2010: sinar baru bersama azam baru

2010: BERSAMA AZAM BARU

 

29 Disember 2009 

Tahun baru datang lagi. Mungkinkah angka 2010 dan selepasnya menjanjikan sesuatu yang lebih bermakna dalam hidup kita. Yang pastinya, pelbagai peristiwa pahit dan manis telah dilalui oleh manusia di muka bumi sepanjang satu dekad yang lalu. Yang pasti dan paling dipercayai ialah, umur kita makin hari makin bertambah menurut bilangan matematik. Namun, berapa ramai manusia yang menyedari betapa umur kehidupan kita sebenarnya semakin pendek dan semakin menghampiri garisan penamatnya. Katalah jangka hayat manusia hari ini ialah 65 tahun. Jika hari ini umur kita telah mencapai 40 tahun, itu maknanya baki umur yang tinggal hanyalah 25 tahun. ”Oh! Begitukah?” ”Yakah?”, ”tak perasanlah pula begitu keadaannya!”. 

Tinggal lagi 25 tahun sisa umur di dunia. 25 tahun itulah tempohnya kita bernafas, menghirup udara segar dan tak segar di dunia, melihat keindahan alam dan mencari rezeki buat bekalan hidup di dunia. Tempoh itulah kita dapat bersama keluarga tersayang dan mengisi hidup dengan pelbagai lagi urusan keduniaan. TAPI, ada satu soalan. Adakah kita PASTI bahawa kita boleh hidup sampai umur 65 tahun? PASTIKAH? Soalan inilah yang SANGAT PENTING untuk dijawap. Biar kita jawap dalam hati masing-masing. Kalau mahu jawapannya, paling mudah, cuba lihat di sekeliling kita. Adakah tidak orang-orang dekat dan jauh yang kita kenal 30 tahun, atau 20 tahun atau 10 tahun atau 5 tahun atau setahun yang lalu SEMUANYA masih wujud di sekeliling kita? Apakah mereka semuanya masih hidup? Lihat balik gambar-gambar kita dulu-dulu. Lihat wajah-wajah ceria mereka. Apakah wajah-wajah yang ada dalam gambar itu semuanya masih ada? 

Sepertimana saudara-saudara juga, ERAKITA juga punya album gambar dulu-dulu. Bila membuka album tersebut, tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa hampir pasti dalam satu album yang memuatkan pelbagai wajah orang-orang yang dikenali, telah ada wajah-wajah yang TELAH PERGI buat selama-lamanya. Dari gambar zaman kanak-kanak, alam persekolahan, menara gading dan lain-lainnya, ada saja wajah-wajah di sana yang TELAH PERGI dan tak akan kembali lagi. Jika dilihat wajah-wajah itu, seolah-olah mereka masih hidup. Terkenang gelagat mereka. Terkenang kenangan pahit dan manis, suka dan duka bersama mereka. Namun pada hakikatnya, mereka sudah tiada. DAN kita yang masih BERTAHAN ni kena ingat bahawa kita juga makin hari makin dekat giliran untuk mengikuti jejak mereka. Ini PASTI BERLAKU bila tiba saat dan ketikanya. Bila tiba giliran, tiada lagi istilah TUNGGU DULU. Dalam al-Quran sendiri sebut bahawa bila tiba ajal kematian, tidak ada lagi apa-apa yang dapat dilakukan samada untuk melambatkan atau meyegerakannya. 

Bercakap mengenai kematian tidak akan ada penghujungnya. Ia akan berlaku dan terus berlaku selagi manusia wujud di muka bumi. Paling penting untuk direnung ialah iktibar atau pengajaran dari cerita kematian. Bagi ERAKITA, merenung, muhasabah dan melihat diri sendiri dengan perihal kematian di saat penting seperti melangkah ke tahun yang baru amat bererti. Banyak azam, harapan, impian dan cita-cita yang hebat dapat dilahirkan ketika melangkah ke tahun baru hasil dari muhasabah kematian. Orang boleh berjaya dalam hidup dengan cemerlang gara-gara rajin ingat akan kematian. Motivasi dan semangat yang tinggi untuk melakukan yang terbaik dan berkualiti dalam hidup boleh terhasil gara-gara rajin mengingat dan memikirkan perihal kematian. 

Hatta, kemenangan demi kemenangan gemilang umat Islam dahulu ketika berjuang di medan pertempuran melawan tentera musuh terhasil akibat sentiasa memikirkan kematian. Impian untuk mati di jalan Allah yang disediakan ganjaran yang hebat menaikkan motivasi mereka untuk berjuang dan terus berjuang. Mereka mengimpikan kematian secara SYAHID yang INDAH. Sebab itu mereka tidak takut mati TAPI RINDU untuk mati di jalan Allah. Keberanian untuk terus mara ke hadapan menghadapi tentera musuh yang JAUH LEBIH BESAR bilangannya, rupanya begitu menggerunkan musuh. Sementara tentera Islam RINDU untuk mati, tentera musuh pula TAKUT SEKALI untuk mati. Sebab itu, musuh menjadi gentar, gerun, takut dan longlai semangat untuk terus berjuang. Akhirnya, jika tidak mati terbunuh, mereka berundur untuk menerima kekalahan. Inilah satu contoh bagaimana hebatnya motivasi dan semangat untuk menempuh arus kehidupan hasil dari mengingati kematian. Jika begitu keadaannya, tidak hairanlah mengapa Nabi Muhammad s.a.w mengatakan bahawa orang yang bijak itu ialah orang yang paling banyak mengingat akan kematian. 

Sempena kedatangan tahun baru 2010, ERAKITA mengajak anda semua untuk bermuhasabah diri akan kematian. Fikirkan tentang peristiwa-peristiwa yang telah kita lalui. Peruntukan sedikit waktu untuk perkara sepenting ini. Fikirkan tentang umur kita dan fikirkan perbuatan yang telah kita lakukan sejak kita mula akil baligh. Fikirkan perkara-perkara baik dan buruk yang telah kita lakukan. Jika dapat, ada baiknya catat dalam kertas dengan terang buat tatapan diri sendiri SAHAJA. Lihat semula apakah perkara kebaikan lebih banyak berbanding keburukan yang telah kita lakukan selama ini. Fikirkan juga tentang kejayaan dan kegagalan yang telah kita tempuh. Jika beroleh kejayaan, selidik semula apakah kejayaan yang kita capai itu benar-benar hasil usaha kita dengan jalan yang diredhai Allah atau ada juga terhasil dengan jalan tidak jujur atau penipuan. 

Jika kita berjaya dalam pendidikan, apakah peperiksaan demi peperiksaan yang kita tempuh itu dilalui dengan sejujur-jujurnya. Apakah tidak ada langsung unsur tipu menipu atau tiru meniru?. Jika berjaya dalam kerjaya sehingga dapat jawatan yang tinggi dengan gaji yang lumayan, apakah kita benar-benar dapat kejayaan dalam kerjaya itu hasil kerja yang bermutu atau kerana ada melibatkan unsur-unsur tidak jujur seperti membodek ketua, menfitnah orang lain, menipu ketika memberikan maklumat peribadi, merasuah pegawai berkenaan, menyalah gunakan kuasa atau menipu dalam peperiksaan bagi kenaikan pangkat? 

Jika kita berjaya dalam perniagaan, apakah kejayaan itu diperolehi secara telus bersama usaha gigih kita? Apakah tidak ada langsung PROJEK yang diperolehi dengan cara RASUAH atau penipuan data dan sebagainya? Apakah tidak ada langsung kaitan dengan penglibatan ORANG-ORANG DALAM, KRONI dan KERABAT tertentu ketika mendapatkan PROJEK itu? Bagi ERAKITA, hal-hal seperti ini sebaiknya diambil perhatian ketika melakukan muhasabah diri. DAN banyak lagi sebenarnya yang boleh direnung dalam hidup tetapi apa yang diungkapkan di atas rasanya sudah memadai untuk melahirkan motivasi baru untuk menempuh tahun yang baru. 

Memikirkan persoalan-persoalan seperti ini dapat mengembalikan kita ke jalan yang benar lagi lurus. Jika ada perbuatan yang tidak betul dan bertentangan dengan kehendak Ilahi, wajar sekali kita membetulkannya. Bila mengingat akan kematian yang boleh datang bila-bila masa, saat itulah kita akan terdorong dengan dorongan yang tinggi untuk terus menyesal, bertaubat dan kembali ke jalan yang lurus dengan seberapa segera. Menyedari bahawa kematian boleh datang bila-bila masa sesungguhnya mendorong kita untuk tidak lagi bertangguh, tapi sebaliknya terus berubah dan memulakan perjalanan yang baru dan betul. 

Tahun 2010 kian menjelang. ERAKITA dengan kesedaran bahawa masih banyak kekurangan yang ada pada diri sendiri, mengajak anda semua untuk memulakan tahun baru ini dengan azam yang hebat dan berkualiti. Bermula dengan membanyakkan ingatan akan hakikat kematian yang datang bila-bila masa, catat dan sematkanlah azam dan cita-cita untuk melakukan sebanyak mungkin perubahan dalam diri BERTERASKAN kepada tema ”ESOK MESTI LEBIH BAIK DARI HARI INI”. 

 

ESOK MESTI LEBIH BAIK DARI HARI INI

&

SELAMAT TAHUN BARU

 

 

Advertisements

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 29 Disember 2009, in AGAMA, MOTIVASI, RENUNGAN, UCAPAN. Bookmark the permalink. 2 Komen.

  1. apa pandangan abang tentang isu penggunaan kalimah Allah oleh kaum bukan Islam?

  2. Salam,

    Thanks atas pertanyaan Helmy di atas. Isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam suatu isu yang amat sensatif. Berdasarkan tinjauan ERAKITA setakat ini, ada juga pihak berkenaan yang mengambil sikap untuk tidak memberikan komen atau ulasan mengenai perkara ini. Namun, tidak kurang ramainya pihak yang memberikan pandangan dan reaksi masing-masing.

    Ketika ini, ERAKITA juga belum bersedia memberikan pandangan menyeluruh hal ini kerana perbincangannya perlu kepada penelitian mendalam dalam pelbagai perspektif seperti perundangan, agama dan sosial. Kes masih berjalan di Mahkamah dan bahang masih berasa. Insyaallah, bila ada ruang, ERAKITA akan menerbitkan sebuah artikel mengenainya pada masa hadapan.

    Walau apapun, proses perundangan sedang berjalan di Mahkamah Rayuan. Keputusan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi baru-baru ini juga sudahpun digantung (stay of execution). Maknanya, keputusan tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam The Herald oleh pihak Kementerian Dalam Negeri sebelum ini masih dikekalkan buat sementara waktu. Maknanya, ada 2 lagi peringkat Mahkamah yang perlu ditempuh untuk memastikan samada penggunaan kalimah berkenaan boleh digunakan oleh The Herald atau sebaliknya.

    Kita berharap agar proses perundangan yang berjalan ketika ini membuahkan hasil terbaik untuk semua pihak. Apa yang penting, jangan sampai berlaku ketegangan melampau sehingga melahirkan provokasi tidak terkawal. Bertindak mengikut perasaan semata-mata tidak akan menyelesaikan isu ini. Keharmonian dan kedamaian yang dikecapi selama ini perlu dipelihara.

    ERAKITA percaya bahawa jika kes ini dihadapi dengan penuh berhemah, insyaallah, isu ini akan dapat diselesaikan dengan baik tanpa menggadaikan keharmonian rakyat di negara ini. ERAKITA kagum dengan Helmy kerana walaupun jauh di Russia sana, perkembangan dalam negara tercinta sentiasa diikuti. Tahniah dan semoga berjaya menamatkan pengajian di sana.

    Wassalam

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: