Category Archives: SUKAN

MANUSIA TERPANTAS DI MUKA BUMI: PATUT KAGUM SIAPA?

USAIN BOLT TERPANTAS DI DUNIA

Kejayaan USAIN BOLT dari Jamaica, sebuah negara pengeluar athlit sukan terbilang dunia memecahkan rekod dunianya sendiri dalam acara larian 100 meter dan 200 meter mencetuskan fenomena luar biasa di dunia. Dengan kelajuan 9.58 saat bagi acara 100 meter dan 19.19 saat bagi acara 200 meter, Usain kini menjadi pelari pecut terpantas di muka bumi. Lebih 5 billion manusia yang hidup dalam satu-satu masa di muka bumi ketika ini tidak setanding dengan Usain. Usain kini berada pada kedudukan 1 dalam  lebih 5 billion manusia. Usain Bolt yang lahir pada 21 Ogos 1986 mempunyai ketinggian 6.4 kaki. 

Sejak acara sukan mencatat rekod dunia pertama tahun 1912, inilah pertama kali satu catatan larian paling pantas dan luar biasa pernah dicatatkan. Tidak mustahil, dengan kelajuan luar biasa Usain baru-baru ini, satu rekod baru dari mana-mana pelari pecut dunia belum pasti dapat memecahkannya walau 100 tahun akan datang. Namun, tidak pula mustahil andai Usain dapat memecahkan lagi rekodnya sendiri selepas ini. 

ERAKITA melihat bahawa dalam semua jenis sukan olaraga, acara larian 100 meterlah yang menjadi tumpuan mata. Saat bintang pecut terkemuka berada betul-betul di garisan permulaan trek, tumpuan mata semuanya terarah kepada setiap gerak geri mereka. Bagi kita yang menyaksikan, debaran jantung juga begitu luar biasa cepatnya. Saat itu benar-benar mendebarkan. Sesiapa jadi juara, pasti akan menjadi buah mulut dan dikagumi. 

Begitulah apa yang berlaku kepada diri Usain dari Jamaica itu. Saat ini, manusia di atas muka bumi begitu teruja dan mengkagumi beliau. Ada yang mungkin tidak percaya dengan pencapaian luas biasanya sebegitu rupa. Begitulah manusia. Apabila ia kagum dan minat seseorang itu, ia akan uja dan memuja. Ia akan cinta dan rindu dengan segala apa yang ada pada diri orang itu. 

Tidakkah manusia terfikir bahawa Usain itu hanyalah manusia biasa? Ia hanyalah makhluk ciptaan Allah. Usain memang berhak dikagumi atas pencapaian luas biasanya. Namun, ramai manusia yang tidak sedar bahawa Sang Pencipta Usainlah yang lebih layak dikagumi kerana mencipta makhluk yang begitu pantas. Siapa lagi Sang Pencipta Usain jika bukan Allah yang maha agung. Ia maha berkuasa dan memilik segala-gala yang dikatakan maha. Alangkah indahnya andai kekaguman manusia yang luas biasa kepada Usain ditujukan kepada Allah. 

Allahlah yang layak dikagumi. Mengapa tidak? Kerana Allah mencipta tanpa batasnya. Andai Ia mahu membuat sesuatu, cukup mudah ia melakukannya dengan mengatakan JADILAH”. Dan jadilah benda itu sungguh-sungguh. Tidakkah wajib manusia kagum kepada Allah setelah Allah mencipta dunia dan segala isinya?. Tidakkah manusia wajib kagum Allah setelah Allah mencipta seluruh alam semesta luas yang tak bertepi ini? 

Cuba kita belek-belek balik al-Quran itu. Perhati betul-betul. Di sana banyak sekali kita jumpa kalimah-kalimah suci Allah yang menyuruh manusia agar menggunakan daya intelek dengan berfikir, bermuhasabah, bertadabbur, melihat dengan mata dan mendengar dengan telinga. Andaikata semua ini andai dihayati dan diamalkan manusia, nescaya manusia akan menjadi bijaksana. Bijaksana kerana dapat memilih antara intan atau berlian. Dapat memilih antara yang sedikit dan banyak. Dapat mengenali antara yang buruk dan baik. Dapat menilai antara yang besar dan kecil. Dapat menilai antara yang cantik dan hodoh, antara yang manis dan pahit, antara yang tinggi dan rendah, antara yang mulia dan hina dan macam-macam lagi “ANTARA”. 

Penggunaan pancaindera unik dan hebat ciptaan Allah seperti otak, mata, telinga, mulut dan lain-lainya yang berlandaskan peraturan Allah pasti menjadikan manusia menjadi manusia yang canggih. Manusia menjadi canggih kerana mereka bijak dan sentiasa berada dalam landasan yang benar ketika melakukan sesuatu perbuatan. Apabila manusia sudah mengarahkan kekagumannya kepada Allah, percayalah bahawa dunia ini akan aman. Dunia akan maju. Dunia akan berseri. Keadilan ditegakkan. Kemiskinan dihapuskan. Kejahilan disingkirkan. Kebatilan dimusnahkan. Kekayaan diserlahkan. 

Sebabnya, kerana semua amalan atau aktiviti manusia disandarkan kepada Allah. Bersandar kepada Allah bermakna manusia memegang dan melaksanakan segala kehendak dan peraturan Allah. Apabila peraturan Allah diikuti, tunggulah saat di mana manusia benar-benar akan menikmati nikmatnya hidup di dunia ini. Mengapa tidak? Kerana sebagai Sang Pencipta, Allah amat-amat mengetahui mana peraturan atau undang-undang yang terbaik untuk manusia sesuai keadaan dan kemampuannya. Bukankah Allah maha adil dan memiliki semua jenis MAHA yang selalu diagung-agungkan manusia. 

EARKITA terfikir. Alangkah indahnya suasana bila mana manusia kagum kepada pencapaian luar biasa Usain, lantas manusia lebih kagum lagi kepada Sang Pencipta makhluk bernama Usain ini. Alangkah indahnya andai manusia mengkagumi betapa hebatnya seorang  rakyat Nabi Sulaiman a.s yang alim lagi soleh dapat membawa istana Ratu Balqis, pemerintah Kerajaan Saba di hadapan Nabi Sulaiman begitu cepat. Cepatnya dapat digambarkan apabila istana Ratu Balqis dapat di bawa ke hadapan Nabi Sulaiman sebelum Nabi Sulaiman mengerlipkan matanya. 

ERAKITA melihat bahawa kisah Usain yang luar biasa itu boleh sebenarnya dapat meningkatkan iman kita kepada Allah andai kita kaitkan dengan Sang Pencipta Usain itu. Siapa lagi Sang Pencipta Usain jika bukan Allah yang Maha Agung itu. Siapalah Usain di sisi Allah yang begitu kaya dengan luar biasa-Nya. 

ERAKITA mengajak kita semua berfikir dan terus berfikir hal ini. Semoga ada manfaatnya buat kita semua.

 

Gambar-gambar di bawah menerangkan segala-galanya.

Catatan dalam skrin mengesahkan rekod baru acara 100 meter 9.58 saat oleh Usain Bolt. Gambar dipetik dari http://www.latimes.com/sports/la-sp-world-track-championships-2009aug17,0,7171283.story
Catatan dalam skrin mengesahkan rekod baru acara 100 meter 9.58 saat oleh Usain Bolt. Gambar dipetik dari http://www.latimes.com/sports/la-sp-world-track-championships-2009aug17,0,7171283.story
Usain Bolt, kanan sekali dari Jamaica melepasi garisan mengesahkan kemenangannya dalam acara 100 meter ldengan rekod dunia baru semasa World Athletics Championships di Berlin pada ahad, 16 Ogos, 2009. Di kiri ialah dari USA Tyson Gay. (AP Photo/Herbert Knosowski) di http://www.latimes.com/sports/la-sp-world-track21-2009aug21,0,6981293.story
Usain Bolt, kanan sekali dari Jamaica melepasi garisan penamat mengesahkan kemenangannya dalam acara 100 meter dengan rekod dunia baru semasa World Athletics Championships di Berlin pada ahad, 16 Ogos, 2009. Di kiri ialah dari USA Tyson Gay. (AP Photo/Herbert Knosowski) di http://www.latimes.com/sports/la-sp-world-track21-2009aug21,0,6981293.story

 

Advertisements