Category Archives: KETUA PENGARAH JKSM

PERUTUSAN AKHIR TAHUN 2020 KETUA PENGARAH/KETUA HAKIM SYARIE JKSM

(Foto: Kredit JKSM)

Berikut adalah Perutusan Akhir Tahun 2020 oleh Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Yang Amat Arif, Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar.

PERUTUSAN AKHIR TAHUN 2020 KETUA PENGARAH/KETUA HAKIM SYARI’E, YAA DATO’ SETIA DR. HJ. MOHD. NA’IM BIN HJ. MOKHTAR

Hakim-hakim Mahkamah Rayuan,   

YA Tuan dan YA Dato’-Dato’, 

YAA Dato’ Sri/Datuk/Dato’/Tuan, Ketua Hakim Syari’e Jabatan Kehakiman Syariah Negeri (JKSN)/Mahkamah Syariah Negeri (MSN),   

Ketua Pendaftar,  

Pengarah Kanan (Kehakiman),  

Pengarah Kanan (Pengurusan),  

Pengarah Bahagian/Ketua Unit,  

Tuan/Puan pegawai syariah dan kakitangan JKSM/JKSN/MSN, JBG dan JAPENS yang dirahmati Allah sekalian, 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

AMALAN KEBAIKAN & GANJARAN DARIPADA ALLAH SWT

2.  Sayugia saya ingin memetik sepotong ayat al-Quran dan sabdaan Rasulullah SAW sebagai peneraju intipati keseluruhan ucapan pada hari ini. Allah SWT menerusi ayat 97, surah al-Nahl berfirman:

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

“Barangsiapa yang mengerjakan amal saleh, baik laki-laki maupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan”.

3. Seterusnya, Rasulullah SAW menerusi hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Tirmidzi pula bersabda:

Dari Abdul Rahman bin Abu Bakrah, dari bapanya, bahawa seorang laki-laki berkata, “Wahai Rasûlullâh, siapakah manusia yang terbaik?” Beliau menjawab, “Orang yang panjang umurnya dan baik amalnya”. Dia bertanya lagi, “Lalu siapakah orang yang terburuk?” Beliau menjawab, “Orang yang berumur panjang dan buruk amalnya”.

4.  Secara ringkasnya setiap amalan yang dilakukan oleh anak Adam akan direflekskan samada menerusi ganjaran atau balasan yang diterima daripada Allah SWT. Sehubungan itu, sebagai manusia yang beriman dan memahami al-Quran, maka peluang kehidupan di dunia ini yang diberikan oleh Allah SWT perlulah dimanfaatkan dengan sebaiknya dengan melakukan tindakan-tindakan yang bermanfaat kepada masyarakat, institusi dan agama, terutamanya apabila sebahagian besar kehidupan seharian digunakan dalam urusan berkerjaya.

Tuan/Puan yang dirahmati Allah SWT sekalian,

PANDEMIK COVID-19 & ANJAKAN SISTEM PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN

5.  Tahun 2020 merupakan tahun yang bersejarah dan penuh cabaran apabila pandemik Covid-19 mencengkam seluruh kehidupan manusia. Sehingga kini terdapat lebih 82 juta kes yang dijangkiti wabak tersebut dengan hampir 1.8 juta kematian dicatatkan di seluruh dunia.

6.  Pandemik ini bukan hanya mengajar warga dunia untuk menghargai nikmat nyawa dan kepatuhan kepada undang-undang yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, namun dalam masa yang sama ia memberi nilai terhadap cara kita memandang erti kekeluargaan dan kebebasan.

7.  Seiring dengan situasi yang mencengkam tersebut, maka sistem penyampaian perkhidmatan di JKSM juga melalui fasa penyesuaian dan anjakan. Jika 2 bulan pertama tahun 2020 menyaksikan JKSM bertindak agresif dengan mengadakan pelbagai program seperti Diskusi Tokoh Antarabangsa: Prof. Sheikh Dr. Ahmad Al-Raysuni “Maqasid Al-Syar’iyyah Fi Al Qadha”, Wacana Ketua Pengarah dan siri latihan kepada para pegawai secara fizikal di JKSM, namun bermula Mac 2020, fasa penyesuaian dan asimilasi perkhidmatan perlu diselarikan dengan serangan pandemik tersebut.

8.  Alhamdulillah seusai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kali pertama yang berakhir pada 9 Jun 2020, JKSM mula mengorak langkah dengan lebih berani, namun penuh berhati-hati dengan mengatur strategi mapan bagi memastikan hak masyarakat untuk menikmati keadilan dan usaha untuk merancakkan pengoperasian JKSM dapat dilakukan dengan lebih optimum.

9.  Antara langkah asimilasi yang dilakukan adalah menerusi siri latihan dan peningkatan kompetensi pegawai, mesyuarat serta pengendalian kes yang dilaksanakan secara atas talian menerusi sistem webex ataupun skype yang dilanggan secara tahunan. Hasilnya, seiring dengan _Fourth Industry Revolution_ (IR 4.0), JKSM tersenarai di antara 5 agensi terbaik di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang mengaplikasikan penggunaaan skype for business dalam pengendalian pengoperasian jabatan.

10. Kemuncaknya Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara (PKPSN) bertemakan ‘Aplikasi Maqasid al-Syariyyah: Ke Arah Pembudayaan Norma Baharu dalam Sistem Kehakiman dan Perundangan Syariah’ telah diadakan pada 28 hingga 30 September 2020 dengan penggabungan mod fizikal dan maya (cisco webex).  

11. PKPSN yang berjaya diuruskan dengan gilang-gemilang ini telah mendapat perhatian istimewa daripada Perdana Menteri Malaysia ke-8 iaitu YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ketua-ketua Hakim Syarie Nusantara dan dhif-dhif kehormat.

12. Sayugia untuk ke sekian kalinya saya merakamkan sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih di atas komitmen pihak penganjur dan barisan urusetia PKPSN yang bertungkus lumus dalam memastikan keberhasilan Persidangan ini. Sesungguhnya iltizam dan komitmen yang dizahirkan tersebut telah melonjakkan keyakinan saya terhadap kredibiliti dan kewibawaan pegawai syariah yang saya kasihi sekalian.   

Tuan/Puan yang dirahmati Allah SWT sekalian,

KESATUAN TINDAKAN JKSN/MSN NEGERI DI SELURUH MALAYSIA

13. Saya bersyukur kerana pada tahun 2020 ini menyaksikan kesatuan fikiran dan tindakan di kalangan JKSN/MSN di seluruh Malaysia menjadi semakin utuh dan kukuh.

14. Bermula dengan penyediaan prosedur operasi standard (SOP) bagi pengendalian kes di Mahkamah Syariah di seluruh Malaysia sepanjang pandemik covid-19, diikuti dengan pembinaan Arahan Amalan bagi tahun 2020, SOP penentuan status agama, pelaksanaan Arahan Amalan di Mahkamah Syariah serta sokongan yang diberikan kepada pegawai persekutuan yang ditempatkan di JKSN/MSN, maka dapat disimpulkan bahawa prestasi kerjasama dan penyelarasan  di peringkat negeri berada pada tahap yang membanggakan.

15. Seterusnya saya mengharapkan agar kerjasama utuh tersebut dapat dikekalkan dan terus digembleng terutamanya apabila melibatkan penyelarasan SOP pelaksanaan hukuman sebatan bagi pesalah jenayah syariah di luar penjara serta penyerapan Kaedah-kaedah Sulh 2020 yang telah diluluskan menerusi mesyuarat Ketua-Ketua Hakim Syarie pada 4 Oktober 2020. Begitu juga inisiatif JKSM dalam mewujudkan Jadual Pelupusan Rekod Urusan Fungsian JKSM dengan kerjasama Jabatan Arkib Negara diharapkan dapat menjadi panduan kepada JKSN/MSN dalam menjalankan proses pelupusan rekod di jabatan masing-masing.

Tuan/Puan yang dirahmati Allah SWT sekalian,

USAHA PEMERKASAAN SISTEM KEHAKIMAN ISLAM DI MALAYSIA

16. Umum mengetahui bahawa JKSM yang ditubuhkan pada November 1998 mempunyai misi utuh bagi mengendalikan kes-kes rayuan syariah di Malaysia, di samping menyelaras pentadbiran Mahkamah Syariah di seluruh negara.    

17. Sehubungan itu, bagi merealiasasikan visi tersebut, maka bermula 1 April 2019 iaitu semenjak ditaklifkan sebagai Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syari’e JKSM sehingga kini, JKSM giat berusaha bagi memperkasakan sistem kehakiman Syariah di Malaysia. Antara langkah signifikan yang dilakukan adalah menerusi pembentangan kertas cadangan bagi meningkatkan status Ketua Hakim Syarie dan Hakim Syarie di Mahkamah Syariah seluruh Malaysia di dalam Mesyuarat Munaqasyah Pengurusan Hal Ehwal Islam Negeri-Negeri di bawah naungan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (KBDYMM SPB YDPA) kali ke-3 yang berlangsung pada 6 Februari 2020.

18. Sayugia saya berkongsi cadangan yang dibentangkan bagi pemerkasaan institusi kehakiman syariah sebagaimana berikut:

18.1 Penstrukturan sistem kehakiman syariah selari dengan konsep pengasingan kuasa;

Menzahirkan konsep pengasingan kuasa dan kebebasan kehakiman dengan mewujudkan bidangkuasa kehakiman Syariah yang tersendiri dan berasingan daripada pentadbiran perundangan. 

18.2 Penggubalan Akta/Enakmen Mahkamah Syariah yang lebih komprehensif bagi memperkukuhkan kedudukan Mahkamah Syariah di seluruh Malaysia;

18.3 Penambahan Peringkat Mahkamah Rayuan Syariah;

18.4 Perluasan bidangkuasa Mahkamah Syariah melibatkan kewangan/perbankan Islam dan pusaka;

18.5 Peningkatan hukuman dalam kes jenayah;

18.6 Peningkatan Emolumen Hakim Syarie; dan

Menerusi penggubalan Akta Saraan Hakim Syarie dan penambahbaikkan sistem penggajian bagi skim pegawai Syariah.

18.7 Penyemakan Semula Susunan Keutamaan Persekutuan. Menambahbaik kedudukan susunan keutamaan Ketua Hakim Syarie dan Hakim-Hakim Syarie dalam Susunan Keutamaan Persekutuan.

19. Sesungguhnya saya percaya bagi mencapai hasrat di atas bukan hanya ditanggung oleh seorang individu per se. Namun komitmen dan kerja keras daripada Tuan Puan samada selaku Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Ketua Hakim Syari’e, Ketua Pendaftar, pegawai dan kakitangan di JKSM/JKSN/MSN/JBG mahupun JAPENS amat diperlukan.

20. Sayugia saya amat bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana sepanjang usaha tersebut dijalankan, saya dapat melihat dan merasai kerjasama, dokongan dan komitmen yang sangat baik dari segenap lapisan pegawai dan kakitangan di JKSM/JKSN/MSN/JBG/JAPEN, sekaligus memudahkan proses kesinambungan  usaha pemerkasaan misi dan visi jabatan.

Tuan/Puan yang dirahmati Allah SWT sekalian,

PEMERKAYAAN INOVASI & SINERGI KERJASAMA

21.  Sayugia saya mengingatkan bahawa JKSM bukan hanya bergerak secara vertical, malah dalam masa yang sama perlu menekankan aspek penyampaian secara horizontal. Dalam lain perkataan, JKSM tidak hanya berfungsi menerusi arahan-arahan daripada pihak pengurusan tertinggi atau berperanan secara in silo, malah dalam kebanyakan keadaan JKSM juga perlu bergerak kreatif secara mencapah dengan mengadakan jalinan kerjasama bersama jabatan atau agensi lainnya bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan dengan lebih efisyen dan ekonomi.  

22. Sebagai contoh, program Online Legal Clinic yang dijalankan menerusi  kerjasama di antara JKSM dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) bukan hanya dapat menyebarluaskan ilmu perundangan dan kehakiman dengan lebih bersasar, namun diharapkan dengan penyebaran ilmu tersebut ianya akan dapat memudahkan proses di Mahkamah Syariah apabila pihak-pihak yang terlibat merupakan individu yang celik undang-undang dan maklum mengenai hak serta prosiding di Mahkamah.

Tidak dinafikan bahawa walaupun program ini julung kali diadakan, namun ia mendapat sambutan yang baik dengan catitan rekod melebihi 27,000 tontonan,  sekaligus ianya dapat memberikan imej positif kepada JKSM.

23. Begitu juga halnya dengan langkah pemerkayaan inovasi yang dilakukan di JKSN/MSN dalam usaha untuk memastikan kelancaran perkhidmatan kepada masyarakat. Langkah inovasi seperti e-Siap di JKSN Pulau Pinang, i-Tray dan i-Post di JKSN Terengganu, MySolve di JKSN Perak, Fast Track di JAKESS, SIKET di MSWP amatlah digalakkan.

Diharapkan inovasi yang bermanfaat tersebut dapat terus digembleng dan disebar luas pengaplikasiannya bersama JKSN/MSN di seluruh Malaysia.  

24. Sesungguhnya, pembentukan pola berfikir yang dinamik serta sensitif terhadap keperluan masyarakat amat perlu ditekankan agar sifat murunah dan evergreen perundangan syariah dapat terus ditonjolkan.

Tuan/Puan yang dirahmati Allah SWT sekalian,

JKSM: TANGGUNGJAWAB BERSAMA

25. Sebagai akhirnya, saya menyeru kepada Tuan Puan sekalian untuk bersama-sama bergerak seiringan, melangkah maju dan berlari dengan tersusun dalam menghadapi cabaran mendatang.

Sesungguhnya kebertanggungjawaban terhadap institusi kehakiman syariah ini bukanlah terletak di atas bahu saya seorang, namun ia perlu dipikul secara kolektif oleh kita semua yang telah dipilih oleh Allah SWT untuk membangunkan jabatan ini.

Kerana itu, berhati-hatilah dengan setiap perbuatan yang diambil kerana setiap gerak dan zarah yang bertiup daripada perbuatan kita akan dihitung oleh Allah SWT di akhirat kelak.

26. Sayugia saya menasihatkan diri sendiri dan Tuan Puan agar terus menjaga SOP bagi mengelakkan penyebaran pandemik covid-19.

Bagi yang pulang ke kampung halaman pula, pesanan saya agar Tuan Puan berhati-hati di jalan raya dan jagalah diri serta ahli keluarga tercinta. Saya doakan semoga Tuan Puan berada dalam perlindungan dan kerahmatan Allah SWT sentiasa.

SEMOGA TAHUN 2021 MEMBAWA SERIBU KEBERKATAN!

Sekian, Wabillahi taufiq wa al-hidayah.

Wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

31 DISEMBER 2020