SAUDARA BARU ATAU SAUDARA KITA?

 

bunga canggih

 

SELAMAT DATANG SAUDARA KITA

 

10 September 2009

Tulisan penulis ini pernah disiarkan dalam blog http://pustakaalghazali.wordpress.com pada 7hb. Ogos 2009 berikutan respon penulis kepada sebuah artikel yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian pada 5hb. Ogos 2009. Artikel itu bertajuk Saudara Kita-Istilah Lebih Sesuai. Atas keizinan pustakaalghazali, penulis berbesar hati untuk menyiarkan semula tulisan ini untuk tatapan anda semua di blog ini. Beberapa penambahan dibuat pada bahagian-bahagian berkaitan dalam tulisan ini agar ia lebih terkini.

Penggunaan istilah “Saudara Kita” sebagai rujukan kepada “Saudara baru” memang kena pada tempatnya. Istilah ini lebih bersifat universal, mempunyai nilai-nilai sejagat dan berunsur sikap menerima seadanya golongan ini ke dalam kelompok kita tanpa sebarang syarat atau prasangka. Sekali mereka melafazkan kalimah suci (Syahadatain), mereka adalah saudara kita, saudara seagama kita. Istilah “Saudara Kita” dapat menyingkirkan rasa skeptikal mereka terhadap status mereka sebagai orang baru dalam agama ini.

Panggilan “Saudara Kita” membuatkan mereka yakin bahawa mereka benar-benar diterima dan berada dalam kelompok umat Islam tanpa mengira samada mereka itu orang lama atau baru. Panggilan “Saudara Kita” juga dapat melenyapkan rasa rendah diri serta serba kekurangan di kalangan mereka yang baru memeluk Islam. Penulis difahamkan bahawa pendekatan institusi agama di Malaysia ketika ini ialah menekankan penggunaan istilah “Saudara Kita” berbanding “Saudara baru”.

Untuk tujuan perundangan, pemakaian istilah “Muallaf” tidak dapat dielakkan. Perkataan Muallaf telah dikanunkan melalui Enakmen Majlis Ugama Islam Negeri Sabah (EMUIS), 2004. Dalam Bahagian VI di bawah tajuk Memeluk Agama Islam, bermula Seksyen 69-79, golongan Saudara Kita ini disebut sebagai Muallaf. Sukacita dinyatakan di bawah ini Seksyen berkaitan yang menjelaskan tafsiran Muallaf dan tanggungjawap mereka:

Seksyen 70 EKMUIS 2004 berbunyi: Seseorang itu memeluk agama Islam dan menjadi orang Islam sebaik-baik sahaja dia habis mengucap kalimah Syahadah dengan syarat bahawa kehendak-kehendak seksyen 69 adalah dipenuhi; dan orang itu selepas itu disebut Muallaf.

Seksyen 71 EKMUIS 2004 berbunyi: Dari saat pemelukannya, seorang Muallaf menjadi tertakluk kepada tugas-tugas dan kewajipab-kewajipan yang sama seperti mana-mana orang Islam.

Seksyen 72 EKMUIS 2004 berbunyi: Majlis (MUIS) hendaklah melantik seorang Pendaftar Muallaf untuk menyengarakan suatu daftar Muallaf dalam bentuk yang ditetapkan untuk pendaftaran Muallaf.

Berbalik kepada istilah Muallaf, ternyata bahawa 3 seksyen yang disebutkan di atas sudah cukup untuk menyatakan bahawa penggunaan istilah Muallaf kepada mereka yang memeluk agama Islam adalah muktamad untuk tujuan perundangan. Tujuan perundangan ini bermaksud bahawa mereka ini mempunyai tugas dan kewajipan yang sama dengan umat Islam yang sedia ada di Negeri ini. Maknanya, mereka dilindungi undang-undang dan tertakluk kepada undang-undang untuk apa jua tindakan atau perbuatan mereka.

Dari segi hukum dan undang-undang, mereka berhak mendapat hak mereka seperti zakat dan lain-lain lagi menurut Syarak dan undang-undang. Andai mereka melanggar undang-undang seperti berkhalwat, meminum arak, berzina dan sebagainya, mereka juga boleh dikenakan tindakan perundangan seperti didakwa di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (EKJS) Negeri Sabah, 1995. Tidak ada bezanya dengan umat Islam lain yang lahir dalam Islam atau telah lama memeluk Islam.

Berhubung istilah Saudara Kita, penulis melihat bahawa penggunaan istilah ini dalam konteks zaman kini adalah lebih sesuai untuk golongan ini. Tambahan lagi, ia sesuai dengan maksud seksyen 71 di atas yang memperuntukkan bahawa kewajiban dan tanggungjawap mereka sebaik menjadi orang Islam adalah sama saja dengan orang-orang Islam yang telah sedia ada.

Untuk melanjutkan lagi cerita mengenai istilah Saudara Kita, mari kita bermain dengan soalan berikut. Mana yang lebih anda sukai untuk dipanggil apabila kawan anda memperkenalkan anda kepada kawan-kawannya dalam satu majlis? Contohnya begini:

“Perkenalkan, ini Ahli baru Kita”

“Perkenalkan, ini Ahli Kita”

“Perkenalkan, ini Orang Baru Kita”

“Perkenalkan, ini Orang Kita”

Sekiranya penulis di minta untuk memilih mana satu panggilan di atas yang disukai, secara peribadi, penulis lebih menyukai pangilan seperti “Ahli Kita” dan “Orang Kita”. Ini kerana, panggilan-panggilan seumpama itu lebih ringan dan mesra. Orang seni kita yang unik seperti Ampal (Abu Bakar Ella) juga tanpa was-was telah menggunakan tajuk lagu dan filemnya dengan ”Orang Kita”.

Penyanyi tanah air terkenal seperti Saleem (IKLIM) juga memilih untuk mendendangkan lagu “Ganu Kite”. Malahan bagi kebanyakan orang Sabah juga menggunakan kata “KITA” apabila bercakap dengan seseorang secara terhormat dan sopan. Ungkapan “KITA” biasanya digunakan sebagai kata ganti nama orang kedua yang belum dikenali atau baru dikenali.

Contoh ayat yang biasa kita dengar ialah “kita dari mana?” atau “nama kita siapa?” atau “kita cari siapa?” atau jika di restoran, ayat seperti “kita mau makan apa?”. Ucapan-ucapan seperti ini dianggap sebagai ungkapan-ungkapan yang manis dan dikira berbudi bahasa.

Istilah “Orang Kita” atau “Saudara Kita” ini kelihatan lebih universal, bersifat kekitaan dan harmoni tanpa melihat perbezaan dari segi rupa, pangkat, kedudukan, warna kulit dan bangsa. Begitulah juga halnya dengan penggunaan istilah ”Saudara Kita” yang memiliki ciri-ciri di atas berbanding istilah “Saudara Baru”.

Dalam kesempatan ini, penulis ingin berkongsi maklumat bahawa dalam konteks Negeri Sabah, program pemantapan ilmu kepada Saudara Kita sedang berjalan lancar di bawah program TERATAK FITRAH di bawah seliaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).  Program kelas hujung minggu yang bermula di Kota Kinabalu ini kini diadakan di beberapa tempat di seluruh Sabah. Untuk memantapkan lagi perjalanan program tersebut, satu organisasi yang lebih bersepadu telah diwujudkan dengan penubuhan PERTUBUHAN KEBAJIKAN SAUDARA KITA (SAHABAT). 

Fungsi utama SAHABAT ialah mencari DANA untuk survival Pusat Bimbingan Teratak Fitrah, Rumah Kebajikan Likas dan menggerakkan Khidmat Sosial (amal jariah) serta memenuhi objektif penubuhan SAHABAT. Pusat ini mendapat dokongan yang padu dari JHEAINS, JAKIM, Pusat Zakat Sabah-PZS (MUIS), CONCERN (Majlis Gabungan NGO Islam Sabah), NGO, pendakwah bebas dan lain-lain. SAHABAT boleh dihubungi di teratakfitrah@yahoo.com dan keterangan lanjut mengenainya boleh diperolehi dalam blognya di alamat http://www.teratakfitrah.blogspot.com

Berkaitan Saudara Kita dan gerakan dakwah Islamiah di Sabah, sayugia penulis menyenaraikan beberapa blog yang menarik dan padat dengan informasi mengenai gerakan dakwah dan hal-hal yang berkaitan dengan Saudara Kita di Sabah. Antara blog yang berkaitan boleh dilawati di alamat http://nazri-suaramualaf.blogspot.com, http://abunuha.wordpress.com,  http://www.jjamarchon.blogspot.com, http://pustakaalghazali.wordpress.com, http://www.sabah.org.my/amalsabah, http://siswazabah.blogspot.com, http://psskb.blogspot.com  dan beberapa lagi yang lain yang tidak dapat disebutkan di sini. 

Ini belum lagi diambil kira peranan- peranan organisasi Islam yang besar seperti USIA, JHEAINS, MUIS, JAKIM, YADIM dan YAPEIM cawangan Sabah yang begitu besar peranannya dalam menyemarakkan gerakan dakwah Islamiah termasuk golongan Saudara Kita di Negeri di Bawah Bayu ini. 

Penulis mengambil kesempatan di sini untuk mengundang anda semua untuk mengunjungi blog-blog di atas dan beberapa blog berkaitan lain yang mungkin tidak tersenarai di sini. Maklumat-maklumat terkini mengenai perkembangan dakwah Islamiah di Sabah boleh diperolehi dalam blog-blog tersebut selain mendapatkan maklumat utama dari organisasi besar seperti JHEAINS dan lain-lain yang disebutkan di atas. Semoga maklumat ini memberi manfaat yang banyak kepada anda semua.  

 

SELAMAT DATANG SAUDARA-SAUDARA KITA

dan

SELAMAT MENZIARAHI BLOG-BLOG DI ATAS

 

Advertisements

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 10 September 2009, in AGAMA. Bookmark the permalink. 1 Komen.

  1. Asslamuhalaikum.. boleh tolong faham kan saya tentang borang maklumat peribadi dan ms26 & affdavit bahagian kes mal dan perinta ?? Saya muallaf dan saya tiada keluarga islam sebap itu saya memohon untuk wali hakim..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: