KAHWIN LARI: bukan caranya

 

7231_145007907459_803437459_2536032_3442312_n

 

 

Kahwin Lari: Undang-Undang Jangan Lupa!

 

6 Oktober 2009 

ERAKITA percaya bahawa bahawa orang berkahwin untuk mengecapi nikmat kebahagiaan. Sesuai benarlah fitrah manusia ini dengan firman Allah dalam al-Quran ayat yang menyatakan bahawa antara hikmah perkahwinan itu mendapatkan sakinah atau ketenangan dalam dalam kehidupan suami isteri. Hal ini terbukti apabila ramai pasangan sebelum berkahwin hidupnya terumbang ambing dan tidak teratur. 

Cuba kita lihat kebiasaan yang berlaku pada orang-orang bujangan. Dulu, sebelum berkahwin, makan minumnya tidak terpelihara. Wang gajinya walau sebesar mana juga tidak diketahui ke mana perginya gara-gara tidak mentadbirnya dengan baik. Jika telah memiliki rumahpun, dapur rumah kelihatan licin dan berkilat sahaja kerana tidak pernah dipijak. Semuanya akan diselesai di luar rumah saja. Balik ke rumah sekitar jam 10.00 malam ke atas sudah menjadi adat kelaziman. 

Kini, setelah berumahtangga, hidupnya tiba-tiba berubah. Boleh dikatakan semuanya berubah 360 darjah. Semuanya bertukar menjadi teratur, baik dari waktu tidur, waktu makan, pemilihan pakaian dan segala-galanya. Tidak cukup dengan itu, wang juga kini teratur penggunaannya. Jika dahulu RM100 boleh lesap dalam setengah hari, kini wang tersebut ada ketikanya dapat diguna barang seminggu hingga 2 minggu. Inilah yang dinamakan sakinah. Inilah yang dinamakan kebahagiaan. Inilah yang dinamakan nikmat. 

Namun, kenikmatan ini boleh jadi berlangsung untuk tempoh beberapa minggu atau bulan sahaja kepada sesetengah pasangan. Mengapa pula begitu?. Kebahagiaan itu boleh bertukar menjadi keperitan jika ada masalah dalam perkahwinan yang telah mereka jalankan. Salah satu masalah yang memeningkan pasangan ialah apabila pasangan sukar mendapat Sijil Pernikahan dari Jabatan Agama Islam. 

Pasangan tersebut tersentak dan mula sedar bahawa tindakan mereka berkahwin tanpa mendapat kebenaran dari Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk di Jabatan Agama benar-benar mendatangkan masalah. Tidak mustahil mereka boleh ditangkap bila-bila masa di mana-mana juga atas sebab bahawa mereka disyaki hidup bersekudukan tanpa nikah. Ini kerana, mereka gagal membuktikan bahawa mereka adalah suami isteri. Mereka gagal membuktikannya kerana mereka tidak ada sijil nikah. Dengan kata lain, mereka ditangkap kerana “BERKHALWAT”. Hal ini boleh saja terjadi kepada pasangan yang baru menikmati alam bahagia. 

Tidak cukup dengan tangkapan, mereka juga terdedah kepada pendakwaan di Mahkamah Syariah kerana tidak ada BUKTI perkahwinan seperti Sijil Nikah yang mampu mereka kemukakan kepada pihak berkuasa Agama. Jika silap “haribulan” pasangan itu mungkin didakwa di bawah Seksyen 84 (1) dan (2) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Sabah) 1995 (EKJ) kerana berkhalwat. Di bawah seksyen ini, pasangan yang disabitkan salah boleh dihukum dengan denda tidak lebih dari RM2,000 atau 1 tahun penjara atau kedua-duanya sekali. 

Apa akan jadi kepada pasangan yang baru menikmati bulan madu mereka jika hal ini benar-benar berlaku ke atas mereka? Jika perkahwinan mereka itu dilangsungkan secara sembunyi tanpa pengetahuan keluarga apatah lagi pihak berkuasa agama, inilah masanya TEMBELANG akan keluar. Kebahagian yang baru dinikmati tadi tiba-tiba bertukar menjadi igauan dan masalah yang rumit. Bukan saja terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang tetapi terpaksa berhadapan pula dengan kerenah keluarga masing-masing yang sudah tentu terkilan dengan tindakan pasangan tersebut. 

Inilah angkara jika menyembunyikan perkahwinan dari pengetahuan keluarga. Keadaan ini boleh berlaku kepada pasangan yang tidak mendapat restu dari keluarga di peringkat awal. Untuk mencapai matlamat, mereka kemudiannya mencari jalan pintas apabila mengambil tindakan ”KAHWIN LARI” ke sempadan. ERAKITA percaya bahawa ramai di kalangan masyarakat kita dari dulu dapat memahami bahawa lari ke sempadan maknanya lari ke Sempadan Thailand. 

Kejadian kahwin di Sempadan Thailand memang sudah menjadi TREND dari dulu hingga hari ini. Bukan sahaja pasangan yang terlibat itu datang dari Tanah Semenanjung, tetapi juga ia datang dari Sarawak dan Sabah sendiri. Dalam konteks Negeri Sarawak dan Sabah pula, kahwin di sempadan bukan sahaja merujuk kepada kahwin di Sempadan Thailand tapi juga kahwin di Sempadan Kalimantan Indonesia. 

Kebetulan pula Sabah memang “KAYA” dengan sempadan yang panjang samada sempadan dengan Sarawak atau Kalimantan. Bagi Sabah, negeri ini mempunyai kelebihan tersendiri apabila dikelilingi oleh gugusan pulau-pulau yang tidaklah terlalu jauh untuk “DIRENANGI”. Keadaan geografi seumpama ini bolehlah dianggap strategik bagi orang-orang yang ingin BERKECIMPUNG dengan kahwin lari. 

Walau apapun cara dan makenisme yang pasangan gunakan semasa kahwin lari, satu hakikat yang terpaksa mereka terima iaitu keperluan kepada sijil nikah. Untuk mendapatkan sijil nikah, perkahwinan tersebut hendaklah didaftarkan terlebih dahulu di Pejabat Pendaftar Perkahwinan Perceraian & Rujuk (PPR) di Jabatan Agama di mana pasangan tersebut bermastautin. Akhirnya, tidak ada jalan lain melainkan pasangan terbabit terpaksa mengalah. 

Mahu tidak mahu, mereka kena juga berhadapan dengan proses perundangan untuk memperolehi sijil nikah. Antara proses yang terlibat ialah mengesahkan kesahihan perkahwinan pasangan samada di peringkat Pendaftar PPR atau di Mahkamah Syariah. Jika perkahwinan yang dijalankan itu sah tetapi bertentangan dengan Undang-Undang keluarga Islam di negeri-negeri berkaitan, pasangan tersebut terpaksa berhadapan pula dengan tindakan undang-undang iaitu kahwin tanpa kebenaran. Selepas proses undang-undang dilaksanakan, baharulah suatu perkahwinan itu dapat didaftarkan di Jabatan Agama. 

Apa yang lebih merumitkan ialah, ada ketikanya perkahwinan pasangan itu tidak menepati kehendak hukum syarak. Rukun pernikahan yang tidak dipenuhi adakalanya berlaku menyebabkan perkahwinan tersebut diputuskan tidak sah dan seterusnya difaraqkan atau dibubarkan. Hal ini sudah tentu mendatangkan kesulitan kepada pasangan itu. 

Berhadapan dengan hakikat bahawa pernikahan mereka batal atau tidak sah mungkin memberi tekanan hidup kepada mereka. Bagaimana nanti mereka terpaksa TEBAL MUKA bila berhadapan dengan keluarga dan masyarakat sekeliling apabila kisah mereka diketahui. Seseorang yang mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat (VIP) akan lebih tertekan kerana BANYAK MATA yang melihat apa yang berlaku. Ia akan jadi buah mulut orang. Ketika kes dibawa ke Mahkamah, kemera lensa para wartawan tidak putus-putus tertumpu kepada VIP berkenaan. Jika kebetulan ia seorang ahli politik, tidak mustahil keaiban ini dijadikan sebagai ramuan berkesan untuk menyerang peribadi VIP berkenaan oleh musuh-musuh politiknya. 

Pendek kata mereka tidak boleh lari dari mendaftarkan perkahwinan mereka untuk mendapatkan sijil nikah. Sijil nikah amat penting untuk tujuan-tujuan lain. Untuk mendaftarkan anak ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga perlukan sijil nikah. Cuba bayangkan apabila si anak tidak dapat dibuktikan dengan dokumen siapa bapa kandungnya, kepada siapa nanti ia dibin atau dibintikan? Apakah pasangan itu rela apabila JPN meletakkan status anak itu tanpa bapa? 

Begitu juga halnya apabila mula menghantar anak ke sekolah dalam peringkat Pra-Sekolah atau Tahun 1. Untuk mendaftarkan anak tersebut, pihak sekolah memerlukan pula data dan dokumen berkaitan mengenai anak dan ibubapa. Salah satu dokumen asas yang diperlukan ialah sijil nikah ibubapa. Dalam hal ini, ketiadaan sijjil nikah ibubapa anak tersebut memberi kesulitan dalam proses pendaftaran persekolahan anak. 

Rupa-rupanya, banyak juga implikasi atau kesan negatif yang sukar diterima sekiranya suatu perkahwinan itu tidak didaftarkan. Sebab itulah, masyarakat kita perlu diingatkan bahawa walau besar manapun cabaran pasangan yang hendak berkahwin itu, janganlah pula sampai mengabaikan undang-undang dan peraturan yang sedia ada. Andai keizinan wali sukar diperolehi, ambillah jalan untuk memohon kebenaran menggunakan wali hakim di Mahkamah Syariah. Elakkanlah mengambil tindakan kahwin lari yang akhirnya menyusahkan diri sendiri di kemudian hari. 

ERAKITA berharap bahawa tulisan ini bakal membuka minda anda semua untuk memahami situasi dan realiti yang ada dalam masyarakat kita hari ini.

  

SELAMAT MENDAFTARKAN PERKAHWINAN

 

 

Advertisements

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 6 Oktober 2009, in AGAMA, KELUARGA, RENUNGAN, UNDANG-UNDANG. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: