GURU ZIARAH IBUBAPA

 

DSC07383

 

 

GURU ZIARAH IBUBAPA

Ke arah melahirkan murid cemerlang

 

 

26 Oktober 2009 

Berapa ramai ibubapa yang mengenali guru-guru sekolah anak-anak mereka? Berapa ramai pula ibubapa yang kerap bertemu dan berinteraksi dengan guru-guru itu? Ibubapa yang mengenali guru-guru di sekolah anak mereka memang wajar dipuji. Ini kerana, suasana seperti itu dapat melahirkan suasana positif dalam hubungan antara ibubapa, guru dan murid. Ibubapa dapat bertanya terus kepada guru berkaitan mengenai perkembangan pelajaran atau disiplin anaknya di sekolah. 

Ada ketikanya maklumat penting dari sekolah yang disampaikan oleh anaknya kurang jelas. Antaranya pembayaran yuran persatuan, pembelian baju seragam atau penganjuran aktiviti-aktiviti penting seperti sukan, kelas tambahan, mesyuarat Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBAGU) dan lain-lain lagi. Jika ibubapa mengenali guru sekolah anaknya, hal tersebut dapat ditanya terus kepada guru berkenaan agar jelas dan difahami. Cara ini dapat menghindarkan sebarang salah faham atau kekeliruan di kalangan ibubapa terhadap sesuatu program yang dianjurkan sekolah. Kadang-kadang anak-anak terlupa untuk membawa surat atau risalah yang dikeluarkan oleh pihak sekolah untuk diberikan kepada ibubapa. 

Ada kalanya, ibubapa hanya mengetahui suatu program atau aktiviti di sekolah pada saat-saat akhir, itupun diketahui melalui rakan sekolah anaknya. Hal ini sudah tentu menimbulkan kesulitan kepada ibubapa. Kesulitan ini sedikir sebanyak boleh diatasi apabila ibubapa mempunyai hubungan baik dengan guru kelas atau guru-guru lain serta kakitangan sekolah. Jika dapat, biarlah ibubapa mendapat nombor talipon guru berkenaan untuk memudahkan sebarang urusan. 

Dari segi psikologi, anak-anak sudah tentu berbangga dan gembira apabila mengetahui bahawa ibubapa mereka mempunyai hubungan baik dengan guru-guru di sekolah. Anak-anak akan lebih yakin untuk datang ke sekolah dan merasa lebih selamat kerana guru-guru mengenali anak-anak dan ibubapa mereka sekali. Anak-anak juga akan merasa segan atau malu untuk melakukan tindakan yang bertentangan dengan peraturan sekolah apabila mengetahui bahawa guru-guru tersebut mempunyai hubungan rapat dengan ibubapa mereka. Bukan sahaja takut diambil tindakan pihak sekolah, malah anak-anak akan merasa takut sekiranya tindakan mereka itu dilaporkan oleh guru berkenaan kepada ibubapa mereka. 

Alangkah baiknya andai wujud hubungan baik antara ibubapa dan guru-guru. Tidak dinafikan kewujudan PIBAGU adalah langkah bijak untuk mempertemukan ibubapa dan guru-guru. Cuma, pertemuan untuk membincangkan hal ehwal murid dan sekolah hanyalah dapat dilakukan mungkin dua atau tiga kali dalam setahun. Itupun hanya berapa ramai sahaja ibubapa yang dapat hadir. Ketidakhadiran ramai ibubapa ke dalam mesyuarat PIBAGU atau biasa disebut PIBG sudah menjadi perkara biasa di mana-mana. Tidak hairan jika ada keputusan mesyuarat tersebut yang mengenakan denda sehingga RM10 atau RM15 kepada ibubapa yang gagal hadir tanpa sebab menasabah. 

Dalam situasi lain, ada ketikanya pihak sekolah menempah bekalan makanan dari pembekal makanan untuk makan tengahari para ibubapa dan guru menurut jumlah ibubapa atau penjaga murid-murid di sekolah berkenaan. Malangnya, jika tempahan dibuat untuk 500 kepala, akhirnya yang hadir hanya 200 hingga 300 kepala sahaja. Akhirnya makanan lebih banyak yang tidak dimakan. Bukankah hal ini sudah menyebabkan pembaziran wang sekolah atau persatuan? Akhirnya, bukan pembaziran makan minum saja yang berlaku tapi juga keputusan mesyuarat hanya diketahui oleh segelentir sahaja ibubapa. Akhirnya, apabila keputusan mesyuarat mula dilaksanakan, kedengaranlah pula suara-suara sumbang dan rungutan dari ibubapa yang tidak hadir ketika mesyuarat dahulu. 

ERAKITA berpendapat bahawa perjumpaan mesyuarat PIBAGU dua atau tiga kali dalam setahun memang tidak memadai untuk memupuk kerjasama dan persefahaman antara guru-guru dan ibubapa. Sebab itulah, satu usaha yang jitu perlu dilakukan untuk menyedarkan para ibubapa dan guru-guru akan keperluan mewujudkan hubungan rapat antara mereka. Andai ibubapa tidak dapat memulakan hubungan rapat guru dan ibubapa, para guru juga rasanya perlu mengambil pendekatan MEMULAKAN terlebih dahulu hubungan tersebut. Hubungan mesra guru dan ibubapa boleh dijalinkan melalui ZIARAH GURU KE RUMAH IBUBAPA murid pada waktu-waktu bersesuaian seperti hujung minggu. Hubungan mesra juga boleh dimulakan dengan membuat panggilan talipon bertanyakan khabar ibubapa atau anak-anak mereka. Siapa sangka, boleh jadi tindakan guru memulakan hubungan baik ini akan melahirkan rasa diberi perhatian di pihak ibubapa murid. 

Tindakan TURUN PADANG oleh guru-guru ke rumah ibubapa murid sesungguhnya satu tindakan murni dan melahirkan suasana harmoni antara keduanya. Maklumat awal mengenai hal ehwal dan keadaan ibubapa yang bakal dikunjungi boleh diperolehi dari Ketua Kampung atau Pengerusi JKKK kampung berkenaan. Jika guru tersebut berkesempatan untuk ke masjid atau surau kampung tersebut, usaha memulakan hubungan baik antara ibubapa akan menjadi lebih mudah. Sambil berkunjung, elok juga rasanya guru berkenaan membawa OLE-OLE atau BUAH TANGAN sebagai tanda keakraban dan kemesraan. Rasanya tidak ada ibubapa yang akan menolak kunjungan guru-guru ke rumahnya. Sebaliknya, ibubapa pasti merasa diberi penghormatan dan perhatian ikhlas dari pihak sekolah. 

Bagi guru-guru, anggap sahajalah kita seperti para JURURAWAT dari klinik atau hospital kerajaan yang akan mengunjungi rumah para ibu yang baharu melahirkan anak. Jururawat tersebut bukan sahaja akan memeriksa dan bertanyakan khabar dari para ibu, bahkan juga kepada bayi yang baru dilahirkan. Kemesraan para Jururawat ketika mengunjungi kaum ibu di rumah begitu terasa sekali. Apabila orang-orang penting seperti mereka datang ke rumah dan bertanya khabar mengenai perkembangan ibu dan baby, saat itu terasa sekali betapa MURNINYA khidmat mereka kepada kita. Demikianlah bagaimana ERAKITA merasakan bahawa guru-guru juga boleh mengambil pendekatan yang serupa atau seumpama dengannya. Rasanya, tindakan ini sudah MELEBIHI pencapaian TAHAP 4 dalam peperiksaan PENILAIAN TAHAP KECEKAPAN (PTK) bagi kakitangan kerajaan. 

ERAKITA masih ingat lagi betapa guru-guru 20 atau 30 tahun lampau begitu rapat hubungannya dengan masyarakat desa. Tidak kurang juga kejadian di mana guru-guru dijadikan ANAK ANGKAT oleh ibubapa murid di sekolah berkenaan. Begitu akrab sekali hubungan guru dan masyarakat kampung. Tidak keterlaluan juga kalau dikatakan bahawa perpindahan seseorang guru yang disayangi masyarakat bukanlah suatu yang disukai atau diingini ketika itu. Jika dapat, biarlah guru berkenaan mengajar di sekolah berkenaan sampai PENCEN. Andai berpindah juga, perpindahan guru berkenaan pasti diiringi dengan tangisan oleh masyarakat dan anak-anak muridnya. 

Bayangkanlah jika suasana ini sudah terwujud, apakah akan wujud tindakan agresif atau ofensif ibubapa ke atas guru apabila guru mengenakan tindakan disiplin ke atas anak mereka? Apakah akan timbul lagi ibubapa atau penjaga anak mengambil tindakan menyaman guru dan pihak sekolah terhadap apa yang berlaku ke atas anak mereka? Agaknya ramai bersetuju bahawa ibubapa yang sudah tertanam kepercayaan dan keyakinan kepada guru-guru dan pihak sekolah tidak akan tergamak untuk mengambil tindakan terburu-buru seperti ini hanya bersandarkan kepada apa yang diceritakan oleh anak mereka. Malah ibubapa berkenaan akan terlebih dahulu menghubungi guru atau pihak sekolah untuk mendapatkan gambaran sebenar. Setelah mendapat gambaran sebenar, boleh jadi ibubapa itu akan melahirkan rasa terimakasih kepada guru dan pihak sekolah kerana mengambil tindakan sedemikian rupa kepada anaknya. Boleh jadi juga, ibubapa tersebut akan mengambil tindakan ke atas anak mereka menurut kaedah sepatutnya seperti merotan atau memberi hukuman sewajarnya. 

Bagi ERAKITA, ibubapa dan guru kena saling kenal mengenali antara satu sama lain. Jika dapat, mungkin juga guru boleh membuat sedikit kelainan dari kebiasaan sewaktu menyerahkan buku rekod persekolahan anak muridnya. Jika pada kebiasaannya, ibubapa akan dipanggil bersama anak-anak mereka ke sekolah untuk mengambil buku rekod tersebut. Keputusan peperiksaan murid-murid akan diketahui hanya pada hari berkenaan. Bagi ibubapa yang mendapati anaknya mendapat keputusan TERCOROT, ia pasti akan merasa malu atau marah kepada anaknya. Tidak mustahil akan keluar kata-kata yang tidak elok dari mulut ibubapa atau penjaga mereka di hadapan guru kelas dan murid-murid lain. 

Boleh jadi kata-kata seperti ”kau ni Onong, bodoh juga kau ni! Macam mana kau boleh dapat nombor KUNCIT! Bikin malu saja!” terkeluar dari mulut ibubapa. Ada juga kata-kata ibubapa seperti ini ”Onong! Lain kali kalau keputusan kau begini juga, bagus lagi berhenti sekolah saja. Potong Getah lagi bagus!” atau ”Onong, saya sudah cakap balik-balik sama kau, jangan main internate saja, tapi kau tidak mau ikut cakap saya, sekarang tengoklah sendiri apa yang kau dapat!”. Kata-kata seperti ini juga mungkin pernah kita dengar. ”Onong! Kau tengoklah sendiri keputusan peperiksaan kau gara-gara asyik main TING TONG saja. Bagus kau pigi kahwin sama itu TING TONG!”. Tindakan spontan ini akan menjatuhkan air muka murid berkenaan. Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku. Ia tidak akan menyelesaikan masalah. 

Tetapi, mungkin lebih besar kesan positif kalau guru berkenaan menetapkan satu masa khusus untuk datang menziarahi ibubapa murid berkenaan di rumah mereka sambil membawa buku rekod tersebut. Pendekatan ini mungkin sesuai digunakan dalam kes-kes melibatkan murid yang lemah dalam pelajaran atau juga murid-murid yang berpotensi maju tetapi berhadapan dengan masalah peribadi termasuk masalah keluarga. Tidak salah andai pendekatan ini dicuba dahulu. Siapa tahu, tindakan TURUN PADANG ini mampu menghasilkan kesan mengkagumkan di luar dugaan selepas itu! Siapa tahu? Belum cuba belum tahu. Kelebihannya, bukan saja guru tersebut dapat mengenali dan mengadakan hubungan rapat dengan ibubapa, guru juga dapat melihat sendiri keadaan persekitaran rumah dan keberadaan keluarga murid tersebut. 

Guru akan dapat gambaran sebenar samada keadaan dalam rumah itu mempunyai ciri-ciri MESRA BELAJAR atau tidak. Maksud ERAKITA, guru dapat melihat secara langsung dengan kepala mata sendiri samada ada terdapat ruang belajar, atau ada meja belajar atau almari buku, lampu yang mencukupi dan lain-lain lagi dalam rumah pelajar bekenaan. Pengetahuan LANGSUNG ini sesuangguhnya dapat membantu guru untuk membuat STRATEGI baru dan berkesan untuk menyampaikan ilmu dan motivasi kepada murid berkenaan. Ingatlah, tidak ada hal yang lebih berkesan melainkan dengan MELIHAT, MENYENTUH dan MERASA sendiri keadaan yang dihadapi oleh murid berkenaan. 

Apapun yang dibincangkan di atas, bukanlah bertujuan untuk menambahkan beban ibubapa atau guru-guru. Namun, pendekatan yang diiringi kepelbagaian teknik dan cara untuk mendidik murid-murid supaya mencapai kemajuan dan kecemerlangan harus dicuba dan diamalkan. Suasana hari ini dengan suasana 20 atau 30 tahun yang lampau sudah jauh berbeza. Suasana era kini semakin mencabar dan semakin komplikated. Kreativiti mendidik anak-anak amatlah diperlukan. Pengetahuan teknologi moden hari ini seperti internate dan bermacam-macam lagi harus diketahui dan difahami oleh guru-guru dan para ibubapa agar pendekatan mendidik mereka dapat disesuaikan menurut keadaan anak-anak tersebut. Akhir sekali, ERAKITA mengucapkan selamat menghayati artikel ini dan mencuba beberapa tips yang dilontarkan menurut kesesuaian dan keupayaan masing-masing. 

 

SELAMAT MENCUBA

 

 

Advertisements

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 26 Oktober 2009, in KELUARGA, MOTIVASI, PETUA, RENUNGAN, SEKOLAH. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: