SISTERS IN ISLAM (SIS) BERSUARA: ini jawapan kita!

 

DSC07166

 

SISTERS IN ISLAM (SIS) SUDAH BERSUARA:

INI JAWAPAN KITA

 

18 OKTOBER 2009 

Kenyataan terbaru Sisters In Islam (SIS), sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) bersama pasukan Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Malaysia (HAKAM) dalam laman rasmi pertubuhan tersebut di http://www.sistersinislam.org.my mengenai hukuman sebatan ke atas pesalah jenayah syariah di Pahang, KARTIKA SARI DEWI SUKARNOR perlu diberi pehatian serius oleh semua pihak. Kenyataan rasmi sebuah pertubuhan NGO itu yang dikatakan memperjuangkan hak-hak wanita Islam di negara ini dilihat begitu berani mempersoalkan hukuman dan pelaksanaannya. Lebih dashyat lagi, pertubuhan tersebut terang-terangan menggesa Kerajaan agar memansuhkan sama sekali undang-undang yang memperuntukan sebatan tersebut ke atas wanita. 

Bagi mereka, persoalan samada KARTIKA SARI benar-benar bersedia dan redha atas hukuman yang bakal dilaksanakan ke atasnya bukanlah isunya. Bagi mereka, isunya ialah undang-undang seumpama ini mencabuli hak asasi manusia antarabangsa sekaligus menyebabkan kemerosoton standard hak asasi manusia di Malaysia. Tegas mereka lagi, jika hukuman tersebut dilaksanakan, persepsi luar terhadap Malaysia sebagai sebuah negara sederhana atau moderate akan tergugat selama-lamanya. 

Antara kenyataan mereka yang boleh mengoncangkan sanubari kita ialah gesaan tegas mereka agar pihak Kerajaan Persekutuan dan Negeri mengkaji semula hukuman sebat sebagai satu bentuk hukuman atas alasan mencabuli prinsip hak asasi manusia antarabangsa yang menganggap hukuman sebat dan bentuk hukuman dera yang lain sebagai kejam, tidak berperikemanusiaan dan perlakuan yang menjatuhkan maruah. 

Mereka juga cuba untuk menarik perhatian kerajaan untuk mempertimbangkan gesaan mereka dengan merujuk peruntukan undang-undang yang terdapat di dalam Kanun Acara Jenayah yang terpakai UNTUK Mahkamah Sivil SAHAJA. Mereka merujuk kepada Seksyen 289 undang-undang tersebut yang menyatakan bahawa wanita tidak boleh disebat. ERAKITA dalam hal ini berasa pelik bagaimana sebuah pertubuhan NGO yang berpengaruh serta dibarisi kumpulan pengamal dan pemikir undang-undang sanggup memetik dan menggunapakai peruntukan tersebut sedangkan undang-undang tersebut hanya terpakai bagi kes-kes di Mahkamah Awam. Mereka sudah tentunya lebih tahu bahawa undang-undang itu tidak terpakai di Mahkamah Syariah. Negeri-Negeri di Malaysia pula masing-masing mempunyai Prosedur atau Tatacara Jenayah Syariah tersendiri untuk mentadbir undang-undang berkaitan kesalahan jenayah syariah. 

Tindakan NGO berkenaan yang begitu berani tidak dinafikan mampu memberi suntikan dan semangat kepada pihak-pihak yang begitu PRIHATIN terhadap para pejuang hak asasi manusia dan persamaan gender antara lelaki dan wanita. ERAKITA tidak ingin mengulas beberapa kenyataan kontraversi mereka pada masa-masa yang lepas. Namun, kenyataan terbaru mereka sebagaimana yang ERAKITA petik dan paparkan semula di bawah ini benar-benar mengejutkan. Tindakan mempertikaikan suatu peraturan atau hukum berkaitan undang-undang Islam ini melibatkan soal aqidah atau kepercayaan. 

Ia bukan suatu perkara yang boleh dibincang atau dinyatakan sewenang-wenangnya mengikut logik akal dan persepsi antarabangsa. ERAKITA tidak ingin mengulas panjang mengenai hal tersebut kerana perbincangannya sudah tentu memerlukan masa yang panjang dan ulasan terperinci. Perbincangan secara ilmiah juga diperlukan untuk itu. ERAKITA hanya ingin menarik perhatian semua pihak atas 2 perkara penting seperti berikut. 

 

DUA JAWAPAN UTAMA 

PERTAMANYA, bukankah tindakan SIS bersama pasukan Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Malaysia (HAKAM) yang mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Pahang untuk meneruskan pelaksanaan hukuman sebat ke atas Katika itu dikira sebagai satu penghinaan terhadap institiusi Diraja sebagai Ketua Agama bagi negeri-negeri. Untuk makluman, Sultan atau Raja Melayu adalah ketua agama Islam bagi negeri-negeri yang mempunyai sultan. Bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai sultan seperti Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah, Ketua Agama Islam adalah Yang Dipertuan Agong (YDPA). Seksyen 3 Enakmen Majlis Ugama Islam Sabah (2004) Sabah umpamanya secara jelas mengatakan bahawa YDPA adalah ketua agama Islam bagi Negeri Sabah. 

Dalam konteks perlembagaan Malaysia, perkara agama adalah jelas berada di bawah bidangkuasa negeri-negeri. Parlimen tidak ada kuasa untuk campurtangan dalam isu agama seperti membuat undang-undang khusus mengenainya kerana Jadual ke-9 dalam Perlembagaan Malaysia sudah jelas mengatakan bahawa perkara agama adalah perkara di bawah bidangkuasa negeri-negeri. Sebab itu negara kita tidak mempunyai MUFTI KERAJAAN MALAYSIA. Yang ada hanyalah MUFTI KERAJAAN NEGERI. Sebab itu Malaysia tidak mempunyai MAHKAMAH SYARIAH PERSEKUTUAN. Yang ada hanyalah MAHKAMAH SYARIAH NEGERI. 

Sebab itu negara kita tidak mempunyai KETUA PENGUATKUASA AGAMA NEGARA sebagaimana KETUA POLIS NEGARA. Yang ada hanyalah KETUA PENGUATKUASA AGAMA NEGERI. Sebab itu negara kita tidak mempunyai KETUA PENDAKWA SYARIE PERSEKUTUAN ATAU PEGUAM NEGARA. Yang ada hanyalah KETUA PENDAKWA SYARIE NEGERI. Persoalannya ialah, bukankah tindakan NGO-NGO tersebut telah SECARA LANGSUNG MENGHINA Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu apabila mereka begitu lantang dan terbuka mempertikaikan pelaksanaan undang-undang Syariah di negara ini? Bukankah itu dikira sebagai menghina pihak berkuasa agama? 

Dalam soal menghina pihak berkuasa agama ini, ERAKITA tertarik untuk merujuk kepada satu peruntukan undang-undang yang MUNGKIN boleh menjadi RUJUKAN AMPUH dan CANGGIH kepada pihak Pegawai Penguatkuasaan dan Penyiasatan di Jabatan Hal Ehawal Agama Islam negeri-negeri untuk memulakan langkah. Siasatan “BARANGKALI” boleh dijalankan sebaik mendapat aduan ke atas orang-orang dalam NGO tersebut atau mana-mana orang yang sewaktu dengannya di bawah seksyen 56 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (1995) Sabah (EKJS). Seksyen tersebut berbunyi:

Sesiapa yang mengingkari, melanggar, membantah atau mengeji (selain dari menjalankan hak membuat rayuan) kewibawaan dan titah perintah yang sah Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam, perintah Yang di-Pertua Negeri, perintah Majlis, mana-mana Jawatankuasa Majlis, pegawai mana-mana Mahkamah atau mana-mana pegawai agama adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Pihak-pihak tersebut boleh juga disiasat di bawah Seksyen 55(1) EKJS atas melakukan perbuatan menghina agama Islam. Seksyen tersebut berbunyi:

Sesiapa dengan cara lisan atau tulisan atau kelakuan yang nyata atau sebarang cara yang membawa kepada mencerca atau disifatkan sebagai menghina atau cuba mencerca atau menghina agama Islam, perjalanan mana-mana mazhab yang muktabar, pegawai agama, guru agama dan Imam yang dilantik dengan sahnya menurut undang-undang, atau mana-mana fatwa yang dikeluarkan dengan sah oleh Majlis atau Mufti di bawah peruntukan Enakmen ini atau undang-undang lain adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

 Selain itu, mereka juga boleh disiasat di bawah Seksyen 54 EKJS atas pebuatan mempersendakan agama Islam. Seksyen tersebut berbunyi:

Sesiapa yang mengolok-olok, mengajuk atau mengejek-ejek dengan perkataan atau perbuatan akan amalan atau upacara yang berkaitan dengan agama Islam adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

ERAKITA ingin menarik perhatian bahawa sekiranya pihak berkuasa agama di peringkat negeri-negeri berpendapat bahawa kenyataan SIS dan kumpulannya bukan sekadar melibatkan kepentingan Negeri Pahang semata-mata tetapi juga SELURUH NEGERI-NEGERI di Malaysia, ketiga-tiga peruntukan di atas sudah memadai untuk digunakan oleh pihak berkenaan untuk memulakan siasatan ke atas GOLONGAN tersebut. Dalam hal ini, ERAKITA tertarik dengan usaha 2 buah negeri di Semenanjung Malaysia iaitu Pahang dan Selangor baru-baru ini yang telahpun memulakan tindakan PROAKTIF apabila Jabatan Agama Islam di kedua negeri tersebut MEMBUKA KERTAS SIASATAN ke atas kumpulan berkenaan. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) juga dilaporkan telah mengeluarkan gesaan kepada Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri agar membuat siasatan terperinci ke atas tindakan kumpulan tersebut.

Keterangan lanjut mengenai perkara ini boleh dirujuk dalam Ahkbar Harian Metro bertarikh 16 Oktober 2009 di halaman 52. ERAKTA juga berpendapat bahawa untuk mengumpulkan bukti serta saksi-saksi yang relevan, tugas tersebut berkemungkinan tidaklah menghadapi kesukaran kerana hal-hal sensetif seumpama ini lazimnya akan mendapat kerjasama yang cukup hebat dari semua pihak yang cintakan kesucian dan kemurnian agama Islam. Hasil siasatan yang telah dilengkapkan akan diteliti terlebih dahulu oleh Ketua Pendakwa Syarie (KPS). Jika KPS berpuashati dengan kertas siasatan tersebut, baharulah pendakwaan boleh dijalankan ke atas orang-orang dalam Kumpulan tersebut di Mahkamah Syariah Negeri di bawah ketiga-tiga atau mana-mana seksyen di atas. 

KEDUANYA ialah berkenaan FATWA. ERAKITA berpendapat bahawa walaupun kenyataan lantang secara terbuka yang dibuat oleh SIS dan kumpulannya ada hubungkait secara langsung dengan keputusan Mahkamah Syariah yang dibuat di Negeri Pahang, namun ia tidaklah boleh dilihat sebagai perkara yang melibatkan kepentingan Negeri Pahang semata-mata. Kenyataan mereka itu pada pendapat ERAKITA adalah melibatkan kepentingan NASIONAL secara menyeluruh. Pendapat ini didasarkan kepada beberapa kenyataan penting pertubuhan ini seperti berikut: 

  • Jika hukuman sebat dilakukan ke atas seorang wanita di bawah undang-undang Syariah, ia akan mewujudkan satu preseden yang buruk di Malaysia – terutama sekali apabila kaum wanita telah dinyatakan dengan jelas – tidak boleh disebat di bawah S289 Kanun Acara Jenayah. 
  • Jika Kartika dikenakan hukuman sebat, persepsi terhadap Malaysia sebagai sebuah negera Islam yang sederhana akan tergugat selama-lamanya.
  • Kami menggesa agar pihak Kerajaan Persekutuan dan Negeri mengkaji semula hukuman sebat sebagai satu bentuk hukuman kerana ia mencabuli prinsip hak asasi manusia antarabangsa yang menganggap hukuman sebat dan bentuk hukuman dera yang lain sebagai kejam, tidak berperikemanusiaan dan perlakuan yang menjatuhkan maruah.
  • Sebagai pembela hak asasi manusia, kami berkomited untuk mendapatkan perlakuan yang melindungi hak asasi beliau serta juga mereka yang lain dalam keadaan yang serupa, serta untuk memastikan bahawa tidak terdapat kemerosotan standard hak asasi manusia di Malaysia.
  • Kami turut menggesa agar pihak Kerajaan Persekutuan dan Negeri mengadakan kajian semula yang komprehensif ke atas undang-undang kesalahan jenayah Syariah, dengan tujuan memansuhkan undang-undang sedemikian.

Oleh kerana isu ini bukan lagi isu Negeri Pahang semata-mata, ERAKITA berpendapat bahawa wajarlah pada ketika ini pihak yang berotoriti seperti Jawatakuasa Fatwa Kebangsaan membincangkan perkara ini. Berdasarkan Enakmen Fatwa 2004 (Sabah), prosedur pengeluaran fatwa dijelaskan secara terperinci. Menurut Seksyen 7 Enakmen berkenaan, Majlis Fatwa Negeri  (MFN) dikehendaki menyediakan suatu fatwa mengenai apa-apa persoalan yang belum muktamad atau persoalan yang menimbulkan kontroversi berkaitan Hukum Syarak. Menurut Seksyen berkenaan lagi, suatu fatwa itu hendaklah disediakan oleh MFN apabila berlaku mana-mana dari 3 situasi berikut: 

  1. apabila diperintahkan berbuat demikian oleh Yang di-Pertua Negeri (TYT)
  2. apabila Majlis Fatwa Negeri itu sendiri berkehendak untuk berbuat demikian,
  3. apabila ada permintaan dari mana-mana orang atau individu untuk berbuat demikian melalui SURAT yang dialamatkan kepada MUFTI Negeri. 

Berbalik kepada isu hukum syarak yang melibatkan kepentingan Nasional dalam kenyataan SIS dan kumpulannya itu, ERAKITA ingin menarik perhatian anda semua kepada satu peruntukan penting dalam Enakmen Fatwa 2004 (Sabah). Seksyen tersebut adalah Seksyen 11. Menurut seksyen 11, sekiranya MFN mendapati bahawa suatu fatwa yang dicadangkan itu ada kaitan dengan kepentingan nasional, perbincangan mengenai fatwa itu hendaklah ditangguhkan oleh Mufti Negeri sendiri atau MFN. Apa yang akan dilakukan oleh MFN ialah melakukan kajian lanjut samada kepentingan nasional itu selaras dengan ”MASLAHAH” menurut Hukum Syarak. MAJLIS (Majlis Ugama Islam Sabah) hendaklah pula dimaklumkan akan hal tersebut. Ini kerana, selepas mempertimbangkan perkara tersebut, MAJLISlah yang akan merujuk perkara tersebut kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan melalui Majlis Raja-Raja sebaik mendapat perkenan dari TYT  dan setelah memaklumkannya kepada Kerajaan Negeri.

Untuk makluman, Seksyen 11(2) Enakmen yang sama telah memberikan penjelasan bahawa ciri-ciri  mengenai fatwa yang menyentuh  KEPENTINGAN NASIONAL itu adalah  apabila persoalan tersebut ada hubungan dengan apa-apa perkara, dasar, program atau aktiviti yang secara langsung menyentuh kepentingan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri atau mana-mana Kementerian, Jabatan atau Agensi-Agensinya. Jika, diteliti kenyataan berani SIS dan kumpulannya di atas tadi, nampaknya kaitannya dengan kepentingan kerajaan persekutuan, negeri-negeri, kementerian, jabatan dan agensi-agensinya tidak boleh dinafikan begitu saja. Oleh kerana kenyataan keras dan lantang pertubuhan-pertubuhan tersebut ada kaitan dengan hukum syarak,  ERAKITA berpendapat bahawa wajar sekali hal ini diteliti dan diambil tindakan pihak-pihak berkenaan menurut peruntukan undang-undang yang ada.

Jika selepas itu ada syor atau nasihat dari Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kepada pihak MAJLIS mengenai fatwa tersebut, tidak timbul masalah di peringkat negeri untuk mewartakan fatwa tersebut untuk tujuan penguatkuasaan di sisi undang-undang. Atas perkara ini, MUNGKINKAH satu usaha untuk mendapatkan fatwa mengenai kedudukan hukum di sisi agama berkaitan tindakan SIS dan kumpulannya boleh dimulakan oleh salah satu dari 3 pihak, atau 2 atau kesemua pihak yang disebutkan dalam Seksyen 7 Enakmen Fatwa (2004) Sabah di atas selepas ini? Sama-samalah kita fikirkan hal ini.

  

KENYATAAN MEDIA SIS YANG KONTRAVERSI

ERAKITA memaparkan semula kenyataan SIS dalam laman Rasminya yang bertarikh 30 September 2009 untuk renungan bersama. 

 

KENYATAAN MEDIA

Hentikan Sebatan. Hentikan Sebatan ke atas Kartika 

http://www.sistersinislam.org.my/index.php?option=com_content&task=view&id=972&Itemid=1

 Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Malaysia (HAKAM) memandang dengan amat serius terhadap Panel Rayuan Kehakiman Mahkamah Tinggi Syariah Pahang yang telah mendengar dan membuat keputusan terhadap semakan ke atas hukuman sebat untuk Kartika Dewi Shukarno (Kartika) tanpa kehadiran pihak berkenaan yang ingin membentangkan hujahan, atau mengumumkan perbicaraan tersebut kepada umum. 

Tambahan pula, pada 18 September 2009, Sisters In Islam (SIS) telah memfailkan satu permohonan semakan kehakiman untuk mendapatkan perintah penggantungan atau pindaan atau pembatalan terhadap pelaksanaan hukuman sebat ke atas Kartika, dan permohonan ini masih belum didengar oleh Mahkamah Tinggi Syariah Pahang.

Kami juga berasa hairan dengan kepantasan mahkamah Syariah yang mahu hukuman tersebut dijalankan secepat mungkin sedangkan banyak organisasi masyarakat sivil dan ramai individu dan terpelajar yang terkemuka menyatakan rasa bimbang mereka terhadap kesesuaian hukuman denda sebanyak RM5,000, enam sebatan yang dikenakan ke atas Kartika, seorang pesalah kali pertama, yang telah pun mengaku bersalah dan menyatakan rasa sesal beliau sehingga kini.

Kami berasa bimbang kerana Mahkamah Syariah telah mengambil tindakan berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang dipertanggungjawabkan terhadap hal ehwal agama Islam, Mej-Gen (B) Datuk Jamil Khir Baharom (“Syariah court to have more bite”, NST, 24 April 2009) bahawa kekurangan pelaksanaan hukuman sebat “merupakan antara faktor yang menjadi sebab peningkatan jenayah syariah setiap tahun kerana masyarakat merasakan undang-undang tersebut adalah terlalu remeh.” Kenyataan yang dibuat oleh Menteri tersebut adalah tidak tepat dengan mengaitkan kekurangan hukuman sebat sebagai faktor peningkatan di dalam “jenayah syariah” kerana kajian telah menunjukkan bahawa hukuman sebat, seperti mana hukuman dera, bukan satu langkah pencegahan yang berkesan  terhadap perbuatan melakukan jenayah.

Hakikat bahawa Kartika sendiri nampaknya ingin hukuman sebat tersebut dijalankan ke atasnya tidak sepatutnya menghalang pihak berkuasa untuk melakukan sesuatu dengan adil dan penuh belas kasihan dalam semua konteks kes tersebut. Sebagai pembela hak asasi manusia, kami berkomited untuk mendapatkan perlakuan yang melindungi hak asasi beliau serta juga mereka yang lain dalam keadaan yang serupa, serta untuk memastikan bahawa tidak terdapat kemerosotan standard hak asasi manusia di Malaysia.

Keputusan yang dibuat oleh Kartika boleh dibandingkan dengan keputusan yang dibuat oleh balu beragama Hindu pada masa lampau. Amalan ‘sati’ (kini terlarang di India) di mana balu yang masih hidup dibakar bersama-sama mayat suaminya. Terdapat percanggahan pendapat tentang jika seseorang balu memilih untuk mengorbankan dirinya, mereka yang lain tidak boleh campur tangan. Jelasnya, ini bukanlah satu amalan yang tidak boleh dibiarkan berdasarkan prinsip pilihan bebas.

Isu penting di sini adalah kemerosotan standard hak asasi yang digunakan di negeri Pahang. Jika hukuman sebat dilakukan ke atas seorang wanita di bawah undang-undang Syariah, ia akan mewujudkan satu preseden yang buruk di Malaysia – terutama sekali apabila kaum wanita telah dinyatakan dengan jelas – tidak boleh disebat di bawah S289 Kanun Acara Jenayah. 

Jika Kartika dikenakan hukuman sebat, persepsi terhadap Malaysia sebagai sebuah negera Islam yang sederhana akan tergugat selama-lamanya.

Kami menggesa agar pihak Kerajaan Persekutuan dan Negeri mengkaji semula hukuman sebat sebagai satu bentuk hukuman kerana ia mencabuli prinsip hak asasi manusia antarabangsa yang menganggap hukuman sebat dan bentuk hukuman dera yang lain sebagai kejam, tidak berperikemanusiaan dan perlakuan yang menjatuhkan maruah.

Dalam kes Kartika, kami berasa amat khuatir kerana prinsip am penjatuhan hukuman tidak digunakan: beliau adalah seorang pesalah kali pertama, beliau berasa sesal dan telah mengaku bersalah, dan tidak terdapat keganasan dalam perbuatan melakukan kesalahan tersebut. Hukuman beliau tidak setimpal sama sekali dengan kesalahan yang dilakukan.

Kami turut menggesa agar pihak Kerajaan Persekutuan dan Negeri mengadakan kajian semula yang komprehensif ke atas undang-undang kesalahan jenayah Syariah, dengan tujuan memansuhkan undang-undang sedemikian. Pada tahun 1997 dan 2005, SIS telah menyerahkan memorandum kepada pihak Kerajaan tentang kesalahan jenayah syariah, membangkitkan pelbagai isu yang membimbangkan termasuklah peruntukan-peruntukan di dalam undang-undang tersebut yang tidak berasaskan teori dan amalan undang-undang Islam, bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, serta juga bercanggah atau bertindan dengan Kanun Keseksaan dan undang-undang persekutuan yang lain.

Akhir sekali, kami ingin mengingatkan pihak berkuasa yang berkaitan bahawa keadilan hendaklah dilembutkan dengan rasa belas ihsan; dan bukan hanya keadilan dilakukan dengan saksama tetapi ianya hendaklah benar-benar dilakukan secara adil agar masyarakat Malaysia berasa yakin dengan proses di mahkamah Syariah.

Dikeluarkan oleh: 

  • Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG) yang terdiri daripada Sisters in Islam (SIS), Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER), Women’s Aid Organisation (WAO), All Women’s Action Society (AWAM) and Women’s Centre for Change, Penang (WCC);
  • Suara Rakyat Malaysia (SUARAM); dan
  • Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Malaysia (HAKAM)

Ekoran dari kenyataan yang dikeluarkan di atas, wartawan dari Akhbar Harian Metro telah mendapatkan respon dari Mufti Kerajaan Negeri Perak, Tan Sri Harussani Zakaria. Sayugia, ERAKITA memaparkan laporan akhbar bertarikh 2 Oktober 2009 yang bertajuk TOLAK HUKUM  ISLAM MURTAD berkaitan isu ini untuk tatapan anda semua.

 

TOLAK HUKUM ISLAM MURTAD 

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20091002083806/Article/index_html

KUALA LUMPUR: “Kalau kita menolak hukum Islam, itu murtad namanya,” tegas Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengulas cadangan Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG) dianggotai Sisters in Islam dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain supaya hukuman sebat dalam undang-undang syariah dinilai sekali gus dimansuhkan.

JAG yang dibangun atas nama pembela hak asasi manusia sebelum itu menggesa kerajaan menilai kembali dan memansuhkan undang-undang syariah yang menerapkan hukuman sebatan berikutan menurut mereka dianggap mendera selain mencabul prinsip hak asasi manusia antarabangsa yang menganggapnya kejam, tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah.

Mereka turut mendakwa mengikut peruntukan Seksyen 289 Kanun Acara Jenayah menyebut dengan jelas wanita dilarang daripada tindakan sebat sekali gus bercanggah dengan sebatan mengikut undang-undang Syariah yang aktif dijalankan Perlis, Pahang dan Kelantan.

Mengulas isu itu, Harussani berkata, Allah SWT secara terang menyebut dalam al-Quran bahawa apa yang didatangkan dan dihukum Rasullah s.a.w hendaklah diambil sekali gus diikuti, manakala larangannya perlu dipatuhi dan jangan sesekali diamalkan dalam kehidupan harian.

 “Jadi hukuman ini (sebat kerana minum arak) memang disuruh Nabi Muhammad s.a.w, kenapa pula kita tidak ikut, dan mereka ini (JAG) atau Sisters in Islam ini sebenarnya menentang Islam ke, bukannya mereka mengikut ajaran Islam. “Mereka anggap hukum Allah itu kolot ke…(sedangkan) kita ini pun dijadikan oleh Allah, cukup anggotanya, diberi akal fikiran…(tengok) betapa hebatnya Allah yang mencipta dan menghidupkan semua perkara.

“Jangan kita pula hendak memperkecilkan Allah dan hukum-Nya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mengenai hukuman sebat ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno, 32, beliau menjelaskan sebatan yang diputuskan di bawah undang-undang Islam bukan sama seperti dilaksanakan kerajaan Pusat untuk penjenayah yang melanggar undang-undang Persekutuan.

Menurutnya, sebat yang dilaksana tidak mendatangkan sakit atau kemudaratan teruk, bahkan jelas menggunakan rotan yang hanya sebesar jari, manakala tangan tukang sebat yang menghayun rotan pula diangkat tidak melebihi daripada ketiak.

“Maknanya rotan yang digunakan itu kecil, ketika menghayunkannya (untuk hukum) pula tidak boleh tinggi, menjelaskan tangan hanya diangkat sedikit saja….tidak sakitlah maknanya dan taklah seperti dibuat di penjara…terlalu berat.  “Saya nasihatkan mereka supaya janganlah buat kenyataan sebarangan, hati-hati bila berucap sesuatu, jangan sampai menyebabkan mereka terkeluar dari landasan Islam sebenar,” katanya.

Harussani turut memberitahu hukuman enam sebatan ke atas Kartika kerana kesalahan meminum arak bukan bertujuan mendera, jauh sekali mendatangkan kesakitan sebaliknya dibuat untuk mengajar dan wajar disaksikan ramai orang sebagai pengajaran bermakna.

Berikutan itu, Akhbar Kosmo bertarikh 3 Oktober 2009 dalam mukasurat 8 pula melaporkan dengan tajuk 14 NGO Islam selar SIS, JAG sebagai reaksi terhadap kenyataan SIS tersebut. Menurut akhbar berkenaan, Amidi Abdul Manan selaku Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyatakan bahawa pihaknya akan mendapatkan perintah Mahkamah untuk menghalang SIS dan JAG serta pihak-pihak lain dari membuat sebarang kenyataan yang mempertikaikan sebarang pelaksanaan hukuman berkaitan agama Islam. Menurutnya lagi, satu laporan polis telahpun dibuat di Balai Polis Daerah Kuantan pada 2 Oktober terhadap JAG dan SIS berhubung kenyataan menghina Islam. Sebahagian dari laporan akhbar berkenaan yang dipetik dari www.kosmo.com.my dipaparkan semula untuk tatapan bersama.

 

 14 NGO Islam selar SIS, JAG

http://kosmo.com.my/

KUANTAN – Sebanyak 14 badan bukan kerajaan (NGO) Islam di Pahang semalam menyelar Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG) dan Sisters In Islam (SIS) berhubung kenyataan mereka yang menganggap hukuman ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor sebagai kejam.

Jurucakap NGO itu, Amidi Abdul Manan berkata, mereka meminta pihak terbabit menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam di negara ini.

“Enakmen Pentadbiran Ugama dan Adat Resam Negeri Pahang 1982 (Pindaan 1987) adalah di bawah kuasa Mahkamah Syariah yang diperkenankan Sultan Pahang. Menghina undang-undang syariah bererti mereka juga menghina Sultan Pahang.

“Kita juga menuntut penganut agama lain tidak mencampuri dan mempertikaikan urusan agama Islam,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Baru-baru ini, JAG dan SIS dalam laporan sebuah akhbar menyifatkan hukuman sebat ke atas Kartika sebagai kejam, mencabuli hak manusia antarabangsa dan menjatuhkan maruah seseorang.

 

KESIMPULAN

Sebenarnya banyak reaksi yang telah diberikan oleh masyarakat Islam di negara ini mengenai tindakan berani kumpulan ini. Hampir setiap minggu kita dimomokkan dengan laporan mengenai ketidakpuasan hati masyarakat Islam yang begitu terkilan dan terhina dengan kenyataan SIS dan kumpulannya itu. Respon yang dikeluarkan terhadap isu ini oleh pelbagai NGO Islam yang prihatin terhadap kesucian dan maruah agama Islam seperti Persatuan Penguam-Peguam Syarie Malaysia (PGSM), ABIM dan lain-lain lagi yang tidak dapat disebutkan di sini amat bernilai sekali. Bantahan dan kritikan atas kelantangan SIS dan kumpulannya itu diharap dapat mengukuhkan lagi usaha pihak berkuasa agama negeri-negeri untuk bertindak sesuatu.

Sebelum berundur, ERAKITA sekali lagi ingin menarik perhatian anda semua untuk merenung semula 2 perkara utama di bincangkan di atas iaitu isu tindakan perundangan ke Mahkamah dan isu mengeluarkan fatwa ke atas tindakan kumpulan berkenaan.

 

SAMA-SAMA KITA RENUNGKAN PERKARA INI

Advertisements

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 18 Oktober 2009, in AGAMA, RENUNGAN, UNDANG-UNDANG. Bookmark the permalink. 7 Komen.

  1. salam ukuhuwa fillah..
    setinggi-tinggi tahniah kpda erakita yang begitu tulus membuat ulasan atau jawapan kepada pihak NGO tersebut serta maklumat ini secara umum. Alangkah baiknya jika ramai masyarakat yang sebaris sekurang-kurang macam etuza yang dapat berpeluang membaca catatan yang penting ini, ianya bagaikan sandaran yang amat penting agar kita harus BERHATI-HATI dlam mengeluarkan idea juga pendapat. Usah bersuara berlandaskan emosi semata tetapi menyeledik semasak-masak sesuatu isu agar tidak timbul menghina baik kepada seseorang atau yang melibatkan pemimpin berpengaruh dan tersohor.Pada saya..sebaik adanya blog etuzaWarnaKehidupan saya sering merasa takut ada orang tersinggung, kerana perbuatan menyinggung biar pada tinta bisu adalah perbuatan dosa. Sebaik-baiknya kalau boleh paparan kita serta saya itu sebuah wacana yang mampu membawa kepada kebaikan dan ketaqwaan kepada yang Rahman yakni Allah. Sesungguhnya dalam arus kecanggihan zaman ICT maka aplikasi terbaik memaparkan sebahagian maklumat kepada umum adalah dengan wujudkan blog seumpama erakita dan blogger lainnya. Semoga sihat selalu dan jiwa kental bak pejuang kepada bangsa agama dan negara. wasalam…minta maaf jika ada tersalah kata.

  2. Assalamualaikum ,
    ” ya Allah berilah kami kemenangan keatas orang2 kafir , Ya Allah berilah kami kemenangan keatas orang2 munafik , ya Allah berlah kami kemenangan ke atas orang2 yg fasik . Hancurkanlah mereka Ya Allah , Musnahkanlah Mereka Ya Allah , Berilah kami kekuatan dalam menghadapi penghuni – penghuni neraka ini ya Allah ”
    Inilah hakikatnya, jelmaan Abdullah bin Ubai yang masih bermaharajalela dimuka bumi ini… bahkan perangai dan kenyataan2nya lebih teruk dari bapa munafik yang dilaknat Allah.Inilah golongan yang akan menemani Abdullah bin Ubai dalam neraka Jahannam.Menggunakan nama Islam untuk menjatuhkan Islam. Menggunakan nama Islam untuk mengelirukan dan memusnahkan Islam.Kononnya ingin membela nasib wanita Islam.Akan tetapi secara tidak langsung membawa wanita islam ke ambang Neraka… Tahniah Erakita diatas tulisan yang amat berguna ini.mudah-mudahan boleh menjadi hujjah dan bidasan bagi mempertahankan maruah undang2 islam dalam menghadapi golongan syaitan yang bertopengkan sister in Islam dan kuncu-kuncunya.Mudah-mudahan Allah memberi kekuatan kpd erakita dalam menjelaskan kebenaran. Terskan perjuangan………… Syukran.

  3. Assalamualaikum YA..

    Tahniah kepada YA atas artikel yang cukup bermakna ini.Sesungguhnya artikel ini bukan sahaja memberikan penjelasan diatas kepura-puraan NGO yang berselindung atas nama Islam tetapi memberikan ilmu dan kesedaran kepada orang Islam sendiri yang mungkin terpesona dan terikut-ikut dengan rentak NGO yang sebenarnya mempunyai niat utk menghapuskan keyakinan orang Islam terhadap agama Islam. INSAFLAH….INGATLAH ..

    TOLAK HUKUM ISLAM MURTAD(meminjam kata-kata Mufti Kerajaan Negeri Perak, Tan Sri Harussani Zakaria)

  4. Wa’alaykum salam wbt,

    Terimakasih atas komentar hebat dan penuh bersemangat yang dilontarkan oleh Saudara ETUZA, IBNU ARIFIN dan ALPHONSUS di atas. Setelah berkongsi sedikit ilmu dan idea mengenai SIS dan kuncu-kuncunya, ERAKITA hanya berkongsi rasa dan harapan dengan anda semua agar ada penyelesaian dapat dicapai di hadapan sana. Kepada SIS dan rakan-rakannya, kita panjatkan doa kepada ALLah agar membukakan pintu hati mereka yang tertutup, menerangi hati mereka yang gelap, melembutkan hati mereka yang keras, mencelikkan mata mereka yang tertutup, dan memandu mereka dari jalan yang salah kepada jalan yang betul agar mereka kembali kepada jalan yang sebenar.

    Dalam masa yang sama, kita juga menhgarapkan agar ada usaha yang bakal dilakukan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka mengikut peruntukan-peruntukan perundangan yang ada. Tindakan Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara kepada RASUL MELAYU (ABDUL KAHAR) pada 21 Oktober 2009 baru-baru ini boleh menjadi titik tolak kepada para penguatkuasa agama, pendakwa syarie dan juga institusi kehakiman syariah untuk melaksanakan tugas mereka dengan penuh didikasi dan bersemangat.

    Terimakasih.

  5. Sudah tiba masanya bagi umat Islam di Malaysia mentakrif semula sokongan kita kepada sistem perundangan syariah memandangkan sistem perundangan sivil tidak lagi mampu melindungi kemashalatan ummah. Hari ini umat Islam adalah populasi terbesar melebihi 85% penghuni penjara dan pusat pemulihan. Kita perlu yakin terhadap karya tuhan jika tidak mahu mengalami kompliksi krisis persepsi sebagaimana sindrom yang menimpa Sisters in Islam (SIS) yang telah ditulis di Malaysiakini dan akhbar Sinar Harian. Muat naik rencana dan tinggalkan komen anda “di sini” atau mana-mana laman sesawang yang memuatkan sebarang rencana mengenainya sebagai satu sokongan bantahan terhadap perlekehan sistem perundangan Islam oleh SIS.

  6. I think this is among the most vital information for me.
    And i’m glad reading your article. But wanna remark on some general things, The website style is wonderful, the articles is really excellent : D. Good job, cheers

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: