IBUBAPA: sokonglah anak-anak kita

 

Aktiviti hujung minggu sekeluarga aset bernilai untuk membina minda positif anak-anak. Hj Juang bersama keluarga di Air Terjun Mahua Tambunan

Aktiviti hujung minggu sekeluarga aset bernilai untuk membina minda positif anak-anak. Hj Juang bersama keluarga di Air Terjun Mahua Tambunan

 

IBUBAPA

sokonglah anak-anak kita

 

20 Oktober 2009 

Kehadiran ibubapa atau penjaga dalam aktiviti-aktiviti penting yang diadakan sekolah seperti sukan, mesyuarat PIBG, pertandingan melibatkan pelajar seperti melukis, syarahan, membaca al-Quran, debat dan lain-lain mempunyai signifikan tersendiri. Tidak juga pentingnya ialah hadir untuk menerima rekod pencapaian peperiksaan murid di hadapan guru kelas mereka. Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman ERAKITA, ramai ibu bapa atau penjaga yang tidak hadir untuk melihat anak-anak mereka BERTARUNG dalam pertandingan-pertandingan yang diadakan di sekolah. Sebenarnya, kehadiran ibu bapa di majils-majlis seperti ini amat besar kesannya terhadap motivasi dan semangat anak-anak untuk belajar. Ibu bapa akan melihat sendiri bagaimana pencapaian anak-anaknya dalam aktiviti tersebut. 

Jika direnung, banyak aktiviti dan kemahiran anak yang tidak diketahui dan disedari oleh ibu bapa. Kebanyakan kemahiran dan aktiviti itu hanya dapat dilakukan di sekolah. Bayangkan, bukankah besarnya makna dan nilai kehadiran ibu bapa dalam majlis pertandingan syarahan melibatkan anaknya di sekolah? Anak itu akan terasa dihargai, terasa disokong, terasa diperlukan, terasa diberi perhatian, terasa bahawa dirinya penting bagi ibubapa. Itu mungkin perasaan yang dialami oleh anak-anak kita. Bagaimana pula rasanya hati ibubapa apabila anaknya sendiri diumumkan sebagai salah seorang pemenang dalam pertandingan yang disertainya? Pastilah perasaan terharu dan gembira yang sukar digambarkan dengan kata-kata ketika itu. Demikianlah juga dengan si anak. Tentunya semangat dan kegembiraan si anak pula akan bertambah-tambah apabila mendapati bahawa ibu atau ayahnya sendiri yang mengambil gambar ketika ia menerima hadiah tersebut? Lebih bermakna lagi apabila ibubapa turut bergambar dengan anak bersama-sama hadiah atau tropi yang digondolnya. 

Lihat saja realiti yang berlaku dalam pertandingan-pertandingan berbentuk hiburan di kaca TV. Dalam pertandingan realiti TV, contohnya Akademi Fantasia anjuran ASRTO, tampak terserlah kegembiraan dan semangat yang berkobar-kobar dalam raut wajah peserta di pentas apabila melihat kelibat-kelibat ibu bapa dan ahli keluarganya turut hadir di dewan untuk memberikan sokongan kepadanya? Bukanlah pula maksud ERAKITA menyokong program AF dan pelbagai lagi program realiti hiburan TV itu. Cuma, gambaran yang berlaku dalam suasana-suasana yang ditampil dalam suatu pertandingan yang dihadiri ibu bapa dan saudara mara terdekat benar-benar memberi impak atau kesan yang besar terhadap semangat dan usaha seseorang peserta. Dalam konteks ini, peserta itu ialah anak kita. 

Kehadiran ibubapa dalam aktiviti-aktiviti anak di sekolah atau di luar sekolah sepertimana disebutkan di atas sangat besar implikasinya terhadap psikologi dan minda anak-anak. Anak lebih berkeyakinan dan daya motivasinya semakin meningkat untuk datang ke sekolah dan melakukan apa juga aktiviti yang dianjurkan pihak sekolah. Dari sudut lain, kehadiran ibubapa di sekolah sekurang-kurangnya dapat mengurangkan rasa rendah diri anak di hadapan rakan-rakannya. Rakan-rakan sekolah pula akan berfikir beberapa kali jika hendak melakukan perkara yang tidak baik ke atas anak tersebut seperti membuli dan sebagainya. Ini kerana, mereka sedar bahawa ibubapa murid tersebut mempunyai hubungan yang rapat dengan guru-guru dan warga sekolah. Kesibukan ibubapa dalam kerjaya masing-masing tidak sepatutnya menghalang mereka untuk bersama anak-anak dalam peristiwa-peristiwa penting mereka walaupun buat sekala-sekali. Di samping dapat mengenali guru-guru sekolah secara dekat, ibubapa juga berpeluang mengenali rakan-rakan sekolah anak-anak mereka. 

Dari sudut lain pula, ibubapa yang melazimkan diri mereka hadir di sekolah ketika aktiviti-aktiviti tertentu berlangsung di sekolah akan lebih memahami keadaan sekeliling sekolah tersebut. Sekurang-kurangnya mereka mendapat gambaran sejauh mana tahap keselamatan anak-anak mereka di sekolah. Mereka juga dapat melihat prasarana atau kelengkapan di sekolah seperti tandas, kelas, kantin, peralatan keselamatan, kebesihan dan lain-lain. Maklumat-maklumat yang diperolehi di depan mata ini dapat pula memberi motivasi kepada ibubapa untuk memberi idea atau sumbangan dari segi material atau kewangan kepada pihak sekolah jika diperlukan. 

Dengan kesibukan ibubapa dalam urusan harian mereka di pejabat, di kebun, di bendang atau di tempat-tempat kerja dari pagi hingga petang, mereka tidak akan masa yang cukup untuk mengenalpasti kelebihan-kelebihan yang dimiliki anaknya. Mereka mungkin tidak tahu bahawa anaknya mahir bermain bola sepak. Mereka mungkin tidak tahu atau sedar bahawa anaknya pandai bermain hoki, badminton, tennis, ping pong, atau juga hebat dalam acara sukan olaraga seperti larian 100 meter dan sebagainya. Yang ibu bapa tahu ialah apabila anak balik dari sekolah, anak-anak seringkali meminta itu dan meminta itu dari ibubapa. 

Seringkali terjadi apabila anak balik dari sekolah dan memberitahu bahawa sekolah meminta agar ibubapa membayar sejumlah wang untuk pembelian baju persatuan atau sukan atau peralatan tertentu di sekolah, ibubapa sebaliknya merungut dan mula berleter. Ibubapa pula mula mengeluarkan kata-kata yang ada kalanya tidak sedap didengar oleh telinga. Kadang-kadang keluar juga kata-kata seperti ”apalah sekolah kamu ni, balik-balik minta duit, balik-balik minta duit!”. Ada juga kata-kata seperti ”tidak payahlah kamu ikut aktiviti tu, buang duit saja!”. Jika umpamanya aktiviti tersebut diadakan pada hujung minggu, si bapa mungkin lebih mudah mengatakan ”nak, kalau kau ikut perkemahan tu, kau tidak akan dapat apa-apa duit. Buang duit saja semua tu. Bagus lagi kau ikut bapa ke kebun hari sabtu ni!”.

Rasanya, jika keadaan ini berlaku semangat anak-anak boleh luntur sama sekali. Apatah lagi jika anak itu orang penting dalam pasukan atau persatuan tersebut. Tidak mustahil, sikap ibubapa sedemikian menjadi penyebab utama anak mereka terlepas peluang untuk mewakili sekolah dalam pertandingan penting di peringkat daerah atau bahagian atau negeri. Akibatnya, bukan sahaja anak tersebut rugi kerana terlepas peluang keemasan untuk mengikuti pertandingan tersebut, sekolah juga terlepas peluang untuk menaikkan nama sekolah mereka. Dan, lebih rugi lagi ialah ibubapa anak-anak kerana andai mereka tahu dan memahami anak-anak di sekolah, pastinya mereka lebih gembira dan bahagia melihat anak mereka meraih kecemerlangan dalam persekolahan. 

Tidak mustahil jiwa anak-anak boleh memberontak terhadap ibubapa. Tidak hairanlah jika ini berlaku, anak-anak itu akan lebih bahagia kalau bersama-sama dengan kawan-kawannya di luar rumah berbanding di rumah sendiri. Rumah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat dan tenteram tidak lagi diminati oleh anak-anak. Sebaliknya, rumah kawan-kawan pula yang disukainya. 

ERAKITA melihat bahawa hal-hal sekecil ini sewajarnya diambil perhatian oleh para ibubapa. Dekatilah anak-anak kita. Janganlah melakukan tindakan yang membuatkan anak-anak benci atau jauh dari ibubapa. Salah satu langkah mendekati anak-anak dan menarik kepercayaan serta rasa sayang mereka kepada ibubapa ialah dengan menghadiri aktiviti-aktiviti penting melibatkan anak-anak di sekolah atau di mana juga yang berpatutan. Berilah sokongan kepada mereka. Memahami dan menyedari akan bakat serta kelebihan yang dimiliki anak-anak dilihat mampu mendorong ibubapa untuk terus menyokong anak-anak mengasah bakat dan kecemerlangan mereka di sekolah. Jom, sokong anak-anak kita!

 

RENUNGAN UNTUK IBUBAPA

 

 

Advertisements

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 20 Oktober 2009, in KELUARGA, MOTIVASI, RENUNGAN, SEKOLAH. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: