KAHWIN BAWAH UMUR?

 

 

KAHWIN BAWAH UMUR?

 

12 Ogos 2010

 Perkahwinan memang suatu perkara yang disyariatkan dalam Islam. Ia merupakan amalan para Nabi dan Rasul. Ia adalah Sunnah Nabi s.a.w. Perkahwinan perlu untuk kelangsungan keturunan. Keturunan melangsungkan kewujudan satu masyarakat. Masyarakat pula membentuk sebuah Negara. Tidak heran mengapa ada ungkapan mengatakan bahawa Negara yang kuat dan hebat adalah kerana masyarakat atau rakyatnya  kuat dan hebat. 

Mengenai perkahwinan, para ulama bahkan meletakkan hukum wajib berkahwin kepada mana-mana lelaki atau perempuan yang telah mencapai satu tahap kritikal untuk kahwin. Hukumnya wajib apabila mereka tidak mampu lagi menahan diri dari terjerumus kepada perzinaan sedangkan mereka berkemampuan dari zahir dan batin untuk berkahwin. 

Dalam konteks Negara kita di Malaysia, setiap negeri ada undang-undang tersendiri mengenai perkahwinan. Undang-undang ini dinamakan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam. Undang-undang ini digunakan untuk mengawal dan mentadbir hal ehwal rumahtangga yang meliputi perkahwinan, perceraian dan rujuk. Termasuk perkara yang ditadbir dan dikawal adalah had umur pasangan yang hendak berkahwin.

Di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Sabah, 2004, had umur minimum pasangan lelaki yang dibenarkan berkahwin adalah 18 tahun. Bagi perempuan pula, had minimum umur yang dibenarkan ialah 16 tahun. Perkara ini termaktub dalam Seksyen 8 Enakmen tersebut. 

Untuk jelasnya, ERAKITA memperturunkan kandungan penuh seksyen 8 untuk dihayati bersama. 

ENAKMEN 8 TAHUN 2004
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 2004

BAHAGIAN II – PERKAHWINAN


Seksyen 8. Umur minimum untuk perkahwinan

Tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan di bawah Enakmen ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syar’ie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.

Berdasarkan kepada seksyen 8 di atas, mana-mana pasangan lelaki yang berumur 18 tahun ke bawah dan perempuan yang berumur 16 tahun ke bawah, mereka adalah ditegah di sisi undang-undang untuk diakadnikah. Walau bagaimanapun, terdapat pengecualiaan diberikan kepada pasangan ini jika hendak meneruskan perkahwinan tersebut. Mereka boleh meneruskan perkahwinan mereka walaupun masih di bawah umur asalkan mereka mendapat KEBENARAN SECARA BERTULIS DARI HAKIM SYARIE. Hakim Syarie di sini bermaksud Hakim Mahkamah Syariah. 

Apa yang perlu dilakukan ialah, pasangan tersebut hendaklah terlebih dahulu melalui proses di Mahkamah Syariah. Tidak cukup dengan hanya datang ke Pejabat Pendaftar Perkahwinan Nikah dan Rujuk di Jabatan Agama Islam. Ibu bapa atau Penjaga kepada pasangan bawah umur boleh menjadi pemohon dalam kes tersebut. Permohonan ini dinamakan Permohonan Kahwin Bawah Umur (KBU).

Alasan-alasan yang kukuh mengapa pasangan bawah umur hendak berkahwin hendaklah dikemukan di hadapan Hakim Syarie. Selain ibu bapa atau Penjaga, pasangan bawah umur juga dikehendaki hadir di hadapan Hakim. Jika perlu, kesemua pihak, termasuk pasangan bawah umur itu juga akan ditanya atau disoal mengenai perkahwinan yang bakal ditempuh. 

Alasan yang kukuh untuk berkahwin lazimnya akan mendapat kebenaran dari Hakim Syarie. Mahkamah boleh menolak permohonan atau menangguhkan kebenaran perkahwinan tersebut sehingga ke satu masa yang sesuai menurut pertimbangan Mahkamah.

Antara alasan yang lazimnya digunakan oleh pemohon dalam kes KBU ialah kerana pasangan suka sama suka, sukar untuk dielakkan lagi perkahwinan kerana pasangan terlalu rapat, pasangan telahpun bersekedudukan, pasangan lari dari rumah, pasangan perempuan telahpun mengandung, atas persetujuan kedua ibu bapa atau keluarga kedua pihak dan lain-lain lagi alasan. Apapun alasan atau sebab yang dikemukakan, terserahlah kepada kebijaksanaan dan budibicara Makhamah Syariah untuk meluluskan atau sebaliknya permohonan tersebut. 

Undang-undang ini pada ERAKITA perlu dilihat dan dinilai dalam perspektif positif. Tujuan utama adalah untuk membendung kemudaratan. Mudarat dalam perkahwinan lebih cenderung untuk berlaku kerana pasangan masih terlalu muda untuk melayari alam rumahtangga. Rumahtangga pula penuh dengan pelbagai cubaan dan dugaan, pahit dan manis, ranjau dan duri. Tambahan lagi, rumahtangga memerlukan pasangan menghayati hak dan tanggungjawap mereka. Inilah yang lebih utama.

Bayangkanlah sekiranya yang hendak berkahwin itu baharu berumur 13 tahun atau 14 tahun! Bagaimana agaknya mereka mengendalikan rumahtangga mereka? Tidak menghairankan apabila tidak kurang bilangannya pasangan suami isteri yang masih muda akhirnya kembali semula ke Mahkamah Syariah untuk bercerai. Puncanya,  berkait kepada soal kegagalan menunaikan hak dan tanggungjawap dalam rumahtangga. Soalnya, mereka gagal memahami alam rumahtangga itu sendiri kerana belum matang. 

Semoga ada manfaatnya tulisan ini untuk anda semua. Sesungguhnya Islam tidak menyusahkan suatu urusan umatnya. Bahkan ia menyeru untuk mempermudahkan urusan itu. Namun, Islam juga melihat kepada kemudaratan yang bakal berlaku. Dan, apa yang pasti, Allah telah mengingatkan kita bahawa kita dilarang sama sekali untuk mencampakkan diri kira ke dalam kebinasaan. Akhirnya, jika syariat Islam itu dihayati dan diamalkan, akan terserlahlah pada kita bahawa 5 perkara utama dalam kehidupan ini akan terpelihara. 5 perkara yang terpelihara itu adalah agama, nyawa, akal, harta dan keturunan.

syariah asas keadilan

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Advertisements

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 12 Ogos 2010, in AGAMA, KELUARGA, RENUNGAN, UNDANG-UNDANG. Bookmark the permalink. 2 Komen.

  1. Howdy this is somewhat of off topic but I was wondering if blogs use WYSIWYG editors or if you have to manually code
    with HTML. I’m starting a blog soon but have no coding knowledge so I
    wanted to get guidance from someone with experience.
    Any help would be greatly appreciated!

    • Thank you for your visit to our blog. Starting a blog really a wonderful experience. Just do it and improvement comes later on. Never wait for perfection. Experience will be with you along with your patience and sincerity sharing knowledge with public. Thus, just do it right now!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: