BLOG ERAKITA

"Perkongsian Maklumat Masa Kini"

Archive for the ‘UNDANG-UNDANG’ Category

SEBATAN SYARIAH PERTAMA DI KHALAYAK RAMAI

Posted by ERAKITA di 29 Oktober 2014

SEBATAN SYARIAH PERTAMA DI KHALAYAK RAMAI

 29 Oktober 2014

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah yang telah telah mempermudahkan urusan hamba-hamba-Nya. Atas izin Allah s.w.t, akhirnya telah terlaksana satu hukuman sebatan syariah sebanyak 6 sebatan ke atas pesalah lelaki berumur 24 tahun yang telah disabitkan melakukan persetubuhan haram di bawah Seksyen 80(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah No. 3 (Sabah) 1995. Perlaksanaan hukuman telah dijalankan di Dewan Terbuka Mahkamah Tinggi Syariah Tawau, Sabah pada 28 Oktober 2014 bersamaan 4 Muharram 1436H.

Perlaksanaan hukuman penuh bersejarah itu disaksikan oleh hampir 40 orang yang terdiri dari Hakim Mahkamah Tinggi dan Rendah Syariah Tawau, Pegawai-Pegawai Kanan Mahkamah Syariah Tawau, kakitangan Mahkamah, Pegawai Penjara, Pegawai Perubatan Hospital Tawau, keluarga pesalah, Pegawai Penguatkuasa Agama dan hampir 20 orang Peguam Syarie yang beramal di Tawau.

Dewan Mahkamah sudah mulai dipenuhi hadirin setelah menjalani tapisan keselamatan dari Polis Mahkamah seawal jam 8.45am. Semua yang hadir tidak dibenarkan membawa talipon bimbit dan kemera ke dalam Dewan Mahkamah.

Upacara perlaksanaan hukuman dijalankan penuh tertib. Tidak ada pakaian khas yang disediakan pihak penjara kepada pesalah bagi tujuan perlaksanaan sebat. Ini kerana, hukuman yang dikenakan kepada pesalah adalah semata-mata sebatan sahaja tanpa pemenjaraan. Pesalah dibenarkan memakai pakaian biasa yang menutup aurat.

Bagi melicinkan perjalanan hukuman, Mahkamah telah menyediakan aturcara perlaksanaan. Tepat jam 9.30am, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Tawau yang memakai jubah khas Hakim masuk ke Dewan. Atas arahan pegawai mahkamah, semua hadirin dalam dewan berdiri. Setelah Hakim memberi salam, semua hadirin kemudiannya duduk. Sebaik Hakim menghentakkan Tukul Mahkamah, upacarapun dimulakan dengan bacaan Al- Fatihah. Ucapan pembukaan seterusnya dibuat oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Tawau. Hadirin dimaklumkan bahawa sebentar lagi hukuman sebatan sebanyak 6 kali akan dilaksanakan oleh pihak Penjara ke atas pesalah yang dihukum atas kesalahan melakukan persetubuhan haram dengan seorang wanita di bawah Seksyen 80(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Sabah) 1995. Tumpuan pada hadirin adalah pada ucapan pembukaan yang disampaikan Timbalan Pendaftar dengan suara yang kuat dan jelas.

Sebaik Timbalan Pendaftar menamatkan ucapan pembukaan yang memakan masa lebih kurang dalam satu minit, Pegawai Penjara kemudiannya berdiri tegak di hadapan Hakim dan memohon agar perlaksanaan hukuman sebat dimulakan. Hakim memberi kebenaran dengan ucapan “boleh mulakan!”. Pegawai Perubatan dari Hospital Daerah Tawau kemudiannya menjalankan pemeriksaan ke atas tubuh pesalah. Setelah selesai, Pegawai Penjara seterusnya memaklumkan kepada Hakim bahawa pesalah adalah dalam keadaan yang sihat dan hukuman boleh dilaksanakan terhadapnya. Dengan kata-kata “Hukuman sebat boleh dilaksanakan sekarang kepada pesalah!” oleh Hakim, maka saat yang penuh mendebarkanpun bermula.

Pesalah yang dari awal duduk di barisan hadapan dibawa oleh Pegawai Penjara ke ruang tengah Dewan yang dikosongkan. Dalam ruangan kosong itulah pesalah diminta berdiri dan memegang meja yang ditempatkan sebagai ruangan saksi dalam Mahkamah. Suasana terus sunyi sepi tanpa sebarang suara. Semua mata tertumpu kepada apa yang dilakukan oleh Tukang Sebat yang telah sedia ada dari awal. Tiada suara yang keluar dari mulut Tukang Sebat. Tubuh yang tegap dengan pakaian T-Shirt Penjara jelas menampakkan lengannya yang keras dan berotot. Rotan yang cukup sederhana berada pada tangannya sambil memperbetulkan kedudukan tubuh pesalah. Saat ini kelihatan wajah-wajah para hadirin menunjukkan penuh debaran dan mengujakan. Ada juga peguam yang memalingkan wajahnya ke arah yang lain. Mungkin kerana tidak sanggup melihat apa yang akan dilakukan kepada pesalah itu. Hadirin pula, ada yang menundukkan wajahnya pada saat-saat sebatan hendak dilaksanakan.

Pesalah dihadapkan ke arah dinding dewan mahkamah dalam keadaan berdiri. Tangan pesalah memegang hujung meja saksi yang agak tinggi. Pesalah kemudiannya diarahkan untuk membongkokkan sedikit badannya. Kini kedudukan pesalah benar-benar menghadap dinding dan tidak melihat para hadirin. Para hadirin pula dapat melihat dengan jelas bahagian belakang pesalah. Semua mata tertumpu kepada dua orang sahaja. Tumpuan 100 peratus diberikan kepada pesalah dan Tukang Sebat. Terpancar pada wajah pesalah suatu keresahan penuh gementar akan apa yang bakal berlaku terhadapnya sebentar lagi. Pegawai Penjara yang berdiri berdekatan dengan kedudukan pesalah dan tukang sebat mengambil buku catatan khas dan merekodkan apa yang akan berlaku. Pesalah tidak diikat mahupun dipegang oleh sesiapa. Jelas terpancar kesediaan pesalah untuk disebat menurut syariat Islam.

Dalam suasana yang penuh mendebarkan, tanpa suara dan bunyi-bunyian, akhirnya sebatan pertama dilaksanakan ke bahagian belakang tubuh pesalah. Hayunan rotan yang digunakan adalah cukup sederhana. Ukuran ketebalan rotan pula tidak melebihi 1.25 sentimeter dan panjangnya pula tidak melebihi 1.22 meter. Sebatan tersebut cukup ringan dan jelas sekali tidak menyakitkan, apatah lagi pesalah adalah dalam keadaan berpakaian menutupi tubuhnya. Selepas sebatan pertama, Pegawai Penjara yang merekodkan sebatan membuat kiraan dengan suara tinggi “satu!”. Begitulah seterusnya sebatan dijalankan sehingga tamatlah 6 kali sebatan. Terpancar dari wajah pesalah satu kepuasan dan kelegaan setelah tamatnya sebatan terakhir. Tidak ada langsung pada wajah pesalah yang menggambarkan kesakitan atau kesengsaraan akibat sebatan.

Pegawai Perubatan sekali lagi membuat pemeriksaan ke atas tubuh pesalah pada bahagian yang disebat. Setelah berpuas hati, akhirnya Pegawai Penjara memaklumkan bahawa perlaksanaan sebatan telah sempurna dilaksanakan. Pegawai Penjara membawa pesalah ke tempat duduk dalam dewan. Kini, semua mata tertumpu kepada Hakim yang berada tengah-tengah di tempat khas Hakim yang diapit oleh dua bendera rasmi iaitu Bendera Kebangsaan dan Bendera Negeri Sabah di kiri dan kanan.

Setelah semuanya duduk, Hakim memulakan ucapan penutup yang cukup bernilai dan bersejarah. Ucapan tersebut telah disediakan secara bertulis bagi melicinkan upacara perlaksanaan hukuman. Berikut adalah ucapan Hakim berkenaan yang telah menyentuh sanubari para hadirin dalam dewan:

“Alhamdulillah. Sebentar tadi kita semua telah menyaksikan di hadapan mata kita perlaksanaan hukuman sebat ke atas pesalah jenayah syariah atas kesalahan zina. Hukuman sebat adalah satu hukuman yang ditetapkan oleh Allah kepada orang yang melakukan zina sebagaimana disebutkan dalam surah an Nuur: 2 yang berbunyi:

Perempuan yang berzina dan laki laki yang berzina, hendaklah kamu sebat kedua-duanya seratus kali sebatan. Dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap kedua-duanya dalam menjalankan hukum Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan itu oleh kumpulan daripada orang yang beriman”.

Para hadirin semua telah menyaksikan betapa hukuman sebat yang telah ditetapkan Allah itu bukanlah satu hukuman menyiksa atau mendera atau mengazab pesalah. Ia jauh sekali lebih ringan berbanding hukuman yang dikenakan dari Mahkamah Awam. Inilah dia hukuman yang selama ini digeruni dan ditakuti oleh ramai orang selama ini. Mereka menyangka betapa kejam dan dahsyatnya hukuman sebat dalam Islam. Pelbagai kata-kata negatif dilemparkan terhadap hukuman ini. Namun, hari ini, para hadirin semua dapat saksikan depan mata. Apakah benar dakwaan orang-orang tersebut bahawa hukuman Islam ini kejam? Anda semua boleh menjawapnya hari ini.

Para hadirin semua, dalam Islam, perlaksanaan hukuman hendaklah dilakukan di khalayak umum. Ini telah disebutkan sendiri oleh Allah dalam surah an Nuur: 2 yang dibacakan tadi. Allah menegaskan bahawa hukuman tersebut hendaklah disaksikan oleh sekumpulan orang-orang beriman. Tujuannya bukan mendera, bukan menyeksa, tetapi untuk memberi pengajaran, pendidikan dan keinsafan kepada kepada pesalah dan orang lain, lebih-lebih lagi kepada orang yang menyaksikan hukuman itu, jangan sampai perbuatan ini dilakukan lagi oleh pesalah atau orang yang menyaksikan atau ahli-ahli keluarga yang menyaksikan dan juga oleh masyarakat. Kesannya adalah kepada jiwa dan minda manusia. Inilah dia keindahan dan mutiara Islam yang perlu diketahui orang.

Ketika ini, pemerintah hanya memberi mahkamah syariah kuasa untuk menghukum sebat paling maksima 6 kali sebatan sahaja berbanding 100 kali sebagaimana yang diperintahkan Allah. Dan hari ini, Mahkamah ini telah mengambil dan melaksanakan kuasa yang diberi oleh pemerintah itu. Kita doakan semoga pihak pemerintah akan memperkasa lagi undang-undang yang sedia ada sehingga benar-benar menurut apa yang disebutkan dalam Al Quran pada masa akan datang. Amin yaa Rabbal alamin.

Semoga Allah meredhai perlaksanaan hukuman pada hari ini dan menghitungnya sebagai sebahagian daripada amal soleh dan usaha kita semua untuk memartabatkan hukum Allah di muka bumi. Semoga dosa dan kesalahan yang dilakukan oleh pesalah ini diampuni Allah. Semoga perlaksanaan hukuman sebat di hadapan umum pada hari ini membawa rahmat kepada perkembangan undang-undang Islam di negara ini. Sekian. Wassalamualaikum wbt”.

Ucapan ini telah menarik tumpuan para hadirin. Hakim turut membacakan ayat al- Quran dalam Surah an-Nuur: 2 berserta terjemahannya sebagai satu ingatan kepada hadirin betapa perlaksanaan hukuman pada hari bersejarah itu adalah sebagai menyahut perintah Allah s.w.t. Tidak dapat dinafikan bahawa perlaksanaan hukuman sebat itu ini adalah satu sejarah yang paling bernilai dalam perkembangan perundangan Islam di negara ini. Ini kerana, inilah kali pertama dalam sejarah negara di mana pesalah jenayah syariah disebat di khalayak umum iaitu di dalam Dewan Mahkamah Syariah. Perlaksanaan hukuman di luar penjara ini adalah selaras dengan peruntukan undang-undang yang membenarkan mahkamah berbuat demikian. Seksyen 125(3) ( c ) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah No. 9 (Sabah) 2004 secara jelas menyebutkan bahawa hukuman hendaklah dilaksanakan di hadapan seorang pegawai perubatan kerajaan di mana-mana tempat sebagaimana yang diarah oleh Mahkamah atau di suatu tempat yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri bagi maksud itu.

Rata-rata hadirin yang ditemui menyatakan perasaan lega dan berpuas hati dengan perjalanan hukuman yang penuh bersejarah ini. Perlaksaanaan hukuman dijalankan dengan penuh tertib dan teratur. Tidak ada perkara-perkara tidak diingini berlaku sebelum, semasa dan selepas perlaksanaan hukuman dijalankan. Pesalah yang ditemui selepas hukuman juga mengakui tidak merasa disakiti secara fizikal akibat sebatan tersebut. Jelaslah betapa hukuman sebatan dalam Islam bukanlah untuk menyakiti, mendera atau menyeksa pesalah. Hukuman tersebut sebaliknya mampu mendidik hati nurani pesalah, orang-orang yang menyaksikan hukuman dan juga masyarakat sekeliling supaya menjadi manusia yang mempunyai disiplin dan peradaban yang tinggi sebagai khalifah di muka bumi.

Bagi mencapai matlamat untuk memberi kesedaran dan keinsafan kepada masyarakat tentang falsafah hukuman dalam Islam, mahkamah boleh membuka ruang kepada orang ramai dengan menjemput dari masa ke semasa pelbagai lapisan masyarakat meliputi pemimpin masyarakat, guru-guru agama, para pendakwah, para pelajar dan NGO untuk menyaksikan sendiri perlaksanaan hukuman sebat di Mahkamah. Malah tidak keterlaluan sekiranya pembuat undang-undang itu sendiri yang terdiri dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen (MP) juga wajar sekali dijemput untuk melihat sendiri perlaksanaan hukuman tersebut bagi mendapat gambaran yang jelas mengenai perlaksanaan undang-undang yang telah diluluskan oleh kedua-dua badan perundangan utama negara ini.

Semoga perlaksanaan hukuman sebat di hadapan umum dapat pula dilaksanakan di negeri-negeri lain selepas ini agar masyarakat benar-benar melihat dengan kepala dan mata sendiri betapa indah dan hebatnya hukuman dalam Islam. Tidak seperti yang digembar gemburkan sebagai hukuman yang zalim, ganas, mendera dan menyeksa oleh orang-orang yang tidak senang melihat undang-undang Islam yang adil ini dilaksanakan di negara ini.

Posted in AGAMA, KELUARGA, MASJID, RENUNGAN, UNDANG-UNDANG | Di tag: , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , | 2 Comments »

MENGAPA ISTERI PERLU EDDAH?

Posted by ERAKITA di 10 Mei 2014

MENGAPA ISTERI PERLU EDDAH?

10 MEI 2014

Satu perkara yang lazimnya ditetapkan oleh Mahkamah apabila membuat perintah pembubaran perkahwinan adalah penentuan tempoh eddah. Eddah itu adalah merujuk kepada nama bagi masa atau waktu penantian wanita untuk mengetahui keadaan rahimnya samada ia mengandung atau tidak. Ini adalah khusus bagi wanita yang dibubarkan perkahwinannya samada melalui perceraian dengan talaq atau fasakh nikah. Di samping lambang kepatuhan terhadap perintah Allah, eddah juga merupakan tanda dukacita isteri atas kematian suaminya. Hukumnya adalah wajib bagi isteri yang telah bercerai samada disebabkan talaq atau fasakh atau kematian suaminya. Persoalannya adalah, mengapa wanita tersebut perlu bereddah? Antara sebab atau hikmah wanita bereddah adalah:

Pertama: Bagi menghindarkan berlakunya percampuran keturunan antara satu sama lain. Bagi menjaga keturunan, betapa perlunya mengetahui samada isteri yang telah diceraikan itu mengandung benih suaminya yang terdahulu atau tidak sebelum ia dibenarkan untuk berkahwin dengan lelaki lain. Kejadian yang tidak disangka-sangka boleh saja berlaku selepas perceraian. Ada ketikanya, ketika perceraian isteri sendiri tidak tahu samada dirinya mengandung atau tidak. Justeru, tidak hairan mengapa isteri menjadi terkejut dan begitu bersedih apabila selepas perceraian dengan suami, suami pula meninggal dunia hanya beberapa hari selepas perceraian. Keadaan bertambah sedih apabila ternyata isteri pula baharu saja mendapati dirinya mengandung anak hasil kelamin antara isteri dan suaminya itu. Sebab itu, betapa perlunya isteri bereddah bagi menentukan bahawa rahim isteri benar-benar bersih dari benih suaminya yang terdahulu sebelum bernikah dengan lelaki yang baru. Hal ini sudah tentunya dapat menghindarkan berlakunya kecelaruan, kerunsingan dan kekalutan dalam masyarakat.

Kedua: Eddah dapat memberi peluang kepada suami untuk merujuk kembali isterinya dalam tempoh eddah. Suami boleh merujuk kembali isteri yang diceraikan dengan talaq rajie selagi isteri masih dalam tempoh eddah. Dalam tempoh eddah itulah si suami dan si isteri boleh muhasabah diri, merenung kembali apa yang telah berlaku, melihat masa hadapannya tanpa pasangan hidup, mengumpulkan semula kekuatan diri dan memperbetulkan segala kesilapan dan kekurangan diri selama hidup berumahtangga. Pada saat inilah barangkali akan timbul perasaan menyesal dan menyedari betapa perlunya kembali semula sebagai suami isteri. Justeru, tempoh eddah inilah pasangan berkenaan mempunyai ruang dan peluang untuk rujuk dan kembali bersatu sebagai suami isteri. Cuma sekali lagi, rujuk hanya tersedia untuk pasangan ini jika isteri diceraikan dengan talaq rajie samada talaq 1 atau talaq 2 sahaja.

Ketiga: Bagi eddah kerana kematian suami, tempoh tersebut adalah sebagai lambang dan tanda betapa isteri cukup terasa dan berdukacita atas pemergian suami tersayang selama-lamanya. Keluarga suami khususnya kedua orang tua suami tidaklah akan merasa sedih dan mempunyai sangkaan buruk terhadap isteri dengan tiadanya perkahwinan si isteri secara tergesa-gesa dengan lelaki lain. Ini juga adalah sebagai lambang cinta dan kasih isteri kepada suaminya. Tempoh eddah bagi isteri yang kematian suami adalah selama 4 bulan 10 hari. Tempoh ini adalah menasabah sekali untuk seseorang isteri menjaga diri dari perkara-perkara yang boleh mendatangkan fitnah termasuk berkahwin dengan lelaki lain disebabkan kematian suaminya.

Jika dilihat kepada syariat Islam ini, ternyata bahawa Islam begitu berhati-hati dalam soal mengurus institusi kekeluargaan. Begitu halus perkiraan dan pertimbangan yang Islam tekankan kepada umatnya. Semuanya ada hikmah tersendiri yang cukup bernilai. Hikmah yang terbit dari pensyariatan eddah itu sesungguhnya sesuai dengan fitrah dan naluri manusia tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan. Sesungguhnya Allah terlalu hebat dan agung untuk menetapkan syariat ini kepada hamba-hambaNya.

Posted in AGAMA, KELUARGA, UNDANG-UNDANG | Leave a Comment »

5 TAHUN BERSABAR UNTUK BERPOLIGAMI

Posted by ERAKITA di 9 Mei 2014

5 TAHUN BERSABAR UNTUK BERPOLIGAMI

9 Mei 2014

Soalan

Assalamualaikum.

Saya ingin mengetahui adakah mungkin bagi seseorang suami mendapatkan kebenaran berpoligami dari mahkamah tanpa perlunya kehadiran isteri pertama? Dalam erti kata lain tanpa pengetahuan isteri pertama. Kes yang berlaku pada saya adalah saya berhajat melangsungkan perkahwinan dalam tempoh sebulan dengan bakal isteri kedua saya. Mungkin pihak luar akan berfikiran bahawa saya berniat untuk menipu isteri pertama saya. Ini tidak benar.

Setelah melayari rumah tangga selama 18 tahun, saya bersabar dengan segala dugaan yang telah diberikanNya. Terlalu melayani isteri sehingga isteri berani ambil kesempatan pada kelemahan saya. Hanya dengan alasan tidak ingin bergaduh, saya menuruti segala permintaaan isteri sehingga terjadinya queen control. Bertahun-tahun makan hati, dituduh suami dayus tapi demi menjaga hubungan dan anak-anak, saya mengalah agar kemarahan isteri tidak dilepaskan pada anak-anak. Pernah saya cuba bertegas tapi keadaan menjadi makin keruh sehingga pernah diminta saya melepaskannya.  Isteri saya terlalu emotional. Bukannya tidak pernah diajak berbincang tetapi semua yang keluar darinya adalah pemikiran negatif. Bagaimana boleh kami mencapai kata sepakat?

Saya mengenali bakal isteri lebih kurang 5 tahun sebelum saya membuat keputusan untuk mengambilnya sebagai isteri yang sah. Status saya tidak dimaklumkan oleh beliau kepada keluarga bagi mengelakkan hal menjadi rumit. Namun dalam tempoh sebulan kami agak buntu mencari cara penyelesaian. Memikirkan tindakan yang tidak wajar yang bakal dilakukan oleh isteri saya, maka saya ingin memohon kebenaran dari mahkamah agar membenarkan saya untuk berkahwin dengan bakal isteri saya secara sah dan mengikut perundangan. Setelah memikirkan apa yang bakal terjadi kepada anak-anak (anak kandung berumaur 17 tahun dan 2 anak angkat berumur 7 dan 8 tahun) sekiranya saya bersalah melanggar undang-undang berpoligami tanpa kebenaran mahkamah, setelah berbincang kami bersetuju untuk bernikah dahulu tanpa majlis kerana masih banyak perkara yang kami perlu selesaikan.

Kami akan berterus terang selepas akad nikah nanti dan bersedia dengan segalanya kerana tahu beliau akan meninggalkan anak-anak kepada kami. Itulah ayat yang selalu dikeluarkannya bila dia marahkan saya. Saya dan bakal isteri menunggu hingga tempoh 5 tahun bagi memastikan anak saya satu-satunya menduduki  peperiksaan SPM tanpa sebarang masalah melibatkan ibubapa. Kami masih memikirkan orang sekeliling dan bukannya mementingkan diri. Setelah 5 tahun, sewajarnya kami bernikah secara sah bagi mengelakkan maksiat dan menjatuhkan maruah keluarga bakal isteri. Saya selalu berkata pada diri sendiri, salah saya agaknya kerana terlalu manjakan isteri sehingga tidak pernah menunaikan solat walaupun setelah disuruh malah selalu melawan cakap suami dan meninggikan suara kepada suami adalah perkara biasa. Adakah salah saya sekiranya berlaku penceraian setelah 18 tahun saya bertahan?

Jawapan

Wa’alaykumussalam wbt.

Dalam kes saudara, jalan terbaik adalah membuat permohonan untuk kebenaran berkahwin berpoligami di Mahkamah Syariah. Bagaimanapun, undang-undang yang sedang berkuatkuasa pada ketika ini menghendaki agar isteri, bakal isteri dan wali kepada bakal isteri turut dipanggil ke Mahkamah semasa permohonan bagi kebenaran berpoligami didengar di Mahkamah. Seksyen 23(5) dan (6) Enakmen Undang-Undang keluarga Islam 2004 jelas menyatakan mengenai keperluan kehadiran isteri termasuk pihak-pihak yang disebutkan di atas. Soal isteri nak hadir atau tidak di Mahkamah setelah notis panggilan kehadiran ke mahkamah telah diserahkan kepadanya tidak lagi menjadi halangan bagi kes tersebut diteruskan. Bahkan Mahkamah boleh membuat keputusan samada membenarkan si suami berpoligami atau sebaliknya walaupun tanpa kehadiran isteri. Yang penting penyerahan notis permohonan yang menghendaki kehadiran isteri ke mahkamah telah benar-benar diserahkan kepadanya dalam tempoh yang dibenarkan oleh undang-undang. Menurut undang-undang sebagaimana dinyatakan dalam seksyen 45(2) Enakmen Tatacara Mal Syariah 2004, penyerahan notis kehadiran hendaklah tidak kurang dari 2 hari sebelum tarikh pendengaran kes berkenaan.

Beranikan diri saudara jika benar saudara serius dalam hubungan dengan bakal isteri. 5 tahun adalah tempoh yang lama dalam suatu hubungan cinta antara lelaki dan wanita. Dalam sebuah rumahtangga, suami adalah ketua keluarga. Saudara tidak perlu takut kepada isteri untuk menyatakan hasrat berpoligami jika saudara telah nekad untuk bernikah lagi. Jika isteri marah atau menentang, hal tersebut sebenarnya satu sunnatullah. Ia sememangnya sifat semulajadi yang ada pada seorang wanita. Dalam masa yang sama, saudara perlu ingat bahawa di sisi Allah, isteri wajib taat kepada suami selagi suami menyuruh perkara yang tidak bertentangan dengan syariat Allah. Isteri sepatutnya takut jika ia berlaku engkar perintah suami kerana dosanya besar di sisi Allah. Jangan sampai isteri yang control suami. Suami yang sepatutnya jaga dan kawal isteri dengan cara yang maaruf. Jika disuruh solatpun isteri engkar, itu satu perbuatan yang terang-terangan engkar perintah suami. Ia boleh jatuh kepada nusyuz. Bagaimanapun, untuk bercerai, ada baiknya saudara fikirkan dahulu hal ini semasak-masaknya. Elakkan dari mengambil jalan singkat. Usaha dan ikthiar pada tahap maksima perlu diambil untuk mempertahankan rumahtangga yang ada. Bagaimanapun, andaikata usaha itu tidak mendatangkan hasil, maka saudara bolehlah bertindak untuk menfailkan permohonan perceraian di mahkamah syariah.

Bagi tujuan mempertahankan rumahtangga yang sedia ada, isteri saudara perlu dibawa dekat kepada agama. Usaha perlu dilakukan menurut pelbagai kaedah dan cara. Boleh jadi tindakan saudara membuat permohonan untuk berpoligami akan menyedarkan isteri akan tindakan dan perbuatannya selama ini. Tidak mustahil isteri akan menilai semula apa yang telah ia lakukan ke atas suami selama 18 tahun hidup bersama. Dalam situasi saudara, doa kepada Allah amat penting dan sangat diperlukan. Sentiasalah berdoa kepada Allah agar rumahtangga kalian diberikan kebahagiaan, ketenangan dan kedamaian. Berdoalah kepada Allah agar dimudahkan segala urusan dalam rumahtangga. Berdoalah agar saudara dan isteri saudara diberikan hati yang dekat kepada Allah, agar segala kekalutan dan keserabutan dalam rumahtangga dapat dileraikan. Mohon doa kepada Allah agar segala kesempitan, kepanasan dan amarah dalam rumahtangga dapat dijauhkan.

Perceraian adalah jalan terakhir setelah segala usaha memperbaiki atau memulihkan telah dilaksanakan. Jika perceraian terpaksa ditempuh, pastikan ia dilakukan di mahkamah syariah, bukannya di kereta atau di rumah atau di pejabat atau di jalan raya. Menceraikan isteri tanpa kebenaran mahkamah adalah satu kesalahan. Ia akan menyusahkan saudara dan keluarga. Jika benar nak berkahwin lagi, tak perlu disembunyikan lagi. Kita harus melihat jangka masa panjang, bukan hanya pada hari ini. Berkahwin tanpa kebenaran juga adalah satu kesalahan. Oleh itu, berterus terang adalah jalan terbaik. Ia menepati syarak dan undang-undang. Hadapilah isteri di mahkamah nanti apabila dipanggil untuk memberikan keterangan. Jangan takut jika kita berada di pihak yang benar. Persoalan samada saudara berjaya mendapat kebenaran berpoligami dari mahkamah atau tidak, itu perkara yang kedua. Terserahlah kepada mahkamah hal itu setelah menimbang segala alasan, kemampuan saudara dan faktor-faktor lain yang berkaitan dengan permohonan saudara. Jika ditakdirkan permohonan saudara tidak diluluskan, saudara masih boleh mendapatkan keadilan dengan mengemukakan rayuan ke mahkamah yang lebih tinggi iaitu Mahkamah Rayuan Syariah.

Perlu juga ditegaskan bahawa tidak ada tempoh tertentu yang ditetapkan oleh undang-undang bertulis yang menghendaki mahkamah membuat keputusan dalam permohonan bagi mendapatkan kebenaran berpoligami. Erakita menasihatkan saudara agar tidak terus menetapkan tarikh pernikahan saudara dengan bakal isteri lebih-lebih lagi dalam tempoh sebulan. Perlu diingatkan bahawa mahkamah memang mempunyai piagam pelanggannya sendiri di mana setiap kes mesti ditetapkan untuk sebutan atau pendengaran pertamanya dalam tempoh 21 hari dari tarikh pendaftaran. Soal jangkamasa penyelesaian kes, hal tersebut adalah subjektif kerana terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan kes berkenaan boleh tertangguh. Antaranya, notis kehadiran ke mahkamah belum berjaya diserahkan kepada isteri. Selain itu, bantahan dari pihak isteri juga boleh menyebabkan kes tersebut menggambil sedikit masa untuk penyelesaian kerana mahkamah juga perlu member ruang masa kepada isteri untuk mengemukakan bantahan termasuk hujah bertulis kepada mahkamah. Justeru, saudara perlu bersabar dahulu untuk tidak menetapkan tarikh pernikahan saudara dengan bakal isteri bagi mengelak risiko yang tidak dijangka.

Semoga ada manfaatnya pandangan ini.

Wallahu a’lam dan terimakasih. Wassalam

Posted in AGAMA, KELUARGA, UNDANG-UNDANG | Di tag: , , , , , , , , , , , | Leave a Comment »

MAHKAMAH SYARIAH SEMPORNA SABAH MULA OPERASI

Posted by ERAKITA di 6 Mei 2014

MAHKAMAH SYARIAH SEMPORNA SABAH MULA OPERASI

6 MEI 2014

Bermula hari ini, 6 Mei 2014, bersamaan hari selasa, Mahkamah Syariah Semporna Sabah mula beroperasi sepenuhnya. Majlis pelancaran pendaftaran kes telah disempurnakan perasmiannya oleh Yang Amat Arif Datuk Jasri @ Nasip bin Matjakir, Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah kira-kira jam 9.00am. Majlis pelancaran dihadiri oleh Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rendah Syariah Tawau, pegawai-pegawai kanan syariah dan kakitangan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah. Turut hadir adalah pegawai-pegawai kanan Persekutuan dan Negeri di Daerah Semporna.

Seusai majlis pelancaran, Mahkamah ini menerima 2 pelanggan yang berurusan untuk membuat tuntutan permohonan pembahagian harta pusaka. Majlis pelancaran yang bersejarah ini turut diserikan dengan pameran di bahagian galeri awam oleh Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah dan juga kaunter oleh Jabatan Bantuan Guaman (JBG) Malaysia. Menariknya, bangunan Mahkamah Syariah ini terletak bersebelahan dengan bangunan Mahkamah Majistret Daerah Semporna yang juga baharu saja beroperasi.

Sesungguhnya kewujudan bangunan Mahkamah Syariah di daerah ini merupakan satu anugerah yang besar kepada penduduk Islam di sekitar Semporna. Turut mendapat manfaat kemudahan di Mahkamah Semporna ini adalah penduduk Islam sekitar Daerah Kunak yang tidak lagi bersusah payah berurusan di Mahkamah Syariah Tawau. Kedudukan Daerah Kunak yang lebih hampir dengan Daerah Semporna memberikan kemudahan dan keselesaan penduduk Islam di sana untuk terus berurusan di Daerah Semporna berbanding Tawau yang kedudukannya yang begitu jauh.

Posted in AGAMA, KELUARGA, MAJLIS, UNDANG-UNDANG | Leave a Comment »

Pengesahan Perceraian tanpa kebenaran Mahkamah sudah Selesai. Mana penalti terhadap suami?

Posted by ERAKITA di 3 Mei 2014

 

Pengesahan Perceraian tanpa kebenaran Mahkamah sudah Selesai. Mana penalti terhadap suami?

3 Mei 2014

Soalan

Assalamualaikum.

Siapa yang akan mengkuatkuasakan penalti ini? Biasanya pihak isteri akan menfailkan pengesahan perceraian di makhamah. Hakim akan megesahkannya setelah terdapat bukti yang kukuh. Tetapi tidak pula diperintahkan pihak bekas suami untuk membayar denda yang berkaitan? Siapa yang akan mengkuatkuasakan penalti ini? Kes ini berlaku dalam keluarga saya tetapi pihak bekas suami masih belum dikenakan penalti dan perceraian telah berlaku beberapa tahun yang lalu.

Jawapan

Walaikumussalam wbt.

Terimakasih atas pertanyaan Saudari di atas. Kes perceraian adalah satu kes yang berasingan dengan kes jenayah syariah. Setelah didapati bahawa lafaz talaq sah dan perceraian disahkan telah berlaku di luar mahkamah tanpa kebenaran Mahkamah Syariah, maka satu perintah bertulis akan dikeluarkan oleh Mahkamah mengenai perceraian tersebut.

Berhubung penalti kerana menceraikan isteri tanpa kebenaran mahkamah, adalah perlu difahami bahawa penalti hanya dikenakan kepada pesalah jenayah sebagai salah satu bentuk hukuman ke atas pesalah yang telah disabitkan bersalah kerana melanggar undang-undang. Bagi sesiapa yang didapati menceraikan isterinya tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu dari Mahkamah Syariah, seseorang itu boleh didakwa dan jika disabitkan bersalah, boleh dihukum dengan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali. Perkara ini disebutkan dalam seksyen 125 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004. Ini bermakna, bukan penalti dengan membayar denda sahaja bentuk hukuman yang boleh dikenakan kepada pesalah, tetapi juga meliputi hukuman penjara jika itu yang dirasakan menasabah dan wajar oleh mahkamah.

Timbul persoalan di mana mahkamah telah lama membuat keputusan mengenai pengesahan perceraian di luar mahkamah. Bagaimanapun tiada apa-apa tindakan berbentuk penalti atau hukuman penjara yang dikenakan kepada pasangan yang terlibat. Isunya, adakah si suami atau bekas suami akan terlepas begitu saja? Ya. Si suami akan terlepas begitu saja jika tidak ada tindakan susulan yang dilakukan oleh mana-mana pihak untuk merujukkan kes berkenaan kepada pihak berkuasa agama. Justeru, apa yang perlu dilakukan ialah sesiapa saja yang mempunyai maklumat mengenai suatu kesalahan yang telah dilakukan boleh dan sepatutnya melaporkan hal tersebut kepada pihak berkuasa agama. Aduan bukan saja boleh dibuat oleh pasangan berkenaan, tetapi juga oleh pegawai agama di Bahagian Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk di Jabatan Agama Islam.

Aduan bertulis perlu dikemukakan kepada Pegawai Penguatkuasa Agama di Jabatan Agama Islam Negeri di mana kesalahan itu dilakukan. Penguatkuasa Agama pula seterusnya membuat siasatan terhadap aduan berkenaan. Pihak-pihak berkaitan yang mempunyai maklumat mengenai aduan tersebut lazimnya akan dipanggil memberi keterangan bagi melengkapkan kertas siasatan.

Setelah dilengkapkan, kertas siasatan itu akan dikemukakan oleh Penguatkuasa Agama kepada Ketua Pendakwa Syarie Negeri untuk disemak dan diteliti. Jika siasatan lengkap, kes tersebut akan difailkan di Mahkamah untuk tujuan pendakwaan. Saman akan dikeluarkan oleh mahkamah ke atas Tertuduh. Tertuduh dalam konteks ini adalah suami. Bentuk pertuduhan adalah melakukan kesalahan jenayah syariah kerana menceraikan isteri tanpa kebenaran dari mahkamah syariah terlebih dahulu. Jika disabitkan salah, tertuduh samada akan dihukum denda atau penjara atau kedua-duanya sekali sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini.

Lazimnya dalam kes jenayah melibatkan kesalahan menceraikan isteri tanpa kebenaran mahkamah, hukuman yang dijatuhkan adalah dalam bentuk denda bagi kesalahan kali pertama. Pesalah boleh memohon agar diberi tempoh tertentu untuk melunaskan bayaran denda tersebut. Sekiranya gagal membayar dalam tempoh yang ditetapkan, Mahkamah boleh menghukum pesalah itu dengan hukuman penjara tidak melebihi 6 bulan.

Semoga penjelasan ini ada manfaatnya untuk Saudari dan para tetamu ERAKITA sekalian.

Wallahu a’lam.

Posted in AGAMA, KELUARGA, UNDANG-UNDANG | Di tag: , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , | Leave a Comment »

REMIDI KEGANASAN RUMAHTANGGA DALAM UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM

Posted by ERAKITA di 18 Februari 2014

REMIDI KEGANASAN RUMAHTANGGA DALAM UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM

 

 18 Febuari 2014

Selain dari perlindungan yang boleh diperolehi di Mahkamah Majistret, pasangan suami isteri juga boleh mendapatkan perlindungan dan juga remidi-remidi berkaitan dari Mahkamah Syariah. Walau bagaimanapun, pasangan tersebut mestilah seorang yang beragama Islam dan perkahwinan mereka mestilah telah didaftarkan secara sah menurut undang-undang dan hukum syarih di Jabatan Agama Islam. Perlindungan dan remidi-remidi yang disediakan adalah berbentuk perlindungan keselamatan ke atas mangsa dalam bentuk hak untuk mendapatkan perintah pembubaran perkahwinan jika mangsa memilih untuk menamatkan perkahwinan mereka. Keganasan yang dilakukan oleh suami umpamanya, boleh dijadikan alasan utama untuk pembubaran perkahwinan tersebut melalui fasakh dan ta’liq.

1.         Fasakh:

Ada peruntukan dalam sek 53(1)(h)(i) yg menyebut mengenai penganiayaan seperti berikut:

“Seorang perempuan yg berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan-alasan berikut iaitu bahawa suami menganiayainya, iaitu antara lain menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan kelakuan aniaya”

 Sek 53(1)(h)(m) menyebut:

 “apa-apa alasan lain yg diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak”.

Dalam kes Hairon vs Omar (JH). Mahkamah Rayuan Syariah memutuskan bahawa perbuatan menyakiti tubuh badan isteri membolehkan isteri difasakhkan nikahnya. Dalam tulisan Norainan Bahari bertajuk Darar Syarie Dalam Mu’asyarah al-Jiwaz dan Pemakaiannya Dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Selangor 1984 yang dimuatkan dalam buku bertajuk Wanita Dan Perundangan Islam suntingan Raihanah Abdullah, terbitan Ilmiah Publishers Sdn. Bhd, 2001 dalam halaman 79 yang menyebutkan seperti berikut:

“Oleh itu, memukul walaupun tidak lazim tetapi menjadi suatu penganiyaan dan berasaskan Mazhab Maliki, fasakh dibolehkan kerana menyebabkan darar terhadap isteri bukan setakat menyebabkan kesusahan sahaja tetapi juga penderitaan akibat sentiasa berlaku pertengkaran dan maki hamun.”

Dalam kes Hairun vs Omar, Yang Arif Tan Sri Dato’ Haji Mohd. Azmi dalam penghakimannya berkata:

 “Prinsip dhirar ini telah diterima oleh kebanyakan negara-negara Islam termasuk Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia dan Undang-Undang Keluarga Islam 1984 Negeri Selangor juga telah menerima prinsip ini. Jika diteliti dengan lebih mendalam, prinsip pembubaran perkahwinan atau fasakh kerana “aniaya” atau “dhirar” ini tidaklah disyaratkan penganiayaan atau dhirar terhadap tubuh badan sahaja, malahan lebih luas dari itu termasuk enggan bercakap dengan isteri, membelakangkan isteri atau memalingkan muka darinya semasa di katil, mengutamakan memberi layanan kepada perempuan lain dari isteri, memukul dengan pukulan yang menyakiti dan seterusnya dan tidaklah disyaratkan pukulan itudilakukan berulang kali dan lazim”.

Berhubung pemakaian pendapat mazhab dalam kes fasakh, saya merujuk kenyataan Yang Arif Tan Sri Dato’ Haji Mohd Azmi ketika memberikan penghakimannya dalam kes Hairun vs Omar yang menegaskan bahawa pendapat dari Mazhab Maliki berkaitan dhirar digunakan sebagai alasan untuk pembubaran perkahwinan atau fasakh dan prinsip ini diterimapakai kebanyakan negara Islam termasuklah di negara kita. Beliau berkata seperti berikut:

“Kuasa Mahkamah membubarkan perkahwinan atau fasakh kerana perbuatan yang menyebabkan berlakunya “dhirar” terhadap isteri ini adalah berasaskan pendapat Mazhab Maliki. (Miwad Abdul Tawwab, Mausua’h al-Maarif, Iskandariyyah Egypt 1986, halaman 646). Prinsip dhirar ini telah diterima oleh kebanyakan negara-negara Islam termasuklah Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia dan Undang-Undang Keluarga Islam 1984 Negeri Selangor juga telah menerima prinsip ini”.

 Dari kenyataan di atas, saya tidak lagi teragak-agak untuk memetik pendapat dari ulama Mazhab Maliki sepertimana yang dinukilkan oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili di atas mengenai keharusan pemisahan dilakukan apabila berlakunya pertelingkahan dan kemudaratan dalam rumahtangga pasangan suami isteri. Untuk memperkukuhkan kenyataan yang mengatakan bahawa kemudaratan dalam rumahtangga boleh diambilkira dalam kes pembubaran perkahwinan atau fasakh, saya tertarik untuk memetik tulisan Mohd. Salleh Haji Ahmad mengenai Kaedah Fekah yang berbunyi “Kemudaratan Hendaklah Disingkirkan” dalam bukunya yang bertajuk Pengantar Syariat Islam, terbitan Pustaka Haji Abdul Majid, cetakan 1999, di halaman 224-225 yang menyatakan seperti berikut:

“Ulama telah sepakat bahawa kaedah ini mengecualikan dhirar yang diizin oleh Syara’ seperti Qisas, Hudud dan segala jenis hukuman keseksaan dan ta’zir yang lain kerana sesungguhnya menolak kerosakan hendaklah didahulukan dari menarik kebaikan. Walau bagaimanapun hukuman-hukuman itu pada hakikatnya tidak disyariatkan melainkan kerana hendak menolak kemudaratan juga.

 

 Masalah-masalah yang termasuk dalam kaedah ini:

 

a.             Boleh dipulangkan barang yang dibeli kepada penjual kerana terdapat kecacatan padanya.

b.             Dihajar (ditahan dari mengurus harta sendiri) ke atas safih; dilarang Mufti yang tidak bersopan dari mengeluarkan fatwa; doktor yang jahil dari merawat orang sakit kerana amalan-amalan mereka ini mendatangkan kemudaratan ke atas diri mereka dan orang lain.

c.             Fasakh nikah kerana ‘aib, kepapaan dengan nafkah dan sebagainya.

d.             Qisas, Hudud dan Ta’zir.”

2.         Ta’liq:

 Sebarang tindakan pihak suami menyakiti tubuh badan isteri boleh mensabitkan cerai taqliq jika berlaku perlanggaran terhadap lafaz taqliq yg dibuat oleh suami selepas aqad nikah. Di negeri sabah umpamanya, bentuk lafaz taqliq yang dipakai seperti yg terdapat di belakang sijil nikah ialah:

          “Adalah saya Atan bin Bidin tinggal di Kota Kinabalu dengan ini bertaklik iaitu manakala saya tinggalkan isteri saya Sarah bte Arshad selama 4 bulan berturut-turut atau lebih, sengaja atau paksa atau saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama masa yang tersebut, padahal ia taatkan saya, atau saya melakukan perkara yang menyakitkan tubuh badannya atau kehormatan dirinya atau harta bendanya atau perkara yang tidak diingininya, kemudian ia mengadu kepada mana-mana kadhi di seluruh Malaysia dan manakala sabit aduannya di sisi kadhi atau Mahkamah Syariah, maka pada ketika itu tertalaklah isteriku Sarah bte Bidin dengan satu talak”

Dalam lafaz taqliq tersebut ada disebutkan “atau saya melakukan perkara yg menyakiti tubuh badannya atau kehormatan dirinya..”. Perlakuan menyakiti tubuh badan jelas termasuk dalam senarai perkara yg dikatakan keganasan rumahtangga. Di samping ada diperuntukkan dalan AKRT 1994, perkara yg sama juga ada diperuntukkan dalam EUUKINS 2004. Keadaan ini sebenarnya memberi banyak manfaat kepada kaum wanita terutamanya untuk mencari jalan keluar dari masalah rumahtangga yang kronik disebabkan tindakan ganas dari pihak suami.

Ini bermakna jika si isteri dapat membuktikan kepada M bahawa si suami menyakitkan tubuh badannya dengan dengan pukulan yg menyakitkan, maka M apabila mensabitkan dakwaan isteri itu, talaq satu akan gugur.  Alasan ini banyak digunakan pihak isteri dalam tuntutan taqliq mereka di M Syariah. Laporan polis dan doktor perubatan juga banyak membantu isteri dalam tuntutan mereka.

3.         Perintah Tegahan Terhadap Gangguan

 Seperti dalam AKRT 1994, perkara yg menyentuh mengenai perintah perlindungan terhadap mangsa keganasan rumahtangga ada diperuntukkan dengan jelas dalam EUUKINS 2004. Sek 107(1) menyebut:

“Mahkamah adalah berkuasa dalam masa perbicaraan hal ehwal suami isteri masih belum selesai atau selepas pemberian suatu perintah perceraian, fasakh atau pembatalan, memerintahkan seseorang menahan dirinya dari mengganggui atau menceroboh, dengan apa-apa cara pun ke atas suami dan isteri atau bekas suami atau bekas isterinya “.

 Perintah tersebut boleh dipohon bukan saja untuk melindungi isteri tetapi juga suami. Kesan terhadap sebarang keingkaran mematuhi perintah M tersebut merupakan satu penghinaan terhadap Mahkamah. Seksyen 107(2) menyebut:

“Kemungkiran mematuhi sesuatu perintah yg dibuat di bawah seksyen ini boleh dikenakan hukuman sebagai suatu penghinaan terhadap Mahkamah”.

Ini bermakna, pihak yang melanggar perintah itu boleh dikenakan tindakan penghinaan Mahkamah dengan memberikan notis tunjuk sebab kepadanya di hadapan Mahkamah mengapa ia tidak dikomitkan ke penjara atau dihukum dengan apa-apa juga hukuman yang sewajarnya atas kesalahan menghina Mahkamah. Prosiding kes seperti ini akan dijalankan dalam kes mal memandangkan permohonan berkaitan penghinaan Mahkamah dan pegkomitan ke penjara ini dibuat terus kepada mahkamah melalui kes mal.

4.         Dakwaan menghina Mahkamah kerana ingkar perintah tegahan.

 Selain boleh memilih untuk mendapatkan keadilan mengheret pihak yang melanggar perintah tegahan yang dikeluarkan Mahkamah di bawah seksyen 107 di atas ke Mahkamah untuk pengkomitan ke penjara, pihak yang terkilan itu juga boleh memilih untuk membawa orang yang ingkar tadi ke Mahkamah dalam kes jenayah. Apa yang perlu dilakukan ialah dengan membuat aduan rasmi kepada Pegawai Penguatkuasa Agama di Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah. Siasatan akan dijalankan di bawah seksyen 104 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Sabah) 1995 (EKJS) atas kesalahan menhina perintah Mahkamah. Di bawah Seksyen 104 EKJS 1995, seseorang yg disabitkan menghina Mahkamah boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM1,000.00 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

5.         Kesalahan- dan hukuman berkaitan keganasan rumahtangga di bawah EUUKINS 1992

 Terdapat 2 seksyen khas yang memperuntukkan hukuman bagi kesalahan berkenaan keganasan rumahtangga. Dalam seksyen2 tersebut, perkataan berkenaan keganasan rumahtangga yg digunakan ialah menganiayai dan menzalimi. Sek 134 EUUKINS 1992 sebagai contohnya menyebut:

“Seseorang suami atau isteri yg menganiaya isteri atau suaminya atau menipu harta isteri atau suaminya adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh dihukum denda tidak melebihi RM1000.00 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua2nya denda dan penjara itu”.

 Manakala sek 142(1) menyebut:

“Seseorang lelaki yg menzalimi isterinya atau anaknya dengan apa carapun adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3000.00 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua2nya denda dan penjara itu”.

 Sek 142(2) pula menyebut:

“Seseorang isteri yg menzalimi suaminya atau anaknya dengan apa carapun adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3000.00 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua2nya denda dan penjara itu”.

 Di bawah EUUKINS 2004 pula, seksyen 128 menyebutkan bahawa selain boleh dipenjara dan dihukum membayar denda, pesalah jenayah dalam rumahtangga juga boleh diperintahkan untuk membayar pampasan kepada mangsa bagi harta yang telah ditipu itu. Seksyen tersebut berbunyi”

(1) Seseorang suami atau isteri yang dengan sengaja menganiaya isterinya atau suaminya atau menipu harta isterinya atau suaminya, mengikut mana-mana yang berkenaan, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.

(2) Mahkamah boleh, sebagai perintah tambahan, memerintahkan supaya dibayar pampasan bagi harta yang telah ditipu itu.

Perlu dimaklumi bahawa EUUKINS 1992 sehingga kini belum lagi dimansukhkan. Ini bermakna, terdapat 2 enakmen undang-undang keluarga Islam yang sedang berkuatkuasa di Sabah ketika ini iaitu EUUKIN 1992 dan EUUKINS 2004. Semoga tulisan ini ada manfaatnya dalam rangka penyebaran ilmu pengetahuan dan kefahaman mengenai hak kita di sisi undang-undang khususnya dalam konteks perundangan Islam.

Posted in AGAMA, KELUARGA, PELBAGAI, UNDANG-UNDANG | Di tag: , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , | 2 Comments »

PERUNDANGAN ISLAM DI SABAH: SEJARAH MAHKAMAH SYARIAH DAN BIDANG KUASA

Posted by ERAKITA di 15 Januari 2014

 PERUNDANGAN ISLAM DI SABAH: SEJARAH MAHKAMAH SYARIAH DAN BIDANG KUASA

 

Oleh: Ahadin bin Arinen[1]

 

PENDAHULUAN

Tulisan ini menfokuskan perbincangan mengenai perkembangan undang-undang Islam di Sabah dalam konteks sejarah dan bidangkuasanya. Perkembangan mutakhir Mahkamah Syariah Sabah turut dibincangkan bagi melihat lebih dekat perbandingan kedudukan dan perkembangan perundangan Islam di negeri ini sebelum merdeka dan selepas merdeka. Cabaran Mahkamah Syariah Negeri Sabah dalam melaksanakan tugas murni bagi memperkasa dan memantapkan pentadbiran undang-undang Islam turut disentuh bagi melihat peranan penting yang dimainkan oleh para hakim syarie untuk membuktikan bahawa undang-undang Islam itu hidup dan sesuai untuk mana-mana zaman dan tempat. Tulisan ini bagaimanapun tidak akan membincangkan secara secara detil mengenai kedudukan Islam sebelum merdeka kerana ia memerlukan topik khusus yang berasingan. Kedudukan institusi Mahkamah Anak Negeri juga hanya akan dibincangkan secara ringkas untuk membolehkan penumpuan kepada perbincangan mengenai sejarah dan bidangkuasa Mahkamah Syariah Sabah dapat dilakukan bermula selepas merdeka sehingga kini.

 

Perkembangan undang-undang Islam sebelum merdeka

Perkembangan undang-undang Islam dan penubuhan Mahkamah Syariah di Sabah berkait rapat dengan kewujudan Mahkamah Anak Negeri di negeri ini. Penubuhan Mahkamah Anak Negeri secara tidak rasmi dikatakan telahpun berlaku sejak tahun 1881 oleh pihak Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBBUB). Bagaimanapun, penubuhan mahkamah berkenaan berlaku secara rasminya pada penghujung 1800-an apabila SBBUB mula memperkenalkan undang-undang bertulis bagi melicinkan pentadbiran keadilan ketika itu. Undang-undang yang dilaksanakan ketika itu adalah menurut undang-undang diri pribumi. Jika kes berkenaan melibatkan orang Islam, pengadil atau perunding yang dilantik adalah dari kalangan orang Islam yang mahir dalam undang-undang adat dan undang-undang Islam.[2] Mereka dikenali sebagai Ketua Anak Negeri (KAN).

Pengiktirafan terhadap institusi ini semakin terserlah apabila SBBUB memperkenalkan The Village Administration Proclamation 1891. Melalui undang-undang ini, KAN diserapkan dalam pentadbiran kerajaan bagi membantu Majistret mengendalikan pentadbiran undang-undang dan kehakiman.[3] Menariknya, majoriti KAN yang dilantik oleh pihak SBBUB sepanjang tempoh pentadbirannya dari 1881 sehingga 1941 adalah dari kalangan orang-orang Islam. Pada tahun 1915 sebagai contohnya, 8 dari 9 orang ahli Majlis Penasihat Ketua Anak Negeri adalah beragama Islam.[4] Semenjak tahun 1881 sehingga Sabah merdeka pada tahun 1963, undang-undang Islam terus berjalan dan berkembang selari dengan perkembangan undang-undang adat. Antara undang-undang bertulis yang diperkenalkan oleh SBBUB dan kerajaan selepasnya yang ada kaitan dengan undang-undang Islam sepanjang tempoh berkenaan selain The Village Administration Proclamation 1891 adalah Muhammadan Custom Proclamation of 1902, Mohammadan Ordinance 1914, The Native Administration Ordinance 1937, Muslims Ordinance 1953 dan Native Courts Ordinance 1953.[5]

Semasa pendudukan Jepun di Sabah antara tahun 1941 hingga 1945, pentadbiran hal ehwal Islam tetap berjalan. Menariknya, dalam keadaan genting dan tidak menentu, KAN yang majoritinya terdiri dari kalangan orang-orang Islam telah diambil dan dilantik oleh pentadbiran tentera Jepun untuk menjadi Majistret di bawah pengawasan tentera Jepun. Pengalaman berkhidmat dalam kerajaan walaupun singkat di bawah pentadbiran tentera Jepun sedikit sebanyak memberi pengalaman dan pengetahuan tambahan dalam pengurusan pentadbiran keadilan di kalangan mereka yang dilantik.[6]

 

Perkembangan undang-undang Islam selepas merdeka 1963

Sehingga Sabah mencapai kemerdekaan melalui pembentukan Malaysia pada tahun 1963, undang-undang utama bertulis yang terpakai bagi orang Islam di Sabah adalah Muslim Ordinance 1953.[7] Tidak timbul langsung penubuhan Mahkamah Syariah bagi membicarakan kes di kalangan orang-orang Islam. Ini kerana, Ordinan berkenaan tidak memasukkan sebarang peruntukan mengenai penubuhan  Mahkamah Syariah. Tidak sepertimana berlaku di negeri-negeri lain, penubuhan sebuah Majlis Agama Islam yang berfungsi sebagai nadi pentadbiran dan pengurusan hal ehwal Islam yang meliputi aspek perundangan Islam juga tidak diperuntukkan dalam Ordinan tersebut. Dengan kata yang lain, semua kes berkaitan undang-undang Islam dibicara dan diputuskan oleh KAN di Mahkamah Anak Negeri.

Dalam konteks Perlembagaan Negeri Sabah, Islam tidak dimasukkan sebagai agama Negeri Sabah sebagaimana negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia. Hal ini berlaku ekoran permintaan dan desakan pemimpin-pemimpin Sabah khususnya dari kalangan bukan Islam untuk tidak memasukkan Islam sebagai agama negeri dalam Perlembagaan Negeri semasa rundingan pembentukan Malaysia.[8] Perkara ini jelas terkandung dalam memorandum 20 Perkara yang dikemukakan dalam Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang menyaksikan bahawa perkara pertama dalam senarai Perkara 20 itu adalah berkenaan hal peniadaan peruntukan agama rasmi atau agama negeri bagi Negeri Sabah.[9] Ketiadaan Islam sebagai agama negeri dalam Perlembagaan Negeri Sabah berlangsung selama 10 tahun bermula dari saat kemerdekaan pada tahun 1963 sehinggalah tahun 1973.[10]

Ketiadaan peruntukan yang memasukkan Islam sebagai agama negeri Sabah dalam tempoh tersebut dilihat memberi kesan yang kurang sihat terhadap perkembangan undang-undang Islam di Sabah. Sementara dikatakan perkembangan agama lain khususnya Kristian dilihat subur, perkembangan Islam pula adalah sebaliknya. Hakikat bahawa tampuk pemerintahan seawal kemerdekaan yang dipegang oleh kebanyakannya pemimpin tempatan dari kalangan penganut Kristian dilihat memberi sumbangan kepada keadaan sedemikian terjadi.[11] Perkembangan Islam pula dilihat mula terserlah apabila Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) ditubuhkan secara rasminya pada tahun 1969. Jawatan Ketua Menteri ketika itu berada dalam pegangan Tun Datu Mustapha bin Datu Harun, yang juga Presiden USNO dan sekaligus Presiden USIA yang pertama. Dominasi orang Islam dalam kepimpinan tertinggi Negeri Sabah di samping tertubuhnya organisasi seperti USIA telah memberi sumbangan penting kepada suburnya gerakan dakwah dan perkembangan Islam di Sabah seawal 1970.

 

Islam Sebagai Agama Rasmi Negeri Sabah

Tarikh 23 September 1973 menjadi detik penting dalam perkembangan Islam di Sabah apabila Dewan Undangan Negeri Sabah meluluskan pindaan terhadap Perlembagaan Negeri Sabah dengan menetapkan Islam sebagai agama rasmi Sabah.[12] Perkara 5(A) Perlembagaan berkenaan menetapkan bahawa Islam menjadi agama rasmi negeri manakala agama-agama lain boleh dianuti dan diamalkan dengan aman dan harmoni di negeri ini. Roh peruntukan yang baru ini adalah sejajar dengan undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan berserta jaminan kebebasan beragama di kalangan rakyatnya.[13] Dari aspek lain, pindaan terhadap Perlembagaan Negeri ini sekaligus mengubah kedudukan asal Islam di Sabah yang sebelumnya tidak diberi tempat dalam perlembagaan sebagaimana termaktub dalam 20 Perkara.[14] Sesungguhnya kedudukan istimewa Islam sebagai agama rasmi negeri telah memberi sumbangan dari segi semangat dan usaha berterusan kepada kerajaan untuk memantapkan undang-undang dan pentadbiran keadilan syariah di Sabah untuk tahun-tahun seterusnya.

 

Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak Negeri Sabah 1971

Enakmen bagi mengatur dan mentadbir hal ehwal orang-orang Islam Sabah yang pertama diluluskan selepas merdeka adalah Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak Negeri Sabah 1971. Antara tujuan utama Enakmen ini adalah bagi membolehkan kerajaan menubuhkan sebuah badan berkanun Islam yang akan bertanggungjawap sepenuhnya terhadap pentadbiran dan perkembangan Islam di Sabah. Rentetan wujudnya Enakmen ini, akhirnya kerajaan telah menubuhkan Majlis Ugama Islam Sabah secara rasmi pada 25 April 1971.[15] Majlis ini diperlukan untuk mengkaji keperluan bagi penubuhan Mahkamah yang khusus untuk orang-orang Islam di Sabah. Di samping itu, bagi mencapai matlamat ini, satu enakmen yang baru bagi membolehkan penubuhan sebuah mahkamah khas bagi orang-orang Islam yang dinamakan Mahkamah Syariah perlu diwujudkan.

Enakmen 1971 ini tidak mengandungi peruntukan bagi membolehkan penubuhan mahkamah khusus untuk orang Islam iaitu Mahkamah Syariah. Perlantikan hakim atau qadi juga tidak diperuntukkan dalam enakmen ini. Ini bermakna, kedudukan asal sebagaimana amalan pentadbiran undang-undang Islam di zaman sebelum merdeka masih kekal melainkan penubuhan sebuah Majlis Ugama Islam. Enakmen ini antara lainnya hanya memperuntukkan perlantikan mufti, ahli jawatankuasa undang-undang Majlis dan imam-iman. Walaupun imam-imam diberi kuasa untuk menguruskan hal ehwal nikah, cerai dan rujuk, namun kuasa mereka amat terhad. Pertikaian hanya dapat dibicarakan di Mahkamah Anak Negeri memandangkan tiada hakim atau qadi yang dilantik di bawah enakmen tersebut. Beberapa kesalahan jenayah syariah antaranya gagal membayar nafkah, khalwat dan zina terpaksa dirujuk untuk dibicara dan diputuskan oleh Mahkamah Anak Negeri.[16] Kekurangan ketara dalam Enakmen tersebut mendorong kerajaan untuk meneruskan usaha menambahbaik dan meningkatkan kelicinan pentadbiran undang-undang Islam di Sabah dengan memperkenalkan undang-undang yang lebih lengkap dan tersusun selepasnya. Buktinya, Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1977 telah diperkenalkan bagi menggantikan Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1971.

 

PENUBUHAN MAHKAMAH SYARIAH NEGERI SABAH

Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak Negeri Sabah No. 15 Tahun 1977

23hb. Disember 1977 menjadi tarikh keramat dalam perkembangan undang-undang Islam di Sabah apabila Dewan Undangan Negeri Sabah meluluskan Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1977. Enakmen ini memansuhkan Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1971 yang ternyata masih banyak kekurangannya.[17] Enakmen yang mengandungi 109 seksyen ini lebih lengkap berbanding Enakmen terdahulu di mana beberapa peruntukan penting dan bersejarah telah dimuatkan. Antara peruntukan yang besar impaknya terhadap perkembangan pentadbiran undang-undang Islam di Sabah ialah adanya peruntukan yang memberi kuasa kepada Yang Dipertua Negeri Sabah untuk menubuhkan Mahkamah Syariah.[18]

Di bawah Enakmen yang baru ini, terdapat 3 peringkat Mahkamah Syariah iaitu Mahkamah Rayuan Syariah, Mahkamah Qadi Besar dan Mahkamah Qadi. Buat pertama kalinya dalam sejarah apabila Mahkamah Syariah mula beroperasi di Sabah seiring dengan perlantikan Qadi-qadi Mahkamah pada 1hb. Febuari 1978. Dengan kuasa yang diberi Enakmen ini, Yang Dipertua Negeri Sabah telah melantik Datuk Hj. Ahmad bin Idris sebagai Qadi Besar pertama bagi Sabah dan seorang Qadi bagi setiap residensi yang ditetapkan.[19] Terdapat 5 residensi Mahkamah Syariah bagi seluruh Sabah yang terdiri dari Pantai Barat Kota Kinabalu, Pedalaman, Kudat, Sandakan dan Tawau. Antara kathi-kathi yang dilantik dan menjadi perintis kepada nafas baru Mahkamah Syariah Sabah ialah Datuk Hj. Zaman bin Lassim, Pengiran Hj. Daud bin Pg. Ismail, Datuk Hj. Abdul Wahid bin Osman dan Datuk Hj. Mohd. Noor Wahab.[20]

Mahkamah Qadi dan Mahkamah Qadi Besar diberi kuasa sebagai mahkamah mula bicara dengan bidangkuasa yang berbeza.[21] Mahkamah Rayuan Syariah pula berperanan untuk mendengar dan memutuskan kes-kes yang dirayu dari Mahkamah Qadi atau Mahkamah Qadi Besar.[22]

Bagi memantapkan lagi undang-undang ini, pindaan telah dilakukan ke atas Enakmen ini pada tahun 1981. Struktur organisasi Mahkamah Syariah disusun semula dengan masih mengekalkan tiga peringkat Mahkamah iaitu Mahkamah Qadi, Mahkamah Qadi Bahagian dan Mahkamah Rayuan Syariah.[23] Pindaan tersebut telah memansuhkan Mahkamah Qadi Besar dan mengujudkan Mahkamah Qadi Bahagian. Ini bermakna, Mahkamah Qadi Bahagian telah mengambilalih bidangkuasa yang sebelum ini diberikan kepada Mahkamah Qadi Besar. Qadi Besar pula dilantik sebagai Yang diPertua Mahkamah Syariah Negeri Sabah dan tidak lagi membicarakan kes-kes di peringkat mahkamah mula bicara. Qadi Besar hanya mendengar kes rayuan bersama 2 orang ahli penal. Ini bermakna keanggotaan ahli Mahkamah Rayuan Syariah telah dikurangkan dari 7 orang kepada 3 orang sahaja. Ahli penal rayuan itu pula mestilah dianggotai dari kalangan Qadi Bahagian yang tidak pernah mendengar kes yang dirayu itu dari peringkat mula bicara.

Perubahan yang berlaku dalam struktur organisasi Mahkamah Syariah dalam Pindaan 1981 sesungguhnya amat penting dalam memperkemas dan memperkukuhkan institusi Mahkamah Syariah di Sabah. Kewibawaan Qadi yang memegang jawatan penting dalam kehakiman syariah semakin terserlah apabila jawatan berkenaan mula diisi dari kalangan mereka yang berkelayakan dari segi latihan dan akademik. Bermula tahun 1986, jawatan tersebut mula diisi oleh mereka yang mendapat Diploma Pentadbiran Undang-Undang dan Kehakiman Islam (DAIJ) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Petaling Jaya. Yang Arif Ahmad bin Lakim adalah antara generasi baru dengan kelayakan DAIJ telah dilantik menjawat Jawatan Qadi di Pantai Barat Kota Kinabalu pada tahun 1986.[24]Akademik dan latihan di peringkat Diploma Lanjutan di UIAM berkenaan telah mendedahkan para Qadi kepada kemahiran dan ilmu yang mantap bagi menjalankan tugas kehakiman. Tenaga pengajar pula adalah dari kalangan pakar undang-undang baik dari segi akademik mahupun pengalaman memandangkan majoritinya adalah professor undang-undang dan bekas-bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia yang telah bersara.

 

Pengukuhan Mahkamah Syariah dan Undang-Undang Islam Sabah

Perkembangan undang-undang Islam di Sabah terus subur apabila satu Jawatakuasa Teknikal Negeri Sabah dibentuk pada tahun 1989. Jawatankuasa ini bertanggungjawap untuk menyemak deraf beberapa enakmen yang telah disediakan oleh Jawatankuasa Teknikal Pusat yang telah dipengerusikan oleh Almarhum Tan Sri Prof. Ahmad Ibrahim di peringkat kebangsaan. Ekoran dari usaha Jawatankuasa Teknikal Negeri Sabah, akhirnya satu lagi sejarah indah dan amat penting bagi perundangan Islam di Sabah apabila Badan Perundangan Negeri Sabah meluluskan 9 Enakmen Hukum Syarak sepanjang tahun 1992 hingga tahun 1995. Undang-Undang tersebut adalah:

1.      Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam No. 7 Tahun 1991

2.      Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam No. 13 Tahun 1992.

3.      Enakmen Mahkamah Syariah No. 14 Tahun 1992.

4.      Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam No. 15 Tahun 1992.

5.      Enakmen Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah No. 16 Tahun 1992.

6.      Enakmen Undang-Undang Zakat Fitrah No. 06 Tahun 1993.

7.      Enakmen Prosedur Mal Syariah No. 09 Tahun 1993.

8.      Enakmen Prosedur Jenayah Syariah No. 10 Tahun 1993.

9.      Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah No. 03 Tahun 1995.

Kewujudan dan pewartaan Enakmen-Enakmen tersebut telah merubah landskap pentadbiran Islam dan undang-undang Islam di Sabah pada skala yang begitu berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya. Beberapa institusi atau agensi baru telah ditubuhkan oleh kerajaan bagi mentadbir hukum syarak. Berkuatkuasa 1hb. Disember 1995, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah (JKSNS) telah ditubuhkan. Kelahiran JKSNS telah mengambil alih tugas mentadbir mahkamah-mahkamah syariah dari Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sepenuhnya bermula 1hb. Januari 1996. Kedua-dua jabatan ini diletakkan di bawah kawalan Jabatan Ketua Menteri (JKM). Bagi JKSNS, Jabatan ini diketuai oleh Ketua Hakim Syarie Negeri.[25]

Organisasi Mahkamah berubah sekali lagi dengan adanya Enakmen Mahkamah Syariah 1992. 3 peringkat mahkamah masih dikekalkan. Bagaimanapun, gelaran Qadi telah dimansuhkan dan digantikan dengan gelaran dan jawatan Hakim Syarie. Penggunaan gelaran Hakim Syarie sesungguhnya satu lagi usaha yang murni untuk memartabatkan institusi kehakiman Islam ke tempat yang dihormati dan disegani. Gelaran tersebut mempunyai nilai yang tinggi khususnya dalam konteks wibawa, penghormatan dan keberkesanan tugasan kehakiman di mata masyarakat. 3 peringkat Mahkamah Syariah telah berubah menjadi:

1.      Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Sabah

2.      Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sabah

3.      Mahkamah Rendah Syariah Negeri Sabah.[26]

Usaha memantapkan institusi Mahkamah Syariah dan pentadbiran undang-undang Islam di Sabah tidak terhenti begitu saja. Tidak sampai 10 tahun, usaha untuk memperkemaskan pentadbiran mahkamah syariah dan undang-undang diteruskan lagi. Matlamat utama adalah untuk menjadikan enakmen-enakmen yang sedia ada diseragamkan dengan enakmen-enakmen di negeri-negeri lain di Malaysia. Berikutan itu, bermula 1hb. Jun 2005, beberapa enakmen baru dikuatkuasakan bagi menggantikan enakmen-enakmen yang terpakai di Mahkamah sebelumnya di samping wujudnya beberapa enakmen baru. Enakmen-enakmen tersebut adalah:

1.      Enakmen Perbadanan Baitulmal No. 11 Tahun 1998

2.      Enakmen Majlis Ugama Islam Sabah No. 05 Tahun 2004.

3.      Enakmen Mahkamah Syariah No. 06 Tahun 2004.

4.      Enakmen Fatwa Negeri Sabah No. 07 Tahun 2004.

5.      Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam No. 08 Tahun 2004.

6.      Enakmen Tatacara Jenayah Syariah No. 09 Tahun 2004.

7.      Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah No. 10 Tahun 2004.

8.      Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah No. 11 Tahun 2004.

Berdasarkan kepada sinario yang ada, enakmen-enakmen yang terdahulu telah dimansuhkan. Enakmen Majlis Ugama Islam Sabah 2004 sebagai contohnya telah memansuhkan Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam No. 13 Tahun 1992. Ini bermakna selepas tahun 1995, terdapat 3 undang-undang bertulis yang baru diperkenalkan iaitu Enakmen Perbadanan Baitulmal 1998, Enakmen Majlis Ugama Islam Sabah 2004 dan Enakmen Fatwa Negeri Sabah 2004. Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 dikekalkan tanpa sebarang pindaan walaupun pada dasarnya, Enakmen berkenaan dilihat perlu diperkemaskan sejajar kelahiran beberapa enakmen lain yang kini lebih segar dan kemas. Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 1992 bagaimanapun masih kekal kuatkuasanya walaupun Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004 telah dilulus dan diwartakan. Justeru, pada ketika ini, terdapat 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam di negeri ini yang berkuatkuasa. Tindakan segera adalah perlu untuk memansuhkan enakmen yang terdahulu untuk mengelak kesulitan dalam konteks perlaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang keluarga Islam di negeri ini.

Mahkamah Syariah Negeri Sabah melakar sejarah apabila memasuki Skim Perkhidmatan Gunasama Pegawai Syariah Persekutuan pada 19hb. Jun 2008. Sabah menjadi negeri yang ke-6 memasuki skim tersebut selepas Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang dan Perlis. Menariknya ialah, Negeri Sabah adalah satu-satunya negeri yang menyertai skim ini melibatkan semua pegawai dan kakitangan bermula Ketua Hakim Syarie Negeri sehinggalah kakitangan sokongan.

Jika sebelum memasuki Skim Perkhidmatan Gunasama Persekutuan, bilangan waran perjawatan yang diluluskan kerajaan bagi Mahkamah Syariah Sabah hanya 90 jawatan, kini dengan penyertaan dalam Skim Perkhdimatan Gunasama Persekutuan bilangannya bertambah lebih sekali ganda iaitu 214 jawatan. Jawatan Ketua Hakim Syarie Negeri adalah Gred Utama Jusa C manakala 5 jawatan bagi Hakim Mahkamah Tinggi Syariah adalah masing 2 bagi Gred LS52 dan 3 bagi Gred LS48. Selain itu, terdapat lagi satu jawatan penting dalam pentadbiran Mahkamah Syariah dengan Gred LS48 iaitu Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah menjadikan terdapat sebanyak 4 Gred LS48 kesemuanya. Gred LS44 adalah sebanyak 14 di mana 13 daripadanya adalah dikhususkan bagi jawatan Hakim Mahkamah Rendah Syariah dan selebihnya adalah untuk jawatan Pendaftar Kanan Mahkamah Syariah. Pegawai Sulh pula memegang Gred LS41 dengan bilangan sebanyak 13 jawatan.

Usaha berterusan oleh kerajaan untuk meningkatkan imej dan kewibawaan Mahkamah Syariah Sabah jelas kelihatan apabila beberapa daerah di Sabah telahpun mempunyai bangunan mahkamah sendiri. Ketika ini, daerah-daerah yang telahpun mempunyai bangunan Mahkamah Syariah adalah Keningau, Beaufort, Lahad Datu, Kinabatangan dan Samporna. Pembangunan Mahkamah Syariah untuk Kota Kinabalu dijangka akan dimulakan pada tahun 2013 di bawah peruntukan bagi Rolling Plan ke-3 dalam Rancangan Malaysia 10. Sesungguhnya keadaan pada hari ini adalah jauh lebih baik dan kemas berbanding 20 tahun lampau walaupun tidak dinafikan masih banyak kekurangan dan kelemahan yang boleh diperbaiki pada masa hadapan.

 

BIDANGKUASA MAHKAMAH SYARIAH SABAH

Secara umumnya, bagi melihat apakah perkara-perkara yang terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah, rujukan utama boleh dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang induk dan tertinggi dalam negara. Senarai 2 (Senarai Negeri) Jadual 9, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan seperti berikut:

Kecuali mengenai Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut Ugama Islam, termasuk hukum Syarak berhubung dengan mewarisi harta berwasiat dan tak berwasiat, pertunangan, perkahwinan, perceraian, mas kahwin, nafkah, pengambilan anak angkat, tafar anak, penjagaan anak, pemberian, pembahagian harta dan amanah bukan khairat; Wakaf Islam dan ta’arif  serta peraturan mengenai amanah khairat dan khairat agama, perlantikan pemegang-pemegang amanah dan perbadanan bagi orang-orang mengenai pemberian Ugama Islam dan khairat, yayasan, amanah, khairat dan yayasan khairat yang dijalankan, kesemuanya sekali dalam negeri; adat istiadat Melayu; zakat fitrah dan baitulmal atau hasil Ugama Islam yang seumpamanya; masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam; mengadakan dan menghukum kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang-orang yang menganut Ugama Islam terhadap rukun-rukun Islam, kecuali mengenai perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan, keanggotaan, penyusunan dan acara bagi Mahkamah-Mahkamah Syariah, yang akan mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang-orang yang menganut Ugama Islam dan hanya mengenai mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa mengenai kesalahan-kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh Undang-undang Persekutuan, mengawal pengembangan iktikad dan kepercayaan antara orang-orang yang menganut Ugama Islam; menentukan perkara-perkara hukum Syarak dan iktikad dan istiadat Melayu.

Negeri-negeri diberi kuasa untuk menubuhkan Mahkamah Syariah dan membuat undang-undang khusus untuk orang-orang Islam.[27] Bagaimanapun, undang-undang yang diluluskan melalui Badan Perundangan Negeri tidak boleh berlawanan dengan perkara-perkara yang telahpun disenaraikan dalam Senarai Negeri dalam Perlembagaan Persekutuan itu.[28] Semua negeri di Malaysia termasuk Sabah telahpun mempunyai Mahkamah Syariah sendiri di samping undang-undang yang terpakai bagi orang-orang Islam. Dalam konteks Mahkamah Syariah Negeri Sabah ketika ini, terdapat 3 peringkat Mahkamah yang telah diberi bidangkuasa masing-masing sebagaimana diperuntukkan dalam Enakmen Mahkamah Syariah 2004. Bidangkuasa tersebut dapat dilihat seperti yang dinyatakan di bawah ini.

 

Bidangkuasa Mahkamah Rendah Syariah[29]

Mahkamah Rendah Syariah mempunyai bidang kuasa di seluruh Bahagian atau Daerah di mana ia ditubuhkan. Mahkamah ini diketuai oleh seorang Hakim Mahkamah Rendah Syariah. Bidangkuasa Jenayah dan Mal bagi Mahkamah ini dinyatakan dalam Seksyen 12 Enakmen Mahkamah Syariah 2004.

(a) Dalam bidang kuasa jenayahnya, Mahkamah Rendah Syariah membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang Islam di bawah Enakmen Majlis Ugama Islam Negeri Sabah 2004, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang berkuat kuasa yang menetapkan hukuman maksimum yang diperuntukkan oleh Enakmen-Enakmen itu atau mana-mana undang-undang bertulis lain, tidak melebihi tiga ribu ringgit, atau pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan boleh mengenakan mana-mana hukuman Yang diperuntukkan bagi kesalahan itu.


(b) Dalam bidang kuasa malnya, Mahkamah Rendah Syariah mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding yang Mahkamah Tinggi Syariah diberi kuasa untuk mendengar dan memutuskannya, jika amaun atau nilai hal perkara yang dipertikaikan itu tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau yang tidak dapat dianggarkan dengan wang (tidak termasuk tuntutan hadhanah atau harta sepencarian).

Bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah.[30]

Mahkamah Tinggi Syariah mempunyai bidang kuasa di seluruh Negeri Sabah. Ia diketuai oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah. Tidak seperti Mahkamah Rendah Syariah, Ketua Hakim Syar’ie Negeri boleh bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan mengetuai Mahkamah itu. Bidangkuasa Jenayah dan Mal bagi Mahkamah ini dinyatakan dalam Seksyen 11 Enakmen Mahkamah Syariah 2004.

(a) Dalam bidang kuasa jenayahnya, Mahkamah Tinggi Syariah membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang Islam dan boleh dihukum di bawah Enakmen Majlis Ugama Islam Negeri Sabah 2004, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang berkuat kuasa yang memberi Mahkamah Tinggi Syariah bidang kuasa untuk membicarakan apa-apa kesalahan, dan boleh mengenakan apa-apa hukuman yang diperuntukkan di dalamnya.


(b) Dalam bidang kuasa malnya, Mahkamah Tinggi Syariah mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam. Perkara dalam tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan:

(i) pertunangan, perkahwinan, ruju’, perceraian, pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz, atau pemisahan kehakiman (faraq) atau apa-apa perkara lain yang berkaitan dengan perhubungan antara suami isteri;

(ii) apa-apa pelupusan atau tuntutan harta yang berbangkit daripada mana-mana perkara yang dinyatakan dalam subperenggan (i);

(iii) nafkah orang-orang tanggungan, kesahtarafan, atau penjagaan atau jagaan (hadhanah) kanak-kanak;

(iv) pembahagian atau tuntutan harta sepencarian;

(v) wasiat atau alang semasa marad-al-maut seseorang si mati yang beragama Islam;

(vi) alang semasa hidup (hibbah), atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang memadai dengan wang atau nilaian wang oleh seseorang orang Islam;

(vii) wakaf atau nazr dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya;

(viii) pembahagian dan pewarisan harta berwasiat atau tak berwasiat atau Pelantikan Wasi dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya;

(ix) penentuan orang-orang yang berhak kepada bahagian harta pusaka seseorang si mati yang beragama Islam atau bahagian-bahagian yang kepadanya masing-masing orang itu berhak dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya;

(x) pengisytiharan bahawa seseorang yang telah mati itu ialah seorang Islam atau sebaliknya pada masa kematiannya;

(xi) pendaftaran dan pengambilan anak angkat dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya; dan

(xii) perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya bidang kuasa diberikan oleh mana-mana undang-undang bertulis.

 

Bidang Kuasa Rayuan Mahkamah Tinggi Syariah.[31]


Selain berbidangkuasa mengenai perkara-perkara di atas, Mahkamah Tinggi Syariah juga mempunyai bidangkuasa rayuan. Rayuan boleh dibuat kepada Mahkamah Tinggi Syariah daripada apa-apa keputusan sesuatu Mahkamah Rendah Syariah dalam kes jenayah dan mal.

 

(a) Dalam bidang kuasa jenayahnya, rayuan boleh dibuat oleh pihak pendakwa atau oleh orang yang telah disabitkan, dan rayuan itu boleh dibuat sama ada terhadap pembebasan, sabitan atau hukuman atau mana-mana satu daripadanya;


(b) Dalam bidang kuasa malnya, rayuan boleh dibuat oleh mana-mana orang yang terkilan dengan keputusan itu dalam mana-mana keadaan berikut:


(i) jika amaun yang dituntut itu tidak kurang daripada satu ribu ringgit;

(ii) dalam semua kes yang melibatkan apa-apa keputusan mengenai taraf diri;


(iii) dalam semua kes yang berhubungan dengan nafkah orang-orang tanggungan;

 Bagaimanapun, suatu rayuan tidak boleh dibuat terhadap keputusan yang telah dibuat berdasarkan persetujuan. Mahkamah Tinggi juga boleh mendengar rayuan bagi apa-apa kes lain jika satu kebenaran untuk merayu telah diberikan oleh Mahkamah Tinggi Syariah.

 

Dalam menjalankan kuasa rayuannya, Mahkamah Tinggi Syariah boleh:

 (a) dalam perkara jenayah, menolak rayuan, mensabitkan dan menghukum pihak yang merayu, memerintahkan Mahkamah perbicaraan memanggil pembelaan atau membuat siasatan lanjut, menambah atau meminda hukuman, memerintahkan perbicaraan semula, atau meminda, atau mengakaskan apa-apa perintah Mahkamah perbicaraan; dan

(b) dalam perkara mal, mengesahkan, mengakaskan atau mengubah keputusan Mahkamah perbicaraan, menjalankan mana-mana kuasa yang boleh dijalankan oleh mahkamah perbicaraan, membuat apa-apa perintah yang sepatutnya dibuat oleh Mahkamah perbicaraan, atau memerintahkan perbicaraan semula.

 

Bidang kuasa pengawasan dan penyemakan Mahkamah Tinggi Syariah.[32]

Selain berbidangkuasa mendengar kes-kes rayuan dari Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah juga mempunyai bidang kuasa pengawasan dan penyemakan ke atas semua Mahkamah Rendah Syariah. Bagi melaksanakan kuasa semakan dan pengawasannya, Mahkamah Tinggi Syariah boleh, sama ada atas kehendaknya sendiri atau atas kehendak mana-mana pihak atau orang yang berkepentingan, pada mana-mana peringkat dalam apa-apa perkara atau prosiding, sama ada mal atau jenayah, dalam mana-mana Mahkamah Rendah Syariah, memanggil dan memeriksa mana-mana rekod tentang perkara atau prosiding itu dan boleh memberikan apa-apa arahan yang dikehendaki demi keadilan.  Apabila Mahkamah Tinggi Syariah memanggil rekod sesuatu perkara atau prosiding berdasarkan kuasa pengawasan dan penyemakan, semua prosiding dalam Mahkamah Rendah Syariah tentang perkara atau prosiding itu hendaklah digantung sementara bagi menanti perintah selanjutnya daripada Mahkamah Tinggi Syariah.

 

Bidang kuasa Mahkamah Rayuan Syariah.[33]

Mahkamah Rayuan Syariah adalah Mahkamah tertinggi dan terakhir dalam peringkat rayuan bagi sesuatu kes. Mahkamah ini mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan apa-apa rayuan terhadap apa-apa keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah dalam menjalankan bidang kuasa asalnya. Apabila suatu rayuan daripada sesuatu keputusan Mahkamah Rendah Syariah telahpun diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah boleh atas permohonan mana-mana pihak memberikan kebenaran untuk memutuskan olehnya sendiri apa-apa persoalan undang-undang berkepentingan awam yang telah timbul dalam perjalanan rayuan itu dan yang keputusannya oleh Mahkamah Tinggi Syariah telah menyentuh keputusan rayuan itu. Apabila kebenaran telah diberikan oleh Mahkamah Rayuan Syariah, ia hendaklah mendengar dan memutuskan persoalan yang dibenarkan dirujukkan bagi keputusannya dan membuat apa-apa perintah yang boleh dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah, dan yang difikirkannya adil bagi penyelesaian rayuan ini.

 

Bidang kuasa pengawasan dan penyemakan Mahkamah Rayuan Syariah.[34]

Mahkamah ini mempunyai bidang kuasa pengawasan dan penyemakan ke atas Mahkamah Tinggi Syariah dan boleh, sama ada atas kehendaknya sendiri atau atas kehendak mana-mana pihak atau orang yang berkepentingan, pada mana-mana peringkat dalam apa-apa perkara atau prosiding, sama ada mal atau jenayah, dalam Mahkamah Tinggi Syariah, memanggil dan memeriksa mana-mana rekod tentang perkara atau prosiding itu dan boleh memberikan apa-apa arahan yang dikehendaki demi keadilan.

Apabila Mahkamah Rayuan Syariah memanggil rekod tentang apa-apa perkara atau prosiding, semua prosiding dalam Mahkamah Tinggi Syariah tentang perkara atau prosiding itu hendaklah digantung sementara menanti perintah selanjutnya daripada Mahkamah Rayuan Syariah.

 

MENDEPANI CABARAN DI MAHKAMAH SYARIAH SABAH

Melalui sejarah yang panjang dan penuh dengan ranjau, Mahkamah Syariah Sabah tidak terlepas dari berhadapan dengan beberapa cabaran khususnya dalam melaksanakan tugasnya sebagai pentadbir dan pelaksana undang-undang Islam. Beberapa perkara menarik yang boleh dikongsi mengenai tindakan dan pendekatan Mahkamah Syariah dalam melaksanakan urusan pentadbiran dan melaksanakan undang-undang Islam.

 

Pembahagian dan Pentadbir Harta Pusaka

Dalam konteks bidangkuasa umpamanya, Mahkamah Syariah Sabah tidak menghadapi masalah untuk menguatkuasakan perintah pembahagian harta pusaka termasuklah perintah perlantikan wasi atau pentadbir bagi harta pusaka simati yang beragama Islam. Sementara Mahkamah Syariah di negeri-negeri lain hanya mengeluarkan Sijil Perakuan Faraid, keadaan sebaliknya berlaku di Sabah. Seksyen 11(3)(b)(vii) Enakmen Mahkamah Syariah 2004 membuka ruang kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar dan memutuskan hal pembahagian harta pusaka termasuk perlantikan wasi atau pentadbir. 

Menariknya, Mahkamah Awam juga memberi pengiktirafan terhadap perintah pembahagian harta pusaka dan surat pentadbir harta pusaka yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah Sabah. Dalam kes Noh bin Abdul Aziz & Anor lwn Director of Lands and Surveys, Kota Kinabalu & Anor (1999),[35] Responden 1 telah  mempertikaikan Perintah Pembahagian Harta Pusaka yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Sandakan. Menurut Responden, Pemohon dalam kes ini tidak mempunyai locus standi menfailkan kes di Mahkamah Tinggi Awam memandangkan tidak mempunyai Surat Kuasa Pentadbir yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Awam. Ketika menolak bantahan ini, Yang Arif Richard Malanjun dengan tegas memutuskan seperti berikut:

Dua perintah telah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah dan Responden Pertama telah gagal untuk menunjukkan bahawa Mahkamah tersebut tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan perintah-perintah tersebut. Sememangnya Responden Pertama tidak boleh berbuat demikian kerana jelas di bawah Seksyen 11(2) Enakmen Mahkamah Syariah No. 14 Tahun 1992, bahawa Mahkamah Rendah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan perkara berhubung dengan pembahagian dan pewarisan harta, berwasiat atau tak berwasiat. Selanjutnya Mahkamah sepatutnya berhak bergantung kepada Seksyen 114(e) Akta Keterangan 1950 apabila menerima kesahan perintah-perintah itu. Lebih-lebih lagi adalah tidak salah bagi pemohon-pemohon untuk menghadap Mahkamah Syariah untuk perintah-perintah itu walaupun ia adalah juga di dalam bidang kuasa Mahkamah Sivil. Oleh demikian, tiada merit di dalam bantahan Responden Pertama mengenai locus standi pemohon-pemohon.

Pengiktirafan terhadap bidangkuasa Mahkamah Syariah Negeri Sabah untuk mengeluarkan perintah pembahagian harta pusaka termasuk Surat Pentadbir harta pusaka turut dikongsi oleh seorang pakar perundangan Islam, Prof Dr mohd Ridzuan Awang. Beliau memberikan pandangannya seperti berikut:

Berdasarkan keputusan di atas, jelaslah bahawa Mahkamah-Mahkamah Syariah di Malaysia tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan surat kuasa wasiat (probet) dan surat kuasa mentadbir bagi harta orang Islam, kerana undang-undang yang berkaitan dengan probet dan surat kuasa tidak ada di negeri-negeri. Undang-undang yang dipakai ialah Akta Probet dan Pentadbiran 1959, kecuali Mahkamah Tinggi Syariah negeri Sabah diberi kuasa di bawah undang-undang negeri bagi membolehkan Mahkamah Tinggi Syariah mengeluarkan surat kuasa tadbir atau wasi bagi harta pusaka orang Islam di negeri ini. Pihak bertanggungjawap sepatutnya memikirkan untuk memperkenalkan undang-undang tersebut atau menyeragamkan peruntukan bidangkuasa mal Mahkamah Tinggi Syariah negeri-negeri dan dalam masa yang sama mengecualikan pemakaian Akta Probet dan Pentadbiran 1959 terhadap orang-orang Islam.[36]

Jelas sekali bahawa Mahkamah Syariah Negeri Sabah telah mendahului Mahkamah Syariah di negeri-negeri lain dalam isu pembahagian harta pusaka orang Islam. Amalan ini telahpun dilaksanakan dari awal penubuhan Mahkamah Syariah di negeri ini tanpa menghadapi masalah yang rumit.

 

Aplikasi DNA dalam pembuktian

Dalam aspek pembuktian dalam suatu kes di Mahkamah, para Hakim Syarie di Sabah turut membuktikan kewibawaan dan keberanian mereka apabila mereka menerimapakai pembuktian secara saintifik iaitu Deoxyribonucleic Acid (DNA). Beberapa penghakiman berkaitan perkara ini telah dilaporkan dalam Jurnal Hukum yang diterbitkan oelh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

Persidangan Pegawai-Pegawai Syariah Semalaysia di Grand Season Hotel, Kuala Lumpur pada bulan Julai 2011 menjadi bukti bersejarah apabila Perdana Menteri Malaysia dalam ucaptamanya menyebut beberapa kes penting dan menarik yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Sabah. Dalam kes  Pendakwa Syarie Negeri Sabah lwn Rosli Abdul Japar (2001)[37] Mahkamah Tinggi Syariah Keningau telah menerima pembuktian menggunakan DNA dalam menentukan nasab anak yang telah dikandung oleh wanita terbabit. Justeru, Mahkamah mensabitkan Tertuduh atas kesalahan persetubuhan haram setelah mengambil kira keputusan ujian DNA dan keterangan-keterangan yang lain.

Dalam kes jenayah antara Pendakwa Syarie Negeri Sabah lwn Mad Ranger (2001),[38] Mahkamah Tinggi Syariah Kota Kinabalu telah menerima pakai keterangan pakar berdasarkan ujian DNA ke atas Tertuduh dan anak yang dilahirkan oleh pasangan wanita Tertuduh dalam kes persetubuhan haram di bawah Seksyen 80 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995. Keterangan pakar DNA menunjukkan wujud hubungan nasab antara tertuduh dengan anak yang dilahirkan oleh pasangan wanita Tertuduh. Berdasarkan keterangan melalui ujian DNA dan keterangan lain, Mahkamah Tinggi Syariah mensabitkan bahawa Tertuduh bersalah.

Keputusan kes ini kini menjadi rujukan para sarjana perundangan Islam termasuk para hakim syarie di Mahkamah Syariah. Justeru, tidak keterlaluan untuk mengatakan Sabah tidak ketinggalan dalam arus perdana dan global bagi mendepani perubahan persekitaran terkini dalam konteks perkembangan undang-undang Islam.

Penulis berpendapat bahawa bilangan kes yang didaftar atau diselesaikan oleh Mahkamah bukanlah satu perkara yang perlu dibanggakan walaupun ia juga merupakan perkara penting. Apa yang penting sebenarnya adalah bagaimana warga dan pejuang undang-undang Islam, khususnya yang terlibat dalam pentadbiran undang-undang jenayah Islam mentadbir undang-undang itu sehingga ianya teratur, kemas, sistematik dan indah. Hal ini boleh dicapai dengan satu sikap yang sentiasa peka dan penuh minat terhadap perkembangan semasa di dunia. Pemakaian peralatan moden seperti DNA dalam pembuktian sesuatu kes merupakan satu contoh di mana warga pejuang pentadbiran keadilan jenayah Islam di Malaysia dan khususnya di Sabah harus mengambil tahu dan mengaplikasinya dalam urusan kes jenayah mahupun mal syariah. Sekurang-kurangnya, hari ini masyarakat Islam mahupun bukan Islam di mana-mana telah membuka mata dan telinga mereka akan keupayaan Mahkamah Syariah mengendalikan kes jenayah Islam dengan menggunapakai kaedah moden dan terkini seperti DNA. Ini satu peluang bagi menunjukkan Islam itu komprehensif, global, semasa, terkini dan sentiasa terbuka menerima apa saja perkara yang baru dan terbaik sesuai selagi ianya tidak lari dari hukum syarak.

Mengenai hal ini, kejayaan sesuatu kes di Mahkamah tidak terletak pada keupayaan dan kesediaan Mahkamah Syariah mengendalikan kes tersebut semata-mata. Mahkamah Syariah tidak dapat berdiri bersendirian. Kejayaan tersebut adalah hasil kerja yang tersusun dan bersepadu di peringkat Penguatkuasaan Agama dan Pendakwaan sebelum kes tersebut dibawa ke Mahkamah Syariah. Secara peribadi, Penulis melihat bahawa tindakan menggunakan DNA dalam pembuktian kes jenayah di Mahkamah Syariah adalah tindakan yang berani dan wajar sekali diberi pujian dan pengiktirafan oleh pihak berkaitan. Ini kerana, kita mencipta sejarah dan impaknya adalah besar sekali dalam konteks perkembangan undang-undang Islam di Malaysia, dan khasnya Sabah.

 

PENUTUP

Penulisan pengenai perkembangan undang-undang Islam di Negeri Sabah masih kurang. Masih banyak perkara menarik boleh ditulis dan dikaji mengenai perkembangan perundangan Islam di Sabah yang meliputi sejarah, perkembangan Mahkamah Syariah, isu-isu perundangan dan cabaran-cabaran dalam konteks negeri Sabah. Perbincangan di atas menunjukkan bahawa perkembangan undang-undang Islam di Sabah mempunyai sejarah yang panjang dan menarik. Ini kerana ia saling berkait rapat dengan institusi adat dan Mahkamah Anak Negeri. Mahkamah Syariah Sabah pula tidak ketinggalan untuk turut serta dalam mendepani perkembangan semasa yang semakin mencabar. Tulisan ini diharap dapat menyumbang ke arah memperkaya khazanah penulisan mengenai Islam di Sabah khususnya perkembangan perundangan Islam. Ini kerana perundangan Islam di negera ini sentiasa menunjukkan perkembangan positif seiring perubahan zaman. Hal ini memerlukan usaha untuk merekodkan apa saja peristiwa dan perkara-perkara yang sememangnya penting untuk diketahui oleh generasi akan datang. 


[1] Penulis merupakan Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah. Mula bertugas sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah semenjak 1 Oktober 1996 di Pantai Barat Kota Kinabalu. Tulisan ini dibentangkan dalam Seminar Perundangan Islam di Sabah, anjuran Jabatan hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Majlis Professor Negara dan JAKIM Sabah dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah dan Pejabat Hal Ehwal Anak Negeri Sabah di Dewan Sri Kinabalu, Kompleks Tabung Haji Sabah, Kota Kinabalu pada 4 Disember 2012.

[2] Lihat juga Jasri @ Nasip B. Matjakir, Qadi: Perlantikan, Bidangkuasa dan Permasalahan, Satu Kajian di Sabah, Kertas Projek Diploma Pentadbiran Undang-Undang dan Kahakiman Islam (DAIJ), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Petaling Jaya, 1993, hal. 43-44.

[3] Sharifah Zaleha bt. Syed Hassan, Native Courts and the Construction of Modern Legal Thinking in Sabah: A case Study dalam Native Court and customary law of Sabah (with cases and decisions), Jabatan Cetak Kerajaan, Sabah, 1993, hal. 156.

[4] Ismail Yusoff, Politik dan agama di Sabah, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 2004, pp. 39-41. Antara Ketua Anak Negeri di kalangan orang Islam yang terkenal ketika itu adalah Panglima Undang, Pangeran Hj. Omar, Pangeran Mohd Abbas, Orang Kaya Mohd. Arshad and Haji Pati. Pangeran Mohd Abbas dan Pangeran Hj. Omar dikenali mempunyai pengetahuan yang baik mengenai undang-undang adat dan undang-undang Islam.

[5] M.B. Hooker, Native Law in Sabah and Sarawak dalam Native Court and customary law of Sabah (with cases and decisions), Jabatan Cetak Kerajaan, Sabah, 1993, hal. 8-9; Lihat juga Jasri @ Nasip B. Matjakir, Qadi: Perlantikan, Bidangkuasa dan Permasalahan, Satu Kajian di Sabah, Kertas Projek Diploma Pentadbiran Undang-Undang dan Kahakiman Islam (DAIJ), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Petaling Jaya, 1993, hal. 43-50. Native Court Ordinance 1953 telah dipinda sebanyak 2 kali iaitu pada tahun 1958 dan 1959.

[6]Sabihah Osman, “Perkembangan politik di Sabah” dalam Hairi Abdullah, Abdul Samad Hadi & Zulkifly Haji Mustapha (eds), Sabah: Perubahan dalam pembangunan, Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, 1986, hal. 75; Semasa pendudukan Jepun di Sabah, Tun Datu Mustapha bin Datu Harun telah dilantik sebagai KAN bagi menggantikan bapanya yang telah meninggal dunia di Kudat pada tahun 1942. Untuk lebih lanjut, lihat dalam Sabihah Osman, Ismail Ali & Baszley Bee B. Basrah Bee, Tun Datu Hj. Mustapha bin Datu Harun: Jasabaktinya dalam pembangunan sosial Sabah, Universiti Malaysia Sabah, 2006, hal. 4; Abdul Hadi Harman Shah, Junaenah Sulehan, Mohamed Yusoff Ismail, Nor Azizan Idris & Zahra Yaacob, Tun Mustapha dan pembangunan Sabah, Yayasan Sabah,  Edisi Pertama, Sabah, 2003, hal. 11-13.

[7] Jasri @ Nasip B. Matjakir, Qadi: Perlantikan, Bidangkuasa dan Permasalahan, Satu Kajian di Sabah, Kertas Projek Diploma Pentadbiran Undang-Undang dan Kahakiman Islam (DAIJ), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Petaling Jaya, 1993, hal. 47.

[8] Lihat misalnya Mohammad Agus Yusoff, Malaysian federalism: Conflict or consensus, Bangi, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2006, hal. 229-233.

[9] Abdul Malek Unar, Jatuh bangunnya PBS: Parlimen satu penentuan, Kota Kinabalu, Sabah Media Network, 1994, hal. 12-20; Muhiddin Yusin, Islam di Sabah, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990, hal. 34; Jeffrey G. Kitingan, Justice for Sabah, Shelma Publications and News Agency, Lahad Datu, Sabah, 2006, hal. 12-18; Patrick bin Sindu & Abdul Malek Unar, Isu 20 pekara: Jaminan dan perlindungan, STUDIO 3, Kota Kinabalu, 1993, hal. 16-21.

[10] Dalam Perkara 20, perkara agama bagi Negeri Sabah telah diletakkan di tempat pertama dalam senarai. Perkara Pertama menyebutkan bahawa sementara Islam diiktiraf dan diterima sebagai agama bagi persekutuan, Negeri Sabah tidak akan memasukkan mana-mana agama sebagai agama bagi Negeri Sabah. Kenyataan ini menunjukkan betapa sentimen keagamaan begitu menebal khususnya di kalangan pemimpin Kristian di Sabah di ambang kemerdekaan Sabah tahun 1963. Justeru, tidak memeranjatkan apabila Perlembagaan Negeri Sabah tidak memperuntukkan Islam sebagai agama bagi Sabah ketika mencapai kemerdekaan. Kekosongan ini akhirnya berakhir apabila Islam dengan rasminya menjadi agama bagi Negeri Sabah apabila ianya dimasukkan dalam Perkara 5(1A) Perembagaan Negeri Sabah pada tahun 1973.

[11] Subky Latif, Sebahagian dari memoir Tun Datu Mustapha: Merdeka melalui Malaysia, Kuala Lumpur, Pustaka Antara, 1981, hal. 83. Dalam nada kesal Tun Mustafa menyatakan “adakah peranan Islam sebagai agama rasmi Negara langsung tidak memberi apa-apa erti kepada Kerajaan Sabah?”. Tun Mustapha menggunakan ungkapan “agama rasmi Negara” sebagai merujuk kepada Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Beliau tidak menggunakan ungkapan “agama rasmi bagi negeri Sabah” memandangkan ketika itu, Islam belum lagi menjadi agama rasmi bagi Sabah.

[12] Emin Madi, Sinar perjuangan USIA, Sabah: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), 2009, hal. 93; Jeffrey G. Kitingan, Justice for Sabah, Lahad Datu: Shelma Publications and News Agency, 2006, hal. 101.

[13] Johari Alias, How Islam spread to Sabah dalam Cenderamata  Masjid Negeri Sabah bersempena perasmian Masjid Negeri Sabah oleh Yang DiPertuan Agong Malaysia pada 28 Jun 1977, hal. 43. Lihat juga Herman Luping dalam artikelnya “Formation of Malaysia Revisited” dalam Jeffrey G. Kitingan & Maximus J. Ongkili (e.d), Sabah 25 years later: 1963-1988, Institute for Development Studies (Sabah), 1989, hal. 58.; Information Malaysia 1992-93 yearbook, Berita publishing  Sdn. Bhd, Kuala Lumpur, 1992, hal. 81.

[14] Untuk rujukan selanjutnya, lihat Mohammad Agus Yusoff, Malaysian federalism: Conflict or consensus, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2006, hal. 229-233.

[15] Jasri @ Nasip B. Matjakir, Qadi: Perlantikan, Bidangkuasa dan Permasalahan, Satu Kajian di Sabah, Kertas Projek Diploma Pentadbiran Undang-Undang dan Kahakiman Islam (DAIJ), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Petaling Jaya, 1993, hal. 50.

[16] Jasri @ Nasip B. Matjakir, Qadi: Perlantikan, Bidangkuasa dan Permasalahan, Satu Kajian di Sabah, Kertas Projek Diploma Pentadbiran Undang-Undang dan Kahakiman Islam (DAIJ), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Petaling Jaya, 1993, hal. 50-52.

[17] Lihat Seksyen 108, Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1977.

[18] Lihat Seksyen 46(1)(2)(3), Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1977.

[19] Datuk Hj. Ahmad bin Idris adalah Kathi Besar yang pertama di Mahkamah Syariah Negeri Sabah. Beliau berasal dari Negeri Kelantan. Sehingga tulisan ini dibuat, Penulis belum menemui maklumat mengenai Kathi Besar Mahkamah Syariah yang kedua. Qadi Besar Sabah yang ketiga adalah Datuk Hj. Mohd Noor Wahab. Beliau memegang jawatan tersebut semenjak tahun 1992. Apabila Enakmen Mahkamah Syariah Sabah 1992 diluluskan, gelaran Qadi Besar dimansukhkan dan digantikan dengan gelaran Ketua Hakim Syarie bermula 1 Januari 1996. Beliau memegang jawatan Qadi Besar dan seterusnya Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah sehingga tahun 1999. Ini bermakna, beliau merupakan Ketua Hakim Syarie pertama bagi Negeri Sabah. Beliau digantikan oleh Datuk Hj. Aidi Mokthar yang memegang jawatan ini bermula tahun 1999 hingga 2010. Jawatan tersebut kemudiannya dipegang oleh Ketua Hakim Syarie yang baru iaitu Yang Amat Arif Datuk Jasri @ Nasip Bin Matjakir bermula tahun 2010 sehingga kini. Datuk Hj. Aidi Mokthar telah mengosongkan jawatan tersebut berikutan perlantikan beliau sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Putrajaya pada tahun 2010. Datuk Hj. Aidi Mokthar merupakan anak jati Sabah yang pertama memegang jawatan sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah di peringkat Persekutuan.

[20] Jasri @ Nasip B. Matjakir, Qadi: Perlantikan, Bidangkuasa dan Permasalahan, Satu Kajian di Sabah, Kertas Projek Diploma Pentadbiran Undang-Undang dan Kahakiman Islam (DAIJ), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Petaling Jaya, 1993, hal. 54.

[21] Lihat Seksyen 47, Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1977.

[22] Lihat Seksyen 48(1), Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1977.

[23] Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak No. 15 Tahun 1977 (Pindaan 1981) mula berkuatkuasa 1hb. Disember 1981; Penubuhan ketiga-tiga peringkat Mahkamah tersebut boleh dirujuk kepada Seksyen 46(1), (2) dan (3) Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak No. 15 Tahun 1977 (Pindaan 1981).

[24] Penulis berterimakasih atas maklumat yang diberikan oleh Yang Arif Ahmad bin Lakim mengenai perkara ini pada 2hb. Disember 2012. Beliau kini memegang jawatan sebagai Pengarah Bahagian Latihan di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Putrajaya sejak tahun 2010. Sebelum ke Putrajaya, beliau pernah memegang jawatan sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah dari tahun 1996 hingga 1998. Selepas itu beliau kemudiannya memegang jawatan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Sabah antara tahun 1998 sehingga 2010.

[25] Ketua Hakim Syarie yang pertama bagi Negeri Sabah adalah Datuk Hj. Mohd Noor Wahab. Beliau bersara dari perkhidmatan kehakiman pada tahun 1999 dan digantikan oleh Datuk Hj. Aidi Mokthar, anak kelahiran Daerah Papar, Sabah.

[26] Lihat Seksyen 4(1),(2) dan (3) Enakmen Mahkamah Syariah No. 14 Tahun 1992.

[27] Perkara 74(2), Perlembagaan Persekutuan.

[28] Perkara 75, Perlembagaan Persekutuan.

[29] Lihat Seksyen 12, Enakmen Mahkamah Syariah 2004.

[30] Lihat Seksyen 11, Enakmen Mahkamah Syariah 2004.

[31] Lihat Seksyen 13, Enakmen Mahkamah Syariah 2004.

[32] Lihat Seksyen 16, Enakmen Mahkamah Syariah 2004.

[33] Lihat Seksyen 17, Enakmen Mahkamah Syariah 2004.

[34] Lihat Seksyen 18, Enakmen Mahkamah Syariah 2004.

[35] Noh bin Abdul Aziz & Anor v Director of Lands & Surveys, Kota Kinabalu & Anor, High Court Tawau Originiting Motion No. T(25)-01 of 1999.

[36] Mohd Ridzuan Awang, Isu-Isu Semasa Dalam Pentadbiran Harta Pusaka Orang Islam di Malaysia dalam Isu Syariah dan Undang-Undang disunting Mohammad Zaini, Abdul Basir Mohamad, Mohd. Nasran Mohamad dan Mohd Zamro Muda, Siri 16, Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 2007, hal. 166.

[37] Kes jenayah No. S-3/95-7(7) tahun 2001. Kes ini diputuskan oleh yang Arif Jasri bin Matjakir.

[38] Kes Jenayah No. S-3/95-7 (03) tahun 2001. Kes diputuskan oleh Yang Arif Jasri bin Matjakir.

Posted in AGAMA, UNDANG-UNDANG | Di tag: , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , | Leave a Comment »

PERANAN INSTITUSI RAJA DALAM MENANGANI GEJALA MURTAD DI MALAYSIA

Posted by ERAKITA di 7 Januari 2014

PERANAN INSTITUSI RAJA DALAM MENANGANI GEJALA MURTAD DI MALAYSIA

7 Januari 2014

PENGENALAN

Institusi Raja di Negara ini telah lama wujud sejak berabad-abad lamanya. Apabila raja memeluk Islam, rakyat turut memeluk Islam. Demikianlah apa yang berlaku dalam sejarah kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 di mana rakyat ikut memeluk Islam apabila Raja Parameswara memeluk Islam apabila mengahwini Puteri Pasai. Sebagai pemerintah, raja atau sultan juga merupakan ketua bagi Agama Islam semenjak Kesultanan Melayu Melaka lagi.

Institusi raja terus dihidupkan di negeri-negeri lain walaupun setelah kejatuhan Melaka kepada Portugis pada tahun 1511. Kedatangan penjajah British juga tidak berupaya menghapuskan institusi beraja ini. Bahkan, selain dipertahankan, agama Islam telah diletakkan di bawah kuasa raja-raja Melayu yang tidak boleh diganggu gugat oleh British. Hal yang sama kekal berterusan sehingga Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957. Bukan saja dikekalkan, bahkan institusi raja diberikan kedudukan dan kuasa tertentu dalam Perlembagaan. Salah satu peranan penting yang diberikan oleh Perlembagaan kepada Raja-Raja Melayu adalah fungsinya sebagai Ketua Agama bagi negerinya.

Sebagai ketua agama, Penulis ingin membincangkan sejauhmana peranan institusi raja dalam menangani isu murtad yang jelas mengancam kedudukan dan kesucian agama Islam. Persoalannya, apakah raja boleh memainkan peranannya dalam hal ini sedangkan institusi ini tertakluk kepada satu prinsip yang dinamakan Raja Berperlembagaan?

PERANAN RAJA-RAJA MENANGANI MURTAD

Bagi negeri-negeri yang mempunyai raja atau sultan, ketua bagi agama Islam adalah raja atau sultan di negeri masing-masing.[1] Bagi negeri-negeri yang tidak beraja, Perlembagaan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong merupakan ketua agama Islam bagi negeri-negeri berkenaan.[2] Semasa menjalankan tugas sebagai ketua agama Islam, raja-raja dibantu dan dinasihati oleh Majlis Agama Islam di negeri masing-masing.[3]

Walaupun istilah Raja Berperlembagaan dimaksudkan bahawa Raja bertindak atas nasihat kabinet, namun pada akhirnya terpulang kepada raja itu sendiri untuk membuat pilihan samada menurut atau tidak. Bagi Abdul Aziz Bari, seorang pakar undang-undang perlembagaan, prinsip ini adalah suatu prinsip yang umum yang  tertakluk kepada pengecualian-pengecualian tertentu. Tambahan pula, peranan raja dalam perlembagaan lebih bersandar kepada mekanisma check and balance atau semak dan imbang.[4] Dalam hal ini, raja-raja perlu berbuat sesuatu untuk mengelak dari berlakunya keadaan yang lebih teruk dalam Negara yang melibatkan kepentingan umat Islam seperti murtad.

Perlembagaan jelas memberi kuasa mengikut budi bicara raja-raja dalam menjalankan tugas mereka sebagai ketua agama Islam.[5] Mengenai perkara ini, Abdul Aziz Bari menegaskan bahawa dalam hal ehwal mengenai kedudukan dan kuasa raja sebagai ketua agama, raja tidak perlu mendapat atau mendengar nasihat kerajaan yang memerintah.[6] Pandangan ini boleh diterima kerana kesulitan boleh berlaku sekiranya kabinet yang memerintah negeri itu bukan terdiri dari orang Islam. Hal ini boleh berlaku kerana tidak ada mana-mana peruntukan dalam perlembagaan yang menyatakan bahawa jawatan Perdana Menteri atau kabinet semestinya dipegang oleh orang Melayu atau Islam. Adapun pihak yang diberi tanggungjawap oleh perlembagaan untuk menasihati raja dalam hal ehwal agama Islam adalah Majlis Agama Islam sendiri yang sudah tentu turut dianggotai oleh ulama.[7]

Peranan YDPA dalam hal ini jelas sekali bertepatan dengan lafaz sumpah yang diungkapkannya sewaktu pertabalan baginda. Sumpah yang dilakukan dengan nama Allah itu antara lain menyebutkan bahawa YDPA berikrar dan mengaku memelihara agama Islam pada setiap masa.[8] Majlis Raja-Raja juga boleh memainkan peranannya dalam dalam konteks membendung gejala murtad. Perkara 38(2) Perlembagaan Persekutuan jelas menyebut bahawa antara lainnya bahawa Majlis Raja-Raja boleh memberikan persetujuan atau menolak untuk bersetuju dengan apa-apa perbuatan atau upacara keagamaan dalam Persekutuan. Selain itu disebutkan juga bahawa Majlis Raja-Raja juga hendaklah menjalankan tugasnya bagi menimbangkan apa-apa perkara yang difikirkannya patut.[9]

Boleh dihujahkan bahawa perkataan “apa-apa perkara yang difikirkan patut” merupakan ungkapan yang umum. Bagi Penulis, gejala murtad yang berlaku di Negara ini merupakan salah satu perkara yang patut dan perlu diberi perhatian serius oleh raja-raja kerana ia melibatkan kepentingan umum dan agama Islam itu sendiri.

Tindakan keluar dari Islam adalah tindakan yang menjejas dan membelakangkan kepentingan dan kemurnian Islam sebagai agama Persekutuan. Tindakan murtad lebih-lebih lagi melibatkan orang Melayu bukan saja satu bentuk pengkhianatan terhadap Islam tetapi juga penghinaan terhadap institusi raja yang sememangnya dari kalangan orang Melayu. Boleh dihujahkan bahawa sebagai ketua agama Islam, tindakan keluar Islam secara tidak langsung dilihat sebagai membelakang dan mencabar institusi raja sebagai ketua bagi agama Islam di negerinya.

Apa yang boleh dilakukan oleh Raja-Raja umpamanya adalah dengan menganjurkan pihak berkuasa agama dan badan-badan NGO supaya diadakan lebih banyak forum dan muzakarah berkenaan fenomena murtad. Oleh kerana tindakan keluar Islam ada kaitan langsung dengan kedangkalan ilmu dan kerosakan akidah seseorang, adalah wajar institusi raja memberi penekanan kepada rakyat supaya usaha meningkatkan ilmu pengetahuan mengenai Islam diperhebatkan.

Memandangkan bahasa rasmi Negara adalah bahasa Melayu, tambahan pula ia merupakan salah satu unsur tradisi dalam perlembagaan, adalah wajar sekali institusi raja menitahkan umat Islam untuk mempergiatkan penulisan mengenai ajaran Islam dalam bahasa Melayu. Hal ini tidak menghairankan kerana penulisan kitab-kitab kuning mengenai agama Islam dalam bahasa Melayu telah lama dilakukan ratusan tahun sebelum kemerdekaan dicapai pada tahun 1957.[10]

Institusi raja juga boleh berperanan untuk membendung gejala murtad dengan memberikan galakan kepada aktivis-aktivis agama untuk menubuhkan pusat atau rumah perlindungan atau tumpangan bagi golongan muallaf. Ini kerana, golongan ini berhadapan dengan cabaran hebat terutama tindakan pemulauan dari keluarga mereka yang bukan Islam.

Dalam aspek undang-undang, raja-raja boleh berperanan dengan menitahkan agar Badan Perundangan Negeri menggubal undang-undang bagi menyekat dan mengawal penyebaran dan pengembangan doktrin atau agama lain di kalangan umat Islam. Hal ini selaras dengan peruntukan Perlembagaan yang memberi ruang kepada negeri-negeri untuk mengubal undang-undang sedemikian di negeri masing-masing.[11] Meskipun diberikan ruang, tidak semua negeri telah mengambil tindakan menggubal undang-undang sedemikian rupa.[12]

Dalam kontek penguatkuasaan undang-undang, raja-raja boleh mengesyorkan dan menitahkan kepada pihak berkaitan agar disegerakan pembinaan pemulihan akidah. Di Sabah umpamanya, mana-mana pesalah yang disabitkan oleh Mahkamah Syariah kerana melakukan percubaan murtad hendaklah dihantar ke Pusat Bimbingan Islam selama 36 bulan untuk pemulihan akidah.[13] Pusat Bimbingan berkenaan telahpun didirikan di Kinarut dalam Daerah Papar, Sabah dan hanya menunggu masa untuk beroperasi. Sebagai ketua agama Islam di Sabah, Yang di-Pertuan Agong boleh menasihatkan atau mengesyorkan kepada pihak kerajaan negeri untuk mengambil tindakan yang perlu bagi memastikan pusat berkenaan dapat menjalankan operasinya menurut undang-undang yang ada. Di samping dapat menguatkuasakan undang-undang murtad, usaha ini sekaligus dapat pula menyumbang bagi mengurangkan gejala murtad yang semakin bertambah di Malaysia dan khususnya di Sabah.

Kewujudan unsur tradisi perlembagaan yang kesemuanya mempunyai kaitan dengan Islam sesungguhnya mempunyai nilai dan peranan tersendiri untuk memastikan Islam terus terpelihara dan terjamin dalam perlembagaan. Dalam hal ini, Penulis amat bersetuju dengan pandangan Abdul Aziz Bari yang menyatakan bahawa tindakan pertubuhan Islam menghantar memorandum kepada Majlis Raja-Raja berkaitan isu-isu kepentingan agama Islam merupakan satu pengiktirafan tinggi terhadap institusi Raja di peringkat Persekutuan.[14] Hal ini boleh berlaku kerana rakyat merasakan bahawa mereka tidak mempunyai lagi saluran atau sandaran terakhir yang boleh dirujuk melainkan institusi Raja-raja Melayu.

 

PENUTUP

Sementara kepercayaan yang diberikan oleh rakyat masih tinggi, Raja-Raja Melayu sewajarnya memanfaatkan ruang ini secara proaktif dengan menunjukkan reaksi dan tindakbalas yang wajar dan bersesuaian. Kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap institusi raja dan bahasa Melayu sejak dahulu lagi seharusnya menjadi satu kekuatan kepada umat Islam untuk terus memperkukuhkan kedudukan Islam di Malaysia. Kekukuhan agama Islam dapat dipertahankan antara lainnya dengan melakukan usaha yang hebat untuk mengekang menularnya gejala murtad di Negara ini.


[1] Perlembagaan Malaysia, Perkara 3(2).

[2] Perlembaaan Persekutuan, Perkara 3(3) dan (4). 5 buah negeri yang tidak beraja adalah Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

[3] Lihat misalnya Perlembagaan Negeri Kedah, Perkara 33B(1); Perlembagaan Negeri Melaka, Perkara 5(2); Perlembagaan Negeri Sabah, Perkara 5B(2).

[4] Abdul Aziz Bari, Politik perlembagaan: Suatu perbincangan tentang isu-isu semasa dari sudut perlembagaan dan undang-undang, Institut Kajian Dasar (IKD), 2005, at 163-165.

[5] Perlambagaan Persekutuan, Jadual Kelapan, Butiran 1(2)(d).

[6] Abdul Aziz Bari, Politik perlembagaan: Suatu perbincangan tentang isu-isu semasa dari sudut perlembagaan dan undang-undang, Institut Kajian Dasar (IKD), 2005, at 163-165; Abdul Aziz Bari, Islam dalam perlembagaan Malaysia, Petaling Jaya: Intel Multimedia and Publication, 2005, hal. 54; Mohd Hisham Mohd Kamal, “Kedudukan dan peranan raja-raja dalam pentadbiran agama Islam” dalam Mahamad Arifin et el, Pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Jilid 12, 2007, hal. 58.

[7] Perlembagaan Persekutuan, Perkara 3(5). Lihat juga sebagai contohnya Perlembagaan Negeri Kedah, Perkara 33B(1); Perlembagaan Negeri Sabah, Bab 2, Perkara 5B(2).

[8] Perlembagaan Persekutuan, Jadual Keempat, Bahagian 1, Perkara 37.

[9] Perlembagaan Persekutuan, Perkara 38(2).

[10] Batu Bersurat Trengganu yang bertarikh 1303 SM yang mengandungi 10 peraturan mengenai undang-undang Islam ditulis dalam bahasa Melayu. Kitab undang-undang Islam bertajuk Sirat al Mustaqim yang ditulis oleh Sheikh Nuruddin al-Raniri pada kurun ke-17 adalah berbahasa Melayu. Ini semua dengan jelas menunjukkan betapa pemakaian bahasa Melayu begitu meluas dan dominan di nusantara Melayu sejak ratusan tahun yang lampau.

[11] Perlembagaan Persekutuan, Perkara 11(4).

[12] Sehingga kini, hanya 4 buah negeri yang belum menggubal undang-undang sekatan dan kawalan penyebaran doktrin atau agama lain di kalangan orang Islam. Negeri-negeri tersebut adalah Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Sebagai ketua agama bagi negeri-negeri yang tidak beraja ini, Yang di-Pertuan Agong boleh memainkan peranan untuk menggesa penggubalan undang-undang tersebut bagi negeri-negeri berkenaan.

[13] Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Sabah, 1995, Seksyen 63.

[14] Abdul Aziz Bari, Majlis Raja-Raja: Kedudukan dan peranan dalam Perlembagaan Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002, hal. 87-88; Mohd Hisham Mohd Kamal, “Kedudukan dan peranan raja-raja dalam pentadbiran agama Islam” dalam Mahamad Arifin et el, Pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Jilid 12, 2007, hal. 67-68.

Posted in AGAMA, UNDANG-UNDANG | Di tag: , , , , , , , | Leave a Comment »

PERANAN MAHKAMAH ANAK NEGERI ANTARA AKTA MEMPERBAHARUI UNDANG-UNDANG (PERKAHWINAN DAN PERCERAIAN) 1976 DAN ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 2004

Posted by ERAKITA di 3 Januari 2014

PERANAN MAHKAMAH ANAK NEGERI ANTARA AKTA MEMPERBAHARUI UNDANG-UNDANG (PERKAHWINAN DAN PERCERAIAN) 1976 DAN ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 2004.

 

Ahadin bin Arinen[1]

 

PENDAHULUAN

Mahkamah Anak Negeri (MAN) merupakan salah satu institusi kehakiman yang telah lama wujud di Negeri Sabah. Kewujudannya ada kaitan dengan pertapakan secara rasmi Syarikat Borneo Utara British (SBUB) di negeri ini pada tahun 1881. Tulisan ini membincangkan mengenai peranan MAN dalam konteks mentadbir dan melaksanakan undang-undang adat dengan mengambilkira undang-undang bertulis yang terpakai bagi mahkamah lain iaitu Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Perkara ini perlu dijelaskan memandangkan adanya satu peruntukan khas dalam Enakmen Mahkamah Anak Negeri tahun 1992 (EMAN 1992) iaitu Seksyen 9 yang menyatakan bahawa Mahkamah Anak Negeri tidak berbidang kuasa ke atas mana-mana perkara yang terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Penjelasan mengenai perkara ini dapat mengelak dari berlakunya isu pertindihan bidangkuasa mendengar kes khususnya di pihak MAN sendiri.

PENUBUHAN MAHKAMAH ANAK NEGERI

Mahkamah Anak Negeri ditubuhkan di bawah Bahagian II yang meliputi Seksyen 3, 4 dan 5 EMAN 1992. Melalui peruntukan tersebut, Yang di-Pertua Negeri Sabah diberi kuasa untuk menubuhkan Mahkamah Anak Negeri di mana-mana tempat yang disifatkan patut dan boleh menetapkan wilayah bidang kuasa mahkamah-mahkamah berkenaan melalui pewartaan. Kewujudan MAN dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan yang memberi pengiktirafan kepada kedua Negeri Sabah dan Sarawak untuk meneruskan pemakaian dan pelaksanaan undang-undang adat anak negeri, termasuk penubuhan Mahkamah Anak Negeri.[2]

Terdapat 3 peringkat MAN di Sabah yang terdiri daripada:

(a)    Mahkamah Anak Negeri[3]

(b)   Mahkamah Anak Negeri Daerah[4]

(c)    Mahkamah Rayuan Anak Negeri[5]

 

BIDANGKUASA MAHKAMAH ANAK NEGERI SABAH

Bidangkuasa MAN boleh dilihat dengan jelas dalam Seksyen 6(1) Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992 seperti berikut:

(a)    Kes-kes yang timbul daripada perlanggaran undang-undang atau adat anak negeri yang semua pihaknya adalah anak negeri;

(b)   Kes-kes yang timbul daripada perlanggaran jundang-undang atau adat anak negeri, daripada segi agama, perkahwinan atau seksual, jika izin bertulis Pegawai Daerah yang bertindak atas nasihat dua orang Ketua Anak Negeri telah didapatkan bagi memulakan prosiding, jika satu pihaknya adalah bukan anak negeri;

(c)    Kes-kes melibatkan undang-undang atau adat anak negeri berhubung dengan-

(i)                 Pertunangan, perkahwinan, perceraian, pembatalan perkahwinan atau pemisahan kehakiman;

(ii)               Pengambilan anak angkat, penjagaan dan keesahan;

(iii)             Hadiah atau pewarisan dengan wasiat atau tak berwasiat; dan

(d)   Kes-kes lain jika bidang kuasa diberikan kepadanya oleh Enakmen ini atau mana-mana undang-undang bertulis yang lain.

Bidangkuasa jenayahnya dikawal oleh Akta Mahkamah Anak Negeri (Bidangkuasa Jenayah) 1991. Dalam akta ini, MAN diberi kuasa menghukum dengan denda kepada pesalah jenayah tidak melebihi RM5,000.00 atau penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya.[6]

 

SEKSYEN 9 DAN IMPLIKASINYA KE ATAS BIDANG KUASA MAHKAMAH ANAK NEGERI

Penambahbaikan undang-undang bertulis di Malaysia dan khususnya di Sabah terus berlaku. Pada tahun 1988, telah berlaku sejarah penting bagi negara apabila Parlimen meluluskan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara. Pindaan pada perkara 121(1A) Perlembagaan telah menyingkirkan sebarang tindakan Mahkamah Awam untuk mendengar dan memutuskan kes yang mana jelas jatuh di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah. Bidangkuasa Mahkamah Syariah secara amnya dapat dilihat pada Senarai 2, Jadual 9, Perlembagaan Persekutuan.

Dalam konteks Mahkamah Anak Negeri, perkara yang sama juga berlaku 4 tahun kemudian. Pada tahun 1992, Badan Perundangan Negeri Sabah telah meluluskan satu undang-undang khas bagi Mahkamah Anak Negeri yang dinamakan sebagai Enakmen Mahkamah Anak Negeri, 1992. Selaras dengan roh dan semangat Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan di atas, Enakmen ini turut memasukkan satu peruntukan penting bagi mengelak terjadinya konflik pertindihan bidangkuasa antara Mahkamah Anak Negeri dengan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Seksyen 9 EMAN 1992 menyebut seperti berikut:

Mahkamah Anak Negeri tidak boleh mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa kuasa atau perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil.

Dapat difahami bahawa MAN tidak berbidangkuasa ke atas perkara atau kuasa yang jatuh di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil.  Dalam konteks undang-undang keluarga, agama yang dianuti oleh seseorang yang berstatus Anak Negeri atau bumiputera, tanpa mengira di mana ia tinggal, samada di Sabah, Sarawak atau di Semenanjung boleh memberi kesan perundangan ke atas dirinya, khususnya perkara berkaitan perkahwinan dan perceraian. Jika ia seorang Muslim, tidak ada pilihan lain melainkan tertakluk kepada undang-undang keluarga Islam. Sebaliknya bagi orang bukan Islam, mereka mempunyai pilihan samada memilih untuk menggunakan saluran undang-undang Sivil atau undang-undang adat.[7]

Bagi penulis, antara langkah yang boleh diambil sebelum MAN mendengar kes di hadapannya bagi mempastikan samada kes berkenaan jatuh di bawah bidang kuasanya atau tidak adalah:

(a)    memastikan apakah bentuk atau jenis tuntutan atau dakwaan pihak dalam kes berkenaan. Jika aduan atau dakwaan adalah berkenaan rogol atau mencuri, maka awal-awal lagi kes berkenaan tidak patut dilayan di Mahkamah Anak Negeri. Ini kerana, ia jelas jatuh di bawah bidangkuasa Mahkamah Awam.

(b)   Memastikan bahawa hanya perkara berkaitan adat sahaja yang boleh dikendalikan di Mahkamah Anak Negeri. Jika, perkara yang dibawa tidak ada kaitan dengan adat, itu satu tanda yang jelas bahawa perkara tersebut perlu dibawa ke Mahkamah yang lain.

(c)    Memastikan apakah agama pihak yang mengemukakan kes di hadapannya. Jika pihak adalah orang Islam, perlu pula lihat apakah jenis atau perkara yang dibawa itu termasuk dalam senarai perkara yang boleh didengar dan dibicarakan di Mahkamah Anak Negeri.

Bagi memudahkan usaha ini, adalah disarankan bahawa setiap warga MAN mempunyai senarai yang jelas mengenai perkara yang jatuh di bawah bidang kuasanya dan perkara yang jatuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Sivil. Jika senarai ini belum diwujudkan, penulis mencadangkan agar satu usaha dilaksanakan untuk merealisasikan perkara ini. Senarai berkenaan boleh ditulis dalam bentuk buku untuk menjadi panduan kepada semua warga Mahkamah Anak Negeri. Ini kerana, terdapat juga kes-kes di mana Mahkamah Anak Negeri boleh mendengar dan memutuskan kes adat melibatkan orang-orang Islam sebagaimana dapat dilihat dalam Kaedah-Kaedah Mahkamah Anak Negeri 1995. Usaha ini dilihat amat berkesan bagi mengelak sebarang kekeliruan mahupun pertindihan dalam menguatkuasa dan melaksanakan undang-undang.

Warga Mahkamah Anak Negeri juga disarankan agar memiliki undang-undang bertulis yang terpakai bagi Mahkamah Syariah. Alangkah cantiknya jika perpustakaan Mahkamah Anak Negeri di setiap daerah mempunyai barisan dan rangkaian Enakmen yang terpakai bagai Mahkamah Syariah! Termasuk undang-undang bertulis yang perlu dibekalkan adalah Perlembagaan Persekutuan, Kanun Keseksaan (Penal Code),  Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 dan lain-lain lagi yang dikira relevan. Bagi Penulis, ini suatu keperluan yang wajar diberi perhatian. Ia memudahkan para Hakim Mahkamah Anak Negeri membuat rujukan degan cepat dan tepat bagi mengelak berlakunya pendengaran kes yang tidak sepatutnya didengar di Mahkamah berkenaan.

Perlu ditekankan bahawa sebarang tindakan mana-mana mahkamah untuk mendengar, membicara dan memutuskan suatu kes yang bukan dalam bidang kuasanya akan menyebabkan keputusan tersebut boleh dicabar di Mahkamah Sivil. Jika jelas tiada bidang kuasa, keputusan mahkamah berkenaan boleh dibatalkan dan ini merugikan pihak-pihak yang terlibat dari segi kos, tenaga dan masa.

 

SEKSYEN 9 EMAN 1992 DAN AKTA MEMPERBAHARUI UNDANG-UNDANG (PERKAHWINAN DAN PERCERAIAN) 1976 (AMU 1976)

Bagi orang-orang bukan Islam, undang-undang keluarga yang digunakan adalah Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian), 1976 (AMU 1976). Undang-undang ini terpakai hanya kepada semua orang bukan Islam[8] dalam Malaysia dan tinggal di luar Malaysia tetapi masih berdomisil di Malaysia. Akta ini juga tidak terpakai kepada bumiputera Sabah atau Sarawak atau orang Asli Malaysia. Bagi kaum bumiputera bukan Islam Sabah dan Sarawak atau orang asli Malaysia, mereka tertakluk kepada undang-undang atau adat bumiputera. Bagaimanapun, mereka boleh membuat pilihan untuk berkahwin menurut AMU 1976.[9] Peruntukan undang-undang ini dilihat unik dan menarik memandangkan kaum bumiputera bukan Islam diberi kebebasan untuk memilih samada berkahwin menurut Akta ini atau menurut undang-undang adat atau bumiputera.

Ini bermakna, sekiranya kaum bumiputera bukan Islam memilih untuk berkahwin di bawah AMU 1976, mereka adalah tertakluk kepada Akta ini. Apa sahaja kehendak undang-undang di bawah Akta ini mestilah dipatuhi seperti kebenaran berkahwin, pendaftaran perkahwinan, perceraian dan tuntutan samada dalam tempoh perkahwinan atau selepas perkahwinan. Dapat difahami bahawa jika perkahwinan kaum bumiputera bukan Islam didaftarkan di bawah Akta ini, maka sebarang tuntutan termasuk perceraian, ganti rugi dalam perkahwinan, nafkah dan lain-lain hendaklah didengar di Mahkamah Sivil. Mahkamah Anak Negeri tidak lagi seharusnya melayan tuntutan mereka di Mahkamah Anak Negeri.

Ketika permohonan dikemukakan di pejabat MAN, jika pendaftar mahkamah melihat bahawa sijil perkahwinan tersebut didaftarkan di bawah AMU 1976, pihak pemohon seharusnya dinasihatkan untuk menfailkan tuntutan tersebut di Mahkamah Awam. Tindakan ini wajar bagi mencapai penyelarasan pengurusan kes sesuai kehendak AMU 1976, khususnya seperti dinyatakan dalam seksyen 3(4) akta tersebut. Jika tuntutan tersebut dilayan atau diterima untuk didaftarkan di MAN, kekeliruan dan konflik bidangkuasa mendengar kes antara Mahkamah Sivil dengan MAN akan terus berlaku tanpa noktahnya.

Perlu difahami bahawa pemakaian Akta AMU 1976 adalah terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Sivil. Oleh yang demikian, selaras dengan kehendak Seksyen 9 Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992 yang terang-terangan menyatakan bahawa MAN tidak boleh mempunyai kuasa berkenaan apa-apa kuasa atau perkara yang terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil, maka secara mutlak, MAN adalah tertegah dan tidak berbidangkuasa sama sekali untuk mendengar dan membicara mana-mana kes yang perkahwinan tersebut didaftarkan di bawah AMU 1976.

Dapat juga difahami bahawa bagi kaum bumiputera bukan Islam, sebarang hanya perkahwinan yang tidak didaftarkan di bawah AMU 1976 sahaja yang boleh didengar dan diputuskan oleh MAN. Perkahwinan berdasarkan adat samada dilangsungkan di kampung atau di MAN adalah termasuk perkara yang boleh didengar dan diputuskan oleh MAN.

 

SEKSYEN 9 DAN ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 2004

Selain tidak boleh mendengar, membicara dan memutuskan apa-apa perkara yang jatuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil, MAN juga tidak berbidangkuasa ke atas perkara-perkara yang jatuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.[10] Secara umumnya, bagi melihat apakah perkara-perkara yang terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah, rujukan utama boleh dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang induk dan tertinggi dalam negara. Senarai 2 (Senarai Negeri) Jadual 9, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan seperti berikut:

Kecuali mengenai Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut Ugama Islam, termasuk hukum Syarak berhubung dengan mewarisi harta berwasiat dan tak berwasiat, pertunangan, perkahwinan, perceraian, mas kahwin, nafkah, pengambilan anak angkat, tafar anak, penjagaan anak, pemberian, pembahagian harta dan amanah bukan khairat; Wakaf Islam dan ta’arif  serta peraturan mengenai amanah khairat dan khairat agama, perlantikan pemegang-pemegang amanah dan perbadanan bagi orang-orang mengenai pemberian Ugama Islam dan khairat, yayasan, amanah, khairat dan yayasan khairat yang dijalankan, kesemuanya sekali dalam negeri; adat istiadat Melayu; zakat fitrah dan baitulmal atau hasil Ugama Islam yang seumpamanya; masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam; mengadakan dan menghukum kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang-orang yang menganut Ugama Islam terhadap rukun-rukun Islam, kecuali mengenai perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan, keanggotaan, penyusunan dan acara bagi Mahkamah-Mahkamah Syariah, yang akan mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang-orang yang menganut Ugama Islam dan hanya mengenai mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa mengenai kesalahan-kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh Undang-undang Persekutuan, mengawal pengembangan iktikad dan kepercayaan antara orang-orang yang menganut Ugama Islam; menentukan perkara-perkara hukum Syarak dan iktikad dan istiadat Melayu.

Negeri-negeri diberi kuasa untuk menubuhkan Mahkamah Syariah dan membuat undang-undang khusus untuk orang-orang Islam.[11] Bagaimanapun, undang-undang yang diluluskan melalui Badan Perundangan Negeri tidak boleh berlawanan dengan perkara-perkara yang telahpun disenaraikan dalam Senarai Negeri dalam Perlembagaan Persekutuan itu.[12] Semua negeri di Malaysia termasuk Sabah telahpun mempunyai Mahkamah Syariah sendiri di samping undang-undang yang terpakai bagi orang-orang Islam.

Dalam konteks Mahkamah Syariah Negeri Sabah ketika ini, terdapat 3 peringkat Mahkamah yang telah diberi bidangkuasa masing-masing sebagaimana diperuntukkan dalam Enakmen Mahkamah Syariah 2004. Bidangkuasa mal dan jenayah Mahkamah Syariah di Sabah dapat dilihat seperti yang dinyatakan di bawah ini.[13]

 (a) Dalam bidang kuasa jenayahnya, membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang Islam dan boleh dihukum di bawah Enakmen Majlis Ugama Islam Negeri Sabah 2004, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang berkuat kuasa yang memberi Mahkamah Tinggi Syariah bidang kuasa untuk membicarakan apa-apa kesalahan, dan boleh mengenakan apa-apa hukuman yang diperuntukkan di dalamnya.


(b) Dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam. Perkara dalam tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan:

 

(i) pertunangan, perkahwinan, ruju’, perceraian, pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz, atau pemisahan kehakiman (faraq) atau apa-apa perkara lain yang berkaitan dengan perhubungan antara suami isteri;

(ii) apa-apa pelupusan atau tuntutan harta yang berbangkit daripada mana-mana perkara yang dinyatakan dalam subperenggan (i);

(iii) nafkah orang-orang tanggungan, kesahtarafan, atau penjagaan atau jagaan (hadhanah) kanak-kanak;

(iv) pembahagian atau tuntutan harta sepencarian;

(v) wasiat atau alang semasa marad-al-maut seseorang si mati yang beragama Islam;

(vi) alang semasa hidup (hibbah), atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang memadai dengan wang atau nilaian wang oleh seseorang orang Islam;

(vii) wakaf atau nazr dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya;

(viii) pembahagian dan pewarisan harta berwasiat atau tak berwasiat atau Pelantikan Wasi dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya;

(ix) penentuan orang-orang yang berhak kepada bahagian harta pusaka seseorang si mati yang beragama Islam atau bahagian-bahagian yang kepadanya masing-masing orang itu berhak dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya;

(x) pengisytiharan bahawa seseorang yang telah mati itu ialah seorang Islam atau sebaliknya pada masa kematiannya;

(xi) pendaftaran dan pengambilan anak angkat dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya; dan

(xii) perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya bidang kuasa diberikan oleh mana-mana undang-undang bertulis.

Dalam konteks undang-undang keluarga Islam, rujukan utama bagi Mahkamah Syariah adalah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam, 2004 (EUUKI 2004). Enakmen ini mengandungi 135 seksyen dan terbahagi kepada 10 Bahagian.[14] Ringkasnya, kebanyakan perkara yang terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah adalah berkaitan undang-undang diri yang majoritinya ada kaitan dengan kekeluargaan. Jadual 9 Senarai II Perlembagaan dan Seksyen 11 Enakmen Mahkamah Syariah 2004 menunjukkan bahawa sebahagian besar perkara yang dikendalikan oleh Mahkamah Syariah ada kaitan dengan kekeluargaan.

Bidang kuasa yang telah diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen Mahkamah Syariah 2004 kepada Mahkamah Syariah di atas tidak boleh lagi disentuh atau dikendalikan di MAN dengan adanya Seksyen 9 EMAN 1992. Ini bermakna, apa saja tuntutan atau permohonan orang Islam yang disebutkan dalam undang-undang di atas, termasuk EUUKI 2004 hendaklah didengar dan diputuskan di Mahkamah Syariah.

 

PERKARA-PERKARA YANG BOLEH DIDENGAR DAN DIPUTUSKAN OLEH MAHKAMAH ANAK NEGERI MELIBATKAN ORANG ISLAM

Satu persoalan timbul samada MAN masih berbidang kuasa mendengar dan memutuskan kes melibatkan orang Islam. Perlu ditegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di negara ini tidak ada menyebutkan mana-mana peruntukan yang menegah MAN untuk mendengar kes melibatkan orang Islam. Begitu juga undang-undang bertulis lain, termasuklah EMAN 1992. Semuanya tidak ada menyebutkan secara khusus untuk menyingkirkan sama sekali orang Islam dari menuntut atau dituntut atau menjadi pihak di MAN. Keadaan ini berbeza dengan situasi di Mahkamah Syariah di mana hanya orang Islam sahaja yang boleh menuntut atau dituntut atau menjadi pihak di Mahkamah tersebut. Ini jelas diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan mahupun Enakmen Mahkamah Syariah 2004.

Justeru, orang Islam boleh menjadi pihak di MAN. Hal ini dapat dilihat berdasarkan kepada apa yang terkandung dalam Kaedah-Kaedah Mahkamah Anak Negeri (Undang-Undang Adat Anak Negeri) 1995. Kaedah ini mengandungi 9 Bahagian yang mengandungi perkara-perkara seperti berikut:

(1)   Bahagian I – Permulaan;

(2)   Bahagian II – Serangan, hentaman dan kelakuan mengancam;

(3)   Bahagian III – Kesalahan seksual;

(4)   Bahagian IV – Perkahwinan, pertunangan dan pikatan;

(5)   Bahagian V – Tanah perkuburan dan kematian;

(6)   Bahagian VI – Perangan buruk melampau, kelucahan dan khianat;

(7)   Bahagian VII – Mungkir janji;

(8)   Bahagian VIII – Kelahiran dan pantang adat;

(9)   Bahagian IX – Peruntukan am.

Kaedah yang mengandungi 58 Aturan ini adalah mengandungi perkara-perkara yang melanggar adat anak negeri dan hukuman yang telah ditetapkan bagi sesiapa yang melanggarnya. Penulis berpendapat bahawa banyak perlanggaran adat dalam kaedah ini yang boleh dikenakan kepada orang Islam. Antara contoh perlanggaran adat anak negeri yang mana orang Islam boleh dikenakan di MAN adalah dalam Bahagian II melibatkan serangan, hentaman dan ancaman dengan menanamkan ketakutan untuk mencederakan mana-mana orang. Dalam Bahagian III antaranya adalah perbuatan melakukan persetubuhan haram di ladang atau sawah kepunyaan orang lain. Sungguhpun perbuatan persetubuhan haram orang Islam boleh didakwa di bawah seksyen 80 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 di Mahkamah Syariah, namun pasangan terbabit pada pendapat penulis masih boleh didakwa di MAN atas kesalahan lain iaitu melakukan persetubuhan haram di ladang atau sawah kepunyaan orang lain.

Jika persetubuhan tersebut dilakukan di ladang atau sawah sendiri, maka orang tersebut akan terlepas dari pendakwaan di MAN.[15] Kes-kes lain yang membolehkan orang Islam didakwa di MAN adalah seperti berlakunya kematian ahli keluarga di rumah atau ladang atau sawah kepunyaan orang lain dan bukan sanak saudara simati.[16] Pada pendapat penulis, banyak lagi contoh-contoh perlanggaran adat yang terkandung dalam Kaedah-Kaedah Adat Anak Negeri ini yang membolehkan orang Islam didakwa atau mendakwa di MAN. Adalah dicadangkan bahawa satu usaha dilakukan bagi memperincikan contoh-contoh perlanggaran adat anak negeri yang terkandung dalam Kaedah ini. Rujukan ini penting bagi memudahkan pengurusan kes di MAN dan bagi mengelak salah faham atau sebarang kekeliruan mengenai perkara ini.

 

MASA DEPAN MAN DALAM KONTEKS PERKEMBANGAN UNDANG-UNDANG ADAT DI SABAH

Bagi Penulis, institusi Mahkamah Anak Negeri mempunyai masa depan yang cerah untuk terus bertahan dan berkembang sesuai dengan perkembangan zaman. Usaha-usaha bagi penambah baikan undang-undang yang sedia ada perlu dibuat. Skop perkara yang jatuh di bawah bidangkuasa Mahkamah ini perlu ditambah dan diperluaskan. Ini bukan perkara yang mustahil kerana banyak sekali perkara-perkara dalam kehidupan seharian masyarakat khususnya di Sabah yang saling berkaitan dengan adat.

Masih banyak perkara yang boleh dilakukan untuk memperkasa institusi MAN di Sabah. Dalam bidang kuasa jenayahnya, MAN telah diberikan kuasa menghukum di bawah Akta Mahkamah Anak Negeri (Bidang kuasa Jenayah) 1991. Seksyen 10 EMAN 1992 juga memperuntukkan kuasa kepada MAN untuk menjatuhkan hukuman dalam bentuk denda, penjara atau kedua-duanya kepada pesalah jenayah melibatkan kesalahan perlanggaran adat anak negeri. Bagaimanapun, jelas sekali belum ada undang-undang bertulis mengenai prosedur atau tatacara pengurusan kes jenayah bagi MAN sebagaimana di Mahkamah Sivil mahupun Mahkamah Syariah. Di Mahkamah Syariah sebagai contohnya, telah ada enakmen khas yang dinamakan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2004 yang mengambil pendekatan hampir keseluruhannya dari Kod Acara Jenayah (Criminal Procedure Code) di Mahkamah Sivil. Dalam situasi sekarang, tidak jelas bagaimana tatacara atau prosedur menerima aduan, menyiasat, mendakwa, membicara, mensabit, menghukum dan lain-lain yang saling berkaitan dilaksanakan di MAN.

Dalam menangani perkara kekeluargaan, MAN dibekalkan dengan kuasa untuk mendengar, membicara dan memutuskan perkara mengenai pertunangan, perkahwinan dan perceraian serta tuntutan-tuntutan lain seperti nafkah dan lain-lain yang ada kaitan dengan perkahwinan.[17] Bagaimanapun, sehingga ke saat ini, belum ada suatu undang-undang bertulis bagi menyelaras, menyelia, mengawal, mentadbir dan mengatur hal-ehwal kekeluargaan bagi adat anak negeri.

Pada situasi sekarang, penulis berpendapat bahawa sudah sampai masanya suatu Enakmen Undang-Undang Keluarga Adat Anak Negeri diwujudkan untuk dipakai di MAN. Bagi anak negeri yang memilih untuk mendaftarkan perkahwinan mereka di bawah AMU 1976, masalah tidak akan timbul dari segi kesahihan perkahwinan dan forum mahkamah mana yang akan mereka gunakan jika berlaku tuntutan berkaitan kekeluargaan pada masa hadapan. Bagaimanapun, masalah akan timbul bagi anak negeri yang tidak memilih untuk mendaftarkan perkahwinan mereka di bawah AMU 1976. Mereka ketiadaan satu undang-undang khas yang lengkap yang memperincikan bagaimana suatu urusan perkahwinan dimulakan seperti permohonan berkahwin, pendaftaran kahwin, kebenaran kahwin bagi bawah umur, perceraian, nafkah isteri, nafkah anak, harta sepencarian dan lain-lain lagi.

Justeru, penulis mencadangkan agar undang-undang keluarga bagi anak negeri yang diguna pakai di MAN adalah mengambil roh dan pendekatan dalam EUUKI 2004 yang diguna pakai di Mahkamah Syariah. Enakmen ini tidak jauh berbeza dengan AMU 1976 yang terpakai di Mahkamah Sivil. Kehadiran suatu enakmen keluarga khusus bagi adat anak negeri bagi MAN dilihat mampu memperkaya lagi khazanah perundangan di Negeri Sabah.

Bagi merealisasikan perkara ini, suatu jawatankuasa teknikal undang-undang adat anak negeri Sabah perlu diwujudkan bagi mengkaji, meneliti dan mengenalpasti keperluan undang-undang dan menderaf enakmen bagi MAN serta menjalankan apa-apa fungsi yang difikirkan perlu dari semasa ke semasa. Peranan yang dimainkan oleh Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Sivil dan Hukum Syarak yang dipengerusikan oleh Almarhum Tan Sri Profesor Ahmad bin Ibrahim pada tahun 1980an bagi menyediakan deraf enakmen-enakmen yang akan diguna pakai di Mahkamah Syariah di negeri-negeri di seluruh Malaysia boleh dicontohi. Jawatakuasa Teknikal berkenaan telah berjaya mencapai matlamatnya apabila lebih dari 10 Enakmen yang terpakai bagi Mahkamah Syariah di seluruh negara pada ketika ini.

 

PENUTUP

Kewujudan institusi MAN adalah unik dan menarik, khususnya pada era zaman moden yang serba canggih, maju dan sopistikated. Ada kalanya tidak terbayang bagaimana dalam zaman yang penuh mencabar ini rupanya masih wujud sebuah mahkamah bagi mendepani perkara-perakara mengenai adat istiadat anak negeri. Kewujudan MAN di Sabah menafikan sebarang bayangan-bayangan negatif di atas. Sungguhpun telah ada undang-undang bertulis bagi mentadbir undang-undang adat anak negeri, ianya masih jauh dari mencukupi dari segi kelengkapan dan kekemasan.

Peranan MAN yang dikhaskan bagi mendengar, membicara dan memutuskan apa-apa perkara melibatkan adat anak negeri perlu difahami dan dihayati agar tidak melangkaui kuasa yang diberikan oleh undang-undang. Seksyen 9 EMAN 1992 memberi ingatan bahawa MAN tidak boleh mendengar apa-apa perkara yang jatuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil. Ini termasuklah apa-apa perkara mengenai hal ehwal kekeluargaan yang jelas diperuntukkan di bawah AMU 1976 bagi orang bukan Islam dan EUUKI 2004 bagi orang Islam. Bagi memantapkan pengurusan pentadbiran MAN, beberapa undang-undang bertulis perlu diwujudkan berkaitan kekeluargaan, tatacara jenayah, tatacara sivil atau mal dan lain-lain yang berkaitan.

Semoga tulisan ini dapat memperkayakan khazanah penulisan mengenai undang-undang di Negeri Sabah khususnya Adat Anak Negeri. Adalah diharapkan tulisan ini berperanan untuk memudahkan kajian dan penulisan yang lebih lengkap dan terperinci mengenai Mahkamah Anak Negeri di Sabah pada masa hadapan.

 

LAMPIRAN A

 

ENAKMEN 8 TAHUN 2004
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 2004

 

BAHAGIAN I – PERMULAAN

Seksyen 1. Tajuk ringkas dan permulaan kuat kuasa
Seksyen 2.
Tafsiran.
Seksyen 3.
Kecualian prerogatif
Seksyen 4.
Pemakaian
Seksyen 5.
Kriterium bagi memutuskan sama ada seseorang itu Islam
Seksyen 6.
Perkahwinan yang masih berterusan hendaklah disifatkan sebagai didaftarkan di bawah Enakmen ini dan boleh dibubarkan hanya di bawah Enakmen ini

BAHAGIAN II – PERKAHWINAN

Seksyen 7. Orang yang boleh mengakadnikahkan perkahwinan
Seksyen 8.
Umur minimum untuk perkahwinan
Seksyen 9.
Pertalian yang melarang perkahwinan
Seksyen 10.
Orang dari agama lain
Seksyen 11.
Perkahwinan tak sah
Seksyen 12.
Perkahwinan yang tidak boleh didaftarkan
Seksyen 13.
Persetujuan dikehendaki
Seksyen 14.
Perkahwinan seseorang perempuan
Seksyen 15.
Pertunangan

Permulaan kepada Perkahwinan

Seksyen 16. Permohonan untuk kebenaran berkahwin
Seksyen 17.
Mengeluarkan kebenaran berkahwin
Seksyen 18.
Rujukan kepada dan tindakan oleh Hakim Syar’ie
Seksyen 19.
Kebenaran perlu sebelum akad nikah
Seksyen 20.
Tempat perkahwinan
Seksyen 21.
Mas kahwin dan pemberian
Seksyen 22.
Catatan dalam Daftar Perkahwinan
Seksyen 23.
Poligami
Seksyen 24.
Akad nikah perkahwinan di Kedutaan-Kedutaan, dsb., Malaysia di luar negeri

BAHAGIAN III – PENDAFTARAN PERKAHWINAN

Seksyen 25. Pendaftaran
Seksyen 26.
Surat perakuan nikah dan surat perakuan ta’liq
Seksyen 27.
Melaporkan perkahwinan yang tak sah atau tak legal
Seksyen 28.
Perlantikan Ketua Pendaftar, Pendaftar, Timbalan dan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Ruju’ Orang Islam
Seksyen 29.
Buku dan Daftar hendaklah disimpan mengenai semua perkahwinan
Seksyen 30.
Salinan-salinan catatan hendaklah dihantar kepada Ketua Pendaftar
Seksyen 31.
Pendaftaran perkahwinan luar negeri oleh orang yang bermastautin dalam Negeri Sabah
Seksyen 32.
Daftar yang tidak diakui di sisi undang-undang
Seksyen 33.
Pendaftaran sukarela perkahwinan-perkahwinan orang Islam yang diakadnikahkan dahulunya di bawah mana-mana undang-undang
Seksyen 34.
Efek pendaftaran di sisi undang-undang

BAHAGIAN IV – PENALTI DAN PELBAGAI PERUNTUKAN BERHUBUNGAN DENGAN AKAD NIKAH DAN PENDAFTARAN PERKAHWINAN

Seksyen 35. Tidak hadir di hadapan Pendaftar dalam masa yang ditetapkan
Seksyen 36.
Pelanggaran terhadap seksyen 32
Seksyen 37.
Gangguan terhadap perkahwinan
Seksyen 38.
Akuan atau pernyataan palsu untuk mendapatkan perkahwinan
Seksyen 39.
Akad nikah perkahwinan yang tidak dibenarkan
Seksyen 40.
Kesalahan-kesalahan berhubungan dengan akad nikah perkahwinan
Seksyen 41.
Kebenaran untuk mendakwa
Seksyen 42.
Membetulkan kesilapan
Seksyen 43.
Pemeriksaan Daftar Perkahwinan dan indeks perkahwinan
Seksyen 44.
Bukti

BAHAGIAN V – PEMBUBARAN PERKAHWINAN

Seksyen 45. Takat kuasa untuk membuat sesuatu perintah
Seksyen 46.
Pertukaran agama
Seksyen 47.
Penceraian dengan talaq atau dengan perintah
Seksyen 48.
Timbangtara oleh Hakam
Seksyen 49.
Penceraian khul’ atau cerai tebus talaq
Seksyen 50.
Penceraian di bawah ta’liq atau janji
Seksyen 51.
Penceraian dengan li’an
Seksyen 52.
Hidup semula sebagai suami isteri atau ruju’
Seksyen 53.
Perintah untuk mebubarkan perkahwinan atau untuk fasakh
Seksyen 54.
Anggapan mati
Seksyen 55.
Penyenggaraan Daftar Penceraian dan Pembatalan
Seksyen 56.
Pendaftaran penceraian
Seksyen 57.
Pendaftaran penceraian di luar Mahkamah
Seksyen 58.
Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut
Seksyen 59.
Hak terhadap mas kahwin. dsb., tidak akan tersentuh

BAHAGIAN VI – NAFKAH ISTERI, ANAK DAN LAIN-LAIN

Seksyen 60. Kuasa Mahkamah memerintah nafkah bagi isteri, dan efek nusyuz
Seksyen 61.
Kuasa Mahkamah untuk memerintah nafkah bagi seseorang tertentu
Seksyen 62.
Pentaksiran nafkah
Seksyen 63.
Kuasa Mahkamah untuk memerintahkan cagaran diberi bagi nafkah
Seksyen 64.
Mengkompaun nafkah
Seksyen 65.
Lamanya tempoh perintah nafkah
Seksyen 66.
Hak terhadap nafkah atau pemberian selepas penceraian
Seksyen 67.
Kuasa Mahkamah untuk mengubah perintah nafkah
Seksyen 68.
Kuasa Mahkamah untuk mengubah perjanjian nafkah
Seksyen 69.
Nafkah yang kena dibayar di bawah perintah Mahkamah tidak boleh dipindahkan hak miliknya
Seksyen 70.
Menuntut tunggakan nafkah
Seksyen 71.
Nafkah sementara
Seksyen 72.
Hak tempat tinggal
Seksyen 73.
Kewajipan menanggung nafkah anak
Seksyen 74.
Kuasa Mahkamah memerintahkan nafkah bagi anak
Seksyen 75.
Kuasa bagi Mahkamah memerintahkan cagaran bagi nafkah seseorang anak
Seksyen 76.
Kuasa bagi Mahkamah mengubah perintah mengenai penjagaan atau nafkah seseorang anak
Seksyen 77.
Kuasa bagi Mahkamah mengubah perjanjian penjagaan atau nafkah seseorang anak
Seksyen 78.
Menuntut tunggakan nafkah seseorang anak
Seksyen 79.
Kewajipan menanggung nafkah kanak-kanak yang diterima sebagai ahli keluarga
Seksyen 80.
Lamanya tempoh perintah bagi nafkah anak
Seksyen 81.
Kewajipan menanggung nafkah anak-anak tak sahtaraf

BAHAGIAN VII – PENJAGAAN

Hadhanah atau Penjagaan Kanak-kanak

Seksyen 82. Orang yang berhak menjaga kanak-kanak
Seksyen 83.
Kelayakan-kelayakan yang perlu untuk penjagaan
Seksyen 84.
Bagaimana hak penjagaan hilang
Seksyen 85.
Lamanya penjagaan
Seksyen 86.
Penjagaan anak-anak tak sahtaraf
Seksyen 87.
Kuasa Mahkamah membuat perintah mengenai penjagaan
Seksyen 88.
Perintah tertakluk kepada syarat-syarat

Penjagaan ke atas Orang dan Harta

Seksyen 89. Orang yang berhak kepada penjagaan
Seksyen 90.
Kuasa ke atas harta tak alih dan harta alih
Seksyen 91.
Perlantikan penjaga-penjaga oleh Mahkamah
Seksyen 92.
Pelantikan ibu sebagai penjaga melalui wasiat
Seksyen 93.
Penjaga bersama dengan ibu
Seksyen 94.
Perubahan kuasa penjaga harta
Seksyen 95.
Pemecatan penjaga
Seksyen 96.
Cagaran hendaklah diberi
Seksyen 97.
Had kuasa bagi penjaga yang dilantik oleh Mahkamah
Seksyen 98.
Penjaga tidak boleh memberi akuan penyelesaian mengenai harta modal
Seksyen 99.
Penjaga boleh menanggung kanak-kanak dari pendapatan
Seksyen 100.
Perintah khas mengenai harta kecil
Seksyen 101.
Permohonan untuk mendapatkan pendapat, dsb.
Seksyen 102.
Perintah larangan oleh Mahkamah
Seksyen 103.
Penjaga bagi anak yatim
Seksyen 104.
Mahkamah hendaklah mengambil perhatian tentang nasihat pegawai-pegawai kebajikan dsb.
Seksyen 105.
Kuasa Mahkamah untuk menghalang anak dibawa keluar dari Malaysia

Relif-relif lain

Seksyen 106. Kuasa bagi Mahkamah membatalkan dan menahan perpindahan-perpindahan yang dimaksudkan untuk mengecewakan tuntutan-tuntutan nafkah
Seksyen 107.
Perintah Tegahan

BAHAGIAN VIII – PELBAGAI

Seksyen 108. Perintah tegahan melupuskan harta sepencarian
Seksyen 109.
Pengiktirafan perkahwinan orang Islam yang dilakukan di luar Negeri Sabah
Seksyen 110.
Pengiktirafan perkahwinan-perkahwinan yang dilakukan di Kedutaan-Kedutaan, dsb., di Negeri Sabah

Kesahtarafan Anak

Seksyen 111. Siapakah yang dikaitkan sebagai bapa
Seksyen 112.
Kelahiran lebih empat tahun selepas pembubaran perkahwinan
Seksyen 113.
Kelahiran selepas pengakuan bahawa ‘iddah telah tamat
Seksyen 114.
Persetubuhan syubhah
Seksyen 115.
Syarat-syarat bagi pengakuan yang sah
Seksyen 116.
Anggapan dari pengakuan boleh dipatahkan
Seksyen 117.
Pengakuan oleh perempuan yang sedang dalam ‘iddah
Seksyen 118.
Mengakui seseorang yang lain sebagai ibu atau bapa
Seksyen 119.
Pengakuan lain daripada sebagai anak, ibu atau bapa
Seksyen 120.
Pengakuan tidak boleh dibatalkan

Perintah Supaya Hidup Bersama Semula

Seksyen 121. Permohonan oleh isteri yang ditinggal langsung

Pembahagian Harta Sepencarian

Seksyen 122. Kuasa Mahkamah memerintah pembahagian harta sepencarian

Rayuan

Seksyen 123. Rayuan

BAHAGIAN IX – PENALTI

Seksyen 124. Poligami tanpa kebenaran Mahkamah
Seksyen 125.
Penceraian di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah
Seksyen 126.
Tidak membuat laporan
Seksyen 127.
Meninggal langsung isteri
Seksyen 128.
Menganiaya isteri atau suami
Seksyen 129.
Tidak memberi keadilan yang sewajarnya kepada isteri
Seksyen 130.
Isteri tidak menurut perintah
Seksyen 131.
Percubaan menjadi murtad untuk membatalkan perkahwinan
Seksyen 132.
Persetubuhan luar nikah antara orang yang bercerai
Seksyen 133.
Kecuaian dengan sengaja untuk mematuhi perintah
Seksyen 134.
Percubaan dan subahat

BAHAGIAN X – AM

Seksyen 135. Kuasa bagi membuat kaedah-kaedah

JADUAL

 

 

 


[1] Penulis merupakan Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah. Pernah beramal sebagai Peguambela dan Peguamcara, Mahkamah Tinggi Sabah antara tahun 1994-1996. Mula bertugas sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah semenjak 1 Oktober 1996 di Pantai Barat Kota Kinabalu. Kini menjawat jawatan sebagai Ketua Pendaftar, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah sejak 16 januari 2012. Tulisan ini dibentangkan dalam Persidangan Ketua-Ketua Adat Anak Negeri Negeri Sabah di Hotel Four Points, Sandakan Sabah pada 4hb – 5hb Febuari 2013.

[2] Lihat Perkara 153(1) Perlembagaan Persekutuan. Lihat juga Item 13, Senarai IIA, Jadual 9, Perlembagaan Persekutuan.

[3] Lihat Seksyen (1) EMAN 1992.

[4] Lihat Seksyen 4 EMAN 1992.

[5] Lihat Seksyen 5 EMAN 1992.

[6] Lihat Seksyen 2 Akta Mahkamah Anak Negeri (Bidang kuasa Jenayah) 1991 (Akta 471). Sebagai perbandingan, bidang kuasa jenayah bagi Mahkamah Syariah lebih tinggi sedikit berbanding Mahkamah Anak Negeri. Menurut Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965, Mahkamah Syariah boleh menghukum dengan denda tidak melebihi RM5,000 atau Penjara tidak lebih 3 tahun atau sebatan tidak lebih 6 sebatan. Kadar hukuman ini masih terlalu jauh rendahnya berbanding Mahkamah Sivil yang mencakupi penjara seumur hidup dan hukuman mati.

[7] Wu Min Aun, The Malaysian legal system, Edisi kedua, Pearson Education Malaysia Sdn. Bhd, Selangor, 2001, hal. 186.

[8] Lihat Seksyen 3(3) Akta Memperbaharui undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian), 1976.

[9] Lihat Seksyen 3(4) Akta Memperbaharui undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian), 1976.

[10] Lihat Seksyen 9 Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992.

[11] Perkara 74(2), Perlembagaan Persekutuan.

[12] Perkara 75, Perlembagaan Persekutuan.

[13] Lihat Seksyen 11, Enakmen Mahkamah Syariah 2004.

[14] Lihat kandungan dan susunan seksyen EUUKI 2004 dalam LAMPIRAN A.

[15] Lihat Aturan 11, Bahagian III, Kaedah-Kaedah Mahkamah Anak Negeri (Undang-Undang Adat Anak Negeri) 1995.

[16] Lihat Aturan 31 dan 32, Bahagian V, Kaedah-Kaedah Mahkamah Anak Negeri (Undang-Undang Adat Anak Negeri) 1995.

[17] Lihat Seksyen 6(1)(c) EMAN 1992.

Posted in AGAMA, KELUARGA, UNDANG-UNDANG | Di tag: , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , | Leave a Comment »

CATATAN PENGLIPUR LARA SANG MAJISTRET

Posted by ERAKITA di 24 Disember 2013

 

CATATAN PENGLIPUR LARA SANG MAJISTRET

24 Disember  2013

Sebagai orang yang terlibat secara langsung dengan dunia perundangan, ERAKITA amat teruja apabila melihat tajuk “Catatan Penglipur Lara Sang Majistret” pada sebuah buku ketika berkunjung ke salah sebuah kedai buku di Kota Kinabalu baru-baru ini. Tak sia-sia membeli buku setebal 255 yang diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn Bhd terbitan 2012. Buku yang ditulis oleh Saudara Zabidi Mohamed, seorang penulis yang semakin dikenali dan mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang perundangan sebelum berkecimpung dalam dunia penulisan itu sesungguhnya amat mencuit perasaan dan menghiburkan. Penceritaan kisah pengalaman penulis sebagai Majistret suatu ketika dahulu amat bernilai untuk dikongsi bersama.

20131203_161026[1]

Antara cerita yang penuh mendebarkan, suspen dan menggoncangkan perasaan ialah kisah bagaimana penulis dan beberapa Majistret wanita dibawa ke Penjara Pudu bagi menyaksikan sendiri perlaksanaan sebatan ke atas pesalah jenayah rogol. Paling mendebarkan apabila 3 pesalah lelaki terdiri dari Kaum Cina, India dan Melayu disebat satu demi satu. Pegawai Penguasa Penjara dari awal-awal memaklumkan kepada Sang Majistret bagaimana perbezaan nada dan kekuatan teriakan, rintihan dan jeritan kesakitan dari ketiga-tiga pesalah itu yang bakal disaksikan nanti. Ternyata, hipotesis Pegawai Penguasa Penjara itu tepat apabila Sang Majistret menyaksikan dengan kepala dan mata perlaksanaan hukuman sebat tersebut.

Ketika membaca buku ini, ERAKITA terbayang bagaimana ERAKITA berkesempatan untuk menyaksikan sendiri perlaksanaan sebatan pertama ke atas pesalah jenayah syariah di Penjara Kepayan, Kota Kinabalu, Sabah pada 10 Oktober 2011. Apa yang ERAKITA fahami ialah betapa berat dan peritnya kesakitan yang dialami oleh pesalah jenayah yang dihukum oleh Mahkamah Awam berbanding hukuman bagi pesalah jenayah syariah bagi hukuman sebat. ERAKITA amat bersetuju dengan kenyataan salah seorang pegawai penjara semasa menyaksikan sebatan bagi pesalah jenayah syariah di Penjara Kepayan itu apabila ia mengatakan bahawa kekuatan sebatan pesalah jenayah dari Mahkamah Awam adalah 100 peratus berbeza dari segi kekuatan sebatan bagi pesalah jenayah syariah.

Pendek kata, ERAKITA berani mengatakan bahawa bezanya adalah antara langit dan bumi. Sukar sekali membayangkan bagaimana berat dan sakitnya sebatan ke atas pesalah jenayah yang disabit dan dihukum oleh Mahkamah Awam. Bahkan ada kenyataan mengatakan bahawa sebatan tersebut silap haribulan boleh menyebabkan seorang lelaki itu mati pucuk. Sebatan syariah pula jelas sekali tidak ada unsur-unsur menyakitkan tubuh badan. ERAKITA sendiri bersyukur kerana berpeluang memegang alat sebat, melihat sendiri kesan sebatan di bahagian belakang tubuh pesalah dan seterusnya menyentuh kawasan yang disebat. Hanya ada kemerah-merahan yang cukup sederhana dan jelas tidak ada unsur menyakitkan fizikal. Pesalah disebat dalam keadaan berdiri, berpakaian hijau dan aurat tertutup.

Ketika disebat, tidak ada suara pesalah yang menggambarkan kesakitan. Cukup tenang tapi mendebarkan. Pesalah tidak diikat. Cuma tangannya dirapatkan di pipi yang dipegang oleh petugas penjara. ERAKITA tidak terkejut dengan jawapan pesalah tersebut setelah selesai 5 kali sebatan apabila ia menjawap pertanyaan ERAKITA. Katanya, sebatan tersebut tidak menyakitkan. Cuma mendebarkan sebelum sebatan dilaksanakan. Terpampang perasaannya begitu lega setelah sebatan selesai.

Buku ini amat sesuai dibaca oleh semua golongan untuk memberi gambaran bagaimana keadaan sebenar perjalanan kes di Mahkamah. Turut menarik untuk dikongsi bersama ialah bagaimana hebatnya cabaran yang dihadapi seorang hakim ketika berhadapan dengan pelbagai kes di Mahkamah. Golongan yang berkecimpung dengan undang-undang seperti Hakim, Peguam dan Pegawai Undang-Undang tidak harus melepaskan peluang untuk memiliki dan membaca buku ini. Penceritaan berdasarkan pengalaman sebenar penulis sesungguhnya menarik dan menghiburkan. Banyak perkara yang terselindung dalam dunia kehakiman dapat dikongsi bersama untuk hiburan dan pengetahuan umum.

ERAKITA menyarankan agar buku ini dapat dikongsi oleh semua peringkat untuk melihat lebih dekat bagaimana kehidupan individu yang terlibat dalam dunia perundangan khususnya Sang Majistret. Tahniah kepada Penulis yang hebat ini. Teruskan penulisan anda.

Posted in AGAMA, BUKU, KELUARGA, PELBAGAI, UNDANG-UNDANG | Leave a Comment »

Pengesahan Cerai Luar Mahkamah

Posted by ERAKITA di 23 Disember 2013

 Pengesahan Cerai Luar Mahkamah

23 Disember 2013

Berdasarkan kepada pertanyaan para pengunjung ke blog erakita, didapati bahawa pertanyaan berkenaan lafaz cerai suami yang dibuat di luar mahkamah berada dalam rangking tertinggi. Banyak sekali persoalan yang ditimbulkan. Pertanyaan tersebut menggambarkan betapa masih ramai yang tidak mengetahui apakah tindakan yang perlu dilakukan oleh pasangan suami atau isteri setelah sang suami melafazkan cerai atau talaq di luar mahkamah.

Persoalan terus terjadi jika pasangan tersebut meneruskan kehidupan seperti biasa, seolah-olah tidak ada apa-apa yang terjadi. Bagaimanapun, keraguan pada diri pasangan mengenai status mereka sebagai suami isteri akan menjadi semakin terserlah apabila mereka mendapat pelbagai maklumat mengenai kedudukan lafaz talaq dari pelbagai sumber seperti ceramah di radio, tv, akhbar atau internate seperti youtube.

Bagi erakita, nasihat terbaik yang boleh diberikan ialah bersegeralah bagi mendapatkan pengesahan lafaz cerai tersebut samada sabit gugur talaq atau sebaliknya. Usah tunggu lama-lama kerana hal tersebut boleh mengganggu fikiran pasangan. Ragu-ragu untuk tinggal bersama setelah lafaz cerai berlaku apatah lagi untuk melakukan hubungan kelamin tidak dapat dinafikan boleh mengganggu fikiran dan ketenangan hati.

Lebih parah lagi apabila suami tidak mahu bertanggungjawap atas apa yang dilafazkannya. Ada keadaan di mana suami membiarkan saja isu ini tanpa bertindak untuk mendapatkan pengesahan di mahkamah. Ada yang melepaskan tanggungjawap dengan membiarkan isteri terpaksa berseorangan menfailkan permohonan bagi mendapatkan perintah pengesahan cerai yang berlaku di luar mahkamah. Lebih menyedihkan apabila suami tidak mahu hadir di Mahkamah untuk memberikan keterangan. Persoalan-persoalan inilah antara isu yang sering ditimbulkan dalam banyak-banyak persoalan pengunjung dalam blog ini. Erakita bagaimanapun telah dan akan sentiasa berusaha untuk memberikan respon menurut kemampuan erakita.

Erakita berterimakasih atas pertanyaan-pertanyaan tersebut. Semoga jawapan yang erakita berikan itu bermanfaat bagi meringankan kekusutan fikiran pihak yang terlibat. Semoga ada manfaatnya.

Wallahu a’lam.

Terimakasih dan wassalam

Posted in AGAMA, KELUARGA, UNDANG-UNDANG | 2 Comments »

PERTANDINGAN RATU CANTIK: SATU KESALAHAN JENAYAH SYARIAH DI SABAH

Posted by ERAKITA di 28 Ogos 2013

PERTANDINGAN RATU CANTIK: SATU KESALAHAN JENAYAH SYARIAH DI SABAH

28 Ogos 2013

Satu negara heboh menjelang Ramadhan baru-baru ini apabila 4 orang gadis Melayu Islam terpilih sebagai finalis dalam pertandingan Ratu Cantik di Wilayah Persekutuan. Ekoran tersebarnya penyertaan mereka dalam pertandingan tersebut, pelbagai pandangan dan reaksi diterima khususnya dari masyarakat Islam. Rata-rata menyatakan rasa terkilan dan tidak berpuas hati, lebih-lebih lagi penganjuran pertandingan tersebut bertepatan pada bulan Ramadhan bagi tahun 2013.

Ketiadaan peruntukan khusus bagi kesalahan menyertai pertandingan ratu cantik dalam Enakmen atau Akta di negeri-negeri merupakan salah satu isu yang hangat diperkatakan. Terdapat desakan pelbagai pihak agar satu peruntukan khusus mengenai larangan mengenainya dimasukkan dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah bagi Wilayah Persekutuan dan Enakmen bagi negeri-negeri. Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM) adalah antara badan kerajaan yang menyuarakan secara tegas saranan tersebut.

Erakita terpanggil bagi mengulas perkara ini bagi menyatakan bahawa bagi Negeri Sabah, peruntukan mengenai larangan menyertai pertandingan ratu cantik telahpun dimasukkan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Sabah) 1995. Larangan ke atas mana-mana individu Islam untuk menyertai pertandingan tersebut tidak meliputi kanak-kanak yang berumur di bawah 12 tahun. Berikut diperturunkan kandungan penuh Seksyen 91 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Sabah) 1995 untuk rujukan lanjut.

Seksyen 91. Pertandingan ratu cantik.

(1) Sesiapa, kecuali kanak-kanak di bawah umur dua belas tahun, melibatkan diri dengan sebarang pertandingan ratu cantik atau ratu pakaian atau seumpamanya adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya sekali.

(2) Sesiapa yang menganjurkan atau bersubahat kesalahan dalam subsekyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan kepada peruntukan di atas, mana-mana orang yang disabitkan salah boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih 3 bulan atau kedua-duanya sekali. Undang-undang tersebut juga jelas memperuntukan bahawa orang yang bersubahat melakukan kesalahan tersebut seperti penganjur sekiranya orang Islam, turut tidak terkecuali menghadapi dakwaan atas kesalahan bersubahat melakukan kesalahan. Jika disabitkan salah, pesalah yang bersubahat boleh dikenakan bentuk dan kadar hukuman yang sama dengan peserta ratu cantik.

Walau tidak disebutkan samada peserta ratu cantik itu wanita atau lelaki, namun dapat difahami bahawa penyertaan ratu cantik lazimnya disertai oleh oleh wanita. Lelaki lebih banyak terlibat sebagai penganjur pertandingan sahaja.

Setakat ini, hanya Negeri Sabah satu-satunya negeri yang mempunyai peruntukan mengenai larangan penyertaan wanita Islam untuk menyertai pertandingan ratu cantik. Di negeri-negeri lain, peruntukan tersebut belum diwujudkan. Di Negeri Perak, terdapat satu peruntukan mengenai kesalahan yang hampir serupa tetapi tidaklah pula disebutkan sebagai termasuk penyertaan dalam pertandingan ratu cantik. Kesalahan yang disebutkan adalah perbuatan wanita yang mendedahkan tubuh badannya yang menimbulkan ghairah di tempat awam. Jika diteliti, peruntukan ini boleh dikaji samada ia boleh digunakan untuk mendakwa mana-mana peserta wanita Muslim yang menyertai pertandingan ratu cantik.

Erakita berpendapat bahawa jika terdapat bukti menunjukkan bahawa wanita yang menyertai pertandingan tersebut telah mendedahkan tubuhnya, maka pendakwaan boleh dijalankan terhadap wanita berkenaan menggunakan peruntukan ini. Contoh mudah bagi perbuatan mendedahkan tubuh yang menimbulkan ghairah ialah ketika wanita tersebut memakai pakaian bikini yang jelas memperlihatkan susuk tubuh dengan pakaian yang singkat dan nipis. Untuk jelasnya, berikut adalah kandungan penuh Seksyen 56 Enakmen Jenayah Syariah, No. 3, Tahun 1995 (Perak):

Seksyen 56. Mendedahkan tubuh, di tempat awam.

Seseorang perempuan yang mendedahkan mana-mana bahagian tubuhnya yang menimbulkan ghairah di mana-mana tempat awam adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah, apabila disabitkan, dikenakan denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Berdasarkan kepada peruntukan undang-undang di atas, kesalahan berkaitan menyertai pertandingan ratu cantik dan mendedahkan tubuh yang menimbulkan ghairah adalah termasuk dalam kategori kesalahan yang tidak boleh ditangkap melainkan ada waran tangkap dari Mahkamah Syariah. Ini kerana hukuman maksima bagi kesalahan-kesalahan tersebut adalah tidak melebihi penjara setahun. Justeru, satu waran tangkap mestilah diperolehi terlebih dahulu bagi membolehkan tangkapan dapat dilaksanakan secara sah menurut undang-undang. Tangkapan melalui serbuan oleh Pegawai Penguatkuasa Agama sebaik menerima aduan perlu dielakkan selagi belum ada satu waran tangkap dari Mahkamah Syariah. Bagi membolehkan tangkapan dapat dilakukan tanpa waran, peruntukan tersebut perlu dipinda dengan menambahkan kadar hukuman iaitu melebihi setahun penjara jika disabitkan.

Sesungguhnya tulisan ini dilakukan bagi menjelaskan kedudukan terkini di Sabah bahawa keperluan untuk memasukkan peruntukan baru bagi kesalahan menyertai ratu cantik dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah di negeri-negeri tidak lagi terpakai bagi Negeri Sabah ketika ini. Ini kerana, peruntukan tersebut telahpun wujud sejak sekian lama. Hanya saja, pendakwaan yang dilakukan di mahkamah Syariah masih kurang terserlah, mungkin disebabkan jarangnya aduan yang diterima oleh Bahagian Penguatkuasaan dan Penyiasatan, Jabatan hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) ataupun jarangnya penyertaan orang Islam dalam perbuatan seperti ini.

Semoga tulisan ini ada manfaatnya.

Wallahu a’lam.

Posted in AGAMA, KELUARGA, UNDANG-UNDANG | Di tag: , , , , , , , , , , , , , , , , , , | 2 Comments »

TIADA PERKAHWINAN DI MAHKAMAH SYARIAH

Posted by ERAKITA di 19 Jun 2013

TIADA PERKAHWINAN DI MAHKAMAH SYARIAH

 19 Jun 2013

Persepsi kebanyakan masyarakat terhadap Mahkamah Syariah mengenai perkahwinan orang Islam perlu diperbetulkan. Laporan di media massa seperti akhbar dan television masih menggambarkan bahawa Mahkamah Syariah adalah tempat di mana perkahwinan dilaksanakan. Perlu dimaklumi bahawa selain berfungsi mendengar dan memutuskan kes perceraian, Mahkamah Syariah juga berfungsi untuk mendengar dan memutuskan permohonan untuk mendapatkan kebenaran berkahwin bagi pasangan orang Islam dalam kes-kes tertentu seperti pasangan yang masih di bawah umur, poligami, janda berhias (janda yang tidak pernah disetubuhi suami sepanjang tempoh perkahwinan terdahulu) dan berwali hakim. Fungsi dan kuasa ini termaktub dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam, 2004.

Berkenaan isu samada akad nikah perkahwinan dijalankan atau dilangsungkan di Mahkamah Syariah, perkara itu tidak timbul sama sekali. Perlu ditegaskan bahawa Mahkamah Syariah hanya mengeluarkan perintah kelulusan kebenaran berkahwin bagi kes-kes yang disebutkan di atas setelah diputuskan sedemikian oleh Hakim Syarie. Mengenai akad nikah pula, terserahlah kepada pasangan berkenaan untuk menjalankannya di mana-mana tempat samada di Pejabat Pendaftar Perkahwinan di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam atau tempat lain seperti masjid atau rumah pasangan.

Justeru, tanggapan atau persepsi masyarakat bahawa Mahkamah Syariah menjalankan akad nikah atau perkahwinan adalah tidak tepat. Perkara ini perlu difahami bagi mengelak sebarang kekeliruan dan tohmahan awam kepada Mahkamah Syariah khususnya dalam menangani kes-kes sensatif dan kontrovesi seperti perkahwinan gadis bawah umur yang dikaitkan dengan kes rogol di Sabah sejak beberapa minggu yang lepas.

Posted in KELUARGA, UNDANG-UNDANG | Di tag: , , , , , , , , | Leave a Comment »

MAHKAMAH SYARIAH DINAIK TARAF?

Posted by ERAKITA di 9 Jun 2012

MAHKAMAH SYARIAH DINAIK  TARAF?

9 Jun 2012

Mungkinkah Mahkamah Syariah di Malaysia akan dinaik taraf? Berdasarkan kepada perkembangan terkini, usaha ke arah meningkatkan taraf Mahkamah Syariah di negara ini sedang digerakkan. Jika usaha tersebut berjaya, Mahkamah Syariah akan mempunyai 5 peringkat selepas ini, tidak lagi sepertimana sekarang iaitu hanya 3 peringkat. Ini bermakna, ruang untuk membuat rayuan ke atas keputusan Mahkamah di peringkat bawahan semakin bertambah.

Persetujuan negeri-negeri mengenai perkara ini diperlukan. Ini kerana, kuasa hal ehwal agama adalah di bawah bidang kuasa negeri-negeri. Berikut adalah paparan kenyataan akhbar The Star Online bertarikh 9 Jun 2012 mengenai usaha menaiktarafkan Mahkamah Syariah di negara ini.

Proses Meningkatkan Taraf Mahkamah Syariah Di Peringkat Akhir – Jamil Khir

 http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2012/6/9/mstar_berita/20120609153553&sec=mstar_berita

 PUTRAJAYA: Proses meningkatkan taraf sistem perundangan syariah di negara ini, iaitu dengan menambah peringkat mahkamah syariah daripada tiga kepada lima peringkat, kini berada di tahap akhir dan akan dibentangkan di Parlimen secepat mungkin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata draf mengenai pindaan perundangan tersebut telahpun siap namun perlu dibentangkan kepada majlis agama negeri dan ketua agama Islam negeri, memandangkan hal ehwal agama Islam terletak di bawah bidang kuasa negeri.

Sehingga kini, katanya draf itu telah dibentangkan kepada sebahagian besar majlis agama negeri serta ketua agama Islam negeri, kecuali bagi Negeri Sembilan, Kedah dan Pahang.

“Kita bentang, terima apa saja teguran dan pandangan, kita balik betulkan balik dan tunjukkan balik.

“Kalau dah selesai persetujuan itu baru kita bawa ke mesyuarat Majlis Raja-Raja, sebab bila di peringkat negeri dah setuju apabila dibawa ke Majlis Raja-Raja kita harap di situ akan menjadi satu tempat untuk kita mendapat kuasa untuk dibawa ke Parlimen untuk diberi kelulusan,” katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Jamil Khir berkata pindaan itu akan menjadikan mahkamah syariah mempunyai lima peringkat iaitu mahkamah rendah, mahkamah tengah, mahkamah tinggi, mahkamah rayuan dan majlis rayuan syariah berbanding tiga peringkat pada masa ini iaitu mahkamah rendah syariah, mahkamah tinggi syariah dan mahkamah rayuan syariah.

Terdahulu, Jamil Khir mewakili Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan Konvensyen Memartabat Islam Memperkasakan Ummah (Kompas)anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

Beliau berkata program itu mampu menyusun atur gerakan massa ke arah memberi kefahaman kepada masyarakat Islam dalam menangani cabaran pada masa kini termasuk liberalisme, pluralisme dan gerakan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT).

“Kita amat mengharapkan kefahaman ini dapat kita lanjutkan kepada generasi kita yang berada bukan hanya dalam bandar bahkan di kampung-kampung lebih-lebih lagi kelompok anak-anak muda kita,” katanya. - BERNAMA

Semoga hasrat semua pihak yang ingin melihat institusi Islam terserlah dan tertegak di Malaysia menjadi kenyataan.

Posted in UNDANG-UNDANG | Leave a Comment »

GARA-GARA FACEBOOK, BINI MINTA CERAI

Posted by ERAKITA di 20 Mei 2012

GARA-GARA FACEBOOK, BINI MINTA CERAI

20 MEI 20

Macam-macam boleh jadi dalam dunia hari ini. Kalau dulu, semua orang nak hand phone. Kini budak kecilpun ada hand phone. Kadang-kadang lebih pandai menggunakannya dari kebanyakan orang dewasa. Namun, keadaan ini sudah tidak menghairankan.

Kini, timbul lagi FACEBOOK. Ia benar-benar satu fenomena luar biasa di muka bumi. Siapa yang belum buka akaun facebook, ia boleh jadi dilihat pelik, ketinggalan atau dianggap tak up to date! Facebook berjaya menemukan kenalan dan rakan-rakan lama.

Facebook bahkan berjaya “mencuri” banyak masa manusia. Manusia sanggup duduk berjam-jam depan komputer untuk melayari internate, khususnya membuka facebook.

Sementara banyak kebaikan dan kelebihannya dalam urusan manusia, kelemahan dan kekurangnya tetap ada, bahkan kadang-kadang keburukannya lebih besar dari manfaat. Cuba bayangkan kalau facebook kini dikatakan antara penyumbang utama kepada perceraian antara suami isteri di seluruh dunia.

Kadang-kadang puncanya kecil saja tapi akhirnya membawa bencana besar kepada rumahtangga. Bayangkan satu laporan akhbar menyebutkan bahawa isteri sanggup menfailkan permohonan cerai di mahkamah gara-gara tak berpuas hati suami tak mengubah status kelaminnya dalam facebook. Isteri dikatakan berang apabila suami tidak meletakkan status “berkahwin” dalam facebooknya. Suami pula mendakwa terlupa mengemaskininya kerana sibuk dengan urusan hariannya.

Tidak dinafikan hal yang serupa sering terjadi dalam kes-kes perceraian di mahkamah syariah di Malaysia. ERAKITA juga berpengalaman berhadapan kes perceraian membabitkan penggunaan facebook. Ada kes di mana suami tertekan dan menjadi marah kerana isteri terlalu banyak menggunakan masa dengan facebook berbanding melayan suaminya.

Agaknya, inilah realiti dunia hari ini. Entah apa lagi fenomena luarbiasa yang bakal muncul pada dekad-dekad akan datang!

ERAKITA sempat memetik satu laporan mengenai perceraian gara-gara facebook dari ahkbar Harian Metro bertarikh 19 Mei 2012. Untuk tatapan anda, ERAKITA memaparkan laporan tersebut sebagaimana berikut.

Minta cerai kerana status dalam Facebook

http://www.hmetro.com.my/articles/MintaceraikeranastatusdalamFacebook/Article

AURANGABAD: Seorang wanita India menuntut cerai selepas suaminya enggan mengubah statusnya kepada berkahwin dalam laman sosial Facebook.

Wanita berusia 28 tahun itu memfailkan tuntutannya itu di mahkamah keluarga dengan berkata, dia tidak lagi mempercayai suaminya selepas dia gagal mengumumkan perkahwinan mereka dalam laman web itu.

Perkahwinan pasangan Telugu yang diatur oleh keluarga itu berlangsung dua bulan lalu dan kes itu difailkan di mahkamah di Aurangabad, tempat wanita itu menetap.

Menurut akhbar Deccan Chronicle, suaminya memberitahu mahkamah, dia terlupa untuk mengemaskinikan statusnya tetapi hakim memberi kedua-dua pihak masa enam bulan untuk menjalani kaunseling. Bercakap kepada akhbar yang berpejabat di India itu, peguam, Subash berkata: “Saya mengetahui mengenai kes itu daripada majistret di Aurangabad. Si suami yang berasal dari Hyderabad memberitahu hakim bahawa dia terlalu sibuk dengan keluarganya dan perniagaan perabotnya selepas berkahwin sehingga tidak ada masa untuk membuka Facebook atau menukar statusnya.

“Kini dia bersedia berbuat demikian malah sanggup menutup akaunnya. Bagaimanapun, wanita itu tidak berminat untuk meneruskan perkahwinan itu dan berkata, suaminya mungkin berlaku curang di belakangnya.

Walaupun tidak banyak kes perceraian membabitkan pertukaran status hubungan, Facebook semakin kerap digunakan sebagai sumber bukti dalam kes perceraian, menurut peguam.

Laman sosial itu disebut sebagai alasan untuk sepertiga daripada kes perceraian tahun lalu dengan tingkah laku buruk menjadi faktor, kata syarikat guaman, Divorce-Online.

Menurutnya, terdapat peningkatan sebanyak 50 peratus dalam jumlah tuntutan cerai bersabit tingkah laku mengandungi perkataan ‘Facebook’ sepanjang dua tahun lalu.

Pengarah Urusan Divorce-Online, Mark Keenan berkata: “Pengguna menggunakan facebook untuk menghubungi bekas kekasih. Walaupun mulanya berniat baik, tetapi akhirnya akan mencetuskan masalah. Sekiranya ada orang yang mahu menjalinkan hubungan sulit atau main kayu tiga dengan jantina bertentangan, ia tempat paling baik.” – DM

Sama-sama kita merenung dan mengambil iktibar dari laporan akhbar berkenaan.

Posted in KELUARGA, RENUNGAN, UNDANG-UNDANG | 4 Comments »

 
Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.