. Affidavit itu pula hendaklah ditandatangani dan diperakui di hadapan Pegawai Mahkamah atau Hakim Syarie sendiri. Jika individu yang dipanggil itu tidak hadir di Mahkamah pada tarikh sebutan, mahkamah boleh meneruskan pedengaran kes tersebut walaupun tanpa kehadiran orang yang dipanggil. Ini kerana penyerahan dokumen telah dianggap sah menurut undang-undang.

Walaupun demikian, tempoh penyerahan notis berkenaan hendaklah pula tidak kurang dari 3 hari sebelum tarikh sebutan atau pendengaran kes berkenaan. Jika kurang, maka penyerahan masih dianggap tidak sempurna. Perkara seperti ini sememangnya masih ramai yang tidak sedar atau tidak mengetahuinya. Apabila penyerahan dokumen telah disempurnakan menurut prosedur dan undang-undang, kes tersebut boleh dijalankan walau tanpa kehadiran orang yang dipanggil.

Sebab itu, perlu ditekankan di sini bahawa amat rugilah sekiranya isteri yang sedia ada mengambil tindakan untuk tidak atau enggan hadir di mahkamah untuk pendengaran kes poligami suaminya. Ini kerana, si isteri telah menafikan haknya di sisi syarak dan undang-undang untuk memberi respon atau maklum balas mengenai permohonan suami.

Semestinya isteri kena hadir di Mahkamah untuk memberikan maklumat yang sebenar. Maklumat penting yang sewajarnya diberikan di Mahkamah ialah mengenai kemampuan suami dari zahir dan batin untuk berpoligami. Maklumat itu pula harus diberikan sejujur-jujurnya. Ini kerana, isteri sedia ada adalah orang yang banyak mengetahui hal ehwal keadaan suaminya. Maklumat si isteri itu pula dapat didengar sendiri oleh bakal isteri kedua, ketiga atau keempat bersama-sama dengan wali kepada bakal isteri.

Semua maklumat dapat dikongsi. Proses ini telus dan bakal isteri serta wali kepada bakal isteri boleh berfikir semula semasak-masaknya samada hendak meneruskan perkahwinan tersebut atau tidak. Ini kerana mereka telah mendapat maklumat mengenai keberadaan si suami. Satu keistimewaan dan keunikan dalam kes berpoligami di mahkamah syariah ialah, apabila semua pihak yang terlibat dipanggil bersama dalam satu-satu masa. Inilah yang dikatakan telus. Isteri sedia ada dan bakal isteri serta wali kepada bakal isteri dapat bertemu “face to face” dalam mahkamah. Prosiding atau pendengaran kes pula dijalankan dalam mahkamah TERTUTUP samada dalam dewan atau dalam kamar hakim. Orang lain tidak akan dibenarkan masuk mendengar atau menyaksikan kes itu.

Lazimnya, kes akan berjalan lancar dan jarang sekali berlaku pergaduhan. Ini kerana isteri sedia ada dapat merasakan bahawa proses yang dijalankan tidak ada unsur berat sebelah atau rahsiah atau sembunyi-sembunyi. Tidak ada penganiyaan. Telus dan berterus terang. Ia dapat bersemuka sendiri dengan bakal isteri dan wali kepada bakal isteri. Dari aspek psikologi, isteri mendapat semangat dan kekuatan untuk berdepan dengan situsi berkenaan kerana ia dilakukan secara bersemuka. Pandangan dan responnya diambil kira dan diberi perhatian yang sepatutnya oleh Mahkamah. Isteri pertama berhak untuk bersetuju atau tidak dengan permohonan suaminya. Perlu dijelaskan bahawa persetujuan isteri sedia ada tidak semestinya akan menjadikan permohonan suami itu berjaya.

Persetujuan isteri hanyalah sebahagian dari banyak perkara yang harus dipertimbangkan oleh Mahkamah samada nak meluluskan atau tidak permohonan berpoligami itu. Terdapat juga kes-kes di mana mahkamah menolak permohonan suami untuk berpoligami walaupun isteri sedia ada telah memberi persetujuannya. Ini kerana, mahkamah juga pelu melihat kepada keperluan perkahwinan itu sendiri, kemampuan serta kesan-kesan jangkamasa pendek dan panjang akbibat berpoligami.

Sekiranya suami diizinkan berpoligami sedangkan tindakan itu jelas mengundang kemudaratan besar dalam hidup suami, isteri sedia ada, anak-anak mereka dan bakal isteri, maka mahkamah berhak untuk menolak permohonan tersebut walaupun isteri telah bersetuju. Tidak ada istilah isteri telah menurunkan tandatangan untuk bersetuju permohonan itu di luar mahkamah. Inilah persepsi yang selalu bermain dalam pemikiran masyarakat selama ini. Sebenarnya, apa yang penting, isteri kena hadir di mahkamah dan berikan maklumat yang sebenar mengenai kedudukan suaminya. Ini untuk kebaikan semua. Tidak akan ada yang teraniaya sepertimana yang lazimnya kita dengar dari orang.

Orang yang berkedudukan tinggi, berpangkat tinggi, bergaji besar tidak semestinya akan diberi keizinan berpoligami jika sekiranya dari aspek lain ia tidak mampu. Apalah ertinya berpoligami sekiranya dari aspek fizikal ia sudah tidak mampu? Jika bakal isteri masih muda dan si suami pula sudah berumur dan terbukti ia sudah tidak berkemampuan untuk melakukan hubungan kelamin, apakah kewajaran untuk membenarkan poligami? Namun, hal ini hanyalah sebahagian dari aspek yang akan diambil pertimbangan. Boleh jadi juga aspek fizikalnya lemah, namun hal tersebut dimaklumui dan dipersetujui atau diredhai semua pihak termasuk bakal isteri. Boleh jadi keputusan mahkamah adalah sebaliknya. Ia suatu yang amat subjektif. Segalanya adalah budi bicara mahkamah setelah semua aspek diambil kira.

Dalam hal ini, ERAKITA menyarankan agar saudara Din bersabar serta mendapatkan maklumat mengenai tarikh sebutan atau pendengaran kes tersebut dari masa ke semasa. Elakkan dari berurusan dengan “Orang Tengah” yang boleh jadi ingin mengambil kesempatan ke atas indivdu yang berurusan dalam hal-hal begini. Bertemulah terus dengan kakitangan atau pegawai mahkamah untuk hal tersebut. Begitu juga, patuhilah segala prosedur yang telah ditetapkan. Ikuti arahan yang diberikan mahkamah.

Inshaa Allah, jika semuanya dipatuhi, proses pendengaran dapat dijalankan dengan lancar. Jika sekiranya saudara Din merasakan mampu untuk berpoligami, jelaskan sejujur-jujurnya kepada mahkamah nanti. Jangan berikan maklumat yang tidak benar kerana keberkatan rumahtangga bermula dengan perbuatan dan tindakan kita di peringkat awal. Soal permohonan tersebut diluluskan atau sebaliknya, terimalah dengan redha. Jika tidak diluluskan, Saudara Din masih mempunyai hak untuk merayu di Mahkamah yang lebih tinggi iaitu Mahkamah Rayuan Syariah. Saudara Din boleh mengemukakan kes secara peribadi atau melalui khidmat guaman syarie.

Jika dapat, elakkan dari mengambil tindakan drastik seperti menceraikan isteri pertama sekiranya berlaku kesulitan dalam mendapatkan kebenaran berpoligami. Andai Mahkamah memberi kebenaran berpoligami, perkahwinan tersebut bolehlah dilaksanakan dalam tempoh yang diberikan dalam perintah mahkamah tersebut. Lazimnya, surat kebenaran tersebut sah untuk digunakan 30 hari dari tarikh ia dikeluarkan. Namun, ini bergantung kepada masa yang ditentukan oleh Mahkamah itu sendiri. Suami juga boleh memohon kebenaran mahkamah untuk melanjutkan tempoh sah melaksanakan pernikahan tersebut sekiranya perlu.

Setelah semuanya dilakukan, berserahlah kepada Allah di samping sentiasa menjaga kebajikan isteri yang sedia ada dan anak-anak. Tingkatkan amal dan iman kepada Allah. Berdoalah banyak-banyak dan mohonlah agar Allah memberikan jalan terbaik dalam hidup saudara Din dan keluarga. Ini kerana, hal berpoligami suatu perkara yang berat dan melibatkan kesan kepada banyak individu-individu terdekat kita. Cabarannya banyak tetapi boleh dihadapi dalam keadaan tenang.

Semoga penjelasan ini dapat memberi sedikit kelegaan terhadap persoalan saudara Din di atas.

Wallahu a’lam.