KARTIKA SARI & 6 SEBATAN

 

Kartika Sari ketika di Mahkamah Syariah Pahang
Kartika Sari ketika di Mahkamah Syariah Pahang. Gambar dipetik dari http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2009/7/21/courts/4358277&sec=courts
Kekecewaan jelas terserlah di wajah bapa Kartika (Tengah) dan Kartika (bertudung) yang dikerumuni wartawan setelah hukuman sebat ditangguhkan. Gambar dipertik dari http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0825&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm
Kekecewaan jelas terserlah di wajah bapa Kartika (Tengah) dan Kartika (bertudung) yang dikerumuni wartawan setelah hukuman sebat ditangguhkan. Gambar dipetik dari http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0825&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

 

KARTIKA & 6 SEBATAN: BAGAIMANA KITA MELIHATNYA?

Hukuman dengan 6 kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan Pahang pada 20 Julai 2009 ke atas seorang Model Sambilan tempatan bernama Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, telah mengundang pelbagai reaksi dari pelbagai lapisan masyarakat. Kartika disabitkan bersalah setelah mengaku salah atas perbuatan meminum minuman keras atau arak. Mahkamah antara lainnya telah menjatuhkan hukuman dengan 6 kali sebatan ke atas Kartika. 

Apa yang menarik perhatian dalam kes ini ialah bukannya mengenai jenis kesalahan yang dilakukan Kartika. Yang menarik perhatian ialah bentuk hukuman yang dikenakan ke atas Kartika. Pelbagai reaksi dan komentar telah diberikan. Ada yang menyokong dan ada yang mengkritik. Lebih menarik ialah, bilamana reaksi kurang senang mengenai hukuman itu turut datang dari pihak yang mempunyai kuasa eksekutif dan autoriti membuat undang-undang. 

Perlu diingat bahawa undang-undang yang dirujuk oleh Mahkamah Sivil mahupun Mahkamah Syariah adalah undang-undang yang dibuat oleh badan legislatif. Badan legislatif adalah badan perundangan yang dianggotai oleh individu-individu yang dipilih oleh rakyat semasa pilihanraya yang diadakan sekali dalam tempoh 5 tahun. Dengan kata lain, mereka adalah individu yang bergelar Wakil Rakyat atau Yang Berhormat (YB). 

Apabila mencapai 2/3 majoriti di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri, suatu undang-undang dapat diluluskan tanpa sebarang masalah. Undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat di Parlimen dinamakan AKTA. Undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) dinamakan ENAKMEN atau ORDINAN. Undang-undang tersebut perlu diusulkan dan dibahaskan terlebih dahulu di Dewan sebelum ianya diluluskan menjadi undang-undang bertulis. 

Sebagai undang-undang tertinggi dalam negara, Perlembagaan Malaysia telah memperuntukkan bidangkuasa membuat undang-undang kepada Parlimen dan Negeri. Menurut Jadual 9 Perlembagaan, terdapat 2 senarai yang menyatakan perkara-perkara yang jatuh di bawah bidangkuasa masing-masing. Senarai 1 adalah perkara-perkara yang jatuh di bawah bidangkuasa persekutuan. Ia dinamakan Senarai Persekutuan. Manakala Senarai II pula ialah perkara-perkara yang jatuh di bawah bidangkuasa negeri-negeri sahaja. Ia dinamakan Senarai Negeri. 

Jika dilihat Senarai Negeri, jelas bahawa perkara berkaitan AGAMA terletak di bawah bidangkuasa Negeri. Ini bermakna bahawa, hanya Dewan Undangan Negeri sesebuah negeri sahaja yang boleh membuat undang-undang berkaitan perkara agama yang disenaraikan itu kecuali Wilayah Persekutuan. Berbalik kepada kes Kartika di Pahang, undang-undang yang dirujuk oleh Pegawai Penguatkuasa Agama, Jabatan Agama Islam Pahang ketika membuat tangkapan dan siasatan ke atas Kartika adalah undang-undang yang dibuat dan diluluskan oleh DUN Pahang.

Pendakwaan dijalankan oleh Pendakwa Syarie Negeri juga berdasarkan undang-undang yang diluluskan DUN Pahang. Ketika menjatuhkan hukuman, undang-undang yang dirujuk oleh Mahkamah Syariah adalah undang-undang yang dibuat dan diluluskan oleh DUN Pahang. Pendeknya, semua proses perundangan yang digunakan adalah berdasarkan kepada undang-undang yang dibuat dan diluluskan oleh DUN Pahang. 

Walaupun begitu, agak menghairankan juga bila melihat reaksi pelbagai pihak yang kelihatannya mempertikaikan hukuman sedemikian rupa. Ketika undang-undang dibuat dan diluluskan yang memperuntukkan bahawa seorang Islam yang disabitkan bersalah atas kesalahan meminum arak boleh dikenakan hukuman tidak lebih 6 kali sebatan, tidak ada pula kedengaran suara-suara lantang atau sinis yang mempertikaikannya. Namun, bila dilaksanakan, kedengaranlah suara-suara yang tidak begitu sedap didengar. 

Bahkan, ada suara dari badan Peguam berkaitan yang terang-terangan mencadangkan untuk memansuhkan sahaja hukuman berbentuk sebatan untuk mana-mana kesalahan. Kita tidak hairan apabila orang-orang bukan Islam memberikan pendapat tidak menyokong atau mempertikaikannya kerana mereka diperkira tidak faham akan konsep hukuman dalam Islam. Namun kita hairan apabila suara-suara mempertikaikan hukuman itu datang dari orang Islam sendiri. 

Bagi penulis, sepatutnya umat Islam berasa bangga dan menyokong penuh bentuk hukuman tersebut. Walaupun kadarnya tidak menepati kadar yang ditetapkan oleh Syarak seperti 40 hingga 80 sebatan bagi kesalahan minum arak, namun kadar 6 sebatan itu sudah dikira memadai pada peringkat awal untuk memberi peluang kepada semua pihak melihat dan menghayati bagaimana kaedah perlaksanaannya. 

Inilah masanya untuk membuka mata semua pihak bagaimana cantiknya suatu hukuman itu dijalankan menurut hukum Islam. Perlu diingat bahawa dalam Islam, hukuman bukan bermatlamat untuk mendera atau menyeksa pesalah. Hukuman dalam Islam bertujuan mendidik pesalah dan masyarakat. Jika dihayati, bentuk pelaksanaan hukuman sebat dalam Islam jauh lebih ringan berbanding hukuman sebat yang dilaksanakan berdasarkan undang-undang Sivil. 

Jika ada kesempatan, lihatlah sendiri bagaimana hukuman sebatan sebenar menurut undang-undang Sivil yang dilaksanakan di Penjara dalam tayangan rakaman oleh Jabatan Penjara semasa pameran-pemeran yang mereka kendalikan. Cukup mengerikan sekali dan jelas kelihatan bagaimana kulit boleh terkopak di bahagian punggung walau dengan sekali sebatan. Bayangkanlah jika pesalah dikenakan 10 sebatan atau 20 sebatan. 

Hayunan tangan dan alat sebat oleh Tukang Sebat memang kuat. Bagi pesalah Islam, kedengaran dengan jelas laungan atau suara keras “ALLAHU AKHBAR!” menandakan betapa seksa, perit dan sakitnya terkena sebatan itu. Sasaran sebatan pula dikenakan di kawasan yang sama iaitu di bahagian punggung. Tidak mustahil jika ada yang menonton rakaman tersebut, mereka akan menutup mata sahaja daripada melihat sebatan seterusnya dan mendengar raungan kesakitan dari pesalah. Tidak mustahil jika selera makan boleh hilang tak kala terbayang akan kehebatan hukuman tersebut. Inilah bentuk hukuman sebat yang dilaksanakan menurut undang-undang Sivil kita. 

Mungkin juga masyarakat kita begitu gerun dan seram bila melihat atau terbayang bagaimana hukuman sebat dijalankan ke atas P. Ramlee dan pasangan heroinnya dalam filem Semerah Padi atas kesalahan ”TERLANJUR” melakukan pekara terlarang dalam agama Islam. Bentuk hukuman sebat dalam filem itu bukanlah sepertimana sebat yang ditetapkan dalam Islam. 

Sayugia, di bawah ini dinyatakan bagaimana proses pelaksanaan hukuman sebat ke atas pesalah yang disabitkan di Mahkamah Syariah Negeri Sabah ketika ini sebagaimana tertera dalam Seksyen 125 dan 126 Enakmen Prosedur Jenayah Syariah (Sabah) 2004  (EPJS) seperti berikut: 

SEKSYEN 125.   Sentence of whipping (Hukuman Sebat) 

(1)     The provisions of this section and section 126 shall be applicable when the accused is sentenced to whipping. 

(2)     The whipping rod, excluding its holder, shall be of the same type and make either from rattan or small branch of a tree without segment or joint and its length not more than 1.22 meters and its thickness not more than 1.25 centimetres. 

(3)     The following provisions shall be followed when executing the sentence of whipping, that is – 

(a)     before execution of the sentence, the offender shall be examined by a Government Medical Officer to certify that the offender is in a fit state of health to undergo the sentence; 

(b)     if the offender is pregnant, the execution shall be postponed until the end of two months after delivery or miscarriage, as the case may be, 

(c)     the sentence shall be executed before a Government Medical Officer in such place as the Court may direct or in a place fixed by the State Government for the purpose; 

(d)     the person appointed to execute the sentence shall be an “adil and mature person; 

(e)     the person shall use the whipping rod with average force without lifting his hand over his head so that the offender’s skin is not cut; 

(f)      after inflicting a stroke, he shall lift the rod upward and not pull it; 

(g)     whipping may be inflicted on all parts of the body except the face, head, stomach, chest or private parts; 

(h)     the offender shall wear clothes according to Islamic Law; 

(i)      if the offender is male the whipping shall be inflicted in a standing position, and if a female, in a sitting position; 

(j)      if during the execution of the whipping the Government Medical Officer certifies that the offender can no longer receive the strokes, the whipping shall be postponed until the Medical Officer certifies that the offender is fit to undergo the balance of the sentence. 

(4)     In the case where the offender is sentenced to whipping only, then he shall be dealt with as if he is sentenced to imprisonment until the sentence is executed. 

(5)     If the Government Medical Officer certifies that the offender, due to old age, illness or any other reason is unable to undergo the whipping sentence wholly or partly, the case shall be referred to the Court which may order the execution of the sentence in a manner as it thinks reasonable. 

Explanation – Old age means the age of fifty years and above.

 SEKSYEN 126.   Time of executing such sentence of whipping (Waktu melaksanakan hukuman Sebat)

 (1)     When the accused is sentenced to whipping in addition to imprisonment, the whipping shall not be inflicted if an appeal is made and until the sentence is confirmed by the appropriate appeal Court. 

(2)     The whipping shall be inflicted as soon as practicable and in case of an appeal, as soon as practicable after the receipt of the order of the appropriate appeal Court confirming the sentence. 

Berdasarkan kepada kedua-dua seksyen 125 dan 126 di atas, jelas sekali bahawa pelaksanakan hukuman sebat yang dikeluarkan Mahkamah Syariah cukup cantik dan tidaklah bersifat mendera atau menyeksa. Ukuran alat sebatan dari jenis rotan atau kayu kecil yang panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak lebih 1.25 sentimeter sudah cukup menggambarkan bagaimana kesederhanaan hukuman dalam Islam. 

Tidak cukup dengan ukuran sederhana, Tukang Sebat juga mestilah bersifat adil (salah satu syaratnya, ia mestilah seorang Islam) dan ketika menyebat,  sebatan hendaklah dilakukan dengan kadar kekuatan sederhana. Tangan si Penyebat pula tidak boleh melebihi paras kepalanya ketika menyebat untuk mengelak dari sebarang luka di kulit pesalah. Pesalah pula hendaklah dalam keadaan berpakaian menurut hukum syarak. 

Menarik sekali untuk dikongsi di sini bahawa hukuman sebat yang diperuntukkan undang-undang tidak pula menyatakan bahawa hanya lelaki sahaja yang boleh disebat. Perhatikanlah betul-betul peruntukan dalam Seksyen 125 (i) EPJS 2004 yang memperuntukkan bahawa ketika sebatan dilaksanakan, PESALAH LELAKI HENDAKLAH DALAM KEADAAN BERDIRI MANAKALA PESALAH PEREMPUAN HENDAKLAH DALAM KEADAAN DUDUK.

Berkenaan hukuman sebat ke atas pesalah wanita, Seksyen 80 (2) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Sabah) 1995 memperuntukkan bahawa mana-mana perempuan yang disabitkan atas kesalahan melakukan persetubuhan haram dengan mana-mana lelaki boleh dihukum denda tidak lebih RM5000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau sebatan tidak lebih 6 kali atau kombinasi dari mana-mana hukuman tersebut. 

Undang-undang bertulis ini meranapkan sama sekali tangapan negatif sebahagian masyarakat Islam sendiri yang jelas mempertikaikan mengapa seorang wanita harus dikenakan hukuman sebat. Sewajarnya dalam hal ini, orang berkenaan patut mempertikaikan WAKIL-WAKIL RAKYAT atau YB yang mereka pilih sendiri dalam pilihanraya dahulu. Mereka harus mempersoalkan mengapa mereka (YB) meluluskan undang-undang sedemikian rupa. Mahkamah Syariah dan agensi-agensi pelaksana undang-undang seperti Pegawai Penguatkuasa Agama dan Pendakwa Syarie tidak wajar sama sekali dipertikai atau dilontarkan dengan pelbagai kata-kata yang tidak enak didengar. 

Yang peliknya, ketika Kartika beria-ia benar dan bersemangat sekali untuk menjalani hukuman sebat itu, terdapat pula golongan-golongan tertentu atas nama pelbagai jenama seperti NGO dan lain-lain mempertikaikan hukuman itu. Ada yang mempertikaikannya dengan alasan bahawa hukuman sebat keterlaluan untuk dikenakan ke atas wanita. Ada juga suara yang mengatakan bahawa hukuman tersebut boleh menjejaskan imej Malaysia di mata dunia sebagai sebuah negara moderate. 

Dalam tempoh singkat selepas hukuman dijatuhkan, kebanyakan berita di dada-dada akhbar perdana menyiarkan pelbagai reaksi dari pelbagai golongan. Paling lantang sudah tentulah dari kalangan pejuang-pejuang atau aktivis wanita. Penulis melihat bahawa para aktivis wanita akhir-akhir ini begitu lantang memperjuangkan hak kesamarataan dan keistimewaan taraf antara lelaki dan wanita. Namun, pada masa yang sama, apabila timbul isu menyamakan hukuman sebat antara lelaki dan wanita, timbul pula reaksi spontan dan hangat dari golongan ini yang cuba membezakan pelaksanaan hukuman tersebut ke atas wanita. 

Ketelusan dan keikhlasan hati Kartika menerima hukuman tersebut yang dikira PERTAMA KALI seumpamanya dilaksanakan di Malaysia wajar dipuji. Penulis menyebut pertama kali walaupun Kartika adalah orang kelima yang dijatuhkan hukuman sebat di Mahkamah Syariah Pahang kerana kesemua 4 pesalah sebelum ini telah membuat rayuan di Mahkamah Rayuan atas hukuman tersebut. Kesemua pesalah tersebut masih belum ditentukan kedudukan mereka kerana kes mereka masih dalam proses rayuan. 

Kartika adalah satu-satunya pesalah yang tidak membuat rayuan terhadap hukuman sebat tersebut. Jika hukuman tersebut dilaksanakan, bermakna bahawa Kartikalah orang pertama dan secara kebetulan pula menjadi wanita pertama yang bakal menjalani hukuman sebat di Malaysia. Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 27 Ogos 2009 di muka surat 3 sebelum ini pernah menyiarkan bahawa sebelum Kartika, Mahkamah Syariah Pahang juga pernah menjatuhkan hukuman sebat ke atas seorang lagi wanita yang mana kesnya masih lagi dalam proses rayuan. 

Sekiranya rayuan wanita tersebut ditolak Mahkamah Rayuan, tidak mustahil kes tersebut juga akan mengundang pelbagai reaksi positif dan negatif dari masyarakat yang BEGITU PRIHATIN dengan isu HUKUMAN SEBAT KE ATAS WANITA

Tidak mustahil bahawa pada zaman ini, setelah lebih 1400 tahun kisah Maiz dan Ghaimidiyyah yang datang sendiri mengaku melakukan kesalahan hudud seperti zina dan bersungguh-sungguh pula meminta agar dihukum rejam sampai mati (bukan sebat) di hadapan Rasulullah, akan muncul pula insan-insan Maiz dan Ghamidiyyah Zaman Moden yang bersedia untuk dihukum atas dasar keinsafan dan ketaqwaan kepada Allah. 

Dalam konteks Negeri Sabah, kesalahan meminum minuman keras atau arak tidaklah pula memperuntukkan hukuman sebat sepertimana yang berlaku di Pahang. Seksyen 57 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Sabah) 1995 hanya memperuntukkan bahawa pesalah yang disabitkan atas kesalahan meminum minuman memabukkan boleh dihukum dengan denda tidak lebih RM3000 atau Penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali. 

Jenis kesalahan yang boleh dikenakan hukuman sebatan oleh Mahkamah Syariah di Negeri Sabah ketika ini hanya 2 sahaja. Kesalahan itu ialah persetubuhan di luar tabie (Seksyen 76) dan persetubuhan haram (Seksyen 80) di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Sabah) 1995.

  

ERAKITA menjemput anda semua merenung perkara ini dengan hati tenang dan terbuka.

 

“SYARIAH ASAS KEADILAN”

 

Advertisements

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 3 September 2009, in AGAMA, UNDANG-UNDANG. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: