BLOG ERAKITA

"Perkongsian Maklumat Masa Kini"

SURAT IZIN IBUBAPA: sekolah boleh terlepas?

Posted by ERAKITA di 30 Oktober 2009

DSC07473

Keratan akhbar Tragedi Perkemahan 1Malaysia di Kuala Dipang Perak 27 Oktober 2009

SURAT KEIZINAN IBUBAPA

sekolah boleh terlepaskah?

30 Oktober 2009

Kegembiraan 294 murid sekolah yang menyertai Perkemahan 1Malaysia di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Dipang, Perak pada 27 Okober 2009 tiba-tiba menjadi mimpi ngeri. Ini kerana, jambatan gantung yang digunakan pelajar untuk menyeberangi Sungai Kampar tiba-tiba runtuh. Pelajar-pelajar yang terjatuh ke sungai terpaksa berpaut pada  tali kabel jambatan yang runtuh. Sementara bantuan dilakukan oleh beberapa petugas pengiring dan orang luar, air sungai tiba-tiba naik dan mengalir deras. Kejadian tiba-tiba itu akhirnya meragut satu nyawa pelajar dan dua yang lain masih lagi belum ditemui. Menurut laporan akhbar Kosmo bertarikh 28 Oktober 2009, ada ibubapa yang tidak berpuashati memandangkan kehadiran anak-anak mereka ke program pekemahan itu tidak mendapat kebenaran dari mereka sebagai penjaga.

Isu sebenar yang ERAKITA ingin kupas dalam artikel ini ialah sejauhmana kesan perundangan ke atas surat keizinan ibubapa atau penjaga melepaskan anak-anak mereka mengikuti program anjuran sekolah di luar kawasan persekolahan. Hal ini perlu diberi perhatian memandangkan terdapat persepsi dari warga pendidik yang melihat bahawa sebaik surat keizinan pelepasan tersebut ditandatangani ibubapa atau penjaga, pihak sekolah tidak lagi boleh dipersalah atau dikenakan tindakan mahkamah jika berlaku perkara yang tidak diingini ke atas murid berkenaan.

Dari sudut undang-undang, sebarang klausa pengecualian dari sebarang tanggungjawap kepada pihak sekolah yang ditandatangani oleh ibubapa pelajar tidak mempunyai kuasa undang-undang sekiranya berlaku perkara tidak diingini seperti kemalangan atau kecederaan. AKTA PENDIDIKAN 1996 dan PEKELILING-PEKELILING IKHTISAS yang dikeluarkan setakat ini tidak ada memperuntukkan bahawa pihak sekolah erlepas dari sebarang bebanan undang-undang kesan dari surat pengecualiaan tanggungjawap yang dibuat oleh ibubapa. Lazimnya, surat kebenaran dari ibu bapa untuk melepaskan anak mereka mengikuti aktiviti di luar sekolah anjuran pihak sekolah diperlukan oleh pihak sekolah sebelum aktiviti tersebut dilaksanakan.

Surat tersebut juga lazimnya mengandungi terma bahawa ibubapa bersetuju untuk mengecualikan pihak sekolah dari sebarang tanggungjawap atau tindakan mahkamah jika sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingin ke atas anak tersebut sepanjang aktiviti berjalan. Mengenai perkara ini, surat tersebut tidaklah mempunyai kesan perundangan. Pihak sekolah masih lagi bertanggungjawap untuk mengawal, menyelia dan memastikan keselamatan pelajar tersebut sepanjang aktiviti berjalan. Ini kerana, tindakan ibubapa menandatangani surat kebenaran tersebut bukanlah bermakna mereka bersetuju untuk menyerahkan dan seterusnya menghilangkan hak mereka untuk mendakwa guru yang telah bertindak cuai.

Satu hal yang perlu diberi perhatian ialah program tersebut adalah program yang rasmi. Ia adalah program melibatkan sekolah yang sudah tentunya memerlukan dana termasuk dana dari sekolah. Ini bermakna, murid-murid tersebut masih lagi berada di bawah kawalan sekolah walaupun sudah berada di luar kawasan sekolah. Selagi program tersebut melibatkan aktiviti rasmi sekolah, selagi itulah peranan sekolah sebagai in loco parentis atau penjaga sementara bagi pihak ibubapa berjalan sepenuhnya.

Istilah IN LOCO PARENTIS membawa makna bahawa ibubapa menyerahkan sebahagian daripada autoriti mereka kepada guru, pengetua dan pihak sekolah dalam proses menghantar anak mereka ke sekolah. Dalam erti kata yang lain, autoriti ibubapa telah diambil alih oleh guru dengan persetujuan dan kebenaran ibubapa. Dalam kejadian ngeri yang berlaku dalam Perkemahan 1Malaysia di Perak itu, logik akal tidak akan dapat menerima bahawa mana-mana ibubapa yang telah menandatangai surat keizinan melepaskan anak mereka mengikuti perkemahan tersebut tidak boleh mendapatkan hak mereka di Mahkamah atas kehilangan insan tersayang.

Walauapapun yang bakal berlaku di antara ibubapa atau penjaga dalam kes berkenaan dengan pihak penganjur, jalan terbaik adalah perundingan dan perbincangan dari hati ke hati. Tindakan undang-undang boleh dielakkan jika pihak penganjur bersedia memberi sagu hati dengan kadar yang berpatutan kepada keluarga mangsa. Kenyataan rasmi kepada umum di media-media perdana seperti TV dan akhbar-akhbar perdana bagi menyatakan kekesalan serta permohonan maaf kepada keluarga mangsa boleh membuka ruang untuk mengelak kes tersebut berpanjangan di Mahkamah.

Pandangan yang dikeluarkan dalam artikel ini hanyalah pandangan peribadi ERAKITA berdasarkan pemahaman tersendiri terhadap peruntukan undang-undang yang ada. ERAKITA pada dasarnya bersetuju dengan pendapat mengenai isu ini dalam buku tulisan Tai Fatt Hee bertajuk Undang-Undang Pendidikan di Malaysia, terbitan Penerbit Fajar Bakti, 2002 di halaman 104-105. ERAKITA mencadangkan warga pendidik dan para ibubapa yang ada kelapangan untuk membaca buku tersebut. Buku ini mengandungi banyak maklumat mengenai pendidikan dalam konteks undang-undang. Undang-undang berkaitan tindakan pembuangan pelajar bermasalah juga dibincangkan secara detail dalam buku ini.

Sebagai ibubapa kepada pelajar, kita memahami bahawa kejayaan dan peningkatan daya intelektual serta kreativiti anak-anak dapat dikembangkan melalui gabungan pendidikan kelas di sekolah dengan aktiviti-aktiviti kurikulum samada dalam atau luar sekolah. Cuma, kita juga harus ingat bahawa sekiranya undang-undang mengatakan bahawa sekali ibubapa menurunkan tandatangan melepaskan anak mereka mengikuti aktiviti sekolah yang dikendalikan di luar sekolah, bererti pihak sekolah sudah terlepas dari sebarang tanggunjawap dan bebanan undang-undang sekiranya belaku kejadian malang ke atas murid, MAKA kita akan berhadapan dengan situasi di mana pihak ibubapa tidak lagi akan memberi kebenaran seumpamanya pada masa hadapan.

Bahkan, ERAKITA percaya bahawa guru-guru yang punya anak-anak yang bersekolah juga TIDAK AKAN SANGGUP menurunkan tandatangan serupa walaupun mereka adalah warga pendidik di sekolah berkenaan.

 

SEKADAR UNTUK RENUNGAN

 


About these ads

4 Respons to “SURAT IZIN IBUBAPA: sekolah boleh terlepas?”

  1. etuza said

    Asalamualikum…ngeri kejadian menimpa yang tidak di sangka itu. Saya amat merasa bertuah dan bersyukur dapat membaca catatan Erakita.

    Memang banyak program sekolah yang tempatnya di luar kawasan sekolah, SKPK juga tidak terkecuali dengan pelbagai program dari jabatan itu. Saya belum membuat kata putus untuk anak saya yang berusia 12 tahun dan di tahun enam atas kejayaannya dalam mewakili dua aktiviti serentak. Saya diberitahu oleh pihak sekolah bahawa anak saya termasuk sebagai peserta kem 1 Malysia peringkat Negeri Sabah, di mana sekolah kami terpilih di daerah Keningau. Dalam masa yang sama dia memenangi esei 1 Malaysia lalu menjadi wakil ke peringkat Daerah pada 4hb11.2009. Yang mana satu kita selaku ibubapa benarkan untuk anak ikuti, saya rasa mohon buah fkiran Erakita dalam hal ini.
    Berbalik peristiwa jambatan runtuh di Perak, ianya satu kejadian yang mengerikan. Masalahnya mengapa ada aktiviti menyusuri jambatan ketika malam serta air sedang pasang. Kenapa pihak AJK tersebut tidak memikirkan semasaknya risiko yang besar kemungkinan akan berlaku. Saya selaku guru hanya itu menjadi persoalan saya. Sebaiknya aktiviti waktu malam di luar kawasan perkemahan dielakkan. Apapun yang pergi tetap itu takdirnya..kita hanya mampu berserah dan menginsafi serta meneladani peristiwa ini.
    Salam …

    • ERAKITA said

      Wa’alaykum salam wbt.

      Tidak ada kata yang tepat melainkan mengucapkan tahniah kepada ETUZA atas pencapaian cemerlang anak ETUZA memenangi ESEI 1MALAYSIA sekaligus terpilih mewakili sekolah untuk mengikuti 2 program perdana secara serentak. Amat bertuah kerana bukan semua pelajar dapat peluang seumpama itu. Andai bukan serentak, alangkah baiknya kalau dapat mengikuti kedua-duanya.

      Dalam membuat pilihan memilih antara dua, Islam memberikan jalan kepada umatnya dengan cara melakukan solat sunat istikharah. Ini memandangkan, kedua program tersebut masing-masing penting dan bukan bukan pula mudah dapat peluang seumpamanya. Namun, tanpa meminggirkan soal solat istikharah, ERAKITA melihat dari segi keutamaannya. Jika dilihat, andai terlepas mengikuti Kem 1Malaysia, masih ramai rakan2 sepersekolahan yang boleh mengikutinya. Pengalaman dan ilmu yang diperiolehi sepanjang program masih dapat dikongsi bersama rakan-rakan. Tambahan pula, Kem ini telah jadi program rasmi yang telah ditetapkan jadual dan akan diadakan pada masa2 yang sudah ditetapkan pada masa hadapan. Kesempatan untuk mengikutinya masih ada pada masa hadapan samada di peringkat sekolah rendah atau menengah nanti.

      Jika terlepas peluang mewakili sekolah ke peringkat daerah dalam pertandingan menulis esei, kita kena lihat pula. Adakah tidak wakil sekolah kita ke pertandingan yang sama? Jika ada berapa ramai? Jika anak kita satu-satunya wakil sekolah ke pertandingan berprestej itu, rasanya keutamaan harus diberi kepada anak kita untuk mewakili sekolah ke pertandingan tersebut. Ini kerana, kegagalan mengikutinya menyebabkan tidak ada ilmu dan pengalaman yang dapat dikongsi dari sesiapa kerana ketiadaan wakil. Lagi satu, penulisan ada hubungan kuat dengan peningkatan prestasi akademik pelajar. Pengalaman bertanding dalam suatu kejohanan atau pertandingan yang menggunakan MINDA dan kebijaksanaan akal lebih bermanfaat untuk jangkamasa pendek dan panjang.

      Tidak mustahil, kesan dari kejayaan di peringkat awal dalam bidang penulisan mampu menolak anak ETUZA ke peringkat yang cemerlang dalam DUNIA PENULISAN satu masa nanti. Dan, ianya telah terbukti di hadapan mata. Why not kita asah dan asah bakatnya supaya tambah tajam. Tambahan lagi, sekolah kita sebenarnya lebih beruntung kerana berjaya menghantar pelajarnya mengikuti kedua-dua program penting. Sekurang-kurangnya, papan-papan kenyataan samada di lorong murid atau lorong pejabat guru-guru akan diserikan dengan gambar-gambar murid-murid mengikuti pelbagai program penting. Lebih baik rasanya dapat 2 kebaikan berbanding 1.

      Siapa tahu, kejayaannya dalam bidang penulisan pada masa hadapan akan memberi ruang dan peluang yang lebih banyak untuk ia mengikuti program2 yang lebih hebat dari KEM 1 MALAYSIA ketika ini selepas ini. Kadang2 peluang hanya sekali.

      Dengan kata lain, ERAKITA berpendapat bahawa keutamaan harus diberi kepada anak ETUZA untuk mewakili sekolah dalam pertandingan menulis esei 1Malaysia di peringkat Daerah. Andai keraguan masih ada, tidak ada tindakan yang lebih bijak selain melakukan solat sunat Istikharah.

      Wallahu a’lam.

  2. Ahadin Akub said

    Assalam ustaz..

    1). Pendapat saya ialah, surat kebenaran dr ibu bapa utk mengikuti aktiviti luar (kokurikulum) adalah bukan bertujuan utk mengelak drp dikenakan tindakan undang2 terhadap pihak pentadbir sekolah malah ia lebih kepada prosedur mengadakan sebarang aktiviti luar. Jika tiada surat tersebut maka, tidak berlakulah sebarang aktiviti.

    2). Tidak timbul soal keselamatan anak terabai semasa mengikuti sebarang aktiviti yg dilaksanakan oleh pihak sekolah kerana keselamatan anak-anak murid sangat diutamakan. Kemungkinan berlaku masalah adalah disebabkan oleh qada dan qadar Allah.

    3). Jika kita sebagai ibu bapa sentiasa sahaja beranggapan serong soal keselamatan anak2 sehingga tidak membenarkan anak2 mengikuti sebarang aktiviti sekolah maka, saya risau pertumbuhan otak anak2 akan terbantut. Anak2 akan lebih terarah kepada kehidupan yg murung tanpa percambahan fikiran, tidak aktif dalam bermasyarakat dan kemungkinan besar terarah kpd jenayah.

    4). Oleh yg demikian, saya lebih menggalakkan anak2 kita mengikuti sebarang aktiviti yg dilaksanakan oleh pihak sekolah selagi aktiviti tersebut tdk menyimpang dgn kehendak Islam..

    • ERAKITA said

      Wa’alaykum salam wbt,

      Setinggi-tinggi ucapan terimakasih ERAKITA atas pandangan ikhlas dari saudara Ahadin Akub yang dilontarkan di atas. Pandangan di atas cukup baik dan boleh menjadi inspirasi kepada para ibubapa untuk terus menyokong usaha murni pihak sekolah mengadakan pelbagai program dalaman dan luaran sekolah. Ini kerana pembangunan mental dan fizikal manusia harus berjalan serentak.

      Apapun kejadian atau malapetaka yang berlaku itu akhirnya atas qada dan qadar Allah jua. Kejadian ngeri yang berlaku di dalam perkemahan 1Malaysia di Perak itu boleh dijadikan sebagai pengajaran kepada kita semua agar sentiasa bersedia semaksima mungkin untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Paling penting, penganjuran program luaran sekolah dengan ciri-ciri keselamatan yang tinggi perlu menjadi keutamaan.

      Semoga kejadian ngeri yang ada di hadapan kita hari ini tidak akan meruntuhkan semangat ibubapa untuk terus menghantar dan menggalakkan anak-anak mereka mengikuti program anjuran sekolah selepas ini. Sesungguhnhya pemahaman yang jelas mengenai hak ibubapa di sisi undang-undang ke atas pihak berkaitan andai berlaku sebarang kejadian sewajarnya dapat membangkitkan semangat mereka untuk menyokong sebarang aktiviti luaran persekolahan.

      Terimakasih saudara Ahadin Akub atas pandangan yang baik di atas.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: