Blog ERA KITA

"Perkongsian Maklumat Masa Kini"

BERSUNAT: 5 anak bertuah

DIkirim oleh ERAKITA di 7 Disember 2009

 

Dari kiri Mohd Iqbal, Mohd. Abid, Ahmad Adib, Mohd. Ikmal & Mohd Raqib. Inilah wajah sebelum bersunat

BERSUNAT DI MUSIM CUTI SEKOLAH

5 anak bertuah

 

7 Disember 2009 

Cuti persekolahan datang lagi. Program berkhitan atau bersunat untuk anak-anak samada secara berseorangan atau beramai-ramai berlangsung di sana sini. Sebagaimana keluarga lain, keluarga ERAKITA juga turut melaksanakan program berkhitan untuk lima ahli keluarganya yang kesemuanya masih bersekolah di sekolah rendah. Acara yang bersejarah itu dijalankan di rumah Hj Adenan Hj Mohd Yussuf di Kg. Pasir Putih Putatan, Kota Kinabalu. 

Acara berkhitan yang bermula pada jam 10.30am, 6 Disember 2009 itu dimulakan dengan sesi penerangan dan motivasi dari Tukang Sunat, diikuti bacaan doa keselamatan dan kesejahteraan oleh ERAKITA. Anak-anak yang dikhitan terdiri dari Ahmad Adib bin Ahadin (9 tahun), Muhd Iqbal bin Shahrul Anuar (11 tahun), Muhd. Ikmal bin Shahrul Anuar (9 tahun), Mohd. Abid bin Hj Juang (9 tahun) dan Mohd. Raqib bin Mohd Redza (8 tahun). 

Acara berkhitan itu dijalankan oleh seorang Tukang Sunat berpengalaman, saudara Jamilih bin Asoi @ Arinen. Sedikit maklumat mengenai Jamilih Asoi @ Arinen ingin dikongsi ERAKITA dalam ruangan ini. Beliau berumur 37 tahun, berasal dari Keningau dan saudara kandung kepada ERAKITA. Beliau kini bertugas sebagai Pembantu Perubatan di Unit Hemodialisis, Hospital Daerah Keningau. Selain berkelulusan  Diploma  dalam bidang Pembantu Perubatan, beliau juga mempunyai Diploma dalam bidang Binaan Bangunan dari Kolej Komuniti Yayasan Sabah. Beliau berpengalaman melakukan penyunatan kanak-kanak dan dewasa lelaki tidak kurang 200 orang sejak tahun 1996 lagi. 

Menariknya, kesemua anak-anak bertuah ini begitu bersemangat sejak awal untuk menghadapi saat-saat mendebarkan. Motivasi dan penerangan ringkas yang diberikan oleh Tukang Sunat, saudara Jamilih sebelum acara bermula tidak sia-sia. Kehadiran ibubapa anak-anak serta kata-kata sokongan mereka  turut memberi perangsang dan semangat kepada anak masing-masing. Acara menyunat berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Ibubapa anak-anak turut menyaksikan sendiri anak-anak mereka disunatkan. 

Alhamdulillah, kini segala-galanya telah berjaya dilaksanakan. Cuma, agak menggusarkan juga pada mulanya apabila anak-anak ini begitu risau dan takut untuk membuang air kecil. Ada di kalangan mereka yang sanggup menahan kencing selama beberapa jam sebelum ditenangkan dan diberi panduan. ERAKITA bersyukur kerana akhirnya mereka dapat membuang air kecil tanpa sebarang masalah ketika waktu solat maghrib menjelang tiba. 

Tahniah diucapkan kepada kelima-lima anak yang bertuah ini atas kejayaan menjalani acara bersunat. Semoga kejayaan melaksanakan tuntutan agama ini menjadi perangsang kepada mereka untuk menjadi manusia yang beriman dan bertaqwa.

Beberapa gambar menarik dipaparkan untuk tatapan istimewa. 

 

wow! jangan risau wahai adik.. Mohd. Abid kena tenang, rilek, tak payah bimbang..

Ini sudah betul-betul, bukan cubaan.. Kelihatan Jamilih (Tukang Sunat) bersama Shahrul Anuar (kanan) dan Rajis (kiri) di sisi anak

BERSUNAT BANYAK KEISTIMEWAAN

 

 

Dikirim dalam AGAMA, KELUARGA, KESIHATAN, MAJLIS | 2 Komen »

BEKAM: memang hebat!

DIkirim oleh ERAKITA di 3 Disember 2009

 

Darah bertoksid melekat atas tubuh setelah cawan bekam dibuka. Lihatlah sendiri..

 

BEKAM DAN KEHEBATANNYA: 1

 

3 Disember 2009 

Salah seorang pengamal perubatan bekam dan homeopati terkenal di Malaysia dan si Indonesia ialah Dr Ibrahim. Beliau mendapat kelulusan khusus dalam Sarjana Muda Perbuatan Sains Homeopati dari Majlis Akademi Homeopati Malaysia dengan kerjasama Fakultas Kedokteran Universitas Sumetara Utara Indonesia pada 2005. Beliau juga memiliki Diploma Sains Pengajian kelolaan Majlis Akademi Homeopati Malaysia pada tahun 2002. 

Beliau juga mempunyai kelayakan dalam perubatan Islam apabila dianugerahkan sijil tamat kursus dari Pusat Perubatan Islam Darus Syifa kelolaan Datuk Dr. Harun Din pada tahun 2002. Selain itu, antara kursus tambahan yang dihadiri untuk memantapkan lagi kepakaran beliau dalam bidang homeopati dan bekam ialah Kursus Anatomi, Fisiologi, Biokimia, Gizi dan Kesihatan di Fakultas Kedokteran Universitas Sumatera Utara, Indonesia. 

Beliau telah membuka klinik perubatan Bekam dan Homepati di Batu 9, Kg Melaka, Cheras, Kuala Lumpur. ERAKITA berkesempatan untuk mendapatkan rawatan bekam beliau sebanyak 2 kali sejak tahun 2008. Terbaru, 13 oktober 2009, ERAKITA sekali lagi mendapatkan rawatan bekam di klinik beliau. Cara beliau melakukan rawatan bekam mempunyai kelainan dari para pengamal perubatan bekam lain yang pernah ERAKITA saksikan dan berbekam. 

Kelainan beliau ialah, beliau akan memberi penjelasan yang cukup jelas mengenai penyakit, punca, konsep penyakit dan lebih penting, beliau akan mengulang-ulang untuk mengeluarkan darah dari sesuatu lokasi tubuh sehingga darah yang bertoksid dapat dikeluarkan dalam kuantiti yang memuaskan. Lazimnya, penyedutan di lokasi yang sama dilakukan sehingga 3 hingga 4 kali. Beliau menyatakan bahawa, jika keadaan memerlukan, lokasi tertentu sebenarnya boleh disedut berulang kali sehingga 7 kali. Walau bagaimanapun, hal tersebut banyak bergantung kepada keupayaan dan kekuatan tubuh pesakit sendiri. 

Menariknya, menurut beliau, satu kesilapan yang lazimnya berlaku pada pengamal rawatan bekam ialah apabila mereka tidak mengulangi untuk menyedut lokasi yang sama setelah menyedut darah kali pertama dengan alasan, kawasan tersebut tiada darah kotor. Menurut beliau, kawasan yang tidak banyak keluar darah hitam setelah disedut kali pertama bukanlah menunjukkan bahawa bahagian tersebut tiada sakit atau tidak bertoksid. Menurut pengalaman beliau, kawasan tersebut sebenarnya mengandungi banyak darah bertoksid yang kotor tetapi toksid yang ada telah terkumpul terlalu lama serta mendap di lapisan kulit yang agak tebal. 

Pengulangan untuk mengeluarkan darah secara sedutan di kawasan tersebut seharusnya dilakukan sehingga darah kotor tersebut dikeluarkan. Berdasarkan pemerhatian ERAKITA dan sedikit pengalaman membekam orang, ternyata hal tersebut ada kebenarannya. ERAKITA sendiri telah mencuba kaedah tersebut dan mendapati bahawa sedutan kali kedua atau ketiga di lokasi yang sama akan menghasilkan sedutan darah bertoksid yang banyak dan berwarna hitam legam serta kental. 

ERAKITA yang sempat menimba sedikit ilmu dan pengalaman di samping mendapatkan rawatan bekam dari Dr Ibrahim sendiri dapat menyaksikan sendiri bagaimana beliau melakukan rawatan bekam ke atas pesakit lain. Sambil merawat, beliau tidak kedekut dengan ilmu apabila menerangkan terus kepada ERAKITA kaedah serta kawasan-kawasan yang patut dibekam untuk penyakit-penyakit tertentu. Satu hal yang menarik, apabila Dr Ibrahim menceritakan pengalaman beliau merawat pesakit wanita yang telah mengalami penyakit KANSER PAYU DARA sejak beberapa lama. Pesakit berkenaan telah datang ke Pusat Rawatannya di Kg Padang, Riau Indonesia. 

Beliau telah merawat pesakit berkenaan dengan kaedah perubatan homeopati dan bekam. Beliau juga telah menunjukkan sendiri beberapa gambar yang dirakamkan dalam kamera digital beliau kepada kami. Gambar rakaman memperlihatkan air berwarna kekuningan dan cair terkumpul dari kawasan sekeliling payu dara pesakit yang agak banyak. Gambar payudara pesakit pada mulanya amat teruk. Namun, setelah beberapa minggu rawatan dibuat, akhirnya payudara pesakit semakin cerah dan berwarna kemerahan menunjukkan bahawa darah di bahagian tersebut semakin lancar dan normal. 

Menurut beliau lagi, salah satu cabaran besar yang dihadapi ketika berhadapan pesakit berkenaan ialah pesakit diganggu makhluk halus. Menurut keluarga pesakit, pesakit telah beberapa lama diganggu makhluk halus. Keadaan sedemikian menyebabkan proses rawatan yang sepatutnya lancar adakalanya terganggu. Bagaimanapun, menurut beliau, usaha masih dilakukan agar pesakit berkenaan dapat disembuhkan sepenuhnya menggunakan kaedah homepati dan bekam.

Ketika ini Dr Ibrahim sedang menyiapkan buku mengenai Bekam dan kaitannya dengan Islam dan Sains. Kini, dengan mempunyai pekerja terlatih dalam homepati dan Bekam, beliau sedang mengendalikan Klinik Perubatan Homepati dan Bekam di Riau Indonesia. Beliau juga pernah dijemput untuk ditemuramah secara langsung di TV Riau, Indonesia dan menjawap soalan secara langsung dari para penonton mengenai Homeopati dan Bekam. 

Pelanggan beliau datang dari berbagai tempat. Klinik beliau di Batu 9, Kg Melaka Cheras Kuala Lumpur didatangi oleh pesakit dari seluruh Malaysia. Beberapa siri kursus Refleksiologi dan Bekam dikendalikan oleh beliau di Klinik tersebut sejak beberapa tahun yang lepas. Kursus telah dikendalikan di tempat yang sama pada 7 dan 8 November 2009 baru-baru ini. ERAKITA sendiri pernah menghantar salah seorang anggota keluarga ERAKITA untuk menghadiri kursus Bekam di sini pada bulan Julai 2008. Peserta akan diberikan nota kursus, alat bekam secara percuma dan sijil kursus. 

Ketika ditanya mengenai penyakit H1N1 yang melanda seluruh dunia, beliau menyatakan bahawa penekanan harus diberikan kepada masyarakat supaya memberi keutamaan untuk menguatkan sistem imunisasi dalam tubuh manusia. Imunisasi adalah kekebalan sistem tubuh dari serangan pelbagai penyakit. Semakin kuat sistem pertahanan tubuh, semakin sukarlah penyakit untuk hinggap ditubuh kita. Menurut beliau lagi, salah satu kaedah paling mudah untuk menguatkan sistem pertahanan tubuh manusia ialah dengan cara BERBEKAM.

Melalui bekam, darah yang kotor dan bertoksid (beracun) dapat dikeluarkan terus dari tubuh. Darah yang bersih pula akan semakin lancar mengalir dalam pembuluh darah yang luas. Akhirnya segala makanan atau minuman yang diangkut oleh darah yang mengandungi pelbagai bahan penting yang diperlukan tubuh seperti oksigen, vitamin dan lain-lain lagi akan disebarkan ke seluruh tubuh dalam jangkamasa singkat. 

Untuk melihat lebih lanjut perkembangan perubatan Homepati dan Bekam, klinik beliau ada menyediakan laman web sendiri yang boleh dilayari di alamat www.homepatiindonesia.com. Beliau juga menjual peralatan khas untuk rawatan bekam seperti pen, lenset, cawan dan mesin penyedut eletrik yang diimport dari luar negeri. Peralatan ini amat sesuai dan penting kepada para pengamal rawatan bekam. Peralatan moden sedemikian dapat mengikis tanggapan mengenai kengerian  atau keperitan pesakit untuk mendapatkan rawatan bekam.

Peralatan moden dan sopistikated seperti cawan, pen dan lanset benar-benar menjadikan proses rawatan bekam sesuatu yang tidak mengerikan, tidak menyakitkan dan tidak memudaratkan. Kita akan menyaksikan sendiri bagaimana selepas rawatan bekam, tidak ada luka di bahagian kulit yang kelihatan. Jika ada, hanyalah kulit berwarna kemerahan kesan sedutan darah. 

Dalam artikel yang akan datang, ERAKITA akan menceritakan pula beberapa aspek lagi mengenai rawatan bekam dan kehebatannya. Insyaa Allah. Beberapa gambar untuk tatapan dipaparkan di bawah untuk anda semua.

Peralatan Bekam. Moden, canggih, bersih dan meyakinkan!

Mesin eletrik moden untuk menyedut darah melalui cawan. canggih! bukan lagi macam dulu-dulu

Dr Ibrahim di Pejabat Kliniknya

 

BERBEKAM SUNNAH NABI

 

 

Dikirim dalam AGAMA, KESIHATAN, PETUA | Leave a Comment »

MAJLIS KONVOKESYEN PRA SEKOLAH DAERAH TAMBUNAN MERIAH: tahniah!

DIkirim oleh ERAKITA di 1 Disember 2009

 

Para Graduan berbaris menanti saat gemilang menerima skroll di atas pentas

MAJLIS KONVOKESYEN PRA SEKOLAH DAERAH TAMBUNAN MERIAH

tahniah!

  

1 Disember 2009 

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua pelajar Pra-Sekolah Daerah Tambunan yang telah berjaya menamatkan pendidikan awal mereka baru-baru ini. Satu majlis khas telah diadakan untuk meraikan tamatnya persekolahan peringkat asas kepada seramai 308 pelajar dari 23 buah sekolah dari seluruh Daerah Tambunan pada 5 November 2009. Majlis Konvokesyen yang diadakan di Dewan Masyarakat Tambunan itu menyaksikan kehadiran luarbiasa ibubapa dan penjaga pelajar-pelajar berkenaan. 

Dianggarkan kehadiran ibubapa dan penjaga serta ahli keluarga masing-masing mencecah 500 orang. Kehadiran luarbiasa ini menunjukkan betapa para ibubapa begitu prihatin terhadap perkembangan dan kemajuan pendidikan anak-anak mereka walaupun di peringkat pra-sekolah. Majlis bersejarah itu dirasmikan oleh Puan Faridah bte Wahid, Pegawai Bahagian Sektor Pedidikan Akademik, Pejabat Pendidikan Daerah Tambunan yang mewakili Pegawai Pelajaran Daerah Tambunan, Tuan Hj Kaipin Rosmin. 

Menariknya, pelajar-pelajar telah menerima sijil tamat pendidikan Pra-Sekolah dari Guru Besar sekolah masing-masing. Majlis tersebut juga tambah berseri apabila juruacara majlis dikendalikan oleh DJ dari Radio KLfm, Puan Faridah Yunus yang kebetulan bercuti seketika untuk menemani suaminya, Cikgu Ahmad Iznan yang bertugas di SK Kaingaran Tambunan sejak Januari 2009. 

Terdahulu dari itu, ketibaan Puan Faridah Wahid untuk merasmikan majlis tersebut disambut dengan paluan kompang dari Kumpulan Khai, Sekolah Menangah Ugama (SMU) Tambunan. ERAKITA yang sempat bertemu dengan pengurus Kumpulan Khai, Ustaz Ramlin Asri turut dimaklumkan bahawa kumpulan kompang tersebut ditubuhkan pada tahun 2007 dan dianggotai seramai 13 pelajar SMU Tambunan, diketuai oleh adik Mohd Syafie bin Rahman. Kumpulan Khai juga pernah memenangi pertandingan kompang peringkat Daerah Tambunan sempena Festival Nasyid dan Kompang pada tahun 2008. 

Majlis Konvokesyen yang bermula seawal jam 7.00 pagi dan berakhir jam 1.00 tengahari diserikan dengan pelbagai persembahan dari pelajar-pelajar pra-sekolah sendiri. Antaranya, deklamasi sajak, nyanyian dan tarian. Majlis yang berjalan lancar itu tambah menarik apabila acara penyampaian sijil diselitkan dengan pengumuman dan penyampaian hadiah kepada para ibubapa yang mendapat cabutan tiket bertuah. Para ibubapa dan guru-guru tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar bersama pelajar-pelajar bertuah itu sebagai kenang-kenangan. 

ERAKITA yang turut hadir untuk memberikan semangat dan berkongsi kejayaan dengan anaknya dalam majlis berkenaan begitu teruja dengan suasana ceria dan bersemangat sepanjang majlis berlangsung. Semoga majlis seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang dengan pelbagai pengisian yang menarik dan BERSESUAIAN menurut tahap umur pelajar-pelajar berkenaan, etika, moral dan agama. 

Akhir sekali, tahniah kepada pihak pengajur yang berjaya melaksanakan majlis tersebut dengan jayanya. Kepada para pelajar yang telah menamatkan pendidikan Pra-Sekolah, ERAKITA ucapkan TAHNIAH. Semoga penganugerahan sijil tersebut menjadi titik tolak untuk meneruskan kecemerlangan akademik ke tahap tertinggi pada masa akan datang. Beberapa gambar menarik sepanjang majlis berkenaan dipaparkan di bawah ini untuk tatapan bersama.

Para Graduan dari SK Kipaku bersama Guru Besar En. Nordin Zaini dan Cikgu Aniah bergambar untuk kenangan

Nur Syakirah Ahadin bersama guru kesayangannya Puan Aniah. Tahniah!

Kumpulan Khai terdiri dari pelajar SMU Tambunan dijemput untuk memalu kompang sempena ketibaan pegawai dari Pejabat Pendidikan Tambunan bagi perasmian Majlis Konvokesyen Pra Sekolah. Boleh tahan juga bakal para alim ulama ni!

Kehadiran para ibu bapa yang amat memberangsangkan

Bersedia naik ke pentas.

Penuh debaran adik-adik ni

gembira bersama skroll dan anak patung

Nur Syakirah Ahadin bersama skroll. Ini permulaan untuk kejayaan seterusnya. Tahniah untuk anak kesayangan

Generasi pewaris kepimpinan negara

Puan Faridah Wahid (kiri) mewakili Pegawai Pendidikan Daerah kelihatan kusyuk melihat persembahan adik-adik di pentas

Puan Faridah Yunus, DJ Radio KLfm turut menyerikan majlis sebagai pengacara

Tahniah adik-adik! Belajar tinggi-tinggi ya..

 TERUSKAN KECEMERLANGAN DALAM PENDIDIKAN

 

Dikirim dalam MAJLIS, SEKOLAH, UCAPAN | 2 Komen »

IBADAT: perlunya mengenalpasti keutamaan

DIkirim oleh ERAKITA di 2 November 2009

 

DSC07234

 

KONSEP IBADAT

amalan menurut keutamaan


2 November 2009

Pemahaman mengenai konsep ibadah yang sebenar dapat memberi kesan yang amat mendalam ke atas diri dan peribadi seseorang Muslim. Orang yang memahami konsep ibadah akan mendapati bahawa hidup yang sementara di dunia ini tidak boleh dipersia-siakan begitu sahaja. Baginya, setiap saat yang berlalu tanpa ibadah merupakan kerugian kerana setiap amal ibadah walau sekecil manapun, pasti akan diberikan ganjaran pahala oleh Allah SWT. Baginya, hidup adalah kesempatan terbaik untuk membuat sebanyak mungkin amal kebajikan. Ini kerana, amal kebajikan adalah bekalan paling bernilai di hari akhirat.

Bagi orang yang tidak memahami konsep ibadah, ia akan selalu rugi dan sentiasa terdedah kepada perbuatan yang sia-sia. Maksudnya, ia mungkin melakukan banyak kerja yang ia anggap sebagai ibadah, tapi jika diteliti, perbuatannya itu tidak menepati kaedah yang sebenar menurut hukum syarak. Contoh mudah ialah, ada orang yang begitu rajin buat solat sunat tapi perbuatannya menjadi sia-sia kerana whudu yang dilakukannya dari peringkat awal tidak betul.

Ada orang yang menyangka bahawa ibadah itu hanyalah terhad kepada solat lima waktu, menunaikan zakat, berpuasa di bulan ramadhan dan menunaikan haji dan umrah. Akibatnya, berlaku kejadian di mana ada orang  hanya menumpukan urusan hidup di masjid dengan beriktikaf sambil menunggu masuk waktu solat yang seterusnya tanpa memikirkan betapa pentingnya ia mencari rezeki di luar sebagai sumber kehidupannya dan keluarganya. Tidak terlintas dalam pengetahuannya bahawa mencari rezeki yang halal merupakan satu ibadah yang besar pahalanya di sisi Allah SWT.

Ia tidak sedar bahawa dengan rezeki yang diperolehi, dapatlah pula ia menyediakan nafkah buat isteri dan anak-anaknya yang pada akhirnya, perbuatan memberikan nafkah tersebut merupakan ibadah yang besar pahalanya di sisi Allah. Memang tidak dinafikan bahawa duduk beri’tikaf di masjid besar pahalanya. Duduk di masjid untuk menunggu masuknya solat yang seterusnya memang besar pahalanya. Namun, semua urusan hidup ini perlu melihat kepada keutamaan. Maknanya, jika ada kerja yang lebih mustahak dan mendatangkan maslahah lebih besar, keutamaan kita ialah mengerjakan terlebih dahulu perkara yang paling mustahak itu.

Inilah yang ERAKITA maksudkan di awal perbincangan tadi bahawa, dalam soal melakukan ibadah, kita harus melihat keutamaan untuk didahulukan ketika berhadapan dengan banyak perkara-perkara penting untuk dilakukan. Berbanding mengutamakan iktikaf di masjid semata-mata yang hanya mendatangkan kebaikan untuk seorang individu, elok sangatlah kita melakukan perkara yang bukan saja mendatangkan faedah diri sendiri, malah lebih jauh dari itu, ia mampu mendatangkan faedah yang amat besar kepada umat keseluruhannya.

Ketiadaan ilmu dalam memahami konsep ibadat ini tidak mustahil dapat melahirkan individu-individu Muslim yang kuat melaksanakan ibadah solat tetapi dalam masa yang sama, sentiasa pula mengharapkan bantuan kewangan dari jemaaah yang keluar masuk  dalam masjid. Mereka lupa bahawa sikap meminta-minta dari orang lain itu dibenci Allah AWT dalam keadaan mereka mempunyai bentuk fizikal dan kesihatan yang baik untuk mencari rezeki dengan tangan mereka sendiri.

Kesilapan memahami kaedah dan tatacara melaksanakan sesuatu ibadah itu ada kalanya menimbulkan kesulitan dan bebanan seseorang. Contoh yang mudah adalah ketika seseorang itu sedang bermusafir. Kejahilan mengenai adanya kemudahan yang Allah berikan kepada umat-Nya untuk mengerjakan ibadah solat secara jamak dan qasar bagi orang yang bermusafir itu akan menyebabkan orang itu terpaksa mengerjakan solat lima waktu satu persatu apabila tiba waktunya dalam keadaan tergesa-gesa akibat keterbatasan waktu dan kesukaran mencari ruang untuk menunaikan solat. Hal ini sudah tentu menyulitkan orang tersebut melaksanakan ibadahnya di samping sedikit sebanyak mengganggu kelancaran perjalanannya. Semua kesulitan tersebut sebenarnya dapat dihindarkan andaikata orang tersebut mempunyai pengetahuan dan kefahaman mengenai konsep ibadah dalam Islam.

Bercakap tentang mengenalpasti keutamaan dalam perkara ibadah, ERAKITA ingin mengambil satu contoh yang mudah. Ada orang Islam yang dianugerahkan rezeki yang banyak. Demi untuk menambahkan amal ibadat, ia melazimkan dirinya untuk mengerjakan haji sebanyak dari tahun-ke tahun. Soal mengerjakan umrah bukan lagi perkara yang rahsiah baginya. Boleh dikatakan setiap tahun, tidak kurang dari sekali mengerjakan umrah di Tanah Suci Makkah. Niatnya cukup murni. Tidak lain tidak bukan, untuk menambahkan sebanyak mungkin amal ibadat dan pahala di sisi Allah. Namun, ada yang perlu disentuh di sini. Andai kata ia mengetahui fiqh keutamaan, sudah pasti ia akan menukar amalan ini kepada yang lebih besar manfaat dan pahalanya.

Untuk mendapatkan pahala yang lebih besar, alangkah baiknya kalau wang sebanyak itu digunakan pula untuk kepentingan umat Islam yang lain. Wang tersebut boleh disalurkan untuk pembinaan atau pembesaran masjid sebagai contoh. Atau, pembinaan atau pembesaran rumah anak-anak yatim. Atau, pembelian buku-buku agama di sekolah-sekolah atau pusat-pusat pengajian. Ataupun, wang tersebut digunakan untuk permbiayaan rawatan pesakit kritikal yang memerlukan kos besar di pusat perubatan. Atau, membeli sebuah tanah atau bangunan untuk diwakafkan bagi kepentingan umat Islam. Atau, menggunakan duit tersebut untuk membiayai kos pengajian anak-anak Muslim melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi.

Atau, menggunakan wang tersebut untuk membiayai kos elaun guru-guru agama di sekolah-sekolah yang tidak mencukupi peruntukannya. Atau, menggunakan wang tersebut untuk membiayai mana-mana ahli keluarganya mengerjakan haji. Banyak lagi contoh yang boleh diketengahkan untuk mengenalpasti keutamaan yang harus didahulukan. Contoh-contoh keutamaan yang diberikan di atas jika menjadi keutamaan orang kaya Muslim tadi, pasti mendatangkan kebaikan dan maslahah yang lagi banyak bukan saja kepada masyarakat umum, bahkan juga kepada dirinya sendiri. Jika diteliti, ternyata amalan-amalan tadi benar-benar bakal menjadi amal jariah yang hasilnya berpanjangan walaupun kita sudah lama meninggal dunia. Bandingkan kalau wang sebanyak itu hanya digunakan untuk diri sendiri pergi ke Makkah setiap tahun? Mana satu yang jelas memberi manfaat yang besar?

Tidak menghairankan apabila ulama kontemporari Dr Yusuf al-Qhardhawi mengarang sebuah buku khusus membincangkan fiqh keutamaan dalam bukunya Fii fiqh al-awlayiyaat: diraasat al-jadid fii dau al-Quran wa al-sunnah.[1] Dalam buku tersebut, banyak contoh-contoh kesilapan yang dilakukan oleh umat Islam dalam mengerjakan ibadah sehingga meninggalkan perkara-perkara utama yang jauh lebih banyak mendatangkan manfaat dan menjauhkan kemudaratan. Antara perkara-perkara yang dibincangkan secara terperinci oleh beliau dalam buku ini ialah mengutamakan kualiti ke atas kuantiti, mengutamakan kefahaman ke atas semata-mata hafalan dan lain-lain lagi yang dirasakan amat relevan diaplikasikan dalam era moden yang serba mencabar ini.

Bagi meninggikan lagi kualiti ibadah, kefahaman mengenai keutamaan-keutamaan dalam beribadah amat penting untuk dipelajari. Buku fiqh al awlawiyyaat karangan Dr Yusuf al-Qhardhawi yang disebut sebelum ini amat sesuai untuk menjadi bahan bacaan bagi mereka yang ingin mendalami ilmu mengenai perkara-perkara yang patut diberi keutamaan dalam kehidupan ini. Adalah diharapkan agar perbincangan mengenai konsep ibadah dalam tulisan ini dapat memberi manfaat kepada para pembaca dalam rangka menjadikan ibadah kita benar-benar menjadi sempurna, berkualiti dan diterima Allah SWT.

MENDAHULUKAN YANG UTAMA

HIDUP BERKUALITI

 

 


[1] Kitab ini diterjemahkan dari bahasa Arab ke dalam bahasa Malaysia bertajuk Fiqh Keutamaan: Satu Kajian Baru dari Perspektif Al-Quran dan Sunnah, oleh Ahmad Nuryadi Asmawi, Thinker’s Library Sdn Bhd, Selangor, 1996.

Dikirim dalam AGAMA, RENUNGAN | Leave a Comment »

SURAT IZIN IBUBAPA: sekolah boleh terlepas?

DIkirim oleh ERAKITA di 30 Oktober 2009

DSC07473

Keratan akhbar Tragedi Perkemahan 1Malaysia di Kuala Dipang Perak 27 Oktober 2009

SURAT KEIZINAN IBUBAPA

sekolah boleh terlepaskah?

30 Oktober 2009

Kegembiraan 294 murid sekolah yang menyertai Perkemahan 1Malaysia di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Dipang, Perak pada 27 Okober 2009 tiba-tiba menjadi mimpi ngeri. Ini kerana, jambatan gantung yang digunakan pelajar untuk menyeberangi Sungai Kampar tiba-tiba runtuh. Pelajar-pelajar yang terjatuh ke sungai terpaksa berpaut pada  tali kabel jambatan yang runtuh. Sementara bantuan dilakukan oleh beberapa petugas pengiring dan orang luar, air sungai tiba-tiba naik dan mengalir deras. Kejadian tiba-tiba itu akhirnya meragut satu nyawa pelajar dan dua yang lain masih lagi belum ditemui. Menurut laporan akhbar Kosmo bertarikh 28 Oktober 2009, ada ibubapa yang tidak berpuashati memandangkan kehadiran anak-anak mereka ke program pekemahan itu tidak mendapat kebenaran dari mereka sebagai penjaga.

Isu sebenar yang ERAKITA ingin kupas dalam artikel ini ialah sejauhmana kesan perundangan ke atas surat keizinan ibubapa atau penjaga melepaskan anak-anak mereka mengikuti program anjuran sekolah di luar kawasan persekolahan. Hal ini perlu diberi perhatian memandangkan terdapat persepsi dari warga pendidik yang melihat bahawa sebaik surat keizinan pelepasan tersebut ditandatangani ibubapa atau penjaga, pihak sekolah tidak lagi boleh dipersalah atau dikenakan tindakan mahkamah jika berlaku perkara yang tidak diingini ke atas murid berkenaan.

Dari sudut undang-undang, sebarang klausa pengecualian dari sebarang tanggungjawap kepada pihak sekolah yang ditandatangani oleh ibubapa pelajar tidak mempunyai kuasa undang-undang sekiranya berlaku perkara tidak diingini seperti kemalangan atau kecederaan. AKTA PENDIDIKAN 1996 dan PEKELILING-PEKELILING IKHTISAS yang dikeluarkan setakat ini tidak ada memperuntukkan bahawa pihak sekolah erlepas dari sebarang bebanan undang-undang kesan dari surat pengecualiaan tanggungjawap yang dibuat oleh ibubapa. Lazimnya, surat kebenaran dari ibu bapa untuk melepaskan anak mereka mengikuti aktiviti di luar sekolah anjuran pihak sekolah diperlukan oleh pihak sekolah sebelum aktiviti tersebut dilaksanakan.

Surat tersebut juga lazimnya mengandungi terma bahawa ibubapa bersetuju untuk mengecualikan pihak sekolah dari sebarang tanggungjawap atau tindakan mahkamah jika sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingin ke atas anak tersebut sepanjang aktiviti berjalan. Mengenai perkara ini, surat tersebut tidaklah mempunyai kesan perundangan. Pihak sekolah masih lagi bertanggungjawap untuk mengawal, menyelia dan memastikan keselamatan pelajar tersebut sepanjang aktiviti berjalan. Ini kerana, tindakan ibubapa menandatangani surat kebenaran tersebut bukanlah bermakna mereka bersetuju untuk menyerahkan dan seterusnya menghilangkan hak mereka untuk mendakwa guru yang telah bertindak cuai.

Satu hal yang perlu diberi perhatian ialah program tersebut adalah program yang rasmi. Ia adalah program melibatkan sekolah yang sudah tentunya memerlukan dana termasuk dana dari sekolah. Ini bermakna, murid-murid tersebut masih lagi berada di bawah kawalan sekolah walaupun sudah berada di luar kawasan sekolah. Selagi program tersebut melibatkan aktiviti rasmi sekolah, selagi itulah peranan sekolah sebagai in loco parentis atau penjaga sementara bagi pihak ibubapa berjalan sepenuhnya.

Istilah IN LOCO PARENTIS membawa makna bahawa ibubapa menyerahkan sebahagian daripada autoriti mereka kepada guru, pengetua dan pihak sekolah dalam proses menghantar anak mereka ke sekolah. Dalam erti kata yang lain, autoriti ibubapa telah diambil alih oleh guru dengan persetujuan dan kebenaran ibubapa. Dalam kejadian ngeri yang berlaku dalam Perkemahan 1Malaysia di Perak itu, logik akal tidak akan dapat menerima bahawa mana-mana ibubapa yang telah menandatangai surat keizinan melepaskan anak mereka mengikuti perkemahan tersebut tidak boleh mendapatkan hak mereka di Mahkamah atas kehilangan insan tersayang.

Walauapapun yang bakal berlaku di antara ibubapa atau penjaga dalam kes berkenaan dengan pihak penganjur, jalan terbaik adalah perundingan dan perbincangan dari hati ke hati. Tindakan undang-undang boleh dielakkan jika pihak penganjur bersedia memberi sagu hati dengan kadar yang berpatutan kepada keluarga mangsa. Kenyataan rasmi kepada umum di media-media perdana seperti TV dan akhbar-akhbar perdana bagi menyatakan kekesalan serta permohonan maaf kepada keluarga mangsa boleh membuka ruang untuk mengelak kes tersebut berpanjangan di Mahkamah.

Pandangan yang dikeluarkan dalam artikel ini hanyalah pandangan peribadi ERAKITA berdasarkan pemahaman tersendiri terhadap peruntukan undang-undang yang ada. ERAKITA pada dasarnya bersetuju dengan pendapat mengenai isu ini dalam buku tulisan Tai Fatt Hee bertajuk Undang-Undang Pendidikan di Malaysia, terbitan Penerbit Fajar Bakti, 2002 di halaman 104-105. ERAKITA mencadangkan warga pendidik dan para ibubapa yang ada kelapangan untuk membaca buku tersebut. Buku ini mengandungi banyak maklumat mengenai pendidikan dalam konteks undang-undang. Undang-undang berkaitan tindakan pembuangan pelajar bermasalah juga dibincangkan secara detail dalam buku ini.

Sebagai ibubapa kepada pelajar, kita memahami bahawa kejayaan dan peningkatan daya intelektual serta kreativiti anak-anak dapat dikembangkan melalui gabungan pendidikan kelas di sekolah dengan aktiviti-aktiviti kurikulum samada dalam atau luar sekolah. Cuma, kita juga harus ingat bahawa sekiranya undang-undang mengatakan bahawa sekali ibubapa menurunkan tandatangan melepaskan anak mereka mengikuti aktiviti sekolah yang dikendalikan di luar sekolah, bererti pihak sekolah sudah terlepas dari sebarang tanggunjawap dan bebanan undang-undang sekiranya belaku kejadian malang ke atas murid, MAKA kita akan berhadapan dengan situasi di mana pihak ibubapa tidak lagi akan memberi kebenaran seumpamanya pada masa hadapan.

Bahkan, ERAKITA percaya bahawa guru-guru yang punya anak-anak yang bersekolah juga TIDAK AKAN SANGGUP menurunkan tandatangan serupa walaupun mereka adalah warga pendidik di sekolah berkenaan.

 

SEKADAR UNTUK RENUNGAN

 


Dikirim dalam KELUARGA, RENUNGAN, SEKOLAH, UNDANG-UNDANG | 4 Komen »

MEMPERKASA EKONOMI: ayuh! bangkit semua

DIkirim oleh ERAKITA di 28 Oktober 2009

10217_1234618940813_1089366358_733526_2003678_n

Kini, Sistem Kewangan Islam sudah berada di sini

 

MEMPERKASA EKONOMI

28 Oktober 2009

Orang yang tekun dan bersusah payah untuk mendapatkan rezeki yang halal sangat disukai dan disayangi Allah. Ia semestinya diberi ganjaran pahala yang besar oleh Allah SWT. Dengan usaha gigih, orang akan mendapat rezeki lebih. Bila dapat rezeki lebih, banyaklah kebaikan yang dikecapi. Selain menjadi orang berharta yang disegani dan dihormati, ia mudah mempengaruhi manusia lain, ia dapat menolong orang susah, ia dapat membantu membangunkan prasarana orang Islam seperti rumah-rumah anak yatim, sekolah agama, mengadakan program-program kemasyarakatan, pendidikan dan lain-lain lagi. Bukan setakat itu, ia dapat pula membeli harta di kawasan-kawasan strategik agar ia menjadi penempatan orang Islam. Ia dapat mendirikan bangunan di tengah-tengah kawasan yang dipenuhi dan dikuasai bukan Islam. Ia dapat mendirikan kedai runcit atau restoran di kawasan tersebut untuk kemudahan umat Islam.

Lihatlah apa yang dilakukan oleh HARTAWAN TERNAMA DAN TERULUNG umat Islam di negara kita ketika ini. Tan Sri Syed Bukhari bukan lagi asing bagi kita. Beliau baru-baru ini dianugerah sebagai Tokoh Maal Hijrah Malaysia. Berbekalkan kekuatan harta berbilion ringgit, beliau menjadi salah seorang Islam yang begitu banyak menyumbangkan hartanya untuk menyemarakkan syiar Islam di negara ini. Begitu banyak sekali sumbangannya kepada umat Islam. Bayangkan saja bagaimana beliau dapat memberi sumbangan besar untuk membiayai banyak sekolah-sekolah agama, pembinaan masjid di sana sini dan lain-lain lagi. Sebuah masjid tersergam indah di tengah-tengah bandaraya kosmopolitan Kuala Lumpur yang dinamakan Masjid Syed Bukhari benar-benar mengujakan. Ia adalah hasil sumbangan beliau sendiri.

ERAKITA teringat akan sejarah besar umat Islam Sabah sekitar tahun 1974. Bayangkanlah saudara. Berbekalkan kekuatan kewangan dan pengaruh umat Islam Sabah ketika itu, sebuah GEREJA SDA yang terletak di atas bukit berdekatan dengan PADANG MERDEKA Kota Kinabalu berjaya berpindah ke tangan umat Islam. Gereja yang didirikan di kawasan seluas 0.56 hektar itu dibina sewaktu zaman penjajah British sekitar tahun 1930-an. Di bawah kepimpinan Bapa Kemerdekaan Sabah, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun, merangkap Presiden USIA dan Ketua Menteri Sabah ketika itu, akhirnya gereja tersebut berjaya dibeli dengan harga RM1.05 juta. Penyerahan kunci secara rasminya dilakukan pada 20 Disember 1974. Tidak terfikir sama sekali betapa kekuatan ekonomi orang Islam mampu mencapai sesuatu impian yang HAMPIR MUSTAHIL untuk dilakukan. ERAKITA katakan HAMPIR MUSTAHIL kerana, dengan kekuatan pengaruh agama Kristian di Sabah, berserta kekuatan ekonomi serta sokongan dari pelbagai pihak dari luar negara, adalah tidak terfikir sama sekali untuk MEMBELI dan MENGAMBIL ALIH sebuah gereja menjadi sebuah MASJID di tengah-tengah Bandaraya Kota Kinabalu.

Ketika ini, fenomena pembelian gereja oleh umat Islam sedang berlaku di negara-negara barat. Kealpaan, kelalaian dan kemerosotan pegangan agama kebanyakan masyarakat barat hari ini membuatkan mereka tidak lagi mementingkan soal agama. Pegangan sekularisme yang memisahkan agama dan pemerintahan benar-benar ”DIHAYATI” dan praktikkan. Gereja-geraja yang telah sekian lama didirikan banyak terbiar. Akhirnya, kos penjagaan bangunan dan pemuliharaannya menjadi suatu bebanan besar buat masyarakat di sana. Saat itulah kekuatan dan kuasa ekonomi yang hebat dari umat Islam SANGAT-SANGAT memainkan peranan penting. Akhirnya, masyarakat barat hari demi hari hanya dapat melihat dengan mata kasar di hadapan mereka bagaimana satu demi satu gereja-gereja di negara mereka dibeli oleh umat Islam dan BERTUKAR WAJAH menjadi MASJID sekelip mata.

Tidak hairanlah betapa segelentir masyarakat barat, contohnya di Britian beberapa bulan lepas, telah mengadakan beberapa siri demonstrasi dan provokokasi kepada umat Islam. Mereka menyatakan kebimbangan dan rasa tidak senang dengan peningkatan yang begitu ketara jumlah umat Islam dan pengaruhnya di negara barat itu. Kini usaha mereka itu dilihat tidak akan mampu menyekat dengan mudah penularan kebangkitan pengaruh dan jumlah umat Islam di sana. Ini kerana, kekuatan pegangan agama masyarakat mereka begitu rapuh. Umat Islam pula hampir setiap hari bertambah apabila semakin ramai orang barat tertarik dan seterusnya memeluk Islam. Peristiwa dashyat 911 melibatkan serangan Bangunan Pencakar Langit di Amerika beberapa tahun lepas yang dikaitkan dengan perbuatan pengganas Islam benar-benar menarik kuat keinginan dan minat sebilangan besar masyarakat barat untuk mengenali agama Islam lebih dekat.

Perpaduan umat Islam yang semakin kuat menjadikan Islam makin dilihat mantap dan meyakinkan. Kemasukan sistem kewangan Islam di bank-bank tempatan di kebanyakan negara barat hari ini semakin subur dan tidak dapat dibendung lagi. Mereka mula melihat dengan penuh minat akan kehebatan dan keunggulan sistem kewangan Islam. Mereka kini mula membuka mata untuk melihat dan meikmati keadilan dan ketelusan sistem kewangan Islam. Jika anda berkesempatan untuk meninjau lebih dalam sistem kewangan Islam di dunia, anda akan dapati bahawa pemakaian dan pelaksanaan sistem kewangan Islam, sistem perbankan Islam yang menyingkirkan elemen atau unsur bunga (faedah) kini tumbuh bagai cendawan bukan saja di negara-negara rantau Asia, bahkan juga di negara-negara barat. Kini, usahawan-usahawan barat tidak lagi ragu-ragu untuk mengeluarkan wang berbilion-bilion untuk membuat pelaburan dalam skim kewangan Islam.

Pengalaman ERAKITA mengambil subjek Sistem Kewangan Islam selama satu semester di UIA di peringkat Master of Comparative Law pada tahun 2006 benar-benar mengujakan. Tugasan yang memerlukan kumpulan ERAKITA untuk mengumpul sebanyak mungkin kes-kes melibatkan isu-isu kewangan Islam dari seluruh dunia untuk dianalisa begitu menarik. Apa yang dapat dikongsi bersama ialah, mahkamah-mahkamah di negara-negara barat kini mula berhadapan dengan kes-kes melibatkan system kewangan Islam. Hakim-hakim barat tidak ada pilihan melainkan terpaksa juga memutuskan isu-isu tentang prinsip-prinsip asas kewangan Islam.

Ini kerana, sistem kewangan Islam bertunjangkan prisip-prinsip asas Islam, antaranya melibatkan syarat-syarat suatu ikatan kontrak atau perjanjian yang sah di sisi Syarak. Istilah-istilah Islam seperti mudarabah, wadiah, al-bay’ bithsaman ajil, murabaha dan pelbagai lagi istilah transaksi dalam Islam kini semakin menjadi hiasan dan sebutan di bank-bank barat dan Mahkamah Barat yang sekular itu.

Moralnya di sini ialah, betapa orang barat kini tidak lagi dapat lari dari belajar tentang Islam. Para hakim juga ”TERPAKSA” belajar konsep kewangan Islam. Ini kerana untuk memutuskan kes berkenaan, mereka tidak ada pilihan lain melainkan mestilah mempunyai pengetahuan yang diperlukan dalam isu berkaitan. Dalam memutuskan isu kewangan Islam, hakim-hakim ada kalanya memanggil individu-individu tertentu yang mempunyai kepakaran dalam bidang kewangan Islam dari mana-mana negara untuk menjelaskan kepada Mahkamah akan hal tersebut. Inilah yang dikatakan EXPERT OPINION atau PENDAPAT PAKAR di Mahkamah. Inilah fenomena dan realiti yang berlaku di dunia barat ketika ini yang sewajarnya diketahui umum.

Dalam konteks ekonomi umat Islam di Sabah, tidak dapat dinafikan betapa semakin hari semakin bertambah bilangan umat Islam di negeri ini yang semakin kukuh ekonominya. Pembukaan kedai dan pembinaan deretan rumah-rumah kedai di bandar-bandar utama di negeri ini melibatkan orang Islam amat dibanggakan. Dalam konteks ini, ERAKITA tertarik untuk mengambil contoh salah seorang usahawan Islam yang gigih dan berjaya seperti ABU ASLAM. Nama sebenar adalah Hj Akriah. Beliau kini mempunyai rangkaian perniagaan farmasi, buku-buku, kelengkapan pakaian Islam dan pelbagai lagi barangan Muslim di beberapa lokasi sekitar Kota Kinabalu. Bangunan yang digunakan untuk perniagaan dengan mengunakan perkataan ASLAM sudah menjadi sebutan dan pengetahuan umum bahawa pengusahanya adalah seorang Islam. Walaupun berjaya, beliau tidak meninggalkan aktiviti dakwah Islam di Sabah. Malah, dengan kekuatan ekonomi yang dimiliki, beliau dapat pula menggunakannya untuk menggerakkan kegiatan dakwah Islamiah di negeri ini. Alangkah baiknya andai lebih ramai lagi umat Islam sebaris atau setanding beliau untuk meningkatkan ekonomi Islam di samping menggunakan pula kekuatan ekonomi itu untuk kepentingan umat Islam.

Berbalik kepada cerita kekuatan ekonomi umat Islam, ERAKITA membawakan perbincangan di atas sebagai satu renungan kita semua. Renungan kita ialah, betapa pentingnya umat Islam hari ini menguatkan ekonomi mereka. Kekuatan ekonomi telah terbukti membawa banyak kejayaan tak terduga di hadapan kita. Dalam banyak tindakan dan perkara yang perlu dilakukan, umat Islam sewajarnya memberi pehatian khusus kepada perkara yang patut diberi keutamaan untuk dikerjakan sebelum yang lainnya. Kebijaksanaan bertindak berdasarkan keutamaan sesungguhnya banyak memberi pulangan besar bukan saja kepada diri sendiri, bahkan juga kepada orang ramai. Sekian buat renungan.

JOM! KUATKAN EKONOMI KITA


Dikirim dalam AGAMA, MOTIVASI, RENUNGAN, TOKOH | Leave a Comment »

GURU ZIARAH IBUBAPA

DIkirim oleh ERAKITA di 26 Oktober 2009

 

DSC07383

 

 

GURU ZIARAH IBUBAPA

Ke arah melahirkan murid cemerlang

 

 

26 Oktober 2009 

Berapa ramai ibubapa yang mengenali guru-guru sekolah anak-anak mereka? Berapa ramai pula ibubapa yang kerap bertemu dan berinteraksi dengan guru-guru itu? Ibubapa yang mengenali guru-guru di sekolah anak mereka memang wajar dipuji. Ini kerana, suasana seperti itu dapat melahirkan suasana positif dalam hubungan antara ibubapa, guru dan murid. Ibubapa dapat bertanya terus kepada guru berkaitan mengenai perkembangan pelajaran atau disiplin anaknya di sekolah. 

Ada ketikanya maklumat penting dari sekolah yang disampaikan oleh anaknya kurang jelas. Antaranya pembayaran yuran persatuan, pembelian baju seragam atau penganjuran aktiviti-aktiviti penting seperti sukan, kelas tambahan, mesyuarat Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBAGU) dan lain-lain lagi. Jika ibubapa mengenali guru sekolah anaknya, hal tersebut dapat ditanya terus kepada guru berkenaan agar jelas dan difahami. Cara ini dapat menghindarkan sebarang salah faham atau kekeliruan di kalangan ibubapa terhadap sesuatu program yang dianjurkan sekolah. Kadang-kadang anak-anak terlupa untuk membawa surat atau risalah yang dikeluarkan oleh pihak sekolah untuk diberikan kepada ibubapa. 

Ada kalanya, ibubapa hanya mengetahui suatu program atau aktiviti di sekolah pada saat-saat akhir, itupun diketahui melalui rakan sekolah anaknya. Hal ini sudah tentu menimbulkan kesulitan kepada ibubapa. Kesulitan ini sedikir sebanyak boleh diatasi apabila ibubapa mempunyai hubungan baik dengan guru kelas atau guru-guru lain serta kakitangan sekolah. Jika dapat, biarlah ibubapa mendapat nombor talipon guru berkenaan untuk memudahkan sebarang urusan. 

Dari segi psikologi, anak-anak sudah tentu berbangga dan gembira apabila mengetahui bahawa ibubapa mereka mempunyai hubungan baik dengan guru-guru di sekolah. Anak-anak akan lebih yakin untuk datang ke sekolah dan merasa lebih selamat kerana guru-guru mengenali anak-anak dan ibubapa mereka sekali. Anak-anak juga akan merasa segan atau malu untuk melakukan tindakan yang bertentangan dengan peraturan sekolah apabila mengetahui bahawa guru-guru tersebut mempunyai hubungan rapat dengan ibubapa mereka. Bukan sahaja takut diambil tindakan pihak sekolah, malah anak-anak akan merasa takut sekiranya tindakan mereka itu dilaporkan oleh guru berkenaan kepada ibubapa mereka. 

Alangkah baiknya andai wujud hubungan baik antara ibubapa dan guru-guru. Tidak dinafikan kewujudan PIBAGU adalah langkah bijak untuk mempertemukan ibubapa dan guru-guru. Cuma, pertemuan untuk membincangkan hal ehwal murid dan sekolah hanyalah dapat dilakukan mungkin dua atau tiga kali dalam setahun. Itupun hanya berapa ramai sahaja ibubapa yang dapat hadir. Ketidakhadiran ramai ibubapa ke dalam mesyuarat PIBAGU atau biasa disebut PIBG sudah menjadi perkara biasa di mana-mana. Tidak hairan jika ada keputusan mesyuarat tersebut yang mengenakan denda sehingga RM10 atau RM15 kepada ibubapa yang gagal hadir tanpa sebab menasabah. 

Dalam situasi lain, ada ketikanya pihak sekolah menempah bekalan makanan dari pembekal makanan untuk makan tengahari para ibubapa dan guru menurut jumlah ibubapa atau penjaga murid-murid di sekolah berkenaan. Malangnya, jika tempahan dibuat untuk 500 kepala, akhirnya yang hadir hanya 200 hingga 300 kepala sahaja. Akhirnya makanan lebih banyak yang tidak dimakan. Bukankah hal ini sudah menyebabkan pembaziran wang sekolah atau persatuan? Akhirnya, bukan pembaziran makan minum saja yang berlaku tapi juga keputusan mesyuarat hanya diketahui oleh segelentir sahaja ibubapa. Akhirnya, apabila keputusan mesyuarat mula dilaksanakan, kedengaranlah pula suara-suara sumbang dan rungutan dari ibubapa yang tidak hadir ketika mesyuarat dahulu. 

ERAKITA berpendapat bahawa perjumpaan mesyuarat PIBAGU dua atau tiga kali dalam setahun memang tidak memadai untuk memupuk kerjasama dan persefahaman antara guru-guru dan ibubapa. Sebab itulah, satu usaha yang jitu perlu dilakukan untuk menyedarkan para ibubapa dan guru-guru akan keperluan mewujudkan hubungan rapat antara mereka. Andai ibubapa tidak dapat memulakan hubungan rapat guru dan ibubapa, para guru juga rasanya perlu mengambil pendekatan MEMULAKAN terlebih dahulu hubungan tersebut. Hubungan mesra guru dan ibubapa boleh dijalinkan melalui ZIARAH GURU KE RUMAH IBUBAPA murid pada waktu-waktu bersesuaian seperti hujung minggu. Hubungan mesra juga boleh dimulakan dengan membuat panggilan talipon bertanyakan khabar ibubapa atau anak-anak mereka. Siapa sangka, boleh jadi tindakan guru memulakan hubungan baik ini akan melahirkan rasa diberi perhatian di pihak ibubapa murid. 

Tindakan TURUN PADANG oleh guru-guru ke rumah ibubapa murid sesungguhnya satu tindakan murni dan melahirkan suasana harmoni antara keduanya. Maklumat awal mengenai hal ehwal dan keadaan ibubapa yang bakal dikunjungi boleh diperolehi dari Ketua Kampung atau Pengerusi JKKK kampung berkenaan. Jika guru tersebut berkesempatan untuk ke masjid atau surau kampung tersebut, usaha memulakan hubungan baik antara ibubapa akan menjadi lebih mudah. Sambil berkunjung, elok juga rasanya guru berkenaan membawa OLE-OLE atau BUAH TANGAN sebagai tanda keakraban dan kemesraan. Rasanya tidak ada ibubapa yang akan menolak kunjungan guru-guru ke rumahnya. Sebaliknya, ibubapa pasti merasa diberi penghormatan dan perhatian ikhlas dari pihak sekolah. 

Bagi guru-guru, anggap sahajalah kita seperti para JURURAWAT dari klinik atau hospital kerajaan yang akan mengunjungi rumah para ibu yang baharu melahirkan anak. Jururawat tersebut bukan sahaja akan memeriksa dan bertanyakan khabar dari para ibu, bahkan juga kepada bayi yang baru dilahirkan. Kemesraan para Jururawat ketika mengunjungi kaum ibu di rumah begitu terasa sekali. Apabila orang-orang penting seperti mereka datang ke rumah dan bertanya khabar mengenai perkembangan ibu dan baby, saat itu terasa sekali betapa MURNINYA khidmat mereka kepada kita. Demikianlah bagaimana ERAKITA merasakan bahawa guru-guru juga boleh mengambil pendekatan yang serupa atau seumpama dengannya. Rasanya, tindakan ini sudah MELEBIHI pencapaian TAHAP 4 dalam peperiksaan PENILAIAN TAHAP KECEKAPAN (PTK) bagi kakitangan kerajaan. 

ERAKITA masih ingat lagi betapa guru-guru 20 atau 30 tahun lampau begitu rapat hubungannya dengan masyarakat desa. Tidak kurang juga kejadian di mana guru-guru dijadikan ANAK ANGKAT oleh ibubapa murid di sekolah berkenaan. Begitu akrab sekali hubungan guru dan masyarakat kampung. Tidak keterlaluan juga kalau dikatakan bahawa perpindahan seseorang guru yang disayangi masyarakat bukanlah suatu yang disukai atau diingini ketika itu. Jika dapat, biarlah guru berkenaan mengajar di sekolah berkenaan sampai PENCEN. Andai berpindah juga, perpindahan guru berkenaan pasti diiringi dengan tangisan oleh masyarakat dan anak-anak muridnya. 

Bayangkanlah jika suasana ini sudah terwujud, apakah akan wujud tindakan agresif atau ofensif ibubapa ke atas guru apabila guru mengenakan tindakan disiplin ke atas anak mereka? Apakah akan timbul lagi ibubapa atau penjaga anak mengambil tindakan menyaman guru dan pihak sekolah terhadap apa yang berlaku ke atas anak mereka? Agaknya ramai bersetuju bahawa ibubapa yang sudah tertanam kepercayaan dan keyakinan kepada guru-guru dan pihak sekolah tidak akan tergamak untuk mengambil tindakan terburu-buru seperti ini hanya bersandarkan kepada apa yang diceritakan oleh anak mereka. Malah ibubapa berkenaan akan terlebih dahulu menghubungi guru atau pihak sekolah untuk mendapatkan gambaran sebenar. Setelah mendapat gambaran sebenar, boleh jadi ibubapa itu akan melahirkan rasa terimakasih kepada guru dan pihak sekolah kerana mengambil tindakan sedemikian rupa kepada anaknya. Boleh jadi juga, ibubapa tersebut akan mengambil tindakan ke atas anak mereka menurut kaedah sepatutnya seperti merotan atau memberi hukuman sewajarnya. 

Bagi ERAKITA, ibubapa dan guru kena saling kenal mengenali antara satu sama lain. Jika dapat, mungkin juga guru boleh membuat sedikit kelainan dari kebiasaan sewaktu menyerahkan buku rekod persekolahan anak muridnya. Jika pada kebiasaannya, ibubapa akan dipanggil bersama anak-anak mereka ke sekolah untuk mengambil buku rekod tersebut. Keputusan peperiksaan murid-murid akan diketahui hanya pada hari berkenaan. Bagi ibubapa yang mendapati anaknya mendapat keputusan TERCOROT, ia pasti akan merasa malu atau marah kepada anaknya. Tidak mustahil akan keluar kata-kata yang tidak elok dari mulut ibubapa atau penjaga mereka di hadapan guru kelas dan murid-murid lain. 

Boleh jadi kata-kata seperti ”kau ni Onong, bodoh juga kau ni! Macam mana kau boleh dapat nombor KUNCIT! Bikin malu saja!” terkeluar dari mulut ibubapa. Ada juga kata-kata ibubapa seperti ini ”Onong! Lain kali kalau keputusan kau begini juga, bagus lagi berhenti sekolah saja. Potong Getah lagi bagus!” atau ”Onong, saya sudah cakap balik-balik sama kau, jangan main internate saja, tapi kau tidak mau ikut cakap saya, sekarang tengoklah sendiri apa yang kau dapat!”. Kata-kata seperti ini juga mungkin pernah kita dengar. ”Onong! Kau tengoklah sendiri keputusan peperiksaan kau gara-gara asyik main TING TONG saja. Bagus kau pigi kahwin sama itu TING TONG!”. Tindakan spontan ini akan menjatuhkan air muka murid berkenaan. Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku. Ia tidak akan menyelesaikan masalah. 

Tetapi, mungkin lebih besar kesan positif kalau guru berkenaan menetapkan satu masa khusus untuk datang menziarahi ibubapa murid berkenaan di rumah mereka sambil membawa buku rekod tersebut. Pendekatan ini mungkin sesuai digunakan dalam kes-kes melibatkan murid yang lemah dalam pelajaran atau juga murid-murid yang berpotensi maju tetapi berhadapan dengan masalah peribadi termasuk masalah keluarga. Tidak salah andai pendekatan ini dicuba dahulu. Siapa tahu, tindakan TURUN PADANG ini mampu menghasilkan kesan mengkagumkan di luar dugaan selepas itu! Siapa tahu? Belum cuba belum tahu. Kelebihannya, bukan saja guru tersebut dapat mengenali dan mengadakan hubungan rapat dengan ibubapa, guru juga dapat melihat sendiri keadaan persekitaran rumah dan keberadaan keluarga murid tersebut. 

Guru akan dapat gambaran sebenar samada keadaan dalam rumah itu mempunyai ciri-ciri MESRA BELAJAR atau tidak. Maksud ERAKITA, guru dapat melihat secara langsung dengan kepala mata sendiri samada ada terdapat ruang belajar, atau ada meja belajar atau almari buku, lampu yang mencukupi dan lain-lain lagi dalam rumah pelajar bekenaan. Pengetahuan LANGSUNG ini sesuangguhnya dapat membantu guru untuk membuat STRATEGI baru dan berkesan untuk menyampaikan ilmu dan motivasi kepada murid berkenaan. Ingatlah, tidak ada hal yang lebih berkesan melainkan dengan MELIHAT, MENYENTUH dan MERASA sendiri keadaan yang dihadapi oleh murid berkenaan. 

Apapun yang dibincangkan di atas, bukanlah bertujuan untuk menambahkan beban ibubapa atau guru-guru. Namun, pendekatan yang diiringi kepelbagaian teknik dan cara untuk mendidik murid-murid supaya mencapai kemajuan dan kecemerlangan harus dicuba dan diamalkan. Suasana hari ini dengan suasana 20 atau 30 tahun yang lampau sudah jauh berbeza. Suasana era kini semakin mencabar dan semakin komplikated. Kreativiti mendidik anak-anak amatlah diperlukan. Pengetahuan teknologi moden hari ini seperti internate dan bermacam-macam lagi harus diketahui dan difahami oleh guru-guru dan para ibubapa agar pendekatan mendidik mereka dapat disesuaikan menurut keadaan anak-anak tersebut. Akhir sekali, ERAKITA mengucapkan selamat menghayati artikel ini dan mencuba beberapa tips yang dilontarkan menurut kesesuaian dan keupayaan masing-masing. 

 

SELAMAT MENCUBA

 

 

Dikirim dalam KELUARGA, MOTIVASI, PETUA, RENUNGAN, SEKOLAH | Leave a Comment »

KELEBIHAN ORANG SIBUK

DIkirim oleh ERAKITA di 24 Oktober 2009

 

DSC07394

 

KELEBIHAN ORANG YANG SIBUK

 

 24 Oktober  2009

Jika ingin sesuatu tugasan disiapkan, serahkan saja tugas itu kepada orang yang sibuk. Mengapa pula begitu? Macam tak logik saja!. Sepatutnya tugasan kena beri pada orang yang tidak sibuk. Sepatutnya begitulah. Tapi hakikatnya hanya orang sibuk saja yang ada masa untuk buat kerja. Lagi satu, orang sibuk ni mampu mengurus masa mereka dengan baik! Kalau tidak percaya, cubalah tengok orang-orang yang BERJAYA di sekeliling kita. Bukankan mereka itu tergolong dalam kumpulan orang-orang yang “SIBUK”?

 

SAMA-SAMA KITA FIKIRKAN

 

 

Dikirim dalam MOTIVASI, PETUA, RENUNGAN | Leave a Comment »

PUJIAN BERKUALITI: dari cikgu untuk murid

DIkirim oleh ERAKITA di 22 Oktober 2009

 

Sentuhan dan kasih sayang untuk anak-anak merangsang sikap dan minda positif mereka

Sentuhan dan kasih sayang untuk anak-anak merangsang sikap dan minda positif mereka

  

PUJIAN BERKUALITI

dari guru untuk murid

 

 22 Oktober 2009 

Dalam era kita yang semakin terbuka, maju dan mencabar lagi kompleks ini, penguasaan memahami dan mempraktiskan pelbagai teknik untuk mendidik anak-anak murid dalam koneks guru dan anak-anak dalam konteks ibubapa amat diperlukan. Dalam konteks persekolahan, sesetengah pihak mungkin berpendapat bahawa guru tidak perlu memuji murid atas suatu kebaikan atau pencapaiannya. Pujian guru kepada murid bagi mereka dikuatiri boleh menimbulkan kesan negatif kepada sikap murid. Ada kekuatiran bahawa berkemungkinan murid yang diberi pujian itu  akan berlagak angkuh atau sombong dengan guru-guru atau murid-murid lain. Sesetengah pihak pula mungkin berpendapat bahawa pujian guru kepada murid itu perlu untuk membentuk semangat dan jati diri mereka. 

Apapun tanggapan atau persepsi yang dilontarkan, ERAKITA berpendapat bahawa pujian dari seorang guru kepada muridnya masih relevan. Namun pujian tersebut haruslah berlandaskan kaedah atau cara yang betul. ERAKITA ingin berkongsi dengan anda beberapa teknik atau kaedah yang boleh diaplikasikan seorang guru ketika memuji murid seperti berikut: 

  1. Pujian hendaklah bersifat khusus atau spesifik. Contohnya, seorang cikgu mengungkapkan kata-kata ini kepada anak muridnya yang telah mencapai peningkatan markah ujian walaupun dengan peningkatan sedikit saja seperti “Cikgu amat bangga dengan pencapaian ujian kamu kali ini, teruskan pencapaian seperti ini pada masa hadapan, tahniah sekali lagi”. Bayangkan, bagaimana perasaan murid ketika itu!. Sambil mengeluarkan kata-kata itu, cikgu tersebut mungkin ada baiknya menepuk-nepuk bahu anak muridnya dengan penuh ikhlas. Cuma perlu diingat bahawa kaedah ini lebih sesuai untuk guru lelaki untuk murid lelaki, guru perempuan untuk murid perempuan.  
  2. Pujian juga boleh dilakukan dalam bentuk tulisan. Contohnya, ketika penyerahan markah ujian, guru menulis dalam kertas jawapan ujian murid dengan kata-kata pujian atas pencapaian murid dalam ujian tersebut. Kata-kata pujian yang teratur dan singkat seperti “Cikgu bangga atas pencapaian di luar dugaan ini. Teruskan usaha ke arah kecemerlangan” atau “Cikgu dari dulu lagi yakin bahawa kamu boleh buat yang terbaik, tahniah Ahmad!” ataupun “Pencapaian yang bagus, tahniah Ahmad, kamu adalah salah seorang harapan Cikgu!”. Bayangkan, bagaimana perasaan murid ketika membaca kata-kata KERAMAT yang tertera di kertas itu!. Kaedah ini dirasakan amat berkesan untuk merangsang dengan cepat motivasi seorang murid atau anak untuk melakukan tindakan-tindakan positif seterusnya. 
  3. Berilah pujian yang biasa dan tidak melebih-lebih. Yang penting pujian itu adalah pujian BERKUALITI. Bagi sekolah rendah, pujian itu seharusnya diikuti dengan pelukan guru kepada pelajarnya. Guru perempuanlah yang sesuai mengambil pendekatan ini kepada murid-muridnya. Bagi guru lelaki pula, pujian yang disertakan senyuman ikhlas tanda rasa bangga terhadap pencapaian murid itu lebih sesuai digunakan. Bayangkan bagaimana perasaan murid ketika menerima pujian, sentuhan dan senyuman ikhlas dari seorang cikgu! Siapa tahu, pujian dan sentuhan ini akan tersemat dalam ingatannya semumur hidup. 
  4. Pujian yang diberikan seharusnya diberikan secepat mungkin sebaik suatu kejayaan atau kebaikan dilakukan oleh murid itu. Kaedah ini lebih cepat merangsang sikap dan peribadi seorang murid berbanding pujian yang diberikan setelah beberapa hari atau minggu dari waktu susuatu kebaikan itu dilakukan murid. Inilah yang dikatakan instant atau on the spot. Jadi, nak beri pujian kepada murid, biarlah kejayaan murid tersebut masih terasa “PANASNYA”. Seperti yang ERAKITA pernah sebut dalam artikel sebelum ini, pakailah kata-kata orang putih ni “STRIKE THE IRON WHILE IT IS HOT”. Kalau nak beri pujian, berilah pujian itu ketika kejayaan anak murid itu masih diingat atau disebut-sebut.  
  5. Pujian dalam bentuk sindiran perlu dielakkan. Contohnya “Ahmad bukanlah pandai sangat tapi kali ini Ahmad mendapat markah yang baik. Mungkin Ahmad bernasib baik kali ini. Tahniah untuk awak!”. Kata-kata ini kelihatan seperti memuji tetapi pujian tersebut kelihatannya menyindir dan tidak memperlihatkan kejujuran guru ketika mengiktiraf pencapaian muridnya. Keadaan ini boleh mendatangkan kesan negatif kepada murid apabila beranggapan bahawa guru itu bersifat negatif atau memandang rendah terhadap kemampuannya. Boleh jadi murid itu akan bertambah keliru dengan status kedudukannya. Ia mungkin keliru kerana tidak pasti samada dirinya berpontensi untuk maju atau tidak kerana kata-kata cikgunya tadi memberi persepsi bahawa pencapaiannya itu hanyalah secara kebetulan sahaja. 

Dalam soal merangsang motivasi murid-murid untuk mencapai kecemerlangan akademik dan kurikulum mereka, banyak sekali cara atau kaedah yang boleh digunakan oleh seorang cikgu. Buku-buku motivasi keibubapaan, pendidikan dan bermacam-macam lagi yang ada di rak-rak kedai buku sentiasa menanti tangan kita untuk mencapai dan membelinya. Bukalah buku-buku itu dan hayati tips-tips yang disajikan. Amalkan mana-mana kaedah yang dirasakan bersesuaian dengan situasi kita. Pengalaman ERAKITA sebagai ayah kepada tiga orang anak yang sedang bersekolah sedikit sebanyak membantu memahami dan menghayati keadaan-keadaan ini. Ada kalanya anak akan menceritakan kepada ibubapa dengan penuh semangat bagaimana cikgunya memberi pujian kepada mereka sewaktu dalam kelas kerana melakukan satu perbuatan terpuji. 

Adakalanya guru berkenaan bertemu dengan ibubapa dan menceritakan kepada mereka bagaimana anak mereka melakukan kerja yang baik ketika dalam kelas. Pujian guru tersebut tidak diceritakan kepada murid tetapi kepada ibubapa murid tersebut. Kaedah ini dilihat berkesan dan menghasilkan AURA tersendiri untuk menaikkan semangat anak-anak belajar atau memperbaiki disiplin serta peribadi mereka di sekolah dan di rumah. Cubalah sekali sekala guru-guru memberi pujian untuk anak muridnya melalui ibubapa. Ibubapa pula kena ceritakan semula kepada anak-anak mereka bahawa cikgu mereka ada memberi pujian kepada ibubapa mengenai kelakuan atau perbuatan anak di sekolah. 

Lihatlah hasilnya nanti. Anda akan melihat raut wajah anak-anak anda begitu ceria dan teruja apabila guru mereka menceritakan sendiri kepada ibubapa mereka akan kejayaan atau kelakuan terpuji mereka di sekolah. Jika sebelum itu anak-anak malas membaca buku, lihatlah sendiri kesannya selepas pujian itu diceritakan kepada mereka. Mereka akan begitu bersemangat untuk membuka beg sekolah, mengeluarkan pen dan melakukan tugasan pembelajaran mereka. Yang penting, ketika memberi pujian tersebut, berilah pujian itu secara ikhlas, dengan wajah gembira dan bangga dengan anak-anak kita. Lebih berkesan lagi kalau kita dapat MEMELUK ERAT DAN MENCIUM KEPALA ANAK-ANAK tanda kasih dan sayang kita. 

Kaedah memberi pujian yang dinyatakan di atas bukan sahaja dikhususkan untuk guru kepada anak-anak muridnya semata-mata. Sebenarnya, jika diteliti, kaedah-kaedah tersebut juga boleh diaplikasi atau diamalkan oleh para ibubapa di rumah. Contohnya, dalam soal memuji anak. Kalau ibubapa nak puji anak, biarlah puji anak tersebut sebaik saja anak tersebut melakukan kerja yang baik. Memuji sambil memeluk erat anak ke dada kita dengan penuh ikhlas mempunyai aura tersendiri yang seringkali diabaikan oleh ibubapa. 

Semoga sedikit tips memberi pujian kepada anak murid ini dapat memberi input berguna kepada sesiapa juga yang terlibat dalam dunia pendidikan. Ibubapa juga tidak terkecuali untuk mencuba beberapa kaedah memberi pujian disebutkan di atas untuk diamalkan di rumah. Kepelbagaian teknik mendidik anak murid akan memudahkan kita melaksanakan tugas murni untuk melahirkan anak-anak yang CEMERLANG, GEMILANG DAN TERBILANG.

  

SELAMAT MENCUBA

  

  

Dikirim dalam KELUARGA, MOTIVASI, PETUA, SEKOLAH | 6 Komen »

IBUBAPA: sokonglah anak-anak kita

DIkirim oleh ERAKITA di 20 Oktober 2009

 

Aktiviti hujung minggu sekeluarga aset bernilai untuk membina minda positif anak-anak. Hj Juang bersama keluarga di Air Terjun Mahua Tambunan

Aktiviti hujung minggu sekeluarga aset bernilai untuk membina minda positif anak-anak. Hj Juang bersama keluarga di Air Terjun Mahua Tambunan

 

IBUBAPA

sokonglah anak-anak kita

 

20 Oktober 2009 

Kehadiran ibubapa atau penjaga dalam aktiviti-aktiviti penting yang diadakan sekolah seperti sukan, mesyuarat PIBG, pertandingan melibatkan pelajar seperti melukis, syarahan, membaca al-Quran, debat dan lain-lain mempunyai signifikan tersendiri. Tidak juga pentingnya ialah hadir untuk menerima rekod pencapaian peperiksaan murid di hadapan guru kelas mereka. Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman ERAKITA, ramai ibu bapa atau penjaga yang tidak hadir untuk melihat anak-anak mereka BERTARUNG dalam pertandingan-pertandingan yang diadakan di sekolah. Sebenarnya, kehadiran ibu bapa di majils-majlis seperti ini amat besar kesannya terhadap motivasi dan semangat anak-anak untuk belajar. Ibu bapa akan melihat sendiri bagaimana pencapaian anak-anaknya dalam aktiviti tersebut. 

Jika direnung, banyak aktiviti dan kemahiran anak yang tidak diketahui dan disedari oleh ibu bapa. Kebanyakan kemahiran dan aktiviti itu hanya dapat dilakukan di sekolah. Bayangkan, bukankah besarnya makna dan nilai kehadiran ibu bapa dalam majlis pertandingan syarahan melibatkan anaknya di sekolah? Anak itu akan terasa dihargai, terasa disokong, terasa diperlukan, terasa diberi perhatian, terasa bahawa dirinya penting bagi ibubapa. Itu mungkin perasaan yang dialami oleh anak-anak kita. Bagaimana pula rasanya hati ibubapa apabila anaknya sendiri diumumkan sebagai salah seorang pemenang dalam pertandingan yang disertainya? Pastilah perasaan terharu dan gembira yang sukar digambarkan dengan kata-kata ketika itu. Demikianlah juga dengan si anak. Tentunya semangat dan kegembiraan si anak pula akan bertambah-tambah apabila mendapati bahawa ibu atau ayahnya sendiri yang mengambil gambar ketika ia menerima hadiah tersebut? Lebih bermakna lagi apabila ibubapa turut bergambar dengan anak bersama-sama hadiah atau tropi yang digondolnya. 

Lihat saja realiti yang berlaku dalam pertandingan-pertandingan berbentuk hiburan di kaca TV. Dalam pertandingan realiti TV, contohnya Akademi Fantasia anjuran ASRTO, tampak terserlah kegembiraan dan semangat yang berkobar-kobar dalam raut wajah peserta di pentas apabila melihat kelibat-kelibat ibu bapa dan ahli keluarganya turut hadir di dewan untuk memberikan sokongan kepadanya? Bukanlah pula maksud ERAKITA menyokong program AF dan pelbagai lagi program realiti hiburan TV itu. Cuma, gambaran yang berlaku dalam suasana-suasana yang ditampil dalam suatu pertandingan yang dihadiri ibu bapa dan saudara mara terdekat benar-benar memberi impak atau kesan yang besar terhadap semangat dan usaha seseorang peserta. Dalam konteks ini, peserta itu ialah anak kita. 

Kehadiran ibubapa dalam aktiviti-aktiviti anak di sekolah atau di luar sekolah sepertimana disebutkan di atas sangat besar implikasinya terhadap psikologi dan minda anak-anak. Anak lebih berkeyakinan dan daya motivasinya semakin meningkat untuk datang ke sekolah dan melakukan apa juga aktiviti yang dianjurkan pihak sekolah. Dari sudut lain, kehadiran ibubapa di sekolah sekurang-kurangnya dapat mengurangkan rasa rendah diri anak di hadapan rakan-rakannya. Rakan-rakan sekolah pula akan berfikir beberapa kali jika hendak melakukan perkara yang tidak baik ke atas anak tersebut seperti membuli dan sebagainya. Ini kerana, mereka sedar bahawa ibubapa murid tersebut mempunyai hubungan yang rapat dengan guru-guru dan warga sekolah. Kesibukan ibubapa dalam kerjaya masing-masing tidak sepatutnya menghalang mereka untuk bersama anak-anak dalam peristiwa-peristiwa penting mereka walaupun buat sekala-sekali. Di samping dapat mengenali guru-guru sekolah secara dekat, ibubapa juga berpeluang mengenali rakan-rakan sekolah anak-anak mereka. 

Dari sudut lain pula, ibubapa yang melazimkan diri mereka hadir di sekolah ketika aktiviti-aktiviti tertentu berlangsung di sekolah akan lebih memahami keadaan sekeliling sekolah tersebut. Sekurang-kurangnya mereka mendapat gambaran sejauh mana tahap keselamatan anak-anak mereka di sekolah. Mereka juga dapat melihat prasarana atau kelengkapan di sekolah seperti tandas, kelas, kantin, peralatan keselamatan, kebesihan dan lain-lain. Maklumat-maklumat yang diperolehi di depan mata ini dapat pula memberi motivasi kepada ibubapa untuk memberi idea atau sumbangan dari segi material atau kewangan kepada pihak sekolah jika diperlukan. 

Dengan kesibukan ibubapa dalam urusan harian mereka di pejabat, di kebun, di bendang atau di tempat-tempat kerja dari pagi hingga petang, mereka tidak akan masa yang cukup untuk mengenalpasti kelebihan-kelebihan yang dimiliki anaknya. Mereka mungkin tidak tahu bahawa anaknya mahir bermain bola sepak. Mereka mungkin tidak tahu atau sedar bahawa anaknya pandai bermain hoki, badminton, tennis, ping pong, atau juga hebat dalam acara sukan olaraga seperti larian 100 meter dan sebagainya. Yang ibu bapa tahu ialah apabila anak balik dari sekolah, anak-anak seringkali meminta itu dan meminta itu dari ibubapa. 

Seringkali terjadi apabila anak balik dari sekolah dan memberitahu bahawa sekolah meminta agar ibubapa membayar sejumlah wang untuk pembelian baju persatuan atau sukan atau peralatan tertentu di sekolah, ibubapa sebaliknya merungut dan mula berleter. Ibubapa pula mula mengeluarkan kata-kata yang ada kalanya tidak sedap didengar oleh telinga. Kadang-kadang keluar juga kata-kata seperti ”apalah sekolah kamu ni, balik-balik minta duit, balik-balik minta duit!”. Ada juga kata-kata seperti ”tidak payahlah kamu ikut aktiviti tu, buang duit saja!”. Jika umpamanya aktiviti tersebut diadakan pada hujung minggu, si bapa mungkin lebih mudah mengatakan ”nak, kalau kau ikut perkemahan tu, kau tidak akan dapat apa-apa duit. Buang duit saja semua tu. Bagus lagi kau ikut bapa ke kebun hari sabtu ni!”.

Rasanya, jika keadaan ini berlaku semangat anak-anak boleh luntur sama sekali. Apatah lagi jika anak itu orang penting dalam pasukan atau persatuan tersebut. Tidak mustahil, sikap ibubapa sedemikian menjadi penyebab utama anak mereka terlepas peluang untuk mewakili sekolah dalam pertandingan penting di peringkat daerah atau bahagian atau negeri. Akibatnya, bukan sahaja anak tersebut rugi kerana terlepas peluang keemasan untuk mengikuti pertandingan tersebut, sekolah juga terlepas peluang untuk menaikkan nama sekolah mereka. Dan, lebih rugi lagi ialah ibubapa anak-anak kerana andai mereka tahu dan memahami anak-anak di sekolah, pastinya mereka lebih gembira dan bahagia melihat anak mereka meraih kecemerlangan dalam persekolahan. 

Tidak mustahil jiwa anak-anak boleh memberontak terhadap ibubapa. Tidak hairanlah jika ini berlaku, anak-anak itu akan lebih bahagia kalau bersama-sama dengan kawan-kawannya di luar rumah berbanding di rumah sendiri. Rumah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat dan tenteram tidak lagi diminati oleh anak-anak. Sebaliknya, rumah kawan-kawan pula yang disukainya. 

ERAKITA melihat bahawa hal-hal sekecil ini sewajarnya diambil perhatian oleh para ibubapa. Dekatilah anak-anak kita. Janganlah melakukan tindakan yang membuatkan anak-anak benci atau jauh dari ibubapa. Salah satu langkah mendekati anak-anak dan menarik kepercayaan serta rasa sayang mereka kepada ibubapa ialah dengan menghadiri aktiviti-aktiviti penting melibatkan anak-anak di sekolah atau di mana juga yang berpatutan. Berilah sokongan kepada mereka. Memahami dan menyedari akan bakat serta kelebihan yang dimiliki anak-anak dilihat mampu mendorong ibubapa untuk terus menyokong anak-anak mengasah bakat dan kecemerlangan mereka di sekolah. Jom, sokong anak-anak kita!

 

RENUNGAN UNTUK IBUBAPA

 

 

Dikirim dalam KELUARGA, MOTIVASI, RENUNGAN, SEKOLAH | Leave a Comment »

SISTERS IN ISLAM (SIS) BERSUARA: ini jawapan kita!

DIkirim oleh ERAKITA di 18 Oktober 2009

 

DSC07166

 

SISTERS IN ISLAM (SIS) SUDAH BERSUARA:

INI JAWAPAN KITA

 

18 OKTOBER 2009 

Kenyataan terbaru Sisters In Islam (SIS), sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) bersama pasukan Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Malaysia (HAKAM) dalam laman rasmi pertubuhan tersebut di http://www.sistersinislam.org.my mengenai hukuman sebatan ke atas pesalah jenayah syariah di Pahang, KARTIKA SARI DEWI SUKARNOR perlu diberi pehatian serius oleh semua pihak. Kenyataan rasmi sebuah pertubuhan NGO itu yang dikatakan memperjuangkan hak-hak wanita Islam di negara ini dilihat begitu berani mempersoalkan hukuman dan pelaksanaannya. Lebih dashyat lagi, pertubuhan tersebut terang-terangan menggesa Kerajaan agar memansuhkan sama sekali undang-undang yang memperuntukan sebatan tersebut ke atas wanita. 

Bagi mereka, persoalan samada KARTIKA SARI benar-benar bersedia dan redha atas hukuman yang bakal dilaksanakan ke atasnya bukanlah isunya. Bagi mereka, isunya ialah undang-undang seumpama ini mencabuli hak asasi manusia antarabangsa sekaligus menyebabkan kemerosoton standard hak asasi manusia di Malaysia. Tegas mereka lagi, jika hukuman tersebut dilaksanakan, persepsi luar terhadap Malaysia sebagai sebuah negara sederhana atau moderate akan tergugat selama-lamanya. 

Antara kenyataan mereka yang boleh mengoncangkan sanubari kita ialah gesaan tegas mereka agar pihak Kerajaan Persekutuan dan Negeri mengkaji semula hukuman sebat sebagai satu bentuk hukuman atas alasan mencabuli prinsip hak asasi manusia antarabangsa yang menganggap hukuman sebat dan bentuk hukuman dera yang lain sebagai kejam, tidak berperikemanusiaan dan perlakuan yang menjatuhkan maruah. 

Mereka juga cuba untuk menarik perhatian kerajaan untuk mempertimbangkan gesaan mereka dengan merujuk peruntukan undang-undang yang terdapat di dalam Kanun Acara Jenayah yang terpakai UNTUK Mahkamah Sivil SAHAJA. Mereka merujuk kepada Seksyen 289 undang-undang tersebut yang menyatakan bahawa wanita tidak boleh disebat. ERAKITA dalam hal ini berasa pelik bagaimana sebuah pertubuhan NGO yang berpengaruh serta dibarisi kumpulan pengamal dan pemikir undang-undang sanggup memetik dan menggunapakai peruntukan tersebut sedangkan undang-undang tersebut hanya terpakai bagi kes-kes di Mahkamah Awam. Mereka sudah tentunya lebih tahu bahawa undang-undang itu tidak terpakai di Mahkamah Syariah. Negeri-Negeri di Malaysia pula masing-masing mempunyai Prosedur atau Tatacara Jenayah Syariah tersendiri untuk mentadbir undang-undang berkaitan kesalahan jenayah syariah. 

Tindakan NGO berkenaan yang begitu berani tidak dinafikan mampu memberi suntikan dan semangat kepada pihak-pihak yang begitu PRIHATIN terhadap para pejuang hak asasi manusia dan persamaan gender antara lelaki dan wanita. ERAKITA tidak ingin mengulas beberapa kenyataan kontraversi mereka pada masa-masa yang lepas. Namun, kenyataan terbaru mereka sebagaimana yang ERAKITA petik dan paparkan semula di bawah ini benar-benar mengejutkan. Tindakan mempertikaikan suatu peraturan atau hukum berkaitan undang-undang Islam ini melibatkan soal aqidah atau kepercayaan. 

Ia bukan suatu perkara yang boleh dibincang atau dinyatakan sewenang-wenangnya mengikut logik akal dan persepsi antarabangsa. ERAKITA tidak ingin mengulas panjang mengenai hal tersebut kerana perbincangannya sudah tentu memerlukan masa yang panjang dan ulasan terperinci. Perbincangan secara ilmiah juga diperlukan untuk itu. ERAKITA hanya ingin menarik perhatian semua pihak atas 2 perkara penting seperti berikut. 

 

DUA JAWAPAN UTAMA 

PERTAMANYA, bukankah tindakan SIS bersama pasukan Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Malaysia (HAKAM) yang mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Pahang untuk meneruskan pelaksanaan hukuman sebat ke atas Katika itu dikira sebagai satu penghinaan terhadap institiusi Diraja sebagai Ketua Agama bagi negeri-negeri. Untuk makluman, Sultan atau Raja Melayu adalah ketua agama Islam bagi negeri-negeri yang mempunyai sultan. Bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai sultan seperti Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah, Ketua Agama Islam adalah Yang Dipertuan Agong (YDPA). Seksyen 3 Enakmen Majlis Ugama Islam Sabah (2004) Sabah umpamanya secara jelas mengatakan bahawa YDPA adalah ketua agama Islam bagi Negeri Sabah. 

Dalam konteks perlembagaan Malaysia, perkara agama adalah jelas berada di bawah bidangkuasa negeri-negeri. Parlimen tidak ada kuasa untuk campurtangan dalam isu agama seperti membuat undang-undang khusus mengenainya kerana Jadual ke-9 dalam Perlembagaan Malaysia sudah jelas mengatakan bahawa perkara agama adalah perkara di bawah bidangkuasa negeri-negeri. Sebab itu negara kita tidak mempunyai MUFTI KERAJAAN MALAYSIA. Yang ada hanyalah MUFTI KERAJAAN NEGERI. Sebab itu Malaysia tidak mempunyai MAHKAMAH SYARIAH PERSEKUTUAN. Yang ada hanyalah MAHKAMAH SYARIAH NEGERI. 

Sebab itu negara kita tidak mempunyai KETUA PENGUATKUASA AGAMA NEGARA sebagaimana KETUA POLIS NEGARA. Yang ada hanyalah KETUA PENGUATKUASA AGAMA NEGERI. Sebab itu negara kita tidak mempunyai KETUA PENDAKWA SYARIE PERSEKUTUAN ATAU PEGUAM NEGARA. Yang ada hanyalah KETUA PENDAKWA SYARIE NEGERI. Persoalannya ialah, bukankah tindakan NGO-NGO tersebut telah SECARA LANGSUNG MENGHINA Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu apabila mereka begitu lantang dan terbuka mempertikaikan pelaksanaan undang-undang Syariah di negara ini? Bukankah itu dikira sebagai menghina pihak berkuasa agama? 

Dalam soal menghina pihak berkuasa agama ini, ERAKITA tertarik untuk merujuk kepada satu peruntukan undang-undang yang MUNGKIN boleh menjadi RUJUKAN AMPUH dan CANGGIH kepada pihak Pegawai Penguatkuasaan dan Penyiasatan di Jabatan Hal Ehawal Agama Islam negeri-negeri untuk memulakan langkah. Siasatan “BARANGKALI” boleh dijalankan sebaik mendapat aduan ke atas orang-orang dalam NGO tersebut atau mana-mana orang yang sewaktu dengannya di bawah seksyen 56 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (1995) Sabah (EKJS). Seksyen tersebut berbunyi:

Sesiapa yang mengingkari, melanggar, membantah atau mengeji (selain dari menjalankan hak membuat rayuan) kewibawaan dan titah perintah yang sah Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam, perintah Yang di-Pertua Negeri, perintah Majlis, mana-mana Jawatankuasa Majlis, pegawai mana-mana Mahkamah atau mana-mana pegawai agama adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Pihak-pihak tersebut boleh juga disiasat di bawah Seksyen 55(1) EKJS atas melakukan perbuatan menghina agama Islam. Seksyen tersebut berbunyi:

Sesiapa dengan cara lisan atau tulisan atau kelakuan yang nyata atau sebarang cara yang membawa kepada mencerca atau disifatkan sebagai menghina atau cuba mencerca atau menghina agama Islam, perjalanan mana-mana mazhab yang muktabar, pegawai agama, guru agama dan Imam yang dilantik dengan sahnya menurut undang-undang, atau mana-mana fatwa yang dikeluarkan dengan sah oleh Majlis atau Mufti di bawah peruntukan Enakmen ini atau undang-undang lain adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

 Selain itu, mereka juga boleh disiasat di bawah Seksyen 54 EKJS atas pebuatan mempersendakan agama Islam. Seksyen tersebut berbunyi:

Sesiapa yang mengolok-olok, mengajuk atau mengejek-ejek dengan perkataan atau perbuatan akan amalan atau upacara yang berkaitan dengan agama Islam adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

ERAKITA ingin menarik perhatian bahawa sekiranya pihak berkuasa agama di peringkat negeri-negeri berpendapat bahawa kenyataan SIS dan kumpulannya bukan sekadar melibatkan kepentingan Negeri Pahang semata-mata tetapi juga SELURUH NEGERI-NEGERI di Malaysia, ketiga-tiga peruntukan di atas sudah memadai untuk digunakan oleh pihak berkenaan untuk memulakan siasatan ke atas GOLONGAN tersebut. Dalam hal ini, ERAKITA tertarik dengan usaha 2 buah negeri di Semenanjung Malaysia iaitu Pahang dan Selangor baru-baru ini yang telahpun memulakan tindakan PROAKTIF apabila Jabatan Agama Islam di kedua negeri tersebut MEMBUKA KERTAS SIASATAN ke atas kumpulan berkenaan. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) juga dilaporkan telah mengeluarkan gesaan kepada Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri agar membuat siasatan terperinci ke atas tindakan kumpulan tersebut.

Keterangan lanjut mengenai perkara ini boleh dirujuk dalam Ahkbar Harian Metro bertarikh 16 Oktober 2009 di halaman 52. ERAKTA juga berpendapat bahawa untuk mengumpulkan bukti serta saksi-saksi yang relevan, tugas tersebut berkemungkinan tidaklah menghadapi kesukaran kerana hal-hal sensetif seumpama ini lazimnya akan mendapat kerjasama yang cukup hebat dari semua pihak yang cintakan kesucian dan kemurnian agama Islam. Hasil siasatan yang telah dilengkapkan akan diteliti terlebih dahulu oleh Ketua Pendakwa Syarie (KPS). Jika KPS berpuashati dengan kertas siasatan tersebut, baharulah pendakwaan boleh dijalankan ke atas orang-orang dalam Kumpulan tersebut di Mahkamah Syariah Negeri di bawah ketiga-tiga atau mana-mana seksyen di atas. 

KEDUANYA ialah berkenaan FATWA. ERAKITA berpendapat bahawa walaupun kenyataan lantang secara terbuka yang dibuat oleh SIS dan kumpulannya ada hubungkait secara langsung dengan keputusan Mahkamah Syariah yang dibuat di Negeri Pahang, namun ia tidaklah boleh dilihat sebagai perkara yang melibatkan kepentingan Negeri Pahang semata-mata. Kenyataan mereka itu pada pendapat ERAKITA adalah melibatkan kepentingan NASIONAL secara menyeluruh. Pendapat ini didasarkan kepada beberapa kenyataan penting pertubuhan ini seperti berikut: 

  • Jika hukuman sebat dilakukan ke atas seorang wanita di bawah undang-undang Syariah, ia akan mewujudkan satu preseden yang buruk di Malaysia – terutama sekali apabila kaum wanita telah dinyatakan dengan jelas – tidak boleh disebat di bawah S289 Kanun Acara Jenayah. 
  • Jika Kartika dikenakan hukuman sebat, persepsi terhadap Malaysia sebagai sebuah negera Islam yang sederhana akan tergugat selama-lamanya.
  • Kami menggesa agar pihak Kerajaan Persekutuan dan Negeri mengkaji semula hukuman sebat sebagai satu bentuk hukuman kerana ia mencabuli prinsip hak asasi manusia antarabangsa yang menganggap hukuman sebat dan bentuk hukuman dera yang lain sebagai kejam, tidak berperikemanusiaan dan perlakuan yang menjatuhkan maruah.
  • Sebagai pembela hak asasi manusia, kami berkomited untuk mendapatkan perlakuan yang melindungi hak asasi beliau serta juga mereka yang lain dalam keadaan yang serupa, serta untuk memastikan bahawa tidak terdapat kemerosotan standard hak asasi manusia di Malaysia.
  • Kami turut menggesa agar pihak Kerajaan Persekutuan dan Negeri mengadakan kajian semula yang komprehensif ke atas undang-undang kesalahan jenayah Syariah, dengan tujuan memansuhkan undang-undang sedemikian.

Oleh kerana isu ini bukan lagi isu Negeri Pahang semata-mata, ERAKITA berpendapat bahawa wajarlah pada ketika ini pihak yang berotoriti seperti Jawatakuasa Fatwa Kebangsaan membincangkan perkara ini. Berdasarkan Enakmen Fatwa 2004 (Sabah), prosedur pengeluaran fatwa dijelaskan secara terperinci. Menurut Seksyen 7 Enakmen berkenaan, Majlis Fatwa Negeri  (MFN) dikehendaki menyediakan suatu fatwa mengenai apa-apa persoalan yang belum muktamad atau persoalan yang menimbulkan kontroversi berkaitan Hukum Syarak. Menurut Seksyen berkenaan lagi, suatu fatwa itu hendaklah disediakan oleh MFN apabila berlaku mana-mana dari 3 situasi berikut: 

  1. apabila diperintahkan berbuat demikian oleh Yang di-Pertua Negeri (TYT)
  2. apabila Majlis Fatwa Negeri itu sendiri berkehendak untuk berbuat demikian,
  3. apabila ada permintaan dari mana-mana orang atau individu untuk berbuat demikian melalui SURAT yang dialamatkan kepada MUFTI Negeri. 

Berbalik kepada isu hukum syarak yang melibatkan kepentingan Nasional dalam kenyataan SIS dan kumpulannya itu, ERAKITA ingin menarik perhatian anda semua kepada satu peruntukan penting dalam Enakmen Fatwa 2004 (Sabah). Seksyen tersebut adalah Seksyen 11. Menurut seksyen 11, sekiranya MFN mendapati bahawa suatu fatwa yang dicadangkan itu ada kaitan dengan kepentingan nasional, perbincangan mengenai fatwa itu hendaklah ditangguhkan oleh Mufti Negeri sendiri atau MFN. Apa yang akan dilakukan oleh MFN ialah melakukan kajian lanjut samada kepentingan nasional itu selaras dengan ”MASLAHAH” menurut Hukum Syarak. MAJLIS (Majlis Ugama Islam Sabah) hendaklah pula dimaklumkan akan hal tersebut. Ini kerana, selepas mempertimbangkan perkara tersebut, MAJLISlah yang akan merujuk perkara tersebut kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan melalui Majlis Raja-Raja sebaik mendapat perkenan dari TYT  dan setelah memaklumkannya kepada Kerajaan Negeri.

Untuk makluman, Seksyen 11(2) Enakmen yang sama telah memberikan penjelasan bahawa ciri-ciri  mengenai fatwa yang menyentuh  KEPENTINGAN NASIONAL itu adalah  apabila persoalan tersebut ada hubungan dengan apa-apa perkara, dasar, program atau aktiviti yang secara langsung menyentuh kepentingan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri atau mana-mana Kementerian, Jabatan atau Agensi-Agensinya. Jika, diteliti kenyataan berani SIS dan kumpulannya di atas tadi, nampaknya kaitannya dengan kepentingan kerajaan persekutuan, negeri-negeri, kementerian, jabatan dan agensi-agensinya tidak boleh dinafikan begitu saja. Oleh kerana kenyataan keras dan lantang pertubuhan-pertubuhan tersebut ada kaitan dengan hukum syarak,  ERAKITA berpendapat bahawa wajar sekali hal ini diteliti dan diambil tindakan pihak-pihak berkenaan menurut peruntukan undang-undang yang ada.

Jika selepas itu ada syor atau nasihat dari Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kepada pihak MAJLIS mengenai fatwa tersebut, tidak timbul masalah di peringkat negeri untuk mewartakan fatwa tersebut untuk tujuan penguatkuasaan di sisi undang-undang. Atas perkara ini, MUNGKINKAH satu usaha untuk mendapatkan fatwa mengenai kedudukan hukum di sisi agama berkaitan tindakan SIS dan kumpulannya boleh dimulakan oleh salah satu dari 3 pihak, atau 2 atau kesemua pihak yang disebutkan dalam Seksyen 7 Enakmen Fatwa (2004) Sabah di atas selepas ini? Sama-samalah kita fikirkan hal ini.

  

KENYATAAN MEDIA SIS YANG KONTRAVERSI

ERAKITA memaparkan semula kenyataan SIS dalam laman Rasminya yang bertarikh 30 September 2009 untuk renungan bersama. 

 

KENYATAAN MEDIA

Hentikan Sebatan. Hentikan Sebatan ke atas Kartika 

http://www.sistersinislam.org.my/index.php?option=com_content&task=view&id=972&Itemid=1

 Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Malaysia (HAKAM) memandang dengan amat serius terhadap Panel Rayuan Kehakiman Mahkamah Tinggi Syariah Pahang yang telah mendengar dan membuat keputusan terhadap semakan ke atas hukuman sebat untuk Kartika Dewi Shukarno (Kartika) tanpa kehadiran pihak berkenaan yang ingin membentangkan hujahan, atau mengumumkan perbicaraan tersebut kepada umum. 

Tambahan pula, pada 18 September 2009, Sisters In Islam (SIS) telah memfailkan satu permohonan semakan kehakiman untuk mendapatkan perintah penggantungan atau pindaan atau pembatalan terhadap pelaksanaan hukuman sebat ke atas Kartika, dan permohonan ini masih belum didengar oleh Mahkamah Tinggi Syariah Pahang.

Kami juga berasa hairan dengan kepantasan mahkamah Syariah yang mahu hukuman tersebut dijalankan secepat mungkin sedangkan banyak organisasi masyarakat sivil dan ramai individu dan terpelajar yang terkemuka menyatakan rasa bimbang mereka terhadap kesesuaian hukuman denda sebanyak RM5,000, enam sebatan yang dikenakan ke atas Kartika, seorang pesalah kali pertama, yang telah pun mengaku bersalah dan menyatakan rasa sesal beliau sehingga kini.

Kami berasa bimbang kerana Mahkamah Syariah telah mengambil tindakan berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang dipertanggungjawabkan terhadap hal ehwal agama Islam, Mej-Gen (B) Datuk Jamil Khir Baharom (“Syariah court to have more bite”, NST, 24 April 2009) bahawa kekurangan pelaksanaan hukuman sebat “merupakan antara faktor yang menjadi sebab peningkatan jenayah syariah setiap tahun kerana masyarakat merasakan undang-undang tersebut adalah terlalu remeh.” Kenyataan yang dibuat oleh Menteri tersebut adalah tidak tepat dengan mengaitkan kekurangan hukuman sebat sebagai faktor peningkatan di dalam “jenayah syariah” kerana kajian telah menunjukkan bahawa hukuman sebat, seperti mana hukuman dera, bukan satu langkah pencegahan yang berkesan  terhadap perbuatan melakukan jenayah.

Hakikat bahawa Kartika sendiri nampaknya ingin hukuman sebat tersebut dijalankan ke atasnya tidak sepatutnya menghalang pihak berkuasa untuk melakukan sesuatu dengan adil dan penuh belas kasihan dalam semua konteks kes tersebut. Sebagai pembela hak asasi manusia, kami berkomited untuk mendapatkan perlakuan yang melindungi hak asasi beliau serta juga mereka yang lain dalam keadaan yang serupa, serta untuk memastikan bahawa tidak terdapat kemerosotan standard hak asasi manusia di Malaysia.

Keputusan yang dibuat oleh Kartika boleh dibandingkan dengan keputusan yang dibuat oleh balu beragama Hindu pada masa lampau. Amalan ‘sati’ (kini terlarang di India) di mana balu yang masih hidup dibakar bersama-sama mayat suaminya. Terdapat percanggahan pendapat tentang jika seseorang balu memilih untuk mengorbankan dirinya, mereka yang lain tidak boleh campur tangan. Jelasnya, ini bukanlah satu amalan yang tidak boleh dibiarkan berdasarkan prinsip pilihan bebas.

Isu penting di sini adalah kemerosotan standard hak asasi yang digunakan di negeri Pahang. Jika hukuman sebat dilakukan ke atas seorang wanita di bawah undang-undang Syariah, ia akan mewujudkan satu preseden yang buruk di Malaysia – terutama sekali apabila kaum wanita telah dinyatakan dengan jelas – tidak boleh disebat di bawah S289 Kanun Acara Jenayah. 

Jika Kartika dikenakan hukuman sebat, persepsi terhadap Malaysia sebagai sebuah negera Islam yang sederhana akan tergugat selama-lamanya.

Kami menggesa agar pihak Kerajaan Persekutuan dan Negeri mengkaji semula hukuman sebat sebagai satu bentuk hukuman kerana ia mencabuli prinsip hak asasi manusia antarabangsa yang menganggap hukuman sebat dan bentuk hukuman dera yang lain sebagai kejam, tidak berperikemanusiaan dan perlakuan yang menjatuhkan maruah.

Dalam kes Kartika, kami berasa amat khuatir kerana prinsip am penjatuhan hukuman tidak digunakan: beliau adalah seorang pesalah kali pertama, beliau berasa sesal dan telah mengaku bersalah, dan tidak terdapat keganasan dalam perbuatan melakukan kesalahan tersebut. Hukuman beliau tidak setimpal sama sekali dengan kesalahan yang dilakukan.

Kami turut menggesa agar pihak Kerajaan Persekutuan dan Negeri mengadakan kajian semula yang komprehensif ke atas undang-undang kesalahan jenayah Syariah, dengan tujuan memansuhkan undang-undang sedemikian. Pada tahun 1997 dan 2005, SIS telah menyerahkan memorandum kepada pihak Kerajaan tentang kesalahan jenayah syariah, membangkitkan pelbagai isu yang membimbangkan termasuklah peruntukan-peruntukan di dalam undang-undang tersebut yang tidak berasaskan teori dan amalan undang-undang Islam, bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, serta juga bercanggah atau bertindan dengan Kanun Keseksaan dan undang-undang persekutuan yang lain.

Akhir sekali, kami ingin mengingatkan pihak berkuasa yang berkaitan bahawa keadilan hendaklah dilembutkan dengan rasa belas ihsan; dan bukan hanya keadilan dilakukan dengan saksama tetapi ianya hendaklah benar-benar dilakukan secara adil agar masyarakat Malaysia berasa yakin dengan proses di mahkamah Syariah.

Dikeluarkan oleh: 

  • Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG) yang terdiri daripada Sisters in Islam (SIS), Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER), Women’s Aid Organisation (WAO), All Women’s Action Society (AWAM) and Women’s Centre for Change, Penang (WCC);
  • Suara Rakyat Malaysia (SUARAM); dan
  • Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Malaysia (HAKAM)

Ekoran dari kenyataan yang dikeluarkan di atas, wartawan dari Akhbar Harian Metro telah mendapatkan respon dari Mufti Kerajaan Negeri Perak, Tan Sri Harussani Zakaria. Sayugia, ERAKITA memaparkan laporan akhbar bertarikh 2 Oktober 2009 yang bertajuk TOLAK HUKUM  ISLAM MURTAD berkaitan isu ini untuk tatapan anda semua.

 

TOLAK HUKUM ISLAM MURTAD 

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20091002083806/Article/index_html

KUALA LUMPUR: “Kalau kita menolak hukum Islam, itu murtad namanya,” tegas Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengulas cadangan Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG) dianggotai Sisters in Islam dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain supaya hukuman sebat dalam undang-undang syariah dinilai sekali gus dimansuhkan.

JAG yang dibangun atas nama pembela hak asasi manusia sebelum itu menggesa kerajaan menilai kembali dan memansuhkan undang-undang syariah yang menerapkan hukuman sebatan berikutan menurut mereka dianggap mendera selain mencabul prinsip hak asasi manusia antarabangsa yang menganggapnya kejam, tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah.

Mereka turut mendakwa mengikut peruntukan Seksyen 289 Kanun Acara Jenayah menyebut dengan jelas wanita dilarang daripada tindakan sebat sekali gus bercanggah dengan sebatan mengikut undang-undang Syariah yang aktif dijalankan Perlis, Pahang dan Kelantan.

Mengulas isu itu, Harussani berkata, Allah SWT secara terang menyebut dalam al-Quran bahawa apa yang didatangkan dan dihukum Rasullah s.a.w hendaklah diambil sekali gus diikuti, manakala larangannya perlu dipatuhi dan jangan sesekali diamalkan dalam kehidupan harian.

 “Jadi hukuman ini (sebat kerana minum arak) memang disuruh Nabi Muhammad s.a.w, kenapa pula kita tidak ikut, dan mereka ini (JAG) atau Sisters in Islam ini sebenarnya menentang Islam ke, bukannya mereka mengikut ajaran Islam. “Mereka anggap hukum Allah itu kolot ke…(sedangkan) kita ini pun dijadikan oleh Allah, cukup anggotanya, diberi akal fikiran…(tengok) betapa hebatnya Allah yang mencipta dan menghidupkan semua perkara.

“Jangan kita pula hendak memperkecilkan Allah dan hukum-Nya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mengenai hukuman sebat ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno, 32, beliau menjelaskan sebatan yang diputuskan di bawah undang-undang Islam bukan sama seperti dilaksanakan kerajaan Pusat untuk penjenayah yang melanggar undang-undang Persekutuan.

Menurutnya, sebat yang dilaksana tidak mendatangkan sakit atau kemudaratan teruk, bahkan jelas menggunakan rotan yang hanya sebesar jari, manakala tangan tukang sebat yang menghayun rotan pula diangkat tidak melebihi daripada ketiak.

“Maknanya rotan yang digunakan itu kecil, ketika menghayunkannya (untuk hukum) pula tidak boleh tinggi, menjelaskan tangan hanya diangkat sedikit saja….tidak sakitlah maknanya dan taklah seperti dibuat di penjara…terlalu berat.  “Saya nasihatkan mereka supaya janganlah buat kenyataan sebarangan, hati-hati bila berucap sesuatu, jangan sampai menyebabkan mereka terkeluar dari landasan Islam sebenar,” katanya.

Harussani turut memberitahu hukuman enam sebatan ke atas Kartika kerana kesalahan meminum arak bukan bertujuan mendera, jauh sekali mendatangkan kesakitan sebaliknya dibuat untuk mengajar dan wajar disaksikan ramai orang sebagai pengajaran bermakna.

Berikutan itu, Akhbar Kosmo bertarikh 3 Oktober 2009 dalam mukasurat 8 pula melaporkan dengan tajuk 14 NGO Islam selar SIS, JAG sebagai reaksi terhadap kenyataan SIS tersebut. Menurut akhbar berkenaan, Amidi Abdul Manan selaku Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyatakan bahawa pihaknya akan mendapatkan perintah Mahkamah untuk menghalang SIS dan JAG serta pihak-pihak lain dari membuat sebarang kenyataan yang mempertikaikan sebarang pelaksanaan hukuman berkaitan agama Islam. Menurutnya lagi, satu laporan polis telahpun dibuat di Balai Polis Daerah Kuantan pada 2 Oktober terhadap JAG dan SIS berhubung kenyataan menghina Islam. Sebahagian dari laporan akhbar berkenaan yang dipetik dari www.kosmo.com.my dipaparkan semula untuk tatapan bersama.

 

 14 NGO Islam selar SIS, JAG

http://kosmo.com.my/

KUANTAN – Sebanyak 14 badan bukan kerajaan (NGO) Islam di Pahang semalam menyelar Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG) dan Sisters In Islam (SIS) berhubung kenyataan mereka yang menganggap hukuman ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor sebagai kejam.

Jurucakap NGO itu, Amidi Abdul Manan berkata, mereka meminta pihak terbabit menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam di negara ini.

“Enakmen Pentadbiran Ugama dan Adat Resam Negeri Pahang 1982 (Pindaan 1987) adalah di bawah kuasa Mahkamah Syariah yang diperkenankan Sultan Pahang. Menghina undang-undang syariah bererti mereka juga menghina Sultan Pahang.

“Kita juga menuntut penganut agama lain tidak mencampuri dan mempertikaikan urusan agama Islam,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Baru-baru ini, JAG dan SIS dalam laporan sebuah akhbar menyifatkan hukuman sebat ke atas Kartika sebagai kejam, mencabuli hak manusia antarabangsa dan menjatuhkan maruah seseorang.

 

KESIMPULAN

Sebenarnya banyak reaksi yang telah diberikan oleh masyarakat Islam di negara ini mengenai tindakan berani kumpulan ini. Hampir setiap minggu kita dimomokkan dengan laporan mengenai ketidakpuasan hati masyarakat Islam yang begitu terkilan dan terhina dengan kenyataan SIS dan kumpulannya itu. Respon yang dikeluarkan terhadap isu ini oleh pelbagai NGO Islam yang prihatin terhadap kesucian dan maruah agama Islam seperti Persatuan Penguam-Peguam Syarie Malaysia (PGSM), ABIM dan lain-lain lagi yang tidak dapat disebutkan di sini amat bernilai sekali. Bantahan dan kritikan atas kelantangan SIS dan kumpulannya itu diharap dapat mengukuhkan lagi usaha pihak berkuasa agama negeri-negeri untuk bertindak sesuatu.

Sebelum berundur, ERAKITA sekali lagi ingin menarik perhatian anda semua untuk merenung semula 2 perkara utama di bincangkan di atas iaitu isu tindakan perundangan ke Mahkamah dan isu mengeluarkan fatwa ke atas tindakan kumpulan berkenaan.

 

SAMA-SAMA KITA RENUNGKAN PERKARA INI

Dikirim dalam AGAMA, RENUNGAN, UNDANG-UNDANG | 4 Komen »

Perpustakaan Mini di Rumah: sudah ada?

DIkirim oleh ERAKITA di 16 Oktober 2009

 

DSC07357

 

Mini Library di Rumah Sendiri

 

16 Oktober 2009 

Cubalah kita bayangkan bagaimana susasana sebuah rumah yang di dalamnya ada mini library atau mini perpustakaan. Boleh dikatakan bahawa jarang sekali kita melihat ada mini library di rumah dalam masyarakat kita. Jika ada, ianya diletakkan di tempat yang tidak startegi, dalam keadaan tidak tersusun dan bahan-bahan bacaannya pula bukan menjurus kepada pembelajaran dan peningkatan ilmu. Jika adapun, kadang-kadang koleksi buku-buku kartun yang banyak. Begitu juga, koleksi buku atau majalah berbentuk hiburan semata-mata dan lain-lain seumpamanya. 

Sebenarnya, tanpa disedari, kehadiran sebuah perpustakaan kecil di rumah amat besar makna dan kesannya dalam pembentukan minat membaca dan belajar di kalangan anak-anak. Dengan adanya bahan-bahan bacaan yang menarik, ibu bapa akan turut bersemangat untuk membaca. Tabiat ibubapa yang rajin membaca mudah diikuti oleh anak-anak kita. Bahan bacaan dan susunan meja serta kerusi yang menarik dapat membangkitkan semangat membaca di kalangan anak-anak. 

Rasanya, alasan tidak cukup wang untuk membeli buku bukanlah alasan yang kuat untuk menyediakan sebuah mini library di rumah. Membuat rak buku di rumah tidak memerlukan kos yang tinggi. Beberapa buah papan boleh dilekatkan di dinding rumah di lokasi yang sesuai dengan lampu yang terang untuk menempatkan buku-buku. Mengisi ruang-ruang kosong dalam rak bukan menjadi masalah. Ambil sahaja buku-buku anak-anak yang digunakan di sekolah dan letakkan secara tersusun dalam rak supaya kelihatan cantik dan mudah dicapai. Buku-buku anak yang sudah tidak digunakan lagi seperti buku-buku latihan, buku kerja, buku teks dan buku tulis yang digunakan tahun sebelumnya sebaiknya jangan dibuang. Simpanlah kesemuanya dan letakkanlah secara tersusun di rak buku. 

Semakin banyak buku yang diletakkan di rak, semakin cantiklah sebuah perpustakaan mini itu. Untuk menambah koleksi buku, peruntukkanlah wang sekurang-kurangnya RM5.00 atau RM10.00 dalam sebulan untuk membeli apa sahaja buku atau majalah. Jumlah ini sangat murah berbanding kos yang kita keluarkan untuk minum sarapan bersama kawan-kawan di kedai kopi. Koleksi bacaan juga boleh ditambah dengan mendapatkan pamphlet-pemphlet yang diterbitkan oleh jabatan-jabatan kerajaan tertutamanya di Pejabat Penerangan. Pejabat Penerangan biasanya mempunyai bahan-bahan terbitan yang agak banyak dalam tempoh setahun untuk diedarkan kepada umum. Kesempatan ini harus diambil. Pemphlet dari bank juga amat mudah diperolehi. 

Ketika mengunjungi pameran-pameran yang dianjurkan oleh badan-badan kerajaan atau bukan kerajaan, ambillah peluang untuk mendapatkan pemphlet yang disediakan di gerai-gerai pameran secara percuma. Walaupun bahan-bahan  itu dirasakan tidak diperlukan ketika itu, namun akan ada saat dan ketikanya bahan-bahan tersebut menjadi penting dan bernilai sebagai bahan maklumat. 

Perlu diingatkan bahawa kerajaan menggalakkan rakyat untuk membaca. Sehubungan itu, rebet cukai diberikan kepada para pembayar cukai yang membeli buku. Untuk tujuan itu, resit pembelian buku-buku hendaklah disimpan untuk rujukan dan bukti kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri apabila diperlukan. Ketika ini, kos pembelian yang boleh diberi rebet dalam percukaian ialah RM1,000.00 dalam setahun. Bayangkan! Betapa untungnya kita apabila membeli buku. Bukan saja memperolehi buku, tetapi juga kos pembelian tersebut boleh menjadi rebet dalam percukaian yang dikenakan oleh kerajaan. 

Soalnya sekarang, siapa sebenarnya yang rugi, orang yang membeli buku atau orang yang tidak membeli buku? Nampaknya, orang yang membeli buku dapat keuntungan berganda. Sebaliknya, orang yang tidak membeli buku, dapat rugi berganda kerana tidak dapat buku dan tidak pula dapat rebet atau pengecualiaan cukai andaikata ada cukai. Mempunyai koleksi bahan bacaan tertentu di mini perpustakaan rumah kita mampu memberi kelebihan kepada kita untuk membuat rujukan bagi tajuk tertentu. Bagi sesetengah orang, ia seringkali dijemput untuk menyampaikan kertas kerja dalam seminar atau atau persidangan atau ceramah. Ketiadaan masa untuk ke perpustakaan daerah atau negeri disebabkan masa yang diperuntukkan terlalu singkat boleh diatasi apabila kita mempunyai bahan-bahan bacaan berkaitan di rumah kita. Andai kita melawat pesta jualan buku, ambillah kesempatan untuk membeli buku-buku yang berkaitan dengan bidang kerjaya kita. Insyaa Allah, satu saat buku itu akan menjadi sangat bermanfaat kepada kita. 

ERAKITA mengajak anda untuk merenung perkara ini sejenak. Alangkah indahnya melihat telatah anak-anak kusyuk membaca di mini perpustakaan rumah kita! 

 

DSC07356

 

WUJUDKAN MINI PERPUSTAKAAN DI RUMAH ANDA

 

 

Dikirim dalam BUKU, KELUARGA, RENUNGAN | 2 Komen »

BERAS: ada keistimewaan untuk dikongsi

DIkirim oleh ERAKITA di 14 Oktober 2009

 

puting susu botol

 

 

KEISTIMEWAAN DAN KEUNIKAN BERAS

 

14 Oktober 2009 

Beras adalah makanan asas bagi kebanyakan orang di Benua Asia. Malah, negara-negara Asia seperti Thailand dan Indonesia adalah antara pengeluar beras utama di dunia. Malaysia tidak terkecuali sebagai negara yang menghasilkan beras. Namun, penegluarnnya masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan penduduk negara ini. Jika anda ke kedai-kedai runcit kecil dan besar, anda akan dapati bahawa pelbagai jenama dan syarikat yang mengeluarkan beras. Kebanyakan beras tersebut pula datangnya dari luar negara seperti Thailand dan Vietnam. Dengan erti kata lain, beras tersebut adalah beras import. Semakin tinggi harga beras, semakin sedap pula rasanya. Hakikat yang harus diterima oleh rakyat negara ini ialah, harga beras walaupun tersenarai sebagai barangan keperluan terkawal, namun harganya agak tinggi dan tanda-tanda untuk diturunkan harga masih lagi samar-samar. 

Dalam ruangan ini, ERAKITA tidak akan memanjangkan cerita mengenai harga dan bekalan beras di negara ini. ERAKITA sebaliknya ingin berkongsi dengan anda semua mengenai keistimewaan dan keunikan beras. Selain menjadi makanan asasi kebanyakan manusia di muka bumi, beras mempunyai banyak keistimewaan. Keistimewaan ini pula adakalanya jarang diketahui dan diamalkan orang. Jika keistimewaan ini diketahui dan diamalkan, banyak perkara dalam kehidupan kita sehari-hari dapat dimudahkan. 

Salah satu keistimewaannya ialah ia dapat membersihkan mendapan susu dalam botol susu dan putingnya dengan cepat dan berkesan. Lazimnya, kita menghadapi kesukaran untuk membuang mendapan kotoran atau susu yang melekat dalam botol susu. Apatah lagi jika botol tersebut tidak dibersihkan sejak beberapa hari. AROMAnya sudah pasti menusuk hidung dan memeningkan kepala. Jika tidak sabar, kita lebih sanggup membuangnya ke dalam tong sampah daripada membersihkannya. Jika kita nak membersihkannya, kita terpaksa menggunakan alat khas seperti colok yang ada span getah bersama sabun basuh. Lebih menyusahkan jika alat tersebut tidak ada. Tangan kita terlalu besar untuk dimuatkan ke dalam lubang botol susu yang sempit itu. Hal ini sering terjadi dan tidak mustahil, para ibu bapa akan membeli beberapa buah botol susu sebagai stok yang boleh digunakan dalam keadaan tertentu. Hal ini sudah tentu membebankan sesetengah pihak  dan boleh menjadi satu pembaziran pula jika botol susu kelihatan di sana sini sedangkan tidak digunakan. 

Untuk mengatasi masalah mendapan yang degil dan membusuk di dalam botol tersebut, beberapa butiran beras dapat memberi penyelesaiannya. Ambil beras sekira-kira 1 sudu kecil dan masukkkan ke dalam botol tersebut. Masukkan juga sedikit air biasa ke dalam botol tersebut. Goncanglah beras bercampur air tadi beberapa kali dengan kuat. Insyaa Allah, dalam tempoh 30 saat hingga seminit selepas digoncangkan, anda akan melihat hasil yang cukup mengujakan dan menakjubkan. Anda akan melihat mendapan lama susu yang telah mengeluarkan bau yang busuk dan masam dalam botol tersebut hilang sama sekali. Bukan botol susu saja yang kelihatan bersih dan terang, malah puting susu di bahagian atas juga turut bersih. Kita tidak perlu lagi membuang masa untuk memicit-micit hujung puting susu tersebut untuk mengeluarkan mendapan susu yang sudah lama. 

ERAKITA telah mengamalkan petua ini sejak beberapa tahun yang lalu dan ternyata ia banyak mengurangkan penggunaan masa dan tenaga. Malah, botol susu kelihatan sentiasa bersih. Tidaklah keterlaluan untuk dinyatakan di sini bahawa penggunaan sabun juga tidak diperlukan lagi melalui kaedah ini. Menariknya, beras yang telah digunakan untuk membasuh mendapan kotoran susu dalam botol tersebut masih boleh digunakan untuk dimasak. Ia tidak perlu dibuang kerana ia boleh dibersihkan dengan mudah dan dikeringkan. Oleh itu, istilah membazir beras tidak timbul sama sekali. 

ERAKITA mengajak anda semua untuk mencuba dan terus mengamalkan kaedah ini. Semoga selepas ini, botol susu anak kecil anda akan kelihatan lebih berseri dan dan bersinar walaupun telah lama digunakan dengan menggunakan beras ini. Kaedah ini dapat mengelakkan pembaziran wang untuk membeli lebih banyak span getah dan botol susu untuk seorang anak kecil. Cara ini walaupun kelihatan kecil namun kesannya dalam kehidupan berumahtangga adalah besar. Perselisihan faham suami isteri gara-gara membasuh botol susu juga dapat dielakkan. Pembelian botol susu yang banyak juga dapat dielakkan. Mengambil cara yang mudah berbanding cara yang sukar juga dapat diamalkan. Masa yang digunakan untuk membersihkan botol susu dapat disingkatkan bersama hasil yang cukup memuaskan hati. Tanpa kita sedar, apabila kita mengamalkan perkara-perkara di atas, kita sebenarnya telah menggunapakai saranan Nabi SAW yang menganjurkan kita agar mempermudahkan sesuatu urusan tersebut dan mengelak dari mempersulitkannya. 

  

BERSIHKAN BOTOL SUSU ANAK ANDA DENGAN BERAS

 &

 LIHATLAH HASILNYA

Dikirim dalam KELUARGA, PETUA, RENUNGAN | 2 Komen »

ISLAM DI SABAH: usaha pengumpulan data pendakwah terdahulu

DIkirim oleh ERAKITA di 11 Oktober 2009

white-calla-lilies

 

 

DAKWAH ISLAMIAH DI SABAH: ke arah pengumpulan data pendakwah terdahulu

 

11 Oktober 2009 

ERAKITA mengucapkan tahniah kepada blog ABU NUHA CORNER di alamat http://abunuha.wordpress.com yang telah menyiarkan artikel pada 5 Oktober 2009 berkenaan usaha PERSATUAN ULAMA MALAYSIA (PUM) Cawangan Sabah untuk mengumpulkan maklumat dan data mengenai PENDAKWAH-PENDAKWAH ISLAM di Sabah. ERAKITA dalam rangka menyokong usaha murni ini dengan penuh rendah diri ingin berkongsi sedikit maklumat dalam artikel kali ini. Pengumpulan maklumat mengenai para pendakwah Islam yang telah menyumbangkan masa dan tenaga mereka dalam gerakan dakwah di Sabah suatu ketika dahulu amat wajar dilakukan. Jika tidak dilakukan sekarang, bila lagi dan siapa pula yang akan melakukannya. 

Melihat kepada kepesatan peningkatan penduduk Islam di Sabah semenjak Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) ditubuhkan pada penghujung 1969, tidak dinafikan lagi bahawa RAMAI sebenarnya individu yang telah terlibat dalam gerakan tersebut. Menariknya individu itu bukan saja dari kalangan para Ustaz, tetapi juga golongan SAUDARA-SAUDARA KITA yakni, orang-orang yang baru sahaja memeluk Islam pada ketika itu. Dalam tahun 1978 umpamanya, terdapat seramai 181 mubaligh atau tenaga pendakwah USIA bagi seluruh Sabah. 

Ini belum lagi termasuk tenaga-tenaga pendakwah yang dilantik oleh MUIS selepas kerajaan BERJAYA mengambil alih tampuk pemerintahan Sabah sejak 1976. Lebih menarik, pemimpin-pemimpin kerajaan, para pemimpin parti politik dan pemimpin masyarakat di peringkat daerah juga turut memainkan peranan penting dalam usaha dakwah tersebut. Kegiatan dakwah dan pengislaman besar-besaran di negeri ini begitu terserlah sekitar 1970-an dan 1980-an ketika kerajaan berada di bawah pentadbiran parti dominan  iaitu USNO dan BERJAYA. 

Fakta mengenai penglibatan aktif ramai individu dalam gerakan dakwah seawal tahun 1970-an di Sabah dapat diperkukuhkan dengan kejayaan gerakan dakwah yg didokong oleh USIA mengislamkan lebih dari 50,000 orang dari kalangan penduduk yang belum atau sudah beragama lain di Sabah. Bayangkan saja, satu fakta yang amat mengkagumkan dan mungkin juga patut dirakamkan dalam REKOD DUNIA dalam gerakan dakwah Islam di mana setakat 1973, lebih 50,000 telah berjaya diIslamkan dalam tempoh yg begitu singkat. Dalam satu kertas kerja bertajuk PERANAN USIA DALAM MEMBINA AGAMA ISLAM DI SABAH yang ditulis oleh Allahyarham Datuk Hj. Ag. Sahari bin Abdul Latif, beliau menyebutkan: 

Alhamdulillah, gerakan dakwah yang telah dilancarkan itu mendapat sambutan yang menggalakkan sehingga bilangan mereka yang telah memeluk agama Islam lebih dari 50,000 orang dewasa lelaki dan perempuan. Ini tidak termasuk kanak-kanak. Kalau dijumlahkan dengan kanak-kanak, bilangannya hampir 100,000 orang. Maka dengan yang demikian, peratus bilangan penduduk Islam Negeri Sabah telah meningkat kepada 52%.

 Usaha para penggerak dakwah yang ramai itu tidak sia-sia apabila penduduk Islam yang pada asalnya hanya dalam lingkungan 38 peratus pada tahun 1960-an, tiba-tiba mencapai lebih 50 peratus pada tahun 1973. Tidak cukup dengan itu, hasil yang begitu mengkagumkan dapat dicapai apabila lebih dari 2/3 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah adalah beragama Islam. Ini satu lagi sejarah bagi Negeri Sabah apabila DUN Sabah dilambaki oleh ADUN Islam ketika itu. Ramai ADUN bukan Islam telah memeluk Islam hasil usaha gerakan dakwah secara intensif tersebut. Bilangan ADUN yang beragama Islam pada 1972 telahpun mencapai 2/3 dari keseluruhan bilangan ADUN di Sabah. Keadaan ini jugalah yang telah menjadi satu rahmat buat Sabah apabila usul menubuhkan MAJLIS UGAMA ISLAM SABAH (MUIS) di DUN Sabah pada 26 April 1972 tidak mendapat sebarang masalah. 

Lebih menarik lagi bahawa para penggerak dakwah yang aktif itu termasuklah juga dari kalangan PEMIMPIN parti politik dan ADUN sendiri. SINAR USIA terbitan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan HIKMAH terbitan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), dua Majalah dakwah tersohor sekitar 1970-an dan 80-an di Sabah menjadi bukti jelas bagaimana ADUN-ADUN sendiri terlibat secara langsung dengan gerakan dakwah tersebut. 

Tidak hairanlah mengapa usul memasukkan Artikel 5(A) dalam Perlembagaan Negeri Sabah yang menyatakan bahawa Islam adalah agama rasmi bagi Negeri Sabah berjaya dibawa ke DUN dan diluluskan tanpa bantahan lagi. Ketika itu, bantahan tidak kedengaran lagi kerana majoriti ADUN ketika itu adalah orang Islam. Suasana ini jauh sekali berbeza 10 tahun sebelum itu apabila para pemimpin Sabah yang majoritinya dari kalangan bukan Islam mengemukakan syarat ketat untuk pembentukan Malaysia. Syarat tersebut terkandung dalam 20 PERKARA yang telah telah dibincangkan secara terperinci di peringkat Suruhanjaya Antara Kerajaan (IGC) sebelum pembentukan Malaysia.

Perkara pertama dalam 20 PERKARA itu adalah berkaitan dengan agama Islam. Inilah PERKARA PERTAMA DAN TERATAS sekali dalam 20 perkara itu. Hal ini mungkin tidak disedari oleh sebahagian besar dari umat Islam ketika memperkatakan hak-hak Sabah dalam Perkara 20. Perkara mengenai agama  itu menyatakan bahawa sementara tiada bantahan bahawa Islam adalah agama kebangsaan Malaysia, Borneo Utara pula hendaklah tidak ada agama negeri, dan peruntukan-peruntukan berkenaan Islam dalam Perlembagaan Malaya yang sedia ada hendaklah tidak terpakai kepada Borneo Utara. Sebagai makluman, Borneo Utara adalah nama bagi Negeri Sabah sebelum merdeka pada tahun 1963.

Hakikat bahawa wujudnya SYARAT membentuk Malaysia di mana ISLAM BUKAN AGAMA RASMI DI SABAH dikatakan sebagai antara syarat yang PALING BERAT untuk diterima oleh umat Islam ketika itu. Namun, memandangkan bilangan umat Islam ketika itu hanyalah sekitar 38 peratus, syarat tersebut mahu tidak mahu terpaksa juga diterima. Ini kerana, jika tidak diterima, bermakna Sabah menghadapi halangan besar untuk turut sama dalam pembentukan Malaysia.

Kemuncaknya, Sabah bersama-sama Sarawak, Singapura dan Malaya membentuk Malaysia pada 16 Spetember 1963 di mana akhirnya sejarah mencatatkan bahawa Perlembagaan Negeri Sabah tidak memasukkan peruntukan bahawa Islam adalah agama rasmi negeri ini sebagaimana negeri-negeri lain. Hal ini berlanjutan selama 10 tahun bermula tahun 1963.

Ketiadaan Agama Rasmi bagi Sabah selama 10 tahun sesungguhnya telah memberi ruang seluas-luasnya kepada agama lain untuk menyebar dan mengembangkan agama mereka di kalangan penduduk di negeri ini. Tidak hairanlah mengapa dalam tempoh tersebut banyak sekali rumah-rumah ibadat agama-agama berkenaan berjaya didirikan di sana sini. Peratus pertumbuhan penganut agama lain juga begitu terkehadapan berbanding agama Islam sendiri dalam tempoh tersebut. 

Hanya pada tahun 1973, baharulah Islam dapat dijadikan agama rasmi bagi Sabah setelah pindaan dalam perlembagaan Sabah berjaya dilakukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. Sesungguhnya kejayaan menjadikan Islam sebagai agama rasmi Sabah 10 tahun kemudiannya adalah hasil usaha bersungguh-sungguh pada pendakwah Islam ketika itu. Masing-masing merasakan bahawa mereka mempunyai peranan besar untuk membanyakkan bilangan umat Islam di Sabah ketika itu.

Kesan daripada kejayaan menjadikan Islam sebagai AGAMA RASMI SABAH dapat dilihat pada hari ini. Akhirnya Islam hari ini menjadi agama yang dominan di Sabah. Tidak syak lagi bahawa penghormatan dan penghargaan tinggi wajar diberikan kepada Bapa Kemerdekaan Sabah, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun atas sumbangan besar beliau sehingga Islam mencapai kejayaan besar dan gemilang itu di bumi Sabah. 

Laporan dari Jabatan Perangkaan Negara bagi tahun 2000 sahaja menunjukkan bahawa penganut Islam di Sabah sudah mencapai 63.7 peratus. Menariknya, dari 14 buah negeri di Malaysia, Sabah kini berada di TANGGA KE-7 sebagai negeri yang paling ramai penduduk Islam. Dari segi fakta, Sabah yang dikurniakan lebih 30 suku atau etnik sudah jauh meninggalkan negeri-negeri di Semenanjung seperti Negeri Sembilan (58.6 %), Selangor (55.7 %), Perak (53.9 %), Johor (58.8 %), Pulau Pinang (44.2 %), Sarawak (31.3 %) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (46.2 %). Itulah bancian Jabatan Perangkaan yang meliputi peratusan penganut Islam bagi semua negeri di Malaysia 10 tahun lepas. 

Dengan perkembangan gerakan dakwah yang pesat di alaf 2000, diikuti kemasukan orang bukan Islam ke agama Islam yang berlaku hampir setiap hari di Sabah, di samping siri pengislaman kecil-kecilan mahupun besar-besaran yang masih lagi berlangsung di Sabah ketika ini, tidak mustahil bahawa statistik penduduk Islam dalam laporan bancian kependudukan oleh Jabatan Perangkaan Negara untuk tahun 2010 akan bertambah lagi. Tidak memeranjatkan kalau nanti peratusan penduduk Islam akan meningkat kepada sekitar 65-70 peratus tahun hadapan. Andai jangkaan ini menjadi realiti, tidak mustahil kedudukan Sabah dari tangga ke-7 akan naik ke tangga ke-6 atau ke-5 sebagai negeri paling ramai penduduk di Malaysia. Sama-sama kita nantikan laporan bancian kependudukan oleh Jabatan Perangkaan Negara yang dijangka dikeluarkan pada tahun hadapan. 

Berbalik kepada usaha PERSATUAN ULAMA MALAYSIA (PUM) Cawangan Sabah untuk mengumpulkan maklumat mengenai tokoh-tokoh dakwah di Sabah, ia dilihat sebagai satu usaha murni dan memang wajar disokong. Kaedah dan semangat dakwah para pendakwah terdahulu boleh dijadikan kayu ukur dan iktibar untuk generasi pendakwah di Sabah hari ini untuk memikirkan kaedah dan strategi dakwah yang bersesuaian pada zaman. Sementara masih ramai di kalangan para pendawah tersebut yg masih hidup, amat sesuailah kalau usaha ini digerakkan mulai sekarang.

Maklumat yang lebih tepat dan telus akan lebih mudah diperolehi dari individu-individu berkenaan.  Pepatah Orang Putih ada mengatakan “STRIKE THE IRON WHILE IT IS HOT “. Maknannya, nak pakai penggosok baju (Strika), biarlah masa ia masih panas supaya kehalusan baju lebih berkualiti dan cantik. Dengan kata lain, untuk mendapatkan maklumat utama dan tepat, biarlah dari individu-individu tersebut sendiri selagi mereka masih hidup. 

Untuk makluman anda semua, selain mendapatkan maklumat secara terus dari individu-individu berkenaan yang masih hidup, beberapa buah buku yang bermaklumat  berkaitan gerakan dakwah dan tokoh-tokoh dakwah di Sabah juga boleh membantu dalam usaha ini. Berikut adalah sebahagian dari beberapa buah buku atau rujukan yang boleh membantu: 

  • Abdullah Hussain, Tun Mustapha Bapa Kemerdekaan Sabah: Sebuah Biografi, Kuala Lumpur, M.F.I, 1976.
  • Subky Latif, Sebahagian Dari Memoir Tun Datu Mustapha: Merdeka Melalui Malaysia, Kuala Lumpur, Penerbit Pustaka Antara, 1981.
  • Muhiddin Yusin, Islam di Sabah, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990.
  • Yahaya Ismail. (1986). Politik Islam di Sabah. Kuala Lumpur: Dinamika Kreatif.
  • Ismail Yusoff. (2004). Politik dan agama di Sabah. Bangi Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia.
  • Ainol Jamal. (1989). Islam di Sabah tertindas. Sabah: Penebitan Tinta.
  • Sahari Abdul Latif, Mana Bendera Saya?, Sabah, Institut Penyelidikan Sastera Sabah (INPES), Cetakan kedua 2006.
  • R.M Jasni, Memoir Anak Sisa Peperangan, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
  • Jeffrey G. Kitingan & Maximus J. Ongkili (e.d), Sabah 25 years later: 1963-1988, Institute for Development Studies (Sabah), 1989.
  • Jeffrey G. Kitingan, Justice for Sabah, Shelma Publications and News Agency, Lahad Datu, Sabah, 2006.
  • Patrick bin Sindu & Abdul Malek Unar, Isu 20 pekara: Jaminan dan perlindungan, STUDIO 3, Kota Kinabalu, 1993.
  • Sabihah Osman. (1985). Pentadbiran peribumi Sabah 1881-1941. Bangi Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia.
  • Sabihah Osman, Ismail Ali & Baszley Bee B., Tun Datu Hj. Mustapha bin Datu Harun: Jasabaktinya dalam pembangunan sosial Sabah, Universiti Malaysia Sabah, Sabah, 2006.
  • Abdul Hadi Harman Shah, Junaenah Sulehan, Mohamed Yusoff Ismail, Nor Azizan Idris & Zahra Yaacob, Tun Mustapha dan pembangunan Sabah, Yayasan Sabah,  1st Edition, Sabah, 2003.
  • Buku Cenderahati Kecemerlangan SUIS Tambunan Dalam 25 Tahun, Sempena Sambutan Jubli Perak ke 25 Tahun SUIS Tambunan, Julai 2001.
  • Jenar Lamdah, Datuk Harris Mohd. Salleh dengan politik Sabah, Affa Sendirian Berhad, Kuala Lumpur, 1981.
  • Johari Alias, How Islam spread to Sabah in Cenderamata  Sabah State Mosque, in conjunction with the official opening of the Sabah State Mosque by His Majesty the Yang Di Pertuan Agong on 28th. June 1977.
  • Herman J. Luping, Sabah dilemma: The political history of Sabah (1960-1994), Magnus Books, Kuala Lumpur, 1994.
  • Cesar Adib majul, Islam di Filipina, (Terjemahan dari Bahasa Inggeris oleh Shamsuddin Jaafar), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1988.
  • L.W. Jones, The Population of Borneo,: A Study of the Peoples of Sarawak, Sabah and Brunei, Opus Publications, Sabah, 2007.
  • Hamdan bin Aziz, Parti politik USNO & BERJAYA di Sabah, 1961-1996, Unpublished Thesis Master of School of Science Social, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, Sabah, 2005.
  • Ismail Mat, “Haji Muhammad Suhaili Haji Yaakub” in Ismail Mat, (ed), Ulama silam dalam kenangan, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 1993.
  • Maidis Pongot, Gerakan Dakwah Islamiyah Di Daerah tambunan Sabah Selepas Merdeka Sehingga 1989: Penumpuan Kepada Zaman USNO-SCA, Berjaya Dan PBS (Kertas Projek) Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1989.
  • Suraya Sintang. (2007). Kehidupan beragama masyarakat Kadazandusun. Sabah: Universiti Malaysia Sabah.
  • Saif @ Shaifuddin Hj. Daud, Transformasi Sosial Menerusi Islamisasi; Satu Kajian Kes Di Kalangan Orang Dusun/Kadazan Di Ranau Sabah (Tesis Master Sains Pembangunan), Fakulti Sains Pembangunan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Kampus Sabah, 1993.
  • Shaifuddin Hj. Daud, MUIS: Penubuhan Dan Kegiatannya Sehingga Tahun 1981, (Latihan Ilmiah), Jabatan Dakwah Dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 1983/1984.
  • Buku Cenderahati, Sambutan 30 Tahun 1978-2008 JAKIM Cawangan Sabah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Cawangan Sabah, 2008.
  • Jamil Hj. Hamali (ed), Islam di Borneo: Sejarah, Perkembangan Dan Isu-Isu Kontemporari, Pusat Penerbitan Universiti (UPENA), Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, 2009. 

Sesungguhnya perbincangan mengenai perkembangan gerakan dakwah Islam di Sabah sebelum merdeka dan selepas merdeka tidak memadai untuk dimuatkan dalam artikel yang  seringkas ini. Setakat yang diketahui, ERAKITA mendapati bahawa kajian-kajian ilmiah di universiti tempatan yang dilakukan berkenaan perkembangan Islam di Sabah hanyalah setakat tahun 1993. Belum ada kajian ilmiah di peringkat Master atau Ph.D yang mengkhususkan perkembangan Islam di Sabah selepas 1994, zaman selepas kejatuhan pemerintahan PBS di Sabah. Dalam hal ini, ERAKITA berpendapat bahawa kajian secara terperinci mengenai perkembangan Islam di Sabah selepas 1994 wajar dilakukan oleh para sarjana di Malaysia dan khususnya bagi sarjana-sarjana dari Sabah sendiri.

Sesungguhnya, semenjak 1994 sehingga kini, banyak sekali perkembangan yang berlaku di negeri Sabah. Kemunculan pelbagai persatuan, organisasi dan pertubuhan Islam di Sabah sejak akhir-akhir ini nyata sekali merancakkan lagi perkembangan dakwah Islam di Sabah. Pegawai-pegawai dakwah agama dan tenaga sukarelawan dari badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang tidak putus-putus menyalurkan tenaga dan masa mereka untuk bergerak ke seluruh pelusuk negeri untuk berdakwah tidak dapat dinafikan lagi banyak membantu merancakkan perkembangan Islam di negeri ini. Kewujudan saluran informasi terkini seperti laman web dan blog-blog berunsur dakwah di negeri ini dilihat begitu berkesan menyalurkan maklumat dan perkembangan-perkembangan terkini dakwah Islamiah di Sabah.

Akhir sekali, ERAKITA mengucapkan tahniah sekali lagi kepada blog ABU NUHA CORNER atas artikel yang amat bernilai itu dan usaha PUM Cawangan Sabah kerana menggerakkan usaha yang amat murni ini. Semoga usaha tersebut dipermudah lagi diberkati Allah AWT.

  

DAKWAH SEPANJANG ZAMAN

 

 

Dikirim dalam AGAMA, BUKU, RENUNGAN, TOKOH | 2 Komen »

BUDI BAHASA BUDAYA KITA: ada kisah untuk dikongsi

DIkirim oleh ERAKITA di 8 Oktober 2009

 

rose

 

BUDI BAHASA DI LRT: lawak sikit!

 

8 Oktober 2009 

BUDI BAHASA BUDAYA KITA. Itulah lagu yang seringkali kita dengar dalam corong radio atau TV yang didendangkan oleh penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin. Lagu itu mengajak kita untuk mengamalkan budaya berbudi bahasa dalam kehidupan kita. Berbudi bahasa juga salah satu dari amalan mulia yang digalakkan oleh Islam. Namun, ada ketikanya, amalan berbudi bahasa itu dilakukan mengikut kesesuaian masa dan tempat. ERAKITA ingin berkongsi dengan anda sebuah kisah pendek yang dipetik dari salah sebuah laman web baru-baru ini berkaitan budaya berbudi bahasa. 

Seorang gadis cantik menaiki LRT yang sangat penuh sesak. Gadis itu berdiri betul betul di depan seorang pemuda. Seketika kemudian, pemuda itupun bangun. Namun belum sempat pemuda itu berkata apa apa, gadis cantik itu menolak pemuda itu dengan lembut ke  tempat duduknya sambil berkata,  “Terima kasih, saya lebih suka berdiri”. Pemuda itu tercengang dengan penuh kehairanan.  Dia sedikit jengkil kerana ditolak oleh gadis itu walaupun secara lembut. Pemuda itu pun berdiri semula tetapi sekali lagi gadis cantik itu menolaknya duduk semula dan berkata dengan sedikit kuat hingga didengari oleh lain lain penumpang, “Tak apa, tak payah susah susah, saya lebih suka berdiri.” Tanpa putus asa pemuda itu berdiri lagi untuk kali yang ketiga sambil menjerit, “Woii cik kak !! Saya nak turun laaaaa!!! Saya dah terlepas perhentian saya tau !!? Apa punya perasanlah dia ni?!!!” .  

Saudara, bagaimana agaknya pandangan kita mengenai kisah di atas? Inilah perasan namanya. Secara sedar atau tidak, ada kalanya kita merasa diri kita cantik tapi pada pandangan orang lain, kita tidak cantikpun. Ada juga wanita yang sememangnya cukup cantik dan ”MENGANCAM” tetapi akhirnya berkahwin dengan lelaki yang tidak sepadan dengan kecantikannya. Sehingga kadang-kadang kita mendengar orang cakap ”macam maana lelaki JONGOS macam dia boleh kahwin dengan wanita secantik itu. Tak padan langsung! Jangan-jangan lelaki tu pakai bomoh!. Jangan-jangan lelaki tu pakai ilmu PUGAI!”. 

Ada juga lelaki yang hensem atau tampan dan digilai oleh ramai wanita termasuk wanita-wanita cantik. Namun, beberapa lama tak bertemu, satu hari kita melihatnya berjalan bersama dengan isterinya. Didapati bahawa isterinya bukanlah tergolong dalam golongan wanita yang cantik. Kalau lihat betul-betul, isterinya kelihatan sederhana saja, COMMON lah katakan. Jika kita renung keadaan ini, kita akan akur bahawa kecantikan seseorang itu sebenarnya adalah terlalu subjektif untuk dinilai. Tidak semua orang akan mempunyai tanggapan bahawa seseorang itu cantik. Ada orang yang melihat kecantikan itu dari sudut tingkah laku dan akhlaknya. Ada orang yang melihat kecantikan itu dari sudur rupa parasnya. 

Dalam hal ini, wanita cantik dalam LRT tadi mungkin juga seorang yang baik dan terlalu berbudi bahasa. Kelebihannya dari sudut lain ialah ia amat berbudi bahasa. Namun, budi bahasanya tidak bertempat dalam situasi itu. Dalam LRT, keretapi akan sentiasa sesak dan berhenti-henti di setiap stesyen. Tindakan wanita untuk menolak lelaki itu ke tempat duduknya berkali-kali tidak wajar dilakukan. Ini kerana, pertama tidaklah manis seorang wanita yang menolak seorang lelaki yang bukan mahramnya. Ini terlarang dalam Islam dan mendatangkan fitnah. Apa akan jadi kalau tanpa disedari wanita cantik tadi, rupa-rupanya wanita lain yang berdiri di sebelahnya adalah isteri kepada lelaki itu?. Bukankah adegan tampar menampar atau tarik menarik rambut antara kedua wanita itu boleh saja terjadi sekelip mata? Mengapa tidak, sebagai isteri sudah tentulah ia punya rasa cemburu terhadap apa yang berlaku. Lebih parah lagi andai suami itu hanya tersenyum saja bila ditolak dengan lembut oleh wanita cantik tersebut. 

Keduanya, wanita itu seharusnya sedar bahawa lelaki itu tidak akan duduk selamanya dalam keretapi tersebut. Ia seharusnya ingat bahawa lelaki itu juga harus berhenti di stesyen yang ia tuju. Tanpa ia bertanya kepada lelaki itu, wanita itu menolak saja lelaki itu ke tempat duduknya. Tidaklah salah rasanya kalau wanita itu bertanya saja kepada lelaki berkenaan seperti ”nak berdirikah?”. Kalau pertanyaan ini dibuat oleh wanita tadi, sudah tentu lelaki akan berkata ”sebenarnya saya nak keluar ni, dahpun sampai di stesyen”. 

Bayangkanlah apa yang berlaku ke atas wanita itu setelah pemuda itu menjerit kemarahan. Suaranya yang kuat dengan mengatakan “Woii cik kak !! Saya nak turun laaaaa!!! Saya dah terlepas perhentian saya tau !!? Apa punya perasan lah dia ni?!!!”  tidak syak lagi benar-benar menjatuhkan air muka wanita cantik itu. Memang wajar wanita itu mendapat HABUAN seperti itu gara-gara perasannya. Perasannya itu tidak bertempat. Perasannya membuatkan orang lain susah. Bayangkanlah apa yang berlaku ke atas pemuda itu. Ia terpaksa turun di mana-mana stesyen lain dan terpaksa pula membeli tiket baru untuk kembali di laluan yang bertentangan untuk menaiki keretapi lain. Ia menyusahkan lelaki itu. Si wanita pula wajar memohon maaf atas ketelanjurannya. 

Keadaan ini samalah dengan situasi di mana orang mungkin memandang ke arah kita sambil tersenyum. Kitapun tersenyum juga dan mungkin berasakan bahawa orang tersebut peramah dan baik orangnya. Namun, kita tidak pula sedar bahawa orang itu tersenyum bukan kerana keramahannya kepada kita. Orang itu tersenyum kerana TERNAMPAK sesuatu yang pelik dan memalukan berlaku ke atas diri kita. Mungkin ada hingus hijau melekat di pipi kita. Mungkin zip seluar kita terbuka. Mungkin ada tulisan pen tertera di muka kita. Mungkin ada gam melekat di seluar kita. Mungkin pakaian kita terbalik. Mungkin butang baju kita tidak diletakkan di lubang yang sepatutnya. 

Berbagai kemungkinan lagi yang biasa berlaku dalam hidup kita. Siapa tahu mungkin kejadian-kejadian seperti ini pernah berlaku ke atas diri kita. Dan biasanya, kita hanya menyedari hal-hal sebegini apabila kita sampai di rumah atau di pejabat kita. Kita hanya akan sedar apabila isteri atau anak menegur kita. Di pejabat pula, kita hanya akan sedar hal tersebut apabila ditegur oleh staf atau rakan sewajat kita. 

ERAKITA mengajak anda semua untuk merenung kisah di atas. Kalau belum pernah berlaku ke atas diri kita, mungkinkah situasi di atas bakal berlaku ke atas diri kita satu masa nanti. Samada berlaku dalam bas, dalam keretapi, komuter, LRT Putra, LRT STAR, ERL dan lain-lain lagi jenama yang seumpama dengannya. Siapa tahu..! Sambil bergurau, ada baiknya juga kita menyelitkan perkara-perkara positif dalam gurauan tersebut. Jika ini berlaku, nescaya harmoni hidup kita dari tekanan-tekanan dalam kehidupan.

 

ADA KETIKANYA PERASAN SORANG-SORANG  MEMAKAN DIRI SENDIRI

 

 

Dikirim dalam KELUARGA, RENUNGAN | 2 Komen »