Daily Archives: 18 Ogos 2018

GANGGUAN ORANG KETIGA DALAM RUMAHTANGGA

IMG_20180818_163902

 

GANGGUAN ORANG KETIGA DALAM RUMAHTANGGA MENURUT UNDANG-UNDANG ISLAM DAN ADAT NEGERI SABAH

 

PENDAHULUAN

Sering kali terjadi krisis rumahtangga akibat orang ketiga sehingga membawa kepada perceraian suami dan isteri. Si suami atau si isteri main kayu tiga dengan menjalin hubungan intim dengan orang lain. Ada kejadian di mana ibu atau ayah mertua menghasut anak perempuan supaya bercerai dengan suaminya tanpa sebab syarie. Selain itu, ada kes yang lebih berat di mana kekasih gelap si isteri memujuk dan kemudiannya membawa lari si isteri dari rumah kediamannya. Keretakan yang membawa kepada kemusnahan istana perkahwinan dalam situasi di atas adalah angkara gangguan orang ketiga dalam rumahtangga tersebut. Tulisan ini menfokuskan perbincangan mengenai peruntukan undang-undang bagi mengawal dan mencegah dari berlakunya gangguan orang ketiga melibatkan orang Islam. Perbincangan mengenai kedudukan undang-undang mengenai mengenai perkara yang sama dalam perspektif adat Negeri Sabah turut dibincangkan. Kedudukan undang-undang berhubung gangguan orang ketiga ke atas rumathtangga dalam perspektif undang-undang sivil di Malaysia tidak dibincangkan dalam tulisan ini. Ini kerana, perbincangan mengenainya adalah lebih panjang dan terperinci apabila terdapat undang-undang yang spesifik bagi mengawal dan menanganinya seperti Akta Keganasan Rumahtangga 1994 dan juga Kanun Keseksaan (AKTA 574). Justeru, perbincangan secara berasingan mengenainya ada kewajaran untuk dilakukan.

 

GANGGUAN ORANG KETIGA DALAM PERSPEKTIF UNDANG-UNDANG ISLAM

Mengenai gangguan orang ketiga terhadap rumahtangga dalam Islam, terdapat peruntukan undang-undang yang mengawal perbuatan ini. Ia merupakan satu kesalahan jenayah syariah. Terdapat sekurang-kurangnya 3 seksyen bermula dari seksyen 36, seksyen 37 dan seksyen 38 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan yang menyebut secara jelas mengenai gangguan orang ketiga dalam rumahtangga. Berdasarkan kepada peruntukan undang-undang yang diperuntukkan di negeri-negeri, kesalahan mengganggu rumahtangga orang terbahagi kepada 3 komponen iaitu:

  • memujuk lari perempuan bersuami;
  • menghalang pasangan suami isteri untuk hidup bersama; dan
  • menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan.

Selain merujuk undang-undang yang terpakai di Mahkamah Syariah yang dikhususkan kepada orang-orang Islam, perbincangan juga turut menyentuh undang-undang gangguan ke atas rumahtangga orang di bawah undang-undang adat di Negeri Sabah.

 

A. Memujuk lari perempuan bersuami.

Kesalahan kerana memujuk lari perempuan bersuami diperuntukkan dalam seksyen 36 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan seperti berikut:

“Mana-mana orang yang memujuk lari seorang perempuan bersuami atau membawanya keluar dari atau dengan apa-apa cara mempengaruhinya supaya meninggalkan kediaman suami isteri yang ditentukan oleh suaminya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah boleh memerintahkan perempuan tersebut supaya kembali kepada suaminya”.

 

B. Menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri.

Kesalahan kerana menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri diperuntukkan dalam seksyen 37 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan seperti berikut:

“Mana-mana orang yang menghalang sesuatu pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri yang sudah bernikah dengan sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah hendaklah memerintahkan pasangan itu supaya hidup sebagai pasangan suami isteri yang sudah bernikah dengan sah”.

 

C. Menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan.

Kesalahan kerana menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan diperuntukkan dalam seksyen 38 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan seperti berikut:

“Mana-mana orang yang menghasut, memaksa atau memujuk mana-mana orang lelaki atau orang perempuan supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan dan tanggungjawabnya sebagai suami atau isteri adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya”.

Tiga peruntukan yang terdapat dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan di atas tidak diperuntukkan satu persatu dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah di Sabah 1995. Bagi Sabah, kesemua kesalahan tersebut dirangkumkan dalam satu seksyen sahaja. Seksyen 86 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Sabah 1995 menyebutkan seperti berikut:

“Sesiapa yang melarikan atau menyebabkan seseorang isteri orang lain meninggalkan rumahtangga yang ditentukan oleh suaminya adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan Mahkamah hendaklah memerintahkan supaya isteri itu kembali kepada suaminya”.

 

BERSUBAHAT MENGGANGGU RUMAHTANGGA ORANG

Perlu diingat bahawa orang lain yang turut bersubahat dalam perbuatan jenayah mengganggu rumahtangga orang juga tidak terkecuali dari tindakan undang-undang. Orang yang bersubahat itu turut melakukan kesalahan jenayah dan boleh didakwa atas kesalahan bersubahat melakukan kesalahan di bawah seksyen 102 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995. Seksyen 102 menyebutkan:

“Sesiapa yang cuba atau bersubahat melakukan mana-mana kesalahan terhadap Enakmen ini hendaklah, melainkan diperuntukkan selainnya, dihukum dengan hukuman yang sama seolah-olah dia melakukan kesalahan yang demikian”.

Bersubahat bermaksud bahawa sesiapa sahaja orang terlibat mengganggu rumahtangga orang lain turut melakukan kesalahan. Orang tersebut boleh didakwa atas kesalahan bersubahat dan jika disabitkan boleh dihukum dengan hukuman yang sama sebagaimana hukuman bagi kesalahan asal. Orang yang bersubahat itu tidak dikhususkan kepada mana-mana orang. Dalam konteks rumahtangga, orang yang lazimnya terdedah kepada perbuatan bersubahat adalah ibu atau ayah kepada pasangan itu, saudara kandung atau pakcik dan makcik pasangan itu. Tidak terkecuali rakan-rakan kepada pasangan tersebut.

Justeru, bagi mengelak dari berlakunya perbuatan gangguan itu, ada baiknya laporan kepada pihak polis atau kepada penguatkuasa agama yang berhampiran untuk memaklumkan jika sekiranya memang terdapat kekerasan atau perlakuan jenayah yang dilakukan oleh pasangan tersebut sehingga tidak memungkinkan untuk ia tinggal bersama dengan pasangannya. Undang-undang bertulis yang memberi perlindungan kepada pasangan dalam rumahtangga seperti Akta Keganasan Rumahtangga 1994 boleh dirujuk untuk tindakan perundangan. Selain itu, perbuatan yang dikatakan mengganggu rumahtangga orang juga boleh dielakkan dengan mengambil tindakan pembubaran perkahwinan di bawah mana-mana peruntukan Enakmen Undang-Undang keluarga Islam jika sekiranya bersesuaian.

 

GANGGUAN RUMAHTANGGA ORANG KETIGA MENURUT UNDANG-UNDANG ADAT DI SABAH

Dalam undang-undang adat yang dikanunkan di Sabah, terdapat satu peruntukan berhubung gangguan terhadap rumahtangga orang. Ia melibatkan perbuatan seorang lelaki memikat isteri orang.  Dalam Aturan 18 Kaedah-Kaedah Mahkamah Anak Negeri (Undang-Undang Adat Anak Negeri) 1995, kesalahan tersebut disebutkan seperti berikut:

“Sesiapa juapun yang memikat atau membawa pergi isteri orang lain adalah melakukan perlanggaran undang-undang adat anak negeri dan boleh dikenakan –

  • membayar pihak yang terkilan sogit tidak melebihi 3 ekor ternakan atau barang-barang lain yang senilai dengannya mengikut denda adat; atau
  • jika engkar-
  • denda tidak melebihi RM3,000; atau
  • penjara selama tempoh tidak melebihi 18 bulan; atau
  • denda dan penjara kedua-duanya.

Berdasarkan kepada peruntukan di atas, jelas bahawa perbuatan mengganggu rumahtangga orang ada remedi tersendiri menurut undang-undang adat anak negeri di Sabah. Jika berlaku perlanggaran adat, prosiding perbicaraan bagi kes berkenaan dikendalikan di Mahkamah Anak Negeri yang terdapat hampir di setiap daerah di seluruh Negeri Sabah.

 

PENUTUP

Tidak dinafikan bahawa kejadian gangguan ke atas rumahtangga orang angkara orang ketiga sering berlaku dalam masyarakat kita. Jika ia melibatkan orang Islam, tindakan perundangan boleh diambil menurut undang-undang yang terpakai di Mahkamah Syariah. Ia merupakan kesalahan jenayah syariah. Jika melibatkan anak negeri, tindakan perundangan kerana perlangggaran adat menurut undang-undang adat negeri Sabah boleh diambil menerusi Mahkamah Anak Negeri Sabah.