BLOG ERAKITA

"Perkongsian Maklumat Masa Kini"

ISLAM SEBAGAI AGAMA PERSEKUTUAN: 1

Posted by ERAKITA di 26 April 2010

 

Prof Ahmad Ibrahim (duduk 3 dari kiri) bersama tenaga pengajar dan pelajar undang-undang UIA 1994

 

Kedudukan Islam Dalam Perlembagaan:

Islam sebagai Agama Persekutuan

 

26 April 2010

Berdasarkan kepada Perkara 3(1) Perlembagaan, agama Islam ternyata diberi kedudukan yang istimewa berbanding agama-agama lain di negara ini. Ini terbukti apabila undang-undang tertinggi ini menyatakan bahawa Islam adalah agama Persekutuan manakala agama-agama lain pula bebas untuk dianuti dan dipraktikkan oleh penganut-penganutnya. Dalam konteks negeri-negeri pula, hampir kesemua Perlembagaan negeri-negeri memperuntukkan bahawa Islam adalah agama rasmi negeri di samping jaminan kebebasan beragama terpelihara sebagaimana dalam perlembagaan. Peruntukan seumpama ini merupakan kesinambungan kepada apa yang wujud dalam perlembagaan bertulis negeri-negeri Melayu sebelumnya seperti Perlembagaan Negeri Johor 1895 dan Negeri Terengganu 1911. Apa yang menarik untuk diberi perhatian ialah peruntukan mengenai Islam ini diberi keutamaan dari segi urutan peruntukan dalam perlembagaan. 

Walaupun Perlembagaan persekutuan ini telah diiystiharkan sebagai undang-undang tertinggi negara, namun peruntukan mengenainya hanya diletakkan pada Perkara 4. Manakala, bagi Islam pula, kedudukannya yang istimewa telah diberi keutamaan tertinggi dari segi urutan apabila ia diletakkan lebih awal dalam Perkara 3. Meletakkan Agama Islam di awal bahagian dalam Perlembagaan membawa makna yang besar dari segi peranan dan kedudukannya. Perlu diingat bahawa, walaupun Perlembagaan itu adalah undang-undang utama dan tidak ada yang dapat mengatasinya, namun harus diingat bahawa Islam yang meliputi undang-undang Islam juga merupakan sebahagian dari undang-undang yang diliputi dan diiktiraf oleh perlembagaan itu sendiri. Dengan kata lain, undang-undang Islam itu adalah sebahagian dari kandungan  Perlembagaan itu sendiri. 

Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan menunjukkan bahawa agama Islam telah diberi keistimewaan dalam perlembagaan berbanding agama-agama lain di negara ini. Kedudukan Islam yang istimewa ini tidak harus dipertikaikan memandangkan peruntukan mengenainya ditunjangi oleh Perlembagaan. Perlembagaan Persekutuan itu pula adalah hasil kompromi dan permuafakatan bersama pemimpin-pemimpin negara dan masyarakat yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama semasa Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957.

Kedudukan Istimewa Islam ini juga telah mengambil kira elemen-elemen tradisional penduduk asal Tanah Melayu iaitu orang-orang Melayu ratusan tahun sebelumnya yang terus menerus dipertahankan . Contohnya, agama Islam telah menjadi anutan sejak ratusan tahun bagi orang-orang Melayu. Kerajaan Melayu Melaka yang bertapak kukuh selama lebih kurang 100 tahun pada kurun ke-15 telahpun memperkenalkan undang-undang Islam yang dikenali Hukum Kanun Melaka. Walaupun undang-undang tersebut dikatakan mengandungi unsur-unsur adat, namun sebahagian besar kandungannya merupakan undang-undang Islam sebenar meliputi perkara-perkara sivil dan jenayah.

Oleh yang demikian, tidaklah menghairankan mengapa Islam menjadi agama Pesekutuan. Sebagai Agama Persekutuan, Islam menjadi agama yang dominan dan mendapat banyak keistimewaan di negara ini berbanding agama-agama Islam. Apa yang penting dalam hal ini ialah, betapa pentingnya seluruh warga Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama ini menghayati sejarah negara. Tujuannya, agar setiap peruntukan penting dalam undang-undang di negara kita dapat difahami mengapa ia berlaku sedemikian rupa. Pemahaman mendalam mengenai sejarah negara dan undang-undang tidak syak lagi dapat mengikis rasa ketidakpuas hati mana-mana pihak terhadap suatu peruntukan undang-undang itu.

  

Ayuh! Sama-sama kita hayati sejarah Negara

 

 

About these ads

3 Respons to “ISLAM SEBAGAI AGAMA PERSEKUTUAN: 1”

  1. Assalamualaikum wrb dan salam sejahtera..

    Saya teruja dengan tulisan al-Fadil Ustaz mengenai kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaan Malaysia. Sudah sememangnya agama Islam diletakkan dalam kedudukan demikian kerana Islam telah lama bertapak di Tanah Melayu semenjak daripada dahulu lagi. Islam mula bertapak di Asia Tenggara pada abad ke 17 menggantikan kepercayaan animisme yang diamalkan penduduk pada masa itu. Agama Islam telah dibawa oleh pedagang-pedagang ini ke Melaka dan seterusnya menjadikannya sebagai pusat penyebaran Islam di rantau ini.

    Beberapa abad kemudian, Tanah Melayu telah dijajah oleh pelbagai kuasa asing. Namun, Islam tetap utuh dan tidak mudah disingkirkan daripada penduduk Tanah Melayu. Kedatangan Inggeris ke Tanah Melayu contohnya tidak dapat mengubah agama Islam sebagai anutan penduduk tempatan pada masa itu. Sistem pentadbiran sahaja yang dapat di ambil alih oleh pihak British. Tetapi kuasa berkaitan agama dan adat istiadat masih diberikan kepada Raja-Raja di negeri-negeri berkenaan. Misalnya negeri-negeri yang dikategorikan sebagai Negeri-negeri Melayu bersekutu seperti Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan diletakkan di bawah satu pentadbiran kerajaan pusat. Semua hal ehwal pentadbiran di peringkat kerajaan negeri dilaksanakan mengikut nasihat Residen Jeneral, kecuali perkara-perkara yang berkaitan dengan adat istiadat Orang Melayu dan Agama Islam.

    Dalam masa itu berlakulah tolak ansur antara kaum dari segi perkara yang berkaitan dengan kepentingan mereka. Secara tidak langsung berlaku satu perjanjian murni di antara kaum demi untuk kepentingan bersama. Perjanjian itu dikenali sebagai ”Kontrak Sosial”…

    Walau bagaimanapun, pada masa ini terdapat golongan yang mempersoalkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Perkara demikian tidak sepatutnya berlaku memandangkan telah lama kita mengecapi kemerdekaan dan kontrak sosial yang dibina sebagai pengukuh yang menyokong kestabilan negara selama ini semenjak 53 tahun dahulu tidak patut dipersoalkan. Perkara yang telah persetujui bersama oleh pengasas dan pejuang kemerdekaan terdahulu tidak sepatutnya dipertikaikan lagi. Sesiapa yang berbuat demikian maka mereka tidak layak menggelar atau mengakui diri mereka adalah rakyat negara ini.

    Antara tindakan mereka ialah menganjurkan secara terbuka forum ”Memeluk Islam” pada bulan Ogos tahun 2008 yang lalu. Forum ini dianjurkan oleh Majlis Peguam yang sepatutnya sangat memahami perlembagaan di Malaysia. Antara perkara yang dibincangkan dalam dalam forum ini ialah menyentuh peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai Islam yang menetapkan Mahkamah Tinggi tidak boleh membuat sebarang keputusan melibatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan umat Islam di negara ini.

    Ia juga akan membincangkan keperluan untuk mengkaji semula beberapa kes berkaitan pertukaran agama di negara ini. Sepatutnya forum ini diadakan sesama Islam sahaja kerana ia berkaitan dengan hal ehwal Islam. Terdapat juga pihak yang mencadangkan hanya yang arif dalam bidang undang-undang sahaja dijemput hadir dan bukannya forum secara terbuka. Emosional pasti tercetus jika orang awam dijemput hadir. Dari saya pula, mereka sepatutnya memanggil pihak yang arif seperti mufti dan pakar-pakar dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk duduk semeja dan berbincang secara tertutup sebagai diskusi intelektual untuk mengatasi pelbagai masalah yang berkaitan dengan masalah umat Islam.

    Penyebaran artikel atau rencana dengan tujuan menghina dan merendah-rendahkan agama Islam menerusi media baru amat mengguris perasaan penganut Islam. Sepatutnya agama Islam diangkat tinggi martabatnya berbanding dengan agama lain. Walhal kedudukan Islam di sisi Allah SWT tidak boleh dipersoal begitu juga di dalam Perlembagaan.

    Baru-baru ini saya terbaca akan penubuhan Badan Antara Agama oleh kerajaan. Jika dahulu terdapat usaha untuk menubuhkan Suruhanjaya Antara Agama dan gagal, sekarang ia diwujudkan pula dengan nama yang lain. Pada pendapat saya, fungsinya tetap sama dan secara tidak langsung menggugat kedudukan Islam dalam perlembagaan dan Islam sebagai agama Persekutuan khususnya.

    Jika badan antara agama ini wujud maka seolah-olah Islam tiada bezanya dengan agama lain kerana kedudukannya sama sahaja dengan agama-agama lain. Akhirnya orang akan tersilap pandangan bahawa Islam itu hanya agama semata-mata sama seperti agama lain, bukannya cara hidup.

    Persoalan dasar kepada masalah ini ialah dengan adanya badan antara agama bermakna kedudukan Islam dalam Perlembagaan negara juga turut dipertikai di akhir nanti. Ini kerana bila badan antara agama wujud maka pertemuan tahunan yang akan diadakan menjadi lapangan orang lain untuk mempersoalkan kedudukan Islam.

    Kerajaan telah mengadakan siri taklimat akan rasional penubuhan badan ini yang diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi hal ehwal Islam kepada mereka yang berkenaan seperti para Ulama dan sebagainya. Namun demikian, biarpun dijelaskan akan sekatan-sekatan dalam perbincangan nanti seperti tidak menyentuh perkara sensitiviti dan sebagainya, saya yakin dan percaya setiap isu yang dibincangkan dalam badan itu akan mencadangkan doktrin baru dan juga tafsiran baru. Bukankah bila wujud badan antara agama maka doktrin dan tafsiran baru kepada Islam akan timbul? Sedangkan Islam itu sempurna, yang silap ialah penghayatannya.

    Saya bimbang akan wujudnya istilah-istilah baru melalui perbincangan ini nanti. Contohnya, Islamfobia dan banyak lagi. Seterusnya lebih menakutkan lagi ialah akan wujudnya pihak yang berlagak kononnya sebagai “juara” kepada Islam untuk mewakili Islam dan menidakkan peranan ulama dan mufti.

    Islam adalah agama persekutuan. Peruntukan seperti yang terkandung dalam Perlembagaan adalah sangat jelas menegaskan bahawa kedudukan Islam sebagai agama persekutuan tidak akan mengancam hak bukan Islam untuk menganut dan mengamalkan kepercayaan beragama secara bebas di Malaysia.

    Perbincangan berkaitan Agama dan Perlembagaan ini perlu diteliti dari segi sejarahnya. Kedatangan Islam ke negara kita telah lama berlaku sejak zaman dahulu lagi. Manakala semasa penggubalan Perlembagaan yang di lakukan oleh Suruhanjaya Reid turut mengambil kira berkaitan dengan agama sebagai salah satu tonggak bagi membentuk perlembagaan negara ini. Mahkamah dan keputusan berkaitan dengannya juga turut mempengaruhi bagaimana pentafsiran berkaitan kedudukan Agama Islam dalam Perlembagaan. Setiap kes yang di bawa dan di berikan keputusan oleh mahkamah mempengaruhi pandangan terhadap kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan negara.

    Kefahaman berkaitan dengan perlembagaan adalah penting. Masyarakat tidak faham apabila mereka tidak mengetahui perkara yang sebenarnya ditafsirkan oleh perlembagaan. Agama Islam adalah bersifat terbuka dan universal, bukan hanya untuk sesuatu kaum sahaja. Sebaliknya untuk semua umat manusia. Oleh itu pendidikan berkaitan Perlembagaan negara perlu ditekankan kepada semua lapisan masyarakat. Dengan cara ini dapat membentuk masyarakat yang mengetahui hak dan keperluan sebagai warganegara dan juga hak negara terhadap individu yang menjadi warganegaranya.

    Wallualam..

    • ERAKITA said

      Wa’alaykum salam wbt.

      Setinggi-tinggi terimakasih ERAKITA ucapkan kepada saudara Ahadin Akub atas respon menarik mengenai artikel bertajuk Kedudukan Islam dalam Perlembagaan. ERAKITA melihat bahawa huraian serta penjelasan dan pandangan yang saudara Ahadin Akub kemukakan ternyata hebat dan menarik sekali. Olahan idea dan penyampaiannya jelas menunjukkan tahap pemahaman yang jitu terhadap perkara yang dibincangkan.

      Pandangan dan ulasan spontan yang dilontarkan terhadap isu-isu berbangkit terutama sejarah pra dan pasca kemerdekaan, kebebasan beragama dan konflik mengenainya, forum antara agama dan lain-lain lagi sesungguhnya menyerlahkan kematangan saudara dalam memahami perkara dan situasi yang berlaku.

      ERAKITA percaya bahawa Saudara layak untuk dibawa ke hadapan untuk membincangkan hal-hal mengenai isu ini andai forum mengenai kedudukan Islam dalam perlembagaan dan kebebasan beragama diadakan. Kefahaman jitu mengenai sejarah perlembagaan Malaysia itu sememangnya suatu aset penting untuk memudahkan kita menyampaikan isu berkaitan kepada masyarakat di sekeliling kita.

      Tahniah sekali lagi dan ERAKITA sentiasa mengalu-alukan saudara dan rakan-rakan lain untuk memberikan pandangan mengenai isu-isu perundangan yang bakal diterbitkan pada masa hadapan. Inshaa Allah, beberapa perkara penting menyentuh kedudukan istimewa Agama Islam dalam Perlembagaan bakal menyusul untuk diterbitkan selepas ini.

      Terimakasih & wassalam.

  2. […] SOURCE :http://erakita.wordpress.com/2010/04/26/538/ […]

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: