KEMATIAN YB SELEPAS PRU KE-12: ada hikmahnya

 

2161329222_700651aa16_o

 

 

“FENOMENA” KEMATIAN YB SELEPAS PRU KE-12: satu renungan 

 

4 Oktober  2009 

Pilihanraya Umum (PRU) ke -12 telahpun melabuhkan tirainya sejak hampir 2 tahun lepas. Pilihan raya tersebut menyaksikan kerajaan yang ada sekarang di bawah lambang BN masih meneruskan perjuangannya untuk mentadbir negara. Pilihan raya tersebut juga mempunyai sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya, BN kehilangan suara majoriti 2/3 anggotanya di Parlimen. Ini tidak meghairankan kerana hal seperti itu sudah menjadi lumrah di negara-negara lain. Masih lumayan kerana walaupun kehilangan 2/3 majoriti di Parlimen, BN masih dapat mengekalkan pemerintahan di negara ini sejak lebih 50 tahun yang lampau. Di negara lain, kerajaan hari ini boleh bertukar menjadi pembangkang pada esok hari. Dan begitulah sebaliknya. Demikianlah adat politik dunia yang sentiasa melakarkan sejarah demi sejarah bagaimana sebuah kerajaan saling bertukar ganti. 

Bagi ERAKITA, perkara yang menarik perhatian ialah gugurnya insan-insan bergelar YANG BERHORMAT (YB) yang terpilih sebagai Wakil Rakyat semasa PRU ke-12 yang lalu. Mereka gugur bukan kerana gugur dari dari barisan kabinet. Mereka gugur kerana ajal pertemuan mereka dengan Allah SWT telah tiba. Ini semua adalah taqdir Allah kerana kematian dan kehidupan, kedua-duanya di bawah kekuasaan Allah SWT. Tidak akan ada sesiapa yang menjangka hal seperti ini boleh berlaku. Belumpun sampai 2 tahun PRU ke-12 melabuhkan tirainya, sudah beberapa orang YB telah kembali menghadap Allah. Terbaru, seorang Wakil Rakyat dari salah sebuah parti politik dominan negara dari Negeri Sembilan meninggal dunia akibat serangan jantung. 

Kematian Wakil Rakyat mempunyai implikasi besar terhadap perjalanan dan kesinambungan perjuangan parti-parti politik yang ada. Bagi sesetengah pihak, kematian seorang YB dianggap membuka peluang kepada parti-parti berkenaan untuk bertanding dalam pilihanraya kecil. Tidak kurang juga pendapat dari pemerhati dan penganalisis politik yang mengatakan bahawa pilihanraya kecil sebenarnya merupakan satu medan untuk melihat sejauhmana kerajaan yang memerintah masih mendapat sokongan rakyat atau masih berpengaruh. Sinario politik di Malaysia memperlihatkan bahawa kematian seseorang YB yang membuka ruang untuk pilihanraya kecil diadakan di kawasan berkenaan sebenarnya menjadikan demam pilihnraya tidak pernah ada garisan penamatnya. Kempen pilihanraya akan sentiasa berjalan dan berterusan. Ceramah-ceramah politik juga nampaknya tidak pernah berhenti. 

Bagaimanapun, bagi ERAKITA, apapun kerajaan yang memerintah, sebagai rakyat, kita harus menghormati dan menerimanya dengan hati terbuka. Ia adalah pilihan rakyat berdasarkan proses demokrasi. Andaikata pemerintah hari ini tidak dapat menjalankan pentadbiran dengan efisyen, terserahlah kepada rakyat untuk memilih pemerintah yang baru pada masa hadapan. Ruang ini terbuka kepada rakyat sekali dalam tempoh 5 tahun. Inilah yang dikatakan demokrasi berparlimen yang memberikan kuasa kepada rakyat untuk memilih mana satu kerajaan yang memerintah negara. Inilah yang dikatakan kerajaan yang dipilih oleh rakyat untuk rakyat. 

Mengenai kematian YB Malaysia yang ”TIDAK PERNAH PUTUS-PUTUS” sejak akhir-akhir ini, ERAKITA merasakan bahawa ada hikmah penting di sebalik kejadian ini. Salah satu hikmah terbesar yang perlu direnung ialah betapa dekatnya kita kepada kematian. Kematian berterusan orang-orang penting atau lebih mudah dipanggil VIP di hadapan kita sebenarnya satu peringatan kuat dari Allah SWT bahawa kita boleh mati bila-bila masa. 

Mungkin juga kalau orang yang meninggal dunia itu bukan dari kalangan orang penting atau VIP, kematiannya tidaklah akan memberi impak besar kepada masyarakat ramai untuk mengingati kematian dan implikasinya. Sebaliknya, bila orang penting atau VIP mati, terasa benarlah kehilangannya. Bagi penyokong mahupun lawannya, kematian VIP ini akhirnya akan disebut-sebut juga sebagai satu kehilangan besar kepada negara walaupun semasa hayatnya, musuh-musuh politiknya begitu hebat sekali melontarkan kritikan terhadapnya. 

Selain itu, bagi YB-YB yang telah dipilih rakyat melalui pilihanraya, mereka adalah pemimpin yang diharap dan dipauti rakyat untuk mewakili dan menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan yang diwakilinya. Maknanya, begitu besar amanah yang mereka perlu pikul. Bagi sesetengah YB yang dilantik menjawat jawatan tinggi seperti menteri, amanah yang mereka pikul semakin bertambah berat kerana bukan saja harus melaksanakan amanah di kawasan sendiri tapi harus pula menanggung amanah sebagai anggota exsekutif di peringkat nasional. 

ERAKITA juga melihat bahawa kematian di kalangan YB yang nampaknya tidak ada titik noktahnya merupakan peringatan penting buat YB-YB lain supaya melaksanakan amanah yang dibebankan kepada mereka dengan penuh didikasi. Kematian rakan sejawat mereka merupakan satu peringatan paling bernilai untuk para YB agar meletakkan kepentingan diri di belakang berbanding kepentingan rakyat. Ini sesuai sekali dengan tema yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri yang berbunyi ”RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN”. Slogan ini jugalah yang menjadi tema sempena Hari Kemerdekaan negara kita tahun ini. 

Secara peribadi, ERAKITA mempunyai cita rasa dan harapan tersendiri terhadap para pemimpin negara yang tercinta ini. Jika dapat, para pemimpin kita sebaiknya memiliki buku-buku yang mengisahkan bagaimana Khalifah Umar Abdul Aziz menjalankan pemerintahannya. Cara Khalifah Umar Abdul Aziz mentadbir negara Islam yang begitu luas sungguh mengkagumkan. Dari hari pertama beliau mengambil alih tugas nombor 1 negara, beliau telah melaksanakan perkara-perkara penting yang mempunyai implikasi penting kepada rakyat.

Beliau meletakkan Allah di atas segala-galanya. Bagi beliau, tugas sebagai khalifah Islam sungguh berat dan segala urusan berkaitan rakyat di bawah pemerintahannya akan dipersoalkan di akhirat kelak. Sejak awal, beliau tidak pernah meminta atau mengharapkan jawatan tersebut tetapi ia diberikan atas permintaan dari Khalifah Sulaiman secara wasiat semasa hayatnya. 

Umar Abdul Aziz yang awal-awal lagi mengharapkan agar dirinya tidak dilantik sebagai Khalifah Islam begitu terkejut dan menjadi bimbang dengan perlantikannya. Beliau bimbang bukan kerana takut untuk berhadapan rakyat. Beliau bimbang bukan kerana beliau seorang yang lemah dan pengecut. Beliau bimbang kerana takut tidak dapat melaksanakan amanah Allah yang begitu besar. Bagi beliau, Allahlah yang berada di hadapan dan menjadi keutamaan. 

Beliau banyak menangis sejak dilantik sebagai khalifah. Ibadah beliau makin bertambah sejak dilantik ke jawatan no. 1 itu. Beliau merasa sangat takut akan disoal di hadapan Allah atas setiap keadaan rakyatnya yang diwarnai dengan kepelbagaian taraf hidup. Rakyat miskin, rakyat dizalimi, rakyat yang kehilangan hak mereka sewaktu pemerintahan terdahulu, anak-anak yatim, isteri yang kehilangan suami dan lain-lain lagi keadaan rakyat semuanya menjadi perhatian dan keutamaan Umar Abdul Aziz. 

Beliau takut Allah akan persoalkan mengapa ada rakyat yang tidak mendapat haknya. Keimanan, ketaqwaan dan kewarakannya sukar dipertikaikan lagi. Bayangkan saja bagaimana ia menukar lampu kerajaan kepada lampu kepunyaannya sendiri di pejabatnya apabila urusan itu melibatkan urusan peribadi. Bayangkan saja, beliau hanya mempunyai beberapa pasang pakaian sahaja selepas dilantik menjadi Khalifah. 

Kemewahan hidup yang dikecapinya sebelum menjadi Khalifah kini ditinggalkannya sebaik menjadi Khalifah. Khazanah negara melimpah ruah setelah Baitulmal benar-benar digunakan sesuai fungsinya dan menjadi tempat limpahan harta negara. Barang-barang mewah yang ada dalam istana Khalifah yang dibeli atau dibuat semasa pemerintahan terdahulu dijual dan hasil jualan pula dimasukkan ke dalam Baitulmal yang menjadi perbendahaaan negara. Ketakutan kepada Allah inilah yang menyebabkan pemerintahannya begitu bermutu dan berkualiti. 

Rakyat merasa tenang dan aman di bawah pimpinannya. Mereka bahagia berada di bawah seorang pemimpin kerajaan yang adil dan beriman. Pemerintahannya benar-benar mengutamakan kepentingan rakyat dan mengutamakan pencapaian atau hasil. Corak pemerintahan Umar Abdul Aziz yang meletakkan Allah SWT di atas segala-gala menjadikan amalan rasuah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa dapat dihapuskan. Akhirnya rakyat mendapat untung pada tahap maksima. 

Bayangkanlah bagaimana hebatnya kesan pemerintahan yang adil di bawah pimpinan Umar Abdul Aziz yang beriman lagi warak itu. Dalam satu kisah, para penternak kambing turut menikmati keuntungan besar hasil penternakan binatang mereka. Kerajaan yang diberkati Allah di bawah pemimpin beriman dan bertaqwa itu menyebabkan serigala tidak memakan binatang ternakan mereka. Bahkan, serigala itu dapat pula bercampur dengan kambing-kambing itu tanpa mengganggu mereka. 

Dikisahkan lagi bahawa setelah kematian Khalifah Umar Abdul Aziz, serigala itu mula mengganggu kambing-kambing ternakan penternak. Inilah yang Allah sebut dalam al-Quran sebagai baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur yang antara lain membawa pengertian sebuah negara yang baik, aman, makmur di mana rakyatnya pula mendapat limpahan rahmat dan maghfirah dari  Allah SWT. 

Bagi ERAKITA, inilah yang seharusnya diambil iktibar oleh para YB yang masih hidup agar menjalankan urusan pemerintahan dan pentadbiran negara dengan penuh jujur, ikhlas, amanah dan adil. Gambaran-gambaran di bawah ini boleh jadi ada manfaatnya jika dihayati dengan hati yang tenang dan terbuka: 

  • Alangkah cantiknya suasana apabila para YB adalah YB yang beriman, YB yang takutkan Allah, YB yang mendahulukan kepentingan rakyat, YB yang bersih dari unsur-unsur rasuah, YB yang sedia berkhidmat kepada rakyat dengan penuh kesabaran, YB yang menganggap bahawa tugas berat mereka itu adalah kesempatan mereka untuk berbuat amal ibadat dan mengharapkan pahala yang banyak kepada Allah.
  • Alangkah cantiknya suasana apabila YB menganggap bahawa tugas besar mereka itu adalah amanah Allah yang amat berat dan akan dipersoalkan di akhirat.
  • Alangkah cantiknya suasana bila YB menang pilihanraya atas kehendak rakyat tanpa dipalit dengan unsur-unsur penipuan, penindasan dan berat sebelah.
  • Alangkah cantiknya suasana apabila kemenangan YB dalam pilihanraya bebas dari unsur-unsur politik wang atau rasuah.
  • Alangkah cantiknya suasana apabila kemenangan YB dalam pilihanraya bukan atas tangisan dan jatuhnya airmuka orang lain kerana diaibkan.
  • Alangkah cantiknya suasana apabila YB bukan saja datang merasmikan suatu program tapi turut pula ikut rakyat bergotong royong.
  • Alangkah cantiknya suasana apabila rakyat malu dan segan meminta duit atau projek dari YB kerana mereka tahu YB bukannya banyak duit kerana begitu banyak berkorban untuk kepentingan rakyat di bawahnya.
  • Alangkah cantiknya suasana apabila rakyat datang berjumpa YB bukan untuk meminta projek atau peruntukan tetapi sebaliknya datang menghulurkan bantuan dari segi wang dan tenaga kepada YB agar YB dapat gunakannya untuk membangunkan rakyat.
  • Alangkah cantiknya suasana apabila YB bersusah payah datang bertemu rakyatnya sebelum rakyat datang menemuinya untuk mencari dan mengetahui permasalahan rakyat. Suasana ini pernah berlaku di zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab, Khalifah al-Rashidin yang kedua selepas Khalifah Abu Bakar RA.

 Bagi ERAKITA, inilah suasana yang seharusnya diwujudkan dalam dunia politik dan pemerintahan sebuah negara. Jika suasana di atas dapat diwujudkan, title YB, singkatan kepada panggilan ”YANG BERHORMAT” dengan sendirinya dapat dinaikkan taraf kepada ”YANG BERKHIDMAT”. Dengan sendirinya pelbagai lagi kata singkatan yang positif bagi panggilan YB dapat dilahirkan seperti YANG BERUSAHA, YANG BERIMAN, YANG BERKUALITI, YANG BERBAKTI, YANG BERSUNGGUH-SUNGGUH, YANG BERMARUAH, YANG BERJUANG, YANG BERJAYA, YANG BERWIBAWA, YANG BERKORBAN dan YANG BERANI. 

ERAKITA mengajak anda semua untuk merenung hikmah di sebalik kematian orang-orang penting di sekeliling kita. Mereka mempunyai pengaruh besar kepada masyarakat dan negara. Kewujudan mereka di persada politik dan pemerintahan negara mewarnai corak pentadbiran negara. Kehilangan mereka juga mempunyai pengaruh besar kepada kesinambungan politik dan pemerintahan sebuah negara. 

Semoga kita mendapat iktibar dari apa yang telah dan sedang berlaku di sekeliling kita hari ini, terutama kejadian kematian Wakil-Wakil Rakyat yang dipilih semasa PRU ke-12 yang lalu. Salam TAKZIAH kepada ahli keluarga yang telah kehilangan orang tersayang.  Hanya kesabaran menerima takdir Ilahi menjadi benteng kesedihan dan kedukaan.

  

KEMATIAN PASTI BERLAKU KEPADA SETIAP MANUSIA

 oleh itu 

AMBILLAH IKTIBAR DARIPADANYA

 

 

Advertisements

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 4 Oktober 2009, in RENUNGAN. Bookmark the permalink. 4 Komen.

  1. Assalamualaikum YA..
    artikel tuan amat menarik.Saya berharap ramai YB atau yang bercita-cita menjadi YB atau yang sewaktu dengannya sedar dan insaf bahawa gelaran YB bukan satu keistemawaan tetapi satu tanggungjawab dan amanah yang berat.
    Kepada yang berangan-angan menjadi YB sila baca,fahami dan hayatilah artikel yang cukup bernas ini.

    Kepada Yang Arif (YA)teruskan dengan artikel yang berkualiti dan menarik.

    # Minta izin dengan YA utk copy artikel ini utk kegunaan sendiri.
    Terima kasih YA….

  2. Wa’alaykum salam wbt,

    Antara ciri-ciri manusia yang baik itu ialah manusia yang dapat memberi manfaat kepada manusia lain dengan ikhlas walau dengan sekecil pemberian. Andai ARTIKEL ini baik dan bermanfaat, ERAKITA dengan rasa senang hati dan penuh kesyukuran mengalu-alukan anda semua untuk menyebarkan maklumat kerdil ini ke seluruh pelusuk alam.

    Terimakasih, Saudara Alphonsus

  3. pustakaalghazali

    Salam, Tahniah dengan artikel ini YAA,.. Harap-harap sampai pada sasarannya:))

    • Wa’alaykum salam wbt,

      Terimakasih atas ucapan tersebut. Semoga mesej ini sampai kepada sesiapa jua yang sedang berkecimpung dalam dunia kepimpinan.

      Alhamdulillah, ERAKITA bersyukur kerana ada juga pemimpin negara kita yang telahpun memberikan komen yang amat positif terhadap artikel ini dalam laman facebook penulis. Komen seperti “peringatan yang tepat kepada semua pemimpin, terimakasih” dari seorang pemimpin kita sesungguhnya amat bernilai untuk menjana corak kempimpinan berkualiti pada masa hadapan.

      Terimakasih Pustakaalghazali.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: