70 peratus bosan usaha cegah rasuah VVIP tidak berhasil: cabaran SPRM

 

gambar duit

Kerjasama Saksi & Cabaran SPRM di Mahkamah

 

30 September 2009

Laporan akhbar utama negara di Berita Harian Online pada 24 September 2009 yang lalu mengenai isu rasuah di negara ini menarik perhatian ERAKITA untuk memberi ulasan mengenainya. Tajuk utama yang digunakan dalam artikel bekenaan ialah 70 peratus bosan usaha cegah rasuah VVIP tidak berhasil.  Akhbar tersebut melaporkan bahawa lebih 70 peratus daripada sekumpulan responden yang disoal selidik berhubung rasuah di negara ini mendakwa sudah hilang kepercayaan terhadap usaha kerajaan membanteras rasuah dan bosan dengan penularan gejala itu. Presiden Transparency International (TI) Malaysia, Datuk Paul Low dilaporkan berkata bahawa antara rungutan utama di Malaysia ialah mengenai kegagalan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap orang kenamaan dan tokoh politik yang terbabit dalam kes rasuah besar.

Untuk kemudahan anda semua, ERAKITA memetik kenyataan penuh akhbar berkenaan seperti berikut:

“Umum berpendapat perubahan Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menghasilkan keputusan diharapkan, sebaliknya lebih banyak kepincangan agensi itu didedahkan sejak kebelakangan ini. “Kes kematian Teoh Beng Hock ketika disoal siasat SPRM menimbulkan pelbagai persoalan berhubung kaedah operasi agensi ini, terutama cara mengendalikan soal siasat serta mengumpul bukti. “Selain itu, pihak berkuasa di sini juga didakwa pilih kasih ketika mengambil tindakan dan tidak bersikap saksama,” katanya pada sidang media mengumumkan Laporan Rasuah Global 2009 TI yang dikeluarkan di sini, semalam.

Laporan yang menjurus kepada isu rasuah dalam sektor swasta membabitkan maklum balas daripada 46 negara itu adalah penilaian awal kepada Barometer Rasuah Global, merangkumi laporan terperinci untuk setiap negara, yang akan diumumkan November ini. Low berkata, kedudukan Malaysia sekarang di kalangan negara serantau tidak boleh dianggap selesa kerana Indonesia sudah jauh mengatasi dengan 76 peratus rakyatnya berpuas hati dengan tindakan kerajaan mereka membanteras rasuah. Antara sebab utama, katanya, isu skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), ketiadaan tindakan susulan terhadap kes VK Lingam yang membabitkan campur tangan dalam pelantikan hakim dilihat rakyat sebagai pencabulan hubungan antara kerajaan, sektor awam dan swasta.

Beliau berkata, majoriti yang disoal selidik mahu hubungan sektor korporat, swasta, kerajaan dan ahli politik dipantau berterusan untuk memastikan mereka sentiasa dikawal selia bagi menjamin tiada amalan rasuah. “Tidak kurang juga yang mahu setiap sektor terbabit memperkenalkan dasar antirasuah di jabatan masing-masing selain telus mendedahkan segala bentuk sumbangan, baik dari segi politik, amal atau tanggungjawab sosial korporat (CSR). “Orang yang memberi sumbangan itu sudah tentu mengharapkan balasan, sekali gus menjadikannya satu bentuk rasuah. Sebarang tindakan mencabul kuasa yang diamanahkan untuk kepentingan atau manfaat peribadi adalah rasuah,” katanya. Jelas beliau, wakil rakyat dan penyokongnya tidak wajar menganggap jawatan yang dipegang sebagai lesen untuk ‘membuat duit’ manakala pihak berkuasa pula tidak boleh berpeluk tubuh jika mahu meyakinkan orang ramai bahawa kerajaan serius membanteras rasuah.

Laporan akhbar berkenaan semamangnya penting untuk diambil perhatian semua pihak. Ini kerana, laporan berkenaan dibuat oleh sebuah badan yang penting iaitu Transparency International (TI) yang turut membuat kajian di 46 buah negara lain. Laporan sedemikian juga boleh mempengaruhi persepsi negara luar terhadap negara kita, terutama sekali para pelabur yang sentiasa menitikberatkan aspek ketelusan, transperant, keselamatan perniagaan mereka.

Ironinya, negara jiran kita yang suatu ketika dahulu dilaporkan berada pada tahap kritikal indeks rasuahnya, Indonesia, kini dilihat jauh ke hadapan dalam soal pembenterasan gejala rasuah. Bayangkanlah, jika 70 peratus rresponden di Malaysia yang tidak berpuashati dengan usaha kerajaan mencegah rasuah di kalangan VVIP, keadaan di Indonesia adalah sebaliknya. Di sana, 76 peratus responden yang ditemui menyatakan rasa puashati mereka terhadap usaha kerajaan mereka mengatasi gejala rasuah. Hal ini perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.

Mengenai isu 70 peratus responden bosan dengan kegagalan kerajaan menangani rasuah di di kalangan VVIP, satu laporan akhbar yang disiarkan oleh Berita Harian bertarikh 28 September 2009 telah dikeluarkan. Walaupun laporan berkenaan tidak menyebutkan bahawa ia sebagai respon pihak SPRM terhadap laporan bertarikh 24 September 2009 itu, namun dapatlah difahami bahawa kenyataan akhbar SPRM itu berkemungkinan sebagai memperjelaskan isu ”KEBOSANAN” tersebut.

Dalam kenyataan akhbarnya, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed antara lain menyatakan seperti berikut:

  1. Antara faktor yang dikenalpasti sebagai punca utama mengapa kebanyakan kes berprofil tinggi yang dibawa oleh SPRM ke Mahkamah menemui kegagalan di peringkat pendakwaan atau rayuan ialah akibat saksi mengubah keterangan ketika prosiding mahkamah.
  2. Penelitian yang dijalankan mendapati bahawa ada saksi yang cenderung mengatakan bahawa mereka TERLUPA atau DENGAN SENGAJA MENIPU untuk mengelak daripada diasak dengan pelbagai soalan.
  3. Kerjasama saksi dalam kes pendakwaan sangat penting untuk mengukuhkan hujah pendakwaan. Tindakan saksi untuk tidak memberi kerjasama boleh menyebabkan kelancaran prosiding mahkamah terganggu.

Mengenai saksi yang memberi keterangan palsu di Mahkamah, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka. Dalam kes rasuah melibatkan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman yang juga mantan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Yusoff, SPRM telah mengambil tindakan tegas dengan mendakwa saksi kes berkenaan atas sebab menipu atau sengaja mengubah keterangan di Mahkamah.

Sebagai imbasan kembali, antara kes berprofil tinggi yang dibawa oleh SPRM tetapi gagal di mahkamah ialah melibatkan bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam. Beliau dilepas dan dibebaskan (discharged and acquited) di Mahkamah Tingggi atas dua tuduhan rasuah dan menipu membabitkan 16.8 juta saham 13 tahun yang lalu. Keadaan serupa berlaku dalam kes Datuk Saidin Thamby, bekas ADUN Paya Jeras. Beliau juga telah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini. Terkini, SPRM sedang berdepan dengan kes melibatkan VVIP di Ipoh, Perak. Dua VVIP yang yang menghadapi dakwaan rasuah itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi, 53, dan ADUN Changkat Jering, Mohd Osman Jailu, 57. Perbicaraan terhadap mereka bermula 28 September 2009 lalu.

Dalam Mahkamah, prinsip utama dalam kes pendakwaan ialah beban pembuktian adalah terletak di bahu pihak pendakwaan. Dalam konteks SPRM, SPRM adalah pihak pendakwa dan beban untuk membuktikan kes mereka di luar keraguan yang menasabah (BEYOND REASONABLE DOUBT) adalah terletak di bahu SPRM. Keterangan saksi-saksi di peringkat siasatan, suatu peringkat awal kes sebelum keputusan untuk mendakwa dilakukan sangat penting kepada pihak pendakwaan. Keterangan saksi-saksi tersebut penting untuk memastikan samada wujud bukti yang kukuh ke atas suspek (Tertuduh) dan apakah bentuk pertuduhan yang bakal dikemukakan kepada Mahkamah nanti.

Keterangan seimbang saksi di peringkat siasatan dengan keterangan mereka di peringkat pendakwaan di Mahkamah sangat signifikan. Percanggahan keterangan awal dengan keterangan di Mahkamah boleh menggugat kes pendakwaan. Cubalah bayangkan bagaimana kedudukan pendakwaan dari SPRM di Mahkamah apabila saksi pendakwa tiba-tiba mengubah keterangan mereka. Banyangkanlah apa yang berlaku apabila para saksi tiba-tiba memberi keterangan tidak tahu apabila ditanya oleh pendakwaraya dari SPRM semasa Examination in Chief atau pemeriksaan utama lagi sedangkan semasa proses siasatan terdahulu, saksi berkenaan mengatakan tahu?

ERAKITA percaya bahawa inilah antara dilemma yang dihadapi dalam kes SPRM di atas dan keadaan inilah yang seringkali berlaku dalam kes-kes lain. Jika keterangan saksi tidak menyokong kes pendakwaan, maka berlakulah keadaan di mana mahkamah akan memutuskan Tertuduh dilepas dan dibebaskan. Maknanya, di peringkat pendakwaan, jelas bahawa pihak pendakwa gagal membuktikan kes mereka. Dengan erti kata lain, Tertuduh tidak perlu lagi dipanggil untuk membela diri. Kes akan hanya berakhir di sini. Lainlah keadaannya kalau keterangan saksi pendakwa kukuh, sentiasa seimbang dan tidak bercanggah antara satu sama lain dari peringkat awal hingga akhir kes pendakwaan.

Jika kukuh, Mahkamah akan memutuskan bahawa Tertuduh dipangggil untuk membela diri. Di sinilah kita berjumpa dengan istilah ada kes PRIMA FACIE ke atas Tertuduh. Istilah ini digunakan Mahkamah apabila Mahkamah berpuashati dengan keterangan saksi-saksi kes pendakwaan. Kes Prima Facie melahirkan implikasi besar ke atas Tertuduh. Ia suatu keadaan di mana Tertuduh sudah boleh disabitkan bersalah oleh Mahkamah berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwa jika Tertuduh tidak membela diri atau tidak memberi sebarang respon terhadap kes pendakwaan setelah dipanggil membela diri.

Tugas utama Tertuduh apabila diperintahkan membela diri ialah berusaha sedaya upaya untk MENIMBULKAN KERAGUAN YANG MENASABAH terhadap kes pendakwaan. Itu saja. Sekiranya keterangan Tertuduh dan saksi-saksinya (jika ada) boleh menimbulkan keraguan yang dianggap menasabah, Mahkamah akan melepaskan tertuduh dari tuduhan. Jika keterangan pembelaan yang dikemukakan Tertuduh tidak menasabah atau tidak masuk akal, baharulah Tertuduh disabitkan bersalah oleh Mahkamah.

Demikianlah serba sedikit gambaran proses pendakwaan di Mahkamah secara umum. Proses pendakwaan yang berlaku di Mahkamah dalam kes jenayah jika difahami akan memudahkan kita membayangkan situasi yang dihadapi pihak SPRM di atas. Dalam Mahkamah, tidak akan ada sesiapa yang dapat menduga apa yang akan dinyatakan oleh saksi-saksi sewaktu memberi keterangan. Keterangan yang tidak diduga boleh saja terjadi. Keterangan mereka sangat penting untuk membolehkan Mahkamah membuat keputusan di penghujung kes.

ERAKITA mengajak anda semua untuk merenung hal ini dengan perasaan tenang dan positif. Semoga sedikit informasi di atas dapat memberi input berguna kepada anda. Apa-apapun, harapan kita sebagai rakyat Malaysia tercinta ini ialah semoga gejala rasuah di negara kita kalaupun tidak  dapat dihapuskan sepenuhnya, sekurang-kurangnya dapatlah juga dikurangkan dari semasa ke semasa. Sesungguhnya kita memerlukan saksi-saksi yang jujur dalam proses mencari keadilan.

Terlepas dari tuduhan rasuah di dunia tidak bermakna kita boleh terlepas dari pendakwaan di MAHKAMAH AKHIRAT kelak. Ingatlah bahawa proses keadilan di MAHKAMAH AKHIRAT sangat hebat. Jangankan manusia jadi saksi, segala anggota si Tertuduh seperti tangan dan kaki serta lain-lainnya menjadi saksi PALING JUJUR, IKHLAS dan TIADA UNSUR PENGKHIANATAN. Hakimnya pula bukan sebarang Hakim. Hakimnya adalah yang mencipta dunia, langit dan apa-apa yang wujud antara keduanya. Dialah ALLAH SWT.

 

INGATLAH!

TERLEPAS DI MAHKAMAH DUNIA TIDAK BERMAKNA TERLEPAS DI MAHKAMAH AKHIRAT

 

 

Advertisements

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 30 September 2009, in UNDANG-UNDANG. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: