Daily Archives: 19 April 2012

KETERANGAN PALSU KETIKA BERKAHWIN

KETERANGAN PALSU KETIKA BERKAHWIN

19 April 2012

Menurut undang-undang keluarga Islam yang berkuatkuasa ketika ini, semua perkahwinan yang hendak dilangsungkan wajib mendapat kebenaran dari pihak berkuasa agama. Selain perkahwinan melibatkan poligami, kahwin bawah umur, janda berhias dan wali hakim, semua perkahwinan hendaklah mendapat kebenaran daripada Pendaftar Perkahwinan Perceraian dan Rujuk di Jabatan Agama Islam Negeri.

Satu perkara yang mesti dielakkan adalah memberi keterangan perakuan palsu atau tidak benar dalam borang yang ditetapkan. Antara contoh yang besar kemungkinan pemohon membuat pemalsuan adalah pengakuan bahawa ia masih berstatus BUJANG sedangkan beliau sebenarnya berstatus telah berkahwin. Contoh lain adalah pemalsuan mengenai kedudukan wali. Penyembunyian maklumat mengenai wali juga merupakan satu tindakan yang salah dan boleh dikenakan tindakan jenayah syariah.

Jika disabitkan salah, si pesalah boleh dihukum dengan denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih dari setahun atau kedua-duanya sekali. Perkara ini dinyatakan dalam seksyen 38 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam. Berikut adalah kandungan penuh seksyen berkenaan untuk lebih jelas:

Akuan atau pernyataan palsu untuk mendapatkan perkahwinan Jika seseorang, bagi maksud mendapatkan suatu perkahwinan dilakukan di bawah Enakmen ini, sengaja membuat sesuatu akuan, atau pernyataan yang palsu, maka orang itu adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya denda dan penjara itu.

Justeru, elakkanlah dari membuat perakuan palsu dalam borang permohonan atau apa-apa kenyataan lisan kepada pendaftar perkahwinan semasa memohon kebenaran berkahwin. Berikanlah kenyataan yang benar dan jujur. Keterangan yang benar bukan saja mengelak dari berlakunya pernikahan yang tak sah, bahkan juga dapat menghindarkan diri dari tindakan undang-undang jenayah syariah.

“Katakanlah yang benar walaupun pahit”