TIDAK SOLAT JUMAAT & 5 WAKTU BOLEH KENA PENJARA?

 

 tasbih dan ilmu

 

 KESALAHAN JENAYAH SYARIAH TIDAK TUNAIKAN SOLAT

  15 September 2009

 

 

 

Menurut Seksyen 48 (1) dan (2) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Sabah 1995 (EKJS), kegagalan seorang lelaki Muslim menunaikan solat jumaat 3 kali berturut-turut tanpa uzur syarie merupakan satu kesalahan jenayah syariah. Begitu juga halnya dengan kegagalan menunaikan Solat 5 waktu samada lelaki mahupun perempuan. Sayugia di bawah ini penulis perturunkan petikan undang-undang berkenaan untuk tatapan bersama.  

 

 

 

OFFENCES 

 

PART IV 

 

(2)      Any Muslim who without uzur syarie intentionally disregards his obligation to perform prayer five times a day, shall be guilty of an offence and shall, on conviction, be liable to a fine not exceeding one thousand ringgit or to imprisonment for a term not exceeding six months or to both.    

48.      Failure to perform Friday prayer or prayer five times a day.    

(1)      Any male who has attained puberty and who fails to attend Friday Prayer in the mosque of his kariah for three consecutive occasions without uzur syarie shall be guilty of an offence and shall, on conviction, be liable to a fine not exceeding one thousand ringgit or to imprisonment for a term not exceeding six months or to both. 

Berdasarkan kepada Seksyen 48 EKJS di atas, terdapat 2 jenis kesalahan berkaitan kegagalan menunaikan kewajipan solat iaitu solat jumaat dan solat 5 waktu. Kegagalan menunaikan solat jumaat 3 kali berturut-turut di masjid dalam kariahnya tanpa uzur syarie atau sebab-sebab yang dibenarkan oleh syarak merupakan satu kesalahan jenayah syariah. Kesalahan ini walau bagaimanapun dikhususkan untuk lelaki yang telah mukallaf sahaja. Dengan erti kata lain, undang-undang ini hanya tertakluk kepada lelaki yang sudah mencapai tahap baligh. Untuk kesalahan tidak mengerjakan solat jumaat di atas, hukuman yang boleh dikenakan oleh Mahkamah Syariah kepada pesalah ialah denda tidak lebih RM1,000 atau Penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali. 

Kesalahan kedua pula ialah gagal menunaikan kewajipan solat 5 waktu dengan sengaja. Menurut seksyen 48 (2) EKJS, undang-undang ini bukan hanya terbatas kepada lelaki sahaja. Malah, wanita juga tidak terkecuali. Walau bagaimanapun, undang-undang juga menyediakan panduan iaitu kegagalan menunaikan solat 5 waktu ini mestilah pula dilakukan tanpa ada uzur syarie atau sebab-sebab yang dibenarkan oleh Syarak. 

Ini bermakna, bagi mana-mana orang Islam yang mempunyai keuzuran yang dibenarkan oleh Syarak, seperti kedatangan haid atau nifas bagi wanita, undang-undang ini tidaklah pula terpakai kerana hukum syarak secara terang dan nyata tidak mewajibkan golongan ini mengerjakan solat ketika itu. Menurut seksyen 48 (2) EKJS di atas, sekiranya tertuduh disabitkan salah, Mahkamah Syariah boleh mengenakan hukuman ke atasnya dengan denda tidak lebih RM1,000 atau Penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali. 

Setakat yang penulis ketahui, belum pernah lagi mana-mana orang Islam di Negeri Sabah yang pernah disabitkan bersalah kerana gagal menunaikan solat Jumaat 3 kali berturut-turut tanpa uzur Syarie mahupun gagal menunaikan solat 5 waktu. Sekiranya ada yang disabitkan atas kesalahan tersebut dan dihukum samada denda atau penjara, penulis tidaklah terkejut jika nanti ada kata-kata sinis atau protes dari mana-mana pihak berkenaan atas hukuman Mahkamah sebagaimana kes minum arak di Pahang melibatkan Kartika Sari Dewi. 

Alasan seperti melanggar hak peribadi individu atau kebebasan untuk mengamalkan ajaran agama tidak mustahil untuk digunakan oleh pihak-pihak tertentu. Mungkin juga akan ada kata-kata seperti “soal saya solat atau tidak, itu hak saya. Soal dosa atau pahala itu saya tanggung sendiri. Yang penting saya tidak kacau orang lain, tidak ganggu orang lain, tidak ambil hak orang lain. Soal masuk syurga atau neraka juga itu saya punya pasal!”. 

Tidaklah mustahil kata-kata seperti ini keluar dari orang-orang yang tidak bersetuju atau menentang kewujudan peraturan tersebut. Tambahan pula, jawapan seperti di atas bukan sesuatu yang asing bagi kita mendengarnya dari orang-orang Islam kalangan kita sendiri apabila ditegur atau diajak untuk menunaikan solat. Jawapan spontan yang “CANGGIH” itu tidak mengira datang dari siapa. Ia boleh saja datang dari orang-orang terdekat kita sendiri. Ia boleh saja datang dari orang yang berpendidikan setinggi-tingginya atau langsung tiada pendidikan. Memang diakui, jawapan sebegini tidak memerlukan seseorang itu berpendidikan atau berpelajaran tinggi.Ia adalah jawapan yang universal dan “BOLEH”dipakai oleh siapa saja yang merasakan bahawa ianya senjata ampuh untuk mematikan teguran atau ajakan dari Muslim yang prihatin mengenai kewajipan solat. 

Sebagai saudara seagama, ERAKITA ingin berkongsi kata-kata ini. Solat adalah tiang agama. Solat adalah perkara pertama akan ditanya pada hari Akhirat kelak. Solat merupakan satu-satunya syariat yang diterima secara langsung oleh Rasulullah SAW dari Allah SWT dalam peristiwa bersejarah dan gemilang iaitu Isra’ dan Mi’raj. Al-Quran juga merakamkan bagaimana solat ini dapat mencegah seseorang dari melakukan kejahatan dan kemungkaran. Solat juga adalah satu-satunya ibadat yang tidak boleh ditinggalkan sama sekali walau dalam apa keadaan bagi lelaki yang telah mukallaf sehingga ke saat rohnya berpisah dari jasad. 

Dengan sebab itu, Allah memberikan kelonggaran sebagai bentuk kemudahan atau rukhsah kepada umat Islam untuk menunaikannya dalam pelbagai cara menurut keadaan dan suasana seseorang. Ketiadaan air bukan halangan meninggalkannya apabila Islam membenarkan seseorang Muslim bertayamum. 4 rakaat menjadi dua dan 2 waktu yang berbeza dapat pula gabungkan dan dikerjakan dalam satu masa samada diawalkan atau diakhirkan ketika seseorang Muslim menghadapi masyaqqah atau kesulitan seperti bermusafir atau dalam perjalanan yang jauh. 

Allah pula telah menekankan kewajipan solat berulang-ulang kali menerusinya kalam-Nya dalam al-Quran. Bukan setakat itu, solat juga menjadi pra syarat bagi seorang Islam untuk menjadi orang yang bertaqwa. Dan, mencapai tahap taqwa amat penting kerana ia adalah wasilah untuk mengecapi kejayaan dan nikmat di akhirat. Galilah ilmu dalam al-Quran dan kita akan dapati betapa banyaknya ayat-ayat suci di sana yang menegaskan bahawa orang-orang yang bertaqwa itu telah dijanjikan dengan nikmat syurga. Syurga yang kenikmatannya tidak pernah terlihat oleh mata kasar, tidak pernah terdengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas di dalam hati manusia. 

Pokok pangkalnya ialah solat. Tanpa mengerjakan solat, mustahil orang itu menjadi orang bertaqwa kerana solat itu sendiri telah diiystiharkan sebagai tiang kepada agama Islam. Bagaimana mungkin orang itu mendakwa dirinya baik sedangkan ia tidak mengerjakan solat? Bukankah apabila ia tidak mengerjakan solat, ia sebenarnya sedang melangar perintah dari Allah? Bukankah melanggar perintah Allah itu namanya tidak patuh, tidak ikut arahan, degil, sombong dan bongkak di hadapan Allah setelah Allah memberikan segala nikmat kepadanya? Apakah ia tidak patut berterimakasih kepada Allah setelah Allah mengurniakan banyak nikmat kepadanya? 

Tidakkah ia sedar bahawa matanya yang celik itu nikmat anugerah Allah? Tidakkah ia sedar bahawa telinga yang mendengar itu pemberian Allah? Tidakkah ia sedar bahawa kakinya yang dapat melangkah pemberian Allah? Tidakkah ia sedar bahawa mulutnya yang pandai bersuara nikmat Allah? Tidakkah wajahnya yang indah dan cantik itu nikmat dari Allah? Dan tidakkah ia sedar bahawa hayatnya yang masih ada sedang orang lain sudah tiada adalah nikmat Allah? Tidakkah ia sedar nikmat ini semua datang dari Allah? 

Kalaulah ia sedar ini semua, pastilah ia dengan sendirinya akan akur bahawa ia wajib berterimakasih kepada Allah. Tetapi, mengapa bila Allah suruh solat untuk 5 kali sehari sahaja yang hanya mengambil beberapa minit sahaja, ia sudah engkar? Tidakkah apabila ia engkar perintah Allah ini, ia sebenar-benarnya berada dalam kesombongan, tidak bersyukur, tidak pandai menghargai pemberian dari Allah SWT? Kalau beginilah kedudukannya, apakah tepat jawapannya apabila ia mengatakan bahawa walaupun tidak solat, ia tetap orang baik kerana tidak menyusahkan orang lain, tidak ambil hak orang lain, tetap menunaikan kewajipan seperti menyediakan tempat tinggal dan nafkah kepada keluarganya dan pelbagai lagi kebaikan yang dilakukannya? 

Saudara, walau apapun alasan yang diberikan untuk untuk mempertikaikan undang-undang yang ada, pokoknya, undang-undang tetap undang-undang! Peraturan tetap peraturan! Sebaik suatu undang-undang bertulis diwartakan oleh pemerintah, semua orang adalah tertakluk kepada peraturan dan undang-undang. Prinsip asas dalam undang-undang ialah “ignorance of law is no excuse”. Atau dengan kata lain, ketiadaan pengetahuan tentang kewujudan suatu undang-undang itu tidak ada pengecualiannya. Apabila undang-undang diluluskan dan diwartakan, sewajarnya undang-undang itu juga dihebahkan kepada masyarakat agar masyarakat mengetahuinya. Masyarakat yang celik undang-undang adalah masyarakat yang hidup dengan peraturan dan disiplin yang tinggi. 

ERAKITA mengharapkan agar tulisan ini dapat menggerakkan peningkatan pengetahuan masyarakat mengenai undang-undang dan peraturan-peraturan yang sedang berkuatkuasa di tanah air kita khususnya perkara-perkara yang berkaitan dengan perundangan Islam.

  

SOLAT MENJANA INSAN GEMILANG DUNIA & AKHIRAT

  

Advertisements

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 15 September 2009, in AGAMA, UNDANG-UNDANG. Bookmark the permalink. 2 Komen.

  1. saya telah membaca hujahan penulis tersebut. Saya juga telah meninjau perkara ini dan telah membuat beberapa semakan. Untuk pengetahuan penulis, memang benar terdapat peruntukan yang menyatakan bahawa jika orang muslim tidak menunaikan solat akan dikenakan denda atau penjara atau kedua- duanya sekali. Namun demikian, sebelum hukuman tersebut diberikan oleh pihak Mahakamah, tangkapan perlu dilakukan. Malangnya, usaha untuk membuat tangkapan atau operasi tersebut agak sukar dijalankan.
    Saya yakin dan percaya bahawa penulis sendiri mengetahui muslim yang tidak menunaikan solat jumaat selama 3 hari beturut-turut boleh dikira sebagai telah kufur. Begitu juga dalam peruntukan yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri di seluruh malaysia. Bagaimanakah untuk kita pastikan bahawa muslim tersebut telah 3 kali gagal menunaikan solat Jumaat? Adakah mereka ini musafir? Sedangkan kita telah mengetahui org yang musafir dibenarkan dan diringan kn daripada menunaikan solat jumaat. Jadi, di manakah silapnya. Saya berpandangan kerajaan malaysia perlu melakukan sesuatu bagi gejala yang tidak sihat ini khusus kepada masyarakat yang beragama Islam.

    • Assalamualaykum wbt.

      ERAKITA mengucapkan terimakasih atas ulasan Nazrul Aini di atas. Persoalan yang dilontarkan amat menarik. Bagaimana nak melaksanakan undang-undang tersebut? Dalam hal ini, menurut undang-undang, mana-mana kesalahan yang mana hukuman dendanya tidak melebihi RM1,000 adalah tergolong dalam senarai kesalahan yang tak boleh tangkap tanpa waran. Ini bermakna, bagi kesalah tak solat jumaat atau tidak tunaikan solat 5 waktu sebagaimana dalam seksyen 48 di atas,tangkapan tidak boleh dilakukan ke atas pelaku tanpa adanya waran tangkap dari Mahkamah.

      Apa yang perlu dilakukan ialah, sesiapa sahaja yang mengetahui hal tersebut boleh membuat laporan bertulis kepada pihak Penguatkuasa Agama yang terdekat. Laporan harus dibuat terlebih dahulu, bukannya tangkapan terus ke atas diri si pelaku. Selepas menerima aduan atau laporan, baharulah pihak Penguatkuasa Agama memulakan siasatan. Si pelaku termasuklah mana-mana orang yang berkaitan akan dipanggil untuk melengkapkan siasatan. Jika si pelaku tak hadir, suatu waran tangkap boleh diperolehi dari Mahkamah.

      Jika siasatan lengkap, baharulah keputusan akan dibuat samada si pelaku didakwa di bawah seksyen 48 atau dilepaskan. Dalam hal ini, tuduhan tidak solat jumaat (tanpa uzur syarie) boleh dibuktikan melalui saksi-saksi yang melihat sendiri si tertuduh tidak solat. Saksi-saksi dari kalangan wanita mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk dikemukakan sebagai saksi pendakwaan. Ini kerana mereka yang lazimnya mengetahui hal ini kerana mereka tidak solat jumaat.

      Dengan erti kata lain, tidak ada masalah sebenarnya dari segi pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang ini. Apa yang penting ialah adanya aduan bertulis, siasatan lengkap dan seterusnya keputusan samada nak dakwa atau tidak. Jika cukup bukti, pendakwaan boleh diteruskan. Jika tak cukup bukti, kes tidak akan diteruskan.

      Wallahu a’lam

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: