Arkib Blog

JIKA SUDAH TERLAFAZ CERAI, CEPAT-CEPATLAH KE MAHKAMAH

JIKA SUDAH TERLAFAZ CERAI, CEPAT-CEPATLAH KE MAHKAMAH

3 Febuari 2015

Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya. Adik ipar saya telah melafazkan cerai talak satu kepada isterinya di hadapan kedua pakcik dan makcik si isteri. Tetapi dalam masa kurang sebulan, adik ipar saya dan isterinya telah kembali semula dan bersekedudukan bersama. Di sini, saya ingin tahu:

(1) Adakah mereka harus memfailkan penceraian mereka di pejabat agama?
(2) Haruskah mereka melalui proses penceraian sebelum mereka rujuk semula?
(3) Apa hukum jika sudah melafazkan cerai tanpa memfailkan dan bersekedudukan??

Sila balas pertanyaan saya kerana saya ingin tahu. Terima kasih

Jawapan

Walaikumussalam wbt. Dalam keadaan di atas, apabila ternyata si adik ipar telah melafazkan cerai ke atas isterinya, tindakan segera yang perlu dilakukan adalah menfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai luar mahkamah di Mahkamah Syariah di mana pasangan tersebut bermastautin atau tinggal. Terus sahaja ke Mahkamah Syariah. Elakkan dari menangguh-nangguh perkara ini. Penangguhan yang berterusan akan hanya menambahkan rasa resah, bimbang dan tidak senang pada hati bukan saja pada pasangan ini malah pada keluarga kedua pihak yang terlibat.

Lafaz tersebut perlu diteliti oleh Mahkamah samada ianya telah menggugurkan talaq atau tidak. Ini kerana, lafaz talaq itu sendiri ada yang disebut sebagai lafaz soreh atau lafaz yang terang, nyata yang mana seseorang yang melafazkannya dalam keadaan biasa akan menggugurkan talaq. Ia tak memerlukan niat menceraikannya. Contohnya “aku ceraikan kau” atau “aku talaqkan kau” atau “kau tertalaq”.

Ada lagi lafaz yang dikategorikan sebagai lafaz kinayah yang memerlukan niat menceraikan baharulah lafaz tersebut dikira sebagai sabit perceraian atau gugur talaq. Contohnya suami mengatakan kepada isterinya “kau kembalilah kepada ibubapa engkau dan jangan lagi kau balik ke sini”. Dalam hal ini, sekiranya suami berniat menceraikan isteri saat melafazkan kata-kata itu, maka ia dikira menggugurkan talaq. Sebaliknya, jika suami sekadar menakutkan atau memberi amaran kepada isteri, maka tidaklah gugur talaq.

Justeru, dalam situasi yang dihadapi oleh adik ipar tersebut, sebaiknya bersegeralah ke Mahkamah Syariah dan failkan permohonan pengesahan lafaz cerai luar Mahkamah. Jika benar telah bercerai, mahkamah akan menentukan pula berapa bilangan atau jumlah talaq yang gugur. Hanya mahkamah syariah saja yang boleh memutuskan perkara ini menurut undang-undang keluarga Islam yang berkuatkuasa di negeri-negeri. Seksyen 56 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam jelas menyebutkan bahawa Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk hanya boleh mendaftarkan suatu perceraian itu apabila telah berpuashati bahawa Mahkamah Syariah telah membuat pengesahan mengenai perceraian itu.

Soal mereka telah rujuk, kembali atau bersekedudukan semula sebagai suami isteri, hal tersebut tidak harus berlaku begitu saja tanpa mendapat kepastian mengenai kedudukan status mereka semada sudah bercerai atau tidak. Jika mereka benar-benar nak bersatu semula, ikutilah undang-undang yang ada. Undang-undang itu bukanlah menyusahkan tetapi ia adalah memudahkan urusan manusia. Ia mengelak dari berlakunya perkara-perkara yang bertentangan dengan syarak. Segerakan dan jangan bertangguh lagi.

Tindakan menyegerakan untuk membuat laporan (permohonan) ke mahkamah mengenai lafaz cerai yang dilakukan di luar mahkamah tanpa kebenaran mahkamah adalah kehendak undang-undang. Seksyen 57 Enakmen Undang_undang Keluarga Islam menegaskan bahawa laporan (permohonan pengesahan lafaz cerai luar mahkamah) hendaklah dibuat kepada Mahkamah Syariah dalam tempoh 7 hari dari lafaz cerai tersebut berlaku. Ini bermakna, bila mana lafaz cerai sudah dibuat oleh suami, maka pasangan tersebut mestilah melaporkan hal tersebut dalam tempoh 7 hari dari tarikh lafaz.

Dalam perkara sepenting ini, Arahan Amalan sudah dikeluarkan kepada seluruh Mahkamah Syariah di negeri-negeri bahawa keutamaan untuk mendengar terus permohonan yang ada persetujuan bagi kes pengesahan lafaz cerai perlu diberi termasuk mendengar pada hari yang sama kes berkenaan jika ada ruang mahkamah berbuat demikian. Erakita berpendapat bahawa penjelasan dari artikel dalam ruangan ini serta jawapan di atas memadai sebagai jawapan kepada soalan yang ketiga.

Demikianlah jawapan erakita dalam situasi di atas. Semoga ada manfaatnya. Jangan tunggu lagi. Bersegeralah ke Mahkamah Syariah dan failkan permohonan pengesahan lafaz cerai luar mahkamah tersebut. Mohonlah kepada Pendaftar Mahkamah supaya kes berkenaan dapat disegerakan pendegarannya atas sebab nak rujuk.

Wallahu a’lam.

Kahwin Tanpa Kebenaran: Satu Jenayah Syariah

Kahwin Tanpa Kebenaran: Satu Jenayah Syariah

11 April 2012

Lazimnya, manusia akan melakukan apa saja bila terdesak, walaupun tindakan itu boleh memudaratkan dirinya, orang lain atau melanggar undang-undang dan hukum Allah. Bagi orang Islam, kerajaan telah menyediakan undang-undang yang jelas bagi mengatur urusan kekeluargaan. Justeru, beberapa peruntukan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Sabah) 2004 diwujudkan khusus bagi pengurusan perkahwinan, perceraian dan rujuk.

Bagi mana-mana pasangan yang hendak berkahwin di negeri ini, mereka mesti mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa Agama Islam. Selain perlu menjalani kursus pra-perkahwinan yang dianjurkan atau diiktiraf oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), pasangan mesti mendapatkan kebenaran berkahwin daripada Pendaftar Pernikahan, Perceraian dan Rujuk di Jabatan Agama.

Pasangan perlu mengisi borang khusus yang disediakan dan memastikan satu kebenaran telah diperolehi dari Pendaftar Perkahwinan sebelum pernikahan dilangsungkan. Tujuannya, agar pernikahan yang dijalankan menepati hukum syarak. Sudah tentu, pasangan akan ditanya mengenai kedudukan wali, hubungan nasab pasangan, saksi dan lain-lain perkara berkaitan sebelum kelulusan diberikan.

Pasangan harus menerima peraturan ini demi kebaikan semua pihak. Tidak patut timbul isu menyusahkan atau menyukarkan proses atau melambat-lambatkan urusan pernikahan. Undang-undang ini telah disediakan sebegitu rupa setelah melalui proses kajian mendalam oleh pakar-pakar perundangan dan pihak pengubal undang-undang. Semuanya dilakukan untuk mengelak berlakunya masalah pernikahan pada masa hadapan seperti kesahihan pernikahan, nasab anak dan lain-lain lagi. Tambahan pula, peraturan ini akan memastikan bahawa perkahwinan tersebut didaftarkan bagi tujuan pengeluaran sijil pernikahan. Sijil pernikahan pula diperlukan untuk urusan-urusan berkaitan seperti persekolahan, hospital, bantuan kerajaan, pengeluaran dokumen pengenalan diri di Jabatan Pendaftaran Negara, imigresen dan sebagainya.

Bagaimanapun cantik dan lengkap undang-undang tersebut, kes melibatkan perlanggaran undang-undang sentiasa berlaku. Tidak kurang kejadian membabitkan pasangan bernikah tanpa mendapatkan kebenaran dari pihak berkuasa Agama. Mereka mencari jalan mudah dengan bernikah menggunakan sindiket pernikahan yang sentiasa menanti mangsa. Sindiket ini ada kalanya berlagak sebagai pegawai agama, sebagai jurunikah bertauliah dan bermacam lagi lagak dan bohongnya.

Yang penting bagi mereka adalah wang! wang! wang!. Pasangan yang terdesak untuk bernikah segera samada disebabkan tidak direstui oleh keluarga atau menyembunyikan pernikahan kerana berpoligami atau telah “terlanjur” akan menggunakan khidmat nikah sindiket ini. Mereka sanggup membayar perkhidmatan walau kosnya mencecah ribuan ringgit. Ada ketikanya pasangan terus mendapat sijil nikah atau dijanjikan akan diberikan sijil nikah dalam jangka masa terdekat.

Bagaimanapun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Sijil nikah palsu yang diterima tak laku. Pasangan terpaksa menghadapi tindakan undang-undang iaitu pendakwaan atas kesalahan jenayah syariah. Jurunikah dan pihak-pihak yang terlibat sama dalam pernikahan tersebut juga turut menghadapi tindakan undang-undang.

Dalam hal ini, Seksyen 40 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Sabah) 2004 memperuntukkan mengenai bentuk tindakan yang boleh diambil oleh Pendakwa Syarie ke atas pihak terbabit. Jika disabit salah, Mahkamah boleh mengenakan hukuman tidak lebih dari RM1000.00 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya.

Untuk lebih jelas, ERAKITA sukacita menurunkan peruntukan berkenaan sebagaimana berikut.

ENAKMEN 8 TAHUN 2004
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 2004

BAHAGIAN IV – PENALTI DAN PELBAGAI PERUNTUKAN BERHUBUNGAN DENGAN AKAD NIKAH DAN PENDAFTARAN PERKAHWINAN


 

Seksyen 40. Kesalahan-kesalahan berhubungan dengan akad nikah perkahwinan

(1) Seseorang yang dengan diketahuinya mengakadnikahkan atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai mengakadnikahkan atau menjalankan upacara sesuatu perkahwinan-

(a) tanpa ada kebenaran berkahwin sebagaimana dikehendaki oleh seksyen 19; atau

(b) di hadapan selain di hadapan sekurang-kurangnya dua orang saksi yang boleh dipercayai di samping orang yang mengakadnikahkan perkahwinan itu,adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.

(2) Seseorang yang berkahwin atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai akadnikah atau yang menjalani sesuatu cara akadnikah dengan sesiapa jua berlawanan dengan mana-mana peruntukan Bahagian II adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.

Walaupun telah ada undang-undang yang jelas, kes-kes nikah tanpa kebenaran masih terus berlaku. Ramai pasangan yang telah didakwa dan dihukum di Mahkamah Syariah atas kesalahan tersebut. Mereka terpaksa melalui proses pendakwaan bagi mendapatkan sijil nikah yang didaftarkan secara sah dari pihak berkuasa agama. Apa yang jelas ialah pada akhirnya, mahu tak mahu, pasangan terpaksa menerima hakikat bahawa perkahwinan mereka akan diketahui juga oleh pihak keluarga dan masyarakat. Ini kerana, ramai pihak yang terlibat akan dipanggil untuk siasatan di Jabatan Agama bagi tujuan pengesahan nikah dan pendakwaan di Mahkamah Syariah.

Justeru, semua pihak khususnya umat Islam perlu waspada dan merujuk terlebih dahulu pegawai berkaitan di Jabatan Agama Islam jika hendak berkahwin. Jangan sampai kebhagiaan yang dikecapi “terusik” dengan gelaran “penjenayah” apabila disabit dan dihukum atas kesalahan yang tak sepatutnya berlaku. Semoga tulisan ini ada manfaatnya untuk kita semua.