KONFLIK RUMAHTANGGA: ada kisah untuk dikongsi

 

senyum kartun hee

  

Lawak dalam Konflik Rumahtangga

 

28 September 2009 

ERAKITA ingin berkongsi dengan anda satu kisah menarik melibatkan perihal rumahtangga. Kisah ini ERAKITA perolehi dari http://www.websabah.net/lawak-jenaka/957-konflik-suami-isteri.html baru-baru ini. ceritanya begini: 

Rumahtangga Minah dan Wahid selalu mengalami krisis. Tidak kira siang atau malam, mereka akan bertengkar. Setiap pertengkaran pastinya mengganggu jiran tetangga.

“Kalau aku mati, aku akan menjadi hantu dan mengorek tanah di depanku untuk keluar mencekik engkau,” terdengar pekikan si Wahid. Jiran yang mendengar terkejut besar dengan ugutan si Wahid terhadap isterinya kerana diketahui Wahid mempunyai ilmu hitam yang sangat luar biasanya. Beberapa hari berlalu. Wahid ditemui mati akibat mangsa langgar lari. Walaupun benci, tetapi sebagai isteri Minah tetap menguruskan pengebumian suaminya dengan baik. Seminggu selepas itu, jiran tetangga amat kehairanan melihat Minah yang langsung tidak merasa takut dengan ugutan suaminya dahulu. “Engkau tidak takut dengan sumpah suami kau dulu?” tanya jirannya.

“Tidak!” jawab Minah. “Biarkan saja dia mengorek tanah. Aku dah tanam dia menghadap ke bawah!”

Saudara, kisah di atas adalah kisah melibatkan konflik rumahtangga. Minah dan Wahid sebagai pasangan suami isteri mempunyai kelebihan tersendiri dalam soal gaduh suami isteri. Kelebihan mereka dari pasangan-pasangan lain ialah mereka MAMPU bertegang urat leher tanpa mengenal siang dan malam. Ironinya, pertengkaran mereka dapat didengar oleh jiran tetangga. Jika sudah suaranya tinggi, jiran siapa yang tidak dengar. Contoh jelas, cerita yang dipaparkan di atas sudah tentu datang dari jiran tetangga Wahid dan Minah sendiri. Jalan ceritanya pula jelas. Maknanya, setiap patah perkataan yang keluar dari mulut pasangan dapat didengar dengan jelas oleh jiran. Inilah kelebihan jiran mereka yang amat prihatin dengan sikap AMBIL PEDULI dengan karenah Wahid dan Minah. 

Adapun kisah pergaduhan dalam rumahtangga seperti di atas adalah perkara yang seringkali terjadi dalam masyarakat kita. Cuma, bahagian terakhir cerita di atas tidaklah boleh dijadikan sebagai satu cerita yang benar kerana sudah tentu sebagai orang Islam, mayat si mati akan dikebumi menurut cara Islam. Secara logik, takkanlah mayat suaminya ditanam dengan menghadapkan mukanya ke bawah. Ini bertentangan dengan syariat Islam yang mensyariatkan umatnya agar menghadapkan wajah mayat ke arah kiblat. Maknanya tidaklah mayat Islam itu ditanam dengan menghadapkannya ke bawah. 

Bagi ERAKITA, samada kisah di atas benar atau hanyalah cerita rekaan semata-mata, itu bukanlah isu utama. Yang penting di sini adalah betapa kisah di atas mempunyai signifikan tersendiri dalam kehidupan sebuah rumahtangga. Mengulas mengenai jiran yang bertanya kepada Minah dengan soalan “Engkau tidak takut dengan sumpah suami kau dulu?”, ERAKITA melihat bahawa soalan tersebut hanyalah kata-kata sinis atau sindiran kepada si isteri. Mungkin jiran itu agaknya sudah berani menegur sejak kematian suaminya. Maklumlah, sejak arwah suami pergi, tiada lagi REGU  si isteri untuk bertengkar. 

Kalau dulu, mungkin melihat wajah suaminya pun sudah membuatkan jiran takut, apatah lagi dengan kelebihan memiliki ilmu hitam yang dikatakan luar biasa. Siapalah jiran yang tak gerun kalau hidup berjiran dengan pengamal ilmu hitam yang luar biasa. Silap haribulan, macam-macam boleh berlaku. Setelah kematian suaminya, kini Minah hidup sendiri dan keadaan sudah menjadi sunyi. Jiran sudah rasa aman dan tiada lagi rasa takut. Sebab itu, jiran itu sudah berani bertanya kepada Minah dengan soalan di atas. 

Mengenai si Minah pula, jawapan yang diberikannya cukup menarik dan bersahaja apabila ia mengatakan “biarkan saja dia mengorek tanah tu, aku dah tanam dia menghadap ke bawah!”.  Bagi ERAKITA, jawapan itu adalah kata-kata azimat dan senjatanya untuk menamatkan sindiran jirannya itu. Mungkin juga isteri sudah malu atau mahu menutup mulut jirannya agar tidak terus menyindir atau memandang serong kepadanya Namun, bagi ERAKITA, si isteri dalam kes ini memang bijak memberikan jawapan untuk mematikan langkah jirannya dari berterusan memanjangkan cerita. 

Dari aspek lain, tindakan si isteri mengatakan  “biarkan saja dia mengorek tanah tu, aku dah tanam dia menghadap ke bawah!” merupakan kata-kata yang tidak sepatutnya dikeluarkan isteri terhadap arwah suaminya yang sudah pergi. Dalam kes ini, isteri masih lagi dalam tempoh eddah kematian suami. Tempoh berkabunglah katakan. Sepatutnya waktu itu adalah waktu kesedihan dan amat dianjurkan pula dalam Islam untuk mengenang dan memperkatakan segala kebaikan yang pernah dilakukan oleh arwah suaminya. Nampak gayanya, isteri masih lagi ada perasaan benci dan marah kepada suaminya. Kata-katanya langsung tidak menggambarkan bahawa ia memaafkan kesilapan dan kesalahan suaminya atau sekurang-kurangnya menghormati suaminya yang telahpun pergi buat selama-lamanya. 

ERAKITA percaya bahawa sekiranya kata-kata seperti itu terkeluar dari mulut seorang isteri yang baru kematian suaminya, itulah tandanya bahawa keadaan rumahtangga mereka begitu kronik semasa si suami masih hidup. Kalau sudah berani bertegang urat depan jiran, apatah lagi jika mereka hanya berdua. ERAKITA percaya bahawa bukan setakat kata-kata dengan suara tinggi sahaja yang keluar, bahkan penampar dan sepak terajang juga hampir pasti menjadi ramuan dan sajian harian mereka berdua sewaktu hidup bersama. 

ERAKITA secara peribadi sering berhadapan dengan “GOLONGAN” seperti ini sepanjang berkarier dalam bidang perundangan lebih 10 tahun. Sekadar berkongsi pengalaman, ketika ERAKITA mengajukan soalan kepada golongan berkenaan iaitu sudah berapa kali isteri dipukul  suami, jawapan yang diberikan cukup mengejutkan. Katanya “Jangankan sepuluh kali atau 20 kali atau 100 kali!. Selama kami kahwin hampir 20 tahun, boleh dikatakan hari-hari saya kena maki, hari-hari penamparnya sampai ke muka saya, hari-hari perkataan seperti BODOH, PALUI, BAHALUL, TIADA OTAK, BABI dan macam-macam lagi kata-kata teruk dilemparkan kepada saya”. Kata-kata makian dan pukulan suami ke atas isteri tidak mengenal masa dan tempat. Bagi anak-anak mereka, hal sedemikian sudah menjadi makanan harian mata dan telinga mereka. Suara tinggi dan keras dari orang tua sudah menjadi nyanyian harian secara percuma tanpa muzik untuk anak-anak mereka. 

Saudara, kisah di atas hanyalah sekelumit dari kisah yang ada dalam rumahtangga masyarakat kita. ERAKITA mengajak anda semua untuk merenungnya dan membandingkan dengan apa yang kita lalui sendiri dalam kehidupan kita. Soalan ERAKITA ialah, pernahkah anda menemui kes seperti di atas? Atau adakah anda pernah atau sedang menjadi watak dalam kisah di atas ketika ini?.

Satu ingatan penting, jika kita ingin supaya isteri kita sentiasa mengenang budi baik kita selepas kematian kita ialah, elakkanlah berbuat jahat kepada pasangan kita. Elakkanlah memaki hamun pasangan kita. Elakkanlah menggunakan tangan dan kaki kita untuk memukul pasangan kita. Elakkanlah dari menggunakan KUASA VETO yang ada pada kita sebagai suami sewenang-wenangnya. 5 kuasa besar DUNIA seperti USA, RUSSIA, CHINA, FRANCE dan BRITIAN juga tidak akan menggunakan KUASA VETO mereka di PBB sewenang-wenangnya tanpa terlebih dahulu menimbang dan mengambilkira pelbagai aspek dan keadaan. Jika tidak, kita akan mengalami kes serupa dengan Wahid dan Minah di atas. 

Antara pengajaran lain yang patut diambil dari kisah di atas antaranya: Tingkatkanlah ilmu pengetahuan agama dan ilmu rumahtangga. Di samping itu, kerjakanlah kewajipan utama seperti solat 5 waktu. ERAKITA mempunyai kepercayaan bahawa pasangan di atas tidak menunaikan kewajipan solat 5 waktu berdasarkan pengalaman ERAKITA sewaktu berhadapan dengan kes-kes seumpamanya selama ini. Kesabaran dan rasa belas kasihan mesti ditanamkan dalam diri pasangan masing-masing. Hormatilah jiran kita. Janganlah disebabkan perbuatan kita, orang lain tidak dapat tidur lena. Ingatlah bahawa adakalanya kematian kita merupakan satu kegembiraan bagi orang lain kerana kepergian kita bermakna suatu rahmat dan keamanan bagi orang lain. Aman di sini maksudnya, aman dari kejahatan tingkah laku kita. 

Dari aspek lain, andaikata Wahid dan Minah mempunyai anak-anak yang tinggal serumah, bagaimanalah agaknya sikap dan tingkah laku anak-anak mereka yang membesar bersama pertengkaran, makian, pukulan dan pelbagai lagi perbuatan negatif ibu bapa mereka? Apakah mereka boleh menjadi anak yang soleh? Apakah anak boleh berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran? Apakah anak-anak itu akan menghormati orang tuanya? Apakah anak-anak itu merasa aman dan tenang di rumah? Apakah anak-anak bangga membawa rakan-rakannya ke rumah mereka dalam keadaan seperti itu? Apakah anak-anak memiliki sifat-sifat luhur? Jawapannya ada dalam fikiran masing-masing.

ERAKITA mengajak anda semua untuk merenung kisah ini. Semoga ia jadi tauladan yang berguna kepada kita dalam pelayaran bahtera RUMAHTANGGA.

  

“HIDUP BERAGAMA MELAHIRKAN RUMAHTANGGA BAHAGIA”

 

 

Advertisements

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 28 September 2009, in Uncategorized. Bookmark the permalink. 2 Komen.

  1. cerita ni….buat sy bpkir ada ke watak sy….sy hnya inginkn hdp y lbh bahgia

    • Salam.. Terimakasih atas lontaran rasa Mashuri di atas. ERAKITA doakan semoga anda sentiasa berada dalam lindungan Allah, hidup aman dan damai. Keluarga tenang dan diberkati Allah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: